Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-81 hingga Ke-83

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-81 hingga Ke-83

648
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran 
Tafsir Ayat Ke-81

Perbincangan ayat-ayat selepas ini adalah tentang Kerasulan. Ini juga adalah salah satu dari Kesamaran di pihak Ahli Kitab. Selain itu, mereka juga keliru tentang kiblat, tentang halalnya memakan unta dan tentera Islam yang kalah dalam Perang Uhud.

Dalam ayat ini, Allah SWT hendak beritahu bahawa semua Nabi dahulu ada perjanjian dengan Allah SWT iaitu apabila datang Nabi Akhir Zaman (Nabi Muhammad SAW), mereka semua (para Nabi) kena ikut dan tolong Nabi itu. Yang boleh praktik perjanjian ini hanyalah Nabi Isa as sahaja kerana baginda telah diangkat ke langit dan akan turun semula.

Maknanya, baginda nanti akan pakai syariat Nabi Muhammad SAW apabila baginda menjadi Nabi semula di dunia. Baginda tidak akan pakai syariat baginda sendiri daripada Taurat atau daripada Injil tetapi baginda akan pakai syariat Nabi Muhammad SAW – iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Maka daripada ayat ini kita dapat tahu bahawa perjanjian ini ada dalam semua kitab yang diturunkan Allah SWT.

Ini adalah juga salah satu dalil yang kuat untuk menyatakan bahawa Nabi Khidr telah mati sebab tidak pernah ada riwayat baginda pernah bantu Nabi Muhammad SAW. Jadi tersilaplah ajaran yang kata bahawasanya Nabi Khidr masih hidup lagi. Sudahlah mereka kata baginda hidup lagi, ada yang kata dapat berjumpa pula dengan baginda.

Dan lebih teruk lagi, mereka tohmah kata Nabi Khidr ada ajar syariat baru pula. Itu adalah kesilapan yang bertimpa-timpa. Kepercayaan ini boleh menyebabkan terpesong daripada jalan agama yang benar. Maka ayat ini amat penting diketahui. Malangnya, kalau sudah masuk dalam arena tarekat dan tasawuf, selalunya salah satu keinginan mereka adalah untuk berjumpa dengan Nabi Khidr. Entah siapalah yang mereka jumpa itu, yang pastinya bukan Nabi Khidr.

Namun, ramai yang ada fahaman sebegini di dalam dunia dan tentunya di negara kita. Yang pasti, kebanyakan ahli tarekat ada fahaman sesat ini. Mereka itu selalu kena tipu sahaja. Belajar betul-betul tidak mahu tetapi ambil ajaran daripada guru yang salah. Guru itu bawa ajaran khayalan mana pun kita tidak tahu.

Kita sebut secara terus terang sahaja di sini supaya tidak ada kekeliruan bahawa ajaran tarekat itu salah. Tidak jumpa lagi ajaran tarekat yang benar (pada zaman ini kerana kita tidak tahu bagaimana pegangan orang zaman dahulu). Terlalu banyak kemungkaran yang ada dalam ajaran tarekat sekarang sampaikan tidak ada sebab untuk menyertainya. Tidak ada keperluan untuk menyertai mana-mana perkumpulan tarekat. Ia hanya membuang masa dan kena ‘tarik dan kena ikat’ sahaja.

Masalah kepada puak sesat begitu, mereka tidak beritahu ilmu yang mereka dapat itu kepada orang lain. Sebab syarat ilmu itu, kena rahsiakan daripada orang awam. Telah diletakkan syarat sebegitu kepada mereka awal-awal lagi. Guru akan pesan, kalau beritahu kepada orang, ilmu itu akan jadi tawar (tidak menjadi). Maka mereka akan terus sesat sendiri.

Oleh kerana kalau beritahu kepada orang lain, mungkin ada yang boleh beri nasihat tentang salah dan sesat ilmu itu tetapi disebabkan mereka rahsiakan fahaman dan amalan mereka, maka orang lain nampak mereka biasa dan normal sahaja. Mereka pun tidak dapat maklumat lain sebab mereka tidak sempat hendak belajar tafsir, sunnah atau dengar ceramah agama sebab mereka telah disibukkan dengan bacaan zikir dan ratib beribu-ribu sehari. Begitulah cara syaitan lalaikan mereka dengan amalan bid’ah, sampaikan mereka tidak mahu belajar ilmu yang benar.

Mereka memang akan duduk bersendirian sahaja. Dan mereka sudah tidak tanya pendapat orang lain lagi sebab memang mereka akan rasa mereka lebih lagi daripda orang lain sebab mereka sudah dapat ilmu ‘rahsia’ yang lagi hebat daripada orang awam (orang biasa bagi mereka).

Jadi apabila tidak bertaubat meninggalkan ajaran itu, mereka akan mati dalam sesat seorang diri. Maka tolaklah ilmu yang hendak belajar, kena belajar secara rahsia. Itu adalah tanda ajaran sesat.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثٰقَ النَّبِيِّينَ لَمَا ءآتَيْتُكُم مِّن كِتٰبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ ءأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشّٰهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada Nabi-Nabi (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثٰقَ النَّبِيِّينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada Nabi-Nabi

Allah SWT memberitahu kita semua tentang perjanjian yang telah dilakukan-Nya dengan semua Nabi. Ini adalah dalil naqli iaitu pemberitahuan daripada Allah SWT. Kalau Allah SWT tidak beritahu memang kita tidak akan tahu kerana akal kita tidak akan dapat mencapai maklumat ini sendiri.

لَمَا ءآتَيْتُكُم مِّن كِتٰبٍ وَحِكْمَةٍ

“Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu,

Perjanjian itu akan berkuatkuasa ketika Allah SWT beri wahyu dan hikmah kepada mereka. Apabile mereka ambil tugas menjadi Nabi, maka  mereka akan ada perjanjian dengan Allah.

ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ

kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu,

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad SAW. Kena tafsir sebagai Nabi Muhammad SAW. Kalau ikut pandangan yang lain, itu adalah salah. Sebagai contoh, kalau orang Kristian, mereka akan kata yang dimaksudkan adalah Nabi Isa as.

Yang disahkan oleh Nabi Akhir Zaman itu adalah dia akan membenarkan akidah tauhid yang memang sudah ada dalam ajaran mereka yang mereka dapati daripada wahyu. Kerana ajaran tauhid sama sahaja dari dulu sampai bila-bila. Nabi Muhammad SAW bawa ajaran yang sama sahaja.

لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ

hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya,

Perjanjian Allah SWT dengan para Nabi: Kalau kamu hidup waktu naiknya Nabi Akhir Zaman itu (Nabi Muhammad), kamu kena beriman dengan baginda.

Lihatlah, kalau semua para Nabi pun kena beriman dengan Nabi Muhammad SAW, apatah lagi kepada umat manusia. Maka umat Nabi-Nabi lain yang mana pun, kenalah ikut ajaran Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah dalil untuk mengatakan yang Yahudi dan Nasara tidak terlepas daripada syariat Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak boleh kata yang mereka cuma pakai syariat Nabi mereka sahaja. Kerana syariat Nabi mereka telah terbatal apabila bangkitnya Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul.

وَلَتَنصُرُنَّهُ

dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya

Semua para Nabi kena bantu baginda dengan anggota mereka. Kena pergi jumpa Nabi Muhammad SAW dan kena ikut arahan baginda. Sebagai contoh, apabila Nabi berperang, mereka kena datang dan tolong Nabi semasa Nabi berperang.

Jadi adakah Nabi Khidr ada disebut bantu Nabi Muhammad? Tidak pernah tertulis pun baginda ada dalam senarai 313 sahabat yang membantu dalam perang Badr atau mana-mana perang pun. Tidak juga ada dalam hadith yang sahih yang mengatakan Nabi Khidr ada datang bertemu Nabi. Kalau hadis palsu itu, tidak payah sebut lah, memang banyak pun.

Ada yang mengatakan perjanjian ini ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah beriman dan membantu Rasul yang hidup sezaman dengan mereka. Sebagai contoh Nabi Luth as hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim as, Nabi Yahya as  sezaman dengan Nabi Isa as dan Nabi Harun as hidup sezaman dengan Nabi Musa as. Mereka kenalah bantu membantu.

Peringkat kedua adalah beriman dan membantu Nabi Muhammad. Walaupun mereka tidak dapat bertemu dengan baginda, tetapi mereka harus sampaikan berita tentang Nabi akhir zaman itu kepada umat masing-masing.

قَالَ ءأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي

Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku itu?”

Allah SWT tanya kepada para Nabi, adakah mereka setuju? Disebabkan ini adalah perkara yang penting, maka Allah SWT tanya balik kepada mereka.

قَالُوا أَقْرَرْنَا

Mereka menjawab: “Kami berikrar”

Semua Nabi sudah setuju untuk taat kepada perjanjian itu.

Kalau para Nabi pun berikrar menerima ajaran dan dakwah Nabi-Nabi lain, termasuk Nabi Muhammad SAW, maka kita pun patut begitu. Jangan bezakan antara para Rasul itu kerana mereka semuanya membawa akidah tauhid yang sama. Mungkin syariat berbeza tetapi akidah tetap sama.

قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشّٰهِدِينَ

Allah berfirman lagi: “maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

Allah SWT bersaksi bersama mereka. Lihatlah bagaimana Allah SWT sendiri bersaksi bersama mereka sebab amat pentingnya perkara ini.

Tafsir Ayat Ke-82

فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفٰسِقُونَ

Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.

فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ

Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu,

Kalaulah para Nabi itu ingkar dengan perjanjian mereka itu. Perjanjian adalah perkara yang amat penting dalam agama. Ingkar atau memutuskan perjanjian adalah perkara yang berat, apatah lagi kalau berjanji dengan Allah SWT.

فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفٰسِقُونَ

maka mereka itulah orang-orang yang fasiq

Allah SWT kata mereka akan jadi orang fasiq kalau mereka ingkar. Tidaklah para Nabi itu fasiq walau seorang pun.
Yang fasiqnya adalah golongan yang memilih-milih Nabi yang mereka hendak ikut dan tolak mana yang mereka tidak suka. Yahudi tolak Nabi Isa as dan Nabi Muhammad SAW dan Nasara pula terima Nabi Isa as tetapi tolak Nabi Muhammad SAW.

Tafsir Ayat Ke-83

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ

Patutkah mereka mencari lain daripada agama Allah?

Jadi, setelah diberikan segala dalil ini, adakah mereka hendak cari selain agama Allah? Tidak patut kalau begitu, kerana ada satu sahaja agama pada sisi Allah SWT. Agama yang lain, tidak diiktiraf.

Jadi, janganlah kita antara orang yang kata semua agama dalam dunia ini sama sahaja, kononnya semua hendak mengajak kepada kebaikan. Itu adalah kata-kata kufur. Memang ada persamaan sedikit sebanyak, tetapi agama Islam dan agama lain, tidak sama langsung.

وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا

Padahal kepadaNya-lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa,

Kalau tidak ikut, kamu sendiri yang rugi kerana semua makhluk lain sudah ikut. Alam semuanya mengikuti peraturan yang Allah SWT telah aturkan. Matahari tidak akan bergerak dari tempatnya selagi tidak disuruh oleh Allah  SWT untuk bergerak. Begitu juga bulan, bintang dan segala yang ada di atas bumi dan di mana sahaja.

Alam akan ikut sama ada mereka mahu atau tidak. Memang orang kafir tidak taat kepada Allah SWT, tetapi jantung, paru-paru dan segala sel dalam fizikal mereka taat kepada Allah SWT. Kalau tidak taat, sudah lama mati manusia itu.

وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.

Dan mereka lari ke mana pun, kerana akhirnya mereka akan dikembalikan kepada Allah SWT. Mereka tidak akan dikembalikan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain daripada Allah SWT. Kerana tuhan-tuhan itu semua tidak ada.

Penganut agama lain sangka mereka akan pergi kepada tuhan sembahan mereka, tetapi apabila dibangkitkan, alangkah terkejutnya mereka apabila mereka lihat mereka akan dibawa kepada Allah SWT.

Kalau semua akan kembali kepada Allah SWT termasuk kita, maka kenapa tidak taat kepada Allah SWT dengan sepenuhnya? Tidak takutkah kita dengan apa yang kita akan bawa ke hadapan Allah SWT nanti?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan