Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-84 hingga Ke-92

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-84 hingga Ke-92

465
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran 
Tafsir Ayat Ke-84

Ini khulasah (ringkasan) agama Allah.

قُلْ ءآمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْمٰعِيلَ وَإِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-Nabi: Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-Nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-Nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

قُلْ ءآمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا

Katakanlah: “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan ke atas kami,”

Beriman kepada Allah SWT dan segala perkara yang perlu diimani. Perkataan عَلَيْنَا (ke atas kami) digunakan dalam ayat ini kerana yang dimaksudkan adalah hukum-hukum agama yang menjadi tanggungjawab kita untuk taat.

Ia berbeza dengan kalau lafaz إلينا (kepada kami) yang digunakan. Kerana itu hendak menekankan bahawa apa yang akan diberi  sebagai nikmat. Apabila digunakan kalimah على, ia memberi konotasi ‘tanggungjawab’ dalam agama.

وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْمٰعِيلَ وَإِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ

dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-Nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya,

Dan hendaklah beriman dengan segala hukum syariat dalam Al-Qur’an. Syariat setiap Nabi tidak sama, tetapi hukum akidah adalah sama sahaja yang diberikan kepada Nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Jadi, beriman yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah iman kepada tauhid yang sama sahaja diberikan kepada semua para Nabi.

وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ

dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-Nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-Nabi daripada Tuhan mereka.

Semua Nabi-Nabi itu diberikan dengan hukum akidah yang sama.

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ

Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka,

Kita kena terima semua Nabi-Nabi itu sebagai Nabi. Jangan tolak walau seorang pun. Kita tidak menolak mana-mana Nabi pun, tetapi Ahli Kitab mereka tidak terima semua Nabi. Puak Yahudi tidak terima Nabi Isa a.s dan Puak Kristian tidak menerima Nabi Muhammad SAW.

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan kepada Allah jualah kami berserah diri

Kita kena serahkan diri kita semua sekali kepada Allah. Taat kepada apa yang disampaikan oleh Allah kepada kita. Kita beriman kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya. Kita redha dengan apa sahaja yang ditetapkan-Nya kepada kita.

Tafsir Ayat Ke-85

Ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam,

Agama tidak sama antara Islam dan agama lain. Tidaklah sama walaupun ada sedikit-sedikit persamaan (seperti arahan berbuat baik, contohnya). Oleh itu kena dakwah kepada orang bukan Islam. Kasihan mereka, kerana mereka sangka mereka dalam kebenaran, tetapi mereka tertipu dengan agama mereka. Ini penting, kerana ada yang kata: “alah semua agama sama sahaja, semua ajak kepada kebaikan.” Ini tidak benar sama sekali.

فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ

maka tidak akan diterima daripadanya,

Tidak akan diterima amalan baik mereka, walau bagaimana baik sekali pun. Mungkin ada orang bukan Islam yang banyak membantu orang lain (malah mungkin lebih baik daripada kita). Kalau dia bukan Islam, perbuatannya menolong orang lain itu tidak akan mendatangkan pahala kepadanya.

Ayat ini juga sebagai larangan untuk kita menerima agama lain. Telah ada dari dulu sampai sekarang satu gerakan yang hendak menyatukan semua agama. Mereka hendak kata semua agama sama sahaja, jadi kenapa mahu berpecah? Kalau zaman sekarang, ia dipelopori oleh Gerakan Interfaith.

Umat Islam kena berhati-hati kerana gerakan dan idea seperti ini tidak akan pernah diterima oleh Allah SWT. Agama yang lain itu, kalau pun ia asal adalah agama Islam, tetapi ia telah berubah jauh daripada ajaran Islam yang asal. Kena tolak dan tentang gerakan yang sebegini.

وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.

Tentulah mereka akan menjadi amat-amat rugi kerana semua amalan dia tidak akan dibalas dengan pahala di akhirat.

Tafsir Ayat Ke-86

Ayat ini tentang mereka yang murtad. Setelah tahu mana yang Haq, mereka masih tolak lagi kebenaran. Sebenarnya tidak perlu tolak semua ayat Al-Qur’an, tolak satu sahaja ayat sudah jatuh kafir. Sebagai contoh, mereka tolak satu ayat Al-Qur’an sahaja, sudah dikira kufur kerana ayat Al-Qur’an itu kena diterima semuanya sekali. Jangan ada ragu-ragu kepada satu pun ayat Al-Qur’an.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman,

Bagaimanalah lagi Allah SWT hendak beri hidayah kalau ada orang yang tolak selepas beriman. Mereka itu sudah kenal Islam dan sudah masuk Islam pun, tetapi kemudian berpaling meninggalkan agama. Disebabkan mereka sudah sepatutnya kenal Islam, maka penolakan mereka itu adalah amat berat. Tidak sama dengan orang yang tidak kenal Islam.

وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ

dan juga sesudah mereka bersaksi bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar,

Dan mereka mengucapkan sendiri syahadah dengan lidah mereka yang Nabi Muhammad SAW itu benar dan seorang Rasul. Maknanya dia sudah masuk Islam. Syahadah itu bermaksud sudah tahu, sudah menyaksikan.

وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ

dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata.

Dan segala bukti dalam bentuk wahyu telah datang kepada mereka. Mereka sudah dapat semula maklumat yang diperlukan untuk beriman. Tetapi mereka masih buat tidak kisah dengan agama.

وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.

Mereka dikira zalim dan Allah SWT tidak akan memberi hidayah kepada mereka lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi kerana mereka sudah tahu kebenaran tetapi mereka masih tolak lagi kebenaran itu setelah tahu. Mereka telah murtad dan ini adalah dosa yang amat besar.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang orang Yahudi yang masuk Islam setelah nampak kebenaran Islam. Tetapi mereka telah keluar daripada Islam.

Tafsir Ayat Ke-87

Apakah balasan yang akan diberikan kepada orang yang murtad?

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikat-Nya sekalian orang-orang (yang beriman).

 

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah

Mereka akan mendapat laknat Allah ‎SWT yang berkekalan. ‘Laknat’ itu maksudnya mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan tidak akan diterima taubat mereka.

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

dan malaikat-Nya sekalian manusia

Bukan sahaja Allah ‎SWT tetapi mereka akan mendapat laknat daripada malaikat dan manusia seluruhnya. Ini kerana malaikat dan manusia yang beriman tidak suka kepada orang yang meninggalkan agama mereka.

Tafsir Ayat Ke-88

خٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian;

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal di dalamnya,

Mereka akan kekal dalam laknat itu kerana mereka telah ada peluang untuk mengamalkan agama Islam yang benar ini tetapi mereka telah mensia-siakan peluang itu.

لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

tidak diringankan azab seksa daripada mereka

Mereka nanti akan diazab dan azab mereka tidak akan diringankan. Walau bagaimana kuat sekalipun mereka merayu kepada malaikat yang menyeksa mereka, azab itu tidak akan dikurangkan sedikit pun.

Azab itu akan sentiasa sakit. Kalau kita selalu kena pukul, lama-kelamaan sakit itu kita sudah rasa biasa. Akan tetapi ini tidak akan terjadi di akhirat kelak. Azab itu tidak akan rasa biasa sampai bila-bila.

وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh

Tidak diberi peluang ditangguhkan walau sesaat. Kalau dalam dunia, boleh minta orang yang menyeksa kita berikan tangguh seminit dua, mungkin tukang seksa itu ada belas kasihan atau penat, tetapi malaikat tidak ada belas kasihan langsung. Ini kerana mereka amat taat kepada Allah ‎SWT.

Kalau seseorang diseksa di dunia, tukang seksa akan tahan sekejap kalau dia lihat orang yang diseksa itu akan mati kalau dia teruskan kerana kalau dia mati, sudah tidak dapat seksa lagi orang tersebut. Namun begitu di neraka nanti, tidak perlu hendak takut orang yang diseksa itu akan mati kerana memang tidak akan mati. Kematian sudah tiada lagi.

Tafsir Ayat Ke-89

Jadi amat teruk sekali balasan kepada mereka yang murtad kecuali kalau orang murtad itu sempat bertaubat sebelum dia mati. Maknanya ada harapan lagi, selagi belum mati. Selagi belum mati, boleh bertaubat.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu,

Kecuali kalau orang murtad itu yang sempat bertaubat setelah murtad. Caranya, yang mana dia tolak, mesti terima balik dan kena ingat, tolak satu sahaja daripada rukun-rukun Islam atau ayat-ayat Al-Qur’an, sudah dikira murtad.

Dalam ayat sebelum ini, disebut akan terus dilaknat orang yang murtad dan dalam ayat ini kata diterima pula. Kenapa ada perbezaan? Ini kerana orang yang murtad tidak semuanya sama. Ada yang memang hatinya jahat menolak kebenaran dan ada yang murtad kerana ikut – ikut orang sahaja. Maka ada yang masih ada harapan lagi.

وَأَصْلَحُوا

serta memperbaiki diri mereka,

Syarat taubat adalah hendaklah diperbaiki semula kesilapan yang dia pernah buat kerana telah menolak hukum dan ayat Allah ‎ﷻ. Maknanya dia kena terima semula mana-mana bahagian yang dia tolak dan dia kena baiki diri dia. Kalau dahulu tidak salat, maka dia kena salat semula.

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ sanggup mengampunkan semua dosa orang itu. Maka jangan ada sesiapa yang putus asa. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ amat sayang kepada manusia. Kerana sayang, Allah ‎ﷻ sanggup terima taubat hamba-Nya walaupun dosanya amat besar iaitu dosa murtad.

Tafsir Ayat Ke-90

Takhwif duniawi

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman,

Ini adalah jenis orang yang kafir degil. Sudah tahu kebenaran tetapi masih tolak juga lagi. Mereka sepatutnya tahu kebenaran kerana mereka sudah masuk Islam. Itulah maksudnya ‘sesudah mereka beriman’.

ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا

kemudian mereka bertambah kufur lagi,

Malangnya mereka ini amat teruk, makin diberitahu tentang agama, makin bertambah kufur mereka. Makin dinasihati, makin mereka melawan.

Malah mereka menentang Islam. Mungkin mereka jadi jurucakap yang menceritakan kononnya keburukan Islam sampaikan orang kafir semakin salah faham dengan Islam. Mereka mungkin semakin yakin tentang kesilapan Islam kerana yang sudah masuk pun boleh keluar.

Maka, mereka yang sebegini tidak akan diterima taubat mereka. Kerana mereka menyatakan kekufuran mereka dan menentang Islam. Ini adalah orang yang amat teruk sekali dan dalam hukum Hudud, mereka ini boleh dibunuh.

لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ

tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka,

Kalau mereka masih terus kufur. Lama-kelamaan semakin bertambah kufur mereka. Mereka semakin tenggelam di dalam kekafiran mereka. Semakin ditarik ke arah kesesatan sampai tidak ada peluang lagi untuk kembali ke arah kebenaran.

Kita pernah beritahu yang kufur ini ada empat peringkat. Kalau sudah sampai tahap empat, sudah tidak diterima taubat kerana hati mereka telah dikunci mati daripada menerima hidayah lagi. Mereka akan bertaubat di akhirat akhirnya, tetapi tidak akan diterima.

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

dan mereka itulah orang-orang yang sesat

Mereka akan sesat selama-lamanya dan apabila mati, akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah balasan yang layak bagi mereka.

Tafsir Ayat Ke-91

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir,

Ini adalah orang yang mati dalam kafir. Mereka tidak sempat bertaubat semasa mereka hidup kerana taubat hanya diterima semasa hidup sahaja. Kalau nyawa sudah di kerongkong, tidak akan diterima lagi taubat seseorang itu.

فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ

maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengannya

Tidak diterima tebusan walaupun mereka sanggup memberi emas sepenuh bumi pun. Kalau dalam dunia, emas sebanyak itu tentu ada nilai sedikit sebanyak, tetapi di akhirat nanti, ia tidak bernilai langsung. Kalau dalam dunia boleh pakai rasuah lagi, boleh suap orang sana dan sini, namun tidak di akhirat.

Memanglah tidak ada sesiapa pun yang ada emas seluas bumi. Cuma Allah hendak jadikan andaian: kalaulah ada pun tidak akan diterima.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya,

Yang mereka dapat hanyalah seksa yang tidak akan berkurangan pedihnya. Azab semakin sakit dan sakit lagi, tidak pernah berkurang. Dan mereka tidak akan alah dengan azab itu. Mereka tidak akan rasa sudah biasa (alah bisa tegal biasa).

وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Tidak ada sesiapa pun yang akan menolong mereka di akhirat kelak. Kalau dalam dunia, ada sahaja orang yang boleh bantu kita, sama ada mereka sukarela atau kita bayar mereka. Namun ia tidak akan berlaku di akhirat nanti.

Tafsir Ayat Ke-92

Kita sekarang masuk ke juz yang keempat. Ia berkenaan dengan ‘birr’. Ayat birr juga ada dalam Surah Baqarah dahulu – ayat 177. Ini disentuh lagi dalam surah Ali Imran ini.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

Kita tidak akan dapat pahala yang sebenar dan kebaikan yang sebenar sehingga kita infaqkan apa yang kita kasih iaitu kita korbankan benda yang kita kasih. Tentunya makna umum adalah harta dan jiwa; tetapi ia boleh juga bermaksud perkara lain.

Oleh kerana surah ini tentang dakwah kepada penganut Kristian, maka antara perkara yang mereka kena korbankan adalah fahaman yang mereka kasih. Untuk masuk Islam kena ada pengorbanan. Mereka kena tinggalkan fahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام, tentang syirik, tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan macam-macam lagi. Tentunya mereka kasih dengan fahaman mereka itu kerana mereka telah belajar dan memegangnya semenjak kecil lagi. Namun ini adalah ujian yang mereka perlu lepasi.

Begitu juga kita dalam masyarakat sekarang, untuk terima jalan Sunnah, kena tinggalkan guru-guru dan fahaman yang salah tentang bid’ah. Jangan lagi terima guru-guru yang membenarkan amalan-amalan bid’ah yang meringankan sahaja amalan-amalan itu. Ramai dalam kalangan ustaz yang tidak berani menegur amalan bid’ah. Atau mereka setakat kata, hendak buat boleh, jika tidak mahu buat jangan bising.

Malah, ada ustaz di negara kita ini yang jadi pengamal bid’ah (antaranya merekalah yang jadi tekong Majlis Tahlil). Kita kena tinggalkan mereka dan jangan ambil ilmu lagi daripada mereka. Ini terpaksa kita lakukan. Banyak ustaz yang sunnah di negara kita sekarang. Walaupun pergerakan mereka terhad, kerana dihalang oleh mereka yang berkuasa, tetapi mereka masih ramai lagi, in sha Allah.

Memang susah hendak tinggalkan fahaman dan amalan lama. Golongan Nasara itu tentunya amat sayang dengan agama mereka. Mungkin ada yang sudah menjadi guru dan banyak pengikut dan mendapat banyak imbuhan keduniaan dengan kedudukan mereka itu. Ini kerana tentunya ada yang disanjung oleh masyarakat mereka. Kalau ikut Nabi Muhammad ﷺ, maka kenalah belajar semula dari mula; akan dicemuh dengan masyarakat mereka; mungkin dipulau oleh ahli keluarga mereka; macam-macam lagi.

Mafhum kedua daripada maksud ‘infaq’ adalah infaq harta yang biasa. Telah banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini, maka ini adalah pengulangan perkara itu. Kita kena beri harta yang kita kasih. Siapa yang tidak sayang harta, bukan?

Namun begitu hendaklah berpada-pada juga, bukannya kena beri semua pun sampai muflis licin habis harta kita tinggal sehelai sepinggang. Lafaz مِمَّا bermaksud ‘sebahagian’, bukanlah semua. Jadi, tidaklah perlu kita berikan semua sekali harta kita. Janganlah diikut sangat Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang telah memberikan semua harta beliau. Beliau sudah berada di suatu tahap yang berbeza. Ramai lagi sahabat lain yang kita boleh contohi.

Yang penting, kita kena infaq benda yang kita sayang, bukan barang yang kita tidak suka. Kena beri barang yang boleh dipakai lagi. Semua syarat-syarat ini telah diterangkan dalam perbincangan Surah Baqarah (bab infaq).

Infaq itu bukan keluarkan harta sahaja kerana ayat ini menggunakan lafaz وَمَا yang memberi isyarat yang ia boleh menjadi pelbagai. Satu perkara yang kita sayang juga adalah masa. Ia adalah ‘harta’ paling berharga semasa kita muda. Selalunya orang muda akan menggunakan masa muda mereka kepada perkara membuang masa.

Namun kita kena luangkan masa yang amat kita hargai ini untuk belajar, mengajar, berdakwah, buat kebajikan, buat amal ibadat dan lain-lain lagi perkara dalam agama. Kalau tidak diluangkan masa, memang tidak akan ke mana. Kalau henda tunggu masa ‘lapang’, memang tidak akan ada. Kita sendiri yang kena buat masa itu.

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Dan sesuatu apa jua yang kamu infaqkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Apa sahaja yang kita infaqkan itu, Allah ‎ﷻ amat mengetahui tentangnya dan Allah ‎ﷻ sudah tulis apa yang kita infaqkan. Tidak perlu kita hendak beritahu sesiapa yang kita infaqkan kerana Allah ‎ﷻ tahu. Tidak perlulah kita hendak canangkan kepada orang, tidak perlulah untuk dimasukkan dalam Instagram atau dalam FB. Boleh mendatangkan masalah sahaja kalau dimasukkan (takut hilang rasa ikhlas dalam hati kita).

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan