Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-263 hingga Ke-266

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-263 hingga Ke-266

719
0
Iklan

Tafsir Surah All-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-263

۞ قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى ۗ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى

Perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.

Berkata baik lebih baik daripada beri Infaq tetapi diiringi dengan kata-kata nista. Ada orang yang tidak ada duit hendak beri. Mungkin dia tiada langsung barang untuk diberikan. Maka sekurang-kurangnya beri ucapan baik yang boleh beri pahala.

Atau dia katakan sebegini: ‘Minta maaf sebab saya tak boleh beri sekarang, nanti kalau ada, saya beri yer…. Saya doakan supaya masalah awak selesai segera…. ” Katakan dengan perkataan sebegitu dan yang sebagainya. Orang yang terdesak itu pun sejuk sedikit mendengarnya walaupun tidak dapat apa yang dia perlukan daripada kita. Maknanya, kita kena minta maaf kepada orang yang kita tidak dapat beri itu.

وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

Allah ‎ﷻ Maha Kaya maksudnya Allah ‎ﷻ tidak memerlukan pemberian infaq daripada kita. Bukan boleh menambahkan kekayaan Allah ‎ﷻ pun kalau kita infaq. Tetapi Allah ‎ﷻ mahu kita beri infaq itu sebab ia adalah kebaikan untuk kita. Allah ‎ﷻ hendak beri pahala yang banyak kepada kita, tetapi kenalah kita berikan infaq itu dahulu supaya Allah ‎ﷻ boleh balas.

Kalimah حَليمٌ maksudnya Allah ‎ﷻ tidak tergesa-gesa hendak menghukum kita. Entah berapa banyak kesalahan yang kita lakukan, tetapi tidaklah Allah‎ ﷻ terus azab kita sekarang.

Tafsir Ayat Ke-264

Sekarang disebut syarat kena beriman dan jangan riak.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا ۖ لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Kena dengar baik-baik kalau kita anggap diri kita orang yang beriman. Kena dengar sekarang syarat lain untuk Infaq diterima.

لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ

Jangan batalkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti,

Jangan batalkan pahala sedekah kamu dengan mengungkit dan perbuatan yang boleh menyakitkan hati seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ

seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)

Sekarang Allah ‎ﷻ tunjukkan perbandingan iaitu kalau kita ungkit dan sakiti hati orang yang diberi Infaq itu, ia adalah sama dengan riak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Kalau riak, pahala tidak sampai; kalau ungkit dan menyakiti pun tidak sampai juga.

وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau orang yang beri Infaq itu pun ada amalan dan fahaman syirik pun, pahala infaq dan sedekah dia tidak sampai. Itulah sebabnya kalau orang kafir banyak sedekah, ia tidak memberi pahala kepada mereka di akhirat kelak.

Memang kita pun tahu yang ramai orang kafir yang baik-baik dan mereka banyak derma ke arah kebaikan. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan baik mereka itu di dunia lagi, tetapi mereka tidak ada bahagian di akhirat. Nanti di akhirat kalau mereka tanya manakah pahala infaq dan sedekah mereka, Allah ‎ﷻ akan beritahu yang Dia telah balas semuanya di dunia lagi.

Sebab itulah kalau kita lihat orang kafir yang banyak derma, mereka akan dapat banyak lagi rezeki. Semakin banyak mereka derma dan tolong orang, semakin banyak rezeki mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ balas terus derma mereka semasa di dunia lagi.

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan batu besar yang licin. Atas batu itu pula ada pasir. Apabila batu itu licin, mudah pasir itu hendak hilang. Begitulah pahala orang yang infaq tetapi tidak cukup syarat. Pahala mereka akan hilang begitu sahaja.

فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا

kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin

Sudahlah batu itu licin dan senang pasir itu untuk hilang, hujan lebat pula menimpa batu itu. Maka akan kosonglah batu itu.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan dengan mudah supaya manusia boleh faham. Tidak ada langsung pahala untuk orang yang tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah‎ ﷻ seperti yang telah disebut sebelum ini. Orang lain nampak banyak dia infaq, tetapi sebenarnya sudah hilang segala pahala.

لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا

mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan.

Mereka tidak mampu ambil balasan kerana semuanya telah batal.

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Allah ‎ﷻ beri isyarat bahawa perbuatan mereka ini adalah kufur. Infaq tetapi tidak mengikut syarat yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka sebenarnya menidakkan Allah ‎ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.

Kita kena sedar yang ‘kufur’ adalah satu sifat sebenarnya. Walaupun seseorang itu mengaku Muslim, tetapi kalau buat sesuatu tidak mengikut syarat, menidakkan kehendak Allah ‎ﷻ, maka itu adalah perbuatan kufur. Tidaklah dia terus kafir, tetapi dia telah melakukan perbuatan kufur.

Tafsir Ayat Ke-265

Masih lagi membicarakan tentang syarat-syarat dalam mengeluarkan infak.

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu perumpamaan mereka yang infaq itu. Daripada ayat ini, kita tahu yang infaq itu mesti kerana hendak mencari redha ilahi. Maksudnya tujuan Infaq itu antara lain adalah untuk menggembirakan Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, niat semasa mengeluarkan infaq itu kenalah betul. Ia mesti ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Jangan sebab hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan niat-niat lain yang salah.

وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم

dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka,

Infaq itu boleh meneguhkan hati. Orang yang mengeluarkan Infaq itu adalah kerana mereka yakin yang akhirat itu ada dan mereka yakin yang infaq mereka itu akan dapat balasannya di akhirat kelak.

Jadi kena latih diri kita untuk dapat keyakinan ini. Mungkin pada awalnya, kita tidak dapat rasa begitu. Namun lama kelamaan, kita terus infaq, perasaan itu akan datang. Mungkin kita mulakan dengan Infaq yang sedikit, dan Allah‎ ﷻ akan kuatkan jiwa kita. Lama kelamaan kita akan biasa untuk infaq yang besar.

Apabila kita yakin yang kita akan dapat balasan di akhirat kelak, maka kesannya, kita akan rasa senang hati untuk mengeluarkan infaq. Oleh itu, kesimpulannya, kita keluarkan infaq itu supaya hati teguh dengan agama. Dengan sebab infaq, Allah ‎ﷻ akan kuatkan jiwa kita atas agama.

كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ

adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,

Perumpamaan yang Allah ‎ﷻ beri: bayangkan satu tanah kebun yang berada di kawasan tanah tinggi. Apabila ia tinggi, ia tidak ditenggelami air. Ia adalah tanah yang subur, dan Allah ‎ﷻ beri pula hujan lebat yang akan menyuburkan tanah itu lagi. Tanah tinggi yang tidak kontang dan sentiasa dilimpahkan dengan hujan lebat memang menjadi tanah yang sangat subur.

فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ

lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda

Tanah itu kerana amat subur, akan keluarkan hasil yang berganda dan dapat air hujan yang banyak pula.

فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ

Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun cukup

Kalau tidak dapat hujan lebat pun, cukup dengan hujan renyai-renyai kerana tanah memang sudah subur. Maknanya kalau amalan dibuat kerana Allah ‎ﷻ dan hati gembira semasa melakukannya, infaq sedikit pun sudah dapat pahala yang banyak dan kalau buat lebih banyak, berlebihan lagi.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Ayat ini diakhiri dengan lafaz تَعْمَلُونَ dahulu. Selalu تَعْمَلُونَ digandingkan dengan kalimah بَصِيرٌ. Akan tetapi susunannya berubah-ubah. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ dahulukan lafaz بَصِيرٌ sebelum lafaz تَعْمَلُونَ.

Apabila kita kaji, kita nampak apabila ayat itu berkenaan dengan amal perbuatan manusia, potongan ayat itu akan dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ (yang kamu perbuat) kerana perbuatan itu adalah amalan fizikal. Macam ayat ini, ia adalah tentang infaq, dan infaq adalah perbuatan fizikal, maka dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ.

Tetapi jikalau ayat itu adalah tentang amalan hati, Allah ‎ﷻ akan mulakan dengan perkataan بَصِيرٌ sebelum تَعْمَلُونَ kerana Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia nampak apakah niat hati kita dahulu.

Ma sha Allah…. Senang bila tahu untuk kita hafal Al-Qur’an. Sebab kadang-kadang bertukar dan kalau tidak tahu formula ini, kalau sedang membaca Al-Qur’an daripada hafalan, ada masa akan tersangkut kerana kita terlupa susunan. Dengan tahu formula ini, kalau ayat itu sedang memperkatakan amalan fizikal, maka kita tahu susunannya seperti susunan dalam ayat ini.

Tafsir Ayat Ke-266

Ini pula keterbalikan daripada orang sebelum ini. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan jenis orang yang tidak ada ikhlas semasa melakukan infak. Ini juga adalah ayat perumpamaan.

أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur,

Allah ‎ﷻ beri perumpamaan lagi. Bayangkan seseorang yang ada kebun kurma dan juga kebun anggur. Kalau sebut kebun tamar, itu biasa sahaja kerana tamar adalah makanan ruji mereka. Tetapi apabila disebut kebun anggur, itu dikira sebagai hebat. Allah ‎ﷻ suruh kita bayangkan seorang lelaki yang ada kebun yang ada tamar dan anggur. Bukan satu kebun, tetapi dua kebun dia ada.

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Kebun itu ada anak sungai pula yang boleh beri air kepada kebun itu. Ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana ayat ini mula diturunkan di Tanah Arab yang bukan mudah untuk mendapatkan air. Namun kebun yang disebut dalam ayat ini ada sistem pengairannya yang tersendiri. Jadi ini bukan kebun biasa-biasa.

لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan,

Selain kurma dan anggur, ada pula tanaman buah-buahan lain. Itu adalah tanaman sampingan yang boleh tambah pendapatan kepada tuan punya kebun itu. Jadi, secara ringkasnya, hebatlah kebun itu.

Itulah perumpamaan kepada infaq yang kita telah keluarkan. Ia adalah sesuatu yang amat hebat, yang akan memberi hasil kepada kita di masa kita tua nanti. Balasan dan hasil berganda-ganda.

وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ

sedang dia sudah tua dan mempunyai zuriat yang masih kecil,

Sekarang bayangkan apabila telah sampai masa tuanya, dan dia ada anak tetapi mereka masih lagi kecil-kecil. Dia sudah lama usaha kebunnya itu. Sekarang dia sudah tua dan anak-anaknya tidak dapat diharapkan lagi kerana masih kecil. Mereka pun belum besar lagi jadi mereka bergantung kepadanya.

Jadi dia memang amat mengharapkan hasil daripada kebunnya itu untuk kelangsungan hidupnya dan zuriatnya. Namun apa yang terjadi?

فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت

lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia

Tiba-tiba kebun itu ditimpa taufan. Ia adalah angin kuat yang ada api yang dipanggil Taufan Belati. Habis semuanya. Hasil kebun-kebunnya yang hebat itu sudah tiada lagi. Tanah pun sudah hancur kiranya.

Dia pula sudah tua dan tidak mampu hendak bercucuk tanam lagi seperti semasa dia muda-muda dahulu. Dia sangka dia boleh makan hasil kebun dia di masa tua, tetapi sekarang sudah habis semuanya.

Begitulah perumpamaan keadaan pahala infaqnya di akhirat nanti. Segala Infaqnya di dunia itu tidak ada nilai, kerana sudah batal. Dia sangka dia Infaq  banyak dan boleh banyak pahala menantinya di akhirat, namun tidak ada langsung.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa kalau harta dunia tidak pasti akan kekal selama-lamanya, tetapi Infaq  kita akan kekal di akhirat. Maka jangan harap sangat kepada harta dunia. Jangan sangka apa yang kita ada itu akan kekal. Jangan berharap sangat dengan dunia, kerana Allah ‎ﷻ boleh tarik bila-bila masa sahaja.

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir

Allah ‎ﷻ beri contoh bandingan yang mudah difahami dan mudah dibayang-bayangkan oleh akal, supaya manusia boleh faham. Semoga manusia boleh berfikir apakah jenis infaq yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita supaya kita senang ambil pengajaran dan didik hati kita ke arah kebaikan.

  • Allah a’lam.

Komen dan Soalan