Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-212

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-212

715
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-212

Ini adalah dorongan kepada jihad (targhib) yang kelima. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kedudukan orang yang bertaqwa.

Allah ‎ﷻ juga hendak mengingatkan kita bahawa dunia ini sementara sahaja, maka jangan tertipu dengan godaan dunia.

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْ‌ ۘ وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ‌ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا

Dunia diperhiaskan pada (pandangan) orang-orang kafir,

Soalan yang mungkin timbul di dalam fikiran manusia adalah: kenapa mereka yang dikatakan derhaka kepada Allah ‎ﷻ telah diberikan dengan nikmat dunia yang berganda-ganda? Dari dahulu sampai sekarang, kita boleh lihat bagaimana orang kafir itu sentiasa sahaja lebih kaya, lebih maju daripada orang Islam.

Mungkin ada yang kata, nampak macam Allah ‎ﷻ lebihkan mereka pula. Adakah mereka itu dalam puak yang benar dan Allah ‎ﷻ sayang mereka? Tetapi dikatakan mereka derhaka kepada Allah ‎ﷻ pula? Kenapa jadi macam ini? Nampak macam tidak logik pula, bukan?

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa kekayaan dan kesenangan yang mereka dapati itu bukanlah kayu ukur atau sebagai tanda yang Allah ‎ﷻ sayang kepada mereka atau kedudukan mereka lebih tinggi. Sebenarnya dunia ‘diperlihatkan’ indah kepada orang-orang kafir dan kerana itu mereka bersusah payah dan berusaha bersungguh-sungguh hanya kepada hal-hal keduniaan sahaja.

Orang-orang Islam bukanlah tidak memandang keindahan dan kesenangan dunia, tetapi dalam masa yang sama, kita juga nampak kepentingan akhirat. Orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting dan indah. Orang Mukmin pula mementingkan akhirat (tanpa menolak dunia). Kalau ada percanggahan antara dunia dan akhirat, akhiratlah yang lebih diutamakan.

Oleh kerana orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting (dan hanya dunia sahaja yang ada), maka mereka berusaha dengan sekeras-kerasnya untuk mendapatkan kesenangan dunia itu dan sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun terpaksa menipu dan sebagainya.

Tumpuan mereka hanya pada dunia sahaja. Oleh kerana itu sahaja yang mereka tumpukan dan usahakan, maka mereka dapatlah dunia itu atas usaha keras mereka. Jika mereka hendak sangat dunia, Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada mereka dan menjadikan dunia itu sebagai ujian untuk mereka.

Tetapi orang Islam tidak boleh buat begitu, maka adalah kekurangan di sana sini dari segi keduniaan. Namun sebagai seorang mukmin, dia akan redha dengan apa sahaja pemberian daripada Allah ‎ﷻ.

وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْ‌ۘ

mereka memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.

Oleh kerana mereka hanya nampak kejayaan dunia sahaja, maka mereka memperkecilkan dan merendah-rendahkan orang-orang beriman yang tidak ada kedudukan dan kekayaan dalam dunia. Ini adalah kerana mereka hanya memandang kejayaan itu daripada segi kedudukan keduniaan sahaja.

Itu adalah pandangan yang amat silap. Kalau kita menilai kejayaan manusia dengan melihat pencapaian mereka dalam hal keduniaan sahaja, itu adalah salah. Lihatlah para Nabi, kebanyakan daripada mereka miskin-miskin belaka.

Orang kafir kata orang Islam itu bodoh sebab hidup kita tersekat dengan berbagai sekatan agama. Macam-macam tidak boleh buat. Sebagai contoh, pakaian kena jaga aurat, hari-hari kena salat, bercakap hendak kena jaga sebab tidak boleh cakap sebarangan, pergi kelab malam tidak boleh, tidak boleh makan riba’ dan macam-macam kekangan lagi.

Mereka kata kita hidup dalam kerugian. Begitulah Nabi ﷺ telah bersabda bahawa dunia ini adalah penjara kepada orang beriman.

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ يَعْنِي الدَّرَاوَرْدِيَّ عَنْ الْعَلَاءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Abdulaziz Ad Darawardi daripada Al Ala` daripada ayahnya daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.” (Hadith Sahih Muslim no 5256)

Allah ‎ﷻ beritahu mereka yang nampak dunia itu indah hanyalah orang kafir sahaja. Malangnya, ada orang Islam pun macam itu juga, bukan? Mereka yang ajak kita buat maksiat, ajak pergi majlis bid’ah, buat benda yang salah dan macam-macam lagi. Lalu siapakah mereka itu sebenarnya?

وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ‌ۗ

Padahal orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak.

Inilah berita gembira kepada orang yang bertaqwa: Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ, lebih tinggi kedudukan daripada orang-orang kafir itu di akhirat kelak. Mungkin di dunia orang bertaqwa itu nampak rendah dan hina, namun di akhirat orang bertaqwa yang lebih tinggi kedudukan mereka.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘orang-orang bertaqwa’ kerana beriman sahaja tidak cukup. Taqwa adalah peringkat yang lebih tinggi selepas beriman kerana beriman itu maksudnya ‘percaya’ dan ‘taqwa’ adalah menjaga hukum dan perintah Allah ‎ﷻ selepas percaya.

Orang-orang yang bertaqwa akan masuk ke dalam syurga dan orang kafir itu akan masuk ke dalam neraka. Apabila masuk ke dalam syurga, maka kedudukan ahli syurga memang akan lebih tinggi daripada kedudukan mereka yang di neraka. Waktu itu orang bertaqwa pula yang akan mentertawakan orang kafir itu.

وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira

Sama ada rezeki lebih atau kurang itu adalah daripada takdir Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa yang akan dapat berapa. Tidak boleh kita persoalkan kepada siapa Allah ‎ﷻ hendak beri. Kalau Allah ‎ﷻ hendak beri lebih banyak kepada orang kafir, bukan hak kita untuk persoalkan. Semuanya adalah atas kehendak Allah ‎ﷻ untuk menguji hamba-Nya.

Kenapa sebut tentang rezeki dalam ayat ini? Kerana orang-orang kafir itu pada mereka mudah sahaja mereka rasa untuk dapat harta – boleh kerja macam-macam tanpa halangan, boleh makan riba, boleh menipu dan sebagainya.

Maka Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa Allah ‎ﷻ boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau kita bertaqwa, Allah ‎ﷻ masih juga akan beri rezeki yang kadang-kadang kita tidak sangka. Allah ‎ﷻ akan beri jalan keluar. Seperti yang Allah sebut dalam [ Talaq: 3 ]

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.

Tidak perlu kita melanggar hukum Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan rezeki. Kita masih boleh dapat rezeki kalau kita menjaga hukum-hukumNya. Allah ‎ﷻ masih lagi boleh beri rezeki yang banyak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan