Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Influenza H1N1

Soal Jawab Bersama Doktor: Influenza H1N1

161
0
Iklan

Soalan:
Apakah itu penyakit Influenza H1N1?
Jawapan:
Penyakit H1N1 adalah sejenis penyakit yang berjangkit melalui saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A. Ia merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza).

Soalan:
Bilakah penyakit Influenza A H1N1 berlaku??
Jawapan:
Rantau beriklim sederhana seperti Amerika Syarikat, mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas, dengan kemuncak penularan yang selalunya berlaku pada musim sejuk. Ini berbeza dengan rantau tropika seperti di Malaysia, tiada musim penularan influenza yang jelas atau dengan kata lain, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

Soalan:
Apakah gejala atau tanda-tanda dijangkiti virus H1N1?
Jawapan:
Gejala penyakit H1N1 hampir sama seperti selesema biasa. Antaranya seperti:
• Menggigil
• Demam tinggi
• Batuk, biasanya kering
• Sakit tekak
• Hidung berair
• Sakit badan
• Keletihan
• Cirit-birit
• Pening
• Muntah
• Sakit kepala
• Ruam
• Sesak nafas
• Keradangan paru-paru akibat jangkitan sekunder bakteria
• Kekejangan
Gejala-gejala ini berlangsung selama satu hingga dua minggu dan boleh berlarutan untuk jangka masa lebih lama jika individu mempunyai jangkitan yang teruk. Gejala boleh diuruskan dengan rawatan yang serupa dengan selesema biasa. Tetapi, doktor perlu menjalankan ujian khas untuk mengesahkan penyakit H1N1 dan menasihati cara melegakan simptom individu.

Soalan:
Bagaimana kita boleh dijangkiti penyakit tersebut?
Jawapan:
Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1).
Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan, melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Soalan:
Adakah pesakit influenza A H1N1 perlu dikuarantin?
Jawapan:
Pesakit influenza A H1N1 tidak perlu dikuarantin. Namun begitu, sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema, pesakit adalah dinasihatkan untuk melakukan perkara berikut:

• Berada di rumah dan mengelak untuk berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak;
• Berehat dan meminum banyak air;
• Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol;
• Jika tidak menggunakan tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda;
• Gunakan topeng muka bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling pesakit. Pastikan pesakit memakai topeng muka dengan cara yang betul; dan
• Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Komen dan Soalan