Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Sindrom Carpal Tunnel

Soal Jawab Bersama Doktor: Sindrom Carpal Tunnel

391
0
Iklan

Soalan:
Apakah itu sindrom carpal tunnel?

Jawapan:
Sindrom carpal tunnel ini merupakan sesuatu keadaan di mana berlakunya tekanan kepada saraf median dalam pergelangan tangan seseorang menyebabkan rasa sakit dan kebas.
Saraf median ini berasal dari sebuah saraf tunjang dan melalui seluruh lengan hingga ke tangan. Sebelum sampai ke tapak tangan, saraf ini perlu melalui sesuatu terowong yang sempit dalam pergelangan tangan. Terowong ini terdiri daripada tulang-tulang di pergelangan tangan serta ligamen.

Soalan:
Apakah tanda-tanda atau simptom penyakit tersebut?

Jawapan:
Simptom carpal tunnel biasanya melibatkan tangan dominan, iaitu tangan yang biasa digunakan untuk menjalankan aktiviti. Walaupun demikian, sesetengah pesakit mengadu sakit pada kedua-dua belah tangan. Simptom ini terdiri daripada:

– Perasaan sakit dan kebas pada bahagian tangan. Rasa sakit dan kebas yang biasanya lebih teruk pada waktu malam terutamanya semasa tidur. Perasaan sakit ini berkurang sekiranya tangan diregangkan.

– Hanya melibatkan ibu jari, jari telunjuk, tengan dan jari manis. Penyakit tersebut tidak melibatkan jari kecil kerana saraf kepada jari kecil tidak melibatkan saraf median.

– Kekuatan ibu jari merosot. Hal ini banyak berlaku kepada kes-kes yang kronik. Dalam jangka masa yang panjang, otot-otot ibu jari yang dibekalkan oleh saraf median akan mengecut lalu menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk menggunakan tangan seperti memegang sudu, pensel dan sebagainya.

Soalan:
Adakah rawatan yang sesuai untuk menangani penyakit sindrom carpal tunnel?

Jawapan:
Sindrom carpal tunnel ini boleh dirawat dengan cara mengawal simptom sakit serta mengelakkan penyakit ini daripada bertambah teruk. Bagi mereka yang ingin rawatan efektif dengan serta-merta, pakar perubatan menyarankan kaedah pembedahan. Antara cara-cara untuk merawat sindrom ini adalah:

Ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit seperti gabapentin boleh digunakan untuk merawat rasa kebas yang disebabkan oleh masalah saraf median.

Fisioterapi. Rawatan ini perlulah diteruskan untuk beberapa minggu bagi meregangkan ligamen dalam terowong carpal

Steroid. Steroid wujud dalam bentuk tablet untuk dimakan ataupun suntikan pada bahagian tangan. Ubat steroid ini bertujuan untuk mengurangkan keradangan pada saraf. Namun, steroid bukan satu jalan penyelesaian jangka panjang disebabkan oleh kemungkinan kesan sampingan.

Pemakaian ‘splint’. Semasa tidur, pergelangan tangan akan menjadi terbengkok lalu menyebabkan tekanan saraf median. ‘Night splint’ ini boleh dipakai pada waktu malam untuk mengelakkan pergelangan tangan daripada terbengkok.

  • Pembedahan. Pembedahan adalah penyelesaian terakhir sekiranya simptom pesakit masih tidak terkawal dengan cara-cara di atas. Dalam pembedahan ini, pesakit akan diberikan ubat bius, dan pakar bedah akan memotong ligamen pada pergelangan tangan untuk membebaskan saraf yang tertekan.

Komen dan Soalan