Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Mandi Wajib (Keluar Air Mani dan Jimak)

Thaharah: Bab Mandi Wajib (Keluar Air Mani dan Jimak)

5421
0
Iklan

Bahagian: Hal Yang Mewajibkan Mandi

Tajuk:

  • Keluar Air Mani
  • Jimak
  • Haid/Nifas
  • Kematian
  • Ketika Masuk Islam
  • Solat Jumaat

BAB MANDI

Ringkasnya ‘Mandi’ (atau ghusl dalam bahasa Arab) adalah mengalirkan air ke seluruh tubuh badan. Ia tidak sama dengan mandi biasa yang hanya untuk membersihkan badan sahaja. Ini kerana mandi biasa itu bukanlah kerana mahu mengamalkan ibadat dan tidak ada hukum berkenaannya, boleh mengikut cara apa-apa sahaja.

Ia berlainan dengan mandi wajib kerana perlu mengikuti peraturan yang syariat telah tetapkan. Nama lain yang digunakan bagi mandi jenis ini adalah ‘Mandi Wajib’, ‘Mandi Junub” selain dari ghusl (bahasa Arab).

Rasanya ramai yang ada masalah dengan fiqh mandi ini, sampaikan ada yang berjam-jam di dalam bilik air untuk menyelesaikan mandi wajib ini. Ada juga yang menggunakan air berbaldi-baldi kerana tidak faham cara mandi atau risau sangat mandi tidak sah.

Selain itu ada yang sudah keluar mandi dan semasa mahu memakai baju, boleh pergi mandi semula. Saya juga pernah dengar ada kisah makcik yang sudah bercucu tetapi tidak tahu cara mandi junub! Maknanya dia tidak pernah mandi junub. Semoga itu tidak terjadi kepada kita dan keturunan kita. Maka tolong sebarkan ilmu di sini kepada masyarakat.

Dalil ghusl ada di dalam surah Maidah:6

وَإِن كُنتُم جُنُبًا فَاطَّهَّروا

“dan jika kamu junub maka mandilah”

 

Dan juga dalam ayat Nisa:43

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنتُم سُكارىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ وَلا جُنُبًا إِلّا عابِري سَبيلٍ حَتّىٰ تَغتَسِلوا

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (dan jangan solat) sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali dalam musafir, hingga kamu mandi.”

 

Syarah:

Kedua-dua ayat ini adalah dalil yang cukup kuat bagi mengatakan yang mandi itu adalah termasuk dalam syariat agama. Ia dilakukan apabila perlu sahaja, bukannya setiap hari.

 

A. Hal-hal yang mewajibkan mandi

Pertama sekali kita akan belajar apakah perkara atau sebab-sebab yang mewajibkan kita mandi wajib ini.

 

1. Keluar air mani

Keluar air mani itu tidak kiralah keluar semasa kita tidur atau terjaga. Sama ada lelaki atau pun wanita.

Persoalan: Kalau orang lelaki memang biasa kalau dikatakan keluar air mani. Namun, mungkin ada yang terkejut jika orang perempuan pun ada air mani juga.

Hal ini ada dalilnya dari hadith Ummu Sulaim:

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ امْرَأَةُ أَبِي طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا هِيَ احْتَلَمَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ

“Ummu Sulaim, isteri Abi Talhah telah datang bertemu Rasulullah ﷺ lalu berkata: Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya Allah ﷻ tidak malu daripada kebenaran (Allah ﷻ tidak menyuruh kita malu untuk bertanya demi mengetahui kebenaran). Adakah wajib ke atas wanita untuk mandi apabila dia bermimpi (mimpi berlaku jima’)? Maka sabda Rasulullah ﷺ: Ya, apabila dia melihat air (mani).” [Hadith Muttafaq ‘alaih – Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim]

 

Syarah:

Nabi Muhammad ﷺ mengajar sekiranya nampak kesan air mani itu, maka hendaklah wanita yang ihtilam (mimpi basah) itu mandi.

 

Apakah maksud ‘nampak air’ itu?

Iaitu kalau nampak kesan pada kain atau pada tilam. Kalau keluar hanya di bahagian dalam sahaja, kebanyakan ulama’ mengatakan tidak perlu mandi. Cuma yang kena mandi adalah kalau sampai keluar ke pintu faraj.

 

Bonus:

Mimpi basah dalam bahasa Arab adalah ihtilam.
Untuk mudah ingat: mimpi sedap atas tilam atau: eh, eh, tiba-tiba basah pulak tilam aku ni….. Ihtilam lah tu….

 

Bonus:

Hadith ini juga mengajar wanita jangan malu bertanya.
Memang sifat malu kena ada, tetapi dalam bab ilmu, mesti kuatkan semangat untuk bertanya sekiranya tidak faham. Contoh kelas kita ini, walaupun agak sensitif kerana menyebut hal dalam kelambu, tetapi kita belajar untuk memahami ilmu.

Nabi ﷺ sendiri pernah memuji wanita kaum Ansar yang perasaan malu mereka tidak menghalang mereka daripada bertanya. Agama kita ini bukan bab salat dan puasa sahaja, tetapi melibatkan semua aspek dalam kehidupan.

Cuma, jika ada ustazah yang boleh menjawab soalan-soalan sensitif, ini adalah lebih baik kerana wanita akan lebih selesa untuk bertanya.

Wanita sememangnya susah untuk dikenal pasti air maninya kerana bukan semua wanita ada keluar air mani. Ini kerana fizikal alat kemaluan pun tidak sama dengan lelaki yang senang sahaja dikesan. Mungkin ia keluar tetapi ada di dalam faraj dan tidak dapat dikesan.

Dalam hal ini, kalau tidak nampak, maka tidak perlu dicari-cari. Nabi ﷺ pun kata: إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ apabila dia nampak air (mani) itu.

Ada perbezaan di antara air mani lelaki dan wanita sebagaimana disebut oleh Nabi ﷺ dalam Sahih Muslim no 469:

إِنَّ مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيظٌ أَبْيَضُ وَمَاءَ الْمَرْأَةِ رَقِيقٌ أَصْفَرُ فَمِنْ أَيِّهِمَا عَلَا أَوْ سَبَقَ يَكُونُ مِنْهُ الشَّبَهُ

Ketahuilah bahawa mani lelaki itu kental dan berwarna putih, sedangkan mani perempuan itu berair dan berwarna kuning. Mana pun mani dari salah seorang mereka yang lebih mendominasi atau menang, nescaya kemiripan terjadi kerananya.

 

Syarah:

Ini adalah maklumat dari Nabi ﷺ yang pastinya baginda ﷺ dapat dari wahyu juga. Jadi memang benar ada juga air mani dari perempuan (walaupun ramai yang tidak tahu, termasuklah doktor biasa). Sekiranya air mani wanita yang kuat, maka wajah anak itu akan mirip emaknya dan kalau air mani lelaki yang kuat, maka anak itu akan mirip wajah bapanya.

 

Bonus:

Dari kajian sains wanita (Pakar Sakit Puan), air mani wanita bukan keluar dari faraj, tetapi keluar dari saluran kencing. Namun, diulang, bukan semua wanita memancutkan air mani.

Hadith di atas juga menjadi dalil bahawa kalau mimpi berjimak tetapi tidak ada kesan air mani (lelaki atau perempuan) maka, tidak perlu mandi. Ini kerana Rasulullah ﷺ mengaitkan wajib mandi hanya jika nampak air mani sahaja. Jadi kalau tidak nampak, tidak perlulah mandi.

Begitulah juga, jika tidak berjimak atau tidak bermimpi, tetapi keluar air mani, maka tetap kena mandi juga. Perkara yang penting, ada keluar air mani atau tidak? Itulah persoalannya.

 

Kesimpulan:

  1. Sekiranya bermimpi dan nampak ada kesan air mani, wajib mandi.
  2. Ketika bangun dari tidur dan ada kesan air mani, walaupun tidak ingat bermimpi atau tidak, maka wajib mandi.
  3. Sekiranya bersetubuh, sama ada keluar mani atau tidak, tetap wajib mandi.
  4. Hukum mandi bagi wanita dan lelaki sama sahaja dalam hal ini.

 

2. Bertemu dua kemaluan

Keadaan yang dimaksudkan adalah jimak. Ini yang selalu disebut ‘bertemu dua khitan’ iaitu apabila hasyafah lelaki (kepala zakar) masuk ke dalam faraj wanita.

Dalilnya adalah hadis Nabi:

“Jika seseorang duduk di antara empat anggota badan isterinya (maksudnya: menyetubuhi isterinya), lalu bersungguh-sungguh kepadanya, maka wajib baginya mandi.” [Bukhari no. 291 dan Muslim no. 348]

Dalam riwayat Muslim ada tambahan, وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ“… walaupun tidak mengeluarkan mani.”

 

Syarah:

Maksudnya di antara empat cabang perempuan itu adalah dua tangan dan dua kaki. Ia bahasa kiasan dan lembut untuk merujuk kepada jimak, apabila seorang lelaki di atas seorang wanita. Itulah maksud ‘bersungguh’.

Satu lagi hadith sebagai dalil. Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها‎ ia berkata,

إِنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنِ الرَّجُلِ يُجَامِعُ أَهْلَهُ ثُمَّ يُكْسِلُ هَلْ عَلَيْهِمَا الْغُسْلُ وَعَائِشَةُ جَالِسَةٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنِّى لأَفْعَلُ ذَلِكَ أَنَا وَهَذِهِ ثُمَّ نَغْتَسِلُ ».

“Seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang seorang laki-laki yang menyetubuhi isterinya namun tidak sampai keluar air mani. Apakah keduanya wajib mandi? Sedangkan Aisyah رضي الله عنها‎ ketika itu sedang duduk di samping, maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku sendiri pernah bersetubuh dengan wanita ini (yang dimaksud adalah Aisyah رضي الله عنها‎, pen) namun tidak keluar mani, kemudian kami pun mandi.” [Muslim no. 350]

 

Kesimpulannya

Sekiranya masuk sahaja kepala zakar lelaki ke dalam farji perempuan, maka hendaklah mandi junub.

  • Walaupun tidak keluar air mani.
  • Walaupun bukan suami isteri (zina).
  • Walaupun memakai kondom.
  • Walaupun memasukkan zakar ke dalam dubur (jadi tidak terhad kepada farji wanita sahaja).

Akan tetapi jika tidak masuk, setakat ketuk pintu sahaja, tidaklah kena mandi junub.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan