Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Wudhu’: Perkara yang Harus dan Anjuran Berwudhu’

Wudhu’: Perkara yang Harus dan Anjuran Berwudhu’

681
0
Iklan

Kitab Thaharah:
1. Hal-hal yang mengharuskan wudhu’
2. Hal-hal yang dianjurkan untuk berwudhu

Hal yang mengharuskan Wudhu’

1. Salat

Sama ada salat fardhu’ atau salat sunat. Dalilnya seperti disebut dalam [ Maidah: 6 ].

2. Tawaf di Baitullah.

✍🏻Ini adalah pandangan majoriti ulama’ berdasarkan hadith dari Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ

“Tawaf di Kaabah seperti salat, namun di dalamnya dibolehkan sedikit bicara.”
(An Nasai no. 2922)

Maka hanya tawaf sahaja yang memerlukan wudhu’. Perlu diketahui bahawa taharah (harus bersuci) bukanlah syarat di dalam ihram dan bukan pula syarat di dalam amalan umrah atau haji lainnya selain dari tawaf (yang masih diperselisihkan). Ketika sa’i, melempar jumrah, mabit dan wukuf tidak disyaratkan untuk thaharah (dalam keadaan suci).

✍🏻Begitu pun, ada pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan diikuti oleh Syaikh Muhammad bin Shaleh Al-‘Utsaimin رحمكم الله yang mengatakan wudhu’ bukan syarat untuk sah tawaf.

Ada hujah yang diberikan:

Pertama:

Hadith yang menyatakan bahawa tawaf itu seperti salat, tidaklah marfu’ (sampai pada Rasulullah ﷺ). Hadith ini hanya mauquf (berhenti kepada perkataan sahabat sahaja) sampai pada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه.

Kedua:

Tawaf tidaklah sama dari segi perbuatan dengan salat. Maka yang dimaksudkan ‘sama’ dengan salat itu adalah dari segi pahala, bukan di dalam semua keadaan. Maka, kita ambillah wudhu’ apabila hendak memulakan tawaf.

Namun, jika terbatal wudhu’ semasa tawaf, maka boleh teruskan sahaja tawaf itu. Maka tentulah ini lebih mudah membayangkan keadaan waktu itu amatlah sesak dan jika mahu pergi mengambil wudhu’ kalau terbatal wudhu’, amatlah susah.

Hal-Hal yang dianjurkan Wudhu’

1. Ketika berzikir kepada Allah ﷻ.

Berzikir di dalam keadaan suci itu lebih utama. Sebahagian ulama’ menilainya termasuk sunnah.

✍🏻Hal ini didasarkan kepada hadith Abi Juhaim bin al-Harits رضي الله عنه, dia berkata:

أَقْبَلَ النَّبِيُّ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ

“Rasulullah ﷺ kembali dari Bi’r Jamal (sebuah kota terkenal dekat kota Madinah) lalu seseorang bertemu dengan baginda ﷺ seraya mengucapkan salam, baginda ﷺ tidak menjawabnya hingga baginda ﷺ menemukan tembok dan mengusap wajah dan tangannya kemudian menjawab salam orang tadi.” (Muttafaq ‘Alaih)

Syarah:

Mengapa ada kena-mengena dengan tembok pula ini? Kena ingat yang tembok mereka dijadikan dari tanah. Maka, perbuatan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah disebut tayammum.

✍🏻Dalam hadith Al-Muhajir bin Qunfud رضي الله عنه, dia mengucapkan salam kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda ﷺ berwudhu’, baginda ﷺ tidak menjawabnya sehingga selesai dari wudhu’nya, baru menjawab salamnya. Baginda ﷺ bersabda,

إني كرهت أن أذكر الله عز وجل إلا على طهارة

Sesungguhnya aku tidak suka berzikir kepada Allah ﷻ kecuali dalam keadaan suci” atau baginda ﷺ mengatakan, “kecuali dengan bersuci.”
(Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad. Al-Syaikh Al-Albani berkata hadith ini sahih)

Ingat, ini adalah molek kalau dapat dijaga tetapi janganlah dijadikan ini sebagai sebab untuk tidak berzikir pula. Jangan memberi alasan tidak berzikir dan membaca Al-Qur’an kerana tiada wudhu’ pula.

✍🏻Imam An-Nawawi رحمه الله‎ berkata,

أجمع المسلمون على جواز قراءة القرآن للمحدث -يعني حدثاً أصغر-، والأفضل أن يتطهر لها

“Kaum muslimin sepakat di atas bolehnya membaca Al-Qur’an bagi orang yang berhadas –yakni hadas kecil -, dan paling utama dia bersuci untuk membaca Al-Qur’an.”

✍🏻Imam Al-Syaukani رحمه الله‎ berkata, “Apabila hadas kecil tidak melarangnya dari membaca Al-Qur’an, padahal ia zikir paling utama. Maka bolehnya berzikir selainnya adalah lebih kuat.”

📍Oleh itu, untuk berzikir tidak harus dalam keadaan suci atau ada wudhu’. Namun kalau berwudhu’ ketika berzikir ini lebih baik dan lebih utama.

2. Setiap kali hendak salat (walaupun wudhu’ tidak batal).

✍🏻Secara umumnya disunatkan berwudhu’ untuk setiap salat fardhu’ berdasarkan hadith-hadith yang meriwayatkan bahawa baginda ﷺ berwudhu’ setiap kali salat.

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: {لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتهمْ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ بِوُضُوءٍ ، وَمَعَ كُلِّ وُضُوءٍ بِسِوَاكٍ} رواه الإمام أحمد بن حنبل

Maksudnya: Abu Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika tidak membebankan umatku nescaya aku perintahkan mereka agar berwudhu’ untuk setiap salat dan bersiwak setiap kali berwudhu’.”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Amalan perbaharui wudhu’ tiada kaitan dengan pembaziran air kerana ia sendiri diamalkan oleh baginda ﷺ, selagi mana penggunaan air digunakan secara berjimat cermat dan bijak ia tidak dikira membazir.

Malah, amalan pembaziran juga boleh dikaitkan dengan pengambilan wudhu’ yang pertama dan tidak semestinya wudhu’ yang baharu.

Kita boleh melihat betapa ramainya orang yang mengambil wudhu’ melakukan pembaziran dengan membuka pili air sebesar-besarnya dan membiarkan air keluar mencurah-curah tanpa dimanfaatkan dengan betul.

Apatah lagi air yang digunakan itu adalah air wakaf di masjid dan surau yang tidak sepatutnya dibazirkan sesuka hati. Ini jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah ﷺ.

Ini sememangnya perangai yang amat buruk. Nanti kita akan lihat bagaimana masyarakat kita membuka air sewaktu mahu berwudhu’. Mencurah-curah airnya. Itu adalah pembaziran.

✍🏻Perhatikan hadith di bawah ini bahawa Rasulullah ﷺ sangat menitik beratkan penggunaan air agar tidak digunakan secara melulu dan membazir meskipun air itu digunakan untuk tujuan ibadat.

وعن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما ، أن النبي صلى الله عليه وسلم مر بسعد وهو يتوضأ فقال : ما هذا السرف يا سعد قال : أفي الوضوء سرف ؟ ! قال : ” نعم ! وإن كنت على نهر جار ) رواه أحمد ، وابن ماجه .

Maksudnya:
Abdullah bin Amr bin Al-‘As رضي الله عنهما meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah ﷺ melintasi Sa’ad bin Abu Waqqas رضي الله عنهما yang sedang berwudhu’, lalu baginda ﷺ berkata: Apa pembaziran ini? Lalu Sa’ad رضي الله عنه membalas, “Adakah dikira membazir untuk wudhu’?”. baginda ﷺ bersabda, “Ya, walaupun kamu di sungai yang mengalir”.
(Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

3. Setiap kali berhadas.

Maknanya, sebaik sahaja terbatal wudhu’, terus diambil wudhu’ yang lain.

✍🏻Dari Abu Buraida رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ di pagi hari memanggil Bilal رضي الله عنه lalu berkata,

يَا بِلاَلُ بِمَ سَبَقْتَنِى إِلَى الْجَنَّةِ مَا دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَطُّ إِلاَّ سَمِعْتُ خَشْخَشَتَكَ أَمَامِى دَخَلْتُ الْبَارِحَةَ الْجَنَّةَ فَسَمِعْتُ خَشْخَشَتَكَ أَمَامِى

“Wahai Bilal, kenapa engkau mendahuluiku masuk syurga? Aku tidaklah masuk syurga sama sekali melainkan aku mendengar suara sandalmu di hadapanku. Aku memasuki syurga di malam hari dan aku dengar suara sandalmu di hadapanku.”

✍🏻Bilal رضي الله عنه menjawab,

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَذَّنْتُ قَطُّ إِلاَّ صَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ وَمَا أَصَابَنِى حَدَثٌ قَطُّ إِلاَّ تَوَضَّأْتُ عِنْدَهَا وَرَأَيْتُ أَنَّ لِلَّهِ عَلَىَّ رَكْعَتَيْنِ

“Wahai Rasulullah ﷺ, aku biasa tidak meninggalkan salat dua raka’at sedikit pun. Setiap kali aku berhadas, aku terus berwudhu’ dan aku membebani diriku dengan salat dua raka’at setelah itu.”
(Tirmizi no. 3689 dan Ahmad 5: 354. Al-Hafiz Abu Thahir رحمه الله‎ mengatakan bahawa sanad hadith tersebut hasan)

4. Setelah mengusung jenazah.

Sekiranya terlibat dalam mengusung jenazah, maka dianjurkan untuk berwudhu’ setelah itu.

✍🏻Ia telah disebutkan di dalam beberapa riwayat hadith seperti berikut:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم قَالَ: مَنْ غَسَلَ اْلمـَيِّتَ فَلْيَغْتَسِلْ وَ مَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Barang siapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi dan barang siapa yang mengusungnya maka hendaklah berwudhu.”
(Abu Dawud: 3161, At-Turmudzi no. 993 dan Ahmad no. II/ 280, 433, 454, 472. Berkata Syaikh Al-Albani رحمه الله‎ bahawa hadith ini sahih).

📍Jangan dikaitkan dengan badi mayat pula. Ia tidak ada dalil dan ia adalah kepercayaan khurafat. Kita tidak tahu mengapa Rasulullah ﷺ menganjurkan sunat berwudhu’ selepas mengusung mayat.

Ia tidak wajib, tetapi dianjurkan untuk kita melakukannya.

5. Ketika hendak tidur dalam keadaan junub.

Ini adalah keadaan selepas melakukan hubungan suami isteri. Waktu itu mungkin kepenatan atau kesejukan, jadi tidak perlu untuk terus mandi wajib, cukup dengan wudhu’ sahaja dan tidur.

✍🏻Ada hadith yang menyebutkan sebagai berikut,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَيَرْقُدُ أَحَدُنَا وَهْوَ جُنُبٌ قَالَ « نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرْقُدْ وَهُوَ جُنُبٌ »

Dari Ibnu ‘Umar رضي الله عنه, ia berkata bahawa ‘Umar bin Al Khattab رضي الله عنهما pernah bertanya pada Rasulullah ﷺ, “Apakah salah seorang di antara kami boleh tidur sedang ia dalam keadaan junub?” baginda ﷺ menjawab, “Iya, jika salah seorang di antara kalian junub, hendaklah ia berwudhu’ lalu tidur.”
(Bukhari no. 287 dan Muslim no. 306).

✍🏻Dari ‘Aisyah رضي الله عنها‎, ia berkata,
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ وَهْوَ جُنُبٌ ، غَسَلَ فَرْجَهُ ، وَتَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ

“Rasulullah ﷺ biasa jika dalam keadaan junub dan hendak tidur, beliau mencuci kemaluannya lalu berwudhu’ sebagai mana wudhu’ untuk salat.”
(Bukhari no. 288).

✍🏻Aisyah رضي الله عنها‎ pernah ditanya oleh ‘Abdullah bin Abu Qais رضي الله عنهما mengenai keadaan Rasulullah ﷺ,

كَيْفَ كَانَ يَصْنَعُ فِى الْجَنَابَةِ أَكَانَ يَغْتَسِلُ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ أَمْ يَنَامُ قَبْلَ أَنْ يَغْتَسِلَ قَالَتْ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا اغْتَسَلَ فَنَامَ وَرُبَّمَا تَوَضَّأَ فَنَامَ. قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى جَعَلَ فِى الأَمْرِ سَعَةً.

“Bagaimana Rasulullah ﷺ jika dalam keadaan junub? Apakah baginda ﷺ mandi sebelum tidur atau tidur sebelum mandi?” ‘Aisyah رضي الله عنها‎ menjawab, “Semua itu pernah dilakukan oleh baginda ﷺ. Kadang baginda ﷺ mandi, lalu tidur. Kadang pula beliau wudhu’, barulah tidur.” ‘Abdullah bin Abu Qais رضي الله عنهما berkata, “Segala puji bagi Allah ﷻ yang telah menjadikan segala urusan begitu lapang.”
(Muslim no. 307).

Yang terbaik, tentulah terus mandi tetapi mungkin agak berat bagi sesetengah orang. Maka, dianjurkan untuk mengambil wudhu’.

📍Wudhu’ ini bukanlah wudhu’ yang boleh dibawa untuk salat. Ini untuk membolehkan tidur sahaja dan untuk meringankan junub.

6. Ingin makan dalam keadaan junub.

✍🏻Ini berdasarkan riwayat dari Aisyah رضي الله عنها‎ yang berkata “ketika Rasulullah ﷺ dalam keadaan junub dan baginda ﷺ ingin makan atau tidur, baginda berwudhu’ terlebih dahulu”.
(HR Muslim)

7. Ingin mengulangi persetubuhan.

✍🏻Ada hadith yang disebutkan dalam Sahih Muslim,

عَنْ أَبِى سَعِيدٍ الْخُدْرِىِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ ثُمَّ أَرَادَ أَنْ يَعُودَ فَلْيَتَوَضَّأْ ». زَادَ أَبُو بَكْرٍ فِى حَدِيثِهِ بَيْنَهُمَا وُضُوءًا وَقَالَ ثُمَّ أَرَادَ أَنْ يُعَاوِدَ

Dari Abu Sa’id Al Khudri رضي الله عنه, dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian menyetubuhi isterinya lalu dia ingin mengulanginya, maka hendaklah dia berwudhu’.” Abu Bakr رضي الله عنه dalam hadithnya menambahkan, “Hendaklah menambahkan wudhu’ di antara kedua hubungan intim tersebut.” Lalu ditambahkan, “Jika ia ingin mengulangi hubungan intim.”
(Muslim no. 308).

✍🏻Imam Malik رحمه الله‎ menambahkan lafaz,
فَإِنَّهُ أَنْشَطُ لِلْعَوْدِ

“Berwudhu’ itu lebih membuat semangat ketika ingin mengulangi hubungan intim.”

Syarah:
Ini adalah anjuran dari Rasulullah ﷺ supaya sebelum mengulangi hubungan intim itu, dengan berwudhu’ dapat menyegarkan kembali tubuh badan.

8. Muntah.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa muntah membatalkan wudhu’. Di antaranya adalah:

✍🏻Imam Ahmad dan Abu Hanifah رحمكم الله. Hanya saja Imam Ahmad رحمه الله‎ mensyaratkan agar muntahnya sangat banyak.

✍🏻Sedangkan Imam Syafii رحمه الله‎ berpendapat bahawa muntah tidak membatalkan wudhu’. Inilah pendapat yang benar, kerana tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa muntah membatalkan wudhu’.

✍🏻Akan tetapi kita digalakkan untuk berwudhu’ setelah muntah berdasarkan hadith ini.
Hadith dari Ma’dan bin Abi Thalhah dari Abu Darda’, dia menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah muntah, kemudian berbuka dan berwudhu’. Lalu ku temui Tsauban رضي الله عنه di Masjid Damaskus dan ku ceritakan hal ini kepadanya.
Dia lalu berkata, “Benar. Akulah yang menuangkan air wudhu’ baginda ﷺ .”
(Sanadnya sahih: Sunan At-Tirmizi [I/58 no. 87])

9. Setelah makan makanan yang dimasak dengan api.

Kita dianjurkan untuk berwudhu’ setelah makan terutama makanan yang dimasak dengan api.

✍🏻Berdasarkan hadith Abu Hurairah رضي الله عنه, dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda

تَوَضَّؤُوْا مِمَّا مَسَّتِ النَّارُ.

“Berwudhu’lah kerana memakan makanan yang tersentuh api’.”
(Hadith ini sahih: Mukhtashar Sahih Muslim [no. 147], Sahih Muslim [I/272 no. 352], Sunan An-Nasa-i [I/105])

Walaupun hadith ini sahih tetapi ia tidak menjadi arahan wajib kerana telah dimansukhkan dengan hadith yang lain:

✍🏻Berdasarkan hadith ‘Amr bin Umayyah Adh-Dhamri رضي الله عنه dia berkata, “Aku melihat Rasulullah ﷺ menghiris paha kambing. Baginda ﷺ kemudian makan sebahagian darinya lalu saat panggilan salat tiba, baginda ﷺ berdiri dan meletakkan pisau lantas salat dan tidak berwudhu’.”
(Hadith ini sahih: [Mukhtashar Sahih Muslim no. 148], Sahih Muslim [I/274 no. 355 [93], ini adalah lafaz darinya, Sahih Al-Bukhari [Fathul-Baari] [I/311 no. 208])

📍Maka, pada peringkat awal Islam, setelah makan makanan yang dimasak dengan api, wudhu’ batal dan perlu mengambil wudhu’ semula. Walau bagaimana pun setelah masa berubah, ia tidak jatuh wajib lagi dan hanya menjadi sunat.

10. Sebelum tidur

Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa kita dianjurkan untuk bersuci sebelum tidur di antaranya,

✍🏻Hadith dari Al-Barra’ bin Azib رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ، ثُمَّ قُلْ : اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ ؛ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ ، وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ

“Apabila engkau hendak tidur, berwudhu’lah sebagai mana wudhu’ ketika hendak salat. Kemudian berbaringlah miring ke kanan, dan bacalah

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Ya Allah ﷻ, aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan belakangku kepada-Mu, kerana rasa takut dan penuh harap kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukuman-Mu kecuali kepada-Mu. Ya Allah ﷻ , aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada nabi-Mu yang telah Engkau utus.
Jika kamu mati di malam itu, kamu mati dalam keadaan fitrah. Jadikanlah doa itu, sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidur.”
(Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710)

Dalam hadith lain, Rasulullah ﷺ menyebutkan keutamaan berwudhu’ sebelum tidur. Orang yang berwudhu’ sebelum tidur, akan didoakan malaikat.

✍🏻Dari Abdullah bin Umar رضي الله عنهما, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

مَنْ بَاتَ طَاهِرًا، بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ، فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلَانٍ، فَإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا

“Barang siapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah ﷻ, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.’”
(Ibnu Hibban 3/329. Syuaib Al-Arnauth mengatakan, perawi hadith ini termasuk perawi kitab sahih. Hadith ini juga dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله‎ dalam Sahih At-Targhib Wat-Tarhib I/37)

✍🏻Al-Hafiz Ibnu Hajar رحمه الله‎ menjelaskan beberapa manfaat berwudhu’ sebelum tidur,

وَلَهُ فَوَائِد : مِنْهَا أَنْ يَبِيت عَلَى طَهَارَة لِئَلَّا يَبْغَتهُ الْمَوْت فَيَكُون عَلَى هَيْئَة كَامِلَة , وَيُؤْخَذ مِنْهُ النَّدْب إِلَى الِاسْتِعْدَاد لِلْمَوْتِ بِطَهَارَةِ الْقَلْب لِأَنَّهُ أَوْلَى مِنْ طَهَارَة الْبَدَن .. ، وَيَتَأَكَّد ذَلِكَ فِي حَقّ الْمُحْدِث وَلَا سِيَّمَا الْجُنُب وَهُوَ أَنْشَط لِلْعَوْدِ , وَقَدْ يَكُون مُنَشِّطًا لِلْغُسْلِ ، فَيَبِيت عَلَى طَهَارَة كَامِلَة . وَمِنْهَا أَنْ يَكُون أَصْدَق لِرُؤْيَاهُ وَأَبْعَد مِنْ تَلَعُّب الشَّيْطَان بِهِ

. (Fathul Bari, 11/110)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan