Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Asr – Tafsir Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Asr – Tafsir Ayat Pertama

1416
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Asr

Maksud: Masa

Surah ke: 103 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 13 )

Bilangan ayat: 3

Kategori: Makkiyyah

14 kalimat, 73 huruf.

Kaitan dengan surah sebelum :

Pertama :

Di dalam Takatsur, Allah SWT telah memberitahu bahawa manusia akan ditanya dengan segala nikmat yang mereka telah rasai semasa mereka di dunia; lalu surah ini bermula dengan nikmat yang amat besar iaitu masa.

Kedua :

Begitu juga dalam Surah Takatsur, Allah SWT telah menyebut tentang manusia yang leka dengan dunia.

Maka dalam surah al-Asr ini akan disebut yang kita dilekakan dari memberi peringatan kepada manusia. Itu adalah salah satu dari perkara yang kita leka dan lalai untuk lakukan.

Ketiga :

Di dalam Surah Takatsur, Allah SWT telah menyebut bagaimana manusia leka dan tamak sehingga hendak banyak dan banyak lagi.

Maka dalam surah ini, Allah SWT akan bercakap mengenai “khusr “ iaitu kerugian. Kita telah sebutkan bagaimana kaitan antara empat surah sebelum ini dan sekarang dalam Surah al-Asr ini, ianya seolah-olah sebagai konklusi dari surah-surah itu.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan ia hanya tiga ayat sahaja. Ia salah satu dari surah yang terpendek dalam Al-Quran, tetapi walaupun pendek, ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya.

Dalam surah ini, disebut bagaimana semua manusia dalam kerugian, ‘kecuali’ kalau mereka melakukan empat perkara. Apabila Allah SWT gunakan ‘pengecualian’, itu bermakna bahawa majoriti dari manusia adalah dalam kerugian.

Begitulah pentingnya maklumat dan peringatan yang disampaikan dalam surah ini sampaikan para sahabat sebelum berpisah sesama mereka, mereka akan bacakan surah ini untuk mengingatkan yang lain.

Dari amalan para sahabat itulah yang ramai dari kalangan orang Melayu yang membacakan surah ini apabila mereka selesai dari majlis perjumpaan mereka.

Dari Abu Madinah Ad-Darimi, ia berkata,

كَانَ الرَّجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا الْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا حَتَّى يَقْرَأَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ : ” وَالْعَصْرِ إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ” ، ثُمَّ يُسَلِّمَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ

“Jika dua orang sahabat Nabi SAW itu bertemu, mereka tidaklah berpisah sehingga salah satu di antara keduanya membaca ‘wal ‘ashr innal insana lafii khusr …’ Lalu salah satu dari keduanya mengucapkan salam untuk lainnya.” (HR. Abu Daud)

Sekali lagi ini adalah satu lagi surah yang bermula dengan sumpah. Dan inilah sumpah yang terakhir kita jumpa di permulaan surah, sebelum selesai mengikut turutan 114 surah dalam Al-Quran.

Memberikan kita “gambaran” betapa penting perkara sumpahan ini. Seumpama seseorang yang mempunyai peluang akhir untuk berpesan, nescaya akan digunakan untuk memberi pesanan yang “paling penting”.

Kita juga telah belajar banyak ayat-ayat tentang sumpah. Antara sebab sumpah digunakan dalam Al-Quran adalah:

Pertama :

Menunjukkan ketinggian sesuatu perkara itu. Allah SWT memberi isyarat pentingnya perkara yang dijadikan sebagai objek sumpah itu. Dalam surah ini, ‘masa’ dijadikan sebagai sumpah.

Kedua :

Mengaitkan antara objek sumpah dan subjek sumpah itu. Dalam surah ini, objek sumpah adalah ‘masa’ dan subjek sumpah adalah ‘manusia dalam kerugian’. Manusia dalam kerugian kerana tidak menjaga masa.

Ketiga :

Objek sumpah dijadikan sebagai saksi kepada subjek. Masa berlalu sentiasa dan melihat sahaja bagaimana manusia merugikannya.

Dan apabila masa itu berlalu, sudah tidak boleh diambil semula. Begitulah ruginya kita kerana perkara itu tidak dapat diambil kembali apabila sudah tiada.

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ

Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Tafsir Ayat Pertama

Allah SWT bersumpah dengan masa.

وَالعَصرِ

Demi masa.

Apabila Allah SWT bersumpah dengan masa, ini memberi isyarat:

1 – Allah SWT menyuruh kita berfikir tentang masa yang sentiasa berlalu meninggalkan kita.

2 – Manusia di dalam kerugian (seperti yang disebut dalam ayat 2 nanti), dan dalilnya adalah ‘masa’, kerana masa itu sentiasa bergerak ke hadapan dan manusia tidak dapat mendapatkan kembali masa yang telah berlalu itu. Kalau terlepas, sudah rugi.

Kita ada banyak peluang untuk menggunakan masa untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT tetapi malangnya ramai yang tidak mengambil kesempatan itu.

Benar sabda Nabi SAW, Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Ada dua jenis nikmat yang banyak memperdaya kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu luang.

3 – العَصرِ Boleh bermaksud kehidupan manusia zaman berzaman, dari satu fasa ke satu fasa.

4 – Objek dijadikan sebagai saksi bagi subjek. Oleh itu, Allah SWT mengambil masa sebagai saksi. Iaitu saksi bahawa betullah manusia itu dalam kerugian.

5 – Manusia tidak menghargai masa singkat mereka di dunia ini. Mereka banyak yang mengejar kepentingan keduniaan sampai mereka lupa untuk bersedia untuk akhirat.

Ini kita boleh lihat dalam tafsir Surah at-Takatsur.

Ibarat modal berbalik kepada individu sama ada untung atau rugi.

Selain itu, ada juga tafsiran :

وَالعَصرِ

Bermaksud : Waktu Asar (Untuk menunjukkan keadaan yang singkat)

Sehingga ada yg membuat logik – hidup atas dunia umpama 1 jam 30 min sahaja, iaitu :

63/1000 X 24jam = 1.512 atau bersamaan 1 jam 30min

Dalam dalil yang lain, orang-orang yang “menyesal” tatkala melihat azab Allah SWT juga mengeluh dan menyedari bahawa hidup di atas dunia hanya “seumpama sepagi / petang”

Surah An Nazi’at (79) : 46 ~

كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا

(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

sebab satu hari di sisi Allah SWT = 1000 tahun atas dunia [ Surah Sajadah: 4 ]

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Masa itu ibarat modal. Semua orang di atas dunia ini diberikan masa yang sama. Namun bergantung kepada seseorang itu sama ada mendapat manfaat atau sebaliknya.

Kedua :

Orang Islam yang beriman dengan Al-Quran akan menghargai masa. Ini kerana taqwa seperti mana yang tersebut dalam Al-Quran bukan sekadar perihal ibadah atau tauhid, tetapi merangkumi perkara akhlak antaranya menjaga masa.

Ketiga :

Sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara, dan akan berlalu pantas. Oleh itu bersedialah kita menyediakan diri sebelum terlepas dari masa peruntukan yang telah disediakan.

Agaknya ini lah kebijaksanaan Allah SWT dalam menyusun hikmah dari A- Quran, meletakkan sumpahan “masa” yang terakhir.

Apabila manusia mendapat modal dari bank untuk berniaga, mereka akan berhati-hati untuk pastikan modal membawa kepada keuntungan bukan kerugian. Namun, apabila Allah SWT beri modal iaitu masa untuk diniagakan dengan Allah SWT dengan berbagai tawaran, manusia acap kali leka.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan