Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Takatsur – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

Tafsir Surah At-Takatsur – Tafsir Ayat Ke-7 dan Ke-8

1086
0
Iklan

Tafsir Surah At-Takatsur

Perbincangan yang lalu, kita telah membincangkan mengenai :

  1. Peringkat keyakinan manusia ( Ilmu, Ainul, Haqqul Yakin ).
  2. Kedahsyatan neraka Jahanam, saranan untuk menjauhinya.

Maka kita bersambung lagi kepada peringatan Allah yang seterusnya :

Tafsir Ayat Ke-7:

ثُمَّ لَتَرَوُنَّها عَينَ اليَقينِ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.

ثُمَّ

Selalunya diterjemahkan dengan maksud : “selepas itu / kemudian”

TETAPI dalam ayat ini, ia membawa maksud : ‘’lebih-lebih lagi / apatah lagi”

Boleh difahami maksud firman Allah SWT di sini ialah : Mereka yang melihat neraka itu dengan mata sendiri, akan lebih yakin lagi.

Ini adalah kerana ia peringkat :

عَينَ اليَقينِ

Maka keseluruhan konteks ayat, dapat kita fahami maksud firman Allah SWT pada ayat ini:

Pertama :

Jika kamu ingin beriman setelah hanya melihat neraka, maka kamu pasti akan melihatnya ( di akhirat nanti ).

– Ini kerana orang-orang kafir sering beralasan ditunjukkan terlebih dahulu perihal azab dan kiamat sebagai syarat untuk beriman

Namun hakikatnya, itu hanya alasan semata. Sesuai dengan pelajaran sebelum ini :

Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. Rujuk surah [ Al-Bayyinah (98):1 ].

Kedua :

Perlu diingati, saat melihat neraka itu bermakna itu adalah saat kamu akan masuk ke dalamnya! Dan waktu itu sudah terlambat untuk berbuat apa-apa.

Ketiga :

Ayat ini juga memberikan menunjukkan betapa janji Allah SWT kepada orang kafir adalah benar, kerana sering kali mereka meminta “ditunjukkan” azab dan lainnya sebagai syarat untuk beriman.

Keempat :

Inilah antara “Ainul Yakin” perkara ghaib yang Allah SWT “simpan”. Hanya akan berlaku selepas kiamat nanti.

Apakah hikmah Allah SWT “simpan” Ainul Yakin ini?

1. Allah SWT memberi peluang agar orang beriman terselamat dari kecelakaan besar. Ini kerana umat terdahulu pernah dilihatkan perihal Ainul Yakin, tetapi tetap tidak beriman juga;

2. Allah SWT mahu kita beriman dengan sempurna, tidak semata apa yang dilihat; dan

3. Keupayaan manusia tidak setanding dengan apa yang ingin diperlihatkan.

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَٰكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu”. Allah SWT berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan-ku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku). [Al-A’raf: 143].

Bagaimanakah kita boleh semak pada diri sendiri, jika kita memiliki ciri ingin melihat dahulu kemudian baru beriman?

Semaklah dengan amal perbuatan kita, tidak boleh tunggu. Oleh sebab itu selalu datang ayat berpasangan, “iman dan amal soleh”.

Juga maksud iman:

– Ikrar dengan lisan

– Benarkan dengan hati

– Amal dengan anggota

Semak dengan amal perbuatan ini adalah proses yang berterusan, kena ‘update’ and upgrade’ ilmu sentiasa kerana iman juga ada tarikh luputnya.

Contoh:

a) Pandainya anak tersebut, baru umur 3 tahun sudah pandai baca surah Al-Fatihah

selepas 10 tahun…:

b) Eh, takkan lah umur dah bertambah tetapi hanya pandai surah Al-Fatihah?

Kita pun begitu lah, sebab itu proses belajar untuk menjadi hamba Allah SWT melalui Al-Quran, tidak akan pernah tamat.

Peringatan seterusnya dari Allah SWT, seolah-olah merangkumi tema dari surah ini :

Tafsir Ayat Ke-8 :

ثُمَّ لَتُسأَلُنَّ يَومَئِذٍ عَنِ النَّعيمِ

Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan

Sekadar ulangan, mengenai taukid (penekanan) yang kita telah bincangkan sebelum ini :

  1. Huruf ل dalam لَتُسأَلُنَّ adalah satu penekanan.
  2. Huruf ن dalam لَتُسأَلُنَّ juga adalah satu penekanan.
  3. Ditambah dengan satu lagi ن, (sabdu / syaddah) juga adalah satu penekanan.

Oleh itu, terdapat tiga kali penekanan dalam ayat ini sebagai penguat. Kita pasti, pasti, pasti akan ditanya oleh Allah SWT! Suatu amaran dari Allah SWT.

قالَ رسولُ اللهِ صلى اللهُ عليهِ وسلمَ: “لا تزولُ قَدَمَا عَبْدٍ يومَ القيامةِ حتى يُسألَ عنْ أربع ٍ عنْ عُمُرِهِ فيما أفناهُ وعنْ جسدِه فيما أبْلاهُ وعنْ مالهِ مِنْ أيْنَ أخذهُ وفيما أنْفَقَهُ وعنْ عِلمِهِ ماذا عَمِلَ بهِ”.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

(Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan ALLAH SWT sehingga disoal tentang )

– Tentang umurnya,

– Waktu mudanya

– Hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya,

– dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya

HR Ibnu Hibban & Tarmizi.

Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ”

Ada dua jenis nikmat yang banyak memperdaya kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu luang.

**Maksud sini, ramai manusia yang terleka dari manfaatkan dua nikmat ini

Apa lagi yang layak saya terangkan mengenai ayat ini, berbanding banyak hadis Nabi SAW yang memberi peringatan berkaitan nikmat yang kita peroleh. Terkesima sebentar, betapa banyaknya nikmat yang saya ada, hatta yang ada pada tubuh pun tidak terhitung risau saat berdiri di hadapan Allah SWT dalam Hadis tadi.

Maka, segerakanlah 4 perkara seperti yang dijelaskan dalam surah ini agar kita tidak berada dalam kerugian. Ibarat kita terlebih ‘excited’ mengejar nikmat dunia sedang takutnya nikmat itu menjadi fitnah pada kita di akhirat nanti. Kemudian baru kita cemburu, “betapa si buta tidak ditanya dengan nikmat penglihatan”.

– jadilah hamba yang bersyukur: kemudian Allah SWT tambah nikmat (bila Allah SWT yang tambah, ia suatu yang baik, Insya Allah).

– jadilah hamba yang bertaqwa: kemudian Allah SWT buka jalan bagi masalah / serta rezeki yang tidak disangka-sangka.

Bersyukur dan taqwa adalah sifat orang yang beriman yang mendapat nikmat, hatinya tetap fokus pada Allah SWT. Kita hanya ingin bersenang lenang dengan nikmat dunia yang terhasil dari taqwa bukan perkara yang haram atau nikmat yang didapati di samping kelalaian kepada Allah SWT.

وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومُ مُسَخَّرَاتٌ بِأَمْرِهِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah SWT) bagi kaum yang mahu memahaminya. [An Nahl ( 16 ) : 12].

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama : Jangan banyak beralasan dengan Allah SWT!

Maha Adil dan Penyayang Allah SWT yang telah memberikan banyak petunjuk untuk menjadi orang beriman, sejak dari atas dunia.

Hanya manusia yang beralasan untuk menunggu lebih dan lebih lagi sebelum menjadi orang beriman. Ini penyakit menunggu Ainul Yakin yang tidak kesudahan sama ada dalam perihal dunia atau akhirat.

Contohnya :

a) Berlumba-lumba untuk mengejar harta, sehingga berharap kaya (Ainul Yakin dengan melihat harta kemudian barulah dikatakan ingin bersedekah).

b) Menanti saat mahu melihat azab terlebih dahulu, iaitu Ainul Yakin dengan melihat api neraka, baru hendak beriman.

(Allah SWT tunjuk Tragedi Tahfiz sejak atas dunia, ramai yang bersedih. Namun tetap alpa / leka juga. Sampai ke sudah kasihan tidak habis, tetapi Al-Quran tidak buka juga).

Benar kata Allah SWT dari ayat pertama..”kamu telah dilalaikan..”

– Lalai dari matlamat hidup sebenar.

– Lalai kerana sibuk layan emosi.

– Lalai ambil pengajaran, tetapi masih NATO ( No Action, Talk Only ).

Kedua : Dunia adalah sementara

Kita dapat melihat ayat Allah SWT dalam memberi peringatan kepada manusia : Bermula dari penjelasan perihal manusia lalai, kemudian kesemua ayat yang lain membawa manusia agar menginsafi akan “tempat pulang mereka” nanti.

Nilai yang hendak ditunjukkan Allah SWT, iaitu sedikit sangat kisah dunia yang terus di runsingkan ini, berbanding kerisauan akhirat yang manusia lupa.

Oleh itu berpadalah kita dalam memberi keutamaan kepada dunia. Bersegeralah untuk uruskan dunia sebaik mungkin agar dapat dijadikan bekal ke akhirat nanti.

Ketiga : Jangan lalai atau bermain-main dengan nikmat.

Orang yang beriman perlu sedar, setiap perkara yang dilakukan pasti akan ditanya semula oleh Allah SWT.

Oleh itu, pastikan kita tidak menjadi orang yang gagal dalam menguruskan nikmat Allah SWT.

– Jika nikmat dapat kerja, buat yang terbaik.

– Jika nikmat dapat belajar, bersungguh-sungguh.

– Jika nikmat dapat anak, jaga elok dengan iman.

Dan lain-lain lagi contoh yang ada atas dunia ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan