Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

631
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-4

Ini adalah dua lagi kualiti Al-Quran dan ayat ini juga mengandungi zajrun bagi mereka yang tidak mahu belajar tafsir.

بَشيرًا وَنَذيرًا فَأَعرَضَ أَكثَرُهُم فَهُم لا يَسمَعونَ

“Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak mahu mendengar.”

بَشِيرًا

Membawa berita gembira.

Dalam Al-Quran itu adalah berita gembira. Iaitu kisah-kisah yang menggembirakan, seperti berita bahawa orang yang soleh boleh masuk syurga, boleh jumpa Tuhan dan sebagainya lagi. Ini memberi motivasi kepada manusia.

Di dunia lagi kita sudah boleh periksa diri kita sama ada amalan dan tindak tanduk kita sama dengan Al-Quran atau tidak. Sebab itulah Nabi Muhammad SAW boleh kata Abu Bakr akan masuk syurga kerana perbuatan beliau itu sama sahaja seperti yang disuruh dalam Al-Quran.

وَنَذِيرًا

dan ada ancaman

Ancaman itu bagi yang ingkar pula. Iaitu kehinaan semasa hidup di muka bumi dan akhirnya, bila mati nanti akan diazab di akhirat dengan lebih teruk lagi.

Jadi, dalam Al-Quran itu ada berita baik dan ada ancaman. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang tergolong dalam dua kategori ini. Berulang-ulang kali diingatkan kepada manusia kerana manusia itu perlu selalu diberi ingat. Selalu kita terlupa dalam kesibukan kita di dunia ini. Sebab itulah kita disuruh selalu membaca Al-Quran – supaya kita mendapat peringatan dalam dua perkara ini.

Oleh itu, Al-Quran ini mempunyai dua sifat – memberi berita gembira dan juga memberi ancaman. Dua kualiti ini juga disebut tentang Nabi Muhammad SAW kerana Nabi juga memberi berita gembira dan memberi ancaman kepada manusia.

Allah sebut beri berita gembira dulu sebelum beri ancaman.

فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ

tapi, kebanyakan mereka masih juga berpaling.

Orang kafir Quraish tidak juga mahu menerima berita gembira dan ancaman yang diberikan dalam Al-Quran. Mereka tolak mentah-mentah. Walaupun mereka tahu itu adalah kebenaran. Mereka sendiri terpesona dengan kehebatan dan keindahan Al-Quran. Namun, kerana sombong, mereka berpaling juga.

Ayat ini jangan kita sangka untuk orang-orang kafir Mekah sahaja. Dalam masyarakat kita sekarang pun amat ramai yang berpaling dari Al-Quran. Mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Quran dan tidak mahu ikut Al-Quran.

Bayangkan kesombongan masyarakat kita yang tidak mahu belajar Al-Quran yang mulia ini. Jibrail telah ajar ayat-ayat Al-Quran kepada Nabi SAW dan Nabi SAW pula ajar kepada sahabat dan dari sahabat sampai kepada kita. Tetapi kita simpan sahaja Al-Quran itu. Kebanyakan dari kita cuai untuk belajar. Tuhan panggil mereka yang seperti ini ‘sombong’. Telah ada dengan kita, tetapi kita simpan sahaja tidak mahu belajar. Amatlah rugi sekali mereka itu.

فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Maka mereka tidak mahu mendengar.

Mereka tidak suka mendengar ajaran dari Al-Quran. Oleh kerana itu, mereka jadi kufur. Asalnya kerana tidak mahu dengar sahaja. Mereka akan menyesal nanti di akhirat nanti seperti yang disebut dalam surah [Al-Mulk: 10 ]. Mereka menyesal kerana tidak mahu mendengar ajaran dalam wahyu.

Oleh itu, belajar untuk mendengar adalah amat penting sekali kerana jika tidak dengar, kita akan menyesal nanti. Awal permulaan kepada mendapat kebenaran adalah kesanggupan untuk mendengar dahulu tafsir Al-Quran. Malangnya, ramai yang tidak mahu mendengar.

Selepas mendengar, kenalah pula ikut. Belum tentu lagi yang mendengar itu akan ikut, ada juga yang setelah mendengar, mereka degil untuk ikut. Ini kena minta taufik dari Allah supaya diberi kekuatan kepada kita untuk menerapkan apa yang kita telah belajar dalam kehidupan seharian. Jika Allah tidak beri taufik, kita memang tidak boleh hendak amalkan. Atau, kita boleh amal, tetapi tidak istiqamah.

Kita semua diberi akal oleh Allah untuk menilai. Jadi kita tidak boleh terus terima sahaja. Kita tanggungjawab untuk menilai sama ada yang disampaikan itu benar atau tidak.

Jika terdapat sebarang khilaf pendapat di antara semasa ulama’, pilih pendapat yang rapat dengan nas. Sebab itu ulama’ kena beri dalil mereka. Maka, kita pilih mana yang lebih rapat dengan dalil tersebut.

Tafsir Ayat Ke-5

Ini adalah ayat Syikayah – rungutan Allah SWT. Allah SWT menceritakan apakah alasan orang yang tidak beriman apabila kita berdakwah kepada mereka.

وَقالوا قُلوبُنا في أَكِنَّةٍ مِمّا تَدعونا إِلَيهِ وَفي آذانِنا وَقرٌ وَمِن بَينِنا وَبَينِكَ حِجابٌ فَاعمَل إِنَّنا عامِلونَ

“Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! ”

وَقَالُوا

Mereka berkata,

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Musyrikin Mekah masa itu dan orang-orang musyrik sekarang. Ini adalah kalangan mereka yang sanggup menjawab, kurang ajar dengan Nabi. Mereka tergamak berkata begini depan Nabi. Sedangkan, ramai juga yang menolak tetapi mereka tidak berkata apa-apa.

قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ

Hati kami dalam tutupan

Setelah berkali-kali Nabi mengajak mereka kepada Islam, hati mereka masih lagi tertutup. Begitu juga ramai dari kalangan kita macam itu juga. Ada yang tolak berdepan dengan kita, dan ada yang depan kita senyap, tetapi belakang kita menolak apa yang kita beritahu kepada mereka tentang maksud-maksud Al-Quran. Begitulah sifat manusia.

Kenapa mereka kata begitu? Kerana mereka rasa diri mereka sudah cukup. Begitulah ramai dari kalangan masyarakat kita yang rasa sudah mengamalkan Islam, mereka solat, puasa dan infak. Oleh kerana itu, mereka tidak ada usaha hendak periksa diri mereka dengan Al-Quran.

مِمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ

daripada mendengar ajakan kamu;

Mereka menolak ajakan kepada tauhid dan mengesakan Allah. Lafaz مِمَّا dalam ayat ini adalah ‘ajakan tauhid’. Mereka sendiri mengaku mereka tidak mampu hendak dengar. Mereka tidak boleh hendak terima. Maka, ini jenis yang tolak berdepan. Selalunya ramai yang tolak dalam hati sahaja.

وَفِي آذَانِنَا وَقْرٌ

Dan pada telinga kami ada sumbatan.

Ada dua makna dari ayat ini:

1. Mereka pilih untuk tidak dengar apa yang disampaikan oleh pendakwah.

2. Hati mereka sudah penuh dengan ilmu lain, sampai tidak boleh hendak masuk lagi ajaran baru ini. Mereka rasa diri mereka sudah cukup ilmu sampai tidak perlu dengar. Oleh itu, ayat ini bukan maksudnya mereka tidak mampu dengar, tetapi mereka rasa mereka tidak perlu dengar.

وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ

Dan di antara kami dan kamu ada hijab.

Iaitu hijab maknawi. Hijab tidak nampak, tetapi ia ada. Mereka telah di hijab terus, sampai tidak boleh nampak. Kita cakap macam mana pun, mereka tidak dapat terima.

فَاعْمَلْ

Maka kau buatlah amalan kamu,

Mereka yang tolak tauhid itu berkata: kamu amallah ikut ajaran yang kamu kata Tuhan ajar itu. Iaitu amalan-amalan kamu yang kamu kata ikut sunnah itu. Mereka tidak mahu ikut.

إِنَّنَا عَامِلُونَ

Kami pula akan beramal

Iaitu mereka hendak beramal dengan cara tok nenek mereka ajar.

Ayat ini adalah ayat ingkar. Apa yang diajar kepada mereka, mereka tidak mahu terima. Mereka kata: “Takkan tok nenek kami semua nak masuk neraka?” Ini adalah alasan ikut akal. Iaitu dalil mengikut hawa nafsu.

Sepatutnya kena bagi dalil dari Al-Quran dan Hadis. Maka siapa yang cakap macam ini adalah sama macam percakapan kaum Musyrikin Mekah kerana jawapan itu adalah jawapan musyrikin Mekah. Mereka tolak hujah Al-Quran dan Hadis yang kita bawa. Kalau tolak, bermakna mereka degil dan telah ingkar. Mereka hanya mahu mengikut jejak langkah tok nenek mereka sahaja.

Mereka ikut sahaja amalan yang telah diajar oleh orang dulu-dulu, ustaz-ustaz mereka, guru-guru mereka, tanpa usul periksa. Mereka tidak berani minta dalil dari guru mereka kerana mereka telah diajar, kalau minta dalil, itu tanda lemah iman. Dengan kata-kata itu sahaja, telah menutup mulut mereka dari bertanya. Maka, masyarakat kita terus jadi bodoh dan tidak berfikir. Hanya terima bulat-bulat cerita-cerita dan ajaran-ajaran salah dari guru dan ustaz mereka.

Selalu kita dengar hujah sebegini. Selepas diberikan hujah-hujah kita dari Al-Quran dan hadis yang sahih, mereka masih lagi tolak. Akhirnya mereka akan kata, “engkau beramallah cara engkau dan guru engkau, kami nak amal seperti cara guru kami ajar, sebab kami yakin dengan apa yang guru kami sampaikan”.

Belajar Al-Quran itu kena belajar tafsir Al-Quran. Begitu juga dengan hadis, kena dengar syarahnya. bukannya baca dan faham sendiri.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan