Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Pengenalan

Tafsir Surah Fussilat – Pengenalan

3044
1
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Pengenalan

Tauhid dalam berdoa dijelaskan dalam tujuh surah dan kesemua tujuh surah itu dimulakan dengan ayat Muqatta’ah ‘haa mim‘.

Surah-surah itu menunjukkan apakah kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita. Apa yang masyarakat kita buat sekarang sebenarnya dalam hal berdoa banyak yang bertentangan dengan Al-Quran.

Diharap minda dan iman anda dapat menilai semula apakah yang dilakukan dalam masyarakat kita. Jangan kerana kita sudah biasa buat sesuatu perkara itu, kita rasa ia adalah benar belaka. Kita kena nilai perbuatan amalan kita itu dengan Al-Quran dan juga hadis yang sahih.

Dalam surah Ghafir, kita telah belajar Dakwa dalam surah itu untuk seru hanya Allah SWT sahaja dalam berdoa. Terutama dalam perkara yang luar asbab. Boleh jadi kufur atau dosa besar kalau kita minta dan seru kepada selain Allah SWT. Contoh perkara luar asbab adalah seperti permintaan dijauhkan dari bala iaitu perkara-perkara yang tidak boleh diselesaikan oleh selain dari Allah SWT kerana hanya Allah SWT sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari bala.

Kalau kita minta tolong kepada makhluk dalam perkara dalam asbab, masih boleh lagi, tetapi tidak boleh bergantung harap sangat. Contohnya, kita minta tolong seorang doktor berikan rawatan kepada kita. Maka, kita memang tidak boleh berharap sangat kepada doktor itu kerana dia boleh usaha sahaja, tetapi yang menyembuhkan adalah Allah SWT.

Kalau kita hanya bergantung kepada doktor, itu akan melemahkan keimanan kepada Allah SWT.

Begitu juga dalam perkara-perkara yang lain. Walaupun kita minta tolong kepada orang lain, kita masih kena letak pengharapan kepada Allah SWT.

Sebab itu dalam perbuatan kita, Nabi SAW ajar doa dan zikir kepada Allah SWT. Supaya kita sentiasa ingat untuk bergantung kepada Allah SWT. Kita tidak tolak asbab sebab kita hanyalah manusia. Namun, dalam melakukan perkara-perkara yang biasa, kita diajar doa dan zikir kepada Allah SWT.

Sebagai contoh, masa hendak makan kita diajar baca Basmalah. Ini adalah untuk mengingatkan bahawa Allah SWT yang beri rezeki itu kepada kita. Lepas makan pun Nabi SAW ajar doa makan supaya tidak rosak akidah kita. Jangan kata makanan itu yang mengenyangkan atau kita dapat sendiri makanan itu. Kembalikan semuanya kepada Allah SWT.

Surah ini dinamakan ‘Hamim Fussilat’ atau ‘Hamim Sajdah’. Kerana ada ayat sajdah di dalam surah ini. Nama-nama surah diberikan kerana terdapat perkara-perkara utama di dalamnya. Sebab itu kadang-kadang satu-satu surah itu ada lebih dari satu nama.

Kalimah Fussilat diambil dari kata dasar fasila yang bermaksud menjelaskan sesuatu perkara itu dengan terperinci secara mengkategorikannya satu persatu. Apabila kita baca surah ini, kita akan lihat bagaimana Allah SWT akan kategorikan mana yang iman dan mana yang kufur serta dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.

Surah ini turun di Mekah. Semua surah Hamim Tujuh ini turun di Mekah. Seperti yang kita tahu, surah-surah yang diturunkan di Mekah mengandungi kandungan dakwah tauhid yang banyak.

Kesemua surah yang dimulakan dengan Ha-Mim ini menceritakan tentang kepentingan Al-Quran. Selepas sahaja disebut huruf Ha-Mim itu, terus disebut tentang Al-Quran. Ini adalah kerana Al-Quran menekankan bahawa dakwah perlu dilakukan dengan menggunakan Al-Quran.

Kesemua surah ha-mim ini juga menyebut tentang Nabi SAW Musa a.s. dan usaha dakwahnya. Kalau kita ikut logik kita, sepatutnya kisah Nabi SAW Musa a.s diletakkan dalam surah-surah Madinah kerana di Madinah lah baru orang Islam banyak berjumpa dengan orang Yahudi. Tetapi kenapa ada kisah Nabi Musa a.s dalam surah-surah Makkiyah?

Ini adalah kerana surah-surah ini hendak memberikan kekuatan kepada Nabi SAW dan kepada sahabat yang waktu itu amat sikit. Mereka sedang ditindas orang kafir dan kehidupan mereka amat susah sekali. Mereka telah mula rasa putus asa dan mereka rasa amat susah sangat memegang ajaran tauhid.

Oleh itu, Allah SWT hendak memberitahu mereka bahawa bukan mereka sahaja yang mengalami masalah itu. Umat Nabi Musa a.s pun melalui perkara yang sama juga. Zaman dulu pun ada Nabi SAW dan ada pengikut-pengikut mereka dan juga penentang-penentang mereka.

Semasa surah ini diturunkan, gangguan kepada orang Islam telah meninggi sekali. Mereka juga sampai sudah mula hendak beri rasuah kepada Nabi SAW.

Yang dihantar kepada Nabi SAW untuk menyampaikannya adalah Utbah ibn Rabiah. Beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati di Mekah. Dia pun mula berjumpa dengan Nabi SAW dan mula marah-marah kepada Nabi SAW. Dia kata Nabi SAW telah memecah-belah kan umat Arab antara suami isteri, ayah dan anak dan sebagainya. Dia kata, kalau Nabi SAW hendak perempuan, dia boleh berikan siapa sahaja Nabi SAW hendak; kalau Nabi SAW hendak harta, mereka boleh beri; jika Nabi SAW hendak kedudukan, mereka boleh angkat baginda jadi Raja Tanah Arab; apa sahaja yang Nabi SAW hendak, mereka boleh berikan. Asalkan baginda berhenti dari berdakwah dengan agamanya.

Nabi Muhammad SAW biarkan sahaja Utbah mengomel. Kemudian, Nabi SAW terus membaca surah Fussilat ini sampai ke ayat ke 26. Apabila sampai kepada ayat itu, Utbah tutup mulut Nabi SAW dengan tangannya kerana dia tidak sanggup lagi dengar ayat-ayat Al-Quran itu.

Bandingkan juga dengan tuduhan yang diberikan kepada kita untuk menegakkan amalan sunnah ini. Ada yang kata kita memecah-belah kan masyarakat bukan?

Jadi surah ini mengajar tentang dakwah juga. Surah ini juga menekankan kepentingan para sahabat bersatu padu. Ini amat penting kerana pada waktu itu mereka amat sedikit.

Dan surah ini menekankan bahawa dakwah itu perlu dilakukan dengan menggunakan Al-Quran. Kita kena belajar tafsir Al-Quran dan selepas itu, hendaklah kita sampaikan tafsir Al-Quran kepada manusia yang lain.

Malangnya, dalam banyak usaha dakwah kepada masyarakat, penggunaan Al-Quran tidak ditekankan. Mereka ramai yang guna muzik, guna kisah-kisah, guna perkara-perkara lain, tetapi Al-Quran tidak digunakan secara utama. Itu adalah salah kerana kita kena ingat bahawa Nabi SAW berdakwah menggunakan Al-Quran. Lain-lain sebagai tambahan sahaja.

Kalau kita tidak mampu hendak menyampaikan tafsir itu, hendaklah kita mengajak mereka untuk belajar tafsir Al-Quran di kelas-kelas yang ada.

Surah Ghafir sebut doa hanya kepada Allah SWT sahaja. Tetapi ada KEKELIRUAN tentang perkara ini. Ada 6 kekeliruan semuanya sebab itu ada 7 surah-surah ha mim (1 Ghafir dan campur lagi 6 surah)

Kekeliruan yang hendak diceritakan dalam surah ini adalah mereka yang melakukan perbuatan itu kata, mereka dapat amalan itu daripada atau guru-guru mereka dan dengan perbuatan seru itu, mereka dapat juga apa yang mereka hendak, Allah SWT makbulkan juga. Walaupun mereka minta tolong kepada penunggu pun dapat juga. Mereka kata: “Takkan salah sebab kalau salah cara itu, takkan Allah SWT makbulkan”.

Allah SWT hendak beritahu bahawa dalam surah ini yang dapat atau ‘menjadi’nya sesuatu perkara itu bukan dalil kepada benarnya perbuatan itu.

Contohnya, kita biasa lihat perayaan Thaipusam. Mereka boleh jalan kaki 2, 3 batu di tengah jalan tanpa pakai kasut. Sambil itu mereka menari-nari. Macam-macam mereka buat di badan mereka. Sangkut limaulah, cucuk lidahlah dan sebagainya. Mereka tidak rasa sakit pun.

Mereka boleh buat perkara yang menakjubkan itu sebenarnya kerana mereka telah dimasuki jin. Mereka tikam tubuh mereka sana dan sini dengan bawa Kavadi sambil berkaki ayam.

Telah ‘menjadi’ apa yang mereka buat itu. Adakah ‘menjadi’ itu tanda betul perbuatan mereka itu? Tentu tidak, kerana mereka agama Hindu dan kita pun tahu yang agama Hindu adalah agama yang syirik.

Jadi, kalau hal berdoa dengan cara yang syirik dalam masyarakat kita, kenapa kita terima dan kata ia benar kerana apa yang dilakukan oleh mereka itu ‘menjadi’?

Allah SWT membenarkan perbuatan mereka itu berjaya, walaupun ianya dari akidah yang salah kerana semua kejadian adalah atas keizinan Allah SWT juga. Allah SWT benarkan mereka kufur kalau mereka mahu kufur. Ini ada diceritakan dalam Ayat ke 25 surah ini nanti. Allah SWT berikan syaitan sebagai teman rapat dan Allah SWT bagi mereka rasa ‘betul’ perbuatan mereka. Mereka nampak bahawa benarlah apa yang mereka buat itu. Oleh kerana perbuatan mereka itu, telah ditetapkan atas mereka keputusan azab berserta umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka. Syaitan yang bersama mereka itu dinamakan Al-Quranaa’. Al-Quranaa’ itu adalah teman rapat yang terdiri dari jin dan guru-guru yang mengajar ajaran salah.

Tidaklah ‘menjadi’ amalan seruan mereka itu sebagai tanda yang amalan yang mereka buat itu benar. Bukanlah itu menjadi tanda yang Allah SWT suka dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah silap faham manusia yang amat besar. Mereka dapat apa yang mereka kehendaki tanpa ada masalah. Namun, tidaklah bermakna Allah SWT redha. Macam duit rompak, elok sahaja pakai duit itu. Ada yang tolong orang susah dengan duit rompak itu pun. Tetapi kena ingat, yang haram tetap haram. Segala yang nampak menjadi itu, adalah ujian dari Allah SWT sahaja, untuk melihat sama ada manusia hendak pegang dengan sebab amalan mereka ‘menjadi’, atau mereka hendak pakai wahyu yang jelas melarang perbuatan mereka itu.

Gula yang dibeli dengan duit haram tetap juga manis rasanya. Tidaklah pula gula yang dibeli dengan duit haram bertukar rasa jadi masam.

Allahu a’lam.

1 KOMEN

Leave a Reply to Mohamad faridCancel reply