Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-51

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-49 hingga Ke-51

1443
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-49

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَاب

“Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahanam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”.

وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ

“Dan berkata orang-orang dalam neraka itu”.

Selepas pemimpin pun kata mereka tidak ada jalan untuk mengeluarkan mereka dari neraka itu, maka mereka telah berpakat untuk sama-sama pergi jumpa Malaikat Penjaga Neraka. Sekarang mereka hendak jumpa ‘warden penjara’ lah pula. Pemimpin dan yang mengikut sama-sama pergi berjumpa.

Sebenarnya hendak minta jumpa malaikat itu pun seribu tahun minta hendak cakap baru malaikat itu boleh bercakap dengan mereka.

لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ

“Kepada penjaga neraka”.

Ini adalah apabila buat rayuan kepada tok guru, dia tidak boleh buat apa, maka mereka pergi merayu kepada malaikat penjaga neraka. Bayangkan kalau kita duduk dalam jel, hendak minta tolong dengan siapa? Dengan wardenlah kerana mereka yang menjaga jel itu. Di neraka nanti, penjaga neraka adalah malaikat yang duduk di dalam neraka.

ادْعُوا رَبَّكُمْ

“Tolonglah doa kepada tuhan kamu”.

Mereka minta malaikat itu yang mintakan bagi pihak mereka sebab mereka sendiri sudah tidak boleh berdoa. Mereka tahu yang doa mereka tidak laku.

Apakah permintaan mereka itu?

يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ

“Untuk ringankan untuk kami, satu hari sahaja dari azab ini”.

Ada banyak dalam ayat lain, penghuni neraka minta dipulangkan semula ke dunia kerana mereka hendak melakukan amal kebaikan.

Tetapi dalam ayat ini, mereka minta untuk diringankan azab untuk ‘sehari’ sahaja, kerana mereka tahu yang mereka tidak akan dapat keluar. Kalau dapat kurang sehari sahaja pun, bolehlah.

Bayangkan, adakah kita sanggup jadi begini nanti?

Jadi bab syirik ini adalah amat berat sekali. Kalau ada yang beri peringatan, tolong dengarlah. Kalau ada elemen syirik, tinggalkanlah terus, jangan berani hendak buat dengan anggapan tiada syirik, kerana jika ia benar syirik, bagaimana?

Tafsir Ayat Ke-50

Dalam ayat sebelum ini, penghuni neraka telah datang untuk berjumpa dengan Penjaga Neraka dan memohon kepadanya untuk meringankan azab sedikit.

قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

“Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.

قَالُوا

“Malaikat berkata”:

Ini adalah jawapan dari Malaikat Penjaga Neraka itu. Lama sangat merayu-rayu, malaikat tu toleh jugalah tanya nak apa?

أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنَاتِ

“Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul kamu bawa bukti?”

Tidakkah ada rasul yang menyampaikan ajaran tauhid kepada kamu semasa kamu hidup di dunia dulu?

Atau kerana kita sekarang sudah tidak ada rasul, ia merujuk kepada guru atau pendakwah yang datang membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada manusia dulu semasa mereka hidup di dunia. Ada tidak? Tidak adakah yang memberi peringatan kepada kamu, sampai kamu masuk ke dalam neraka ini? Tidak adakah guru yang ajar kamu tentang neraka, tentang dosa, tentang syirik dan lain-lain lagi?

Apakah ‘bukti’ yang dimaksudkan? Tentulah bukti dari Al-Quran dan juga hadis yang sahih. Kalau ada yang datang bawa Al-Quran, maka tolonglah dengar dulu.

قَالُوا بَلَىٰ

“Mereka menjawab: “Ya, telah datang”.

Mereka kata “ada”.

Namun, mereka tidak boleh menipu. Mereka kata ada, tetapi mereka tidak dengar dan tidak ikut. Macam kita zaman sekarang, tentu pernah setiap orang diajak untuk mengamalkan tauhid. Tentu ada yang ajar tafsir Al-Quran. Memang ada tetapi sama ada kita perasan atau tidak, mahu terima atau tidak sahaja.

قَالُوا فَادْعُوا

Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka kamu berdoalah sendiri.

Malaikat kata: “kamu doalah sendiri”, kami kerja bukan untuk berdoa bagi kamu. Tugas kami adalah untuk azab kamu. Malaikat pun suruh mereka doa sendiri kerana kalau mereka telah didatangi pendakwah, tentu mereka tahu yang doa kena terus kepada Allah.

Adakah makbul doa mereka? Kerana mungkin ada yang baca ini dan sangka: “Eh ini malaikat yang suruh doa ni, mungkin bolehlah doa waktu itu lagi, mungkin dimakbulkanlah kot… ini malaikat yang bagi cadangan ini. Maka Tuhan perjelaskan supaya tidak ada kekeliruan pula:

وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

“Dan tidaklah doa orang kafir dalam neraka itu melainkan sia-sia sahaja.”

Memang mereka ada doa terus kepada Allah tetapi tidak lagi diterima. Sia-sia sahaja.

Inilah adalah Idkhal Ilahi (pencelahan Tuhan). Mungkin ada yang tertanya-tanya, oleh kerana malaikat itu sendiri yang suruh doa sendiri, adakah doa mereka akan diterima? Allah jawab, tidak sama sekali. Sia-sia sahaja kerana doa mereka itu tidak akan dilayan.

Tafsir Ayat Ke-51

Ini pula adalah ayat Tasliah – ayat pujukan kepada para Nabi dan penyebar dakwah tauhid kerana bukan senang hendak sebar dakwah – akan kena halang dan akan kena kutuk, bukan?

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا وَالَّذينَ آمَنوا فِي الحَياةِ الدُّنيا وَيَومَ يَقومُ الأَشهادُ

“Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)”.

إِنّا لَنَنصُرُ رُسُلَنا

“Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami”

Dalam ayat ini, Allah berjanji untuk memberi bantuan kepada para Rasul-Nya. Maka jangan risaulah, kena percaya kepada janji Allah ini. Mungkin bantuan itu lambat, tetapi ia pasti datang.

وَالَّذينَ آمَنوا

“dan orang-orang yang beriman”

Bukan sahaja para Rasul mendapat janji Allah ini tetapi orang-orang yang beriman sempurna juga. Mereka itu adalah pewaris yang mewarisi ilmu rasul. Dan mereka menyampaikan Al-Quran kepada orang lain di zaman mereka. Mereka pun akan menghadapi dugaan juga dalam kerja dakwah mereka.

Maka Allah memberi berita gembira kepada mereka.

Ini memberi isyarat bahawa memang kita kena dakwah tauhid ini kepada manusia, tidak boleh lari dari melakukannya.

فِي الحَياةِ الدُّنيا

“dalam kehidupan dunia ini”.

Di dunia lagi mereka akan mendapat bantuan.

Tetapi mungkin timbul persoalan: bagaimana boleh dikatakan yang Allah membantu para Nabi dan orang-orang beriman di dunia ini, sedangkan ramai yang telah menerima dugaan yang amat berat semasa di dunia ini. Malah, para Nabi pun ada yang dihalau dari kampung halaman mereka, malah ada yang sampai dibunuh.

Ada dua jawapan:

Pertama, bukanlah semua Nabi itu dibunuh. Hanya sebahagian kecil sahaja. Samalah juga keadaan dalam dunia ini, memang ada orang yang cacat, tetapi kalau dibandingkan antara yang cacat dan yang sihat, yang sihat itu lebih banyak. Ini adalah kaedah yang Allah gunakan dalam kehidupan (supaya yang sihat dapat menghargai nikmat yang mereka ada apabila mereka tengok orang yang ada kekurangan).

Kedua, Allah akan balas mereka yang telah berbuat jahat kepada para Nabi dan orang beriman itu sama ada pembalasan itu terjadi semasa yang ditindas itu masih hidup lagi, atau setelah tiada.

Sebagai contoh, kekejaman yang dilakukan kepada Nabi Musa oleh Firaun, Allah balas semasa baginda masih hidup lagi; dan ada yang dibalas setelah mereka mati, sebagai contoh dibalas dengan azab kepada pembunuh Nabi Yahya (tapi baginda telah wafat).

Yang pasti, mereka yang melakukan kekejaman kepada wali Allah, mereka tidak akan selamat. Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan sebuah hadis melalui Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW yang telah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ بَارَزَنِي بِالْحَرْبِ”

Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang memusuhi kekasih-Ku, bererti dia terang-terangan menentang-Ku untuk perang.”

Dan tentunya mereka yang berperang dengan Allah tidak akan menang. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat diselamatkan dan diberikan kemenangan demi kemenangan ke atas Musyrikin Mekah yang menentang mereka sampaikan kaum mukmin dapat menakluk Kota Mekah dari tangan mereka.

وَيَومَ يَقومُ الأَشهادُ

“dan pada saat bangkitnya saksi-saksi”

Dan mereka juga akan diberi bantuan pada hari akhirat nanti apabila semua saksi akan bangkit memberikan penyaksian. Para malaikat, para Nabi, pendakwah, amal, malah tubuh badan sendiri akan jadi saksi di akhirat kelak.

Waktu itu, para Nabi, wali dan pendakwah tauhid yang benar akan selamat dan mereka yang menentang akan diberikan dengan balasan yang setimpal.

Tentunya di akhirat nanti, kemenangan dan kemuliaan yang mereka terima akan lebih besar lagi.

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Ali ‘Imran: 104)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan