Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian II)

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian II)

640
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

Tafsir Ayat Ke-8 (Bahagian Kedua)

Pada perbincangan yang lepas, kita telah berbicara mengenai:

1. Balasan istimewa Allah SWT kepada sebaik makhluk ( Khairul Bariyyah ), iaitu Syurga Adnin serta bagaimana “jalan” yang ada untuk ke sana.

2. Antara sifat yang baik kepada penghuni Syurga, iaitu kekal berada di dalamnya. Tiada kebimbangan, penat lelah lagi sebagaimana usaha keras mereka menjadi hamba Allah sewaktu di dunia.

Kemudian Allah menyambung lagi dengan nikmat yang lain. Nikmat ini adalah lebih besar kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang disebut sebelum ini:

رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم

“Allah redha dengan mereka”.

Kalimah ارضي – maksud puas dengan sempurna. Ini adalah satu nikmat yang amat besar dan termasuk nikmat dalaman.

Nikmat jasmani adalah duduk di syurga dengan segala kenikmatan zahir, tetapi nikmat rohani adalah nikmat yang dirasai oleh hati kita.

Dan nikmat yang paling hebat adalah redha Allah SWT.

Sekadar tambahan:

Zahirnya bukanlah ukuran pada kebahagiaan. Boleh jadi ada yang mampu beli banyak lauk, tetapi disebabkan ada penyakit maka sekadarnya dia boleh makan. Mungkin ada yang membeli 1 – 2 mata lauk, tetapi bahagia dapat berkongsi. Melihat anak-anak tetap berselera.

Oleh itu, sering kita berdoa untuk kedua-duanya :

اللهم إنا نسئلك رضاك والجنة

“Ya Allah, kami memohon dari-Mu keredhaan-Mu dan Syurga”.

Ini doa yang diajar oleh Nabi SAW, turut mengutamakan redha Allah SWT. Itulah pencarian hidup yang kita usahakan.

Bukan sahaja ia diperlukan di dunia, bahkan itulah tiket untuk masuk ke dalam syurga Allah SWT.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman dalam surah [ Al-Fajr: 27 – 30 ].

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ

ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

فَادْخُلِي فِي عِبَادِي

وَادْخُلِي جَنَّتِي

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!

Kembalilah kepada Tuhan mu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !

Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba ku yang berbahagia,

Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!”

Orang yang redha dan diredhai ini adalah antara golongan yang berbahagia.

Bagaimana kita dapat mengesan ciri-ciri hamba Allah yang diredhai?

A) PEKERTI MULIA [ Al Furqan: 63 ]

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Apakah contoh akhlak yang patut kita lakukan untuk termasuk dalam kumpulan “A” ini?

Akhlak Nabi SAW – dan itulah ia Al-Quran

“akhlak Nabi ialah Al-Quran” – Hadis Aisyah

B) TEKUN BERIBADAH [ Al-Furqan: 64 ]

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا

Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.

Tekun ibadah bukan setakat siang hari, juga pada malam hari. Semak diri kita sama ada jenis tekun ibadah ATAU tekun tidur ( lena tidak sedar-sedar ).

C) BERDOA PADA ALLAH [ Al Furqan: 65 ]

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan”.

D) BIJAKSANA [ Al-Furqan: 67 ]

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”

E) HINDARI DOSA BESAR [ Al-Furqan: 68 ]

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya”.

Untuk ikhlas :

  1. Kena ada ilmu yang betul ( Al-Quran / Sunnah ) – Kalau Quran sudah jelas surah Ikhlas hanya perlu belajar lagi.
  2. Sentiasa berlatih sifat ihsan ( rujuk hadis-hadis – dalam matan 40 Nawawi )
  3. Banyakkan istighfar dan bersangka baik.
  4. Istiqamah dalam meneruskan kebaikan, Insya Allah akan terbit keikhlasan.
  5. Bangun malam untuk minta Allah agar beri kita keikhlasan.

Siapa yang akan mendapat semua ini?

ذٰلِكَ لِمَن خَشِيَ رَبَّهُ

“Itu semua untuk dia yang takut kepada Tuhannya”.

خ ش ى

Adalah takut kepada sesuatu yang lebih besar, lebih kuat dari kita. Iaitu takut kepada Allah.

Syurga dan segala nikmat yang telah disebut di atas adalah untuk mereka yang takut kepada Allah, lebih dari dia takut kepada selain-Nya.

Tiada jalan untuk menjadi hamba yang takutkan Allah SWT, melainkan perlu menambah ilmu ( Al-Quran dan Sunnah ).

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah [ Fatir: 28 ]

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para “Ulama”, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.

Atau lebih mudah kita fahami, jadilah hamba yang takutkan Allah dengan ilmu. Atau jadikan ilmu yang kita ada hari ni agar lebih takutkan Allah SWT.

Sesungguhnya ANTARA golongan yang mendapat naungan Allah SWT di hari akhirat ialah :

وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Seseorang yang mengingati Allah dalam keadaan sepi / seorang diri lalu ia menitiskan air matanya ( kerana takut dan insaf kepada Allah SWT ).

(HR. Bukhari 1423 dan Muslim 1031)

Penutup:

Surah ini bermula dengan menyentuh tentang perbezaan manusia. Perbezaan itu jelas dengan adanya Bayyinah. Itulah ( Bayyinah ) pembahagi manusia sama ada beriman atau tidak.

Akhir sekali, dua golongan yang akan terpisah ini dipanggil Khairul Bariyyah atau Syarrul Bariyyah.

Ibrah dan kesimpulan :

1. Nikmat terbesar seorang hamba dengan Tuhan ialah apabila ia saling redha dan meredhai Allah SWT dengan menjadi hamba Allah yang terbaik ( bertaqwa kepada Allah SWT ).

2. Kita hendaklah berusaha menjadi Allah SWT yang diredhai, melalui jalan yang benar ( seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW ).

3. Jadilah hamba yang takut kepada Allah SWT. Jika mungkin kita tidak rasa malu dengan Allah, maka didiklah hati pada malam hari mengingati Allah serta takut dengan kesalahan yang pernah kita lakukan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan