Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-40 hingga Ke-42

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-40 hingga Ke-42

3119
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-40

Ayat ini adalah ayat Idkhal Ilahi (pencelahan daripada Allah SWT). Allah SWT hendak beritahu tentang peraturan di akhirat.

مَن عَمِلَ سَيِّئَةً فَلا يُجزىٰ إِلّا مِثلَها ۖ وَمَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَأُولٰئِكَ يَدخُلونَ الجَنَّةَ يُرزَقونَ فيها بِغَيرِ حِسابٍ

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh – dari lelaki atau perempuan – sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung”.

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً

“Sesiapa yang berbuat dosa”

Sebagai manusia biasa, tentulah ada melakukan dosa juga.

فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا

“dia tidak akan dibalas melainkan seperti itu juga”.

Buat satu dosa, dibalas satu. Sama sahaja dengan kesalahan yang telah dilakukan. Maksudnya markah sama, tidak lebih dari itu.

Lihatlah betapa pemurahnya Allah SWT. Allah SWT hanya balas dengan apa yang sepatutnya sahaja jika hamba-Nya melakukan dosa. Sekarang lihat pula kalau hamba-Nya melakukan ketaatan.

وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا

“Dan sesiapa yang beramal soleh”,

Amal soleh bermaksud amal ibadat seperti yang Nabi Musa a.s ajar, dan kalau zaman sekarang, macam Nabi Muhammad SAW ajar. Bukannya amal ibadat bidaah yang tidak ada ambilan dari Al-Quran atau hadis (dipanggil amal bidaah).

مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

“Baik dia lelaki atau dia perempuan, dan dia itu beriman”

Amalan yang soleh akan dibalas, dengan syarat, orang itu beriman penuh. Beriman penuh bermaksud, seseorang itu tidak syirik. Kerana kalau dia ada amalan atau fahaman yang syirik, walau baik macam mana pun amalannya, amalan itu tidak akan diterima oleh Allah SWT sedikit pun.

Dan untuk tahu apakah syirik itu, kena belajar tafsir Al-Quran kerana perkara syirik diterangkan dalam Al-Quran. Kerap kali ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang tidak tahu makna syirik, sampaikan mereka melakukan amalan syirik tanpa mereka sedari. Mereka bukan sengaja hendak buat, tetapi kerana jahil dengan Al-Quran mereka terbuat syirik.

Allah SWT beritahu kalau lelaki atau perempuan yang buat amal kebaikan, mereka akan mendapat balasan. Maksudnya, Allah SWT tidak pilih bulu. Sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga. Tidaklah kena jadi lelaki, jadi kaya, jadi pemimpin, baru dibalas. Semua hamba-Nya ada peluang untuk mendapat balasan yang baik.

Lafaz مُؤْمِنٌ membawa dua maksud: Pertama, yang melakukan amal soleh itu mestilah berakidah tauhid, dan kedua, amalan itu dilakukan ikhlas kerana jika tidak ikhlas, ia tidak diterima. Maka, kita kena tahu syarat-syarat untuk sesuatu amalan diterima, tidaklah buat sahaja amalan membuta tuli.

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

“Mereka yang bersifat seperti itu akan dimasukkan ke dalam syurga”.

Inilah balasan yang kita semua dambakan. Tidakkah kita mahu masuk ke dalam syurga? Nah, sekarang Allah SWT telah janjikan.

يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ

“diberi rezeki kepadanya tanpa hisab”.

Tidak terkira banyaknya, sampai tidak boleh dikira.

Atau mereka akan dimasukkan tanpa hisab – terus masuk syurga tanpa melalui perkiraan hisab di Mahsyar. Ini amat hebat jika kita berjaya perolehnya. Resah juga hendak tunggu lama di Mahsyar nanti.

Atau mereka akan diberi tanpa had – tidaklah dikatakan mereka telah makan banyak sangat, maka sudah tidak mendapatnya lagi. Mereka akan peroleh ganjaran yang berganda banyaknya.

Inilah kata-kata dari Lelaki Mukmin itu. Bagaimana dia tahu semua hal ini? Ini adalah kerana dia telah mendengar ceramah-ceramah dan dakwah dari Nabi Musa a.s sampaikan dia sendiri boleh berdakwah kepada kaumnya. Kita pun kenalah macam itu juga. Jangan senyap sahaja. Jangan kata ustaz dan ulama sahaja yang boleh berdakwah dan berceramah. Kita kena cakap apa yang kita tahu. Islam ini mudah sahaja. Boleh dipelajari dan boleh kita sampaikan kepada orang lain. Ia bukan perkara yang mustahil.

Habis bahagian kedua syarahan dari Lelaki Mukmin itu.

Tafsir Ayat Ke-41

Ini adalah bahagian ketiga dan bahagian akhir syarahan dari Lelaki Mukmin itu.

۞ وَيا قَومِ ما لي أَدعوكُم إِلَى النَّجاةِ وَتَدعونَني إِلَى النّارِ

“Dan wahai kaum ku! Apa halnya aku dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajak ku ke neraka?

وَيَا قَوْمِ

“wahai kaum ku”,

Bayangkan, lelaki ini seorang sahaja, tetapi dia berani memberikan dakwah kepada jalan yang benar. Beliau berkata kepada Firaun dan pengikut-pengikut Firaun yang tentunya pemimpin yang besar di negara Mesir itu. Dia panggil mereka dengan pandangan yang lembut, memanggil mereka sebagai kaumnya yang dihormati.

مَا لِي

“Apa masalah kamu dengan aku ini”?

Dari segi bahasa, ia bermaksud: ‘apa untukku?’. Maksudnya, dia tanya mereka: Adakah kamu rasa ada yang tidak kena dengan aku? Atau, “apa masalah kamu dengan aku?”, “apa yang tidak kena dengan aku, sampai kamu tidak mahu ikut aku?”

أَدْعُوكُمْ إِلَى النَّجَاةِ

“Aku seru kamu kepada penyelamatan”

Apa yang tidak kena dengan aku sampai kamu tidak mahu ikut aku,ini? Sedangkan aku bukan ajak buat salah, tetapi ajak kepada perkara yang baik. Kalau beriman kepada Allah SWT, kamu akan selamat dari neraka. Kamu tidak mahu selamat kah?

Apa masalah kamu ini, aku mengajak kamu ini sebenarnya adalah kepada keselamatan dari azab Allah SWT, tetapi kenapa kamu tidak mahu terima?

وَتَدْعُونَنِي إِلَى النَّارِ

“Dan kamu pula nak ajak aku kepada neraka”.

Sedangkan kamu pula mengajak aku kepada neraka sedangkan dengan sembah syirik selain kepada Allah SWT adalah jalan menuju neraka. Mengapa yang mengajak kepada kebaikan pula yang ditentang?

 

Tafsir Ayat Ke-42:

تَدعونَني لِأَكفُرَ بِاللهِ وَأُشرِكَ بِهِ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ وَأَنا أَدعوكُم إِلَى العَزيزِ الغَفّارِ

“Kamu mengajak ku supaya aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah SWT dan mempersekutukan-Nya dengan apa yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal aku mengajak kamu beriman kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun?”

تَدْعُونَنِي لِأَكْفُرَ بِاللهِ

“Kamu mengajak aku untuk kufur kepada Allah SWT”

Musyrikin dari kalangan Firaun dan yang lain-lain itu mengajar manusia untuk kufur kepada Allah SWT. Bila mengajak kepada kufur, itu maksudnya mengajar ke neraka.

Kufur ada banyak jenis. Seseorang itu boleh jadi kufur atau dia buat syirik bila dia tolak hukum Allah SWT, tolak ayat-ayat Allah SWT dan berbagai-bagai lagi. Buat salah satu sahaja, sudah boleh jadi kufur.

وَأُشْرِكَ بِهِ

“dan syirik kepada-Nya”

Dan mereka juga mengajak manusia melakukan syirik kepada Allah SWT. Seperti yang telah disebut, banyak cara manusia boleh jadi kufur dan syirik adalah cara yang paling besar sekali. Ramai yang tidak faham apakah maksud tauhid dan lawan kepada tauhid, iaitu syirik. Oleh kerana itu ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedari.

Ramai dalam kalangan orang Islam yang tidak ada niat untuk melakukan syirik, tetapi kerana mereka tidak belajar, mereka tidak faham manakah syirik dan manakah tauhid. Ini adalah bahaya, kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan kesalahan syirik yang dilakukan oleh manusia walaupun mereka buat tanpa sengaja.

Di dalam ayat ini, kufur yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah SWT iaitu dengan mencampurkan pujaan: Mereka puja Allah SWT dan dalam masa yang sama, mereka puja makhluk juga. Makhluk itu pula boleh jadi macam-macam – sama ada Nabi, wali, malaikat atau jin. Dan ia boleh jadi juga lain-lain yang meliputi keseluruhan pujaan manusia selain Allah SWT. Asalkan selain dari Allah SWT, itu adalah pujaan dan seruan yang salah.

Jadi kesalahan terbesar Firaun dan kuncunya adalah syirik. Memang ada salah yang lain, tetapi yang paling besar adalah syirik.

مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

“Yang aku tidak ada ilmu (dalil/bukti) tentangnya”.

Perkataan ‘ilmu’ di sini bermaksud ‘dalil’. Maksudnya, tidak ada dalil atau perintah dari Allah SWT yang membolehkan mereka buat syirik. Tidak ada bukti langsung untuk mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah benar.

Kesalahan yang banyak dilakukan oleh manusia adalah ‘tawassul dalam doa’ iaitu menggunakan perantaraan dalam doa. Guna broker untuk sampaikan doa kepada Allah SWT.

Ini adalah perbuatan syirik yang dilarang oleh Allah SWT dan disebut dengan jelas dalam Al-Quran. Disebabkan kekeliruan tentang ayat-ayat Al-Quran, pengamal tawassul kata ada dalil yang menyuruh kepada tawassul.

Mungkin mereka yang tidak mahir akan berkata yang ada hujah-hujah dalam Al-Quran dan juga dalam hadis yang mengajak kepada tawassul. Namun, apabila dikaji dengan lebih mendalam lagi, itu semua bukanlah hujah untuk membolehkan tawassul. Mungkin pada mata kasar, nampak macam ada dalil yang membolehkan melakukan tawassul, tetapi itu tidaklah benar.

وَأَنا أَدعوكُم إِلَى العَزيزِ الغَفّارِ

“Sedangkan aku ajak kamu kepada Tuhan yang gagah perkasa lagi maha pengampun”

Allah SWT itu bersifat العَزيزِ, kalau kamu tidak taat kepada-Nya, Dia boleh mengenakan azab yang amat pedih kepada kamu.

Namun, dalam masa yang sama, Dia juga bersifat الغَفّارِ – kalau kamu minta ampun kepada-Nya, Dia boleh ampunkan segala dosa-dosa kamu jika Dia mahu. Jadi, kalau selama ini pernah buat salah dalam hal doa, maka mintalah ampun sahaja.

Inilah keseimbangan dalam berdakwah. Jangan takutkan sahaja, dan jangan beri berita gembira sahaja – kena ada dua-dua. Inilah ajakan dakwah yang utama, iaitu ajak kepada Allah SWT, kenalkan manusia kepada Allah SWT. Kenalkan Allah SWT itu dalam hal tauhid iaitu mentauhidkan Allah SWT.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan