Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-5 dan Ke-6

Tafsir Surah Al-Bayyinah – Tafsir Ayat Ke-5 dan Ke-6

2074
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Bayyinah

Surah ini bermaksud : Bukti Yang Jelas.

Al-Bayyinah ( Bukti Yang Jelas ) dari sisi Allah tersebut ialah :

– Al-Quran

– Kerasulan Nabi SAW

  1. Permulaan Ayat Pertama

Allah SWT menceritakan bagaimana sikap mungkir janji serta kesombongan orang Kafir dari kalangan Ahli Kitab dan Musyrikin.

Mereka dahulunya minta Allah SWT datangkan bukti dan penjelasan sebagai syarat untuk beriman.

Tetapi apabila Allah SWT telah berikan, mereka seolah-olah lempar ke belakang dan berpaling dari seruan Nabi SAW.

Rujuk [2: 89] dan [2: 101]

وَلَمَّا جَآءَهُمْ كِتَٰبٌ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا۟ مِن قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُوا۟ كَفَرُوا۟ بِهِۦ ۚ فَلَعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ

“Dan setelah datang kepada mereka Al Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka lalu ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu. [Al-Baqarah: 89]

وَلَمَّا جَآءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَرَآءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan setelah datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah yang membenarkan apa (kitab) yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang diberi kitab (Taurat) melemparkan kitab Allah ke belakang (punggung)nya, seolah-olah mereka tidak mengetahui (bahawa itu adalah kitab Allah)”. [Al-Baqarah: 101]

  1. Penghujung Ayat Pertama

Allah menceritakan mengenai keistimewaan Rasul SAW dengan kurniaan Al-Bayyinah ( Bukti Yang Jelas ) kepada Baginda SAW.

Selain itu ia isyarat kepada kita bahawa setiap manusia yang ingin menyeru ke jalan kebaikan mestilah :

– Menyampaikan Al-Quran dan Hadis Baginda SAW ( Al-Bayyinah )

– Mestilah berusaha untuk memberi peringatan dengan jelas, supaya manusia mudah untuk fahami.

– Perlu ingat bahawa tugas kita hanya menyampaikan, bukan menjadi penjaga / mengawal iman manusia.

Rujuk [67 : 25 – 26]

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

Dan mereka berkata: “Bilakah datangnya ancaman itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?” [Al-Mulk: 25]

قُلْ إِنَّمَا ٱلْعِلْمُ عِندَ ٱللَّهِ وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah: “Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) hanya pada sisi Allah. Dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan”. [Al-Mulk: 26]

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

Allah SWT menjelaskan sifat Al-Bayyinah ( Al-Quran dan Rasul ) itu sebagai:

– Mutohharah ( Suci )

Kerana itu perlu ada tatacara untuk berada dengan Al-Quran. Contoh umum : dengan menjaga diri dari hadas, bacaan yang terdapat hukum tajwid dan lain-lain.

– Qayyimah ( Lurus )

Sifat Al-Bayyinah tersebut lurus membawa manusia kembali kepada Allah SWT.

– Penyatuan

Kerana isyarat dari Allah SWT menyatakan kepada mereka yang sebaliknya ( Ahli Kitab yang tidak beriman ), menjadi pecah belah disebabkan dalil ( petunjuk ) Allah yang turut menceritakan perihal kitab dan diri mereka

Pendahuluan :

Sebelum ini telah disebut tentang apa yang telah dilakukan oleh Ahli Kitab. Mereka telah berpecah belah kerana hasad yang ada dalam diri mereka.

Sama ada hasad kerana:

  1. Nabi akhir zaman bukan dari kalangan mereka.
  2. Kitab Al-Quran yang mansuhkan kitab sebelumnya ( iaitu kitab mereka ).

Seperti yang kita ketahui, ahli kitab turut mempunyai ilmu yang menyuruh mereka buat baik juga, sama seperti yang disuruh dalam Al-Quran.

Tafsir Ayat ke-5:

وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدُوا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ حُنَفاءَ وَيُقيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤتُوا الزَّكاةَ ۚ وَذٰلِكَ دينُ القَيِّمَةِ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.”

Dalam arahan ini, pertama sekali mereka disuruh untuk beribadat kepada Allah. Inilah asas tauhid yang ditekankan dalam Al-Quran.

Sama seperti di dalam firman-Nya, [Al-Anbiya: 25[:

وَما أَرْسَلْنا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” [21: 25]

Dalam ayat ini kita diberitahu yang mereka disuruh untuk menjadi:

مُخلِصينَ

Orang-orang yang ikhlas.

Telah kita ketahui, 2 syarat penerimaan suatu amal ibadah ialah :

1) Ikhlas hanya kerana Allah.

2) Menepati syariat ( Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW ).

Kerana itu kita telah “diterangkan” oleh Allah SWT dalam ayat sebelum ini, bahawa Al-Bayyinah itu adalah terdiri dari Rasulullah SAW dan juga wahyu dari Allah.

Maka pada peringatan seterusnya ( ayat ke-5 ini ) kita menemui pula perintah untuk mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Apabila mempunyai sifat ikhlas, seseorang akan lebih mudah ikuti arahan Rasul dan juga arahan Allah dalam wahyu.

Malangnya, ahli kitab tidak dapat menuruti perintah Allah SWT. Boleh kita katakan, gangguan tidak ikhlas mereka selama ini berada dalam landasan kitab mereka terserlah apabila mereka diseru ayat-ayat Allah SWT di dalam kitab Al-Quran.

SIKAP AHLI KITAB :

“Kami dengar akan tetapi kami tidak taat”

Rujuk surah [Al-Baqarah: 93]

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا ۖ قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ ۚ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُم بِهِ إِيمَانُكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

Ayat KELIMA ini juga memberitahu kita apa yang kita perlu ada dalam hati dan amalan kita. Ia adalah ubat untuk kesalahan yang ada dalam ayat ke-4 sebelum ini. Ibarat kholasah / kesimpulan kepada keseluruhan agama.

لِيَعْبُدُوا اللَّهَ

(supaya mereka menyembah Allah), (beribadah kepada Allah).

Kalimah لِيَعْبُدُوا dari عبد yang bermaksud ‘hamba’. Lawan kepada عبد adalah ّرب (Tuan).

Jika kita hayati dan fahami semula kalimah عبد ini, sepatutnya kita sedar bahawa bukan setakat dalam “ritual” sahaja kita menjaga hubungan dengan Robb ( Allah ), akan tetapi kesedaran mengenai status “hamba Allah” itu akan mengikat kita akan sentiasa menjaga diri walaupun di luar amal ibadah biasa kita

Itu lah yang kita ulang 17 x sehari :

Al Fatihah ( 1 ):

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Terjemahan yang kita boleh teliti:

“hanya kepada Engkau kami menghambakan diri, hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan”

Sedikit maklumat tambahan ~

Ibn-Taymiyyah mengatakan ada lima ciri seorang hamba kepada Allah:

1- Cinta Allah melebihi segalanya.

2- Ketaatan sebagai hamba.

3- Ikhlas dalam seluruh aspek kehidupan, dilakukan kerana Allah SWT.

Firman-Nya dalam [Al-An’am: 162]

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

4- Kepercayaan sepenuhnya kepada Allah (tawakal).

5- Ikuti peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Kalimah:

حُنَفاءَ

Ini adalah adjektif – ianya adalah jamak bagi kalimah حنيف;

Ia bermaksud menjauh dari dosa, menjauh dari kesalahan, menjadi seorang yang lurus dan tetap fokus pada jalan yang lurus itu (istiqamah).

Perkataan حنيف banyak digunakan dalam Al-Quran dan Sunnah. Ia dikaitkan dengan agama tauhid, kerana itu Nabi Ibrahim selalu disebut sebagai seorang yang حنيف.

Selepas itu, Allah terus menyenaraikan dua ibadat utama yang selalu diulang-ulang dalam Al-Quran:

وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ

“Mendirikan solat dan mengeluarkan zakat”

Dua ibadat ini selalu disebut sebagai contoh ibadah utama yang perlu dilakukan oleh manusia yang merangkumi ibadah-ibadah yang lain. Yang membawa maksud, bukanlah hanya perlu berbuat dua ibadah ini sahaja, tetapi ibadah yang lain pun kena buat juga.

Dua ibadah ini selalu disebut kerana:

Solat – Mewakili ibadah yang melibatkan perhubungan dengan Allah.

Zakat – mewakili ibadah perhubungan dengan manusia yang lain.

Akhir sekali pada ayat kelima ini adalah :

وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Itulah agama yang tegak, yang lurus.

Inilah agama yang benar yang perlu kita anuti dan amalkan. Kita selalu berdoa supaya kita ditempatkan di atas ‘jalan yang lurus’ , maka Allah menerangkan apakah jalan yang lurus tersebut.

Ibrah dan kesimpulan:

1.Allah SWT telah menerangkan asas / dasar dalam Al-Bayyinah. Dan itulah dasar yang patut kita ikut dan jaga iaitu menjaga setiap perintah ibadah atau hal-hal kehidupan agar dibuat hanya kerana Allah SWT.

Ia disebut sebagai Ikhlas. Selari dengan kalimah syahadah kita iaitu tidak mengadakan sekutu kepada Allah SWT. Sama ada berlaku dalam syirik kecil atau besar.

2.  Menjadi hamba Allah bukan sekadar di dalam ritual ( ketika amalan ibadah semata ), tetapi berterusan selagi bernyawa.

Firman-Nya dalam Al-An’am: 162

قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

3. Allah menegaskan dengan contoh ibadah solat dan zakat, bermakna keikhlasan sahaja tidak cukup mengaitkan seseorang telah menjadi hamba Allah, tetapi dia juga perlu melaksanakan syariat yang diperintahkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan