Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-7 dan Ke-8

Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-7 dan Ke-8

1067
0
Iklan

Tafsir Surah At-Tiin

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan berkaitan kejadian manusia yang baik. Kemudian Allah datangkan peringatan bahawa manusia boleh jatuh ke lembah kehinaan melainkan mereka menjaga iman dan amal mereka serta bonus iaitu ganjaran yang tidak putus-putus (syurga Allah SWT). Ganjaran yang tidak pernah berkurangan, bahkan selamanya melimpah ruah kepada orang yang beriman.

Seterusnya,setelah Allah SWT menceritakan ganjaran berterusan selepas hidup dunia ini, Allah SWT datangkan soalan kepada manusia:

Tafsir Ayat ke – 7:

فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعْدُ بِالدِّينِ

“Maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, sesudah ternyata dalil-dalil dari agama?”

Dalam kalimah ini digunakan kalimah يُكَذِّبُ yang diambil dari kalimah ك ذ ب yang bermaksud dusta.

Maksud di sini: Dia sendiri tahu bahawa apa yang disampaikan oleh Rasul-Rasul adalah perkara yang benar, tetapi mereka tetap mendustakannya.

Apakah ciri-ciri pendustaan terhadap agama?

Pendustaan Pertama: Tidak belajar dan tidak memahami agama.

Terutamanya Al-Quran. Kalamullah yang merupakan asas penting kepada agama kita. Tidak mempelajari Al-Quran apatah lagi tidak faham Al-Quran, adalah suatu perkara yang sangat bahaya! Sedangkan itulah Kitab yang menjadi panduan bagi orang yang bertaqwa.

Masalah yang sangat besar hari ini. Bila ramai orang boleh/ada masa untuk pergi kelas renang, memasak, bisnes dan lain-lain, tiba-tiba tidak ada masa untuk belajar Al-Quran.

Bahkan! Memang kena utamakan turutan yakni Al-Quran dahulu. Kena berhati-hati dengan talbis iblis. Boleh bertahan pergi Daurah Bukhari, tetapi Al-Quran tidak faham, tetap bahaya!

Lihat sejarah yang terjadi, kesesatan Yahudi dan Nasrani sehingga menjadikan Uzair dan Al-Masih sebagai “anak” Allah SWT. Ini kerana mereka meninggalkan untuk mempelajari Taurat dan Injil. Sebaliknya hanya bergantung kepada pendita dan rahib mereka.

Rujuk At-Taubah: 30 – 31

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ۖ ذَٰلِكَ قَوْلُهُم بِأَفْوَاهِهِمْ ۖ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَبْلُ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” [At-Taubah: 30]

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan”.[At-Taubah: 31]

 وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا

“Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”. [Al-Furqan: 30]

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya”. [Az-Zukhruf: 36]

Oleh itu, berhati-hatilah terhadap pendustaan pertama ini. Iaitu meninggalkan dari mempelajari dan memahami Kitabullah, kerana seolah-olah nampak kecil, tetapi kesan yang besar berlaku.

Pendustaan Kedua: Tidak beramal mengikut ajaran agama.

Dalam hidup ini Allah SWT telah menetapkan bahawa terdapat dua jalan iaitu jalan yang benar (Islam) dan jalan yang salah (jalan Syaitan). Ia menunjukkan kepada kita, hidup ini sama ada kita berbuat sesuatu mengikut jalan yang benar atau sebaliknya.

Contoh: Mencari rezeki untuk keluarga

Ada orang yang mencari rezeki untuk keluarganya dengan cara yang baik, halal lagi toyyiban. Namun, ada juga dengan niat yang sama, tetapi memilih untuk mengambil rasuah, riba dan sebagainya.

Maka, setiap pilihan dalam hidup kita, ambillah jalan yang benar (Islam). Bukan sekadar dalam hal perkahwinan atau kematian sahaja untuk mengambil Islam sebagai cara, akan tetapi KESELURUHAN!

Firman Allah SWT dalam [Al-Baqarah: 208]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [Al-Baqarah: 208]

Pendustaan Ketiga: Tidak beriman/mempercayai BAHKAN menolak.

Sebagaimana orang-orang yang menolak berita hari kiamat. Mereka kembali mempersoalkan kebenaran berita tersebut kepada Nabi SAW.

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

“Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”[Al-Mulk: 25]

Demikian tadi ciri-ciri orang yang mendustakan agama. Jangan ingat kita mengatakan “ya” terhadap perkara agama, nescaya kita telah selamat.

Namun, kena lebih berhati-hati, ditakuti tanpa sedar sebenarnya kita tergolong di kalangan orang yang mendustakan agama. Sama ada dengan meninggalkan ajaran mahupun amalan yang datang bersama agama itu.

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحْذَرُوا۟ ۚ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”.[Al-Ma’idah: 92]

Persoalan lain:

Dalam banyak-banyak perkara yang didustakan manusia, mengapakah Al-Quran sering memberi penekanan lebih tentang akibat mendustakan HARI KEBANGKITAN?

Jawapan:

Kerana Allah SWT telah menyatakan bahawa keingkaran manusia di atas dunia adalah kerana “masalah” iman mereka terhadap hari kebangkitan.

Rujuk: [Al-Infithar: 6 – 9]

يَٰأَيُّهَا ٱلْإِنسَٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ

“Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah”.[Al-Infitar: 6]

ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ

“Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang”.[Al-Infitar: 7]

فِىٓ أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ

“dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu”. [Al-Infitar: 8]

كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ

“Bukan hanya durhaka saja, bahkan kamu mendustakan hari pembalasan”.[Al-Infitar: 9]

Sekali lagi ditegaskan:

Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.

Daripada “petunjuk” Allah SWT, maka kita telah mengetahui sebab manusia terlalai dan melakukan keingkaran kepada Allah ialah kerana “tidak betul-betul yakin pertemuan dengan Allah SWT.

Soalan: Adakah ini bermaksud kita masih tidak mengenali Allah?

Jawapan: Kita tidak betul yakin sehingga mendatangkan perasaan gerun untuk menghadap Allah

Semoga kita tidak tergolong di kalangan orang yang mendustakan agama setelah sampai dalil-dalil yang jelas kepada kita mengetahui perihal iman kepada Allah SWT.

Tafsir Ayat Ke-8:

أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ

“Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) seadil-adil Hakim?”

Soalan ini bukanlah sebenar-benar soalan. Ia sebagai penekanan kepada kebenaran perkara itu. Dan ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Al-Quran.

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, apabila digunakan dalam bentuk soalan retorik, ianya bermaksud “untuk mengatakan perkara itu adalah benar”.

Di sini ianya juga untuk menarik perhatian kepada mereka yang masih lagi menolak kebenaran agama. Kenapa hendak tolak lagi sedangkan Allah itu yang Maha Bijaksana? Bukankah Dia telah menjadikan kamu dalam sebaik-baik kejadian?

حكَمِ bermaksud bijaksana

Jadi أَحكَمِ bermaksud yang paling bijaksana.

Juga boleh bermaksud hakim yang paling layak membuat keputusan.

الحاكِمينَ

Pula bermaksud mereka yang bijaksana (dalam bentuk jamak).

Oleh itu, ayat ini bermaksud:

Tidakkah Allah itu yang paling bijaksana antara yang bijak? Tidakkah Allah yang paling adil untuk buat keputusan? Kalau tidak mahu beriman, tidak mahu beramal soleh dan tidak mahu menggunakan akal, adakah salah kalau Allah buat keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka?

Ada riwayat dari hadis Abu Hurairah secara marfu’ yang memberitahu kita bagaimana apabila sampai pada ayat ini, Nabi Muhammad SAW akan menjawab soal dalam ayat ini:

فَإِذَا قَرَأَ أَحَدُكُمْ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَأَتَى عَلَى آخِرِهَا أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحاكِمِينَ فَلْيَقُلْ بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ من الشاهدين

Apabila seseorang di antara kamu membaca Wat Tiini Waz Zaituini (surat At-Tiin), lalu sampai pada ayat terakhirnya, iaitu firman Allah SWT;

“Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya”

Maka hendaklah ia mengucapkan;

“Benar, dan aku termasuk orang-orang yang menjadi saksi atas hal tersebut.”

Soalan: Menolak agama ada dua sebab:

  1. Menolak sebab tidak tahu (faham), jadi ikut orang ramai;
  2. Menolak sebab degil (faham dan menolak).

Kedua-dua sebab ini adakah akan dimasukkan ke dalam neraka?

Jawapan:

  1. Berisiko masuk neraka;
  2. Akan dimasukkan ke dalam neraka.

Soalan: Untuk hadir rasa gerun ini, kena kenal Allah, kena belajar Al-Quran, kenal hari pembalasan dan siksaan-Nya. Bagaimana untuk hilangkan kebimbangan sebab kurang rasa gerun ini?

Jawapan: Banyakkan tadabbur Juzuk 30, Juzuk Amma (berita besar)

Ibrah dan kesimpulan:

1. Kita hendaklah selalu bermuhasabah diri agar tidak menjadi pendusta terhadap agama, iaitu golongan yang telah jelas datang ajaran agama kepada mereka, tetapi tidak diendahkan untuk dipelajari atau diamalkan.

2. “Asas” untuk menjaga diri di atas dunia ini untuk berbuat baik atau menghindari keburukan ialah “keimanan yang jitu” terhadap hari pembalasan.

Jika kita masih lagi tidak bersungguh menjaga amal/diri kita atas dunia ini, boleh jadi kerana “kurang percaya” atau terlupa akan pembalasan yang kita akan terima dari Allah SWT.

3. Allah SWT seadil Hakim. Maka bagi manusia yang beriman terhadap ayat ini, apakah pernah terlintas ekurangan/keadilan/kesedihan terhadap aturan Allah SWT kepada diri kita?

Ingat dan renunglah akan hikmah dan kebijaksanaan aturan oleh yang Maha Pengatur segala urusan. Insya Allah iman kita akan selari dengan keyakinan terhadap kebesaran Allah SWT.

Ilmu yang selari dengan iman, kemudian amal yang selari dengan ilmu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan