Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dhuha – Ayat Ke-8

Tafsir Surah Ad-Dhuha – Ayat Ke-8

1178
0
Iklan

Tafsir Ad-Dhuha Ayat Ke-8

وَوَجَدَكَ عَآئِلًا فَأَغْنَىٰ

“Dan didapati-Nya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?”[Ad-Dhuha: 8].

A’-ilan: bermaksud miskin. Juga bermaksud seseorang yang tertekan dan terkesan dengan tekanan itu.

Walaupun ada banyak lagi kalimah untuk miskin seperti fakir, miskin dan lain-lain, tetapi Allah SWT gunakan kalimah عائِلًا dalam ayat ini.

Aghna: bermaksud tidak memerlukan. Oleh sebab itu juga, kalimah ini digunakan untuk membawa maksud kekayaan itu mereka yang kata tidak memerlukan bantuan orang lain.

Kita boleh ambil maksud ghina juga dengan bahasa kita, “kaya”.

Apakah maksud “ghina”/kaya? Berdasarkan sumber hadis:

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال : ليس الغنى عن كثرة العرض، ولكن الغنى غنى النفس;متفق عليه.

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ia dikatakan kaya dengan banyaknya harta, akan tetapi kaya itu ialah dengan jiwa” Muttafaq a’laih.

Kita boleh faham di sini, A’-ilan ialah (miskin) sebelum Allah SWT memberikan Islam kepada baginda dan umat.

Mungkin juga ada tafsir yang membahaskan kaya dengan harta Khadijah r.a.h., dan lain-lain. Saya tidak menolak, cuma saya lebih utama berpegang dengan hadis tadi.

Boleh jadi bahaya jika menganggap “kaya” adalah dengan harta sahaja, sehingga saya pernah dengar seorang pakar motivasi berkata dengan lantang: “Lelaki yang hendak kaya, mesti berkahwin dengan orang seperti Khadijah. Barulah kaya”.

Rupanya kaya ialah perasaan dari jiwa.

Orang yang tiada/belum ada anak, mungkin dia lebih penyayang berbanding orang yang memiliki anak. Ramai yang ada anak tetapi diberi pada orang lain untuk dijaga atau lebih teruk, buang anak!

ATAU

Kebanyakan anak zaman sekarang, sudah tiada “keseronokan” makan KFC sebab senang hendak pergi dan beli. Berbanding zaman kita semasa kecil dahulu sekali sekala sahaja dapat makan KFC, itu pun pada waktu khas tertentu. Seronoknya tidak dapat diceritakan!

ATAU

Ada pasangan naik motor lebih gembira, senda gurau gelak ketawa, berbanding dengan orang naik kereta. “Stres”, kemudian degil hendak ikut laluan kecemasan.

إِلَّا مَنْ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah SWT dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)” [Asy-Syura: 89].

Kaya miskin sebenarnya adalah ukuran yang kita tidak tolak, tetapi di sebalik itu kena faham, apa fokus kita, usaha untuk jadi orang yang “Qalbun Salim”.

Lihat bagaimana jiwa mereka, bukan apa yang mereka ada. Contoh tengok orang lebih susah daripada kita, jangan tengok apa yang mereka ada, kita akan tertekan semula nanti. Tetapi lihatlah jiwa mereka yang bersyukur dan tenang di dalam hidup mereka.

Hati yang sejahtera. Maksudnya di atas dunia ini tidak ada masalah sama ada kita hendak memilih menjadi kaya/sederhana. Itu termasuk persoalan lain.

Tetapi, yang utama, dari dalam hati kita, kita hendaklah tahu bahawa jika kaya, hati juga kena sejahtera (ikhlas dan tidak menyekutukan Allah SWT). Maksud lain: harta tidak masuk ke dalam hati. Jika rasa tertekan dengan harta, itu mungkin petanda harta telah masuk ke dalam hati.

Perasaan bahagia dari jiwa inilah “kekayaan” yang Nabi SAW maksudkan dan itulah sifat orang Islam, sentiasa “gembira, bahagia, senyum” (dan semua yang positif). Sebab hidup orang Islam yang sebenar sentiasa cukup.

Jadi, kalau ada rezeki, semak supaya sepatutnya harta tersebut dirasai dengan keimanan dan sikap yang tenang/baik. Berkongsi, beramal, tidak sombong (sebab orang sombong ini sebenarnya tertekan), barulah ada kekayaan/ghina yang sebenar.

 

Sila rujuk ayat berikut:

فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maka apa yang mereka telah usahakan itu (kekayaan/ghina), tidak dapat menolong mereka sedikit pun”. [Al-Hijr: 84].

Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar Rahman

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتاه

Sesungguhnya beruntunglah orang yang Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah SWT telah menjadikannya menerima seadanya menurut apa yang diberikan oleh-Nya”.

 

Sesuai dengan firman Allah SWT:

Sila rujuk ayat berikut:

وَأَنَّهُۥ هُوَ أَغْنَىٰ وَأَقْنَىٰ

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang memberikan kekayaan dan memberikannya kecukupan”. [An-Najm: 48].

 

Sekiranya:

Ketawa > lawannya < Menangis.

Mati > lawannya < Hidup.

Dalam [An-Najm: 48] – Kaya > lawannya < Cukup.

Beberapa perkara yang kita perlu tadabbur. Kehidupan adalah suatu proses. Jadi, adakah kita lalui proses dunia ini mengikut kehendak Allah SWT?

– Tujuan hidup, adakah kita ini benar-benar jadi hamba Allah SWT?

– Atau kita hanya cakap, tetapi dalam hati masih ada dunia yang lebih utama? (pasangan, harta, pangkat).

Kerana itulah Allah SWT menguji kita, supaya dengan “melatah” itu, baru kita tahu apa di dalam hati kita.

Contoh: ada yang menangis/marah bila putus cinta, hilang harta/jawatan.

Tetapi APA REAKSI kita bila tidak menyahut azan dengan solat berjemaah? (Saya tujukan juga buat diri saya).

Adakah hati kita betul-betul “Qalbun Salim” iaitu hanya Allah SWT di dalamnya, sedang itulah nanti yang akan bertemu dengan Allah SWT?

Wallahu a’lam. Soalan itu kita renung-renungkan sendiri. Semoga dapat bantu diri kita menghadapi ujian-ujian dalam hidup ini.

Kesimpulan:

1. Orang Islam sepatutnya sentiasa bahagia kerana menjadi hamba Allah SWT.

2. Allah SWT “kenal” hamba-Nya dan memberikan nikmat/kecukupan yang sesuai kepada semua hamba-Nya.

3. Jangan jadikan dunia masuk ke dalam hati.

Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Bagaimanapun keadaannya, dia tetap masih boleh meraih pahala yang banyak.

Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis sahih. Diriwayatkan oleh Muslim, no. 2999 dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a.).

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan