Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 18 – Tafsir Surah Ad-Dhuha Ayat ke-6

Nota 18 – Tafsir Surah Ad-Dhuha Ayat ke-6

725
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Tafsir Surah Ad-Dhuha – Ayat ke-6

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَـَٔاوَىٰ

Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?(Ad-Duha – 6)

Ruj: Tafsir Pimpinan Ar Rahman

Alam: Bukankah (berbentuk soalan)

– Komunikasi Allah yang sangat halus kepada hamba-Nya. Seperti anak yang merengek/menangis hendak mainan, ayah/ibu akan kata “bukankah mak dah belikan?….” Berbanding terus jawapan, “NO!”

Berkatalah kepada anak-anak untuk buat mereka berfikir, bukan sekadar perintah.

Kalau anak berbuat salah, bimbing! Buat mereka fikir, “elok ke kita tumpahkan air?…”

Bukan terus, NO! (sedang dia pun kecil lagi dan dalam proses belajar)

Jangan buat macam itu. Cakap sahaja tidak boleh sebab 1, 2, 3 hingga 10 jawapan yang jujur.

Oleh sebab itu selepas berpesan kepada kebenaran, hendaklah bersabar. Macam ajar anak-anak orang lain, lepas ajar kena sabar (pesan kesabaran ialah yang utama pada diri sendiri)

Yajidka: dia mendapati engkau

– Allah Maha Mengetahui

– Tidak pernah seorang hamba/makhluk tersasar dari radar pengetahuan Allah swt, sehingga sepatutnya tiada putus asa/sangkaan yang “macam-macam”. Seolah-olah Allah tidak mempedulikan dirinya.

Paling utama ialah mendapat redha Allah kerana manusia yang mendapat redha Allah akan merasai ketenangan termasuk nanti jemputan ke syurga. Soal masalah dapat diselesaikan atau tidak, bukan lagi keutamaan, yang penting dia teguh jadi hamba-Nya.

yatiman: anak yatim.

Definisi Yatim:

Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri.

Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”

Berkata Ibn Barriy pula: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”.

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, yatim membawa maksud anak yang kematian ibu atau bapanya. Sekiranya seorang anak itu kematian ibu dan ayahnya, ia dinamakan sebagai yatim piatu.

Bila peringkat umur yang dikatakan Yatim:

“Tidak ada keyatiman setelah baligh”

HR Abu Daud (2873) ~ Dinilai Sahih oleh Al-Albaani

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh

Dalam Al-Quran, ada rujukan kepada kita tentang sikap kepada anak yatim:

فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ ۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْيَتَٰمَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ ۖ وَإِن تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ ٱلْمُفْسِدَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Al-Baqarah – 220)

Dua sikap:

1- Perbaiki/bantu kebajikan anak yatim.

2- Bergaullah dengan mereka.

Tidak perlu menunggu program berbuka puasa atau rumah terbuka hari raya.

Daripada berfikir ‘open table’ kawan/keluarga sahaja cuba kenali anak-anak yatim yang ada dan berikan 2 sikap seperti ayat di atas tadi.

Ancaman yang kita perlu jaga:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلْيَتَٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِى بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.(An-Nisa’ – 10)

Bukan setakat keperluan luaran tetapi juga dalaman, yakni bukan setakat belikan baju tetapi juga berbual. Rumah anak-anak yatim juga perlu bersikap terbuka. Janganlah mengharapkan sumbangan material sahaja, tetapi beri ruang kepada masyarakat untuk bersama dalam banyak bentuk termasuk sekadar program silaturrahim. Mengisi perasaan mereka dengan hal ehwal agama, itu adalah lebih baik.

Tugas kita sampaikan ayat Al-Quran menyeru ke arah mengimani ayat-ayat Allah. In sya Allah, itu ubat terbaik untuk perasaan mereka. Sebagaimana Nabi, menyeru sahaja umat dengan terbaik. Bukanlah tugas Nabi untuk mengawal hal-hal lain, termasuk perasaan orang yang kita seru. Jika tidak, kita mudah hilang fokus untuk ke hadapan.

Fa-awa: memberikan perlindungan

Penjelasan terhadap sikap yang patut kita buat kepada anak-anak yatim.

Mungkin kita banyak berbincang tentang anak-anak yatim, balik semula kepada penurunan ayat:

Perihal anak yatim: pembalasan setimpal terhadap kehilangan (menjadi yatim)

Ini pujukan yang sangat besar, yang patut kita didik hati kita.

Soalnya di dunia ni, sangat penting untuk fokus jadi “hamba Allah”

Tiada ubat penenang terhadap ujian dunia/hingga kehilangan orang yang tersayang melainkan Allah tetap mengangkat dan membalas dengan pengiktirafan yang baik. Urusan kita kena terus fokus menjadi hamba Allah. Apabila datang bisikan-bisikan, sedih dan sebagainya kembalikan kepada Allah, lihat yang positif sahaja.

Nota: Ini adalah ubat untuk hati yang diuji kehilangan secara fitrah (kematian), tidak termasuklah yang putus cinta, yang putus cinta itu, sendiri cari penyakit. Jangan risau tentang “urusan” Allah, semak diri sama ada iman/taqwa betul atau tidak. Kesabaran yang tinggi perlu untuk tarbiyah diri kita kerana dengan tarbiyah itu, ia akan “meningkat” dalam kehidupan (anugerah Allah).

Kesimpulan:

1) Islam sangat memuliakan anak yatim dengan menjaga seluruh hak-hak mereka.

2) Antara kemuliaan Islam, menunjukkan fitrah yang baik dari Allah ialah memelihara golongan yang lemah (antaranya anak yatim).

3) Kita sangat dituntut melakukan kebaikan kepada anak yatim.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan