Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 05.02.03 Bab Ayat Terakhir Turun (آخر ما نزل) Bhg. 03

05.02.03 Bab Ayat Terakhir Turun (آخر ما نزل) Bhg. 03

140
0
Iklan

Panel: BroSyarief
#090616 Bilik (09) Ulum al-Quran

05.02.03 Bab Ayat Terakhir Turun (آخر ما نزل) Bhg. 03

#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09

7. Dikatakan pula pada pendapat ini bahawa yang terakhir turun ialah firmanNya,

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ

(Yang bermaksud:) Maka, tuhan mereka memperkenan bagi mereka (lalu mengatakan): Sungguh, Aku tidak akan sia-siakan usaha orang-orang yang beramal dari kalangan kalian, sama ada lelaki atau wanita. (kerana hakikatnya) sebahagian kalian adalah dari sebahagian yang lain.

[Aali-‘Imran(3):195]

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawayh dari jalan periwayatan Mujahid, dari Ummu Salamah, di mana dia menyebutkan:

آخَرُ آيَةٍ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ

‘Ayat terakhir yang turun adalah ayat ini..’

(Kemudian dia membacakan ayat tersebut dan mengatakan:)

وَذَلِكَ أَنَّهَا قَالَتْ : يَا رَسُولَ الِلَّهِ ، أَرَى اللَّهَ يَذْكُرُ الرِّجَالَ وَلَا يَذْكُرُ النِّسَاءَ ؟ فَنَزَلَتْ

Dan ianya kerana dia pernah bertanyakan: Wahai RasululLah, (kenapa) aku melihat Allah selalu menyebutkan lelaki dan Dia tidak menyebutkan wanita? Lalu turunlah ayat 32 dari surah an-Nisa, kemudian ayat 35 dari surah al-Ahzab, dan kemudian ayat ini.

Dan ayat-ayat ini adalah ayat-ayat terakhir selepas turunnya ayat-ayat yang tumpuannya khusus kepada lelaki

[al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran]

Dan jelas dari nukilan di atas bahawa ayat tersebut adalah ayat terakhir turun yang disebutkan di dalamnya tentang wanita.

8. Pendapat seterusnya menyebutkan bahawa ayat yang terakhir turun adalah ayat berikut,

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

(Yang bermaksud:) Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah nereka jahannam, (di mana) dia kekal selamanya di dalamnya, dan Allah murka ke atasnya, dan melaknatinya, dan Dia sediakan untuknya ‘azab yang sangat hebat

[an-Nisa(4):93]

Ia berdasarkan riwayat dari Ibn ‘Abbas yang menyebutkan,

نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ ‏{‏وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ‏}‏ ‏

Telah turun ayat ini (kemudian dia membacakan ayat tersebut).

هِيَ آخِرُ مَا نَزَلَ وَمَا نَسَخَهَا شَىْءٌ‏.

Ia adalah yang terakhir turun dan tidak ada satupun yang menasakhkannya

[HR al-Bukhari]

Dan pernyataan ‘tidak ada satupun yang menasakhkannya’ menunjukkan bahawa ayat ini adalah yang terakhir turun berkaitan hukum membunuh mukmin dengan sengaja.

9. Pendapat yang terakhir menyandarkan dalilnya pada sebuah lagi riwayat dari Ibn ‘Abbas yang menyebutkan,

آخِرَ سُورَةٍ نَزَلَتْ

Surah terakhir turun ialah,

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

Apabila datangnya bantuan dari Allah dan pembukaan itu (sehingga penghujung surah)

[an-Nasr(110):1-3]

Dikatakan mungkin ini adalah surah terakhir yang turun sebagai mesej kewafatan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana difahami sebahagian sahabat.

Ataupun ianya adalah yang terakhir turun dalam bentuk surah.

Kesemua pendapat-pendapat ini tiada ada satu dalil riwayat yang Marfu’ (yakni disandarkan terus) kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Setiap satunya menyebutkan berdasarkan ijtihad dan sangkaan kuat, dan berkemungkinan juga setiap riwayat itu menceritakan mengkhabarkan dari yang lain apa yang didengarkan dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Atau apa yang disebutkan sebagai akhir itu adalah akhir dari perspektif tertentu seperti terakhir turun sebagai surah yang lengkap, dan seumpamanya.

Adapun ayat berikut,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

(Yang bermaksud:) Hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kalian, agama kalian (sehingga ke penghujung ayat)

[al-Maidah(5):3]

Ia turun pada tahun berlakunya Hajjatul-Wadda’ (Haji peninggalan) di ‘Arafah, dan zahir ayat menunjukkan lengkapnya agama dari sudut kefardhuan dan hukum-hakam (bukan bermaksud ia adalah ayat terakhir turun seperti yang masyhur diperkatakan).

Malah, telah disebutkan dalam pandangan-pandangan sebelum ini riwayat-riwayat yang menunjukkan ada ayat lain yang turun lebih lewat, selepas ayat ini.

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan