Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 52: Jenis Celak Yang Terbaik

Hadis 52: Jenis Celak Yang Terbaik

614
0
Iklan

Panel: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

52 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْمُفَضَّلِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُثْمَانَ بْنِ خُثَيْمٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمُ الْإِثْمِدُ، يَجْلُو الْبَصَرَ وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ».

52- Telah bercerita kepada kami Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Bisyr bin Al-Mufaddhal, daripada `Abdi Llah bin `Usman bin Khusaym, daripada Sa`id bin Jubayr, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Telah berkata Rasulu Llah: «Sesungguhnya sebaik-baik celak kamu ialah antimoni, ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu».

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini ialah hadis keempat daripada lima hadis yang dibawakan oleh Imam At-Tirmizi dalam bab ini. Walaupun pada bahagian hujung hadis ini faedah memakai celak ismid diulang sekali lagi, tetapi pangkal hadis ini berlainan. Kali ini, lafaz (إِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمُ الْإِثْمِدُ) Sesungguhnya sebaik-baik celak kamu ialah antimoni, digunakan.

Lafaz ini sekali gus menunjukkan bahawa pada celak itu terdapat beberapa gred dan jenis, tetapi yang paling baik ialah antimoni. Hal ini tidak menafikan kebaikan celak yang lain, atau kebolehgunaan celak yang lain, cuma ia menerangkan kelebihan celak antimoni berbanding jenis yang lain.

Hal ini kerana manusia itu datang dalam pelbagai ragam dan jenis, dan mereka juga tinggal di pelbagai tempat dan daerah. Justeru, barangkali ada barang atau keperluan yang tidak sampai atau sukar untuk diperoleh. Barangkali juga, ada antara manusia yang tidak mampu memilih yang terbaik, maka mereka berpada dengan apa yang ada, yang mampu mereka miliki.

Seruan memakai celak ismid ini bukanlah bermakna ia wajib, tetapi ia menunjukkan keutamaan, bagi yang mampu untuk memiliki dan menggunakannya. Justeru, Nabi menunjukkan sebab mengapa celak antimoni ini adalah terbaik, iaitu dengan dua kelebihannya dalam mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu.

Apabila sesuatu bahan, atau produk dipromosikan, ia hendaklah dipromosikan dengan jalan yang benar, dengan sesuatu yang memberikan faedah, bukan dakwaan atau sangkaan semata-mata. Nabi boleh sahaja menyebut hadis ini – iaitu seruan memakai celak – dan menyebutkan contohnya, “kerana ia sunnah saya!”. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, Nabi tidak menggunakan perkataan “sunnah”, kerana ia bukanlah keperluan.

Bercelak ialah amalan orang `Arab, dan ia adalah untuk urusan dunia. Bercelak bukan perkara agama, dan bukanlah ia berkaitan dengan iman atau akhirat. Justeru, bagi perkara yang berkaitan dengan dunia, maka Nabi menyebutkan alasan duniawi – iaitu kelebihan di dunia – tanpa mencampurkannya dengan akhirat.

Lihatlah perbezaan Sunnah Nabi dalam hal mempromosikan barangan ini, berbanding sebahagian orang yang menjual agama dan tidak takutkan `azab Allah di hari pembalasan. Lihatlah berapa ramai orang yang menjual air, tetapi kemudian mempromosikan perkara-perkara akhirat dan ghaib disebabkan air itu. Mengambil cara Nabi mempromosikan barangan dalam hadis ini, seharusnya mereka yang menjual air itu menyebut bahawa “air ini menghilangkan dahaga”, dan bukan mendakwa bahawa “air ini sunnah” atau “air ini menjauhkan syaytan”!

Begitu juga, lihatlah orang yang menjual selipar, tetapi kemudian mempromosikan perkara-perkara yang menunjukkan kebebalan mereka dalam dunia dan agama. Mengambil cara Nabi mempromosikan barangan dalam hadis ini, seharusnya penjual selipar itu menyebut bahawa “selipar ini melindungi kaki daripada duri jalanan”, dan bukan mendakwa bahawa “selipar ini sunnah” atau “selipar ini boleh membawa ke syurga”!

Prinsipnya adalah jelas, apabila mempromosikan sesuatu barangan duniawi, maka hendaklah disebut kelebihan duniawi. Dan kelebihan duniawi itu hendaklah benar tanpa pembohongan, dan hendaklah ia boleh dibuktikan secara saintifik – sama ada cepat atau lambat –.

Lafaz (إِنَّ خَيْرَ) sesungguhnya sebaik-baik, ia bukanlah satu kemestian bagi setiap individu di dunia untuk mencapainya, sebaliknya merupakan objektif atau sasaran yang jika mampu, hendaklah cuba dicapai dan dilaksanakan. Ini kerana dunia diciptakan dengan pilihan, dan manusia diciptakan dengan rezeki dan taqdir masing-masing.

Pepatah Melayu sangat indah apabila menyebut, “Tiada rotan akar pun berguna”. Apabila tiada yang terbaik, maka yang baik juga boleh digunakan dan diambil manfa`at. Apabila nombor satu tiada, maka mungkin yang kedua baik, atau yang ketiga baik, atau yang keempat baik boleh digunakan.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan