Utama Blog Halaman 306

Waktu mengerjakan solat `Id

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
70. Waktu mengerjakan solat `Id.
 
خرج عبدُ اللهِ بنُ بُسْرٍ صاحبُ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مع الناس في يومِ عيدِ فطرٍ أوْ أضحى فأنكرَ إِبْطاءَ الإِمامِ فقالَ إنَّا كُنَّا قد فَرَغْنا ساعتَنا هذه وذلك حينَ التسبيحِ
الراوي : عبدالله بن بسر المازني | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود
الصفحة أو الرقم: 1135 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه
`Abdullah bin Busr sahabat Rasulullah ﷺ keluar bersama orang ramai pada hari `Id Al-Fitri atau `Id Al-Adha, dan beliau mengingkari imam melewatkan solat `Id. Katanya: “Sesungguhnya kita telah kehilangan waktu kita.” Adapun waktu itu adalah pada waktu tasbih (yakni waktu untuk solat Dhuha). – Sunan Abi Dawud, no. 1136.
* shahih menurut An-Nawawi.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Dianjurkan untuk melewatkan sedikit solat `Id Al-Fitri supaya dapat memberikan masa tambahan untuk orang ramai mengeluarkan zakat fitrah. Sedangkan dianjurkan untuk menyegerakan solat `Id Al-Adha supaya orang ramai dapat menyegerakan ibadah korban.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Kesalahan Mengenai Solat Eid (Hari Raya)

0

Kesalahan Mengenai Solat Hari Raya

1.  Menghidupkan dua malam Eid

Kebanyakan orang meyakini bahawa menghidupkan dua malm Eid dengan melaksanakan solat adalah disunatkan.  Bahkan, mereka menyuruh orang supaya melakukannya. Perbuatan ini tidak pernah diajar oleh Nabi saw.

Asy-Syuqairi berkata, “Adapun hadis yang menerangkan keutamaan solat pada malam hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha dan pada hari Arafah adalah dusta dan lemah.  Maka, janganlah kamu semua menggunakannya” (As-Sunan wa Al-Mubtadi’at (ms: 117)

Di antara hadis yang mereka gunakan sebagai dalil adalah:

“Sesiapa yang menghidupkan empat malam, maka wajib baginya untuk memperolehi syurga. Keempat malam tersebut adalah malam Tarwiyah, malam Arafah, malam hari kesepuluh dari bulan Zulhijjah dan malam hari raya” (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Mu’adz, Daif Al-Jami (5358): maudhu’).  Hadis ini maudhu’ (palsu) dan tidak diriwatkan dari Nabi saw.

Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya Eidul Fitri dan malam hari raya Eidul Adha, maka hatinya tidak akan mati pada hari semua hati akan mati.” (Diriwayatkan oleh Tabrani dalm Al-Kabir dari Ubadah, DaifAl-Jami’ (5361):maudhu’).  Hadis ini juga maudhu.

2.  Kesalahan dalam lafaz takbir

Telah berleluasa di kalangan orang muslimin lafaz takbir yang bukan sumbernya dari As-Sunnah ketika hari raya.  Misalnya adalah ucapan mereka:

“Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah yang banyak.  Maha Suci Allah pada waktu pagi dan waktu petang…Dialah yang telah memberi pertolongan kepada hambaNya, memuliakan tenteraNya, dan Dia sendirilah yang telah mengusir pasukan Ahzab.”

Takbir seperti ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Diantara susunan kalimat takbir yang diriwayatkan dengan sahih dari Nabi saw ialah:

“Allah Maha Bear, Allah Maha Besar.  Tiada Tuhan  kecuali Allah, dan Allah Maha Besar. Allah Maha Bear, dan bagiNyalah segala pujian.” (Dikeluarkan oleh Ibu Abi Syaibah (2/2), dan Baihaqi(3/315) dengan isnad sahih.

3.  Berpendapat bahawa solat Eid itu sunat

Ramai orang anggap solat Eid ini adalah sunat dan sesiapa meninggalkannya, tidak berdosa.  Anggapan ini adalah kesalahan besar.  Sebabnya Nabi saw telah memerintahkannya.  Bahkan, beliau memerintahkan agar golongan wanita keluar dari rumah untuk menyaksikan kebaikan ini.

Syeikh Al-Albani mengulas pendapat orang yang mengatakan solat Eid adalah sunat – “Solat Eid adalah sunat muakkadah. Nabi saw tidak pernah meninggalkannya.  Beliau juga memerintahkan golongan lelaki dan wanita supaya keluar melakukannya.”  Ini menunjukkan bahawa solat ini wajib secara fardu ‘ain bukan fardu kifayah.” (As-Sail Al-Jarar (1/315)

4.  Tidak menguatkan bacaan takbir sebelum solat

Nabi menyuruh agar setiap muslim menguatkan bacaan takbir, akan tetapi pada kenyataannya kita dapati kebanyakan dari kita ketika keluar rumah menuju tempat solat hanya diam dan tidak membaca takbir. Perkara ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw.

Takbir yang dimaksudkan bukan takbir secara jama’i (bersama-sama) tetapi adalah takbir secara peribadi kerana takbir yang diucapkan bersama-sama tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw.

5.  Mengumandangkan azan dan iqamah untuk solat Eid

Berlaku secara berleluasa perbuatan bidaah dan perkara terpesong- mengumandangkan azan dan iqamah untuk solat Eid. Perbuatan ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw.

Dari Jabir bin Samurah ra, dia berkata, “Aku pernah solat Eid bersama Nabi saw bukan hanya sekali atau dua kali sahaja tanpa ada azan dan iqamah.”(Dikeluarkan oleh Muslim2/7, Tirmizi (2/532) dan Ahmad(5/91)

Dari Ibnu Abbas dan Jabir ra, keduanya berkata:

“Tidak pernah dikumandangkan azan pada hari raya Eidul Fitri dan hari raya Eidul Adha.”(HR Bukhari-Muslim)

Diriwayatkan oleh Muslim dari Atha’, dia berkata, “Jabir telah memberitahuku bahawa tidak ada azan untuk solat hari raya Eidul Fitri ketika imam keluar dan bukan pula sesudah dia keluar.  Serta tidak ada iqamah, seruan atau sesuatu apa pun.  Tidak ada azan dan iqamah pada hari itu.”(Dikeluarkan oleh Bukhari (2/960), Muslim (2/5) dan Ahmad (5/107)

Imam Asy-Syaukani berkata, “Hadis di atas menunjukkan bahawa tidak ada syariat azan dalam solat dua hari raya..”

Al-Iraqi berkata. “Hendaklah dia melakukan seperti perbuatan ulama secara keseluruhan. Ibnu Qudaah berkata di dalam Al-Mughni, “Kami tidak mengetahui terdapat perkara terpesong dalam perkara ini dari orang yang pendapatnya dianggap sebagai perbezaan pendapat.” (Nail Al-Authar (3/351).

6.  Menunaikan solat (sunat) sebelum dan sesudah solat Eid

Tidak ada riwayat yang sahih bahawa Nabi saw pernah menunaikan solat sunat dua rakaat baik sebelum mahupun sesudah solat Eid sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat hari ini.

Dari IbnuAbbas r.a.dia berkata:

“Nabi saw keluar pada hari raya, lalu beliau menunaikan solat dua rakaat. Beliau tidak menunaikan solat apa pun sebelum solat dua rakaat tersebut ataupun sesudahnya.”

Diriwayatkan oleh jamaah,lalu mereka menambah hadis tersebut, kecuali Termizi dan Ibnu Majah:

“Kemudian beliau pergi pada golongan wanita, sedangkan Bilal sedang bersama mereka.  Beliau menyuruh mereka (golongan wanita) supaya bersedekah. Lalu para wanita tersebut menyedekahkan anting-anting dan kalungnya.” (Dikeluarkan oleh Bukhari (2/989) dan Muslim (2/13)

Dari Ibnu Umar r.a., “Nabi saw keluar pada hari raya.  Beliau tidak menunaikan solat sebelum ataupun sesudahnya.”(Disebutkan):” Bahawa Nabi saw melakukannya.”(Diriwayatkan oleh Termizi(2/538),dan Ahmad(2/57).

Imam Asy-Syaukani berkata, “Pada akhir hadir tersebut terdapat dalil yang menunjukkan makruhnya solat yang dilakukan sebelum dan sesudah solat Eid. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Ibnu Qudamah mengatakan.”Itu adalah pendapat Ibnu Abbasdan Ibnu Umar.”

Az-Zuhri berkata, “Aku tidak pernah mendengar seorang pun dari para ulama kita yang menyebutkan bahawa salah seorang dari golongan salaf umat ini menunaikan solat sebelum ataupun sesudah solat Eid.”

Al-Hafizh berkata di dalam Al-Fath, “Kesimpulannya bahawa solat sebelum dan sesudah solat Eid tidak ada riwayat sahid dalam Sunnah yang menyebutkannya, berbeza dengan orang yang mengqiyaskannya dengan solat Jumaat.  Solat sunat mutlak, tidak termasuk larangan dengan dalil khusus, kecuali jika perkara itu berlaku pada waktu yang tidak disukai pada seluruh hari…”(Nail Al-Authar (3/358-359)

7.  Membaca “As-Solatu Jami’ah”

Imam Az-Zuhri berkata,”Nabi saw ketika solat dua hari raya memerintahkan muezzin membaca, “As-Solatu jami’ah.”

Imam Nawawi mengatakan, “Hadis tersebut mursal dan lemah sehingga tidak dapat dijadikan hujjah.”

(Bantahan): Tidak ada Qiyas jika masih didapati terdapat nas. Nabi saw melakukan solat Eid berkali-kali bersama para sahabat. Tidak pernah diterangkan bahawa beliau memerintahkan supaya mengumandangkan azan ataupun seruan yang lain untuk solat Eid. “Jabir memberitahu kepadaku bahawa tidak mengumandangkan azan, iqamah, seruan atau apa pun ketika solat pada hari raya Eidul Fitri, baik ketika imam keluar mahupun sesudah keluar.” Diriwayatkan oleh Muslim (Muslim dengan syarah Imam Nawawi 6/176)

Imam Ibnul Qayyim berkata, “Ketika Nabi saw telah sampai di tempat solat, beliau menunaikan solat tanpa azan dan iqamah serta tidak membaca kalimat As-Solatujami’ah.” Sunnahnya adalah; tidak melakukan apa pun dari perkara itu.”(Al-Majmu’ 3/295)

8.  Para makmum menguatkan bacaan takbir

Imam Nawawi berkata, “Adapun selain imam, maka disunatkan memperlahankan bacaan takbir, sama sahaja samada dia itu makmum atau orang yang solat sendirian.  Suara yang paling perlahan ialah sekadar yang dapat didengar oleh dirinya sendiri, jika memang suaranya itu tidak didengar oleh orang lain dan tidak menimbulkan kekecohan dan lainnya. Parkara ini adalah umum ketika membaca takbir, tasbih dalam rukuk dan selainya, tasyahud, memberi salam dan doa baik yang wajib dalam solat mahupun yang sunat.”Al-Majmu’(3/292)

9.  Mengangkat kedua tangan ketika takbir

Perbuatan mengangkat tangan ketika tabkir dalam solat Eid tidak pernah diajar oleh Nabi saw.  Imam  Malik berkata, “Aku tidak mendengar sesuatu pun tentangnya.” LihatAl-Irwa’ (640)

10.  Mengatakan wajibnya membaca zikir di antara takbir

Syeikh Mahmud Khattab As-Subki berkata, “Disunatkan untuk memberi tempoh masa di antara dua takbir ketika bertakbir pada solat Eid agar tidak serupa.  Akan tetapi, di antara masa tersebut tidak ada zikir yang disyariatkan menurut para pengikut mazhab Imam Hanafi, Malik, dan Al-Auza’i.  Sebabnya jika zikir itu disyariatkan maka perkara itu telah sampai kepada kita sebagaimana dalam masalah takbir.

Imam Syafi’e dan Ahmad berkata, “Disunatkan berzikir di antara keduanya dengan membaca:

“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada ilah (yang berhak disembah) kecuali Allah, Allah Maha Besar.”

Atau membaca:

“Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah semata-mata,tiada sekutu bagiNya, bagiNyalah kerajaan dan pujian, dan Dialah yang berkuasa atas segala sesuatu.”

Imam Ibnul Qayyim berkata, “Rasulullah saw tidak menetapkan zikir tertentu di antara takbir.” (Zad Al-Ma’ad(1/443)

Hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud ra yang berbunyi, “Bahawa dia memuji Allah, menyanjung-Nya dan berselawat kepada Nabi saw.”(Diriwayatkan oleh Baihaqi dan Tabrani dengan sanad sahih, Irwa’ Al-Ghalil (3/114)

11.  Membuka khutbah dengan takbir

Kebanyakan para khatib dan para dai memulakan khutbah Eid dengan takbir, walhal perbuatan seperti ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw

Imam Ibnul Qayyim berkata: “Adapun kebanyakan pendapat ahli fiqh yang mengatakan bahawa membuka khutbah Istisqa’ (khutbah yang dilakukan ketika solat Istisqa’) itu dengan istighfar dan khutbah dua hari raya itu dengan takbir, maka mereka tidak memiliki sedikit pun asas bahawa perkara itu merupakan Sunnah Nabi saw.

12.  Membahagikan khutbah Eid kepada dua bahagian

Ini adalah kesalahan besar kerana tiada riwayat sahih yang mengatakan bahawa Nabi saw duduk ditengah-tengah khutbah Eid (seperti pada hari Jumaat).

Imam Nawawi berkata di dalam Al-Khulasah, “Yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa dia berkata: “adapun yang disunatkan adalah hendaklah berkhutbah dengan dua kali khutbah ketika hari raya dan memisahkannya dengan duduk adalah hadis daif, sanadnya tidak bersambung, dan tidak memberi ketetapan apa pun di dalam khutbah.”(Fath Al-Qadir(1/428).

Jabir berkata, “Aku menunaikan solat Eid bersama Rasulullah saw.  Beliau memulakan dengan solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah.  Kemudian beliau berdiri dan bersandar kepada Bilal, lalu memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaatiNya. Beliau juga menasihati manusia dan mengingatkan mereka kemudian beliau berlalu sehingga datang kepada kaum dan menasihati mereka.”(Dikeluarkan oleh Bukhari (2/377) dan Muslim (885).

Hadis di atas merupakan dalil yang jelas bahawa perkara itu tidak diajar oleh Nabi saw. Sesungguhnya, khutbah beliau pada hari raya hanya sekali dan beliau tidak duduk pada pertengahannya.

Solat 2 raka`at bagi sesiapa yang tidak sempat solat `Id bersama imam

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
69. Dianjurkan untuk solat 2 raka`at bagi sesiapa yang tidak sempat solat `Id bersama imam.
 
1. Para `ulama’ berbeza pendapat sekiranya seseorang tidak sempat solat `Id bersama imam:
 
(a) Adakah dia perlu solat walaupun secara bersendirian atau tidak?
 
(b) Sekiranya dia perlu solat, bagaimanakah cara mengerjakannya?
 
2. Sebahagian `ulama’ mengatakan tidak perlu solat, sedangkan sebahagian yang lain mengatakan perlu solat walaupun secara bersendirian. Para `ulama’ yang berpendapat perlu solat pula berbeza pendapat tentang jumlah raka`at; sebahagian mengatakan 2 raka`at seperti solat `Id yang asal, sedangkan sebahagian yang lain mengatakan 4 raka`at.
 
3. Al-Bukhari telah menjawab kedua-dua persoalan ini di penghujung perbahasan tentang Dua `Id, beliau membuat satu tarjamah bab:
باب إذا فاته العيد يصلي ركعتين وكذلك النساء ومن كان في البيوت والقرى
Bab: Apabila seseorang terlepas solat `Id (berjama`ah), hendaklah dia mengerjakan solat 2 raka`at, demikian pula para wanita dan mereka yang berada di rumah atau di kampung-kampung.
 
4. Kemudian beliau membawakan beberapa riwayat mu`allaq tentang masalah ini:
 
(a) Anas bin Malik memerintahkan maulanya Ibn Abi `Utbah di Az-Zawiyah supaya mengumpulkan ahli keluarganya dan anak cucunya, dan mereka solat `Id seperti solat orang kota dan bertakbir seperti mereka.
 
(b) Kata `Ikrimah: “Orang-orang kampung berkumpul pada hari `Id, dan mereka mengerjakan solat 2 raka`at seperti yang dikerjakan oleh imam.”
 
(c) Kata `Atha’: “Sesiapa yang terlepas solat `Id (berjama`ah), hendaklah mengerjakan solat 2 raka`at.”
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Hukum mengerjakan solat `Id.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
68. Hukum mengerjakan solat `Id.
 
أنَّ أعرابيًا جاءَ إلى رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ثائِرَ الرأسِ ، فقالَ : يا رسولَ اللهِ ، أخبرنِي ماذَا فرَضَ اللهُ عليَّ من الصَّلاةِ ، فقالَ : الصَّلَوَاتِ الخمْسَ إلا أنْ تَطَّوَّعَ شيئًا . فقالَ : أخبِرْني ما فَرَضَ اللهُ عليَّ من الصيامِ ، فقالَ : شَهْرُ رمضانَ إلَّا أنْ تَطَّوَّعَ شيئًا . فقالَ : أخْبِرنِي بمَا فَرَضَ اللهُ عليَّ من الزَّكَاةِ ، فقالَ : فَأَخْبَرَهُ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ شرائِعَ الإسلامِ ، قالَ : والذي أكْرَمَكَ ، لا أَتَطَوَّعُ شيئًا ، ولا أَنْقُصُ ممَّا فَرَضَ اللهُ عليَّ شيئًا . فقالَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : أَفْلَحَ إنْ صَدَقَ ، أوْ : دخلَ الجنةَ إنْ صدقَ .
الراوي : طلحة بن عبيدالله | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1891 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
Seorang lelaki badui datang berjumpa Rasulullah ﷺ dengan keadaan kepalanya penuh debu, katanya: “Wahai Rasulullah! Khabarkan kepadaku apa yang difardhukan Allah ke atasku tentang solat.” Jawab baginda: “Solat 5 waktu, melainkan engkau ingin melakukan solat tambahan.” Dia berkata lagi: “Khabarkan kepadaku apa yang difardhukan Allah ke atasku tentang puasa.” Jawab baginda: “Puasa bulan Ramadhan, melainkan engkau melakukan ingin puasa tambahan.” Dia berkata lagi: “Khabarkan kepadaku apa yang difardhukan Allah ke atasku tentang zakat.” Kata Thalhah, Rasulullah ﷺ mengkhabarkan kepadanya tentang syari`at-syari`at Islam. Lelaki badui itu berkata: “Demi Dzat yang telah memuliakanmu, aku tidak ingin melakukan ibadah tambahan, namun aku tidak akan mengurangi apa yang Allah fardhukan ke atasku sedikit pun.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Dia akan beruntung jika dia berkata benar,” atau baginda bersabda: “Dia akan masuk syurga jika dia berkata benar.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1891.
 
أُمرْنا أن نُخرِجَ الحُيَّضَ يومَ العيدين، وذواتِ الخُدورِ، فيشهدن جماعةَ المسلمين ودعوتَهُم، ويعتزلُ الحُيَّضُ عن مُصلاهُن ، قالت امرأةٌ: يا رسولَ اللهِ، إحدانا ليس لها جلبابٌ ؟ قال: لتُلبسْها صاحبتُها من جلبابِها.
الراوي : أم عطية نسيبة الأنصارية | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 351 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Kami diperintahkan untuk membawa keluar wanita yang sedang haid pada kedua-dua hari `Id, begitu juga dengan wanita pingitan, agar mereka menyaksikan jama`ah muslimin dan panggilan mereka. Wanita yang sedang haid menjauhi tempat solat mereka.” Berkata seorang wanita: “Ya Rasulullah! Salah seorang daripada kami tidak mempunyai jilbab.” Jawab baginda: “Hendaklah temannya meminjamkan jilbab kepadanya.” – Shahih Al-Bukhari, no. 351.
 
صليتُ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ العيديْنِ . غيرَ مرةٍ ولا مرتينِ . بغيرِ أذانٍ ولا إقامةٍ .
الراوي : جابر بن سمرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 887 | خلاصة حكم المحدث : صحيح
“Aku (Jabir) solat kedua-dua `Id bersama Rasulullah ﷺ bukan sekali atau dua kali, tanpa azan dan tanpa iqamah.” – Shahih Muslim, no. 887.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang hukum mengerjakan solat `Id:
 
(a) Sebahagiannya mengatakan sunnah mu’akkadah, kerana dalam hadits Thalhah ketika seorang lelaki badui bertanya kepada baginda ﷺ tentang solat yang difardhukan, lalu baginda hanya menjawab solat 5 waktu, sedangkan solat `Id tidak termasuk dalam solat 5 waktu.
 
(b) Sebahagian yang lain mengatakan fardhu `ain, kerana dalam hadits Ummu `Athiyyah disebutkan bahawa baginda ﷺ memerintahkan supaya semua umat Islam, termasuklah wanita yang haid untuk menghadiri solat `Id. Bahkan, sekiranya seseorang wanita tidak mempunyai jilbab, dia harus meminjam daripada temannya. Ini menunjukkan bahawa solat ini wajib dihadiri oleh semua orang. Ditambah pula baginda sendiri tidak pernah meninggalkan solat `Id.
 
(c) Sebahagian yang lain pula mengatakan fardhu kifayah, kerana dalam hadis Jabir disebutkan bahawa solat `Id tiada azan dan iqamah. Oleh itu, solat `Id sama seperti solat jenazah (yang hukumnya juga fardhu kifayah).
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Nabi menganjurkan kaum wanita untuk bersama-sama menghadiri solat `Id pada zamannya.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
67. Nabi ﷺ menganjurkan kaum wanita untuk bersama-sama menghadiri solat `Id pada zamannya.
 
 أُمِرْنا أن نُخرِجَ العواتِقَ وذَواتِ الخُدورِ . وعن أيوبَ، عن حفصةَ بنحوِه، وزاد في حديثِ حفصةَ : قال، أو قالتْ : العواتِقَ وذَواتِ الخُدورِ، ويَعتزِلُ الحُيَّضُ المُصَلَّى .
الراوي : أم عطية نسيبة الأنصارية | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 974 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
“Kami diperintahkan untuk keluar (menyaksikan solat `Id), sama ada para gadis dan wanita-wanita pingitan.” Daripada Ayyub, daripada Hafsah juga demikian, ditambah dalam hadits Hafsah: Katanya: “Para gadis dan wanita-wanita pingitan, sedangkan wanita yang sedang haid pula berada jauh dari tempat solat.” – Shahih Al-Bukhari, no. 974..
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Para `ulama’ berbeza pendapat dalam masalah keluarnya kaum wanita menghadiri solat `Id, sebagaimana yang disebutkan oleh At-Tirmidzi:
 
(a) Sebahagian `ulama’ memberikan keringanan kepada para wanita untuk keluar menghadiri solat pada kedua-dua `Id.
 
(b) Sebahagian yang lain membencinya.
 
(c) Diriwayatkan daripada Ibn Al-Mubarak: “Pada zaman sekarang, aku tidak suka para wanita menghadiri solat pada kedua-dua `Id. Sekiranya mereka enggan dan tetap ingin keluar, para suami hendaklah mengizinkan mereka untuk keluar dengan memakai pakaian kebiasaannya, dan janganlah mereka berhias. Sekiranya mereka tetap ingin keluar dalam keadaan berhias, para suami hendaklah melarang mereka daripada keluar.”
 
(d) Diriwayatkan daripada `A’siyah: “Sekiranya Rasulullah ﷺ melihat apa yang terjadi kepada para wanita sekarang, pasti baginda akan melarang mereka daripada keluar ke masjid, sebagaimana para wanita Bani Isra’il dilarang.”
 
(e) Diriwayatkan bahawa Sufyan Ats-Tsauri pada zamannya membenci para wanita keluar untuk menghadiri solat `Id.
 
2. Para wanita yang haid tetap tidak boleh mengerjakan solat `Id, namun mereka dianjurkan untuk bertakbir bersama para jama`ah.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Makan sebelum berangkat untuk solat `Id Al-Fitri.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
66. Makan sebelum berangkat untuk solat `Id Al-Fitri.
 
كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم لا يَغْدُو يوْمَ الفِطْرِ حتَّى يَأْكُلَ تَمَراتٍ . وقال مُرَجَّأُ بنُ رَجاَءٍ : حَدَّثنِي عُبَيْدُ اللهِ قال : حَدَّثّنِي أنسٌ ، عنِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم : وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا .
الراوي : أنس بن مالك | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 953 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
Rasulullah ﷺ tidak berangkat untuk solat `Id pada `Id Al-Fitri sehingga baginda memakan beberapa biji tamar. Shahih Al-Bukhari, no. 953.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Antara hikmah disunnahkan untuk makan sebelum keluar untuk solat `Id adalah supaya tiada sangkaan bahawa seseorang tetap harus berpuasa sehingga dilaksanakan solat `Id Al-Fitri.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Memakai pakaian terbaik pada hari `Id.

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
65. Memakai pakaian terbaik pada hari `Id.
 
أخذ عمرُ جُبَّةً مِنْ إسْتَبْرَقٍ تُباعُ في السُّوقِ ، فأخَذَها فأتى رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم فقال : يا رسولَ اللهِ ، اِبْتَعْ هذه تَجَمَّلْ بها لِلْعيدِ والوُفودِ ، فقال له رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم : إنَّما هذه لِباسُ مَنْ لا خَلاقَ له . فَلَبِثَ عمرُ ما شاء اللهُ أنْ يَلْبَثَ ، ثم أرسل إليه رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم بِجُبَّةِ دِيباجٍ ، فأقبل بها عمرُ ، فأتى بها رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم ، فقال : يا رسولَ اللهِ ، إنَّك قلتَ : إنَّما هذه لِباسُ مَن لا خَلاقَ له . وأَرْسَلْتَ إلَيَّ بِهذِه الجُبَّةِ ، فقال له رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم : تَبِيعُهَا ، أو تُصِيبُ بِهَا حاجَتَكَ .
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 948 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
`Umar mengambil jubah yang dibuat daripada sutera tebal di pasar, lalu membawakan kepada Rasulullah ﷺ, lalu `Umar berkata: “Ya Rasulullah! Belilah jubah ini, berhiaslah dengannya untuk hari `Id dan untuk menerima tetamu.” Rasulullah ﷺ berkata: “Ini adalah pakaian bagi orang yang tidak akan mendapat bahagian (di Akhirat).” Lalu `Umar hilang untuk seketika menurut kehendak Allah. Kemudian Rasulullah ﷺ mengutuskan kepada `Umar jubah yang dibuat daripada sutera, lalu `Umar membawanya kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya: “Ya Rasulullah! Bukankah engkau katakan bahawa ini adalah pakaian bagi orang yang tidak akan mendapat bahagian (di Akhirat), tetapi engkau mengutus jubah ini kepadaku.” Jawab Rasulullah ﷺ: “Juallah”, atau “penuhilah keperluanmu dengannya.”Shahih Al-Bukhari, no. 948.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Berdasarkan hadits ini, dapat difahami bahawa Rasulullah ﷺ bukanlah melarang `Umar daripada berhias dengan pakaian yang bagus pada hari `Id, tetapi baginda melarang kaum lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera.
 
2. Bahkan diriwayatkan juga bahawa Ibn `Umar memakai pakaian yang paling bagus pada kedua-dua hari `Id.
 
3. Berdasarkan hadits ini juga, dapat difahami bahawa larangan untuk memakai pakaian-pakaian yang dilarang tetap berlaku di hari `Id. Ini bererti walaupun kita menyambut hari raya, kita tetap dilarang:
 
(a) Memakai pakaian yang menimbulkan kesombongan.
 
(b) Memakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna (menampakkan rambut, lengan, sebahagian dada, betis, menampakkan bentuk badan), terutama bagi para wanita. Begitu juga dengan pakaian yang boleh menimbulkan fitnah terhadap kaum lelaki (termasuk menggunakan minyak wangi).
 
(c) Memakai pakaian yang kebiasaannya dipakai oleh kaum berlainan jantina.
 
(d) Memakai pakaian yang menyerupai pakaian khas agama lain.
 
(e) Memakai pakaian yang aneh untuk mencari-cari populariti (pakaian syuhrah, لباس الشهرة).
 
(f) Memakai emas bagi kaum lelaki.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Solat Raya: Anjuran Mandi Sebelum Bertolak

0
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
 
64. Dianjurkan untuk mandi sebelum bertolak ke tempat solat.
 
أن ابن عمرَ رضي الله عنهما كان يغتَسِلُ يومَ الفطرِ قبل أن يَغْدو
الراوي : نافع مولى ابن عمر | المحدث : النووي | المصدر : المجموع
الصفحة أو الرقم: 5/6 | خلاصة حكم المحدث : أثر صحيح
“Adapun Ibn `Umar radhiyallahu `anhuma, beliau mandi pada hari `Id Al-Fitri sebelum bertolak (ke tempat solat).” – Al-Majmu`, jilid 5, halaman 6. Kata An-Nawawi: Atsar shahih.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

Revisi Sunnah Takbir Raya

0

 Ringkasan Fiqh Ramadhan:

 
63. Bertakbir bermula terbenamnya matahari terakhir Ramadhan sehingga keluarnya imam untuk solat.
 
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Dan hendaklah kalian mencukupkan bilangan harinya, dan hendaklah kalian mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kalian, agar kalian bersyukur.” – Al-Baqarah, ayat 185.
 
= = = = = = = = = =
 
Penjelasan:
 
1. Ayat ini merupakan anjuran untuk bertakbir di penghujung Ramadhan (ketika masuknya Syawal). Para `ulama’ berbeza pendapat tentang bilakah bermulanya takbir:
 
(a) Ada yang mengatakan takbir tersebut bermula pada malam `Id Al-Fitri.
 
(b) Ada yang mengatakan takbir tersebut adalah ketika melihat hilal Syawal sehingga berakhirnya khutbah `Id Al-Fitri.
 
(c) Ada yang mengatakan takbir tersebut bermula ketika imam keluar untuk melaksanakan solat `Id.
 
(d) Ada yang mengatakan takbir tersebut adalah pada hari `Id Al-Fitri.
 
(e) Ada yang mengatakan takbir tersebut bermula ketika keluar dari rumah menuju ke tempat solat sehingga imam keluar untuk solat `Id.
 
2. Tiada satu pun lafaz takbir `Id yang marfu` daripada Nabi ﷺ, namun telah sampai kepada kita riwayat daripada beberapa orang sahabat, bahkan sebahagian `ulama’ mengajarkan takbir yang tiada keterangan dalam mana-mana riwayat hadits:
 
(a) Lafaz takbir yang diriwayatkan daripada Ibn Mas`ud:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله ُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وللهِ الْحَمْدُ
 
(b) Lafaz takbir yang diriwayatkan daripada Ibn `Abbas:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللَّهُ أَكْبَرُ، عَلَى مَا هَدَانَا
 
(c) Lafaz takbir yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا
 
(d) Lafaz takbir yang diajarkan oleh Asy-Syafi`i:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا اللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا اللَّهَ مُخْلِصِينَ له الدَّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ
 
3. Sebahagian `ulama’ tidak suka sekiranya takbir dilaungkan secara beramai-ramai, namun Al-Bukhari telah menyebutkan secara mu`allaq dalam kitab shahihnya, dengan menggunakan sighah jazam (bentuk penegasan), bahawa `Umar bertakbir di Mina di dalam kubahnya (yakni di dalam khemah) lalu jama`ah di masjid dan di pasar turut bertakbir bersamanya. Begitu juga kaum lelaki dan wanita turut bertakbir di belakang Aban bin `Utsman bin `Affan dan `Umar `Abd Al-Malik pada hari-hari tasyriq di masjid.
 
= = = = = = = = = =
 
Hashtag: #fiqhpuasa

MENEPATI MASA : ANTARA HIKMAH PUASA 

0
Di antara sunnah yang sangat ditekankan oleh Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam ialah melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka. 
 
Ibn ‘Abdil Barr menyebutkan: 
 
أَحَادِيثُ تَعْجِيلِ الْإِفْطَارِ وَتَأْخِيرِ السُّحُورِ صِحَاحٌ مُتَوَاتِرَةٌ
 
“Hadits-hadits tentang menyegerakan berpuasa dan melewatkan sahur, sahih dan mutawatir” 
 
Kata ‘Amr ibn Maymun al-Audi, 
 
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَسْرَعَ النَّاسِ ، إِفْطَارًا وَأَبْطَأَهُمْ سُحُورًا 
 
“Para sahabat Nabi Muhammad sallalLaahu ‘alaihi wa sallam adalah mereka orang-orang yang paling segera berbuka dan paling lewat bersahur”
 
[Fathul Bari]
 
Apa hikmahnya sunnah yang hebat ini?  
 
Supaya TEPAT masuk waktu Subuh, kita mula berpuasa. Dan TEPAT masuk waktu Maghrib, kita berhenti berpuasa. 
 
Dan hikmah ini luput kerana dipandang ringan sehinggakan waktu masuknya Subuh masih berjarak, makanan dan minuman telah dikemaskan. 
 
Sebagaimana luputnya ia juga apabila Maghrib telah tiba, urusan-urusan lain tetap juga diutamakan, menjadikan berbuka ditangguh-tangguh. 
 
Fitrah insan yang beriman asalnya adalah menepati waktu, kerana kita meyakini bahawa MASA adalah perkara yang Allah sediakan untuk kita benar-benar memanfaatkan sebelum ia ditarik dari kita dengan berpisahnya roh dari jasad. 
 
Sungguh merupakan antara akhlaq yang buruk melanggar janji melewati waktu. Lebih teruk lagi meraikan tabiat berpenyakit menyatakan bermula waktunya sekian, tapi hakikatnya lewat dari itu kerana tahu semua orang ‘akan’ lewat. 
 
Solat mengajar kita menepati waktu. Puasa mengajar kita menepati waktu. Zakat juga mengajar kita menepati waktu. Haji juga mengajar kita menepati waktu. 
 
Jangan ditunggu sehingga ianya benar-benar lewat. Sehingga bila ditanyakan apa yang telah engkau lakukan dengan waktumu? Kita terngadah. Menyesal merayu untuk kembali walau untuk satu sujud. 
 
Tak ada yang tinggal dari hasil bertangguh dan melewati waktu kecuali PENYESALAN. 
 
Dengan baki Ramadhan beberapa hari lagi, hidupkan sunnah ini! Hargailah masa! Tepatilah waktu! 
 
#RamadhanMubarakDay25
#صحّح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares 
#ShareTheKhayr

Popular

Iklan

Iklan