Utama Bilik (66) Kesalahan Dalam Solat Kesalahan Mengenai Solat Eid (Hari Raya)

Kesalahan Mengenai Solat Eid (Hari Raya)

1074
0
Iklan

Kesalahan Mengenai Solat Hari Raya

1.  Menghidupkan dua malam Eid

Kebanyakan orang meyakini bahawa menghidupkan dua malm Eid dengan melaksanakan solat adalah disunatkan.  Bahkan, mereka menyuruh orang supaya melakukannya. Perbuatan ini tidak pernah diajar oleh Nabi saw.

Asy-Syuqairi berkata, “Adapun hadis yang menerangkan keutamaan solat pada malam hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha dan pada hari Arafah adalah dusta dan lemah.  Maka, janganlah kamu semua menggunakannya” (As-Sunan wa Al-Mubtadi’at (ms: 117)

Di antara hadis yang mereka gunakan sebagai dalil adalah:

“Sesiapa yang menghidupkan empat malam, maka wajib baginya untuk memperolehi syurga. Keempat malam tersebut adalah malam Tarwiyah, malam Arafah, malam hari kesepuluh dari bulan Zulhijjah dan malam hari raya” (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dari Mu’adz, Daif Al-Jami (5358): maudhu’).  Hadis ini maudhu’ (palsu) dan tidak diriwatkan dari Nabi saw.

Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya Eidul Fitri dan malam hari raya Eidul Adha, maka hatinya tidak akan mati pada hari semua hati akan mati.” (Diriwayatkan oleh Tabrani dalm Al-Kabir dari Ubadah, DaifAl-Jami’ (5361):maudhu’).  Hadis ini juga maudhu.

2.  Kesalahan dalam lafaz takbir

Telah berleluasa di kalangan orang muslimin lafaz takbir yang bukan sumbernya dari As-Sunnah ketika hari raya.  Misalnya adalah ucapan mereka:

“Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah yang banyak.  Maha Suci Allah pada waktu pagi dan waktu petang…Dialah yang telah memberi pertolongan kepada hambaNya, memuliakan tenteraNya, dan Dia sendirilah yang telah mengusir pasukan Ahzab.”

Takbir seperti ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Diantara susunan kalimat takbir yang diriwayatkan dengan sahih dari Nabi saw ialah:

“Allah Maha Bear, Allah Maha Besar.  Tiada Tuhan  kecuali Allah, dan Allah Maha Besar. Allah Maha Bear, dan bagiNyalah segala pujian.” (Dikeluarkan oleh Ibu Abi Syaibah (2/2), dan Baihaqi(3/315) dengan isnad sahih.

3.  Berpendapat bahawa solat Eid itu sunat

Ramai orang anggap solat Eid ini adalah sunat dan sesiapa meninggalkannya, tidak berdosa.  Anggapan ini adalah kesalahan besar.  Sebabnya Nabi saw telah memerintahkannya.  Bahkan, beliau memerintahkan agar golongan wanita keluar dari rumah untuk menyaksikan kebaikan ini.

Syeikh Al-Albani mengulas pendapat orang yang mengatakan solat Eid adalah sunat – “Solat Eid adalah sunat muakkadah. Nabi saw tidak pernah meninggalkannya.  Beliau juga memerintahkan golongan lelaki dan wanita supaya keluar melakukannya.”  Ini menunjukkan bahawa solat ini wajib secara fardu ‘ain bukan fardu kifayah.” (As-Sail Al-Jarar (1/315)

4.  Tidak menguatkan bacaan takbir sebelum solat

Nabi menyuruh agar setiap muslim menguatkan bacaan takbir, akan tetapi pada kenyataannya kita dapati kebanyakan dari kita ketika keluar rumah menuju tempat solat hanya diam dan tidak membaca takbir. Perkara ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw.

Takbir yang dimaksudkan bukan takbir secara jama’i (bersama-sama) tetapi adalah takbir secara peribadi kerana takbir yang diucapkan bersama-sama tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw.

5.  Mengumandangkan azan dan iqamah untuk solat Eid

Berlaku secara berleluasa perbuatan bidaah dan perkara terpesong- mengumandangkan azan dan iqamah untuk solat Eid. Perbuatan ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw.

Dari Jabir bin Samurah ra, dia berkata, “Aku pernah solat Eid bersama Nabi saw bukan hanya sekali atau dua kali sahaja tanpa ada azan dan iqamah.”(Dikeluarkan oleh Muslim2/7, Tirmizi (2/532) dan Ahmad(5/91)

Dari Ibnu Abbas dan Jabir ra, keduanya berkata:

“Tidak pernah dikumandangkan azan pada hari raya Eidul Fitri dan hari raya Eidul Adha.”(HR Bukhari-Muslim)

Diriwayatkan oleh Muslim dari Atha’, dia berkata, “Jabir telah memberitahuku bahawa tidak ada azan untuk solat hari raya Eidul Fitri ketika imam keluar dan bukan pula sesudah dia keluar.  Serta tidak ada iqamah, seruan atau sesuatu apa pun.  Tidak ada azan dan iqamah pada hari itu.”(Dikeluarkan oleh Bukhari (2/960), Muslim (2/5) dan Ahmad (5/107)

Imam Asy-Syaukani berkata, “Hadis di atas menunjukkan bahawa tidak ada syariat azan dalam solat dua hari raya..”

Al-Iraqi berkata. “Hendaklah dia melakukan seperti perbuatan ulama secara keseluruhan. Ibnu Qudaah berkata di dalam Al-Mughni, “Kami tidak mengetahui terdapat perkara terpesong dalam perkara ini dari orang yang pendapatnya dianggap sebagai perbezaan pendapat.” (Nail Al-Authar (3/351).

6.  Menunaikan solat (sunat) sebelum dan sesudah solat Eid

Tidak ada riwayat yang sahih bahawa Nabi saw pernah menunaikan solat sunat dua rakaat baik sebelum mahupun sesudah solat Eid sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat hari ini.

Dari IbnuAbbas r.a.dia berkata:

“Nabi saw keluar pada hari raya, lalu beliau menunaikan solat dua rakaat. Beliau tidak menunaikan solat apa pun sebelum solat dua rakaat tersebut ataupun sesudahnya.”

Diriwayatkan oleh jamaah,lalu mereka menambah hadis tersebut, kecuali Termizi dan Ibnu Majah:

“Kemudian beliau pergi pada golongan wanita, sedangkan Bilal sedang bersama mereka.  Beliau menyuruh mereka (golongan wanita) supaya bersedekah. Lalu para wanita tersebut menyedekahkan anting-anting dan kalungnya.” (Dikeluarkan oleh Bukhari (2/989) dan Muslim (2/13)

Dari Ibnu Umar r.a., “Nabi saw keluar pada hari raya.  Beliau tidak menunaikan solat sebelum ataupun sesudahnya.”(Disebutkan):” Bahawa Nabi saw melakukannya.”(Diriwayatkan oleh Termizi(2/538),dan Ahmad(2/57).

Imam Asy-Syaukani berkata, “Pada akhir hadir tersebut terdapat dalil yang menunjukkan makruhnya solat yang dilakukan sebelum dan sesudah solat Eid. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Ibnu Qudamah mengatakan.”Itu adalah pendapat Ibnu Abbasdan Ibnu Umar.”

Az-Zuhri berkata, “Aku tidak pernah mendengar seorang pun dari para ulama kita yang menyebutkan bahawa salah seorang dari golongan salaf umat ini menunaikan solat sebelum ataupun sesudah solat Eid.”

Al-Hafizh berkata di dalam Al-Fath, “Kesimpulannya bahawa solat sebelum dan sesudah solat Eid tidak ada riwayat sahid dalam Sunnah yang menyebutkannya, berbeza dengan orang yang mengqiyaskannya dengan solat Jumaat.  Solat sunat mutlak, tidak termasuk larangan dengan dalil khusus, kecuali jika perkara itu berlaku pada waktu yang tidak disukai pada seluruh hari…”(Nail Al-Authar (3/358-359)

7.  Membaca “As-Solatu Jami’ah”

Imam Az-Zuhri berkata,”Nabi saw ketika solat dua hari raya memerintahkan muezzin membaca, “As-Solatu jami’ah.”

Imam Nawawi mengatakan, “Hadis tersebut mursal dan lemah sehingga tidak dapat dijadikan hujjah.”

(Bantahan): Tidak ada Qiyas jika masih didapati terdapat nas. Nabi saw melakukan solat Eid berkali-kali bersama para sahabat. Tidak pernah diterangkan bahawa beliau memerintahkan supaya mengumandangkan azan ataupun seruan yang lain untuk solat Eid. “Jabir memberitahu kepadaku bahawa tidak mengumandangkan azan, iqamah, seruan atau apa pun ketika solat pada hari raya Eidul Fitri, baik ketika imam keluar mahupun sesudah keluar.” Diriwayatkan oleh Muslim (Muslim dengan syarah Imam Nawawi 6/176)

Imam Ibnul Qayyim berkata, “Ketika Nabi saw telah sampai di tempat solat, beliau menunaikan solat tanpa azan dan iqamah serta tidak membaca kalimat As-Solatujami’ah.” Sunnahnya adalah; tidak melakukan apa pun dari perkara itu.”(Al-Majmu’ 3/295)

8.  Para makmum menguatkan bacaan takbir

Imam Nawawi berkata, “Adapun selain imam, maka disunatkan memperlahankan bacaan takbir, sama sahaja samada dia itu makmum atau orang yang solat sendirian.  Suara yang paling perlahan ialah sekadar yang dapat didengar oleh dirinya sendiri, jika memang suaranya itu tidak didengar oleh orang lain dan tidak menimbulkan kekecohan dan lainnya. Parkara ini adalah umum ketika membaca takbir, tasbih dalam rukuk dan selainya, tasyahud, memberi salam dan doa baik yang wajib dalam solat mahupun yang sunat.”Al-Majmu’(3/292)

9.  Mengangkat kedua tangan ketika takbir

Perbuatan mengangkat tangan ketika tabkir dalam solat Eid tidak pernah diajar oleh Nabi saw.  Imam  Malik berkata, “Aku tidak mendengar sesuatu pun tentangnya.” LihatAl-Irwa’ (640)

10.  Mengatakan wajibnya membaca zikir di antara takbir

Syeikh Mahmud Khattab As-Subki berkata, “Disunatkan untuk memberi tempoh masa di antara dua takbir ketika bertakbir pada solat Eid agar tidak serupa.  Akan tetapi, di antara masa tersebut tidak ada zikir yang disyariatkan menurut para pengikut mazhab Imam Hanafi, Malik, dan Al-Auza’i.  Sebabnya jika zikir itu disyariatkan maka perkara itu telah sampai kepada kita sebagaimana dalam masalah takbir.

Imam Syafi’e dan Ahmad berkata, “Disunatkan berzikir di antara keduanya dengan membaca:

“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada ilah (yang berhak disembah) kecuali Allah, Allah Maha Besar.”

Atau membaca:

“Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah semata-mata,tiada sekutu bagiNya, bagiNyalah kerajaan dan pujian, dan Dialah yang berkuasa atas segala sesuatu.”

Imam Ibnul Qayyim berkata, “Rasulullah saw tidak menetapkan zikir tertentu di antara takbir.” (Zad Al-Ma’ad(1/443)

Hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud ra yang berbunyi, “Bahawa dia memuji Allah, menyanjung-Nya dan berselawat kepada Nabi saw.”(Diriwayatkan oleh Baihaqi dan Tabrani dengan sanad sahih, Irwa’ Al-Ghalil (3/114)

11.  Membuka khutbah dengan takbir

Kebanyakan para khatib dan para dai memulakan khutbah Eid dengan takbir, walhal perbuatan seperti ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw

Imam Ibnul Qayyim berkata: “Adapun kebanyakan pendapat ahli fiqh yang mengatakan bahawa membuka khutbah Istisqa’ (khutbah yang dilakukan ketika solat Istisqa’) itu dengan istighfar dan khutbah dua hari raya itu dengan takbir, maka mereka tidak memiliki sedikit pun asas bahawa perkara itu merupakan Sunnah Nabi saw.

12.  Membahagikan khutbah Eid kepada dua bahagian

Ini adalah kesalahan besar kerana tiada riwayat sahih yang mengatakan bahawa Nabi saw duduk ditengah-tengah khutbah Eid (seperti pada hari Jumaat).

Imam Nawawi berkata di dalam Al-Khulasah, “Yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa dia berkata: “adapun yang disunatkan adalah hendaklah berkhutbah dengan dua kali khutbah ketika hari raya dan memisahkannya dengan duduk adalah hadis daif, sanadnya tidak bersambung, dan tidak memberi ketetapan apa pun di dalam khutbah.”(Fath Al-Qadir(1/428).

Jabir berkata, “Aku menunaikan solat Eid bersama Rasulullah saw.  Beliau memulakan dengan solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah.  Kemudian beliau berdiri dan bersandar kepada Bilal, lalu memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaatiNya. Beliau juga menasihati manusia dan mengingatkan mereka kemudian beliau berlalu sehingga datang kepada kaum dan menasihati mereka.”(Dikeluarkan oleh Bukhari (2/377) dan Muslim (885).

Hadis di atas merupakan dalil yang jelas bahawa perkara itu tidak diajar oleh Nabi saw. Sesungguhnya, khutbah beliau pada hari raya hanya sekali dan beliau tidak duduk pada pertengahannya.

Komen dan Soalan