Utama Blog Halaman 190

SEBUT IN SYA ALLAH, TAPI NIAT TAK NAK BUAT

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

SEBUT IN SYA ALLAH, TAPI NIAT TAK NAK BUAT

Pesan Imam Al-Awzaie:

ولو قال : أفعل كذا إن شاء الله تعالى

Seandainya seseorang berkata: Aku akan lakukan hal ini, InsyaAllah.

ومن نيته أن لا يفعل

Sedangkan dia berniat untuk tidak melakukannya.

كان كذبا وخلفا

Maka ini merupakan satu pendustaan dan janji yang palsu.

[Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam]

#BroSyariefShares

Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat Ke-11 dan Ke-12

0

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-11

Kata-kata orang munafik

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.[2: 11]

Pengenalan:

Allah SWT ajar kita cara bagaimana hendak mengenali mereka yang munafik itu. Kalau Allah SWT tidak ajar, kita tidak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita, kerana ia adalah penyakit dalaman. Melalui alamat yang Allah SWT berikan ini, kita boleh kenal. Seperti kita nampak asap, itu adalah tanda ada api. Jadi, kalau ada yang bercakap seperti yang disebut dalam Al-Quran ini, tahulah kita yang mereka itu munafik. Tetapi ingat jangan kita pergi kata kepada mereka yang mereka itu munafik pula. Kita kena nasihat dan dakwah kepada mereka, kerana mungkin mereka tidak tahu yang sifat mereka itu munafik. Tugas kita adalah beri dakwah, bukan hendak hukum orang sana sini.

Dan, yang paling penting, kena bandingkan diri kita dengan sifat-sifat dalam ayat- ayat ini kerana kalau kita buat juga macam yang disebut dalam ayat-ayat ini maknanya, kita pun ada sifat munafik dan kita kena betulkan diri kita kalau begitu.

Pertama, golongan munafik ini salah faham dengan kebenaran. Mereka tidak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Maknanya, mereka keliru. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Al-Quran kepada mereka dan mereka tolak, kita boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah hendak terima. Mereka hendak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Quran, bukannya kata-kata kita. Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Quran dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain. Hujah- hujah lain adalah sokongan, namun kena ingat, hujah utama adalah dari Al-Quran. Sebab itu kita belajar tafsir Al-Quran sekarang, supaya selepas ini dalam berhujah, kita guna ayat-ayat Al-Quran. Kemudian, kita gunakan hujah dari hadis sahih pula.

Untuk memahami ayat ini, kita kena tahu keadaan masa ayat ini diturunkan. Kalau kita tidak tahu latar belakang keadaan waktu itu, susah kita hendak faham apakah yang hendak disampaikan. Sebelum penduduk Madinah menerima Islam, Arab Madinah (waktu itu namanya Yathrib) tinggal bersama dengan Bangsa Yahudi. Mereka berkawan dengan Yahudi itu, belajar dari mereka tentang agama, bekerja dengan mereka, berniaga dan sebagainya.

Dipendekkan cerita, ada pemimpin dari kalangan bangsa Arab yang masuk Islam di Mekah setelah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka pulang ke Yathrib, mereka telah mengajak masyarakat mereka yang lain untuk masuk Islam juga. Disebabkan ramai yang sudah masuk Islam, maka yang tidak mahu masuk Islam pun, terpaksa masuk Islam juga, kerana jika tidak, mereka pula yang nampak terpinggir. Oleh itu, dalam hati mereka, mereka tidak terima Islam, tapi pada zahirnya, mereka mengaku yang mereka muslim. Itulah sebabnya mereka munafik – mulut kata Islam, tetapi hati tidak.

Sebelum masuk Islam, mereka dulunya memang menghormati golongan Yahudi itu kerana mereka melihat golongan Yahudi itu, sudahlah kaya dan pandai dalam hal keduniaan, mereka juga pandai dalam hal agama. Bagi Arab Madinah, Yahudi itu golongan yang ada agama, ada kitab dan dulu mereka ada Nabi sebagai ikutan. Jadi, mereka selalu belajar dengan orang Yahudi tentang agama. Orang Yahudi pun beritahulah macam-macam berita agama kepada Arab Madinah itu. Jadi, mereka hormat benar dan percaya benar kepada orang-orang Yahudi itu. Yahudilah yang menjadi tempat rujukan mereka. Tetapi, apabila Islam sudah sampai, sepatutnya mereka hanya berpegang dengan ajaran dari Nabi Muhammad SAW sahaja. Tetapi sebab telah lama merujuk kepada Yahudi dulu, mereka tidak dapat hendak tinggalkan. Maka, mereka masih pergi jumpa dan rujuk kepada Yahudi sebab Yahudi itu seperti ‘Tok Guru’ mereka.

Mari kita tafsir satu persatu:

‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka”.

‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan Munafik. Pada masa ayat ini diturunkan, yang menegur mereka itu adalah para sahabat yang mukmin. Ini kerana para sahabat yang melihat perangai golongan munafik itu pun telah rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu ada juga pergi berjumpa dengan orang Yahudi lagi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi? Kenapa tanya hal agama lagi pada mereka, bukankah kita telah ada Nabi Muhammad SAW?

Begitulah orang yang belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tidak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Sebab kalau kita tengok dan tidak tegur, orang itu akan rasa yang mereka tidak buat salah, mereka fikir: “mesti aku buat ini betul…kalau salah, kawan aku ini telah lama tegur aku.”

‎لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

“Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi”;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat ‘kerosakan’. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Ini bukan kerosakan tebang pokok, rosakkan sungai dan alam ini, ini berkaitan dengan kerosakan dalam hal agama. Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah zaman Nabi seperti yang telah disebut tadi.

Apabila Nabi Muhammad SAW sudah ada di kalangan mereka, ajar agama kepada mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka kata Muhammad SAW kata begini, Pendita Yahudi akan balas dengan berkata begini dan begitu. Selalunya akan berlawanan dengan apa yang Nabi ajar sebab agama mereka telah rosak.

Puak Ansar yang munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka. Mereka kata Pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lebih lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad SAW. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka kata Nabi pula yang tidak betul.

Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan Pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad SAW berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad SAW. Jadi, mereka hendak kawan dengan dua-dua pihak. Mereka hendak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam.

Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan Yahudi, maka orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan akidah yang kuat. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini. Sebenarnya tidak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tidak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada Pendita-Pendita Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Orang kita pun ada kenalan mereka dari kalangan ustaz-ustaz yang mereka telah belajar dahulu. Tetapi ada yang sudah mula kenal dengan ustaz-ustaz sunnah. Malangnya, ada yang dengar apa yang disampaikan oleh ustaz sunnah dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tidak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tidak sama ilmu kita dan mereka. Kerana kita menggunakan dalil dari Al-Quran dan Sunnah, tetapi guru-guru mereka tidak pun belajar Al-Quran dan Hadis Nabi.

Namun, mereka tetap hendak kata, ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu pun ada benarnya. Dan mereka masih lagi mengambil ilmu dari mereka. Sepatutnya mereka tidak boleh lagi belajar dengan ustaz-ustaz yang mengamalkan bidaah itu lagi. Bayangkan, kalau kita tanya tentang kesalahan bidaah dengan mereka yang masih mengamalkan bidaah? Tentulah mereka kata bidaah itu tidak salah, bukan? Kemudian mereka beritahu kepada orang kampung: “Ustaz A kata bolehlah kalau buat tahlil, molek buat tahlil tu….”. Ini sebagai contoh.

Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Begitu juga melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah.

‎قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

“Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang hendak buat baik”;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah.

Mereka kata: “kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah sebenarnya”; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi SAW ada kebenarannya, tetapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka hendak jadi orang tengah. Supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tetapi sebenarnya tidak.

Mereka kata mereka bukan hendak lagakan, tetapi hendak buat baik. Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Itu tidaklah benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.

Ini seperti perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok (bukan semua) pada zaman sekarang. Puak sunnah berpegang kepada ajaran sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah. Jadi, adalah golongan yang kononnya hendak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tetapi mereka tidak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran, kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain telah faham, tetapi mereka yang tidak faham.

Tafsir Ayat Ke-12:

‎أَلا إِنَّهُم هُمُ المُفسِدونَ وَلٰكِن لا يَشعُرونَ

“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

‎أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ

Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah SWT beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas. Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu, iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad SAW itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

Kalau zaman sekarang, kalau ustaz-ustaz yang ajar bidaah masih lagi dijadikan sebagai sumber rujukan, maka orang awam akan keliru, kenapa ramai orang rujuk kepada ustaz itu, tentu ustaz itu betul keliru jadinya.

وَلَٰكِنْ لَا يَشْعُرُونَ

“Sedangkan mereka itu tidak sedar”

Tetapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi Al-Quran, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sebahagian. Jika tidak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Oleh itu, Allah SWT telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.

Allahu a’lam.

Jangan Sampai Celaan Rugikan Kita

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

“Standard yang sebenarnya adalah hubungan antara dirimu dan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jangan sampai banyaknya pujian orang menipu dirimu dan jangan sampai banyaknya celaan orang merugikan dirimu. Yang jadi tolak ukur adalah keridhoan Allah terhadapmu dan Allah mau menerima amalmu.”

Syaikh Muhammad Shalih Al Munajjid –

Tafsir Surah Al-Insyirah – Ayat Pertama

0

Tafsir Surah Asy Syarh atau nama lain, Alam Nasyrah atau Al-Insyirah

Info surah atau trivia surah:

Maksud: Kelapangan / Yang Melapangkan

Surah ke: 94 (akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 12)

Bilangan ayat: 8

Kategori: Makkiyyah

27 kalimat, 103 huruf

Kaitan antara Surah Adh Dhuha dan Asy Syarhu:Kaitan yang amat rapat. Ia adalah penyambungan dari surah Dhuha, dari ayat yang dimulai dengan soalan: أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ (fokus pada lafaz “ALAM” yang bermaksud BUKANKAH?)

(bermaksud: bentuk soalan yang sama terdapat dalam surah Dhuha).

Di hujung surah Dhuha, terdapat pesanan Allah SWT menyuruh Nabi SAW sampaikan dakwah dan ajar agama kepada manusia. Dalam surah ini pula Allah SWT menyebut kelebihan agama itu sendiri kepada baginda.

Dalam surah Dhuha, Allah SWT sebutkan “pasti yang kemudian akan lebih mudah”. Dalam surah ini juga disebut tentang kesenangan yang akan diberikan kepada Baginda selepas kesukaran.

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

“Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?

Konteks ayat ini, ia adalah soalan (istifham taqriri) yang bukan berbentuk meminta jawapan. Tujuan Allah SWT bertanya dalam bentuk itu adalah kerana hendak menekankan yang memang perkara itu telah dilakukan.

Contoh:

Kalau kita cakap kepada seseorang: “bukankah aku telah ingatkan tentang hal itu?”

Soalan itu maksudnya: hendak beritahu yang kita telah diberi peringatan sebelum ini.

Jadi,apakah yang Allah SWT hendak beri penekanan di sini?

Iaitu: Kelapangan dada kepada Nabi Muhammad SAW.

Ada beberapa tafsiran untuk “kelapangan dada Baginda”:

Beberapa tafsiran.

Pertama:

Ibnu Abbas telah mentafsirkan: “Bukankah Kami telah memudahkan hatimu (Muhammad SAW) di hari pengambilan janji (kiamat).

Melapangkan dengan pengetahuan, pemahaman, kemenangan, keyakinan yang teguh.

Kedua:

Riwayat lain dari Ibnu Abbas: Bukankah Kami telah luaskan (kelapangan hati) dengan kenabian.

Kenabian dengan penurunan wahyu ( Al-Quran ) kepada Nabi SAW. Jadi, lebih kurang rumusannya:

Lapang > Nabi : Al-Quran (agama)

Ketiga:

Ada juga mufassir yang memberikan pendapat, ayat ini merujuk kepada kisah bagaimana dada Nabi SAW telah pernah dibelah dan dibersihkan dua kali sepanjang hidupnya.

Namun ia pandangan yang lemah dan tidak sesuai untuk dikaitkan dengan ayat ini.

Dalam erti kata lain, ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT memberikan kelapangan (Islam) kepada Nabi Muhammad SAW (juga sebenarnya maksud umum: kepada seluruh manusia)

Firman Allah SWT SWT: [Al-An’am: 125]

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

“Maka sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam”;

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

“dan sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya)”.

كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

“Demikianlah Allah SWT menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman”.

Kelapangan dada adalah dengan Islam, dan ia adalah tanda Allah SWT memberikan hidayah kepadanya.

Justeru, sesiapa yang cari kelapangan hati selain dari ajaran Islam, maka kena renung-renungkan.

Contoh: Ramai yang cari kelapangan hati kononnya jalan jauh sana-sini. Tidaklah salah secara mutlak, tetapi sebenarnya kelapangan hati tidaklah sesukar itu untuk cari.

Amalkan ajaran Islam: mengaji Al-Quran, solat, sedekah, zikrullah dan lain-lain.

Lawan kepada kalimah Syarh (lapang) pada ayat ini ialah Dhoyyiqan (sempit) iaitu kepada orang yang tidak beroleh hidayah Allah SWT.

Oleh yang demikian iman hendaklah dijaga.

Demikian beberapa info tafsir dan beberapa ilmu tentang “kelapangan” dalam ayat pertama ini.

Kesimpulan dan Ibrah:

1. Kelapangan hati yang sebenar adalah dari Allah SWT. Maka jika sedang diuji/hati tidak tenteram maka kembalikan urusan dan harapan kepada Allah SWT.

Semak hati kita, selama ini terima jenis kelapangan hati yang mana.

2. Allah SWT telah memberikan kelapangan kepada manusia dengan agama (yakni Islam). Oleh itu sesiapa yang mencari kelapangan selain ajaran yang terdapat dalam agama Islam, maka ia mungkin sekadar mainan nafsu.

Amalkan Islam mungkin rasa berat, tidak rasa bagus macam ikut nafsu, tetapi ikut nafsu hanya perasaan lapang seronok/sementara dan tidak hakiki.

3. Orang Islam hatinya sentiasa lapang.

Berbahagia dan bersyukurlah menjadi orang Islam. Nafsu jahat sentiasa menyempitkan, yang tidak mengikut syariat dari Nabi SAW, tidak ada jaminan kelapangan.

 

Allahu a’lam.

Jujur…

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله وَبَرَكَاتُه

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِه فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله💚💚💚
صباح الخير

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَاجْتِنَابَهُ،
بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 3. Hadis Nombor 2038.

Hannad menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah menceritakan kepada kami dari Al-Aamasy dari Syaqiq bin Salamah dari Abdillah bin Masud berkata:

“Rasulullah S.A.W. bersabda: “Wajib atasmu untuk jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan ke kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan ke syurga dan seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran sehingga ditulis dan disisi Allah sebagai seorang yang jujur. Jauhilah dusta kerana sesungguhnya dusta menunjukkan keburukan dan sesungguhnya keburukan itu menunjukkan ke neraka, dan seseorang selalu berdusta dan memelihara dusta sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.

Dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Bakar, Umar, Abdillah bin Asyakhir dan ibnu Umar. Hadis ini adalah hasan sahih.

Kawaid Bid’ah 15/16: Maslahah Mursalah Bukanlah Bid’ah

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

🔘Kawaid Bid’ah 15/16: Maslahah Mursalah Bukanlah Bid’ah

(القاعدة الخامسة عشر: المصلحة المرسلة ليست من البدعة في شيء)

Kosa Kata:
Maslahah Mursalah,

1⃣ Maslahah = Yang memberi kebaikan dan menolak keburukan kepada manusia.

2⃣ Mursalah = lepas bebas

Maslahah Mursalah = setiap manfaat yang didalamnya terdapat tujuan syarak secara umum, namun tidak terdapat dalil yang secara khusus menerima atau menolaknya

Contoh maslahah mursalah:

1⃣ Pemilihan Abu Bakar ra sebagai khalifah, khalifah amat penting tetapi metod memilih khalifah tidak ada nas
2⃣ Tindakan Uthman membukukan AQ menjadi satu musyhaf standard, sedangkan ia tidak ada suruhan dari Nabi saw.

Koleksi penuh Kaedah-Kaedah Dalam Memahami Bid’ah oleh Tuan Hassan Tuan Lah Al-Jazani (THTL)

https://staging-01.uito.org/2015/12/22/memahami-bidaah/

Sapu Air Wuduk Atas Serban Dan Khuff?

0

Tazkirah Harian UiTO

Dipetik dari UiTO Channel: Syarah Sahih Al-Bukhari:
https://telegram.me/UiTOSyarahHadith

Sambung hadis..
Hadis 68

وَعَنْ ثَوْبَانَ – رضي الله عنه – قَالَ: بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – سَرِيَّةً, فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَمْسَحُوا عَلَى الْعَصَائِبِ – يَعْنِي: الْعَمَائِمَ – وَالتَّسَاخِينِ- يَعْنِي: الْخِفَافَ. رَوَاهُ أَحْمَدُ, وَأَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ الْحَاكِمُ.

Dan dari tsauban رضي الله عنه berkata; Rasulullah صلى الله عليه وسلم hantar satu rombongan tentera lalu beliau memerintahkan mereka agar menyapu atas ‘asoib iaitu semutar kepala (serban) dan tasakhin iaitu khuff.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud.

Darjat hadis,
Hadis ini sohih. Disohihkan oleh al Hakim.

Penerangan

1- Hadis ini dalil disyariatkan menyapu atas kain semutar (serban) dan atas khuff (sarung kaki) ketika ambil wudhu sebagai ganti sapuan kepala yang ada kain semutar dan basuh kaki bagi yang memakai khuff.

2- Kain semutar atau serban disyaratkan agar jenis yang dibalut kemas. Biasanya yang disilang berganda kain semutar itu agar kukuh tidak mudah tercabut. Hukumnya sama dengan khuff. Manakala pembalut tangan atau pembalut muka tidak boleh,maka wajib basuh tangan dan muka. Tak boleh dikiaskan dengan semutar dan khuff kerana bagi keduanya itu ada dalilnya. Tapi tidak bagi selainnya.

3- Cara menyapu semutar kepala sama dengan khuff iaitu disapu bahagian atasnya sahaja dan tidak disyaratkan mesti ditolak kebelakang sedikit kain semutar agar nampak kepala. Bahkan disapu diatasnya sahaja sudah mencukupi.

4- Seperti mana khuff, kain semutar tidak disyaratkan hanya ketika musafir sahaja. Bahkan boleh juga ketika bermukim.

5- Khilaf ulama tentang menyapu di atas khuff yang terkoyak:

(A) Ada mengatakan tidak boleh menyapu khuff yang terkoyak walaupun ada sedikit koyaknya. Dalil mereka kerana kaki adalah anggota yang wajib di basuh. Jika terzahir sedikit kawasan kaki yang wajib basuh maka tak sah menyapu khuff.

(B) Ada mengatakan tidak boleh menyapu khuff yang terkoyak kadar tiga jari ke atas.

(C) Ada mengatakan tidak boleh menyapu khuff yang terkoyak banyak. Kadar banyaknya itu ditentukan mengikut uruf.

(D) Ada mengatakan boleh menyapu khuff terkoyak selagi mana boleh dianggap ia masih lagi dipanggil khuff.ini sesuai dengan pendapat ibn taimiyyah, as Tsauri, Ishak, ibn munzir, dan al ‘Auzaei.
Pandangan ini beralasan kadar sedikit dibolehkan dalam hal najis,terbuka aurat dan lain-lain. Dan dalam hadis menyatakan secara mutlak dibolehkan menyapu khuff. Dan para sahabat رضي الله عنهم juga memakai khuff dan sudah tentu lah mereka memakai mengikut adat biasa khuff biasanya terkoyak sana sini. Dan lebih-lebih lagi mereka orang faqir miskin. Sudah tentu susah untuk beli yang baru. Ini nukilan dari pendapat Ibn Taimiyyah. Pendapat ini juga boleh diamalkan kerana sesuai buat orang miskin. Agama Islam mudah tidak sukar diamalkan.

TKK 124/131: Beberapa Kabilah Arab Kembali Menyembah Berhala

0

TKK 124:  Beberapa Kabilah Arab

Kembali Menyembah Berhala

(عودة بعض  قبائل العرب لعبادة الأصنام)

 

Selepas Fathul Makkah, semua berhala di Hijaz di musnahkan secara total. Namun, di akhir zaman, beberapa kabilah Arab kembali menyembah berhala. Jika ia berlaku, kiamat amatlah hampir.

Dalil

فعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا تقوم الساعة حتى تضطرب أليات النساء دؤس على ذي الخلصة>  رواه البخاري ومسلم

Dari jalur Abu Hurayrah ra: “‘Tidak akan datang hari Kiamat hingga punggung-punggung para wanita suku Daus bergoyang disekitar Dzil Khulashah”

Bukhari-Muslim

 

 

Kosa kata hadith musykil:

Dr al-Areefi menjelaskan: Dzil Khulashah adalah berhala milik suku kabilah Daus dekat Thaif dan Bani Khats’am di Tibalah, selatan Mekah. Ketika Fathul Makkah, Nabi memerintahkan dua rumah berhala yang menempatkan berhala Dzil Khulasah diruntuhkan dan dibakar.

Ilyah atau ( أَلَيَاتُ نِسَاءِ) punggung perempuan, maksudnya punggung perempuan (plural) dari suku Daus yang asyik tawaf dan beribadat menyembah berhala.

 

 

Penjelasan Dr. Yusuf bin Abdillah bin Yusuf al-Wabil, Asyratus Sa’aat mengenai hadith ini:

Menurut Dr Yusof, tanda ini telah berlaku pada zaman Imam Muhammad bin Abdul Wahab, wafat 1792 Masehi dengan Imam Muhammad bin Saud, mereka telah memerangi kabilah Daus dan Kats’am kerana kegiatan syirik dan kuburiyun di sana dan beberapa kabila arab yang lain di seluruh Jazirah Arab hingga dakwah tauhid berjaya ditegakkan sekali lagi. Menurut Dr Yusof al-Wabil, ia tanda yang sudah pun berlaku.

Namun menurut Dr al-Areefi, ia belum berlaku lagi bahkan ia berlaku pada akhir-akhir zaman.

TKK 125/131: Hancurnya Bangsa Quraish

0

نهاية العالم
الشيخ محمد العريفي
Nihayah al-Aalam, Prof Dr Muhammad bin abdul Rahman al-‘Areefi, fakulti akidah, King Saud University,  Dar tadmuriyah, Riyadh, KSA

 TKK 125/131:

Hancurnya Bangsa Quraish (فناء قبيلة قريش)

 

 

Nas hadith

فعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :«أسرع قبائل الناس قريش يوشك أن تمر المرأة بالنعل فتقول هذا نعل قرشي> رواه أحمد وأب يعلي وقال الهيثمي في مجمع الزوائد ورجال أحمد وأبي يعلي رجال الصحيح وصححه أحمد شاكر و الالباني

Kabilah Arab yang paling cepat punah adalah Quraisy. Dan hampir-hampir seorang wanita melewati sandal, ia berkata, “Ini dahulu sandalnya orang Quraisy.””

(H.R. Ahmad dan Abu Ya’ala, kata al-Haithami dalam Majma’, sahih sanad, disahihkan oleh S Ahmad Syakir dan S al-Albani, silsilah al-Sahihah, no 738)

 

 

Bahagian  2

يا عائشةُ قَوْمُكِ أَسْرَعُ أُمَّتي بي لَحاقًا
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الصحيحة
الصفحة أو الرقم: 1953 | خلاصة حكم المحدث : إسناده صحيح على شرط الشيخين

Juga dari Aisyah ra,” Wahai Aisyah ra, sesungguhnya kaum dikau (Quraisy) adalah yang paling cepat mengikut jejakku (yakni pupus).

HR Ahmad, sahih sanadnya, al-Albani, silsilah al-Sahihah, no 1953)

 

 

Bahagian 3

Syarah Dr al-Areefi, KSA

قبيلة قريش من القبائل العربية وهم بني فهر بن مالك بن النضر بن كنانة وقريش لقب غلب على بنيه أخذا من النقاش وهو التجارة لأنهم كانوا تجارا

Terj: Bangsa Quraisy adalah salah satu qabilah arab keturunan dari Bani Fahr bin Maalik bin Nadhr bin Kinaanah.  Quraish adalah gelar atau laqab, diambil dari kalimah ‘an-Naqash’ bermaksud tijaarah atau bisnes. Ini kerana bangsa Quraish terkenal dalam perdagangan.

 

 

Bahagian  4

Quraisy kemudian berpecah menjadi beberapa sub-kabilah, antaranya:

وقريش عده بطون وهم :بنو الحارث بن فهر وبنو جذيمة وبنو عائذة وبنو لؤي بن غالب وبنو عامر بن لؤي وبنو عدي بن كعب بن لؤي وبنو مخزوم وبنو تميم بن مرة وبنو زهرة بن كلاب وبنو أسد بن عبد العزى وبنو عبد الدار وبنو نوفل وبنو عبد المطلب وبنو أمية وبنو هاشم وغيرهم

Bani al-Haarith, Jadzimah, ‘A`idzah, Lu’aiy, Bani Amir, Bani Adi, Makhdzum, Tamim, Bani Zahrah, Bani Asad, Bani Abdu Dar, Nawfal, Abdul Muttalib, Umayah, Hasyim dan lain-lain.

 

 

Bahagian 5

ثم تفرق قريش هؤلاء بعد الإسلام أفخاذا كثيرة:كالبكريين والعمريين والعثمانيين والعلويين وغيرهم

Terj: Selepas kedatangan Islam, Bani Quraish berpecah lagi kepada Khulafa’ Arrasyidin: Bani al-Bakariyin, Umariyyin, Uthmaniyyin, ‘Alawiyyin, dan lain-lain. Kemudian Bangsa Arab terus berkembang kerana keluasan jajahan takluk Islam hingga ke Asia jauh dan Eropah di Sepanyol. Di Malaysia, ia dikenali dengan keturunan Syed.

 

 

 

Tanda Kiamat yang akan terjadi ialah pupusnya Bani Quraish, hingga tidak tersisa lagi, maksudnya tidak lagi dapat dikesan. Misalnya di Saudi sekarang yang menguasai politik di Hijaz ialah keturunan al-Saud dari Nejd.

 

Apakah keturunan Quraish masih wujud sekarang?
Jawabnya, Ya, yakni yang masih berkuasa ialah silsilah Raja Jordan dari bani Hasyim, Syria dari Alawiyin atau keturunan Ali. Juga ayatullah di Iran ramai dari keturunan al-Husin bin Ali yang berkahwin dengan puteri Farsi. Juga keturunan Habib di Yemen dan Indonesia, keturunan Syed di Malaysia. Maka tanda ini belum berlaku. 

Mengenal Kehebatan Memuji Allah

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian🔊

~Tadabbur Kalamullah 7 Safar 1437H~

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”[Surah al-Fatihah 2]

#Berkata al-Alusi: “AL-HAMD [ الْحَمْدُ ] menurut pendapat yang masyhur bermaksud puji-pujian dengan lisan terhadap kebaikan.

#Ibnu Abbas, Imam at-Thabari, Abu Hayyan dan Ibn ‘Athiyyah berpendapat AL-HAMD membawa makna syukur.

#Terdapat beberapa kelebihan mengamalkan lafaz AL-HAMD (puji-pujian):

1. Daripada Abu Sa’id al-Khudri, sabda Nabi saw:

“Apabila seseorang hamba berkata Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين), Allah berfirman: “HambaKu telah memujiKu” (HR Muslim, at-Tirmizi dan Abu Dawud)

2. Berkata Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba yang memujiNya ketika menjamah makanan dan memujiNya ketika menghirup minuman” (HR Muslim)

3. Sabda Nabi saw: “Tidaklah seseorang hamba yang mengucapkan “Alhamdulillah” ketika mendapat nikmat daripada Allah melainkan apa yang DIA beri akan menjadi lebih baik daripada apa yang dia ambil” (HR Ibnu Majah)

4. “Alhamdulillah” adalah kata-kata dan ucapan pujian penghuni syurga (Rujuk Surah Fathir ayat 34, Surah al-A’raf ayat 43 dan Surah az-Zumar ayat 43)

♡Banyakkan memuji Allah atas segala nikmat yang telah kita kecapi dan mentaati segala kehendakNya moga-moga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang bersyukur♡

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link 👆 dan klik join)

Popular

Iklan

Iklan