Utama Blog Halaman 141

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-5

0

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-5

Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT telah memberitahu Sifat-sifat-Nya. Apabila makhluk itu tahu betapa Agungnya Allah SWT, hamba itu akan sujud hanya kepada Allah SWT dan tidak akan doa kepada selain dari Allah SWT. Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu betapa Agungnya Dia.

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِن فَوقِهِنَّ ۚ وَالمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيَستَغفِرونَ لِمَن فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ اللهَ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya; dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

تَكَادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya

Langit itu hampir pecah kerana keagungan Allah SWT. Hampir pecah itu kerana takut dan takjub kepada Allah SWT. Kita tidak dapat hendak membayangkan betapa besarnya langit itu sendiri dan langit yang amat besar itu pun takut dan takjub dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kenapa? Kerana langit sedar dengan kebesaran Allah SWT. Kita sahaja yang tidak sedar. Sebab itu kita buat biasa sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa makhluk-Nya yang mengenal kebesaran dan keagungan Allah SWT, akan tunduk dan takut kepada-Nya. Mereka tidak akan berdiri sombong di hadapan Allah SWT. Mereka tidak akan ingkar dengan petunjuk dan perintah Allah SWT.

Kalimah فَوْقِهِنَّ bermaksud ‘di atasnya’. Maknanya kalau langit itu pecah, ia akan bermula daripada bahagian atas, iaitu langit ketujuh pecah dan kemudian langit keenam, kelima dan seterusnya. Ini adalah kerana, langit yang atas adalah yang lebih hampir dengan Allah SWT.

Satu lagi, maksud hampir terpecahnya langit itu adalah kerana marahnya langit kerana kesyirikan manusia yang mengatakan Allah SWT mempunyai anak. Ini ada disebut dalam surah [ Maryam: 90-91 ].

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah SWT) Ar-Rahman mempunyai anak.

Apa yang mereka katakan itu adalah amat buruk sekali, sampaikan hampir-hampir terpecahnya langit itu kerana kemarahan Allah SWT dan kemarahan langit itu. Allah SWT itu Maha Tinggi dan Maha Mulia, lalu bagaimana ada yang mengatakan Allah SWT memerlukan anak? Hanya makhluk sahaja yang memerlukan anak kerana kita lemah dan memerlukan pertolongan. Kita juga inginkan penyambung zuriat kita kerana kita tahu yang kita akan mati.

Namun, Allah SWT akan terus kekal sampai bila-bila. Lalu bagaimana manusia boleh mengatakan sesuatu yang amat dusta tentang Allah SWT? Kalau kita berdusta tentang manusia pun manusia itu sudah marah, apatah lagi kalau yang didustakan adalah Allah SWT, Tuhan kita! Tentulah tidak sama. Jadi, langit itu amat marah kerana ada makhluk yang melakukan syirik kepada Allah SWT. Ini adalah kerana hal syirik itu bukanlah perkara yang kecil.

Ada juga pendapat yang mengatakan langit itu hampir pecah kerana banyaknya malaikat-malaikat yang beribadat kepada Allah SWT dan mereka berada di langit itu. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bagaimana besarnya mereka dan mereka memenuhi langit itu. Apa yang mereka lakukan? Allah SWT sambung lagi:

وَالْمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya

Malaikat-malaikat itu hanya beribadat kepada Allah SWT sahaja tanpa lelah dan tanpa bosan. Mereka tidak pernah ingkar kepada Allah SWT walau sedikit pun. Kerana apa? Kerana mereka kenal Allah SWT dan kenal Sifat-Sifat Allah SWT.

Seperti juga langit yang kenal Allah SWT, malaikat juga amat kenal Allah SWT dan kerana itu mereka amat taat kepada Allah SWT. Itulah maksudnya apabila makhluk mengenal Allah SWT, Maka mereka tidak akan sombong dan akan tunduk kepada-Nya sahaja.

Jadi, pertama sekali, diberitahu dalam ayat ini yang para malaikat beribadat kepada Allah SWT di langit itu.

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ

serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.

Selain dari beribadat, para malaikat itu juga memohon keampunan untuk makhluk, seperti juga disebut dalam surah [ Ghafir: 7 ].

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

Dalam ayat dari surah Ghafir ini, kita boleh tahu bahawa malaikat-malaikat itu hanya meminta keampunan bagi mereka yang beriman sahaja. Tetapi, kenapa kalau mereka sudah beriman, kenapa masih lagi malaikat itu meminta ampun untuk mereka?

Kerana walaupun mereka itu sudah beriman, tetapi kerana mereka itu manusia biasa, maka tentunya ada kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana beruntungnya orang-orang yang beriman sampaikan malaikat pun memohon keampunan untuk mereka.

Ada lagi kelebihan yang kita boleh faham dari ayat ini kerana istighfar bukan sahaja untuk pengampunan dosa tetapi dia juga adalah sebagai asbab (penyebab) diturunkan rahmat yang banyak kepada mereka yang beristighfar itu. Seperti yang disebut di dalam [ Nuh: 10-12 ].

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

“Sehingga aku (Nabi Nuh a.s.) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Dalam ayat ini Nabi Nuh a.s memberitahu kepada umatnya jikalau mereka beristighfar kepada Allah SWT, Allah SWT akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka dan akan memberikan kekayaan serta anak pinak. Jadi, apabila para malaikat itu melakukan istighfar untuk orang-orang yang beriman, ia bukan sahaja untuk menghapuskan dosa mereka tetapi supaya rahmat Allah SWT akan diturunkan kepada mereka juga.

Jadi, ini adalah salah satu cara untuk kita mendapat keampunan dari Allah SWT. Dalil telah diberikan dalam ayat ini. Malangnya, ada yang reka amalan baru seperti mereka yang reka ‘Solat Taubat’. Datang dari mana pun, kita tidak tahu. Tidak ada hadis langsung tentang perkara ini. Yang ada cumalah anjuran melakukan solat sebelum bertaubat – tidaklah itu menjadikan ‘Solat Taubat’.

Apabila sudah direka satu perkara bidaah, ia akan bertambah-tambah. Sebagai contoh, apabila sudah ada Solat Taubat, ada yang tambah pula dengan ‘Mandi Sunat Taubat’. Kemudian direka cara mandi pula – kena mandi pukul 3 pagi. Macam-macam kebodohan yang kita boleh lihat manusia yang jahil lakukan.

Itulah contoh ibadat rekaan yang berkenaan dengan taubat. Padahal, lihatlah dalam ayat surah

[ Ghafir: 7 ], Allah SWT memberitahu kita bahawa para malaikat akan meminta ampun kepada mereka yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah SWT sahaja.

Maknanya untuk mendapat kelebihan doa mereka, kita kena ikut Al-Quran dan Sunnah kerana jalan Allah SWT itu bermaksud ikut Al-Quran dan Sunnah. Itulah cara yang kita patut ikut. Bukannya jalan yang lain. Kalau ikut jalan tarekat, Habib dan guru-guru karut, tidak akan dapat kelebihan ini.

أَلَا إِنَّ اللهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di hujung ayat ini, Allah SWT memberitahu lagi kepada kita sifat-Nya. Itulah kepentingan belajar tauhid menggunakan Al-Quran. Kita belajar tentang Allah SWT dari kalam-Nya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang tidak pasti dari manakah dalilnya.

Dua sifat yang disebut dalam ayat ini adalah sifat-sifat Jamaliah-Nya – sifat-sifat yang cantik yang manusia suka. Ada manusia yang melihat Allah SWT itu sebagai Tuhan yang garang padahal Allah SWT memberitahu tentang sifat-Nya yang Maha Pengampun dan belas kasihan-Nya di hujung ayat ini. Walaupun banyak manusia yang berbuat dosa, malah sampai melakukan syirik, sampaikan langit itu hampir pecah kerana kata-kata mereka, tetapi langit itu tidak pun pecah dan tetap utuh kerana sifat Allah SWT Yang Ghafir dan Rahim itu.

Dan Allah SWT masih tetap mengampunkan dosa syirik kepada mereka yang bertaubat kepada-Nya sebelum mati. Cuma kalau mati tidak sempat bertaubat dari dosa syirik itulah yang Allah SWT kata Dia tidak akan ampunkan. Kalau selagi belum mati, masih ada harapan lagi untuk Allah SWT ampunkan dosa. Tetapi kalau tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik, bagaimana manusia hendak minta ampun dari dosa-dosa syirik itu?

Allahu a’lam.

06.07.02 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

0

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum.. maaf kerana lama ‘bercuti’. Nota seterusnya telah siap. Semoga bermanfaat.

#190517 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.07.02 Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul

– تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ

#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09

3. Sekiranya terdapat berbilang-bilang riwayat pada sebab nuzul ayat yang sama dan semuanya secara jelas menyebutkan ia sebagai sebab nuzul, namun didapati pada salah satu riwayat mempunyai sanad yang sahih, manakala yang lain tidak, maka yang dipegang adalah riwayat yang sahih.

Contohnya seperti riwayat berikut dari Jundub al-Bajali, katanya:

اشْتَكَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَلَمْ يَقُمْ لَيْلَتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا،

RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – mengadu kesakitan, menyebabkan baginda tidak dapat bangun malam – untuk qiyam – selama dua atau tiga malam.

فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي لأَرْجُو أَنْ يَكُونَ شَيْطَانُكَ قَدْ تَرَكَكَ، لَمْ أَرَهُ قَرِبَكَ مُنْذُ لَيْلَتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا‏.‏

Lalu datang seorang wanita dan berkata: ‘Wahai Muhammad, aku benar-benar mengharap agar syaitanmu itu telah meninggalkan engkau! Aku tak melihatnya menemui engkau selama dua atau tiga malam ini’

فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏وَالضُّحَى * وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى * مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى‏}‏

Lalu Allah pun menurunkan surah ad-Dhuha.

[HR al-Bukhari]

Dan terdapat riwayat lain dari Hafs ibn Maysarah, dari ibunya yang merupakan pembantu RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, katanya:

أَنَّ جَرْوًا دَخَلَ بَيْتَ النَّبِيِّ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فَدَخَلَ تَحْتَ السَّرِيرِ، فَمَاتَ،

Seekor anak anjing masuk ke rumah Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – lalu menyorok di bawah katil, kemudian meninggal di situ (dalam keadaan tiada siapa menyedari)

فَمَكَثَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَرْبَعَةَ أَيَّامٍ لَا يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ، فَقَالَ:

Kemudian, Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – tidak menerima wahyu selama 4 hari. Maka baginda berkata:

يَا خَوْلَةُ، مَا حَدَثَ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ جِبْرِيلُ لَا يَأْتِينِي!

“Wahai Khaulah, apa yang berlaku di rumah RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – ini? Jibril tidak datang menemuiku..”

فَقُلْتُ فِي نَفْسِي: لَوْ هَيَّأْتُ الْبَيْتَ وَكَنَسْتُهُ، فَأَهْوَيْتُ بِالْمِكْنَسَةِ تَحْتَ السَّرِيرِ، فَأَخْرَجْتُ الْجَرْوَ،

Akupun berkata kepada diriku: (Apa kata) Kalau aku susun dan bersihkan rumah ini?

Lalu akupun mula membersihkannya dengan penyapu sehingga ke bawah katil, lalu akupun (menemui bangkai anak anjing tersebut dan) mengeluarkannya (dari rumah).

فَجَاءَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – تَرْعَدُ لِحْيَتُهُ، وَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ أَخَذَتْهُ الرِّعْدَةُ

Tiba-tiba, Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – datang dalam keadaan janggutnya bergetar (kerana menggigil), dan biasanya apabila turun wahyu, baginda akan menggigil terkejut.

فَقَالَ: يَا خَوْلَةُ دَثِّرِينِي فَأَنْزَلَ اللَّهُ: وَالضُّحَى… إِلَى قَوْلِهِ : فَتَرْضَى

Baginda berkata: “Wahai Khaulah! Selimuti aku!”

Allah telah menurunkan surah ad-Dhuha.

[HR at-Tabrani]

Ibn Hajar (w.852H) menyebutkan:

وَقِصَّةُ إِبْطَاءِ جِبْرِيلَ بِسَبَبِ كَوْنِ الْكَلْبِ تَحْتَ سَرِيرِهِ مَشْهُورَةٌ، لَكِنْ كَوْنُهَا سَبَبَ نُزُولِ هَذِهِ الْآيَةِ غَرِيبٌ، بَلْ شَاذٌّ، مَرْدُودٌ بِمَا فِي الصَّحِيحِ

Kisah Jibril tertahan (dari menyampaikan wahyu) disebabkan bangkai anak anjing di bawah katilnya adalah masyhur, tetapi untuk ia dinilai sebagai sebab nuzul ayat ini (yakni: surah ad-Dhuha) adalah ganjil, malah syaz (bercanggah) lagi tertolak dengan apa yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari.

[Fathul Bari]

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 83.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

NOTA FIQH DOA MUSTAJAB

0

Waktu Doa Mustajab atau dikabulkan.

 

يا ابن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك على ما كان منك ولا أبالي

“Wahai manusia, selagi engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, Aku mengampuni dosamu dan tidak aku pedulikan lagi dosamu”
(HR at Tirmidzi, ia berkata: ‘Hadith hasan shahih)

 

Muslim yang salafi, bijak dalam berdoa. Berdoa dengan doa yang makthur dan memilih waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa. Bukannya berdoa secara berjemaah dan berdoa di dalam waktu-waktu yang tidak maqbul dan dan di luar waktu puncak.
Siri baru ini iaitu siri waktu berdoa mustajab akan membantu anda berdoa dengan lebih efektif dan efisyen.
 
1. Penghujung malam yang akhir
Dalil AQ:

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

“Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon ampunan”
(QS. Adz Dzariyat: 18)

 

Dalil hadith: Dari Abu Hurairah ra,

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا ، حين يبقى ثلث الليل الآخر، يقول : من يدعوني فأستجيب له ، من يسألني فأعطيه ، من يستغفرني فأغفر له

“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Ku ampuni”
(HR. Bukhari no.1145, Muslim no. 758)

 

Berkata Imam Abu Bakar al-Turthusi,
“Bukanlah muslim yang bijak jika dia berhajat kepada Allah, tetapi melepaskan hajatnya di sepertiga malam dengan tidur.”

 

Orang melayu apabila ada berhajat, mereka mengadakan solat hajat perdana. Contohnya: Ibubapa mahukan anak mereka lulus cemerlang 10 A1 SPM, tetapi di waktu malam mereka tidur dan cuma mengupah lebai melakukan solat hajat bagi pihak mereka.

Tanda-Tanda Kiamat Bahagian II (Musim ke 2)

0

 

Selamat bertemu kembali, segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Nabi saw, keluarga dan sahabat beliau. Syukur alhamdulillah kerana dapat kita meneruskan semula sesi pengajian kita dalam usyul Iman, Iman kepada hari Akhir.

Pada musim pertama, kita telah lalui 130 tanda kiamat kecil dan untuk musim kedua, kita akan habiskan siri ini dengan tanda-tanda besar Kiamat yang bermula dengan kedatangan al-Mahdi yang dijanjikan.

 

Kenapa kita mempelajari tanda-tanda Kiamat?
Penjelasan Al-Quran:

فَهَلْ يَنْظُرُونَ إِلا السَّاعَةَ أَنْ تَأْتِيَهُمْ بَغْتَةً فَقَدْ جَاءَ أَشْرَاطُهَا فَأَنَّى لَهُمْ إِذَا جَاءَتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ

Terj: “Maka apalagi yang mereka tunggu-tunggu selain hari Kiamat, yang akan datang kepada mereka secara tiba-tiba, karena tanda-tandanya sungguh telah datang. Maka apa gunanya kesadaran mereka itu. Apabila hari kiamat itu sudah datang”

 

  • Maka pakej beriman dengan Hari Akhirat, termasuk juga tanda-tandanya. Tujuan didatangkan tanda-tanda Kiamat ialah supaya kita bersedia dan menambahkan keimanan kita kepada hari Akhirat. Contoh mudah ialah kematian kita, ia juga datang bersama tanda-tanda kematian kita seperti uban, darah tinggi, kolestrol, gaut, keletihan, mata kabur, dan sebagainya.

 

Kitab rujukan utama tanda-tanda Kiamat ialah hasil karya Dr Muhammad bin Abdul Rahman Al-Areefi kelahiran KSA.
Biografi Dr al-Areefi

 

Berumur 47 tahun. Beliau dilahirkan di Riyadh dan nasab beliau ialah dari Bani Makhzum (sama keturunan dengan Khalid al-Waleed ra), beliau menuntut di King Saud University, universiti tertua dan terulung di KSA hingga tahap PhD.

Tesis PHD beliau ialah tentang Syaikhul Islam Ibn taymiyah dan tasawwuf, mengenai pandangan sebenar Ibn Taymiyah terhadap sufism dan tareqat.

Merupakan murid Syaikh Ibn Baz rhm dan Dr Al-Jibreen, ahli majlis fatwa KSA, beliau pernah di penjara oleh penguasa KSA kerana mengkritik dasar-dasar luar Saudi.

Buat masa ini dia masih mengajar di King Saud University , KSU di fakulti Akidah, aliran dan mazhab-mazhab. Juga imam dan khatib di Masjid Bawardi di selatan Kota Riyadh.

Kitab yang melonjakkan nama beliau ialah Istimta’ Hayatak atau Nikmatilah HidupMu atau Enjoy Your Life.

 

Jibril AS juga turun untuk mengajar umat Muhammad saw akan tanda-tanda Kiamat.

قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ

Terjemahan :
” Dia (Jibril) bertanya, ‘Lalu kabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya? ‘ Beliau menjawab: “Apabila seorang budak hamba melahirkan tuannya, dan kamu melihat orang yang tidak beralas kaki, telanjang, miskin, penggembala kambing, namun bermegah-megahan dalam membangun bangunan pencakar langit.”
Matan Arba’in an-Nawawiah no 2.

 

  • Maka tanda-tanda Kiamat adalah langkah pengukuhan kita kepada kedatangan Kiamat. Maka dengan kedatangan tanda-tanda ini dan kita mempelajarinya, akan mengukuhkan keimanan kita kepada Hari Akhirat jika kita telah melihat tanda-tanda tersebut.

 

Setakat ini topik al-Mahdi yang sudah dibincangkan pada siri yang lepas. Senarai di bawah ialah sambungan untuk siri kedua.

 

131/131 al-Mahdi al-Muntazar

131.1 Muqaddimah kedatangan al-Mahdi

131.2 Istilah al-Mahdi (lughah dan istilah arab)

131.3 al-Mahdi: Mitos atau realiti

131.4 Syubhah Isu al-Mahdi

131.4.1 Syubhah Ibnu Khaldun

131.4.2 Rashid Ridha

131.4.3 Tokoh-tokoh sejarah yang lain

131.4.3.1 Ahmad Amin

131.4.3.2 Abdullah Zayd al-Qatari

131.4.3.3 Farid Wajdi al-Misri

131.4.3.4 Hasan al-Banna Ikhwani

131.4.4 Rumusan syubhah seputar al-Mahdi

131.5 al-Mahdi: usyul atau Furuk Akidah?

131.6 Nama dan Nasab al-Mahdi

131.7 Ciri-ciri Fizikal al-Mahdi

131.8 Sebab Kemunculan al-Mahdi (ada 7 sebab kenapa al-Mahdi dizahirkan di akhir zaman)
(semuanya kena di baca pada perkongsian di atas)

131.9 kemunculan al-Mahdi, lokasi dan bila berlakunya.

WANITA; 1 AKAL, 9 NAFSU?

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

WANITA; 1 AKAL, 9 NAFSU?

Oleh: Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Sejak sekian lama masyarakat Islam di negara kita sentiasa terdedah dengan perkara yang pelik lagi menarik.

Manusia memang berminat untuk mengetahui, mengeluar dan menyebarkan cerita-cerita yang karut, samada secara lisan, tulisan, filem atau apa saja.

Cerita bahawa kaum lelaki memiliki 9 akal dan 1 nafsu, manakala perempuan pula sebaliknya, iaitu 1 akal dan 9 nafsu memang amat masyhur sekali di kalangan kita.

Ia telah dilihat dan diterima oleh masyarakat kita sebagai sesuatu yang benar. Jika ditanya dari manakah sumber fakta ini diambil, mereka akan menjawabnya; mendengarnya daripada para alim ulama’.

Kata-kata sakti ini dinukilkan daripada dialog yang berlaku di antara Imam al-Hasan al-Basri dengan tokoh Sufi yang masyhur, Rabiatul Adawiyah rahimahumalLah.

Iaitu semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya, beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya.

Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan al-Hasan telah menjawab sebagaimana di atas, iaitu 9:1 dan 1:9.

Demikianlah kisah yang didakwa telah berlaku di antara dua tokoh besar dalam Islam. Kisah ini telah dinukilkan oleh Usman al-Khaubawi, dalam kitabnya “Durrah an-Nasihin” , (dalam buku ini jugalah terdapat hadis masyhur di kalangan orang Melayu tentang kelebihan tertentu setiap malam solat terawih).

Menurut al-Fadhil Dr Abu Zaid, Ahmad Najib Abdullah al-Qari [mantan pensyarah KIAS, sekarang di APIUM, Nilam Puri] melalui makalah beliau dalam majalah “Pengasuh” terbitan MAIK bil 623:

Cerita ini tidak benar sama sekali untuk dinisbahkan kepada al-Hasan al-Basri (apalagi kepada Rasulullah saw) kerana ia diambil daripada sumber yang tidak sahih.

Hujahnya mudah sahaja, al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21H dan meninggal dunia pada 110H. Manakala Rabiatul Adawiyah pula -berdasarkan pendapat yang paling tepat- dilahirkan pada tahun 100H dan meninggal dunia pada 180H

[Lihat: Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’: 8341].

Ini bermakna ketika al-Hasan meninggal dunia, Rabiatul Adawiyah baru berumur 10 tahun, bagaimana pula boleh berlaku dialog sedemikian di antara mereka berdua?

Untuk maklumat lanjut sila lihat majalah “Pengasuh” yang tersebut di atas tadi. Wallahua’lam.

Akhukum, Abu Anas Madani, 23 Syawal 1432H.

Disalin dari http://www.abuanasmadani.com/wanita-1-akal-9-nafsu/

#BroSyariefShares

SIAPA NAMA ISTERI IBLIS?

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

SIAPA NAMA ISTERI IBLIS?

روى الحافظ يعقوب بن سُفيان ( ت 277 هـ ) من طريق الإمام الأعمش قال

al-Hafiz Ya’qub ibn Sufyan meriwayatkan dari jalan al-Imam al-A’masy, katanya:

أتى الشَّعْبِيَّ رجلٌ فقال : ما اسم امرأة إبليس ؟!

Seorang lelaki datang menemui asy-Sya’bi lalu bertanya: Siapa nama isteri Iblis?

فقال : إن ذاك لعرس ما شهدته !

Lalu dijawabnya: Oo.. Aku tak pergi kenduri dia.

[Tarikh Dimasyq]

BroSyarief:

Kayakan hidup dengan interaksi bersama kalam tuhan iaitu al-Quran dan hadits-hadits Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Banyakkan penglibatan aktiviti-aktiviti yang menambah pengetahuan dan meningkatkan kualiti amalan.

Banyakkan bacaan buku dan apa-apa media online atau tidak yang benar-benar bermanfaat.

Kelak apa yang difikirkan dan terlintas untuk ditanyakan juga pastinya bermanfaat.

Dan.. berfikirlah sebelum bertanya.

#BroSyariefShares
___
Channel @BroSyariefShare

BAGAIMANA KITA DENGAN MUSUH KITA?

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

Bagaimana Kita Dengan Musuh Kita?

Oleh: Ust Yasir Ramlee

Ibn Al-Qayyim menukilkan salah seorang perkataan anak murid senior Ibn Taimiyyah berkenaan dengan akhlak guru mereka, katanya:

‎وددت أني لأصحابي مثله لأعدائه وخصومه وما رأيته يدعو على أحد منهم قط وكان يدعو لهم

Aku berharap, aku kepada teman ku dapat bersikap sebagaimana dia (Ibn Taimiyyah) dengan musuhnya dan seterunya.

Aku tidak pernah langsung melihat dia medoakan keburukan kepada salah seorang musuhnya bahkan dia mendoakan kebaikan untuk mereka.

‎وجئت يوما مبشرا له بموت أكبر أعدائه وأشدهم عداوة وأذى له فنهرني وتنكر لي واسترجع ثم قام من فوره إلى بيت أهله فعزاهم وقال : إني لكم مكانه ولا يكون لكم أمر تحتاجون فيه إلى مساعدة إلا وساعدتكم فيه ونحو هذا من الكلام فسروا به ودعوا له وعظموا هذه الحال منه فرحمه الله ورضى عنه

Suatu hari aku datang dengan memberikan khabar gembira kepadanya mengenai kematian musuhnya yang terbesar dan yang paling kuat permusuhan dengannya serta yang paling kuat menyakitinya.

Beliau lalu membentakku dan mengingkari perbuatanku, kemudiannya dia beristirja’ (inna lillahi wa inna ilahi raji’un).

Kemudiannya beliau bergegas bangun menuju ke rumah keluarga orang yang meninggal dan menghiburkan mereka, beliau lalu berkata:

“Aku menggantikan tempatnya buat kamu, dan tiadalah suatu perkara yang kamu memerlukan padanya pertolongan melainkan aku akan membantu kamu padanya”

Dan ucapan semisal ini beliau sebutkan.

Akhirnya mereka berasa senang, mendoakan kebaikan buat beliau (Ibn Taimiyyah) dan kagum dengan sikap beliau, semoga Allah ta’ala merahmati dan meredhainya”

‎[ مدارج السالكين: 2/345]

Sejauh mana akhlaq dan sikap kita jika hendak dibandingkan orang-orang soleh seperti ini?

Selain daripada usaha menuntut dan mencari ilmu, kita juga perlu berusaha untuk memperbaiki akhlak dan peribadi.

Salinan dari http://bit.ly/1QDRAch

#BroSyariefShares

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-52 hingga Ke-56

0

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-52

Tolong Menolong Dalam Hal Kebaikan

Ta’awwun – adalah amal dalam bentuk bantuan dan pertolongan dalam perkara kebaikan

Lihat surah [ Al-Ma’idah: 2 ]:

..Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Terjemahan bahagian akhir ayat ke-2 Surah Al-Maidah.

Maka tasdiqkanlah di dalam hati akan perintah Allah SWT ini dan ia sunnah Rasulullah SAW.

Sampaikanlah akan kepentingan bantu membantu dan tolong menolong dalam hal kebaikan.

Amallah dengan mencari dan memerhatikan di mana-mana yang hampir dengan kita ruang untuk membantu dan menyumbang dari hal kebaikan dan kebajikan.

Cabang Iman Ke-53

Mempunyai sifat Malu

Malu adalah perasaan yang dirasai apabila kita melakukan perkara yang luar dari kebiasaan dan luar dari norma fikiran dan perasaan.

Orang yang tidak tahu malu, tidak merasai apa-apa perasaan apabila membuat perkara yang di luar kebiasaan dan norma.

Kebiasaan seorang di dalam amal soleh, menyebabkan dia malu hendak berbuat maksiat.

Mafhum dari satu hadis yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya:

“Apabila tidak ada perasaan malu, buat lah apa-apa pun”

Tasdiqkanlah mempunyai sifat malu adalah suatu yang terpuji.

Sampaikanlah semua dalam diri setiap Muslim merasai rasa malu kepada Allah SWT, serta malu terhadap Rasulullah SAW yang telah menyampaikan agama dengan susah payah demi untuk menyelamatkan manusia dari seksa neraka, dan mahu semua manusia kekal di syurga.

Amallah dengan menerap sifat malu untuk melakukan perkara yang buruk dari pandangan agama. Rasulullah SAW mempunyai sifat malu seperti anak dara, dan sifat malu Usman ra selalu dijadikan contoh oleh Rasulullah SAW.

Cabang Iman Ke-54

Berbuat kepada kedua orang tua: Birr walidayn

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِنْكُمْ وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. [ Al-Baqarah: 83 ].

Doa khas untuk ibu bapa dalam surah [ Al-Isra’: 24 ].

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [ Al-Isra’: 24 ].

Ihsan kepada ibu termasuk taat dalam hal kebaikan.

Doa keampunan dan rahmat di sana untuk ibu bapa yang telah tiada.

Tasdiqkanlah akan perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah perintah Allah SWT dan anjuran Rasulullah SAW.

Tablighkan lah kepentingan berbuat kebajikan kepada kedua-dua ibu bapa.

Amallah dengan menjaga kebajikan mereka dan membuat hati mereka senang. Di dalam Al-Quran Allah SWT memberikan amaran supaya menjaga tutur kata agar tidak mengguris hati kedua ibu bapa kita walau dengan satu perkataan “uh” sahaja. Menjaga tutur kata dan doakan mereka.

Cabang Iman Ke-55

Menyambung Silaturahim

Silaturahim adalah hubungan darah / kekeluargaan.

Lihat bahagian akhir ayat 1, surah An-Nisaa’

“…Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Mafhum dari satu hadis fadhilat menjaga silaturrahim, di lapangkan rezeki dan dipanjangkan usia

Tasdiqkan lah akan perintah menjaga hubungan silaturahim ini di dalam hati kita.

Tablighkan lah akan anjuran dan ancaman mereka yang tidak menjaga hubungan silaturrahim ini.

Amallah dengan mengambil tahu silsilah keluarga di sebelah bapa dan ibu kita, dan mengetahui ehwal mereka. Ziarah dan bantulah mereka di dalam kesempatan yang ada.

Cabang Iman Ke-56

Menahan marah, Berlemah Lembut dan Tawadhu’

Ketiga-tiga ini Al-Baihaqi satukan kerana ia adalah sifat yang memerlukan tahammul (menahan perasaan) yang sama.

Seorang yang mahu menahan kemarahan, dia mesti cuba berlemah lembut dan bertoleransi, manakala untuk berlemah lembut dia mestilah merasakan dirinya sama taraf dengan sesiapapun dari hal manusiawi.

Menahan kemarahan terdapat satu hadis yang Sahih dalam matan Arba’in:

La Taghdob La Taghdob La Taghdob

عن أبي هريرة رضي الله عنه ، أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم : ” أوصني ” ، قال : ( لا تغضب ) ، فردّد ، قال : ( لا تغضب ) رواه البخاري .

Maka benarkanlah akan menahan kemarahan itu adalah bahagian dan cabangan amal yang terhubung dengan hal iman yang di perintahkan oleh Allah SWT dan ditunjukkan cara dan kaifiayat oleh Rasulullah SAW.

Maka sampaikanlah akan perintah ini, ia sunnah bahkan ia suatu yang sangat baik dalam hubungan sesama manusia.

Amallah dengan menguruskan kemarahan kita dengan mengutamakan perasaan terhadap hal-hal diniyyah (keagamaan) daripada perasaan yang tercetus disebutkan keinginan keduniaan yang harus. Rasulullah SAW memarahi dalam hal agama, dan menahan kemarahan dalam hal keduniaan, misalnya tiada pernah Rasulullah SAW mengadu tentang sifat-sifat khadamnya seperti mana kata Anas bin Malik ra.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-53 dan Ke-54

0

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-53

Dalil Aqli Afaqi

سَنُريهِم آيٰتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belum kah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum kah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhan mu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

سَنُرِيهِمْ آيٰتِنَا فِي الْآفَاقِ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segala penjuru;

Lihatlah alam ini dengan mata hati: kalau pergi tepi pantai atau di kaki bukit, atau di mana-mana sahaja, boleh nampak kebesaran Allah Taala. Kita akan dapat lihat betapa indahnya alam ini.

Sepatutnya apabila kita melihat kepada ufuk, kita akan melihat betapa hebatnya kuasa Allah. Kalau alam yang begini cantik pun kita lihat hebat, apatah lagi Allah yang menjadikannya? Adakah sembahan-sembahan mereka selain Allah dari Nabi, wali dan malaikat itu ada buat apa-apa?

Perkataan سَنُرِيهِمْ bermaksud ‘akan ditunjukkan’. Manusia pada zaman dahulu tidak nampak kebenaran-kebenaran itu. Namun, apabila semakin lama masa berlalu, semakin kemajuan sains bertambah, semakin terbuka kebenaran-kebenaran itu. Semakin ditunjukkan kepada kita kebenaran-kebenaran yang disebut dalam Al-Quran itu. Ayat-ayat Al-Quran bersesuaian dengan sains.

وَفِي أَنْفُسِهِمْ

dan juga pada diri mereka sendiri;

Kajilah kehebatan kejadian kita – sekali jantung berdenyut, perjalanannya sejauh jarak mengelilingi dunia. Tidak berhenti mengalir dari semenjak kita dalam perut ibu kita hinggalah kita mati nanti.

Dan banyak lagi kehebatan-kehebatan pada diri kita sendiri. Semakin sains meneroka kehebatan diri kita, semakin kita rasa hebatnya Allah SWT yang telah menjadikan diri kita ini.

Segala alam ini dijadikan kepada kita untuk dilihat untuk kita fikirkan. Allah SWT gunakan dua jenis tempat: satu adalah tempat yang jauh – (ufuk) dan satu lagi tempat yang dekat – (diri kita sendiri) sebagai contoh.

Bermakna, ada banyak lagi perkara antara dua perkara itu yang boleh menjadi tanda kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Sehingga nyata jelas bagi mereka bahawasanya ayat-ayat Al-Quran adalah benar;

Kebenaran apa yang hendak dibawakan dalam Al-Quran? Itulah kebenaran bahawa Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu ini, maka kepada-Nya sahajalah kita minta. Jangan minta kepada yang lain, sebab yang selain dari Allah SWT, tidaklah berupaya mencipta apa-apa pun.

Oleh yang demikian, kita kena minta terus kepada Allah SWT, tanpa melalui perantaraan. Itulah tauhid dalam berdoa. Tidak boleh guna perantaraan kerana itulah tawassul dan tawassul itu haram dalam agama Islam.

Allah SWT kata Dia akan tunjukkan kebenaran yang ada dalam Al-Quran. Lihatlah sekarang, bagaimana kadang-kadang sains baru dapat jumpa kebenaran yang telah lama disebut dalam Al-Quran. Zaman sekarang baru manusia dapat faham dengan lebih mendalam lagi.

Sebagai contoh, Al-Quran menyebut ‘alaq’ untuk zigot bayi. Dari segi bahasa, ‘alaq’ bermaksud ‘lintah’. Sekarang, apabila manusia telah boleh lihat dalam perut ibu, boleh besarkan penglihatan kita dengan menggunakan mikroskop, barulah jelas nampak bahawa memang zigot bayi itu macam lintah.

Al-Quran menyebut bahawa besi itu ‘diturunkan’. Kalau diturunkan, bermakna besi itu bukan berasal dari dunia tetapi jatuh dari tempat lain. Sekarang, barulah saintis dapat tahu bahawa memang besi itu adalah jatuhan meteor dari langit.

Ayat-ayat seperti itu sepatutnya menambahkan iman kita. Islam tidak lari dari sains. Bila sains semakin maju, semakin jelas nampak kebenaran Al-Quran.

Ayat-ayat sebegitu adalah salah satu dari mukjizat Al-Quran. Ini akan lebih banyak dipelajari jikalau kita mempelajari satu bidang ilmu yang dikenali sebagai i’jazul Al-Quran.

Kita boleh tahu kehebatan pelukis dengan tengok gambar yang dia lukis. Tidak perlu tengok pelukis pun kita sudah tahu tentu hebat pelukis itu.

‘Lukisan’ Allah SWT pada alam. Tidak perlu tengok Allah SWT pun sudah tahu mesti Allah SWT hebat boleh buat alam yang hebat begini.

أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ

Apakah tidak cukup bagi kamu dengan Tuhan kamu sahaja?

Ini adalah Dalil Aqli. Nampak dari segi luaran, Nabi Muhammad SAW tidak ada apa-apa untuk mempertahankan diri baginda dari serangan penentang mereka. Allah SWT hendak memberitahu, tidak cukup kah kalau baginda berharap dan bergantung kepada Allah SWT sahaja? Tentu cukup.

Dan hendak memberitahu kita tentang tauhid dalam berdoa: Tidak cukup kah Allah SWT sebagai tempat untuk kita berharap? Pohon dan ibadat hanya kepada Allah SWT. Harap hanya kepada Allah SWT sahaja.

Tidak perlu berharap kepada yang lain. Tidak perlu berharap kepada makhluk. Kalau kita berharap kepada makhluk, kita akan kecewa kerana makhluk tidak punya apa-apa.

Maka, berdoalah terus kepada Allah SWT. Allah SWT tidak perlu perantaraan dalam doa. Allah SWT tidak memerlukan ‘broker’ untuk menyampaikan hasrat kita. Allah SWT tahu apa yang kita hendak.

أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Sesungguhnya Dia itu atas segala sesuatu itu sedang menyaksi.

Allah SWT melihat segalanya apa yang kita lakukan. Allah SWT tahu apa yang kita perlukan. Tidak perlu cakap pun Allah SWT telah tahu apa yang kita hendak. Namun, Allah SWT hendak mendengar kita meminta kepada-Nya.

Tafsir Ayat Ke-54:

Takhwif Duniawi

أَلا إِنَّهُم في مِريَةٍ مِّن لِّقاءِ رَبِّهِم ۗ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ مُّحيطٌ

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak – ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu.

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ

Ketahuilah semua, sesungguhnya mereka duduk dalam keraguan

Perkataan مِرْيَةٍ digunakan apabila seseorang ragu dengan sesuatu yang jelas nyata.

Ayat-ayat Al-Quran itu telah jelas nyata tetapi mereka masih lagi tidak percaya. Ayat-ayat tentang Tauhid yang ada dalam Al-Quran, memang sudah cukup untuk digunakan oleh manusia faham apakah maksud tauhid itu – berkali-kali diulang-ulang.

Tetapi mereka yang degil masih lagi beri hujah dan alasan yang macam-macam untuk tolak kebenaran yang ada dalam Al-Quran ini.

Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran. Mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Masyarakat kita hanya pandai membaca Al-Quran sahaja, tetapi mereka tidak faham makna dalam Al-Quran. Alangkah sedihnya, alangkah ruginya!

مِّنْ لِّقَاءِ رَبِّهِمْ

terhadap perjumpaan dengan Tuhan mereka;

Mereka tidak yakin pertemuan dengan Allah SWT. Kalau kita tanya, memang mereka akan jawab yang mereka akan berjumpa dengan Tuhan. Tetapi, kalau kita lihat bagaimana mereka menjalankan kehidupan mereka, macam mereka tidak percaya.

Keyakinan iman untuk berjumpa dengan Allah SWT tidak kelihatan dalam diri mereka. Mereka seperti tidak takut untuk bertemu dengan Allah SWT dan terpaksa menjelaskan kenapa mereka menolak tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

Kalau di dunia, mereka boleh beri berbagai-bagai hujah mereka, tetapi nanti di hadapan Allah SWT, mereka sangka mereka boleh berhujah dengan Allah SWT?

أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطٌ

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah SWT terhadap segala sesuatu itu meliputi.

Kerajaan-Nya dan ilmu-Nya meliputi alam semesta. Tidak ada harapan untuk mereka keluar dari liputan Allah SWT. Maka Allah SWT cabar mereka yang ingkar: buatlah apa kamu hendak buat, kamu tidak akan terlepas.

Penutup Surat Fussilat

Surah ini dimulakan berkenaan Al-Quran. Bagaimana Al-Quran itu dijelaskan – Fussilat – dengan sejelas-jelasnya. Tidak ada keraguan pada Al-Quran itu.

Dan di hujung surah, ditunjukkan bagaimana ada kebenaran-kebenaran yang boleh dijelaskan dengan sains. Ini menambah keyakinan kita kepada Al-Quran.

Selain dari memperkatakan tentang Tauhid dalam Doa, surah ini juga tentang dakwah.

Kita diingatkan dalam surah ini yang dakwah itu mesti menggunakan Al-Quran. Kita boleh lihat sendiri bagaimana surah ini bermula dengan penjelasan tentang Al-Quran dan akhirnya disebut tentang Al-Quran semula. Ini mengajar kita supaya dakwah itu dimulakan dengan Al-Quran dan diakhiri dengan Al-Quran juga.

Itulah sunah dakwah Nabi kita. Kalau kita tidak pakai Al-Quran dalam dakwah kita, maka ada masalah dalam dakwah kita.

Allahu a’lam.

 

Penyebab Di Timpa Laknat Allah

0

Penyebab Di Timpa Laknat Allah

Firman Allah SWT

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ ۙ أُولَٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ * إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَٰئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

 “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” [ Al-Baqarah: 159-160 ].

Ayat ini menceritakan mengenai penyebab manusia ditimpa LAKNAT. Penyebabnya kerana mereka menyembunyikan apa-apa yang telah Allah SWT turunkan di dalam al-kitab (Al-Quran).

Beratnya ancaman dan balasan disebabkan perbuatan menyembunyikan kebenaran menyebabkan orang lain menjalani kehidupan yang tidak sempurna kerana petunjuk yang merupakan pedoman dan panduan hidup disembunyikan. Padahal petunjuk Allah SWT merupakan satu-satunya bekal dlm memelihara manusia dan alam ini. Mereka layak dilaknat!!

Apabila Allah SWT melaknat maknanya Allah SWT menjauhkannya daripada rahmat (kasih sayang Allah SWT) iaitu dia tidak mendapat rahmat dengan sempurna atau tidak mendapat rahmat sama sekali. Maka dia terdedah dengan ancaman azab, bala, seksa dan murka Allah SWT.

Allah SWT berserta makhluk-Nya terus melaknat sehinggalah penyembunyi kebenaran melakukan ketiga-tiga perkara tersebut:

1. Bertaubat dengan menyesali kesalahannya.

2. Melakukan seberapa banyak kebaikan untuk menebus kesalahannya.

3. Menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan.

♡Menyembunyikan kebenaran menjadi penyebab kerosakan manusia. Jangan biarkan diri berada dalam azab yang berpanjangan. Ayuh!!sebarkan kebenaran♡.

 

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan