Utama Blog Halaman 140

Bahasa Arab Asas – Pelajaran Ketiga dan Keempat

0

بسم الرحمن الرحيم

PELAJARAN KETIGA

الدَّرْسُ الثَّالِثُ

Pembahagian Kalimah ( الكلمة )

Kalimah atau lafaz terbahagi kepada tiga kelompok.

  1. اِسْمٌ : Kata nama
  2. فِعْلٌ   : Kata kerja
  3. حَرْفٌ : Huruf

PELAJARAN KEEMPAT

الدَّرْسُ الرَّابِعُ

Kata nama ialah kalimah yang menunjukkan kepada:

  1. Manusia ( اِنْسَانٌ ) :
  2. Binatang ( حَيَوَانٌ )
  3. Tumbuhan ( نَبَاتٌ )
  4. Benda ( جَمَادٌ )
  5. Tempat ( مَكَانٌ )
  6. Masa ( زَمانٌ )
  7. Sifat ( صِفَةٌ )
  8. Kalimah yang membawa makna yang tidak terikat dengan masa

( مَعْنَى مُجَرَّدٌ مِنَ الزَّمَانِ )

A. Kata nama yang menunjukkan manusia ( إنسان )

الإسم يَدُلُّ عَلى الإِنْسّان

  1. Orang lelaki ( رَجُلٌ )
  2. Orang perempuan ( اِمْرَأّةٌ )
  3. Datuk ( جَدٌّ )
  4. Nenek ( جَدَّةٌ )
  5. Bapa ( أبٌ / وَاِلدٌ )
  6. Ibu ( أُمٌّ / وَالِدَةٌ )
  7. Anak lelaki ( وَلَدٌ/ اِبْنٌ )
  8. Anak perempuan ( بِنْتٌ /ابْنَةٌ )
  9. Saudara lelaki ( أخٌ )
  10. Saudara perempuan ( أُخـتٌ )
  11. Cucu ( حَفِيْدٌ )

B. Kata nama yang menunjukkan kepada binatang

الإِسُمُ يَدُلُّ عَلىٰ الحَيَوَان

  1. Gajah ( فِيْلٌ )
  2. Harimau ( نَمِرٌ )
  3. Singa ( أَسَدٌ )
  4. Ayam jantan ( دِيْكٌ )
  5. Ayam betina ( دَجَاجَةٌ )
  6. Lembu betina ( بَقَرَةٌ )
  7. Kuda ( حِصَانٌ )
  8. Musang ( ثَعْلَبٌ )
  9. Anjing ( كَلْبٌ )
  10. Kambing ( غَنَامٌ )

C. Kata nama yang menunjukkan kapada tumbuhan

الإِسُمُ يَدُلُّ عَلَى النَّبَاتِ

  1. Pokok ( شَجَرَةٌ )
  2. Bunga mawar ( وَرْدَةٌ )
  3. Pohon tamar ( نَخْلٌ )
  4. Buah tamar ( تَمْرٌ )
  5. Buah tin ( تِيْنٌ )
  6. Buah zaitun ( زَيْتُون )
  7. Buah delima ( رُمَّانٌ )
  8. Buah epal ( تُفَّاحٌ )
  9. Pisang ( مَوْزٌ )
  10. Bunga ( زَهْرَةٌ )

D.  Kata nama benda

الإسم يَدُلُّ عَلَى الجَمَادِ

  1. Meja ( مَكْتَبٌ )
  2. Kerusi ( كُرْسِيٌّ )
  3. Pintu ( بَابٌ )
  4. Tingkap ( نَافِذَةٌ )
  5. Rumah ( بَيْتٌ / مَنْزِلٌ )
  6. Buku ( كِتَابٌ )
  7. Pen ( قَلَمٌ )
  8. Pensel ( مِرْسَمٌ )
  9. Buku tulis ( دَفْتَرٌ )
  10. Pembaris ( مِسْطَرَةٌ )

كُلُّ كَلِمَةٍ تَدُلُّ عَلَى المَكَان

E.  Setiap kalimah yang menunjukkan tempat

  1. Baghdad ( بَغْدَاد )
  2. Al-Qahirah ( القَاهِرَةُ )
  3. Makkah ( مَكَّةُ )
  4. Jaddah ( جَدَّة )
  5. Qatar ( قَطَر )

F.  Perkataan yang menunjukkan masa 

كُلُّ كَلِمَةٍ تَدُلُّ عَلَى الزَّمَانِ

  1. Hari   ( يَوْمٌ )
  2. Minggu ( أُسْبُوعٌ )
  3. Bulan ( شَهْرٌ )
  4. Tahun ( سَنَةٌ / عَامٌ )
  5. Kurun ( قُرْنٌ )

G. Perkataan yang menunjukkan sifat

كُلُّ كَلِمَةٍ تَدُلُّ عَلَى الصِّفَةِ

  1. Besar ( كَبِيْرٌ )
  2. Kecil   ( صَغِيْرٌ )
  3. Cantik ( جَمِيلٌ )
  4. Huduh ( خَبِيْحٌ )
  5. Panjang ( طَوِيلٌ )
  6. Pendek ( قَصِيرٌ )
  7. Baharu ( جَدَيدٌ )
  8. Lama ( قَدِيمٌ )
  9. Berat   ( ثَقِيفٌ   )
  10. Ringan ( خَفِيفٌ )

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

0

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-6

Ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ اللهُ حَفيظٌ عَلَيهِم وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ

Dan orang-orang yang menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang disembah dan diharapkan pertolongannya), Allah sentiasa mengawasi tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai soal (bawaan dan amalan) mereka.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah sebagai wali

Tujuan mereka mengambil selain daripada Allah SWT sebagai wali mereka adalah dengan tujuan untuk merapatkan diri dengan Allah SWT sebenarnya. Tujuan mereka baik tetapi dengan cara yang salah.

Kalimah أَوْلِيَاءَ adalah jamak kepada kalimah ‘wali’. Dan siapakah pula ‘wali’ itu? Kalimah wali ini selalu disebut dan mempunyai banyak sekali pentafsiran. Dan ada berjenis-jenis wali dalam dunia ini.

Pertamanya, sifat Wali ini adalah seseorang yang rapat dengan kita dan kalau kita ada masalah, kita akan pergi kepadanya untuk meminta pertolongan.

Wali juga adalah seseorang yang ‘mahu’ memberi perlindungan kepada kita. Walaupun mungkin dia tidak dapat menolong kita, tetapi sekurang-kurangnya, dia berkeinginan untuk memberi pertolongan kepada kita.

Wali juga adalah seseorang yang kita taat kepadanya. Oleh itu, wali bukanlah hanya seseorang yang rapat sahaja dengan kita tetapi yang bantu membantu, taat mentaati. Sebab itulah, wali kepada seorang perempuan adalah ayahnya, atau kalau ayahnya tidak ada, jatuh kepada datuknya atau pakciknya dan ahli keluarganya yang lelaki. Bukankah anak perempuan itu kena taat kepada ayahnya?

Wali juga bermaksud seseorang yang akan membantu dan melindungi kita. Tidaklah dia sentiasa boleh melindungi kita, tetapi sekurang-kurangnya dia mahu melindungi kita. Sebab itu selalunya perkataan ‘wali’ diterjemahkan dalam terjemahan bahasa kita sebagai ‘pelindung-pelindung’.

Selain dari itu, Wali selalunya dikatakan sebagai seorang yang mempunyai kuasa luar biasa yang dapat memberi bantuan. Dalam perkara inilah banyak salah faham manusia. Ramai yang berharap kepada kuasa ‘luar biasa’ wali itu sampai menjerumuskan mereka ke lembah kesyirikan. Mereka sangka orang-orang alim yang telah mati itu diberi pangkat wali oleh Allah SWT dan mereka boleh berharap kepada para ‘wali’ itu. Ini adalah syirik.

Soalan pertama yang kena tanya kepada mereka: “macam mana kamu tahu mereka itu ‘wali’? Kamu adakah sekali semasa wali itu mendapat watikah pelantikan dia?” Tentu tidak ada kerana wali ini rahsia Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang kenal wali. Yang ada sekarang adalah pelantikan ‘tidak rasmi’ iaitu manusia sahaja pandai-pandai kata orang itu dan orang ini sebagai wali.

Oleh itu, sesiapa yang mengambil selain dari Allah SWT sebagai wali, bermaksud mereka itu mengharap kepada wali-wali itu, taat kepada mereka, memohon pertolongan kepada mereka. Ini adalah satu perbuatan yang syirik. Ini adalah kerana mereka telah menyamaratakan kedudukan Allah SWT dengan wali-wali itu. Sepatutnya mereka memohon pertolongan, taat dan mengharap kepada Allah SWT, tetapi mereka buat begitu kepada yang selain Allah SWT.

Lebih teruk lagi, kalau mereka anggap yang wali-wali mereka itu ada kuasa luar biasa dan kerana mereka sangka wali-wali itu ada kuasa luar biasa, mereka sembah, puja wali itu, menyembelih binatang ternakan atau memberi persembahan kepada wali itu. Itu semua adalah perbuatan yang syirik, malangnya ada kalangan orang yang mengaku Islam pun ada buat juga.

Ramai sangat yang buat begitu. Kalau musyrikin Mekah, mereka mengambil berhala-berhala mereka sebagai salah satu dari wali mereka. Tetapi ada juga orang-orang Islam yang melakukan kesalahan yang sama.

Sebagai contoh, ramai yang mengambil orang-orang tertentu yang telah mati sebagai wali. Mereka akan berdoa kepada roh wali yang telah mati itu. Mereka sembelih ayam atau apa-apa sahaja korban, kononnya supaya hajat mereka sampai. Mereka lawat kubur wali itu akan minta macam-macam kepada wali itu. Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan oleh mereka yang jahil. Ada yang sampai dah tawaf keliling kubur itu.

Dari mana mereka dapat ajaran sebegini? Dari guru-guru sesat. Dan itulah yang sekarang telah mula diajar oleh puak-puak Habib di negara ini. Mereka telah mula ajak anak-anak muda kita berkumpul dan beribadat di kuburan ‘wali-wali’ (yang mereka lantik sendiri).

Kita terpaksa sebut tentang keburukan yang dibawa oleh mereka itu kerana jika tidak, akan ramai lagi yang akan sesat kerana terikut-ikut dengan mereka. Mereka datang dengan watak yang nampak alim, buat amalan yang nampak macam islamik tetapi sebenarnya tidak.

Mereka itu akan menyesatkan masyarakat kita kalau kita tidak membongkar kesalahan mereka. Mereka itu tidak lain daripada penyanyi yang hendak mendapatkan upah sahaja dari nyanyian mereka.

Mereka itu sebenarnya adalah golongan quburiiyyun – penyembah kubur – yang telah ditolak di tempat asal mereka – Yaman. Namun, yang hairannya mereka mendapat tempat pula di negara kita ini. Ini adalah kerana kebanyakan orang kita keliru tentang hal agama dan tertipu dengan melihat kepada perwatakan manusia sahaja.

Yang berdoa kepada kubur Nabi Muhammad SAW pun ada juga. Ini adalah kerana salah faham dengan kedudukan Nabi Muhammad SAW. Mereka telah menaikkan baginda ke kedudukan yang melampau tinggi yang tidak sepatutnya bagi seorang manusia. Dan ajaran ini diamalkan dengan banyak sekali kerana dibawa dan diajar oleh guru-guru yang sesat.

اللهُ حَفِيظٌ عَلَيْهِمْ

Allah SWT lah Penjaga atas mereka

Allah SWT yang jaga segala amalan manusia, akan tulis amalan manusia untuk dihukum nanti di akhirat, bukan kamu wahai Muhammad SAW. Ini hendak meringankan tugas Nabi SAW supaya Nabi SAW tidak perlu sibuk dengan mereka.

Biar Allah SWT sahaja yang menjaga amalan derhaka mereka untuk hukum. Nabi SAW hanya perlu tabligh sahaja. Kita pun tidak perlu hendak sibuk jaga dosa dan pahala orang lain. Serahkan kepada Allah SWT sahaja.

Selain dari itu, mereka yang sesat itu mengharap wali-wali itu melindung, menjaga dan memelihara mereka. Tetapi di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kita bahawa Dia lah yang menjaga dan memelihara mereka. Bukannya wali-wali itu yang memelihara dan menjaga mereka kerana wali-wali itu tidak mempunyai kuasa apa pun.

Bukanlah wali-wali itu yang dapat memenuhi doa mereka tetapi Allah SWT. Bukanlah wali-wali itu yang melindungi mereka tetapi Allah SWT lah yang melindungi mereka. Wali-wali itu pun memerlukan perlindungan dari Allah SWT, maka bagaimana mereka hendak lindungi orang lain pula?

Ada antara mereka yang sesat itu yang telah mendapat sesuatu setelah mereka memohon kepada wali-wali yang telah mati itu. Mereka pun kata yang mereka telah dapat kelebihan setelah meminta kepada Wali itu, setelah buat itu dan ini di kubur wali-wali itu.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa walaupun mereka meminta kepada selain dari Allah SWT, tetapi apa sahaja yang mereka dapat sebenarnya adalah dari Allah SWT juga. Bukannya wali itu yang beri. Orang dalam kubur itu pun tidak tahu apa yang diminta kepada mereka.

Sifat Allah SWT adalah Maha Pemurah yang bermaksud walaupun manusia meminta kepada selain dari-Nya, tetapi Dia masih tetap juga memberi kepada manusia itu hajat-hajat mereka. Jadi jangan gunakan apa yang mereka dapat itu sebagai dalil untuk mengatakan perbuatan mereka itu benar. Kesamaran ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat.

Cubalah fikirkan, sebelum mereka meminta kepada wali-wali itu, siapakah yang telah memberi mereka kehidupan dan keselamatan selama mereka hidup? Bukanlah mereka lahir-lahir sahaja telah minta kepada roh wali-wali itu, bukan? Tentulah segala nikmat yang mereka dapat adalah daripada Allah SWT juga dan tidak ada kena mengena dengan wali-wali itu.

Sebenarnya, yang mereka ambil sebagai wali itu adalah syaitan. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana mata hati mereka telah dikelabui. Mereka sangka mereka puja Nabi dan wali, padahal sebenarnya mereka memuja syaitan. Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam [ surah Al-Kahf: 50 ].

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Oleh itu, patut kah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai wali-wali selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim itu, pengganti yang mereka pilih itu.

Maka kenapa hendak ambil syaitan-syaitan sebagai wali, sedangkan mereka itu adalah musuh kamu?

Ada satu lagi pemahaman dari ayat ini: sesiapa yang mengambil wali selain Allah SWT, Allah SWT akan menjadi حَفِيظٌ (Pengawas) ke atas mereka. Allah SWT tahu apa yang mereka lakukan dan Allah SWT tulis apa yang mereka perbuat. Ini adalah bahagian Takhwif Ukhrawi di mana Allah SWT menakutkan kita. Allah SWT hendak beritahu yang Dia akan balas segala perbuatan syirik mereka itu dengan neraka yang mereka akan kekal di dalamnya.

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan engkau bukanlah menjadi penjaga amalan mereka.

Nabi Muhammad SAW tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman dan melakukan amal ibadat. Tidak ada paksaan di dalam agama. Begitu juga kita tidak dapat menjaga amal ibadat orang lain.

Nabi Muhammad SAW dan kita juga hanya boleh menyampaikan dakwah dan mengajak manusia ke arah tauhid sahaja. Tidak boleh buat lebih dari itu. Hanya Allah SWT sahaja yang menjadi wakil kepada mereka bagaimana firman Allah SWT di dalam ayat [Hud: 12 ].

إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah SWT jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu.

Dan di dalam ayat [ Yunus: 99 ], Allah SWT telah memberitahu kita bahawa kita tidak mampu untuk memaksa manusia untuk beriman:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

maka patut kah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Maka, jikalau kita telah menyampaikan kepada manusia ajakan tauhid dan mereka ingkar tidak mahu menerimanya, maka mereka itu bukan tanggungjawab kita lagi. Kita tidak akan dipersalahkan jikalau mereka mengambil wali selain Allah SWT kerana kita telah menjalankan tugas kita memberi dakwah kepada mereka.

Tetapi bagaimana pula kalau kita tidak beri dakwah tauhid kepada mereka? Ini yang menakutkan kita kerana takut kita akan dipertanggungjawabkan nanti. Entah berapa ramai orang yang kita rapat dengan mereka, tetapi kita tidak dakwah lagi kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-7

Ini adalah ayat Targhib untuk kita mendekatkan diri dengan Al-Quran. Targhib maksudnya yang memberi motivasi. Allah SWT hendak beri galakan kepada kita untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran.

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لِّتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها وَتُنذِرَ يَومَ الجَمعِ لا رَيبَ فيهِ ۚ فَريقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَريقٌ فِي السَّعيرِ

Dan begitulah, Kami wahyukan kepada mu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Bagi tujuan kesempurnaan, Kami wahyukan kepada mu Al-Quran dalam bahasa Arab,

Lafaz كَذَٰلِكَ perlu diterjemahkan ‘bagi tujuan kesempurnaan’, baru ayat ini boleh difahami. Maknanya, tujuan Allah SWT menurunkan Al-Quran adalah untuk memberi kesempurnaan kerana dengan Al-Quran ini kamu akan mendapat nikmat yang sempurna. Nikmat yang amat besar.

Lafaz Al-Quran pula bermaksud: kitab yang selalu dan sentiasa dibaca.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Memang Kitab-kitab dari Allah SWT diturunkan dalam bahasa umatnya. Kalau Taurat, ia diturunkan dalam bahasa Hebrew kerana itulah bahasa mereka.

Tujuannya supaya umat yang menerima kitab itu boleh faham. Oleh itu, kerana Al-Quran mulanya diturunkan kepada bangsa Arab, maka Al-Quran itu di dalam bahasa Arab.

Ini mengajar kita untuk menyampaikan dakwah dalam bahasa yang manusia yang didakwahkan itu boleh faham. Kalau dengan bangsa Cina, kenalah kita menyampaikan dakwah dalam bahasa Cina.

Ini mengajar kita bahawa Al-Quran itu mestilah disampaikan di dalam bahasa Arab. Maka janganlah kita hanya menggunakan terjemahan Al-Quran tanpa diletakkan bersamanya ayat Al-Quran yang asal. Memang ada dalam pasaran sekarang terjemahan Al-Quran yang tidak diletakkan ayat Al-Quran yang asal.

Ini adalah amat bahaya kerana lama kelamaan ia nanti akan menjadi rujukan utama kepada mereka yang tidak tahu membaca dan memahami Al-Quran di dalam bahasa Arab. Nanti mereka tidak merujuk lagi kepada ayat Al-Quran yang asal. Mereka sangka yang terjemah itulah Al-Quran, sedangkan ia tidaklah begitu kerana, terjemahan ke dalam bahasa lain tidak boleh dipercayai sangat kerana terjemahan itu bukanlah terjemahan yang tepat. Ia tidak akan tepat kerana bahasa lain tidak akan sama dengan Al-Quran.

Ia hanyalah sebagai rujukan kepada mereka yang tidak mahir bahasa Arab sahaja. Kita kena juga merujuk kepada Al-Quran yang asal. Memang ramai kita tidak tahu bahasa Arab, tetapi bila kita beri rujukan ayat Al-Quran, kena juga disertakan dengan ayat Al-Quran yang asal.

Kita takut Al-Quran nanti tidak dirujuk dalam bahasa Arab lagi. Begitulah yang terjadi kepada kitab-kitab yang sebelum Al-Quran. Sebagai contoh, Kitab Injil yang asalnya di dalam bahasa Hebrew telah dialih bahasa dari kitab yang asal tanpa disertai dengan teks Hebrew yang asal, sampaikan manusia sudah tidak tahu apakah teks asalnya.

Mereka hanya merujuk kepada terjemahan ke dalam bahasa lain dan hingga mudah untuk mereka menukar-nukar maksud kitab Injil itu. Takkan kita hendak jadi begitu dengan Al-Quran pula?

Jadi, jangan kita guna hanya terjemahan Al-Quran. Begitulah juga bila kita memberikan ayat-ayat Al-Quran kepada orang lain, dalam e-mel, whatsapp atau apa sahaja, hendaklah kita menyertakan bersama teks ayat itu, iaitu ayat Al-Quran yang asal. Jangan kita beri yang terjemahan sahaja. Kerana terjemahan itu tidak akan sama dengan Al-Quran yang asal. Ia hanya sebagai rujukan sahaja kepada mereka yang tidak tahu bahasa Arab.

Selain dari itu, ayat ini mengajar kita bahawa kita kena belajar bahasa Arab. Supaya kita dapat faham Al-Quran dengan lebih mendalam. Kerana kita kena faham dengan lebih mendalam Al-Quran ini.

Kerana seperti yang kita telah tahu, hidup ini adalah ujian. Dan seperti dalam ujian peperiksaan, tentu ada buku rujukan, bukan? Maka, buku rujukan kita adalah Al-Quran ini. Untuk kita memahaminya dengan lebih baik, kita kena tahu bahasa Al-Quran dengan fasih.

Tetapi, janganlah pula tunggu sampai telah pandai bahasa Arab baru hendak belajar tafsir. Kita belajarlah sekali harung. Semasa belajar tafsir, boleh belajar sekali bahasa Arab. Ia akan menjadi lebih cepat lagi kerana kita akan lebih bermotivasi untuk mempelajari bahasa Arab kerana kita hendak mengetahui maksud Al-Quran dengan lebih mendalam.

Jangan pula ada yang beri alasan tidak belajar tafsir kerana hendak belajar bahasa Arab dulu – sampai bila-bila pun tidak akan belajar tafsir jika macam itu.

Saya tidaklah kata wajib tetapi kita sebagai penuntut ilmu yang prihatin dengan Al-Quran, tidak boleh tidak kena lah belajar.

لِّتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

supaya engkau memberi peringatan kepada (penduduk) “Ummul-Qura”

‘Ummul Qura’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah penduduk Mekah.

Ummul Qura bermaksud ‘ibu segala pekan’. Sebagaimana anak akan pergi ke mana-mana tetapi akan tetap balik kepada ibunya. Begitulah juga perumpamaan kepada setiap tempat dalam dunia ini. Ibu negara dunia ini adalah di Mekah. Kerana di situlah permulaan penempatan manusia. Dan dari sejarah pun, penduduk-penduduk lain akan sentiasa datang ke Mekah untuk melakukan ibadat haji.

Tetapi tidaklah Al-Quran ini diberikan kepada Mekah pula, jadi maksudnya yang tersirat: ia untuk diberikan kepada penduduk Mekah itu.

Lihatlah bagaimana Allah SWT menghantar Rasul-Nya ke ibu negara sesuatu negara itu untuk berdakwah. Maka, ini sebagai sunnah yang kita kena ikut. Iaitu kita kena mulakan dakwah dari ibu negara. Kalau di Malaysia, kita kena mulakan dari Kuala Lumpur kerana dari Kuala Lumpur itu orang kawasan lain akan ikut.

Maka begitulah Nabi Muhammad SAW telah mula-mula dihantar kepada penduduk Mekah, kaumnya pada peringkat awal. Ini adalah kerana Nabi kena betulkan kaumnya dahulu sebagai model untuk menjadi rujukan kepada orang umat lain. Kerana itulah mereka menjadi penerima wahyu yang terawal. Mereka yang kena masuk Islam ramai-ramai dulu. Kalau mereka telah terima, maka senanglah untuk manusia yang lain untuk terima juga ajaran tauhid ini.

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan sekelian penduduk di sekelilingnya,

Maksud pertama ‘penduduk sekelilingnya’ adalah mereka yang di sekeliling Mekah kerana mereka yang tahu bahasa Arab. Jadi mudah mereka untuk memahami ayat-ayat Al-Quran itu. Namun, bukan setakat mereka sahaja.

Al-Quran itu bukanlah hanya untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk penduduk-penduduk di sekelilingnya yang lebih besar dan luas lagi. Bukanlah juga setakat bermaksud di sekeliling tanah Arab sahaja. Kerana kalau begitu, tentulah Al-Quran tidak sampai kepada kita.

Maksud ‘sekelilingnya’ apabila diperbesarkan, ia akan meliputi seluruh dunia kerana kawasan dakwah akan berkembang dan berkembang. Sekeliling Mekah, membesar ke sekeliling Tanah Arab, membesar sekeliling benua Timur Tengah, kemudian membesar lagi meliputi seluruh dunia. Begitulah maksudnya.

Maksudnya, Al-Quran ini perlu disampaikan ke seluruh dunia sebenarnya. Dan itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat. Mereka telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan ayat Al-Quran kepada manusia lainnya. Sebab itulah ramai antara mereka yang mati di negara lain kerana mereka menyebarkan Islam. Mereka tinggalkan anak isteri untuk memperkenalkan Allah SWT kepada dunia.

Marilah kita menyampaikan ajaran Al-Quran ini kepada masyarakat kita dahulu. Masyarakat kita ini telah lama jauh daripada pemahaman Al-Quran. Mereka kebanyakannya adalah orang yang baik-baik dan warak, tetapi malangnya mereka tidak mendapat ilmu tafsir Al-Quran. Kalau yang mereka mahir pun adalah ‘membaca Al-Quran’ dan ilmu-ilmu lain seperti fekah, contohnya. Tetapi bagaimana dengan pemahaman ayat dalam Al-Quran itu?

Memang ilmu Tafsir Al-Quran ini boleh dikatakan tidak ada di negara ini sebelum ini. Jarang sekali diajar di negara kita kerana kita jarang dengar ada kelas pengajian Tafsir Al-Quran, sampaikan ia menjadi sesuatu yang asing kepada kita.

Pengajaran lain kita banyak dengar, tetapi tentang Tafsir Al-Quran, kita tidak dengar lagi. Janganlah kita terus berada di dalam kejahilan ini. Mulakan ajak manusia untuk memahami Al-Quran yang mereka baca setiap hari itu. Berhentilah jadi burung Belatok yang hanya pandai menyebut perkataan, tetapi tidak langsung memahami apa yang disebutnya.

Bukan kepada orang Islam sahaja yang kita perlu ajar tafsir Al-Quran ini, tetapi kepada orang-orang kafir juga. Kalau bukan kita yang sampaikan, siapa lagi yang akan lakukan?

وَتُنذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ

serta memberi peringatan dan amaran mengenai Hari Perhimpunan

Lihatlah yang pertama sekali disampaikan adalah tentang Hari Akhirat. Hari Perhimpunan ini bukan hari perhimpunan di sekolah tetapi perhimpunan di Mahsyar pada Hari Kiamat. Allah SWT suruh kita ingatkan manusia kepada hari di mana semua makhluk akan dikumpulkan pada hari itu.

Dari makhluk yang mula dicipta semenjak alam ini dijadikan, sampailah kepada makhluk yang dimatikan pada Hari Kiamat. Semua sekali akan dikumpulkan dan tidak ada makhluk yang boleh melarikan diri.

Bukan manusia dan jin sahaja, bukan makhluk yang hidup di bumi sahaja yang akan dikumpulkan, tetapi SEMUA makhluk, sama ada yang di langit atau di bumi dan di mana-mana sahaja. Tidak dapat dibayangkan berapa banyaknya makhluk waktu itu. Suasana akan menjadi amat kecoh waktu itu.

Untuk apa pengumpulan itu? Untuk dibacakan apakah yang mereka telah lakukan dan akan dijalankan pengadilan sama ada seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka.

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada syak tentang datangnya;

Maknanya pasti Allah SWT akan jadikan hari itu berlaku. Pasti kita akan bertemu dengannya. Maka apabila telah tahu, kenalah buat persiapan awal untuk menghadapinya. Pertamanya, kena kenal tauhid dan kemudian kena buat amalan soleh.

Dan kemudian kita kena ingatkan manusia dengan hari akhirat. Supaya lembut hati manusia untuk menerima ajakan tauhid ini kerana takutkan akan balasan di akhirat kelak. Kita kena ingatkan walaupun kalau degil, kena ingatkan mereka.

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ

sepuak masuk Syurga

Yang beriman dan beramal baik akan dimasukkan ke dalam syurga. Iaitu mereka yang buat persiapan awal. Tidaklah dengar tetapi buat tidak tahu, tidak buat amalan apa-apa. Semoga kita menjadi dalam golongan ini.

وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

dan sepuak lagi masuk neraka.

Yang tidak beriman dan tidak melakukan amal kebaikan, akan dimasukkan ke dalam neraka yang apinya menyala-nyala. Itulah maksud kalimah السَّعِيرِ.

Mulanya makhluk dikumpulkan dan kemudian selepas pengadilan dilakukan, mereka pecah kepada dua kumpulan sahaja: sama ada masuk syurga atau masuk neraka. Tidak ada pilihan ketiga.

Pilihan mana yang kamu hendak? Kita kenalah fikir-fikirkan.

Allahu a’lam.

ORANG YANG DIBENCI OLEH NABI SALALLAHUALAIHIWASSALAM

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian

Orang yang dibenci oleh Nabi salallahualaihiwassalam

Mahukah kita menjadi manusia yang paling dibenci oleh Nabi salallahualaihiwassalam?

Diriwayatkan oleh Abu Tsa’labah Al Khusyani RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

وإن أبغضكم إلي وأبعدكم مني في الآخرة مساويكم أخلاقا

‘Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci di kalangan kamu dan yang paling jauh daripadaku di hari akhirat kelak ialah orang yang paling buruk akhlaknya di kalangan kamu.’

[Riwayat Ahmad]

Manakala dalam hadith Jabir RA disebutkan bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda ;

وإن من أبغضكم إلي وأبعدكم مني يوم القيامة الثرثارون والمتشدقون والمتفيهقون .

‘Dan sesungguhnya orang yang paling dibenci olehku dan yang paling jauh daripadaku di kalangan kamu pada hari kiamat ialah mereka yang banyak bercakap secara sia-sia, orang yang suka meremehkan atau menyakitkan orang lain pada percakapannya dan orang yang sombong dalam bicara (seperti menunjukkan kepandaiannya bercakap).’

[Riwayat al-Tirmidzi]

# Semoga Allah memelihara kita daripada akhlak yang keji!

اللَّهُمَّ جَنِّبْنا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاقِ ، وَالأَهْوَاءَ ، وَالأَدْوَاءَ

Ya Allaah jauhkanlah kami dari berbagai macam kemungkaran akhlaaq, hawa nafsu, dan segala macam penyakit.

~ustaz Emran~

Tafsir Surah Al-Ma’un – Tafsir Ayat Ke-2 dan Ke-3

0

Tafsir Surah Al-Ma’un

Pada perbincangan sebelum ini, kita telah membincangkan :

Kenyataan tegas Allah SWT mengenai orang yang mendustakan agama. Di samping gaya bahasa Allah SWT yang menyuruh kita melihat agar mengambil iktibar.

Kita sambung dengan persoalan :

Siapakah mereka yang mendustakan agama itu dan bagaimanakah sifat mereka? Allah SWT memberitahu dalam firman seterusnya.

Tafsir Ayat Ke-2:

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ

Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

Sepatutnya mereka menolong anak yatim, tetapi sebaliknya mereka menghalau.

فَذٰلِكَ

Maka tanda kekufuran mereka itu adalah

Allah SWT menerangkan : (Iaitu mereka menghalau, mengherdik anak yatim)

Mufassirin membincangkan tentang huruf ف pada kalimah ini. Ia menghubungkan antara ayat 1 dan 2. Bermakna, sifat orang itu saling berkait :

Kerana dia mendustakan agama (atau mendustakan hari pembalasan), maka dia akan menghina anak yatim. Pertama sekali dia telah membuat dosa kepada Allah SWT, membawa kepada berbuat dosa berkenaan manusia pula.

اليَتيمَ

Yatim (Seseorang yang kehilangan ibu bapa mereka)

Lazimnya, anak yatim sering berada dalam kesedihan, seolah-olah merasakan harapan mereka nampak gelap, atau merasakan tidak ada tempat bergantung lagi.

Sedangkan orang dewasa merasa sedih kehilangan ibu-bapa mereka, inikan pula seorang anak kecil yang masih memerlukan belaian kasih sayang dan sokongan.

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka itu mendustakan hari pembalasan. Apabila seseorang itu tidak mahu mengakui Hari Kiamat dan pembalasan, maka dia terkeluar dari fitrah matlamat hidup. Lalu orang yang menolak fitrah akan hilang sifat rahmahnya.

Seperti yang disebut dalam Surah Balad (90) ayat ke 17:

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Selain dari itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.

Kalimah

يَدُعُّ

Bermaksud : Menolak jauh seseorang

Pada saat wahyu ini diturunkan, musyrikin membuli anak yatim dengan tidak merasa takut atau bersalah. Mereka mengherdik dan menghalau anak yatim.

Mereka sanggup melakukan demikian sedangkan Allah SWT amat menekankan tentang penjagaan anak yatim di dalam Al-Quran. Berkali-kali Allah SWT perintahkan kita menghargai dan berlaku baik dengan anak yatim.

Antara dalilnya :

  1. Surah Adh Dhuha (93) ayat ke 9,

فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

  1. Surah Al Fajr (89) ayat ke 17,

كَلّا ۖ بَل لا تُكرِمونَ اليَتيمَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

Allah SWT menegur manusia yang tidak memuliakan anak-anak yatim.

Apa lagi sifat mereka?

Tafsir Ayat Ke-3:

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Kalimah

يَحُضُّ

Bermaksud : Menggalakkan

Oleh itu, apabila dikatakan

لا يَحُضُّ

Ia bermaksud :

Mereka itu TIDAK menggalakkan orang lain. Dan dalam ayat ini, mereka tidak menggalakkan orang lain untuk memberi makan kepada fakir miskin.

Sekiranya mereka tidak menggalakkan orang lain memberi makan, apatah lagi mereka sendiri tidak memberi orang miskin makan.

Kalimah

المِسكينِ

Orang miskin

Apakah maksud fakir dan miskin? Ini jawapan menurut definisi ringkasnya :

Fakir : tidak ada sumber

Miskin : ada sumber, tetapi tidak mencukupi

Sebab itu hari ini ada istilah, “miskin bandar” : iaitu mereka yang bekerja di bandar, tetapi masih tidak cukup menampung keperluan.

Kalimah

المِسكينِ

Orang miskin

Dalam bentuk mufrad (satu). Ianya adalah orang-orang yang tidak dapat membantu diri mereka untuk keluar dari kesusahan mereka.

Jika ramai, kalimah yang digunakan ialah

المساكين

Kenapa digunakan seorang miskin sahaja? Ia boleh bermaksud :

“Jangan dikatakan ramai orang miskin, sedang seorang miskin pun mereka tidak bantu atau memberi makan”

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini juga adalah :

طَعامِ المِسكينِ

Makanan orang miskin.

Ia dalam bentuk mudhaf dan mudhaff ilaih (Hendak bagi senang faham : makanan itu adalah hak atau kepunyaan mereka)

Maksudnya, dari segi bahasa :

Allah SWT tidak katakan berilah makanan kepada orang miskin,

TETAPI Allah SWT berkata: berikan makanan orang miskin itu.

Ibrah dan Kesimpulan :

Pertama :

Kenyataan tegas Allah SWT berkaitan menjaga hak anak yatim dan fakir miskin menunjukkan Islam itu agama yang rahmat dan menjaga kebajikan.

Bukannya agama yang kasar atau keras seperti yang disalah-fahami oleh sebahagian manusia.

Kedua :

Pesanan Allah SWT berkenaan sifat buruk ini, turut mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bertoleransi dan saling menjaga kebajikan sesama manusia. Oleh itu, dunia ini akan lebih harmoni.

Ketiga :

Secara tidak langsung, Allah SWT sedang mengajar kita agar bersyukur. Ini kerana anak yatim dan fakir miskin tidak mempunyai peluang melakukan kebajikan seperti golongan yang berkemampuan.

Maka sekiranya kita sedang mempunyai ibu/bapa dan harta, maka perlakukan kebaikan dengan nikmat tersebut.

Allahu a’lam.

Tanda-Tanda Kiamat 131.9 : Seputar Kemunculan al-Mahdi

0

Hadith Tsauban

حدثنا محمد بن يحيى وأحمد بن يوسف، قالا: ثنا عبد الرزاق عن سفيان الثوري، عن خالد الحذاء، عن أبي قلابة، عن أبي أسماء الرحبي، عن ثوبان، قال: قال رسول الله (صلى الله عليه وآله): “يقتتل عند كنزكم ثلاثة. كلهم ابن خليفة. ثم لا يصير إلى واحد منهم. ثم تطلع الرايات السود من قبل المشرق ًفيقتلونكم قتلا لم يقتله قوم” لا أحفظه ًثم ذكر شيئا . فقال “فإذا رأيتموه . فبايعوه ولو حبوا على الثلج فإنه خليفة الله، المهدي” سنن ابن ماجة:ج 1 ص 1367. المستدرك للحاكم: ج 4 ص 424
Dari jalur Muhammad bin Yahya dan Ahmad bin Yusuf, dari Abdul Razaq, dari Sufyan ats-Tsauri, dari Khalid Al-Hidza` dari Abi Qilabah dari Tsauban, katanya:
Rasulullah saw bersabda: “Pertempuran berlaku di tempat harta simpanan kalian antara tiga pihak kesemua mereka anak-anak Khalifah, maka tidak berlaku kepada seseorang dari mereka, kemudian muncul panji-panji hitam datang dari arah timur. Dan terjadi peperangan yang belum pernah berlaku pada suatu kaum dan kemudian menyebut sesuatu yang tidak aku ingat, lalu baginda bersabda: Jika kamu melihatnya maka berbai’ahlah padanya walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji, kerana dia adalah Khalifah Allah Al- Mahdi..”
(HR Ibn Majah dan al-Haakim)
Tahqiq:
قال ابن كثير في( النهابة ص 26)تفرد به ابن ماجه وهذا إسناد قوي صحيح ا.ه وقال البوصري في( زوائد1442 )هذا إسناده صحيح رجاله ثقات ورواه الحاكم في( المستدرك 4/463/4880 )وقال صحيح على شرط الشيخين
Kata Ibn Katsir (Nihayah), bersendirian Ibn Majah dan sanad Ibn Majah kuat lagi sahih. Kata al-Busyiri dalam zawaid, sanad ini sahih, perawinya dipercayai dan diriwayatkan juga oleh al-Haakim katanya, sahih atas syarat syaikhain, dipersetujui az Zahabi. Komentar al-Albani, dhaif tapi maksudnya sahih tanpa tambahan (فإنه خليفة الله، المهدي), tambahan ini batil. Silsilah al-dhaifah no 85.
Hadith ini dhaif di sisi mutaqaddimin seperti Imam Ahmad ibn Hanbal, sahih di sisi Mutaakhirin, antaranya Dr Bastawi, tesis MA di Universiti Malik Abdul Aziz Makkah, (Dr. ‘Abd al-‘Alim ‘Abd al-‘Azim al-Bastawi, al-Mahdi al-Muntazar fi Dhaw-i al-Ahadith wa al-Athar al-Sahihah wa Aqwal al-‘Ulama wa Ara al-Firaq al-Mukhtalifah, tesis tahun 1978 (Beirut: Dar Ibn Hazm; , 1420 H), ms. 192
Kosa kata hadith:
“Semuanya anak khalifah” (كلهم ابن خليفة)
Keluarnya Mahdi bila berlaku perang saudara tiga penjuru merebut jawatan khalifah. Khalifah ni boleh saja difahami dengan emir, king atau raja yang popular di tanah arab. 3 putera khalifah ini bermaksud ketiga ayah mereka adalah khalifah atau emir atau raja di tanah arab. Ketiga-tiga anak khalifah itu terbunuh dan ketika itulah munculnya al-Mahdi, demikian kata Dr al-Areefii.
Pertempuran berlaku di tempat perbendaharaan kamu (عند كنزكم ) Kata Dr al-Areefi ada tiga maksud perbendaharaan umat Islam, Kaabah, khalifah umat Islam seluruhnya atau commonwealth Islam, dan Iraq (Lembah Sungai Furat) Ibn Katsir dalam al-Nihayah memilih Kaabah sebagai maksud perbendaharaan umat Islam yang sering direbutkan. Manakala Dr Ahmad al-Mubayyat dalam kitabnya al-Mawsuu’ah fi al Fitan.
Kata Ibn katsir, al-Mahdi muncul dari Sardab di Farsi yang dibawa oleh syiah, akan disokong oleh tentera dari Timur yakni Farsi, adalah suatu agenda kaum Rafidhah sahaja.

 

Isu yang tidak dapat dipastikan dengan mutlak ialah:
1. Siapakah tiga anak khalifah atau emir yang berperang saudara di akhir zaman?
2. Dari manakah al-Mahdi muncul di Hijaz atau di Timur Hijaz.
3. Misteri panji-panji hitam yang dipakai oleh al-Mahdi

Hadis 71 – BAB: APA YANG DATANG BERKENAAN HIDUP RASULI LLAH

0

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 71

Mohd ‘Adlan Bin Mohd ShariffuddinDecember 01, 2017

بَابُ مَا جَاءَ فِي عَيْشِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab: Apa Yang Datang Berkenaan Hidup Rasuli Llah

71 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ، قَالَ: كُنَّا عِنْدَ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ مُمَشَّقَانِ مِنْ كَتَّانٍ، فَتَمَخَّطَ فِي أَحَدِهِمَا، فَقَالَ: بَخٍ بَخٍ، يَتَمَخَّطُ أَبُو هُرَيْرَةَ فِي الْكَتَّانِ، لَقَدْ رَأَيْتُنِي وَإِنِّي لَأَخِرُّ فِيمَا بَيْنَ مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحُجْرَةِ عَائِشَةَ مَغْشِيًّا عَلَيَّ، فَيَجِيءُ الْجَائِي فَيَضَعُ رِجْلَهُ عَلَى عُنُقِي يَرَى أَنَّ بِي جُنُونًا، وَمَا بِي جُنُونٌ، وَمَا هُوَ إِلَّا الْجُوعُ.

71- Telah bercerita kepada kami Qutaybah bin Sa`id, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammad bin Zayd, daripada Ayyub, daripada Muhammad bin Sirin, dia berkata: Kami telah berada di sisi Abi Hurayrah, dan dia memakai dua helai kain linen yang dicelup dengan tanah merah, dan dia mengeluarkan hingusnya pada salah satu daripadanya. Maka dia berkata: Bakh, bakh, Abu Hurayrah mengeluarkan hingus pada kain linen. Sesungguhnya saya telah melihat diri saya, dan sesungguhnya sungguh saya telah rebah di tempat di antara minbar Rasuli Llah dan bilik `A’isyah, pitam. Kemudian, datanglah seseorang yang datang, dan dia meletakkan kakinya di atas tengkuk saya, menyangka bahawa saya mempunyaï penyakit gila. Dan bukanlah saya mempunyaï penyakit gila, dan tidaklah ia melainkan lapar.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diletakkan oleh Imam At-Tirmizi di dalam Bab: Apa Yang Datang Berkenaan Hidup Rasuli Llah. Namun, secara kasarnya, hadis ini tidak bercerita tentang Nabi sebagai watak utama, sebaliknya tentang Abi Hurayrah. Sangat menghairankan apabila hadis ini bercerita tentang kelaparan Abi Hurayrah, dan bukan tentang Nabi. Justeru, apa kaitan hadis ini dengan Nabi?

Hadis ini menyebut tentang Muhammad bin Sirin, seorang dari kalangan tabi`in yang pernah berjumpa dengan tiga puluh orang sahabat, dan dalam hadis ini, Muhammad bin Sirin bertemu dan bersama dengan Abi Hurayrah. Ketika itu, dia melihat Aba Hurayrah memakai dua helai kain linen, yang menunjukkan bahawa ketika itu, dua helai kain merupakan pakaian biasa manusia.

Kain linen yang dipakai oleh Abi Hurayrah, ialah kain daripada pokok flaks (Linum usitatissimum), atau disebut juga pokok linsid. Kain linen ini adalah bahan utama membuat pakaian, sebelum ia digantikan dengan kain daripada kapas pada awal abad kedua puluh. Kain linen yang dipakai oleh Abi Hurayrah adalah kain berwarna merah bata. Perkataan (ثَوْبَانِ مُمَشَّقَانِ) dua helai kain linen yang dicelup dengan tanah merah, bermakna dua helai kain yang telah dicelup dengan (مِشْق) misyq, iaitu tanah berwarna merah.

Ketika Muhammad bin Sirin bertemu dengan Abi Hurayrah itu, dia melihat Aba Hurayrah telah membuang hingusnya pada pakaiannya, iaitu pada salah satu daripada dua helai kain tadi. Setelah itu, Abu Hurayrah menyebut, (بَخٍ بَخٍ) “Bakh, bakh”. Ucapan ini ialah ucapan yang menunjukkan rasa hairan. Ini dijelaskan dengan bahagian seterusnya iaitu “Abu Hurayrah mengeluarkan hingus pada kain linen”. Ia seolah-olah ucapan kita, “Amboi, sekarang saya buang hingus saya pada kain linen!”.

Ucapan Abi Hurayrah ini dengan jelas menunjukkan perbandingan dua zaman, iaitu zaman dahulu yang menunjukkan kemiskinannya, dan zaman semasa yang menunjukkan bahawa taraf hidupnya telah berubah menjadi lebih baik. Hal ini juga menunjukkan bahawa Aba Hurayrah bukanlah seorang yang lupa diri, atau orang yang lupa asal-usulnya, sebaliknya, dalam kemewahan hidupnya, dia masih mengenang keadaannya yang miskin dan melarat dahulu.

Seterusnya, hadis ini menceritakan tentang kemelaratan Abi Hurayrah. Abu Hurayrah menceritakan bahawa dia melihat dirinya sendiri yang telah rebah iaitu jatuh sehingga pitam di dalam Masjid Nabi. Ketika itu, Abu Hurayrah telah jatuh di bahagian hadapan masjid, iaitu di antara minbar dan bilik `A’isyah. Bilik `A’isyah kini sudah menjadi kubur tempat jasad Rasuli Llah bersemadi.

Apabila Abu Hurayrah jatuh sehingga pitam itu, datang seseorang menghampirinya. Melihatkan Aba Hurayrah yang tiba-tiba jatuh pitam seperti itu, orang itu meletakkan kakinya di atas tengkuk atau leher Abi Hurayrah. Ketika itu, dia menyangka bahawa Aba Hurayrah telah gila secara tiba-tiba, justeru, dia memijak tengkuk Abi Hurayrah untuk menahannya daripada bergerak-gerak menjadi liar. Walau bagaimanapun, Abu Hurayrah menjelaskan bahawa sebab dia jatuh pitam itu bukanlah kerana dia telah menjadi gila, sebaliknya kerana dia kelaparan.

Cerita Abi Hurayrah ini, adalah satu cerita yang kita tidak dapat bayangkan kerana kita tidak lagi melihat hal seperti ini. Jika mahu, cubalah bayangkan seseorang yang tidak makan sehingga dia tidak lagi dapat berdiri. Bayangkan seseorang yang begitu miskin, sehingga dia tidak mampu membeli makanan, dan kerana kelaparannya itu, dia sampai jatuh pitam.

Cerita Abi Hurayrah ini sebenarnya ialah sebuah cerita yang sangat indah, dan ia perlu dihayati oleh semua orang, terutama para penuntut ilmu. Abu Hurayrah telah meninggalkan dunianya untuk bersama dengan Nabi, untuk melazimi Nabi, untuk mendengar ucapan dan kata-kata Nabi, untuk mempelajari tentang Islam dan wahyu, iaitu untuk menuntut ilmu. Dan kerana kesungguhan Abi Hurayrah untuk mendampingi Nabi dan menuntut ilmu itu, dia sanggup untuk tidak keluar bekerja, yang bermaksud dia tidak mempunyaï sumber pendapatan. Justeru, Abu Hurayrah sanggup untuk berlapar demi menuntut ilmu. Bukan setakat berlapar yang biasa, bahkan Abu Hurayrah sanggup untuk terus mendampingi Nabi dalam keadaan lapar, sehingga kelaparannya memuncak dan menyebabkannya jatuh pitam.

Bandingkan pengorbanan dan keadaan hidup Abi Hurayrah ketika dia ingin menuntut ilmu dan melazimi Nabi, dengan keadaan para penuntut ilmu zaman sekarang. Kita telah tersilap dalam mendidik anak-anak kita, apabila kita mengajar mereka menuntut ilmu dengan gembira dan dengan segala kemewahan. Kita telah tersilap dalam mendidik anak-anak kita, apabila kita tidak lagi menghayati dan meniru jalan menuntut ilmu para sahabat dan para `ulama’ yang terdahulu, yang telah terbukti berkesan melahirkan manusia, para sarjana dan ilmuwan.

Lihatlah para penuntut ilmu sekarang – yang kita panggil sebagai pelajar –, tidakkah mereka sekarang dimanjakan dengan kemewahan melampau. Lihatlah kelengkapan sekolah mereka. Baju mereka bukan sepasang, tetapi setiap seorang pasti akan ada beberapa pasang. Lihatlah bekas pensel mereka, yang penuh dengan alat tulis, sehingga ramai antara mereka tidak menghargaï pen, pensel, pembaris, atau pemadam tersebut, dengan menghilangkannya atau meninggalkannya merata-rata. Lihatlah wang saku mereka, yang pasti akan diberikan oleh ibu bapa, kerana tidak mahu anak-anak mereka kelaparan. Dan anak-anak ini, jika tiada wang saku, mereka sanggup untuk tidak pergi ke sekolah kerana tidak mahu berlapar. Lihatlah pada kelengkapan lain mereka, contohnya, pada zaman ini, anak-anak ini sudah diberikan telefon bimbit, malah motosikal untuk ke sekolah. Dan anak-anak ini, jika tidak diberikan telefon bimbit, mereka akan memberontak, dan jika tidak diberikan motosikal, mereka tidak mahu pergi ke sekolah.

Apabila kita mempelajari kitab Syama’il Muhammadiyyah ini, adalah wajar kita mengubah diri, keluarga dan masyarakat kita, agar kita tidak keterlaluan dalam memanjakan diri kita, atau anak-anak kita, atau masyarakat kita dengan kemewahan. Kisah Abi Hurayrah ini adalah satu contoh yang agak ektrem dalam perjalanan seorang penuntut ilmu, dan ia bukan jalan yang ditempuh oleh semua sahabat. Namun, kerana jalan yang dipilih ini, Abu Hurayrah yang memeluk Islam pada tahun berlakunya peperangan Khaybar iaitu pada tahun tujuh Hijrah, telah menjadi seorang sahabiy yang agung dalam periwayatan hadis dalam masa empat tahun dia melazimi Nabi sehingga Nabi wafat pada tahun sebelas Hijrah.

Dengan membaca kisah Abi Hurayrah ini, para pelajar yang melangkah masuk ke universiti seharusnya berasa malu, kerana sebagai mahasiswa yang mempunyaï tempoh empat tahun pengajian, ramai antara mereka yang mensia-siakan peluang empat tahun itu. Mereka bukan menuntut ilmu, sebaliknya berjoli, berseronok, atau berpoya-poya. Ramai antara pelajar universiti yang tidak bersungguh-sungguh belajar, tidak membaca buku dan jurnal, tidak berjumpa dan berbincang dengan pensyarah, tidak menghafaz matan atau fakta, tidak melibatkan diri dalam seminar dan syarahan akademik, serta mensia-siakan pelbagai peluang yang terbuka untuk mereka di universiti. Sebaliknya, ramai antara mereka yang lebih gemar berkawan dan bersosial, menonton wayang dan filem, anime dan muvi, bercinta dan mencari kekasih, berniaga dan mencari duit, serta berjalan-jalan dan membeli-belah. Kesannya, mahasiswa kita menjadi sangat jauh berbeza dengan Abi Hurayrah, dan mereka menjadi lemah dalam ilmu dan akademik.

Hadis ini menceritakan tentang kesengsaraan yang dilaluï oleh Abi Hurayrah dalam perjalanannya mendampingi Nabi dan menuntut ilmu. Apabila Abu Hurayrah sanggup kelaparan sampai dia jatuh pitam di Masjid Nabi, sebenarnya hadis ini menunjukkan satu isi tersirat yang sangat penting bagi kita. Abu Hurayrah ialah sahabat Nabi, dan Nabi selalunya memberikan keperluan makanan untuk Abi Hurayrah. Namun, dalam hadis ini, seolah-olah Nabi tidak mengetahuï keadaan Abi Hurayrah dan tidak membantu Aba Hurayrah yang sangat-sangat kelaparan. Seolah-olah dalam hadis ini, Nabi – secara tidak langsung – digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak berperasaan dan tidak prihatin.

Sebenarnya, hadis Abi Hurayrah ini menggambarkan kemiskinan yang dilaluï oleh Nabi dalam hidupnya, sehingga Aba Hurayrah yang selalu melaziminya dan bersama dengannya pun tidak dapat dibantunya. Ini kerana sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang lain, jika Nabi mempunyaï makanan atau sesuatu, pasti Nabi akan berkongsi dan membantu Aba Hurayrah. Justeru, makna tersirat Imam At-Tirmizi meletakkan hadis ini dalam bab ini adalah untuk menggambarkan bahawa hidup Nabi selalunya adalah dalam kekurangan dan kemiskinan, bukan dalam kemewahan atau kecukupan.

Seseorang yang mahu mencontohi Nabi haruslah sanggup untuk hidup dalam kekurangan dengan hanya keperluan yang asas sahaja tanpa sebarang kemewahan. Ini bukan bermakna Islam menghalang ni`mat dunia, atau menegah umatnya menjadi kaya, sebaliknya Islam mengajar bahawa jika Nabinya sebagai seorang pemimpin ummah pun hidup dalam keadaan yang asas, maka tidaklah wajar kita berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam kehidupan.

Nabi, yang dalam kekurangan hidup dunianya, sentiasa ber`ibadah dan bersyukur kepada Tuhan, jadi, jika kita sebagai umatnya, dan diberikan pula keluasan dalam rezeki dan kehidupan, maka apakah alasan untuk kita tidak bersyukur dan tidak ber`ibadah kepada Allah?

Abu Hurayrah, yang dalam kelaparannya pun dapat mengingat dan menghafaz sekian banyak hadis, mengapa kita – para penuntut ilmu – yang cukup makan ini, tidak berusaha untuk mencari ilmu dan mendalami ilmu?

Jika Abu Hurayrah sanggup ke masjid walaupun kelaparan melampau, mengapa kita yang kaya yang berharta tidak sempat untuk ke masjid?

Jika Abu Hurayrah yang kelaparan sehingga pitam pun tidak merungut atau bersungut, mengapa kita sentiasa menzikirkan tentang kemiskinan, kekurangan hidup dan kesempitan kita?

Hadis ini mengajarkan kita bahawa Nabi mempunyaï sahabat yang sanggup berkorban kehidupannya demi mendampinginya, dan kerana kekurangan hidup Nabi sendiri, dia juga tidak dapat membantu sahabatnya itu. Justeru, kita harus menjadi manusia yang bersyukur dengan segala ni`mat dan rahmat yang Tuhan telah bukakan ke atas kita.

Soal Jawab Fiqh Wanita /1

0

 

SOALAN

Bolehkah isteri menuntut fasakh jika suami sudah berkahwin lain? Suami tidak berlaku adil dan tiada memberi nafkah. Suami juga mengugut isteri pertama, jika isteri menuntut cerai dia akan malukan isterinya dan akan berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan anak.

JAWAPAN

1. Pertamanya, ”suami jenis apa ni?” Memang memalukan institusi suami. Dan perkara beginilah yang menakutkan wanita untuk berkahwin dan membenarkan suami kahwin lagi.

2. Keduanya, isteri pertama itu ada hak untuk menuntut fasakh. Ini terdapat enakmen undang-undang syariah Malaysia Seksyen 52 AUKI. Sebab-sebab atau alasan-alasan untuk memohon fasakh telah dinyatakan dengan jelas di dalam peruntukan tersebut. Antara syarat fasakh:

  • Jika suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah zahir selama tempoh tiga bulan,
  • Tidak menunaikan kewajipan perkahwinan iaitu nafkah batin selama tempoh satu tahun tanpa sebab yang munasabah,
  • Lazim menyakiti pasangan disebabkan oleh kelakuan aniaya,
  • Tidak melayani isteri secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang dan banyak lagi ruang-ruang lain.

3. Ketiga, ambil peguam syar’ie untuk memudahkan sebutan kes dan boleh nasihat perkara-perkara berkenaan.

4. Keempat, kena sediakan bukti-bukti untuk dibawa ke mahkamah. Kerana mahkamah akan buat keputusan berdasarkan bukti, bukannya atas dakwaan sahaja.

 

 

SOALAN

Boleh terangkan contoh bukti yang diperlukan? Jika bil rumah, isteri bayar sendiri sebab suami tidak mahu bayar dengan alasan dia sudah banyak habiskan duit untuk membeli hantaran dan lain-lain belanja semasa nikah. Oleh itu dengan membayar bil rumah itu memadai buat isteri.

JAWAPAN

Kalau selama ini isteri itu yang bayar, maka bawalah bukti bil yang dia telah bayar. Kalau suami ugut, mungkin ada sms chat yang boleh ditunjuk atau kawan kawan yang pernah dengar ugutan itu. Ini nasihat umum dari saya. Kena dapatkan khidmat nasihat dari peguam syarie. Lebih lengkap nasihatnya. Saya belajar undang undang tapi tidak practise law. Jadi praktikalnya saya tidak pasti. Tahu secara umum sahaja. Semoga dipermudahkan.

 

 

SOALAN

Mengenai hal ruqyah. Mohon pandangan ustadz mengenai hal ruqyah yang membawa kepada bid’ah dan syirik muallaq atau syirik yang besar.

JAWAPAN

Kalimah ruqyah adalah permohonon doa untuk penyembuhan. Jadi, ianya adalah ‘doa’ sebenarnya tetapi dipanggil ‘ruqyah’ kerana ia satu jenis khas.
– macam doa minta ampun dipanggil istighfar
– doa minta hujan – istisqa’
– doa kebaikan untuk Nabi – selawat
– doa minta Allah berikan petunjuk dalam pilihan – istikharah.

Jadi ruqyah ini adalah doa sebenarnya. Sebelum zaman Nabi lagi sudah diamalkan ruqyah. Ini kerana ada hadis bagaimana ada sahabat tanya, kalau dia buat macam dulu, boleh tak? Nabi suruh dia baca, dan apabila lafaz itu tidak mengandungi syirik, maka Nabi benarkan sahaja. Manusia sentiasa sakit dan kerana itu pengharapan kepada penyembuhan amat tinggi kerana sakit itu susah, bukan? Jadi macam-macam cara yang manusia gunakan – supaya cepat-cepat sembuh.

Dan berbagai cara digunakan oleh manusia. Ini kita pun sudah tahu. Kalau belajar Kitab Perubatan dalam Sahih Bukhari, kita akan lihat bagaimana ianya penuh dengan penggunaan bahan-bahan alami – cara pemakanan, guna air untuk mandi dan bekam. Tidak diajar cara jampi di dalamnya. Yang ada, cara doa.

 

 

Soalan

Apabila seorang yang baru menjalani pembedahan telah sedar, adakah dia perlu segerakan bersolat atau jamak dengan solat seterusnya? Selepas sedar dia masih lemah dan pening-pening lagi. Perlukah dia tunggu sehingga stabil?
Bolehkah dia solat tanpa wuduk kerana dia tidak boleh berjalan ke bilik air?

JAWAPAN

Boleh tunggu bila dia sudah sedar sepenuhnya. Tidak boleh solat dalam keadaan lalai. Cuba minta tolong orang lain untuk ambil kan wuduk. Masih ada cara lagi. Solat tanpa wudhuk adalah kalau keadaan ekstrem. Apabila langsung tidak ada cara untuk ambil wudhu atau tayamum. Kalau terlalu mengantuk pun boleh tidur sekejap tanpa terlajak waktu solat. Allahua’lam

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْرَبُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمْ سُكَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا۟ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِى سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا ﴿٤٣﴾

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”
(Q.S An-Nisa’ 4:43)

 

 

 

SOALAN

Jika keadaaan diri masih lemah dan tidak larat berjalan ke bilik air untuk mencuci atau bersihkan badan, adakah kita boleh buat yang termampu untuk solat atau wuduk?

JAWAPAN

Ya, boleh minta suami tolong ambilkan wuduk.

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu “
(Q.S Ath-Taghabun 64:16)

ما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم

“apa yang aku perintahkan kepada kalian, kerjakanlah sesuai kemampuan kalian”
(HR. Al Bukhari 7288, Muslim 1337)

Allahua’lam

 

 

SOALAN

Di akhirat manusia yang baik amalannya akan masuk syurga, yang berat amalan masuk neraka, macam mana dengan binatang dan jin? Mohon pencerahan.

 JAWAPAN

Jin sama macam manusia manakala binatang tidak termasuk.
Manusia dengan jin memang diciptakan untuk beribadat kepada Allah, jika engkar perintah sama hukumnya. Allahu’alam.

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
(AQ ad-zariyat 51:56)

إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١١٩﴾

“kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”
(AQ Hud 11:119)

 

 

SOALAN

Apa yang terjadi kepada binatang? Ada dalil, kebanyakkan haiwan dikumpulkan atau dihimpunkan. Adakah yang menjadi tanah ini dalil dalam surah an-Naba?

JAWAPAN

Binatang hidup di dunia sahaja. Apabila mati akan jadi debu tanah,hancur begitu sahaja. Di akhirat ada binatang yang lain.

Surah an-Naba 40 sebagai isyarat. Penjelasan dalam hadis ini.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

يحشر الخلق كلهم يوم القيامة البهائم و الدواب و الطير و كل شيء فيبلغ من عدل الله أن يأخذ للجماء من القرناء ثم يقول : كوني ترابا؛ فعند ذلك يقول الكافر: يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا

Semua makhluk akan dikumpulkan pada hari kiamat, binatang, haiwan liar, burung-burung, dan segala sesuatu, sehingga ditegakkan keadilan Allah, untuk memindahkan tanduk dari haiwan-haiwan bertanduk ke yang tidak bertanduk (lalu dilakukan qishas). Kemudian Allah berfirman, “Kalian semua, jadilah tanah.” Di saat itulah orang kafir mengatakan, “Andai aku jadi tanah.”

(HR. Hakim 3231 dan dishahihkan ad-Dzahabi).

Haiwan akan dikumpulkan semasa nak kiamat.

 

 

SOALAN

Seperti yang kita ketahui, masyarakat hari ini seperti sudah sebati dengan kepercayaan dan amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran islam. Contohnya seperti untuk perlindungan diri – letak paku dalam beg/tudung, letak gunting bawah bantal, tabur lada hitam/garam utk halau jin dan sebagainya.

Boleh ustadz nyatakan apakah khurafat ini termasuk dalam syirik muallaq (hampir jatuh/tergantung), syirik asghar (kecil) atau syirik akbar (besar) dan apakah contoh yang termasuk dalam syirik muallaq, syirik asghar dan syirik akbar.

JAWAPAN

Ianya termasuk dalam syirik akbar.

  • Syirik muallaq. Kalau renjis pengantin, itu adalah syirik. Memang macam hindu.
  • Syirik muallaq adalah bila bersanding. Belum syirik penuh lagi tapi gantung tunggu masa hendak jatuh sahaja kerana apabila ada sanding selalunya ada renjis dan tepung tawar.
  • Syirik asghar atau khafi adalah bentuk perasaan. Ujub riak takbur.
  • Syirik akbar menduakan sifat Allah.

 

 

SOALAN

Apakah mereka yang syirik ini boleh diampunkan oleh Allah dengan taubat nasuha dan amalan mereka di kembalikan semula kerana kejahilan mereka suatu ketika dahulu. Perlukah dia mengucap dua kalimah syahadah semula seperti mana orang yang murtad.

JAWAPAN

Syirik akbar masih tetap boleh diampunkan. Iaitu apabila pelakunya sedar dia sudah buat syirik dan dia bertaubat minta ampun kepada Allah. Perlu syahadah semula.

 

 

SOALAN

Apakah orang yang menggantung ayat al Quran demi perlindungan rumah dan mereka yang meletakkan yassin di dalam kereta mahupun di dalam beg contohnya sebagai perlindungan diri mereka termasuk di dalam syirik asghar (kecil) kerana percaya surah/yassin itu mampu melindungi rumah/diri mereka.

JAWAPAN

Syirik akbar kerana pelindung adalah Allah.

 

 

SOALAN

Apakah ujub dan riya’ termasuk dalam syirik asghar (kecil) kerana riya’ juga menghapus amalan kebaikan yang dikerjakan oleh seseorang.

JAWAPAN

Ujub dan riak syirik kecil. Hapus amalan yang dia buat yang dia riak dan ujub. Contohnya semalam dia solat tahajjud. Dia ujub. Maka hapus pahala solat tahajjud dia semalam.

Syirik akbar pula, hapus semua amalan-amalan dia sebelum itu. Jadi kosong (zero). Oleh itu kena mula mengumpul pahala balik. Sedekah solat puasa haji, semua tiada pahala. Kalau dia taubat pun, kena kumpul dari kosong.

Antara dalil diampunkan dosa :

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَنتَهُوا۟ يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ

“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu (Abu Sufyan dan kawan-kawannya), “Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa
yang telah lalu (Q.S Al-Anfal 8:38)

وَٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِهَا وَءَامَنُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٥٣﴾

“Dan orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan, kemudian bertobat dan beriman, niscaya setelah itu Tuhanmu Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Q.S Al-A’raf 7:153).

 

 

SOALAN

Maksudnya apa-apa sahaja amalan menyerupai orang kafir dan bersubahat dalam amalan mereka (tasyabbuh) termasuk dalam dalam syirik muallaq kan ustadz?

JAWAPAN

Kurang tepat. Kalau sudah sama amalan, itu sudah syirik. Muallaq maksudnya tergantung. Hampir hendak jatuh, hampir hendak terjadi. Dalam Islam ada konsep saddu dzaraa’iq (tutup pintu sebelum terjadi). Syirik muallaq termasuk dalam perkataan ini.

 

 

SOALAN

Jika orang itu mengucap selamat pada perayaan kaum kafir. Apakah itu termasuk dalam syirik? Bagaimana jika dia sambut harijadi dan sambut tahun baru? Apakah itu yang termasuk dalam syirik muallaq kerana tiada termasuk dalam ajaran Nabi?

JAWAPAN

Ucap selamat pada perayaan kafir tidaklah terus sampai ke tahap syirik. Tengok apa maksud dalam hati dia. Selalunya yang ucapkan itu sebab hendak berbaik sahaja. Dia tidak sedar bahawa dengan memberi ucapan selamat itu, dia iktiraf agama kafir itu. Jadi saya tidak rasa dia iktiraf agama kafir. Dia cuma jahil sahaja. Tapi kalau memang dalam hati dia, ada kefahaman bahawa apa yang orang kafir itu raikan adalah valid, ini sudah syirik.

Sambut hari jadi dan tahun baru tidak berkenaan perkara ibadat. Jadi tidak jatuh syirik. Tapi tidak sesuai dilakukan kerana ianya bukan perayaan dalam Islam. Hadis menyebut perayaan kita ada dua sahaja – Eid Fitri dan Eid Adha.

 

 

SOALAN

Syirik akbar sangat bahaya kerana ia menduakan sifat Allah. Adakah kepercayaan selain Allah termasuk dalam valet doa? Mungkinkah orang yang minta orang lain untuk doakan kesembuhan dan ruqyah penyakit juga termasuk dalam hal ini kerana percaya orang alim itu mampu menyembuhkan penyakit beliau sebab orang itu pernah mengubati ramai pesakit sebelum ini.

JAWAPAN

Valet doa termasuk dalam kategori tawasul. Mereka ‘Buruk sangka’ dengan Allah. (Kalau aku doa tidak makbul, tapi kalau orang lain doakan, baru makbul…). Buruk sangka dengan manusia pun, orang marah. Bagaimana kalau buruk sangka dengan Allah?

 

 

SOALAN

Apa yang saya faham di sini syirik asghar menghapus amalan yang dia lakukan kerana riya’ dan tidak terhapus semua amalan melainkan syirik akbar yang menghapus semua amalan. Dia harus mengucap syahadah dan kembali mengumpul amalan pahala semula. Begitukan ustadz?

JAWAPAN

Dalil gugur semua amalan surah az-zumar:65

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

 

 

SOALAN

Benarkah orang yang melakukan amalan syirik (sihir) yang ditujukan kepada seseorang ini, amalannya terhapus dan diberikan kepada orang yang dia aniaya itu? Adakah dalil yang berkaitan dalam hal ini?

JAWAPAN

Orang yang menzalimi orang lain sudah tentu amalan kebaikannya diberi kepada orang yang dizalimi, samada fitnah.

Orang Yang Muflis Di Akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis itu?” Mereka menjawab : “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak pula memiliki harta/barang.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun ia juga datang dengan membawa dosa kezaliman. Ia pernah mencerca si ini, menuduh tanpa bukti terhadap si itu, memakan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya tersebut, diberikanlah di antara kebaikannya kepada si ini, si anu dan si itu. Hingga apabila kebaikannya telah habis dibahagikan kepada orang-orang yang dizaliminya sementara belum semua kezalimannya tertebus, diambillah kejelekan/kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.”

(HR Muslim no.6522)

Tingkatan dosa itu saya tidak tahu. Kalau kita perasan kita solat lebih baik kalau orang sedang tengok, maka itu tanda kita ada masalah dengan riya’. Mengenai dalil , tidak tahu dalil khususnya.Allahua’lam

 

 

SOALAN

Ada hadith yang menyatakan 3 orang yang masuk neraka disebabkan riya’ kan ustaz?

JAWAPAN

Benar. Mereka yang mula-mula masuk neraka sebelum orang lain. Mujahid, mualim dan yang infak.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ يَقُوْلُ : إِنَّ اَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيْكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ ِلأَنْ يُقَالَ جَرِيْءٌ, فَقَدْ قِيْلَ ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأََ اْلقُرْآنَ فَأُُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَعَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيْكَ اْلقُرْآنَ, قَالَ:كَذَبْتَ, وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ وَقَرَأْتَ اْلقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِىءٌٌ ، فَقَدْ قِيْلَ ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى اُلْقِيَ فيِ النَّارِ, وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ وَاَعْطَاهُ مِنْ اَصْْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا, قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيْهَا؟ قَالَ: مَاتَرَكْتُ مِنْ سَبِيْلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيْهَا إِلاَّ أَنْفَقْتُ فِيْهَا لَكَ, قَالَ: كَذَبْتَ ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيْلَ, ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ. رواه مسلم (1905) وغيره

Dari Abi Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya : ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Ia menjawab : ‘Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka. Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya: ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca al Quran hanyalah karena engkau.’ Allah berkata : ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al Quran supaya dikatakan (sebagai) seorang qari’ (pembaca al Quran yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka. Berikutnya (yang diadili) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah bertanya : ‘Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab : ‘Aku tidak pernah meninggalkan shadaqah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata karena Engkau.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’”

 

Hadits ini diriwayatkan oleh :

1. Muslim, Kitabul Imarah, bab Man Qaatala lir Riya’ was Sum’ah Istahaqqannar (VI/47) atau (III/1513-1514 no. 1905).
2. An Nasa-i, Kitabul Jihad bab Man Qaatala liyuqala : Fulan Jari’, Sunan Nasa-i (VI/23-24), Ahmad dalam Musnad-nya (II/322) dan Baihaqi (IX/168).

Hadits ini dishahihkan oleh al Hakim dan disetujui oleh Adz Dzahabi (I/418-419), Syaikh Ahmad Muhammad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad, no. 8260 dan Syaikh Muhammad Nashiruddin al Albani dalam Shahih at Targhib wat Tarhib (I/114 no. 22)

Perkongsian penulisan dari Ustaz Azlizan Nueq tentang adab khilaf

0

Perkongsian penulisan tentang adab khilaf, dari kuliah Dr. Rora. Semoga bermanfaat buat semua.

 

📌Adab Ikhtilaf – Dr. Rozaimie 📌

 

Al-Qur’an mencela berpecah- belah. Ada terdapat salah faham mengatakan semua perbezaan pendapat tidak boleh. Al-Qur’an bukan mencela perbezaan pandangan tetapi yang dicela adalah perpecahan kerana perbezaan pendapat itu. Jadi ada perbezaan di sana. Banyak kisah perbezaan pendapat antara para nabi pun ada. Sebagai contoh, antara Nabi Musa dan Nabi Harun di dalam surah Taha.
Yang dilarang berbeza pendapat adalah di dalam bab usul aqidah. Kalau bab tauhid, kena sama sahaja pandangan. Kalau ada yang berbeza pandangan tentang aqidah, kita tidak boleh raikan perbezaan pendapat itu, kerana di dalam al-Qur’an, kita disuruh berpegang pada tali Allah dan maksud tali Allah itu adalah tauhid. Kita kena pertahankan aqidah yang benar.
Nabi Muhammad saw pun berbuat seperti itu sampaikan Nabi saw berpecah dengan musyrikin Mekah. Memang dituntut pecah-belah sebegitu pun.
Sebenarnya Allah memberi ruang untuk kita berbeza pendapat. Dalam al-Qur’an dan hadis banyak perkataan yang boleh ditafsir lebih dari satu makna. Itulah sebabnya susah mendapat ijmak. Ayat-ayat itu dipanggil dzanni dholalah. Sampaikan boleh berbeza di dalam perkara furu’ aqidah. Antaranya samada Nabi saw nampak Allah semasa peristiwa Isra Mikraj, benar atau tidak.
Sebenarnya amat terhad sekali tempat yang ulama sepakat. Sebagai contoh, semua setuju bahawa solat itu wajib tetapi cara mengerjakan solat itu terdapat banyak sekali pendapat. Jadi kita kenalah hormati khilaf antara ahli agama dan janganlah mencela dan mengutuk orang yang berlainan pendapat. Janganlah memanggil mereka yang berlainan pendapat dengan kita sebagai wahabi dan apa-apa kata cacian yang lain.

 

Kenapa Allah benarkan ada khilaf pendapat?
Kenapa tidak memberi sahaja lafaz-lafaz yang mudah untuk difahami sampaikan tidak ada langsung khilaf?
Supaya adalah kerja ahli agama untuk menggunakan ijtihad. Iaitu menggunakan akal fikiran untuk melakukan kajian untuk mencapai satu keputusan agama dan memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pahala. Jikalau ijtihad mereka betul, maka mereka akan mendapat dua pahala. Kalau tersalah, mereka tetap mendapat satu pahala.Semoga Allah merahmati ulama terdahulu. Begitulah indah sekali Islam ini jika kita memahami.
Jangan takut dengan perbahasan ilmu dan janganlah menyekat manusia dari berbahasa tentang ilmu. Janganlah menghalang orang bijak untuk berbincang dan janganlah menghalang orang lain juga berbincang untuk mendapatkan pemahaman. Orang awam masih ada lagi yang bijak pandai. Antaranya peguam, pensyarah dan sebagainya. Mereka itu bijak pandai cuma mereka tidak sempat mengkaji sahaja dan kerana itu mereka cuma dapatkan maklumat dari ahli agama kerana itu bidang mereka.
Zaman Nabi saw juga sudah ada perbezaan pendapat. Contohnya hadis apabila baginda saw hendak menyerang Yahudi Bani Quraizah. Nabi saw telah memberitahu kepada sahabat untuk terus pergi ke sana dan berkata jangan menunggu untuk solat Asar. Solat di sana sahaja nanti tetapi ada sahabat yang solat juga di tengah jalan semasa dalam perjalanan ke kawasan Bani Quraizah. Ini kerana bagi mereka, yang Nabi saw maksudkan adalah jangan lambat, sebab itu Nabi saw menyuruh untuk melakukan solat di sana sahaja. Apabila diberitahu kepada Nabi saw tentang perkara ini, Nabi saw tidak memarahi mereka yang solat di perjalanan.
Khilaf di kalangan ulama memang banyak. Ini perkara biasa. Ada beberapa sebab:
1. Perbezaan pendapat sebab mereka berbeza didalam menilai hadis. Ada yang menerima sesuatu hadis dan ada yang tidak. Ini kerana mereka berijtihad. Apabila penilaian hadis berbeza, maka hukum yang dikeluarkan juga akan berbeza.
2. Dan ada di antara mereka yang tidak tahu hadis yang ada. Ini kerana pada zaman mereka tidak ada pengumpulan hadis lagi. Sahabat pun ada yang tidak tahu semua hadis.
Contohnya Saidina Umar pun ada hadis yang dia tidak tahu.
Jadi kalau kita menggunakan hadis yang lebih sahih, itu tidak ada salahnya kerana kita bukan mengikut Imam mazhab tetapi mengikut Nabi saw.
Tidaklah salah jika kita memilih pendapat yang kita rasa lebih kuat. Kita boleh buat perbandingan di antara dua ulama yang berbeza pandangan. Ada yang mengatakan siapalah kita untuk menilai pandangan ulama ada yang lemah. Ini tidak menjadi masalah kerana kita semua ada akal fikiran yang diberikan oleh Allah dan memang kita boleh menilai pandangan mana yang lebih kuat walaupun kita bukan ulama.
3. Perbezaan memahami dalil. Dalil ada tapi berbeza pandangan dari cara memahami dalil. Dalil sememangnya ada tetapi cara pemahaman yang berbeza. Sebagai contoh, di dalam al-Qur’an digunakan lafaz quru’ untuk mengira iddah wanita yang dicerai. Fahaman lafaz quru’ antara Imam Hanifah dan Imam Syafie berbeza.
4. Ada yang tidak tahu, ada hukum yang telah dibatalkan dari hukum yang asal. Sebagai contoh, Muaz bin Jamaliah telah di hantar ke Yaman. Jadi ada hadis yang dia tidak tahu telah dibatalkan.
Perbezaan kena ada adab. Bersangka baik kepada ulama. Walaupun ada ulama yang tersilap. Semoga Allah SWT mengampuni mereka . Kita pun ada berbuat salah juga. Bukanlah kena terima semua sampai tidak nilai langsung. Yang salah tetap kita katakan ianya salah cumanya jangan mengatakan ianya sesat. Apa pun kita kena hormati. Kalau tidak bersetuju tidak mengapa tetapi ada isu kita tidak setujui.
Itu semua dikira sebagai ‘Khilaf Muktabar’ kerana dalil ada, cuma berbeza fahaman tentang dalil itu sahaja. Bukanlah macam khilaf masyarakat kita sekarang. Satu pihak ada dalil dan satu pihak tidak ada dalil, cuma ada pendapat sahaja. Ini bukanlah khilaf yang diraikan. Jadi janganlah asyik mengatakan: “ini perkara khilaf, syeikh” kalau tidak ada dalil untuk menyokongnya. Kalau begitu, jadi rosaklah agama kalau buat benda bidaah dan kata itu ‘khilaf’.
Tidak boleh bantah membantah dalam perkara khilaf muktabar. Contohnya, khilaf samada kena membaca al-fatihah apabila solat di belakang Imam. Semua yang memberikan pendapat ada dalil dan pendapat masing-masing. Jadi, jika ada yang tidak membaca al-fatihah dibelakang Imam, janganlah kita menuduh dia sesat pula kerana ada pandangan dan dalil yang dia gunakan.

 

Ubat kepada masalah ini:
1. Kita kena belajar banyak ilmu. Belajar lagi dan lagi. Supaya jangan taksub kepada satu-satu pendapat sahaja dan menyalahkan orang lain.
2. Dan diperjelaskan perkara khilaf kepada masyarakat, supaya jangan hairan kalau nampak orang lain berbuat amalan yang lain sedikit dari apa yang kita amalkan.
3. Dan jangan salahkan dan menuduh tanpa usul periksa. Dan jangan mentafsir benda yang orang tidak ulas. Sebagai contoh, jika ada orang yang tidak menggunakan pendapat Imam Syafie di dalam sesuatu masalah, jangan pula menuduh dia menghina Imam Syafie pula.

Doa Memasuki Rumah Baru

0

Adakah amalan khusus seperti doa dan zikir untuk memasuki rumah baru?

Tidak ada amalan khusus yang diperintahkan Syarak ketika memasuki rumah baru. Adalah lebih baik kita berdoa supaya rumah diberkati dan kita yang mendiami rumah turut diberkati. Namun begitu, jika bertujuan untuk mengharapkan keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan dan syaitan, maka dianjurkan kita melazimi empat perkara berikut:

Pertama: Membaca Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”

(Hadis Riwayat Muslim (780))

Kedua: Menunaikan solat sunat keluar dan masuk rumah

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

Maksudnya: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumah mu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangi mu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumah mu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangi mu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.”

(Hadis Riwayat al-Bazzar. Berkata Ibn Hajar al-Haythami: Rijalnya thiqah)

Ketiga : Membaca bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya:“Apabila seseorang masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tetapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.

(Hadis Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765) dan lain-lain.)

Juga daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”

Hadis Riwayat Bukhari (3304), Muslim (2012) dan yang lainnya.

Keempat : Memberi salam

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma berkata:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.

Maksudnya: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

(Hadis riwayat al-Bukhari  (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.)

Jika ada penghuni beri salam macam biasa : Assalamualaikum. Tidak ada nas suruh baca surah Al-Ikhlas bila masuk rumah.

Allahu a’lam.

NOTA FIQH DOA MUSTAJAB 2

0

Waktu Doa Mustajab.

2. Satu waktu pada setiap malam.
Dalil hadith:
إِنَّ فِي اللَّيْلِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ، يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ
“Sesungguhnya di malam hari ada satu waktu yang jika seorang muslim bertepatan waktu itu dalam keadaan meminta kepada Allah kebaikan tentang perkara dunia mahupun akhirat kecuali Allah akan berikan kepadanya. Hal itu terjadi pada setiap malam.”
(HR. Muslim dari Abu Hurairah no.757)
Syarah hadith:
Selain sepertiga malam yang akhir, juga terdapat satu waktu rahsia di malam hari yang mana jika kebetulan kita berjaga ketika itu dan berdoa, maka ia dimakbulkan. Kemungkinan juga bermaksud, waktu mustajab tersebut berlaku pada sepertiga malam yang akhir.

Popular

Iklan

Iklan