Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-247 dan Ke-248

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-247 dan Ke-248

574
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat ke-247:

Ini berpatah balik kepada situasi selepas mereka minta lantik Jeneral perang untuk mereka. Sekarang Allah ‎ﷻ telah melantik Talut sebagai Ketua perang itu.

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ ۚ قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmuNya.

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا

Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.

Seperti yang diberitahu, perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘Ketua tentera’ atau ia boleh bermaksud ‘khalifah’.

قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا

Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami

Mereka tidak dapat terima hakikat yang Talut yang telah dilantik. Dia seorang yang tidak dikenali dan bukan daripada golongan kaya atau bangsawan.

وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ

sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya,

Mereka tidak berpuas hati kerana mereka yang mahukan kedudukan itu. Mereka berhujah dengan mengatakan mereka lebih layak.

وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ

dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?

Mereka rasa mereka lebih layak kerana mereka ada pengaruh dan juga ada banyak harta. Ini kerana mereka memandang kedudukan dengan kedudukan keduniaan. Pada mereka, kalau kaya atau berpengaruh, itulah orang yang layak. Amat cetek sekali cara pemilihan pada diri mereka.

قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم

Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi ketua ke atas kamu,

Allah ‎ﷻ menekankan bahawa pelantikan itu sudah tetap. Talut adalah Ketua Perang mereka. Allah ‎ﷻ hendak ajar bahawa Ketua Perang bukannya memerintah dalam keadaan aman dan oleh itu tidak memerlukan orang yang kaya dan berpengaruh. Apa guna kalau ada harta tetapi tidak tahu memimpin?

Allah ‎ﷻ yang berhak melantik sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagai Ketua Perang, maka tidak boleh buat apa lagi. Allah ‎ﷻ tidak perlu hendak beri penjelasan kepada mereka kenapa Dia pilih Talut. Siapa mereka yang Allah ‎ﷻ kena ikut?

Perkataan اصطفى bermaksud pemilihan yang dilakukan hanya kerana kita suka. Contohnya bila kita beli buah di pasar, kita pilih epal, tidak pilih limau. Apabila ada orang tanya, kenapa pilih epal tidak pilih limau, kita kata sebab kita suka. Tidak perlu ada penjelasan lain.

Bukan sebab kita kira kalori, atau epal warna merah, epal banyak lagi vitamin, tidak. Sebab kita suka epal, ikut kitalah sebab kita yang hendak beli. Ia adalah sesuatu keputusan yang kita tidak perlu jelaskan sebabnya kepada orang lain. Begitulah hak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh pilih sesiapa sahaja yang Dia pilih dan Dia tidak perlu jelaskan kenapa Dia buat keputusan itu.

وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ

dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan

Allah ‎ﷻ telah beri kelebihan kepada Talut kerana dia mempunyai kegagahan tubuh badan dan keberanian serta dia ada keluasan dalam ilmu peperangan. Oleh itu dia sesuai untuk menjadi pemimpin perang.

Namun begitu, ini bukanlah sebab Allah ‎ﷻ memilih Talut, kerana kita telah sebut sebelum ini bahawa Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan kenapa Dia memilih sesiapa yang Dia pilih. Dia lebih tahu dan kita tidak tahu.

Ini juga menjadi dalil bahawa ketua kerajaan dan ketua perang hendaklah orang yang baik kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Mereka mestilah orang yang layak berjuang dan juga mereka hendaklah layak memimpin.

وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَنيَشاءُ

 Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya;

Jawapan seterusnya adalah kerana Allah ‎ﷻ lah yang berhak untuk memilih siapakah yang boleh menjadi ketua. Manusia tidak boleh soal keputusan yang Allah‎ ﷻ sudah buat dan akan buat. Kita kena sedar kedudukan kita sebagai hamba.

وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.

Allah ‎ﷻ tahu siapakah layak untuk dijadikan ketua perang dan manusia tidak layak untuk mempersoalkannya. Kita tidak akan dapat hendak mencapai kefahaman Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu apa sahaja keputusan Allah ‎ﷻ, kita kena terima. Ini termasuk hukum hakam yang telah ditakdirkan ke atas kita. Jangan kita persoalkan sama sekali.

Tafsir Ayat ke-248

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ‌ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ

Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kekuasaan Talut itu ialah datangnya kepada kamu peti Tabut

Allah ‎ﷻ juga telah memberi satu tanda pada kekuasaan Talut itu. Diberikan tanda kepada mereka sebab mereka puak yang hendakkan macam-macam tanda baru hendak buat. Tanda ini sesuai untuk diberikan pada zaman itu kerana mereka biasa dengan benda-benda Karamah seperti ini.

Akan datang kepada mereka Tabut iaitu satu peti yang berisi Kitab Taurat di dalamnya. Tidak payah hendak cari benda ini ada di mana sekarang. Mengikut kisah, peti itu dahulunya memang dalam simpanan Bani Israel tetapi apabila mereka diserang dan ditakluk, peti itu telah diambil oleh penakluk mereka, orang Babylon dan dibawa ke tempat mereka.

Kemudian mereka telah dilanda penyakit berjangkit dan mereka sangka kerana sial pada Tabut itu. Maka mereka letak Tabut itu di belakang keldai dan biarkan keldai itu bawa keluar Tabut itu ke mana sahaja keldai itu hendak pergi. Akhirnya ia sampai kepada Bani Israel dalam kisah ini.

فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم

di dalamnya ada ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu

Di dalam peti itu ada ketenteraman kepada mujahid semasa perang. Mereka rasa mereka mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Ketenteraman itu bukan daripada peti itu tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Dengan adanya Tabut itu, memberi ketenangan kepada mereka untuk berjuang.

وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ

dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun

Peti itu juga mengandungi barang-barang peninggalan daripada keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام adalah Nabi dalam sejarah mereka yang mereka amat hormati. Jadi, Tabut ini adalah satu peninggalan yang amat bermakna buat mereka.

تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ‌ۚ

peti Tabut itu dibawa oleh malaikat.

Peti itu akan dibawa oleh malaikat dan akan diletakkan di hadapan Talut dan rakyat. Memanglah dibawa oleh keldai seperti yang kita sebut sebelum ini, tetapi sampainya ke tempat Bani Israel itu adalah atas panduan daripada malaikat.

Peti itu adalah sebagai tanda perlantikan rasmi Talut sebagai ketua. Apabila ada tanda macam itu, barulah Bani Israel itu hendak ikut taat kepada Talut. Peti itu dibawa oleh malaikat dan kemudian dibawa pergi oleh malaikat balik, maka tidak perlulah hendak dicari di manakah peti itu sekarang.

Tidak perlu sibuk tanya dengan terperinci tentangnya kerana ia tidak berkenaan dengan kita. Orang kita, bab-bab pelik macam ini, memang ramai yang suka. Tetapi cubalah jangan tanya berlebih-lebih kerana tidak menambah keimanan pun kalau dapat tahu mengenainya. Ia adalah kisah lama yang kita tidak ada maklumat tentangnya.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman

Tabut itu sesuai sebagai tanda pada zaman itu, tetapi kepada Nabi akhir zaman dan umatnya, tidak diberikan sakinah sebegitu. Kita akan belajar nanti bagaimana Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya juga ada diberikan dengan Sakinah tetapi di dalam bentuk yang lain.

Sakinah itu akan diberikan kepada setiap mujahidin sebelum memulakan peperangan. Bayu yang lembut akan diberikan kepada mujahidin sampai mereka boleh mengantuk. Ini adalah tanda Allah‎ ﷻ beri sakinah. Sebelum Allah ‎ﷻ beri, jangan mulakan takbir perang.

Jadi pada kita umat akhir zaman, tidak perlu Tabut. Ini dibuktikan oleh mereka yang berpengalaman jihad fi sabilillah. Mereka akan rasa mengantuk sangat dan apabila ia datang, boleh sampai jatuh pedang yang sedang dipegang. Kalau zaman sekarang, boleh sampai jatuh senapang yang dipegang.

Padahal, kalau ikut logik, apabila hendak menghadapi perang, mestilah kita waktu itu tengah segar sebab hendak hadap mati, bukan? Tentu jiwa sedang bergelora waktu itu sampai tidak ingat hendak tidur pun. Namun Allah ‎ﷻ berikan rasa mengantuk itu sebagai sakinah kepada mereka. Allah ‎ﷻ juga beri rehat kepada para pejuang supaya segar semasa berperang.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan