Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-129

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-129

985
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-129

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya dibangkitkan umat Islam akhir zaman. Sekarang, dalam doa seterusnya ini, baginda berdoa supaya dibangkitkan seorang Rasul daripada kalangan mereka. Doa inilah yang dimakbulkan Allah ‎ﷻ dan dibangkitkan Nabi Muhammad ﷺ.

رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِنهُم يَتلو عَلَيهِم آياتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ

Wahai Tuhan kami, lantiklah di antara mereka,

Perkataan بْعَثْ itu bermaksud ‘melantik’ dan ‘meninggikan kedudukan’ seseorang.

رَسُولًا مِنْهُمْ

seorang rasul daripada kalangan mereka

Seorang Rasul itu perlulah daripada kalangan mereka – bangsa Arab. Yang boleh bercakap dan berinteraksi dalam bahasa mereka juga. Lagi senang untuk diterima kerana dia adalah orang situ juga. Kalau yang berdakwah kepada mereka itu adalah dari tempat lain, manusia akan susah hendak terima.

Oleh kerana itu, pendakwah di Malaysia ini kenalah dalam kalangan orang kita juga. Sebaiknya orang yang sama dengan orang yang didakwah. Contohnya, kalau untuk orang Cina, pendakwahnya seeloknya orang Cina juga.

يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ

Yang membaca ke atas mereka, ayat-ayat Kamu;

Perkataan ‘baca’ dalam ayat ini bukanlah baca sahaja, tetapi maksudnya menyeru manusia kepada wahyu Allah ‎ﷻ. Maksudnya Nabi yang dibangkitkan di akhir zaman itu kenalah menyeru manusia kepada ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Begitu juga kita, kita kena sampaikan wahyu ini kepada manusia. Kita kena ajak mereka untuk belajar wahyu Allah ‎ﷻ.

Juga bermaksud mengajar wahyu. Maknanya guru yang mengajar itu tidak boleh mengajar tanpa menggunakan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi. Tidak boleh menggunakan hujah akal semata-mata. Memang kita perlu menggunakan akal dalam memahami sesuatu nas itu, tetapi perlulah disokong oleh dalil-dalil dari Al-Qur’an dan hadith.

Maknanya, kita bukan bercakap menggunakan hujah akal kita tetapi menggunakan Kalam Allah ‎ﷻ. Ada kelebihan membacakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ kerana ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah mukjizat dan kerana itu ia dapat membuka hati manusia. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah wahyu Allah ‎ﷻ.

Wahyu Allah ‎ﷻ itu dalam dua bentuk: sama ada ayat Al-Qur’an atau pun hadith Nabi ﷺ. Ini kerana walaupun disampaikan menggunakan ayat-ayat Nabi ﷺ, tetapi ia juga sebenarnya adalah wahyu juga. Mungkin ramai yang kurang tahu, yang hadith Nabi ﷺ juga adalah wahyu. Ia adalah wahyu jenis kedua selepas Al-Qur’an.

وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ

dan Nabi itu akan mengajar kepada mereka kitab Tuhan

Yang dimaksudkan adalah Kitab Al-Qur’an. Menunjukkan kepentingan mengajar pemahaman Al-Qur’an kepada manusia. Bukan setakat mengajar tajwid sahaja supaya manusia boleh baca Al-Qur’an. Kena mengajar maksud-maksud yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kenalah diajarkan juga tafsir Al-Qur’an.

Malangnya, masyarakat kita hanya mengajar anak-anak mereka tahu membaca Al-Qur’an, tetapi tidak sampai 1% daripada isi kandungan Al-Qur’an itu yang mereka boleh fahami. Yang menyedihkan, apabila mereka boleh membaca Al-Qur’an, mereka sangka mereka sudah cukup belajar Al-Qur’an. Itulah sebabnya, ada orang Islam yang hari-hari membaca Al-Qur’an, tetapi larangan dalam Al-Qur’an masih dibuat lagi. Itu kerana mereka tidak faham pun apa yang mereka baca itu.

Perkataan عَلِّمُ bermaksud ‘mengajar’. Ia bermaksud mengajar dalam masa yang lama. Pembelajaran Al-Qur’an ini bukanlah dalam masa yang sekejap. Ia mengambil masa dan perlu diluangkan masa untuk mempelajarinya. Bayangkan Al-Qur’an itu pun diturunkan kepada Nabi ﷺ dalam masa 23 tahun.

Ia adalah satu masa yang lama. Maka, jangan kita sangka boleh cepat untuk faham Al-Qur’an. Yang mengajar dan belajar perlu bersabar dalam memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Maka memang kena luangkan masa dan tenaga. Ia boleh dipelajari, tetapi memerlukan usaha dan modal daripada kita.

وَالْحِكْمَةَ

dan juga Sunnah;

Pendapat yang kuat mengatakan maksud ‘Hikmah’ dalam ayat ini adalah ‘Sunnah’. Sunnah ialah contoh agama yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan ia juga bermaksud ‘kefahaman agama’. Atau kita boleh kata ianya adalah ‘wisdom’ – kebijaksanaan dalam agama. Ia bukan boleh datang dengan cepat. Ia mengambil masa seperti juga belajar sesuatu. Untuk mendapatinya, kena dimulai dengan belajar dahulu.

Apabila kita sudah belajar peringkat pertama, dan kita terus beramal dan memikirkan tentangnya, barulah kita akan dapat hikmah itu. Ini kerana hikmah ini merupakan pemberian daripada Allah ‎ﷻ.

Jadi, ada dua pendapat tentang makna الْحِكْمَةَ: Ada yang kata ia membawa maksud ‘Hadith” dan ada yang kata ia juga bermaksud ‘wisdom’.

وَيُزَكِّيهِمْ

dan mensucikan mereka;

Nabi itu mesti menyucikan mereka. Apakah maknanya? Ini dipanggil tazkiyah. Iaitu tazkiyah dengan maksud menyucikan hati.

Apakah maksud ‘menyucikan’ itu? Orang Kristian bab penyucian ini mereka panggil sibghatullah – celupan Allah ‎ﷻ. Itulah sebabnya mereka ada majlis mandi dalam sungai – yang mereka namakan ‘baptis‘. Mereka kata menyucikan itu adalah dengan mandi baptis itulah dengan menggunakan air kuning keruh. Hindu pula mandikan berhala mereka dengan susu.

Mereka pun ada majlis mandi di Sungai Ganges. Buddha pun begitu juga, mereka mandikan patung Buddha itu setahun sekali. Semua ada melibatkan warna kuning. Dalam masyarakat kita pun selalu juga ada kuning. Itu adalah kerana ada ikutan dari ajaran sesat. Ini adalah kerana yang menyesatkan manusia itu adalah Iblis yang sama juga.

Tazkiyah itu sebenarnya ‘menyucikan hati’. Kita semua ada penyakit dalam hati. Oleh kerana ia adalah perkara dalam hati, maka ia adalah perkara yang halus, bukan senang untuk difahami. Ia juga ada kena mengena dengan penyucian dari syirik.

Namun harus diingatkan yang syirik itu ada dua jenis: syirik dalam perbuatan dan lagi satu syirik dalam aqidah. Ada kalangan manusia yang ada syirik dalam kefahaman mereka – walaupun mereka tidak nampak telah buat perkara syirik yang jelas seperti menyembah berhala.

Tetapi walaupun mereka tidak sembah berhala, belum tentu mereka selamat daripada melakukan amalan syirik ataupun mempunyai fahaman syirik lagi. Untuk mengetahui sama ada kita ada syirik ataupun tidak, kita kena belajar tafsir Al-Qur’an dan semak akidah kita sama ada betul atau tidak dengan akidah yang disampaikan oleh Al-Qur’an.

Manusia yang ada syirik dalam kefahaman mereka sebenarnya tidak masuk Islam lagi. Walaupun mereka sembahyang hari-hari tetapi tidak masuk Islam lagi sebab masih ada syirik dalam hatinya. Contohnya, dia percaya kalau masuk hutan, tidak boleh sebut ‘gajah’ dengan kuat, sebab takut gajah itu akan dengar. Itu adalah kefahaman syirik.

Kita sekarang tidak buat begitu, sebab kita tidak pergi ke hutan, tetapi kalau ada dalam hati kita yang kalau masuk hutan kena buat begitu, maka itu sudah syirik. Ada yang kata kalau percaya itu sahaja pun sudah syirik, dan ada yang kata itu baru dosa besar. Jadi, ia sama ada dosa besar atau syirik. Dosa besar itu tentu sudah berat.

Manakala syirik jenis perbuatan pula datang daripada fahaman manusia yang ada syirik. Dalam erti kata lain, orang yang buat syirik dalam perbuatan itu adalah kerana mereka ada syirik dalam hati mereka. Kalau tidak ada syirik dalam hati mereka, mereka tidak akan buat syirik perbuatan itu. Tidaklah manusia terus sembah benda lain dengan tiba-tiba.

Ada tiga perkara berkenaan tazkiyah itu:

Pertama, menyucikan manusia daripada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Dengan mengajar manusia tentang apakah perbuatan yang melibatkan syirik. Itu adalah tentang kefahaman syirik yang telah ada dalam hati. Contohnya, katakanlah kita ke hutan dan kita jumpa tapak kaki gajah. Kita kata: “itu tapak kaki orang besar“.

Kita tidak berani hendak menyebut perkataan ‘gajah’ kerana takut gajah akan dengar dan kononnya gajah faham kata kita dan akan datang cari kita pula. Kalau kata begitu, sudah ada syirik kepada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Sebab tidak berani hendak kata ‘gajah’ sebab takut gajah dengar.

Padahal gajah tidak ada di situ. Sedangkan gajah yang beranak dalam zoo pun tidak faham apa yang kita cakap. Tiba-tiba gajah yang tidak pernah berhubungan dengan manusia, boleh pula faham bahasa kita? Itu adalah syirik kerana dia kata gajah boleh faham sedangkan dia tahu gajah tidak faham dan gajah tidak ada di situ pun. Macamlah gajah itu ada “super-hearing” pula – maha mendengar. Sedangkan sifat Maha Mendengar itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja.

Nampak macam tiada apa-apa sangat, tetapi itu adalah syirik fil ilmi, syirik dalam ilmu: iaitu kita kata binatang-binatang dapat tahu. Jadi, guru kena ajar supaya anak murid buang pemahaman-pemahaman karut sebegitu dari hati. Ini adalah syirik kerana kita tahu yang Maha Mendengar adalah Allah ‎ﷻ. Yang ada sifat boleh mendengar walaupun jauh itu hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi dia kata gajah ada kuasa Allah ‎ﷻ pula?

Atau kalau kita percaya kalau burung hantu berbunyi pada waktu malam bermaksud ada orang akan mati. Kita mungkin tidak buat begitu sebab kita tidak dengar burung hantu berbunyi lagi. Tetapi kalau kita balik kampung dan dengar burung hantu berbunyi, ada antara kita yang akan berkata: “Ada orang nak mati ni”. Ini adalah syirik kerana yang tahu siapa yang akan mati hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Kita manusia yang ada akal pun tidak tahu siapa akan mati, tetapi bagaimana pula burung hantu pula yang tahu?

Jadi guru kena beritahu tentang perkara ini. Lebih kurang 80% daripada Al-Qur’an adalah untuk mengenal Allah ‎ﷻ yang membawa kepada fahaman Tauhid. Jadi lawan kepada mengenal Allah ‎ﷻ dan tauhid adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka ada kemungkinan kita akan melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Jadi, kerana pentingnya mengenali Allah ‎ﷻ dan pentingnya tauhid, maka banyaklah ayat di dalam Al-Qur’an menerangkan tentang Allah ‎ﷻ. Antaranya diajarkan tentang sifat Maha Mendengar Allah ‎ﷻ. Sifat mendengar Allah ‎ﷻ tidak sama dengan mahluk-Nya. Jadi untuk tahu, kena belajar semua sekali ayat Al-Qur’an yang ada di dalam Al-Qur’an. Tidak boleh tinggal satu pun.

Kedua, selain daripada pemahaman syirik, ada satu jenis syirik yang dinamakan syirik kecil, iaitu sifat-sifat Mazmumah (sifat-sifat terkeji) yang ada dalam hati manusia. Ada sepuluh jenis semua sekali.

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

– Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
– Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
– Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lalai daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

– Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
– Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

– Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
– Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
– Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

– Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
– Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah ‎ﷻ kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
– Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

– Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
– Nikmat yang dikurniakan oleh Allah ‎ﷻ kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah ‎ﷻ menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ.
– Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

– Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
– Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah ‎ﷻ.
– Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

– Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
– Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
– Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah ‎ﷻ.
– Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah ‎ﷻ bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

– Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
– Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
– Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah ‎ﷻ dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

– Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
– Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
– Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

– Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
– Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah ‎ﷻ semata-mata.
– Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.

Ketiga adalah sifat-sifat nifak. Ada antara kita yang mempunyai sifat itu dalam hati. Semasa zaman Nabi ﷺ, orang Muhajirin tidak ramai yang munafik. Sebab semasa di Mekah, orang kafir tidak perlu pura-pura masuk Islam. Apabila mereka berhijrah, mereka kena tinggalkan semua sekali harta yang tidak boleh dibawa. Jadi, rumah dan tanah mereka, mereka tinggalkan.

Jadi, pengorbanan mereka besar untuk masuk Islam dan tidak perlu mereka berpura-pura. Malahan, ia lagi senang untuk mereka mengatakan mereka bukan Muslim dari mengatakan mereka seorang Muslim.

Namun begitu para sahabat Nabi ﷺ yang tinggal di Madinah pula, ada yang terdiri daripada orang munafik. Apabila ketua kaum mereka masuk Islam, iaitu Saad bin Ubaadah, dia kata sesiapa yang tidak masuk Islam, dia tidak akan bercakap dengan mereka sampai mati. Apabila masuk waktu Asar, semua kaumnya masuk Islam.

Dalam ramai-ramai itu, ada yang terpaksa masuk Islam walaupun mereka tidak mahu. Ini adalah kerana semua yang lain telah masuk, jadi mereka ada kepentingan untuk masuk Islam. Antara yang munafik itu termasuklah Abdullah bin Ubai. Mereka tidak menerima Islam sebenarnya, tetapi terpaksa masuk Islam. Jadi, mereka itu mengucap syahadah dan sembahyang di belakang Nabi ﷺ.

Tetapi mereka tidak berjemaah semasa Subuh dan Isya’ kerana dua waktu itu gelap jadi orang tidak nampak yang mereka tidak salat. Maknanya, mereka buat juga apa-apa ibadah yang dibuat oleh orang Islam yang lain. Tetapi mereka tidak ikhlas dalam ibadat mereka. Mereka juga tidak menderma kepada jalan agama. Mereka juga tidak sebarkan agama Allah ‎ﷻ. Mereka hanya buat ibadat yang senang-senang sahaja.

Apabila mereka bersama dengan orang Islam, mereka berbuat baik. Tetapi apabila mereka di tempat lain, mereka berbuat dosa seperti minum arak dan berzina. Mereka tonjolkan sifat sebenar mereka. Kisah orang munafik ini telah diceritakan di awal surah ini dan akan banyak diceritakan lagi dalam Surah An-Nisa’ dan surah-surah lain nanti.

Yang menyedihkan, golongan tarekat dan tasawuf hanya mengambil bahagian tazkiyah berkenaan syirik kecil, tetapi tidak banyak membicarakan tentang syirik kepada Allah ‎ﷻ. Apabila begitu, walaupun mereka jaga sungguh bahagian syirik kecil, tetapi ada di antara mereka yang buat syirik yang besar. Apabila kita belajar Al-Qur’an, ketiga-tiga jenis itu kita akan tahu.

إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ

Sesungguhnya Engkau Maha Gagah Perkasa

Allah ‎ﷻ boleh lakukan apa sahaja. Tidak ada yang boleh melawan kehendak Allah ‎ﷻ. Apa sahaja kehendak Allah ‎ﷻ akan terjadi dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang.

الْحَكِيمُ

dan Maha Bijaksana.

Tetapi, dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ amat bijaksana dalam menetapkan undang-undang-Nya. Walaupun Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi tindakan Allah ‎ﷻ itu adalah penuh hikmah dan tepat.

Jadi, kesimpulannya, sebagai seorang penyebar agama, mestilah membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia, tafsir Al-Qur’an, hadith Nabi dan mengajar tentang manakah perbuatan yang syirik dan tentang sifat-sifat munafik supaya mereka boleh mengelakkan diri mereka daripada melakukannya.

Namun kebanyakan guru tidak mengajar perkara ini semua kerana mereka bukan merujuk kepada tafsir Al-Qur’an. Jadi hasilnya, syirik tidak keluar dari dalam diri anak-anak murid mereka. Mereka hanya belajar dan mengajar kitab-kitab kecil yang menghuraikan sedikit sahaja tentang agama. Jadi, anak-anak murid mereka merasa mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya mereka belajar sedikit sahaja.

Ayat yang lebih kurang sama sahaja ada disebutkan dua kali lagi di surah yang lain. Tetapi dalam susunan yang lain. Susunan dalam ayat ini adalah: – membacakan kitab – mengajar hikmah – membersihkan. Dalam ayat yang lain, susunannya berbeza. Dalam ayat ini, ia adalah susunan doa daripada Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi dalam ayat lain, susunan itu adalah dari Allah ‎ﷻ sendiri. Jadi susunannya tidak sama. Tambahan pula, keperluannya tidak sama.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan