Utama Bilik Motivasi Presuposisi 2: A Person is NOT his or her Behavior. Unconditionally Accept...

Presuposisi 2: A Person is NOT his or her Behavior. Unconditionally Accept People

176
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq.

Presuposisi Yang Kedua:

2. A person is NOT his or her behavior. Unconditionally accept people.

Manusia bukanlah sikapnya. Menerima tanpa syarat.”

Kita jangan tolak sesiapa hanya kerana sikap mereka. Mereka bukanlah sikap mereka. Maksudnya, mereka tidak lahir dengan sikap mereka dan sikap itu masih boleh diubah lagi.

Tetapi kalau kita tolak mereka, mereka akan terus jadi begitu. Sebaliknya, kita terima mereka dan cuba nasihatkan mereka untuk mengubah sikap yang memudaratkan mereka.

Manusia sentiasa sahaja melakukan kesalahan. Jangan kita terus menolak seseorang kerana kesalahan yang pernah dilakukannya. Begitu juga kita seharusnya belajar untuk memaafkan diri kita sendiri. Kesalahan lalu tidak semestinya terus melekat dan kekal di dalam diri kita.

NLP cuba mengajar manusia bagaimana untuk melihat sikap diri sendiri, menilai sama ada ia baik ataupun tidak. Kalau baik, boleh diteruskan; tetapi kalau tidak, NLP boleh mengajar mereka cara untuk mengubahnya.

Kita sebagai manusia, selalu menerima orang yang kita suka kerana ada sebabnya. Mungkin kerana cara mereka, kerana mereka berbuat baik terhadap kita, kerana mereka cantik, pandai, peramah atau sebagainya. Itu semua adalah ‘syarat’. Maknanya, kita selalu meletakkan syarat untuk berbaik dengan orang.

Tetapi adakah kita hendak meletakkan syarat tertentu untuk menyayangi anak-anak kita? Bagaimana pula dengan ibubapa kita? Adakah kalau mereka baik barulah kita boleh menyayangi mereka? Tentulah tidak, bukan? Kita akan menerima mereka tanpa syarat. Inilah dipanggil “unconditional love” (cinta tanpa syarat).

Inilah yang kita cuba terapkan ke dalam kehidupan kita. Hidup akan lebih indah dan harmoni kalau begitu. Manusia akan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Ini memang payah dan memerlukan usaha untuk mengubah pemikiran kita kerana kita selalu mempunyai penilaian kita sendiri. Kadangkala kita tidak suka dengan cara seseorang bercakap, cara dia berpakaian, cara dia berjalan, cara dia ketawa dan macam-macam lagi. Kita sendiri membuat andaian dalam hati kita: “Ada tak kena dengan dia ni, aku tak suka lah dia ni…”. Ini adalah sesuatu yang merugikan.

Jadi presuposisi ini mengajar kita untuk melihat orang lain dengan pandangan rahmah (kasih sayang). Kita ingin mengenalinya dengan lebih rapat lagi, kita ingin tahu apa yang menyebabkan dia jadi begitu, kenapa dia berperangai begitu, dan kenapa dia membuat keputusan begitu.

Bagaimana pula kalau kita meluangkan lebih masa mengenali seseorang untuk lebih mengetahui tentang dirinya? Bukankah itu amat baik? Mungkin kita akan lebih memahaminya dan kemudian bertukar pendapat kita tentang dirinya. Bak kata pepatah: ‘Tak kenal mata tak cinta.’

Pernah atau tidak, kita dahulu membenci seseorang hanya dengan melihat mukanya sahaja? Tetapi apabila sudah mengenali dirinya, dia menjadi kawan baik kita pula? Silap-silap berkahwin pula dengannya…

Saya ingin kongsikan pengalaman saya:

Saya pernah mengenali seorang tentera berpangkat Panglima. Apabila meluangkan masa dengannya, saya perasan dia mempunyai perangai yang pelik. Pertama, dia bercakap dengan suara yang kuat. Kedua, bila dia makan amat laju. Seolah-olah dia tidak kunyah pun makanannya. [Entah kenapa, saya terbayangkan biawak yang terus menelan makanannya tanpa mengunyah].

Saya bertanya kepadanya: “Kenapa dia begitu?” (Peringatan: soalan sebegini haruslah dilihat kepada kesesuaian juga, janganlah pula terus ditanya kepadanya. Harus dibina “rapport” (hubungan rapat) dahulu dengan orang tersebut).

Dia jawab: Dia telah dibesarkan oleh datuk dan nenek. Adik beradik dan sepupunya ramai tinggal serumah. Jadi, apabila tiba waktu makan, siapa makan perlahan, alamatnya akan kelaparan. Manakala, semenjak daripada kecil lagi , dia mesti bercakap dengan suara yang kuat kerana apabila ramai, suaranya susah untuk didengari kalau bercakap lembut. Maka, secara semulajadi semua adik beradiknya bercakap dengan nada yang kuat.

Nah, lihat sekarang saya sudah tahu kenapa dia berperangai sebegitu. Jadi, perbuatannya tidak menjadi pelik lagi kerana kita tahu latarbelakang dan sejarah hidupnya.

Malangnya, selalunya kita tidak begitu, bukan? Kita biasanya terus sahaja membuat andaian terhadap seseorang berdasarkan pengalaman pertama kita bersama dengannya.

Saya berikan satu senario:

Anda sedang berada di pasaraya dan anda lihat seorang lelaki yang agak berusia sedang memarahi pekerja di pasaraya itu. Apakah perasaan anda terhadapnya?

Saya berani jamin anda akan menganggap lelaki itu adalah seorang pembengis, tidak menghormati orang lain, sombong dan meninggi diri, tidak berperikemanusian dan mungkin lain-lain lagi.

Tetapi benarkah andaian anda itu? Anda hanya melihat sikapnya pada satu waktu itu sahaja dan anda terus melabelnya sebagai seorang pembengis dan pemarah? Anda tidak tahu pun kenapa dia marah sangat pada waktu itu, bukan? Mungkin dia marah kerana dia sememangnya patut marah. Mungkin dia nampak pekerja pasaraya itu melakukan penipuan kepada orang lain dan kerana itu dia sangat marah.

Mungkin sahaja pada waktu lain dia adalah seorang yang peramah dan pendiam sahaja, cuma kali ini terjadi perkara yang menyebabkan dia marah sangat. Mungkin dia sedang dalam kesakitan pada waktu itu dan kerana itulah dia tidak dapat mengawal emosinya.

Anda nampak bukan bagaimana dengan tergesa-gesa membuat kesimpulan terhadap seseorang hanya berdasarkan sikapnya sahaja boleh menyebabkan kita tersalah andaian terhadap seseorang?

Maka kerana itulah NLP mengajar bahawa ‘manusia bukanlah sikapnya’. Haruslah dibezakan antara manusia itu dan sikapnya. Yang perlu diubah adalah sikapnya, bukannya manusia itu. Kalau kita sudah berkata: “Dia memang pemarah; dia memang seorang yang sombong; dia memang tak tahu dengar kata”; atau apa-apa sahaja pandangan kita terhadapnya, ini bermakna seolah-olah kita telah berkata: Dia tidak boleh diubah.

Kalau otak kita sudah berkata dia tidak boleh diubah, maka itu sudah menutup sebarang ruang untuk penambahbaikan. Kita terus tinggalkan orang itu, tidak berkawan dengannya dan tidak menasihatinya lagi. Adakah ini positif? Tentulah tidak.

Kita harus pisahkan ‘individu’ dengan ‘sikap’ kerana jika tidak, kita tidak akan dapat keluar daripada zon kemelut negatif. Sebagai contoh, terdapat perbezaan di antara dua kenyataan ini:

(a) Saya gagal melakukannya (I failed to do it)
(b) Saya seorang yang gagal (I am a failure)

Kenyataan (a) adalah okay sahaja kerana biasa sahaja kita gagal dalam melakukan sesuatu. Tetapi kenyataan (b) itu adalah bahaya. Ini kerana kalau kita mengaitkan satu kegagalan dengan diri kita, maka kita akan terus melabel diri kita sebagai seorang yang sentiasa sahaja gagal dalam hidup. Kalau sudah melabel diri begitu, memang akan susah untuk keluar daripada fikiran negatif.

Melabel diri sebegitu juga tidak baik untuk hubungan kita dengan orang lain. Sebagai contoh, ada sesetengah orang yang ‘mulutnya lepas’ sahaja apabila bercakap dengan orang lain. Akibatnya, ramai orang akan terasa hati dengannya. Sesetengah orang sebegini akan beralasan: “Alaahh, memang cara cakap aku macam itu, tak boleh ubah dah”.

Sikap ini meletakkan identiti dirinya seolah-olah itulah dirinya, dan menyebabkan dia tidak mahu berubah, atau dia merasakan dirinya tidak boleh berubah. Sedangkan sikap dan sifat masih lagi boleh diubah dengan latihan-latihan tertentu. Ini bermula dengan keinginan hendak berubah dan keyakinan yang semua itu boleh diubah.

Maka cubalah hayati presuposisi ini dan fikirkannya berkali-kali. Cuba terapkan ke dalam kehidupan anda. Selepas ini, sewaktu anda menilai seseorang yang mungkin nampak pelik pada pandangan anda, cuba katakan di dalam minda anda: “Manusia bukanlah sikapnya, mungkin ada sebab kenapa dia jadi begini.”

 

🔖📌 SOAL JAWAB

Bolehkah teknik NLP ini memberi kesan kepada orang yang “skeptic” (tidak percaya serta dalam keraguan)?

Ya boleh. Asalkan seseorang itu hendak mengikut arahan dan hendak memperbaiki dirinya sendiri.

 

Perlukah konsep NLP ini digunakan ketika memberi ceramah dan apakah kesannya?

Ya. Semua suka. Melompat-lompat.

 

Di kalangan keluarga kita, mungkin boleh meletakkan cinta tanpa syarat, tetapi bagaimana pula di kalangan sahabat-sahabat kita? Adakah perlu meletakkan juga cinta tanpa syarat? Adakah NLP mengajar kita supaya tidak ada dzan?

Bukan cinta tetapi kasih sayang. Dengan mereka yang selain daripada keluarga kita pun boleh ada kasih sayang. Aman dunia jika ada kasih sayang.

Kena husnul dzan, bukan su‘ u dzan.


Adakah ‘menjadi pendengar yang setia’ adalah salah satu daripada teknik-teknik NLP?

Bab mendengar akan ada.


Bolehkah kita membalas orang yang sombong dengan kesombongan juga, agar dia berasa sebagaimana yang kita rasa? Adakah betul teknik ini?

An eye for an eye would only make the whole world go blind”.

Satu pepatah yang membawa maksud membalas dendam.
Kau cucuk mata aku, aku cucuk mata kau.
Kau curi duit aku, aku curi duit kau.
Kau tipu aku, aku tipu kau balik.
Kau pukul anak aku, aku pukul anak kau balik.

Memang ada perasaan bersarang di dalam hati hendak balas dendam tetapi;

Semua perbuatan ini akhirnya merugikan kalau diamalkan.
Seorang sudah buta, hendak butakan seorang lagi?
Seorang sudah rugi, hendak rugikan seorang lagi?
Seorang anak sudah dipukul, hendak bagi seorang lagi dipukul?

So “take the high road”. Dia cakap tidak elok, kita cakap baik.

“High road” itu bermaksud sikap yang lebih tinggi dan lebih mulia. Tidak termakan dengan kehendak hati yang hanya rasa puas kalau dapat membalas dendam.

 

Maksudnya kita kenalah menjadi penawar dan ubat serta sarang lebah yang bermadu untuk orang sekeliling kita?

Ya, jadilah “Ambassador of Love ❤️” (Duta Kasih Sayang).


Bagaimana pula kalau ada yang terjatuh hati dengan kita?

Dengan lelaki tidak perlu untuk bermesra.

 

Apakah yang perlu kita buat jika sudah ada yang terjatuh hati dengan kita? Adakah NLP mengajarkan teknik-teknik tertentu supaya kita boleh mengelak daripada orang-orang tersebut supaya kita tidak dianggap memainkan perasaan orang?

Ada. “Break rapport”. Buat terbalik daripada apa yang dia buat.

 

Melalui nota ini saya dapati ada 2 presuposisi yang telah dibincangkan:
1. Peta bukanlah wilayah.
2. Manusia bukan sikapnya. Menerima tanpa syarat.

Ada berapakah semuanya?

Tidak tetap. Dalam berbelas. Ada yang beri 13 dan ada beri 16. Saya akan beri kesemuanya sekali.


NLP mengajar teknik-teknik “sharing, caring, loving” (berkongsi, mengambil berat, berkasih sayang) tetapi mengetepikan “rapport”. Maka mungkin ada individu yang salah anggap bahawa “sharing, caring and loving” itu sebagai “loving couple”.

Adakah perlu menjarakkan diri kita dan menjelaskan perkara yang sebenarnya?

Boleh break rapport dan dia sendiri akan menjauhkan diri.


Adakah NLP boleh disuaijalinkan dengan psikologi kanak-kanak dan dipraktikkan pada kanak-kanak seawal umur 5 dan 6 tahun?

Ya boleh. Bukanlah semua tetapi akan ada teknik yang boleh digunakan. Teknik belum diajar. Sekarang diajar konsep asas dahulu.


Adakah teknik NLP ini sesuai untuk semua lapisan umur?

la fleksibel dan boleh diadaptasi untuk semua peringkat umur.


Saya pernah dengar syarah mengenai NLP semasa motivasi dengan Professor Syafiq dari UTM.

Ya, ia merupakan pelajaran sains sosial.


Bagaimana dengan hukuman Qisas? Bukankah Islam membenarkan untuk membalas perbuatan setimpal dengan perbuatan jahat yang diberikan?

Memang ada hukuman qisas. Tetapi dalam ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan qisas itu pun dianjurkan untuk memaafkan.


Bagi saya memaafkan itu memerlukan kekuatan rohani dan motivasi diri yang tinggi.

Ya, kerana Allah ‎ﷻ menjanjikan pahala yang amat besar. Jika ingin balas juga boleh tetapi balasan pahala memaafkan amat besar sekali.

 

Semenjak daripada kecil sehingga sekarang saya adalah seorang yang pendiam terutamanya jika ada masalah saya memilih untuk pendam sahaja. Bagi saya, saya okay sahaja dan tidak ceritakan masalah kepada orang lain. Saya percaya mengadu kepada Allah adalah yang terbaik.

Apabila semakin remaja, saya mula meluahkan melalui tulisan tetapi hanya untuk simpanan diri saya sahaja. Saya menangis seorang diri dan masalah selesai begitu sahaja.

Namun, setelah berkahwin, orang yang kini paling rapat dengan saya tentulah suami saya. Suami saya tahu semua masalah saya walaupun saya tidak cerita. Suami saya ingin mengubah saya. Beliau mahu saya ceritakan masalah “face to face” dari hati ke hati sehingga mengalirkan air mata. Beliau mahu saya menceritakan segala masalah saya kepada ibu saya supaya ibu dapat doakan saya bersungguh-sungguh.

Tetapi, saya sejak daripada dahulu terasa seperti ada sekatan pada tekak saya untuk bercakap dari hati ke hati bagi menceritakan berkenaan masalah yang saya hadapi.

Saya tidak tahu bagaimana hendak buat. Tetapi, saya tiada masalah jika ceritakan masalah melalui tulisan. Tambahan pula, mak saya sudah uzur dan tidak lah sesuai jika saya menulis kepada beliau. Saya juga pernah dan seringkali bercerita dengan suami melalui whatsapp sahaja. Jika berdepan saya lebih banyak diam. Sikap diam saya ini seperti begitu merimaskan ramai orang.

Saya buntu. Tidak tahu hendak buat bagaimana. Suatu hari saya pernah mimpi ramai manusia durjana ingin membunuh Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersembunyi di dalam perut ikan dan ada tulisan bercahaya nama “Muhammad” pada ikan tersebut. Saya selamatkan Rasulullah ﷺ dengan menyembunyikan baginda di tempat yang selamat. Seperti biasa suara saya tersekat untuk mengatakan “Inilah tempat yang paling selamat untukmu Ya Rasulullah ﷺ”.

Saya tidak tahu hendak buat bagaimana untuk atasi masalah ini.

Mungkinkah saya masih banyak dosa atau bagaimana? Adakah ini satu penyakit?

Terkadang saya berasa cemburu dengan insan peramah, mulut manis berkata-kata. Sedangkan saya bila bercakap suara bagaikan tidak keluar.

Tidaklah perlu anda ceritakan kepada ibu anda. Jangan bebani dia dengan masalah anda. Tunjukkan anda gembira sahaja kepada beliau.

Tentang mimpi anda, saya tidak boleh tadbir kerana saya tidak belajar ilmu itu.

Tidak ada masalah kalau anda tidak pandai berkata-kata. Saya cadangkan anda teruskan sahaja menulis.


Tetapi, kalau saya melakukan kesalahan saya juga sukar hendak memohon maaf. Contohnya ibu saya sebenarnya banyak terasa dengan sikap diam saya.

Menjadi masalah jika orang bertanya saya jawab nampak seperti endah tidak endah walhal saya tidak tahu bagaimana untuk menunjukkan cara menjawab dengan betul.

Ibu saya ceritakan tentang keterasaan hatinya kepada suami saya dengan sikap diam saya semenjak kecil dan ibu saya juga tahu masalah saya dan semua pun tahu saya cuma cerita di group keluarga . Ibu saya kata saya tidak jumpa pun beliau bila saya ada masalah. Kalau anak yang lain sanggup balik dari jauh semata-mata ingin menceritakan masalah dan minta doakan sampai menangis.

Ini kena latih diri cara untuk meminta maaf.
Tidak salah. Biasa sahaja kalau senyap.

Cuma memang masyarakat kita kurang selesa kalau orang senyap. Ada kala disangka sombong tetapi sebenarnya tidak.

Anggapan orang yang salah. Ini biasa sahaja kerana mereka buat persepsi sendiri.

Tidak salah senyap dan malu. Ia dipanggil haya’ dalam Islam dan memang sifat yang bagus. Selamat daripada banyak masalah.

 

Saya lebih fokus pada ibu. Saya mahu menjadi ramah dengan ibu saya seperti anak yang lain. Contoh bila ibu saya masak, anak lain cakap “Eh, Mama tak payah masak. Hari ni biar kakak yang masak. Mama cakap je nak makan apa”. Kalau saya pula. Saya pergi ke dapur awal-awal masak siap-siap sebelum ibu pergi ke dapur. Semata-mata hendak mengelak daripada bercakap. Bagaimana hendak latih diri?

Maaf, ibu anda sudah tahu perangai anda dan isi hati anda sebab dia yang melahirkan dan membesarkan anda.

Tiada apa masalah dengan anda. Itu cara anda.

Orang lelaki pun ada yang senyap. Macam ayah saya tidak pernah cakap “love you” pada anak-anaknya. Tetapi kalau ada yang balik ke kampung, selagi tidak sampai, dia tidak akan tidur tunggu sebab risau.


Tetapi sejak kecil saya selalu dimarahi sebab selalu tidak memperdengarkan suara apabila ibu bertanya.

Orang sahaja tidak faham anda. Bukan salah anda.

Salah satu presuposisi adalah: “People are not broken”. (Manusia tidak rosak).

Anda tidak “broken”. Anda ok. Jangan risau.

Tetapi masalah dengan manusia, mereka meletakkan nilai yang tidak sepatutnya pada orang lain. Mereka hendakkan orang lain jadi seperti mereka. Ini adalah salah.

Semoga kita menjadi pemangkin kepada transformasi ini, in sha Allah.


Bagaimana hendak beri orang faham. Saya rasa saya yang teruk. Terutamanya orang yang paling rapat dengan kita sendiri selalu marah dengan sikap kita.

Ya, cabarannya adalah hendak bagi orang faham. Masalahnya apa yang kita ajar di sini adalah ilmu tahap tinggi juga. Kalau tidak belajar, memang tidak tahu. Susah hendak faham sendiri.

Oleh itu orang yang hatinya hendak faham orang, mereka akan cuba menyelami hati orang lain.

Kena ada orang yang tahu perkara ini ceritakan kepada mereka. Macam saya, saya akan jelaskan: “Dia ni bukannya sombong, dia pemalu sahaja”.

Teruskan menulis.

 

Barulah saya sedar saya tidak sakit dan saya akan cuba untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih memahami orang lain.

Ya. Terima kasih kerana bertanya.

Sebagai manusia tentu ada kelebihan dan kekurangan dan ini bukanlah masalah. Sentiasa kita usaha hendak perbaiki diri sendiri .

You’re not ok
I’m not ok.
But that’s ok.”

(Anda tidak ok.
Saya tidak ok.
Tetapi itu adalah ok).

Komen dan Soalan