Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Mandi Wajib – (Haidh/Nifas, Kematian)

Thaharah: Bab Mandi Wajib – (Haidh/Nifas, Kematian)

731
0
Iklan

Kitab : Thaharah
Bab: Mandi
Bahagian: Hal Yang Mewajibkan Mandi

Haidh/Nifas

Setelah kering darah haidh dan nifas, maka wajib bagi wanita itu untuk mandi.

✍🏻Dalilnya adalah ayat [ Al-Baqarah: 222 ]

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّابينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: “Haidh itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ﷻ kepadamu. Sesungguhnya Allah ﷻ menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Syarah:
Ada dua kalimah suci yang disebut dalam ayat ini. Kalimah ‘suci’ yang pertama adalah apabila darah haidh sudah berhenti dan kalimah ‘suci’ kedua adalah setelah mandi wajib.

Oleh kerana itu belum boleh lagi suami isteri berjimak setelah haidh berhenti, melainkan mandi dulu. Jika kena mandi sebelum salat, maka ia juga bermaksud kena mandi sebelum bersetubuh.

✍🏻Satu lagi dalil mengenai hal ini adalah hadith ‘Aisyah رضي الله عنها‎, Nabi ﷺ berkata kepada Fathimah binti Abi Hubaisy,

فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِى الصَّلاَةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

“Apabila kamu datang haidh hendaklah kamu meninggalkan salat. Apabila darah haidh berhenti, hendaklah kamu mandi dan mendirikan salat.”
[Bukhari no. 320 dan Muslim no. 333]

📍Bagaimana pula dengan nifas? Apakah darah nifas itu?
Setelah melahirkan anak, seorang perempuan kebiasaannya akan mengeluarkan darah untuk beberapa hari dan darah ini dinamakan darah nifas.

✍🏻Hukum darah nifas sama sahaja dengan darah haidh. Ini kita boleh lihat dalam satu hadith Riwayat Muslim:

١١٩ – (…) – حَدَّثَنَا أَبُو بَكۡرِ بۡنُ أَبِي شَيۡبَةَ وَعَمۡرٌوالنَّاقِدُ وَزُهَيۡرُ بۡنُ حَرۡبٍ. جَمِيعًا عَنِ ابۡنِ عُيَيۡنَةَ. قَالَ عَمۡرٌو: حَدَّثَنَا سُفۡيَانُ بۡنُ عُيَيۡنَةَ، عَنۡ عَبۡدِ الرَّحۡمَٰنِ بۡنِ الۡقَاسِمِ، عَنۡ أَبِيهِ، عَنۡ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنۡهَا قَالَتۡ: خَرَجۡنَا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، وَلَا نَرَىٰ إِلَّا الۡحَجَّ، حَتَّىٰ إِذَا كُنَّا بِسَرِفَ، أَوۡ قَرِيبًا مِنۡهَا حِضۡتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ ﷺ وَأَنَا أَبۡكِي فَقَالَ: (أَنَفِسۡتِ) – يَعۡنِي الۡحَيۡضَةَ – قَالَتۡ: قُلۡتُ: نَعَمۡ. قَالَ: (إِنَّ هٰذَا شَيۡءٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَىٰ بَنَاتِ آدَمَ، فَاقۡضِي مَا يَقۡضِي الۡحَاجُّ، غَيۡرَ أَنۡ لَا تَطُوفِي بِالۡبَيۡتِ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلِي).
قَالَتۡ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنۡ نِسَائِهِ بِالۡبَقَرِ.
[البخاري: كتاب الحيض، باب الأمر بالنساء إذا نفسن، رقم: ٢٩٤].

119. Abu Bakr bin Abu Syaibah, ‘Amr An-Naqid, dan Zuhair bin Harb telah menceritakan kepada kami. Seluruhnya daripada Ibnu ‘Uyainah. ‘Amr mengatakan: Sufyan bin ‘Uyainah menceritakan kepada kami, daripada ‘Abdurrahman bin Al-Qasim, daripada ayahnya, daripads ‘Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan: Kami pernah keluar berpergian bersama Nabi ﷺ dan kami hanya berfikiran untuk haji. Sampai kami tiba di Sarif atau lebih dekat daripada Sarif, aku mengalami haidh. Nabi ﷺ masuk menemuiku dalam keadaan aku sedang menangis. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah engkau nifas?” ‘Aisyah berkata: Aku menjawab: Ya. Beliau bersabda, “Ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan atas puteri-puteri Adam. Kerjakanlah apa saja yang dikerjakan oleh orang yang berhaji namun engkau jangan tawaf di Kaabah sampai engkau mandi.” ‘Aisyah berkata: Rasulullah ﷺ menyembelih seekor sapi yang diniatkan untuk para isterinya.
( Bukhari, Kitab al-Haidh: Bab perintah kepada wanita apabila nifas. Bil. 294 )

Syarah:
Lihat Nabi Muhammad ﷺ bertanya kepada Aisyah: “Apakah engkau nifas?” sedangkan baginda ﷺ tahu yang Aisyah tidak melahirkan anak pun. Baginda samakan antara haidh dan nifas.

Jadi, dari sini kita boleh tahu bahawa hukum untuk haidh sama sahaja bagi hukum untuk perempuan yang bernifas. Maka apabila telah selesai nifas, maka wanita itu hendaklah mandi.

Kematian

Orang yang mati wajib mandi. Tentulah dia tidak mandi sendiri, jadi maksudnya ‘dimandikan’ oleh orang lain. Jumhur (majoriti) ulama’ menyatakan bahawa memandikan orang mati hukumnya fardhu kifayah, ertinya jika sebahagian orang sudah melakukannya, maka yang lain gugur kewajibannya.

📍Untuk mudah diingat maksud fardhu kifayah: Orang lain sudah buat, kita tak ‘payah’.

✍🏻Dalil mengenai wajibnya memandikan mayat di antaranya adalah perintah Nabi ﷺ kepada Ummu ‘Athiyah dan kepada para wanita yang lain untuk memandikan anaknya,

اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مَنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

“Mandikanlah dengan air yang dicampur dengan daun bidara tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu dan jadikanlah yang terakhirnya dengan air dan daun bidara.”
[Bukhari no. 1253 dan Muslim no. 939]

Yang wajib dimandikan adalah setiap muslim yang mati, baik laki-laki atau perempuan, anak kecil atau dewasa, orang merdeka atau hamba.

Pengecualian:

1. Jika orang yang mati tersebut adalah orang yang mati di medan perang ketika berperang dengan orang kafir (mati syahid).

2. Jika kanak-kanak yang mati dalam perut sebelum berumur 4 bulan. Ini adalah kerana ruh belum ditiup ke dalam tubuhnya.

5. Ketika masuk Islam

Apabila orang kafir masuk Islam, maka dianjurkan untuk mereka mandi. Ada juga yang mewajibkannya seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan pengikutnya dari ulama Hanabilah, Imam Malik, Ibnu Hazm, Ibn Al Munzir dan Al Khattabi. Penulis kitab rujukan kita ini memilih pendapat yang mengatakan ia wajib.

✍🏻Mengenai wajibnya hal ini terdapat dalam hadith dari Qais bin ‘Ashim رضي الله عنه,

أَنَّهُ أَسْلَمَ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَغْتَسِلَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

“Beliau masuk Islam, maka Nabi ﷺ memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun bidara.”
[An-Nasai no. 188, At-Tirmidzi no. 605, Ahmad 5/61. Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih]

Syarah:
Ulama’ mengambil maksud perintah dari Nabi ﷺ ini membawa erti ‘wajib’. Perintah yang berlaku untuk Qais di sini berlaku juga untuk yang lainnya. Dalam kaedah ushul, hukum asal perintah adalah wajib.

Namun, ada juga ulama’ yang mengambil maksud ia hanya ‘sunat’ sahaja. Oleh kerana itulah ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Bonus:
Kita selalu mendengar ‘daun bidara’ dalam hadith. Ini adalah bahan basuhan zaman dahulu seperti sabun pada zaman sekarang. Zaman sekarang gunalah Shokubutsu atau Palmolive, tidak semestinya kena cari daun bidara pula.

Mandi untuk Salat Jumaat

Perkara ini khilaf di kalangan ulama’. Jumhur (majoriti) ulama’ berpendapat mandi Hari Jumaat untuk salat Jumaat itu mustahab/sunat dan tidaklah wajib. Namun, ada pendapat yang mengatakan ia wajib dan kita akan bentangkan di sini pendapat itu.

✍🏻Di antara ulama’ yang berpendapat mandi Jumaat ini wajib adalah Syaikh Al-Albani, Al-Wadi’i, dan Ibnul ‘Utsaimin رحمه الله dan Syaikh Salih Fauzan Al-Fauzan. Yang berpendapat begini juga adalah sekelompok daripada para sahabat رضي الله عنهم أجمعين seperti Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id, Ammar dan selain mereka.

✍🏻Pendapat ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Al-Munzir, dan ia juga merupakan pendapat ulama’ Zahiri, diriwayatkan juga daripada Imam Malik, Al-Khattabi, dan riwayat daripada Imam Ahmad bagi sesiapa yang menghadiri salat Jumaat.

✍🏻Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Al-Qayyim pula berpendapat wajibnya mandi Jumaat bagi yang memiliki bau peluh atau bau tubuh yang tidak sedap yang boleh mengganggu orang lain. Wajib bagi mereka dan sunat bagi orang lain.

📍Jadi ringkasnya, ada 3 pendapat:
1. Wajib secara mutlak
2. Wajib kalau ada bau badan.
3. Sunat sahaja

Mari kita lihat pendapat yang mengatakan wajib mandi Jumaat.

Seorang muslim yang sudah baligh dan hendak melakukan Salat Jumaat wajib mandi sebelum berangkat ke masjid.

✍🏻Hal ini berdasarkan hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ

‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu mahu pergi mendirikan salat Jumaat, hendaklah dia mandi.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, hadith no: 1399]

✍🏻Dalam hadith lain,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : “ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ ”

Abu Said Al-Khudri رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: Mandi pada hari Jumaat wajib untuk setiap orang yang sudah baligh.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Wajibnya Mandi Pada Hari Jumaat Untuk Setiap Orang Yang Sudah Baligh, hadith no: 1403]

✍🏻Dalam hadith lain pula,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ ، أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ ، يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ ” .

Abu Hurairah رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: Hak Allah ﷻ ke atas setiap Muslim ialah seseorang itu perlu mandi pada setiap tujuh hari, dia membasuh kepalanya dan tubuhnya.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Memakai Minyak Wangi dan Menggosok Gigi Pada Hari Jumaat, hadith no: 1408]

Syarah:
Maka, dari hadith-hadith ini jelas mengatakan yang mandi Jumaat itu wajib. Ia wajib bagi mereka yang hendak pergi berjemaah salat Jumaat. Maka dengan ini, golongan perempuan yang hendak salat Jumaat disyariatkan juga untuk mandi Jumaat.

✍🏻Satu lagi dalil:

حَدَّثَنِي سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ” بَيْنَا هُوَ يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، دَخَلَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَنَادَاهُ عُمَرُ ، أَيَّةُ سَاعَةٍ هَذِهِ ؟ فَقَالَ : إِنِّي شُغِلْتُ الْيَوْمَ فَلَمْ أَنْقَلِبْ إِلَى أَهْلِي ، حَتَّى سَمِعْتُ النِّدَاءَ فَلَمْ أَزِدْ عَلَى أَنْ تَوَضَّأْتُ ، قَالَ عُمَرُ : وَالْوُضُوءَ أَيْضًا ، وَقَدْ عَلِمْتَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَان يَأْمُرُ بِالْغُسْلِ

‘‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهما menceritakan bahawa ketika Umar رضي الله عنه sedang berkhutbah kepada manusia pada hari Jumaat, seorang daripada sahabat Rasulullah ﷺ masuk, lalu Umar bertanya kepadanya: Sekarang waktu apa? Lelaki itu menjawab: Sesungguhnya aku sibuk pada hari ini, dan aku tidak sempat pulang kepada keluargaku sehinggalah aku mendengar seruan azan. Lalu aku tidak melakukan apa-apa melainkan sekadar berwudhu’ sahaja. Umar berkata: Wudhu’ sahaja?! Sesungguhnya engkau tahu bahawa Rasulullah ﷺ menyuruh untuk mandi.
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, hadith no: 1401]

Syarah:
Lihatlah bagaimana Saidina Umar رضي الله عنه amat menekankan kewajiban mandi Jumaat ini sampai beliau menegur seorang sahabat walaupun di atas mimbar!

Kesimpulan:

1. Para ulama’ sepakat bahawa jika seseorang salat Jumaat tanpa mandi terlebih dahulu, salatnya tetap sah. Walaupun tidak buat perkara yang wajib, tapi salat tetap sah, cuma berdosa kerana tidak melakukan perkara wajib.

2. Mandi Jumaat disyariatkan untuk solat Jumaat, bukan sekadar kerana tibanya hari Jumaat. Jadi jika bermusafir dan tidak salat Jumaat, maka gugurlah kewajiban itu.

Persoalan:
Bagaimana sekiranya hari Jumaat pagi itu, seseorang itu berjunub pula? Ada dua sebab untuk mandi di sini iaitu kerana junub dan solat Jumaat.

🔹Pendapat pertama
Satu pendapat dalam hal ini adalah pendapat jumhur ulama’ bahawa cukup satu kali mandi untuk semuanya.

✍🏻Di antara dalil yang menunjukkan hal ini adalah hadith:

“Barang siapa mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub kemudian berangkat ke masjid (pada waktu pertama), seakan-akan dia berkorban dengan unta ….”
[HR. al-Bukhari 832 dan Muslim 1403]

Syarah:
Ulama’ mengatakan hadith ini menyebut sekali mandi sahaja. Akan tetapi ada juga ulama’ yang memegang pendapat yang mengatakan wajib mandi dua kali: sekali untuk junub dan kali kedua untuk salat Jumaat.

✍🏻Ini berdasarkan satu atsar dari sahabat:

Dalam Riwayat Al-Hakim(1/282) melalui Yahya bin Abu Katsir, daripada Abdullah bin Abu Qatadah dia berkata: Ayahku masuk menjumpaiku ketika itu aku sedang mandi hari jumaat. Ia berkata “Ia mandi junub atau untuk salat jumaat?” (Abdullah berkata) Aku mengatakan” kerana junub”. Dia berkata: “Mandilah sekali lagi”. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Barang siapa mandi hari Jumaat, maka dia dalam keadaan suci hinggga (datang) Jumaat yang lain”
(Diriwayatkan juga oleh At-Thabrani dalam Al-Ausath. Sanadnya dekat dengan hasan, sebagaimana dikatakan oleh Albani dalam Sahiihut Targhib wa Tarhib. Al-Hakim berkata: Hadith sahih menurut riwayat Bukhari-Muslim. Dipersetujui oleh Az-Zahabi.

Maka kalau ikut pendapat ini, mandi junub dahulu kerana keluar mani/jimak dan kemudian mandi sekali lagi kerana hendak solat Jumaat. Ini adalah kerana mandi junub dan mandi Jumaat adalah dua ibadat yang berbeza (walaupun perbuatan sama: mandi).

Macam solat Zuhur dan Asar. Memang dua-dua solat yang sama sahaja perbuatannya tetapi tidaklah boleh niat solat Zuhur dan Asar serentak, bukan? Kita sudah melihat pendapat yang mengatakan wajibnya mandi Jumaat, akan tetapi kita telah nyatakan juga ada pendapat lain. Begitulah luasnya ilmu fiqah ini.

🔹Pendapat Kedua:
Pendapat yang mengatakan kewajiban mandi Jumaat ini ada ilatnya (sebabnya) iaitu kerana bau badan yang mengganggu jemaah lain. Kalau tiada masalah ini, maka tidaklah wajib untuk mandi.

✍🏻Ulama’ yang berpendapat begini menggunakan dalil hadith:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَتْ : ” كَانَ النَّاسُ يَنْتَابُونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مِنْ مَنَازِلِهِمْ وَالْعَوَالِيِّ ، فَيَأْتُونَ فِي الْغُبَارِ يُصِيبُهُمُ الْغُبَارُ وَالْعَرَقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُمُ الْعَرَقُ ، فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْسَانٌ مِنْهُمْ وَهُوَ عِنْدِي ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا

‘Aisyah رضي الله عنها berkata: Orang ramai datang pada hari Jumaat dari rumah-rumah mereka di perkampungan Al-‘Awaliy. Mereka datang melalui kawasan yang berdebu sehingga tubuh mereka berdebu dan berpeluh. Salah seorang daripada mereka datang berjumpa Nabi ﷺ ketika baginda ﷺ berada bersamaku. Nabi ﷺ pun bersabda: Seandainya kalian bersuci untuk hari ini.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat, Bab Siapa Yang Wajib Hadir Jumaat, hadith no: 1404]

🔹Pendapat ketiga
Ini juga pendapat jumhur ulama’: mandi Jumaat itu mustahab atau sunat sahaja, bukannya wajib. Tentu mereka tahu hadith-hadith yang menyebut ‘wajib’ mandi itu tetapi mereka mentakwilkan kata “wajib” sebagai taukid (penekanan) sahaja dan tidaklah membawa kepada wajib/fardhu. Oleh kerana itu mereka menyimpulkan bahawa hukum mandi salat Jumaat adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang kuat, dituntut).

✍🏻Bagi mereka yang berpendapat mandi Jumaat ini sunat sahaja antaranya menggunakan hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ، ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ ، وَزِيَادَةُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ، وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasullullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang berwudhu’ dan membaguskan wudhu’nya, kemudian menghadiri salat Jumaat lalu mendengar khutbah, diampunkan untuknya dosa-dosa di antara dua Jumaat dan ditambah lagi tiga hari. Sesiapa yang bermain-main dengan batu kerikil (ketika khutbah Jumaat) sesungguhnya sia-sia (solat Jumaatnya).
[Sahih Muslim, Kitab Jumaat, Bab Kelebihan Sesiapa Yang Mendengar dan Diam Ketika Khutbah, hadith no: 1425]

Syarah:
Hadith ini menyebut wudhu’ sahaja. Maka, kerana itu ada pendapat yang mengatakan yang wajib adalah wudhu’ sahaja dan mandi itu adalah sunat. Satu lagi dalil hujah yang mengatakan mandi Jumaat sunat sahaja:

✍🏻Hadith Riwayat Samurah bin Jundah رضي الله عنهما Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ يَوْمَ اَلْجُمُعَةِ فَبِهَا وَنِعْمَتْ, وَمَنْ اِغْتَسَلَ فَالْغُسْلُ أَفْضَلُ

“Barang siapa yang berwudhu’, maka dia telah mengikuti sunnah dan itu yang terbaik. Barang siapa yang mandi, maka yang demikian itu lebih afdhal.”
[Abu Dawud no. 354, At-Tirmizi no. 497, An-Nasai no. 1379, Ibnu Majah no. 1091, Ahmad, no. 22. Imam At-Tirmizi menghasankannya)

Syarah:
Kalau kita melihat hadith ini, seolah-olah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم mengatakan jika berwudhu’ sahaja pun sudah diterima. Namun kalaulah ditambah dengan mandi, maka itu أَفْضَلُ (lebih baik).

Jadi ulama’ mengatakan yang mandi Jumaat itu sunat dan baik, tetapi tidaklah wajib. Maknanya, ada pilihan sama ada untuk wudhu’ sahaja, atau teruskan dengan mandi sekali. Kalau berwudhu’ sahaja sudah memadai, tetapi jika mandi sekali, itu lebih baik.

Akan tetapi, ulama’ yang mengatakan mandi Jumaat itu wajib, berhujah bahawa kalimah أَفْضَلُ tidaklah menidakkan kewajiban mandi. Maknanya, mandi tetap wajib dan tidak ada pilihan. Ini adalah kerana ada juga kalimah yang seumpamanya digunakan, tetapi ia bukanlah bermaksud pilihan.

✍🏻Sebagai contoh, lihat ayat Ali Imran:110

وَلَو آمَنَ أَهلُ الكِتابِ لَكانَ خَيرًا لَهُم

Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka

Kalau kita baca ayat ini secara literal, maka seolah-olah memberi pilihan kepada Ahli Kitab sama ada hendak beriman atau tidak tetapi tentulah ayat itu bukan bermaksud sebegitu. Mereka memang wajib beriman dan tidak ada pilihan.

Satu lagi hujah: kita selalu dengar azan subuh: الصلاة خير من النوم (solat itu lebih baik dari tidur)

📍Adakah ada pilihan dalam kalimat ini? Adakah boleh tidur, tetapi lebih baik kalau solat?

Jawapan
Tentu tidak! Solat subuh itu wajib. Jadi bukanlah apabila dikatakan sesuatu itu ‘lebih baik’, ‘lebih afdhal’, bermaksud ada pilihan. Ada kalanya, ia bermaksud wajib juga.

📌Maka kerana itu pendapat yang rajih, Mandi Jumaat itu adalah wajib. Allahu a’lam.

📍Bilakah waktu mandi Jumaat ini?

Jawapan
Masa yang terbaik adalah waktu dekat-dekat hendak salat Jumaat sekiranya mampu. Ini adalah kerana tujuan utama mandi itu adalah supaya tidak busuk semasa berjemaah salat Jumaat. Namun, jika tidak boleh hendak balik ke rumah kerana kerja dan sebagainya, maka bolehlah mandi di pagi hari sebelum pergi kerja. Kalau orang yang sudah pencen, senanglah hendak mandi sebelum salat Jumaat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan