Utama Bilik (93) Cabang Cabang Iman Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-65 hingga Ke-70

Cabang-Cabang Iman – Cabang Iman Ke-65 hingga Ke-70

361
0
Iklan

Cabang-Cabang Iman

Cabang Iman Ke-65

Bermusuh dengan Kekufuran dan Kefasikan

Orang yang beriman tidak akan bersahabat dengan kekufuran dan kefasikan. Bab ini kalau diterjemahkan secara literal jadi menjauhi orang kafir dan orang-orang fasik.

Segala yang menutup sinar dan syi’ar agama Islam ia adalah kufur dan orang yang melakukannya kita panggil kafir. Fasik adalah yang merosakkan Islam.

Pada asasnya Kafir Quraisy adalah contoh kafir yang menghalang dakwah dan perkembangan Islam di awal tempoh kenabian manakala golongan fasik adalah mereka yang masih kekal dengan maksiat walaupun mereka telah beriman.

Antara contoh adalah orang Islam di zaman Nabi SAW yang masih berzina dan ada sahabat yang masih minum arak. Ini adalah kefasikan. Kita perlu menjauhkan diri dari aktiviti atau amal yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kekufuran dan memerangkap kita ke arah kefasikan.

Menjauhi diri kita daripada di ketuai atau di pimpin oleh si kafir atau si fasik.

Cabang Iman Ke-66

Menunaikan hak-hak jiran

Mafhum dari hadis Nabi SAW seorang yang beriman adalah seorang yang baik dengan jirannya.

Memuliakan dan menunaikan hak-hak jiran.

Jiran-jiran Rasulullah SAW di Madinah adalah mereka yang tinggal di sekitar Masjid Nabawi. Manakala jiran-jiran isteri Rasulullah SAW adalah madu-madu mereka. Dengan kata lain Rasulullah SAW mempunyai banyak hujrah di bahagian Masjid nabi yang menjadi kediaman isteri baginda SAW.

Menjaga hak jiran dan memuliakan jiran adalah cabang-cabang Iman.

Ulama mengatakan jiran kita mempunyai 3 hak:

1. Jiran yang ada hak saudara sedarah, jiran ada hak sebagai Muslim dan jiran yang ada hak jiran (tidak Islam).

2. Jiran yang ada hak Muslim dan hak jiran.

3. Jiran yang ada hak jiran sahaja

Dalam satu riwayat Al-Bukhari disebut yang mafhumnya janganlah dilarang untuk jiran kita menyandarkan barang mereka di dinding rumah:

“Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah, dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Al A’raj, dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “”Janganlah seseorang melarang tetangganya untuk menyandarkan kayunya di dinding rumahnya””. Kemudian Abu Hurairah radliallahu ‘anhu berkata: “”Jangan sampai aku lihat kalian menolak ketentuan hukum ini. Demi Allah, kalau sampai terjadi, akan aku lempar kayu-kayu itu menimpa samping kalian””.”

Hingga begitu Abu Hurairah menekankan hak jiran menyandarkan kayu di dinding rumah kita.

Semoga Allah SWT memberi kita taufik untuk menjaga dan menyuburkan cabang iman ini.

 

Cabang Iman Ke-67

Memuliakan dan Menunaikan Hak Tetamu

Mafhum hadis tidak beriman seorang yang tidak memuliakan tetamu. Dalam satu hadis Muttafaq alaih disebut yang mafhumnya “Barang siapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tetamunya.”

Hak tetamu dalam Islam adalah 3 hari. Hak ini dalam perbahasan fekah di antara wajib dan sunnah mua’kad yakni 3 hari makanan, tempat tinggal dan keselamatan di bawah tanggungan penerima tetamu.

Siapa yang dalam kategori tetamu? Ahli keluarga bukan tetamu. Tetamu adalah orang Islam yang datang ke kawasan kita yang tidak punya apa-apa hubungan kekeluargaan dengan kita.

Maka digalakkan kita menerima tetamu selama 3 hari dengan menyediakan segala keperluan yang wajib bagi mereka. Zaman kini tetamu yang datang telah ada banyak pilihan untuk menginap dan tempat makan. Sangat berbeza dengan tetamu yang datang ke Madinah di zaman Rasulullah SAW yang tiada hotel dan restoran. Maka ia telah jatuh sunat sahaja.

Semoga kita dapat memuliakan tetamu Islam kita dengan menyediakan tempat solat dan rehat yang baik di kawasan kita. Fungsi ini kini telah di ambil oleh masjid-masjid yang menyediakan bilik inap atau bermalam buat tetamu.

 

Cabang Iman Ke-68

Menutup Aib Diri Sendiri dan Manusia Lain

Mafhum daripada hadis Riwayat Al-Bukhari yang maksudnya:

“barang siapa menutupi aib saudaranya, Allah SWT tutup aibnya di dunia dan di akhirat”

Aib ini boleh jadi disebabkan dosa-dosa. Boleh jadi juga di sebabkan fizikal atau kecerdasan akal.

Al-Imam Al-Bukhari rah. dalam menjaga cabang iman ini, walau dalam jarh wa ta’dil sekalipun eliau menggunakan lafaz yang tidak membuka aib.

 

Cabang Iman Ke-69

Bersabar dari Musibah dan Hawa Nafsu

Cuba bayangkan jika kedua ibu bapa kita meninggal semenjak kecil, kemudian setelah itu datuk yang menjaga kita juga meninggal dunia, kemudian setelah kita berkahwin 3 orang anak kita meninggal semasa kecil, kemudian kita di caci maki oleh saudara mara kerana kebaikan yang buat, kita di baling batu kerana mengajak manusia kepada syurga, kemudian isteri kita di fitnah berzina, kemudian kita di ancam bunuh dan seorang demi seorang sahabat handai kita mati dibunuh, kemudian kita diracun. Ini adalah rentetan ujian hidup yang dilalui oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW menghadapi ujian musibah dan juga mengajar keluarga dan sahabat baginda bagaimana untuk menghadapi musibah dan hawa nafsu.

Setiap musibah yang dilalui Rasulullah SAW akan kembali kepada Allah SWT.

Redha dengan setiap ujian-Nya seperti diperintahkan oleh Allah SWT dan apabila di uji maka ucaplah tarji’ yakni İnnalillahi wainnailaihi rojiun.

 

Cabang Iman Ke-70

Zuhud dan Pendek Angan-Angan

Ulama’ seawal 100H-200H berusaha menghimpunkan hadis-hadis Zuhud. Seperti mana yang kita tahu di zaman tersebut yakni bermula dari zaman kekhalifan Umar r.a. hingga di zaman awal Daulah Abbasiyyah sekitar 400H-500H umat Islam di uji dengan banyaknya harta.

Ibn Khaldun menukilkan dalam Muqaddimah hari di mana Usman r.a wafat hasil atau revenue daripada jizyah dah kharaj dari wilayah-wilayah di Iraq adalah 1000 dinar sehari yakni bersamaan dengan RM650,000 setiap hari.

Itu di zaman Usman r.a. dan selepas di zaman Muawiyyah dan seterus lagi banyak fulus dan kutipan jizyah daripada wilayah dikuasai Islam yang kian melebar.

Kitab-kitab Zuhud di zaman awal yang sampai pada kita terlalu banyak kalau boleh di sebut:

  1. Al-Muaffa al Kufi (seorang tabi’ tabien),
  2. Abdullah bin Mubarak
  3. Ahmad bin Hanbal
  4. Ibn Abid Dunya dan ramai lagi

Pada dasarnya semua kitab zuhud itu ditulis sebagai amali mereka yakni diamalkan oleh penulis kitab tersebut. Zuhud bukan bererti miskin atau menolak kekayaan bahkan Abdullah ibn Mubarak rah adalah saudagar yang kaya raya.

Bahkan Yahya ibn Ma’in seorang tokoh Muhaddith Salaf diberikan oleh ayahnya 1 juta (dinar atau dirham) sebagai perbelanjaan untuk pengajian ilmunya.

Maksud Zuhud di sini tidak bermewah dan merasai kelazatan dunia biarpun berharta dan kaya raya, hidupnya sekadar keperluan dan cukup dengan yang perlu sahaja

Angan-angan dunianya di lupakan dengan mengejar cita-cita dan janji akhirat.

Ini adalah antara cabang yang sukar untuk di amal di zaman ini di kala pelbagai jenis kelazatan dunia yang terbentang. Jika ada diberi kekayaan ujian untuk menjadi zuhud ini amatlah berat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan untuk berzuhud dan memendekkan angan-angan dunia yakni bercita-cita untuk berlazat dan bermewah hidup di dunia.

Allahu a’lam.

 

 

 

 

Komen dan Soalan