Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Ke-4 dan Ke-5

1234
0
Iklan

Tafsir Al-Qadr Ayat Ke-4 dan Ke-5

Perbincangan sebelum ini:

– Kita telah membincangkan hikmah kenapa malam Al-Qadr dirahsiakan.

– Kelebihan atau hadiah besar Allah berkaitan malam Al-Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan.

– Elemen pertama bagi malam Al-Qadr.

Terdapat 3 elemen bagi malam Al-Qadr, dan yang pertama telah kita bincang semalam iaitu:

Pertama: malam itu terdapat kisah penurunan Al-Quran ( oleh itu ia diberkati ).

Seterusnya penerangan tambahan mengenai Lailatul Qadr.

Tafsir Ayat Ke-4:

تَنَزَّلُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم مِن كُلِّ أَمرٍ

“Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut )”.

تَنَزَّلُ

Bermaksud : turun.

Terdapat perbincangan balaghah sedikit tentang wazan yang digunakan pada تَنَزَّلُ.

Ejaan ini adalah ringkasan dari kalimah yang penuh – تَتَنَزَّلُ (tatanazzalu – ada tambahan ت di awalnya).

Contoh perkataan penuh, di dalam Surah [Fussilat: 30]

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka…”

Dalam Bahasa Arab juga terdapat ringkasan ejaan. Contoh lain: math – mathematic, demo – demonstration dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab, ia dipanggil ‘hazf’.

Namun perbezaan cara ejaan ini jelas dan tidak berubah sama ada dalam surah Al-Qadr atau yang lain, ia bukan dari kehendak Nabi SAW tetapi juga dari Allah SWT.

وَالرّوحُ

Telah ijmak ulama bahawa ‘الرّوحُ’ yang disebut dalam ayat ini adalah Malaikat Jibril.

Kenapa disebut nama Jibril ( Ar-Ruh ) secara khusus, sedangkan Jibril juga adalah malaikat?

Kenapa tidak disebut sahaja para malaikat turun pada malam itu dan tentunya termasuk sekali dengan Jibril?

Ada beberapa jawapan yang menerangkan kenapa nama Jibril disebut khusus:

1.Nama Jibril disebut khusus kerana pangkatnya yang tinggi.

2. Jibril yang menyampaikan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada para Rasul yang lain, dan berbagai lagi tugas penting yang dilakukan oleh Jibril.

Kerana kedudukan itu, namanya disebut secara khusus.

Oleh itu, daripada dalil ini juga tahulah kita bahawa Jibril turun setiap tahun ke bumi, walaupun sudah tidak ada Rasul untuk disampaikan dengan wahyu.

Ini adalah kerana kepentingan dan kehebatan Malam Al-Qadr itu. Baginda mengulangi sunnahnya setiap tahun.

بِإِذنِ رَبِّهِم

“Dengan izin Tuhan mereka”.

Kenapa disebutkan bahawa Jibril dan para Malaikat turun dengan izin Allah?

1. Menunjukkan para Malaikat juga tertakluk di bawah kekuasaan Allah SWT.

2. Memberi isyarat bahawa Allah SWT amat memuliakan malam Al-Qadr sehingga semua “keizinan” dari Allah.

3. Allah SWT ingin memberitahu manusia bahawa Jibril dan para Malaikat diberi “autoriti” untuk memuliakan hamba-Nya yang beribadah pada malam Al-Qadr itu.

مِن كُلِّ أَمرٍ

“dari setiap urusan”.

Bermaksud: Para malaikat itu turun kerana hendak menjalankan arahan Allah.

Tafsir Ayat Ke-5:

سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ

“Sejahtera-lah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Malam itu adalah malam yang aman. Malam Al-Qadr ini ia sejahtera sampai ke waktu Fajar. Inilah satu lagi ciri-ciri Al-Qadr, iaitu ia diberkati hingga terbit Fajar.

Oleh itu bersungguhlah kita, dan pohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk menghidupkan malam tersebut. Sungguh peluang itu terbuka luas hingga terbit Fajar.

Kesimpulan mengenai 3 elemen malam Al-Qadr:

  1. Ia mengenai penceritaan turunnya Al-Quran.
  2. Turunnya Jibril dan para malaikat.
  3. Kesejahteraan sehingga ke waktu Fajar.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama:

Surah ini menunjukkan betapa besar rahmat Allah kepada hamba-Nya. Allah SWT memberikan “hadiah” yang besar iaitu malam Al-Qadr. Maha Penyayang Allah SWT.

Semoga kita menjadi orang yang bersyukur, iaitu manfaatkan sebaik mungkin “pemberian” Allah SWT.

Kedua:

Hikmah dan pemberian Allah SWT kepada manusia menunjukkan betapa kerdilnya kita sebagai hamba-Nya.

Dan juga elemen dalam malam Al-Qadr menunjukkan ciri-ciri yang kita perlukan sebagai makhluk Allah.

– Panduan ( Al-Quran ).

– Bantuan ( malaikat ).

– dan Kesejahteraan ( salam ).

Ketiga:

Surah ini jelas menunjukkan sifat Al-Quran sebagai petunjuk bagi orang yang ingin bertaqwa.

Allah SWT memberikan petunjuk kepada manusia bagaimana untuk hidup di atas dunia. Termasuk “tatacara” ibadah di dalam bulan Ramadhan.

Malaikat merupakan makhluk Allah yang memberi ilham kepada orang yang “istiqamah” agar tidak takut dan tidak sedih.

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” [Fussilat 41:30]

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan