Utama Fiqh Ramadhan 14. Menunda Puasa Ganti Kerana Tiba Bulan Ramadhan

14. Menunda Puasa Ganti Kerana Tiba Bulan Ramadhan

137
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

14. Boleh menunda puasa sebelum tiba Ramadhan berikutnya.

كان يكونُ عليَّ الصومُ من رمضانَ، فما أستطيعُ أن أقضِيَ إلا في شعبانَ
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1950 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Aku masih mempunyai (hutang) puasa Ramadhan, tidaklah aku mampu menggantikannya kecuali dalam bulan Sya`ban.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1950.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Qadha’ puasa tidak wajib secara berturut-turut.

2. Hadits `A’isyah menunjukkan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk menghabiskan puasa gantinya sebelum tiba Ramadhan berikutnya.

3. Sekiranya seseorang individu tidak sempat menggantikannya sehingga tiba Ramadhan pada tahun berikutnya:

(a) Sekiranya terdapat uzur syar`i, misalnya sakit yang berpanjangan sehingga tidak mampu untuk menggantikan puasanya, maka dia wajib menggantikannya tanpa perlu kaffarah.

(b) Sekiranya tanpa uzur syar`i, maka wajib baginya menggantikan puasanya, dan bertaubat. Adapun persoalan memberi makan kepada orang miskin, para `ulama’ berbeza pendapat:

(i) Wajib memberi makan, inilah pendapat Malik, Asy-Syafi`i, dan Ahmad. Ini berdasarkan amalan para sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibn `Abbas radhiyallahu `anhuma.

(ii) Tidak wajib memberi makan, inilah pendapat Abu Hanifah dan Al-Bukhari. Al-Bukhari membuat satu tarjamah bab:

وقال إبراهيم إذا فرط حتى جاء رمضان آخر يصومهما ولم ير عليه طعاما ويذكر عن أبي هريرة مرسلا وابن عباس أنه يطعم ولم يذكر الله الإطعام إنما قال فعدة من أيام أخر

Dan berkata Ibrahim (An-Nakha`i): “Sekiranya malas (menggantikan puasanya) sehingga tiba Ramadhan berikutnya, hendaklah dia berpuasa.” Dan beliau berpendapat tidak harus memberi makan. Dan disebutkan daripada Abu Hurairah secara mursal dan Ibn `Abbas bahawa dia hendaklah memberi makan, namun Allah tidak menyebutkan tentang memberi makan. Allah hanya menyebutkan: “(Menggantikan) sebanyak hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain.”

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan