Utama Blog Halaman 76

INGAT ALLAH DALAM URUSAN KITA

0

DARI MEJA REKTOR:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi salih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Surah Al-Kahf (18:46)

Allah Maha Mengetahui

إِنَّ اللَّهَ لَا يَخْفَىٰ عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

Sesungguhnya bagi Allah tidak ada satupun yang tersembunyi di bumi dan tidak (pula) di langit.
Surah Ali ‘Imran (3:5)

Allah yang bentukkan kita

هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendaki-Nya. Tak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Surah Ali ‘Imran (3:6)

Allah yang cipta kita. Allah yang memberi rezeki kepada kita. Allah Rabb kita.

Oleh itu, Dialah saja yang berhak disembah dan ditaati. Dialah saja yang boleh muliakan seseorang atau menghinanya. Dialah saja yang boleh ampun dosa. Dialah saja yang boleh maqbulkan doa.

Kita hendaklah mengabdikan diri kepadaNya dan berdoa pohon hidayah..

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
Surah Al-Fatihah (1:5)

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus,
Surah Al-Fatihah (1:6)

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-83

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-83

Ini jenis Yahudi ketiga, iaitu Yahudi yang hidup pada zaman Nabi Muhammad ﷺ dan apakah perangai buruk mereka. Mereka masih mengikut perangai buruk datuk nenek mereka dahulu. Perangai tersebut masih ada lagi walaupun mereka itu keturunan yang jauh daripada keturunan zaman Nabi Musa عليه السلام.

Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada para sahabat Nabi ﷺ tentang perangai buruk mereka. Jangan mereka ada anggapan yang Yahudi zaman mereka sudah tidak mengikut perangai datuk nenek mereka. Ini kerana mungkin ada para sahabat yang menyangka, perangai buruk itu hanya ada pada golongan datuk nenek Yahudi sahaja. Sebenarnya bukan begitu.

Mereka masih ada lagi perangai itu. Maka, Allah ‎ﷻ beritahu keburukan Yahudi yang duduk di Madinah. Allah ‎ﷻ mahu para sahabat berhenti menjadikan golongan Yahudi itu sebagai tempat rujukan. Allah ‎ﷻ bongkar perangai mereka supaya hilang anggapan mulia sahabat terhadap puak Yahudi itu.

Ayat ini mengingatkan para sahabat untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ dengan sepenuhnya. Ini adalah amat penting kerana ia terdapat di dalam Syahadah. Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, bermakna kita menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ sahaja. Kita kena ingat bahawa hanya dengan amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ sahaja yang boleh mendapat pahala.

Kita kena rasa cukup dengan ajaran Nabi ﷺ. Tidak perlu campur dengan ajaran lain. Kena tegas dalam hal ini. Inilah yang disebut dalam [ Isra’:36 ] – kita kena ada dalil dalam amalan-amalan ibadat kita. Jangan pakai yang luar daripada wahyu. Jangan amal amalan ibadat yang kita tidak ada dalil. Ini menolak perbuatan amal bid’ah kerana amalan bid’ah tidak ada dalil.

Latar belakang ayat ini: Para sahabat ada yang pernah belajar dengan golongan Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah berada bersama mereka, ada dalam kalangan mereka yang tidak menerima Nabi ﷺ sepenuhnya kerana mereka masih lagi terkesan dengan apa yang mereka belajar daripada golongan Yahudi.

Maka, ada yang selepas mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, mereka pergi rujuk kepada orang Yahudi. Jadi Allah ‎ﷻ telah membongkar perangai Yahudi di dalam ayat-ayat ini. Tidak patut Yahudi itu dijadikan rujukan kerana ajaran mereka sendiri pun mereka tolak.

Ayat ini juga ditujukan kepada kita juga. Jangan kita sangka Bani Israil sahaja yang ada membuat kesalahan ini. Kalau kita juga ada perangai ini, kita pun ada masalah macam mereka juga. Oleh itu, kita kena periksa sifat-sifat buruk ini, takut-takut kita ada sifat-sifat itu.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَ بَني إِسرائيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَاليَتامىٰ وَالمَساكينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِنكُم وَأَنتُم مُعرِضونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Bani Israil;

Ayat-ayat selepas ini menyebut tentang ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Taurat. Ia adalah ringkasan kepada ajaran-ajaran yang paling penting. Ia memang ada di dalam Taurat tetapi mereka tidak pakai. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ meletakkannya kembali di dalam Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa mereka dahulu sudah berjanji untuk beramal dengan Kitab Taurat dan sekarang Allah ‎ﷻ bentangkan kembali apakah ajaran-ajaran itu.

Sebelum ayat ini, ayat sebelumnya telah disebutkan bahawa kita perlu beriman dan beramal dengan amalan yang soleh. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ terangkan sebahagian daripada amal soleh itu. Ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Ia bukanlah perkara senang hendak dilakukan melainkan mereka yang ada iman. Maka oleh itu, kita kenalah berusaha untuk mengamalkannya. Yang penting, kena tahu dahulu apakah yang kita perlu buat.

لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ

Jangan sekali-kali kamu sembah melainkan kepada Allah jua;

Lafaz ‘sembah’ itu maksudnya ibadat, adat dan doa. Ibadat adalah perhubungan antara Allah ‎ﷻ dan hamba (habluminallah). Sedangkan adat pula adalah syariat tentang hubungan sesama makhluk (habluminannas).

Apabila dikatakan sembah Allah ‎ﷻ sahaja, maka jangan membuat syirik. Oleh itu, doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadat pun hanya serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kena tolak amalan-amalan syirik. Kalau kita buat begitu, barulah sempurna penyembahan kita kepada Allah ‎ﷻ.

Malangnya ramai yang tidak tahu mereka ada sembah selain Allah ‎ﷻ. Selalunya mereka tidak sedar mereka sedang berbuat syirik kerana mereka jahil tentang Tauhid dan Syirik. Ini adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Al-Qur’an.

Arahan untuk hanya sembah Allah ‎ﷻ juga dibawa oleh Nabi ﷺ kita dan Nabi-nabi yang lain kepada umat mereka. Ini kerana ajaran tauhid ini sama sahaja kepada mana-mana Nabi pun.

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu;

Adat adalah syariat yang mengajar hubungan sesama makhluk. Hubungan dengan makhluk lain yang paling penting adalah dengan ibu bapa kita. Potongan ayat ini adalah dalam lafaz ‘mafhum mutlak‘ – satu ayat yang lengkap- Allah ‎ﷻ tidak memasukkan sekali dengan potongan ayat yang lain iaitu, Allah ‎ﷻ tidak pula berkata begini: “Berbuat baiklah dengan ibubapa kamu, kaum kerabat kamu, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata “berbuat baiklah dengan ibubapa kamu”. Kemudian, baru Allah ‎ﷻ menambah kumpulan-kumpulan yang lain. Ini meletakkan kelebihan dan kepentingan berbuat baik dengan ibubapa kita. Maknanya, ia amat penting dan kena dibuat bersungguh-sungguh.

Dan lihatlah Allah ‎ﷻ sebut berbuat baik dengan ibubapa sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang Tauhid. Maka ia sudah jatuh nombor 2 selepas ajaran Tauhid.

Perkataan إِحْسَانًا itu bermaksud ‘berbuat baik lebih dari yang sepatutnya’. Kita kena berikan layanan yang amat baik kepada ibu bapa kita. Kalau mereka layak menerima RM200 sebulan, maka, kita kena berikan lebih lagi daripada itu kepada mereka.

Lebih penting lagi, jangan kita sakitkan hati mereka. Jangan kita buat apa yang boleh menyebabkan mereka berkecil hati. Kita hendaklah sentiasa menggembirakan hati mereka sebaik mungkin. Kadangkala kita tidak boleh memberikan wang kepada ibu bapa kita kerana kita pun miskin. Namun, janganlah kita ada menyakiti hati mereka pula.

Masalah dalam masyarakat adalah, mereka tidak ada hubungan yang baik dengan ibu dan bapa mereka. Ada juga antara mereka yang sampai langsung tidak bertegur sapa. Kalau balik kampung pun, buat tidak endah sahaja terhadap ibu bapa mereka. Kalau dengan orang lain, mereka boleh berbaik-baik, boleh bersembang dan sebagainya. Tetapi kalau dengan ibu bapa, macam ada sahaja perasaan marah kepada mereka.

Sampai kadang-kadang, ada yang hendak tengok ibubapa mereka pun tidak mahu. Mungkinlah suatu waktu dahulu, ada perkara yang menyebabkan mereka berkecil hati dengan ibu atau bapa mereka dahulu. Namun, sebagai anak, kenalah kita lupakan perkara itu dan berbaik semula dengan ibu bapa kita. Siapalah kita untuk menyalahkan mereka pula?

وَذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat kamu;

Bukan sahaja kita kena berbuat baik kepada ibu bapa sahaja, tetapi kita kena juga berbuat baik dengan ahli keluarga kita yang terdekat. Ini pun satu masalah juga kepada sesetengah orang. Kadang-kadang, apabila tidak ada iman dan ilmu, ahli keluarga berpecah belah. Sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun.

Dengan orang lain mereka boleh bersahabat dengan baik, tetapi tidak pula dengan adik beradik sendiri. Mungkin salah faham itu hanya perkara kecil sahaja yang kalau kita ceritakan kepada orang lain pun, orang lain akan gelakkan sahaja.

Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berbuat baik dengan orang yang dekat dengan kita terlebih dahulu. Kalau keluarga kita harmoni, inshaAllah kita akan mengembangkan keharmonian itu kepada orang luar juga. Tetapi, kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita ada masalah, bagaimana lagi kita hendak berbuat baik kepada orang lain pula?

وَالْيَتَامَىٰ

dan anak-anak yatim;

Kita disuruh berbuat baik dengan anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada pelindung dan selalunya mereka itu miskin.

Namun, adakah kita kenal siapakah anak-anak yatim dalam kalangan masyarakat kita? Kalau tidak kenal, bagaimana kita hendak menolong mereka? Maka, selepas ini kenalah kita ambil tahu siapakah mereka dalam kalangan kita. Mungkin boleh lawat rumah-rumah Anak Yatim selepas ini. Tengoklah apa yang kita boleh bantu mereka.

وَالْمَسَاكِينِ

dan orang-orang miskin;

Entah berapa ramai orang miskin kita jumpa hari-hari. Tetapi adakah kita tolong mereka? Soalan yang lebih penting lagi: adakah kita kenal mereka?

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

dan katalah kepada manusia dengan ucapan-ucapan yang baik;

‘Ucapan yang baik’ adalah ucapan yang membawa manusia dekat dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Bukan yang sebaliknya menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita melakukan perkara ini, barulah masyarakat menjadi betul.

Selain dari itu, hendaklah kita berbuat baik dengan orang lain dalam masyarakat kita. Bercakap baiklah dengan mereka. Namun begitu kita merasa bagaikan ramai manusia yang tidak begitu. Ramai yang kita lihat bercakap kasar dengan orang lain. Yang lebih sedihnya, kadang-kadang jika dilihat selalunya orang yang membawa imej agama, adalah yang bermuka garang.

Lagaknya bagaikan hanya hendak menegur salah orang sahaja. Nampak salah sahaja, mereka akan terus mengherdik orang lain. Apalah salahnya kalau kita bermuka manis dengan orang dan kalau perlu tegur pun, tegurlah dengan baik, bukankah lebih elok begitu?

Dalam hal agama pun kita selalu tidak sependapat dan yang tidak manisnya, kalau kita berdebat dengan orang yang tidak sefahaman dengan kita, kadang-kadang kita gunakan bahasa yang kasar kepada mereka. Kita mengata tentang peribadi orang itu, bukan pula dibawakan hujah.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

dan dirikanlah sembahyang;

Salat adalah amalan ibadat paling utama antara hamba dan Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita menjaga segala perkara yang berkaitan dengan salat, iaitu bermula daripada mandi junub lagi. Ini semua kena dijaga supaya kita dapat khusyuk dalam salat. 

Dalam hal wudhu’ pula, kita kenalah mengikut cara wudhu’ sebagaimana yang Nabi ﷺ ajar. Tetapi, sudahkah kita belajar cara wudhu’ Nabi ﷺ, atau kita hanya pakai apa yang kita belajar semasa sekolah rendah sahaja? Dan bagaimana cara kita mengambil wudhu’ itu? Adakah kita gunakan air yang sedikit atau kita pasang pili air itu sekuat-kuatnya? Tahukah kita ada larangan Nabi ﷺ jangan membazir air, walaupun semasa mengambil wudhu’?

Bukan itu sahaja, kita juga kena jaga pakaian daripasda najis. Malangnya, ada yang sampai tidak jadi salat kerana mereka kata seluar mereka kotor. Ini adalah mereka tidak tahu bagaumana hendak buat kalau mereka rasa pakaian mereka tidak bersih. Ini kerana mereka tidak belajar ilmu fiqah dengan cara Sunnah.

Banyak ilmu fiqah yang ditokok tambah sampai menyusahkan umat. Pelbagai cara yang pelik diajar untuk membersihkan diri. Padahal, Nabi ﷺ dahulu istinjak dengan batu sahaja. Dan selepas itu baginda salat. Begitu juga yang dilakukan oleh para sahabat. Adakah perbuatan mereka itu tidak cukup? Padahal, mereka itu ahli syurga.

Tetapi, kerana kita tidak faham hukum istinjak, kita sampai jadi menyusahkan diri kita dalam hal beristinjak. Banyak perkara agama kita tidak tahu lagi, maka hendaklah kita belajar kalau kita tidak tahu, bukan?

وَآتُوا الزَّكَاةَ

Dan keluarkanlah zakat;

Zakat pula adalah amalan paling baik yang menghubungkan masyarakat.

Tentang zakat ini pun ada masalah juga dalam kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak memenuhi kewajipan ini. Kita sebenarnya kena belajar cara-cara untuk membayar zakat. Kita bukan cakap berkenaan zakat fitrah semasa Hari Raya sahaja, tetapi zakat-zakat yang lain.

Sebagai contoh, kita kena bayar zakat pendapatan. Kita kena kira pendapatan kita dalam setahun yang kita dapat dan tolak dengan belanja kasar. Memang ada pendapat yang mengatakan tiada zakat pendapatan, tetapi yang pendapat lebih kuat, eloklah kita bayar zakat pendapatan juga.

Ini belum dikira zakat-zakat yang lain seperti zakat harta. Ramai yang tidak menjalankan tanggungjawab membayar zakat. Oleh kerana itu, harta yang mereka makan haram bagi mereka kerana belum disucikan lagi dengan zakat.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ

Kemudian kamu berpaling juga;

Semua arahan yang disebut di atas telah diberikan kepada golongan Yahudi itu. Mereka juga telah berjanji akan menjaganya. Tetapi walau pun perjanjian telah diambil dengan bani Israil, mereka berpaling daripada beramal dengan yang betul. Ini adalah kerana mereka memang suka pakai akal sahaja untuk menolak teks agama mereka. Kalau ada perkara yang mereka tidak suka, mereka akan tukar.

إِلَّا قَلِيلًا مِنْكُمْ

Melainkan sedikit sahaja di kalangan kamu;

Ada juga yang beramal dengan betul, tetapi tidak ramai. Majoritinya tidak beramal dengan sebetulnya.

وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ

Dan kamu semua ini adalah jenis orang tidak mentaati.

Maksud ayat ini adalah mereka terus menerus mengikut perangai datuk nenek mereka yang tidak menggunakan ajaran Kitab Taurat dalam kehidupan mereka. Kalau dahulu datuk nenek mereka tidak ikut, maka mereka pada zaman Nabi Muhammad ﷺ juga tidak mengikutnya.

Allahu a’lam. 

TBK 10.1.10 al Masih al Dajjal.

0

TBK 10.1 al Masih al Dajjal.

10.1.10 Kisah al Jassasah dan ad Dajjal.

قصة الجساسة والدجال

Dr al-Areefi (pengarang kitab Nihayah) hanya mentakhrij hadith Muslim yang panjang dari Fatima binti Qais yang berasal dari Tamim ad-Dari, tanpa mensyarahkan akan hadith ini.

Isu Jassasah ini amat rumit,
sama seperti kisah Ibu Shayyad yang menimbulkan kekeliruan kepada salaf dan khalaf.
Perlu sedikit masa untuk mengkaji isu ini sebab Dr al- Areefi tidak langsung membuat komentar.

Kisah al Jassasah dan ad Dajjal.

قصة الجساسة والدجال

BAHAGIAN 1:

Takhrij hadith:
Imam Muslim رحمه الله mengasingkan hadith Jassasah dalam bab asing dan khas.
(الكتب » صحيح مسلم » كتاب الفتن وأشراط الساعة » باب قصة الجساسة )

Sahih Muslim: Kitab al Fitan dan Asyrath assaa’ah: Bab Kisah al Jasaasah. Hadith no 2942
Kitab al Fitan (fitnah dan tanda-tanda kiamat), Imam Muslim رحمه الله mengasingkan kisah Jasaasah ke dalam satu bab khas dan terasing, kerana ia bersifat ahad dan gharib atau hadith tunggal dan pelik matannya. Ini menandakan hadith ini tidak kuat di sisi beliau.

Bermula :
باب قصة الجساسة

2942 حدثنا ابن بريدة حدثني عامر بن شراحيل الشعبي شعب همدان أنه سأل فاطمة بنت قيس أخت الضحاك بن قيس وكانت من المهاجرات الأول فقال حدثيني حديثا سمعتيه من رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تسنديه إلى أحد غيره فقالت لئن شئت لأفعلن فقال لها أجل حدثيني فقالت نكحت ابن المغيرة وهو من خيار شباب قريش يومئذ فأصيب في أول الجهاد مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فلما تأيمت خطبني عبد الرحمن بن عوف في نفر من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم وخطبني رسول الله صلى الله عليه وسلم على مولاه أسامة بن زيد وكنت قد حدثت أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال من أحبني فليحب أسامة فلما كلمني رسول الله صلى الله عليه وسلم قلت أمري بيدك فأنكحني من شئت فقال انتقلي إلى أم شريك وأم شريك امرأة غنية من الأنصار عظيمة النفقة في سبيل الله ينزل عليها الضيفان فقلت سأفعل فقال لا تفعلي إن أم شريك امرأة كثيرة الضيفان فإني أكره أن يسقط عنك خمارك أو ينكشف الثوب عن ساقيك فيرى القوم منك بعض ما تكرهين ولكن انتقلي إلى ابن عمك عبد الله بن عمرو ابن أم مكتوم

Telah disampaikan kepada kami lbnu Buraidah dari Amir bin Syurahbil asy-Sya’bi, kabilah Hamdan bahawa dia pernah bertanya kepada Fatimah binti Qais, saudara perempuan adh-Dhahhak bin Qais dan termasuk kelompok perempuan pada hijrah pertama.

Amir berkata, ”Sampaikanlah kepadaku suatu hadith yang engkau dengar dari Rasulullah ﷺ yang tidak engkau sandarkan kepada siapapun selain baginda. ”Fatimah berkata, “Jika engkau mahu nescaya aku lakukan. Amir berkata, “Tentu, sampaikanlah kepadaku.” Fatimah berkata, ”Aku menikahi lbnu al-Mughirah. Dia termasuk pemuda pilihan kaum Quraisy ketika itu. LaIu dia terkena musibah pada permulaan jihad bersama Rasulullah ﷺ. Ketika aku telah menjadi janda, aku dilamar oleh Abdur Rahman bin ‘Auf untuk salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ. Sementara itu, Rasulullah melamarku untuk maulanya, Usamah bin Zaid. Aku pernah diberitahu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Barangsiapa mencintaiku, maka hendaklah dia mencintai Usamah. Maka ketika Rasulullah ﷺ bercakap kepadaku, aku berkata, “Urusanku ada di tangan anda. Nikahkanlah aku kepada siapa saja yang anda suka. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda. ‘Pindahlah kamu ke Ummu Syarik. ‘Ummu Syarik adalah perempuan kaya dari kalangan Ansar yang telah banyak memberikan sumbangan di jalan Allah dan disinggahi banyak tamu. Aku berkata, Aku akan melakukannya. Maka beliau bersabda. “Jangan engkau lakukan. Sesungguhnya Ummu Syarik adalah seorang wanita yang banyak tamunya. Aku tidak suka kain tudungmu jatuh atau baju tersingkap dan kedua betismu sehingga kaum itu akan melihat auratmu. Tetapi, pindahlah ke putera bapa saudaramu, ‘Abdullah bin Amr bin Ummi Maktum, seorang Ielaki dari Bani Fihr’, Fatimah pun pindah kepadanya.”

Syarah hadith:
Ia mengenai seorang tabi’in bernama Amir bin Syarahbil asy Sya’bi dari bani Hamdan yang bertanya kepada sahabat perempuan bernama Fatimah binti Qais yang merupakan sahabat terawal memeluk Islam.

Di dalam riwayat di atas, Fatimah menceritakan dia berstatus janda kerana suaminya syahid di perang Badr, akan tetapi dalam riwayat lain, Imam Muslim dan Abu Daud (ini versi Abu Daud) menyatakan Fatimah menjadi janda kerana ditalak 3 kali oleh Ibnu Mughirah.

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ خَالِدٍ الرَّمْلِيُّ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُقَيْلٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَنَّهَا أَخْبَرَتْهُ
أَنَّهَا كَانَتْ عِنْدَ أَبِي حَفْصِ بْنِ الْمُغِيرَةِ وَأَنَّ أَبَا حَفْصِ بْنَ الْمُغِيرَةِ طَلَّقَهَا آخِرَ ثَلَاثِ تَطْلِيقَاتٍ فَزَعَمَتْ أَنَّهَا جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Status hadith:
(Sunan Abu Daud, sahih no 1946, sahih)

Telah menceritakan kepada kami [Yazid bin Khalid Ar Ramli], telah menceritakan kepada kami [Al Laits] dari [‘Uqail] dari [Ibnu Syihab] dari [Abu Salamah] dari [Fatimah binti Qais] dia telah mengkhabarkan kepadanya bahawa dia dahulu adalah isteri Abu Hafsh bin Al Mughirah, dan Abu Hafsh bin Al Mughirah telah mencerainya ketiga kalinya, dan Fatimah mengaku bahwa ia datang kepada Rasulullah ﷺ….”

Jadi dari dua versi riwayat ini sudah bertentangan dan matannya telah bergoncang.

BAHAGIAN 2:

فَلَمَّا انْقَضَتْ عِدَّتِي سَمِعْتُ نِدَاءَ الْمُنَادِي مُنَادِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِي الصَّلَاةَ جَامِعَةً فَخَرَجْتُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكُنْتُ فِي صَفِّ النِّسَاءِ الَّتِي تَلِي ظُهُورَ الْقَوْمِ

فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ جَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَضْحَكُ فَقَالَ لِيَلْزَمْ كُلُّ إِنْسَانٍ مُصَلَّاهُ ثُمَّ قَالَ أَتَدْرُونَ لِمَ جَمَعْتُكُمْ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ إِنِّي وَاللَّهِ مَا جَمَعْتُكُمْ لِرَغْبَةٍ وَلَا لِرَهْبَةٍ وَلَكِنْ جَمَعْتُكُمْ لِأَنَّ تَمِيمًا الدَّارِيَّ كَانَ رَجُلًا نَصْرَانِيًّا فَجَاءَ فَبَايَعَ وَأَسْلَمَ وَحَدَّثَنِي حَدِيثًا وَافَقَ الَّذِي كُنْتُ أُحَدِّثُكُمْ عَنْ مَسِيحِ الدَّجَّالِ

Terjemahan:
“Ketika masa iddahku berakhir, aku mendengar seruan seorang sahabat Rasulullah ﷺ “Marilah salat berjamaah” Maka aku pun ikut pergi ke masjid dan salat bersama Rasulullah ﷺ pada barisan wanita yang berada tepat di belakang kaum itu. Setelah selesai salat, Rasulullah ﷺ, duduk di mimbar. Sambil tersenyum baginda bersabda. “Hendaklah setiap orang tinggal di tempat salatnya. ’Selanjutnya beliau bersabda,’ Apakah kamu semua mengetahui sebab aku mengumpulkan kamu? Mereka menjawab, “Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. ’Baginda bersabda, ’Sesungguhnya aku, demi Allah tidak mengumpulkan kamu semua bukan kerana ada pengharapan ataupun ketakutan. Melainkan aku mengumpulkan kamu adalah kerana Tamim ad-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani, datang untuk berbai’at masuk Islam. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu semua tentang Dajjal.”

Ulasan:
Ini berlaku pada tahun ke-9 hijrah, setahun sebelum kewafatan Nabi ﷺ. Nabi ﷺ menerima kedatangan Tamim ad Dari yang berasal dari Palestin, merupakan paderi kristian dan dia memeluk Islam dan menceritakan kisah Dajjal yang dialaminya.

BAHAGIAN 3:

Kisah dari Tamim ad Dari

حَدَّثَنِي أَنَّهُ رَكِبَ فِي سَفِينَةٍ بَحْرِيَّةٍ مَعَ ثَلَاثِينَ َرجُلًا مِنْ لَخْمٍ وَجُذَامَ فَلَعِبَ بِهِمْ الْمَوْجُ شَهْرًا فِي الْبَحْرِ ثُمَّ أَرْفَئُوا إِلَى جَزِيرَةٍ فِي الْبَحْرِ حَتَّى مَغْرِبِ الشَّمْسِ فَجَلَسُوا فِي أَقْرُبْ السَّفِينَةِ فَدَخَلُوا الْجَزِيرَةَ فَلَقِيَتْهُمْ دَابَّةٌ أَهْلَبُ كَثِيرُ الشَّعَرِ لَا يَدْرُونَ مَا قُبُلُهُ مِنْ دُبُرِهِ مِنْ كَثْرَةِ الشَّعَرِ

فَقَالُوا وَيْلَكِ مَا أَنْتِ فَقَالَتْ أَنَا الْجَسَّاسَةُ قَالُوا وَمَا الْجَسَّاسَةُ قَالَتْ أَيُّهَا الْقَوْمُ انْطَلِقُوا إِلَى هَذَا الرَّجُلِ فِي الدَّيْرِ فَإِنَّهُ إِلَى خَبَرِكُمْ بِالْأَشْوَاقِ قَالَ لَمَّا سَمَّتْ لَنَا رَجُلًا فَرِقْنَا مِنْهَا أَنْ تَكُونَ شَيْطَانَةً قَالَ فَانْطَلَقْنَا سِرَاعًا حَتَّى دَخَلْنَا الدَّيْرَ فَإِذَا فِيهِ أَعْظَمُ إِنْسَانٍ رَأَيْنَاهُ قَطُّ خَلْقًا وَأَشَدُّهُ وِثَاقًا مَجْمُوعَةٌ يَدَاهُ إِلَى عُنُقِهِ مَا بَيْنَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى كَعْبَيْهِ بِالْحَدِيدِ قُلْنَا وَيْلَكَ مَا أَنْتَ قَالَ قَدْ قَدَرْتُمْ عَلَى خَبَرِي فَأَخْبِرُونِي مَا أَنْتُمْ قَالُوا نَحْنُ أُنَاسٌ مِنْ الْعَرَبِ رَكِبْنَا فِي سَفِينَةٍ بَحْرِيَّةٍ فَصَادَفْنَا الْبَحْرَ حِينَ اغْتَلَمَ فَلَعِبَ بِنَا الْمَوْجُ شَهْرًا ثُمَّ أَرْفَأْنَا إِلَى جَزِيرَتِكَ هَذِهِ فَجَلَسْنَا فِي أَقْرُبِهَا فَدَخَلْنَا الْجَزِيرَةَ فَلَقِيَتْنَا دَابَّةٌ أَهْلَبُ كَثِيرُ الشَّعَرِ لَا يُدْرَى مَا قُبُلُهُ مِنْ دُبُرِهِ مِنْ كَثْرَةِ الشَّعَرِ فَقُلْنَا وَيْلَكِ مَا أَنْتِ فَقَالَتْ أَنَا الْجَسَّاسَةُ قُلْنَا وَمَا الْجَسَّاسَةُ قَالَتْ اعْمِدُوا إِلَى هَذَا الرَّجُلِ فِي الدَّيْرِ فَإِنَّهُ إِلَى خَبَرِكُمْ بِالْأَشْوَاقِ فَأَقْبَلْنَا إِلَيْكَ سِرَاعًا وَفَزِعْنَا مِنْهَا وَلَمْ نَأْمَنْ أَنْ تَكُونَ شَيْطَانَةً

Terjemahan:
Dia (Tamim) menceritakan kepadaku (Nabi ﷺ) bahawa dia mengemudi sebuah perahu bersama 30 orang dari Lakhm dan Judzam. Mereka dipermainkan ombak selama sebulan di laut. Lalu mereka berlabuh menuju suatu pulau di laut itu sampai terbenam matahari. Mereka duduk-­duduk di pantai dekat perahu. LaIu mereka naik ke pulau itu.
Maka mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya yang mereka tidak dapat membezakan mana bahagian depan dan mana bahagian belakangnya. Mereka berkata, “Celaka kau, apakah kamu ini? Binatang itu menjawab, ‘Aku adalah (Jasaasah) mata-mata.’ Mereka bertanya, ‘Mata-mata apa?’ Dia menjawab, ‘Wahai kaum, pergilah kepada orang yang berada di dalam gua, kerana dia merindukan berita dari kamu.’

Tamim ad-Dari berkata, ketika binatang itu menyebutkan kepada kami seseorang, kami meninggalkannya kerana mungkin dia adalah syaitan perempuan. Selanjutnya dia berkata, lalu kami berangkat segera hingga memasuki gua. Tiba-tiba di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua-dua tangan dan lehernya disatukan dan diikat dengan besi di antara hingga kedua mata kakinya. Kami katakan, “Celaka kamu, makhluk apakah kamu ini? Dia menjawab, ”Kamu telah mengetahui perihalku, kini beritahukan kepadaku, siapakah kamu ini?
Mereka menjawab, “Kami adalah manusia dari Arab. Kami menaiki perahu lalu dihentam gelombang laut besar dan ombak mempermainkan kami selama sebulan. Kemudian kami berlabuh di pulaumu ini. Kami didatangi seekor binatang yang berbulu lebat sehingga tidak diketahui mana bahagian muka dan mana bahagian belakangnya. Kami bertanya, ”Celaka kamu, binatang apa kamu ini?” ‘Saya adalah mata-mata.’ “Mata-mata apa?” ‘Pergilah kepada orang yang berada di gua ini kerana dia sangat merindukan berita dari kamu.”

Syarah:
Tamim ad Dari menceritakan sebuah kisah lama ketika dia masih kristian, di mana dia pernah menjadi nakhoda sebuah kapal dan belayar di Teluk Parsi dan terdampar di sebuah pulau. Kemudian mereka bertemu dgn haiwan yang bernama Jassasah atau mata-mata. Ia bermaksud dia adalah mata-mata untuk dajjal yang dirantai di dalam gua.

Ia gharib sebab haiwan yang boleh berkata-kata itu ialah dabbah yang muncul apabila matahari sudah terbit dari Barat (akan dibincangkan pada tajuk Kiamat Kubra, dabbah, kemudian nanti).

Maka wujudnya Jasaasah ini bercanggah pula dengan dabbah.
Kemudian Dajjal telah wujud juga bercanggah dengan hadith-hadith lain yang lebih banyak yang menyatakan, Dajjal belum muncul lagi.

10.1.10 Kisah al Jassasah dan ad Dajjal.

قصة الجساسة والدجال

BAHAGIAN 4:

Kisah dari Tamim ad Dari

فَقَالَ أَخْبِرُونِي عَنْ نَخْلِ بَيْسَانَ قُلْنَا عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ قَالَ أَسْأَلُكُمْ عَنْ نَخْلِهَا هَلْ يُثْمِرُ قُلْنَا لَهُ نَعَمْ قَالَ أَمَا إِنَّهُ يُوشِكُ أَنْ لَا تُثْمِرَ قَالَ أَخْبِرُونِي عَنْ بُحَيْرَةِ الطَّبَرِيَّةِ قُلْنَا عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ قَالَ هَلْ فِيهَا مَاءٌ قَالُوا هِيَ كَثِيرَةُ الْمَاءِ قَالَ أَمَا إِنَّ مَاءَهَا يُوشِكُ أَنْ يَذْهَبَ قَالَ أَخْبِرُونِي عَنْ عَيْنِ زُغَرَ قَالُوا عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ قَالَ هَلْ فِي الْعَيْنِ مَاءٌ وَهَلْ يَزْرَعُ أَهْلُهَا بِمَاءِ الْعَيْنِ قُلْنَا لَهُ نَعَمْ هِيَ كَثِيرَةُ الْمَاءِ وَأَهْلُهَا يَزْرَعُونَ مِنْ مَائِهَا قَالَ أَخْبِرُونِي عَنْ نَبِيِّ الْأُمِّيِّينَ مَا فَعَلَ قَالُوا قَدْ خَرَجَ مِنْ مَكَّةَ وَنَزَلَ يَثْرِبَ قَالَ أَقَاتَلَهُ الْعَرَبُ قُلْنَا نَعَمْ قَالَ كَيْفَ صَنَعَ بِهِمْ فَأَخْبَرْنَاهُ أَنَّهُ قَدْ ظَهَرَ عَلَى مَنْ يَلِيهِ مِنْ الْعَرَبِ وَأَطَاعُوهُ قَالَ لَهُمْ قَدْ كَانَ ذَلِكَ قُلْنَا نَعَمْ قَالَ أَمَا إِنَّ ذَاكَ خَيْرٌ لَهُمْ أَنْ يُطِيعُوهُ وَإِنِّي مُخْبِرُكُمْ عَنِّي إِنِّي أَنَا الْمَسِيحُ وَإِنِّي أُوشِكُ أَنْ يُؤْذَنَ لِي فِي الْخُرُوجِ فَأَخْرُجَ فَأَسِيرَ فِي الْأَرْضِ فَلَا أَدَعَ قَرْيَةً إِلَّا هَبَطْتُهَا فِي أَرْبَعِينَ لَيْلَةً غَيْرَ مَكَّةَ وَطَيْبَةَ فَهُمَا مُحَرَّمَتَانِ عَلَيَّ كِلْتَاهُمَا كُلَّمَا أَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَ وَاحِدَةً أَوْ وَاحِدًا مِنْهُمَا اسْتَقْبَلَنِي مَلَكٌ بِيَدِهِ السَّيْفُ صَلْتًا يَصُدُّنِي عَنْهَا وَإِنَّ عَلَى كُلِّ نَقْبٍ مِنْهَا مَلَائِكَةً يَحْرُسُونَهَا

Terjemahan:
Dia (Dajjal) berkata, “Khabarilah aku tentang pohon-pohon kurma Baisan!” Kami bertanya, “Engkau tanya tentang apa?” Dajjal berkata, “Aku bertanya kepada kalian tentang pohon-pohon kurmanya, apakah masih berbuah?” Kami jawab, “Ya.” Dajjal berkata, “Ingatlah bahawa hampir-hampir ia tak akan berbuah lagi.” Dajjal berkata, “Khabarilah aku tentang Danau Thobariyyah!” Kami katakan, “Apa yang kau tanyakan?” Dajjal berkata, “Apakah di dalamnya masih ada air?” Mereka menjawab, “Danau itu masih banyak airnya.” Dajjal berkata, “Ingatlah, sesungguhnya airnya hampir-hampir akan habis.” Dajjal bertanya lagi, “Khabarilah aku tentang mata air Zughor!” Mereka bertanya, “Apa yang kau tanyakan?” Dajjal berkata, “Apakah di dalam mata air itu masih ada air? Apakah penduduknya masih menanam dengan memakai air dari mata air itu?” Kami jawab, “Ya, mata air itu masih banyak airnya dan penduduknya masih bercucuk tanam dari airnya.” Dajjal berkata lagi, “Khabarilah aku tentang Nabinya orang-orang Ummi (ummi : buta huruf, yakni orang-orang Quraisy), apa yang ia lakukan? Mereka berkata, “Dia telah keluar dari Kota Mekah dan bertempat tinggal di Yathrib (Madinah)”. Dajjal bertanya, “Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?” Kami katakan, “Ya”. Dajjal bertanya, “Apa yang ia lakukan pada mereka?” Lalu mereka khabari Dajjal bahwa sungguh dia (Nabi itu, yakni Nabi Muhammad ﷺ) telah berkuasa atas orang-orang yang ada di sekitarnya dari kalangan Arab dan mereka mentaatinya”. Dajjal berkata kepada mereka, “Apakah hal itu sudah terjadi?” Kami jawab, “Ya”.
Dajjal berkata, “Ingatlah bahawa hal itu lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya. Sekarang aku khabari kalian bahwa aku adalah Al-Masih (yakni, Al-Masih Ad-Dajjal). Sungguh aku hampir diberi izin untuk keluar. Aku akan keluar, lalu berjalan di bumi. Aku tidak akan membiarkan suatu negeri, kecuali aku injak dalam waktu 40 malam, selain Mekah dan Thoibah (Madinah). Kedua-dua kota ini diharamkan bagiku.
Setiap kali aku hendak memasuki salah satunya di antaranya, maka aku dihadang oleh satu malaikat, di tangannya terdapat pedang terhunus yang akan menghalangiku darinya. Sesungguhnya pada setiap jalan-jalan masuk padanya ada malaikat-malaikat yang menjaganya.”

Syarah:
Dajjal memberitahu beberapa tanda bahawa dia akan muncul di akhir zaman bila berlaku petanda-petanda berikut:

1. Kebun kurma di Baisan, Jordan akan pupus, tidak berbuah lagi.

2. Tasik Tobariyah di Jordan akan kering.

3. Wadi Zughor di Jordan akan kering.

4. Perutusan Nabi Muhammad ﷺ.

5. Dajjal akan melakukan kerosakan di muka bumi selama 40 hari.

Dajjal juga menceritakan bahawa dia tidak mampu untuk memasuki Mekah dan Madinah kerana keduanya dijaga oleh malaikat.

BAHAGIAN 5/ AKHIR:

Kisah dari Tamim ad Dari,

قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَعَنَ بِمِخْصَرَتِهِ فِي الْمِنْبَرِ هَذِهِ طَيْبَةُ هَذِهِ طَيْبَةُ هَذِهِ طَيْبَةُ يَعْنِي الْمَدِينَةَ أَلَا هَلْ كُنْتُ حَدَّثْتُكُمْ ذَلِكَ فَقَالَ النَّاسُ نَعَمْ فَإِنَّهُ أَعْجَبَنِي حَدِيثُ تَمِيمٍ أَنَّهُ وَافَقَ الَّذِي كُنْتُ أُحَدِّثُكُمْ عَنْهُ وَعَنْ الْمَدِينَةِ وَمَكَّةَ أَلَا إِنَّهُ فِي بَحْرِ الشَّأْمِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لَا بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ قَالَتْ فَحَفِظْتُ هَذَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Terjemahan:
Fatimah berkata, “Sambil memukul tongkatnya pada mimbar, Rasulullah ﷺ bersabda.” lni adalah Thaibah, iaitu kota Madinah. lngatlah, apakah hal itu telah aku sampaikan kepada kamu?”
orang ramai menjawab: “Benar.”
Nabi Muhammad ﷺ bersabda,”Sungguh cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu, juga mengenai kota Mekah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya Dajjal itu berada di Laut Syam atau di Laut Yaman, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur.” Baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.” Selanjutnya Fatimah berkata, ”Maka aku menghafalkan hadis ini dari Rasulullah ﷺ.”
HR Muslim no. 2942
(الكتب » صحيح مسلم » كتاب الفتن وأشراط الساعة » باب قصة الجساسة )

Penutup hadith, Fatimah binti Qais berkata,

(قَالَتْ فَحَفِظْتُ هَذَا مِنْ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) ”

maka aku hafal kisah ini dari Nabi ﷺ” biasanya hadith berbunyi, dari perawi dari rasulullah ﷺ, baginda bersabda….” ..” akan tetapi metod Fatimah,
ini yang aku hafal dari Nabi ﷺ, maksudnya matan adalah dari Fatimah bukan dari nabi secara langsung.

Yang kedua, Imam Muslim رحمه الله mengasingkan kisah Jassasah ke sebuah bab yang baru di dalam kitab al Fitan, iaitu bab Kisah al Jassasah. Dinamakan kisah atau sebuah hikayat sahaja.

Komentar Ibn Hajar dalam al fath: jld 8, ms 328, ia hadith ahad dan Gharib atau pelik. Indikasi kedhaifannya.

Komentar Maulana Asri kelantan dalam syarah sahih Muslim, ia hadith gharib dan ahad. Bertentangan dengan hadith yang mutawatir. Berkemungkinan besar Nabi ﷺ tidaklah membenarkan kesemua kisah tersebut akan tetapi Nabi membenarkan beberapa kisah di dalamnya seperti perutusan baginda sebagai nabi akhir zaman yang menjadi penyebab kepada Islamnya Tamim ad Dari dan Dajjal tidak boleh memasuki kota Mekah dan Madinah.

Kedua:
Ia tidak mungkin Dajjal akhir zaman kerana anak Adam tidak boleh hidup abadi, hidup beribu abad lamanya.

Ketiga:
Ia termasuk kisah-kisah Israeliyat kerana berasal dari sumber kristian, maka kita tidak dapat menerimanya bulat-bulat kerana tidak pasti apakah nabi ﷺ membenarkan kesemuanya apa yang diberitahu oleh Tamim atau sebahagian sahaja.

Ke empat:
Nabi ﷺ pun tidak diberi maklumat yang jelas akan Dajjal, hatta sebelum ini para sahabat sudah keliru dengan apakah budak yahudi Ibn Syayyad itu juga dajjal.

Hadith muslim ini memang sahih sanadnya, mata rantai, cuma ia gharib atau dhaif di sisi matannya yang panjang kerana berstatus ahad, cuma dari jalur Fatimah yang bergantung kepada hafalannya sahaja.

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-80 hingga Ke-82

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-80 hingga Ke-82

Tafsir Ayat Ke-80

Ayat 80 – 89 adalah celaan ke atas Bani Israil kerana berbangga dan fanatik kepada bangsa keturunan.  Allah ‎ﷻ  menyebut janji-janji yang telah didustai kaum Yahudi:

  1. Sembah Allah ‎ﷻ sahaja.
  2. Berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dirikan solat, zakat.
  3. Jangan membunuh, mengusir orang dari kampungnya.

Ayat ke-80 ini adalah kata-kata anak-anak orang Pendeta, ulama’ atau pembesar golongan Yahudi.

Kita kena tahu yang golongan yang ramai Nabi adalah dalam kalangan Bani Israil. Selain daripada Nabi, tentulah ramai tok guru dalam kalangan mereka. Maknanya, mereka adalah keturunan Nabi dan orang alim yang banyak. Ini adalah suasana dalam masyarakat mereka.

Disebabkan mereka ramai Rasul, Nabi dan ulama’, mereka rasa mereka manusia terpilih. Ini adalah tentang anak-anak mereka dan mereka yang ada sangkut paut dengan golongan ulama’ mereka.

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah ‎ﷻ  supaya (dengan itu) Allah ‎ﷻ  tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah ‎ﷻ  sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ

Mereka berkata: “Kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka”;

Mereka sangka kerana mereka daripada golongan orang yang baik-baik, maka mereka akan terselamat dari api neraka. Mereka perasan sahaja.

Orang Islam pun sudah rasa macam ini. Mereka sangka kalau mereka anak ustaz, anak tok imam, anak guru tarekat, mereka sudah selamat. Mereka juga sangka yang apabila mereka sudah solat, sudah puasa, baca Al-Qur’an, tidak minum arak dan makan babi, mereka sudah selamat dari neraka.

Mereka sangka begitu sebab mereka ada sedekah sedikit duit kepada masjid atau kepada orang miskin, mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an, maka mereka tidak tahu berapa banyak lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini semua hasil dari tidak belajar kandungan Al-Qur’an dan agama dengan benar.

إِلَّا أَيَّامًا مَعْدُودَةً

“melainkan hanya beberapa hari sahaja”;

Iaitu mereka kata kalau mereka kena masuk neraka pun, ia sekejap sahaja dan ada yang kata selama 40 hari sahaja, iaitu selama Nabi Musa naik ke Bukit Thursina.

Di kalangan kita pun ada juga yang berfikiran macam ini. Ada yang berbangga dan merasa selamat kerana mereka keturunan yang baik-baik dalam kalangan ahli agama. Mereka rasa mereka tidak akan masuk neraka. Masyarakat kita sekarang sudah jadi seperti masyarakat Yahudi yang diceritakan dalam ayat ini. Mereka merasa selamat dari api neraka hanya kerana mereka ada sangkut paut dengan ahli agama.

Orang Islam pun ada yang kata, “akhirnya kita akan masuk syurga juga”. Mereka macam tidak kenal neraka. Mereka sangka senang sahaja kalau masuk neraka sekejap. Padahal, neraka itu tidak dapat dibayangkan azab di dalamnya. Kalaupun tidak masuk, kena angin neraka sahaja sudah tidak tahan Sila rujuk [ Anbiya: 46 ].

Adakah mereka rasa mereka kuat untuk menahan azab neraka walaupun hanya sesaat sahaja di dalamnya? Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang Allah ‎ﷻ  telah sebut tentang neraka di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka baca sahaja, tanpa memahami azab neraka.

قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا

Kata kepada mereka: “Adakah kamu ambil perjanjian yang kukuh dengan Allah ‎ﷻ ?”

Ada tidak kamu buat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ  yang kamu tidak akan masuk neraka, atau kamu hanya masuk neraka sekejap sahaja? Kalau ada, kena berikan bukti dan dalil.

Sebenarnya kita tidak akan tahu adakah kita akan masuk syurga atau neraka. Kita tidak akan tahu adakah kita akan duduk lama atau tidak dalam neraka kalau kita masuk neraka. Semoga Allah ‎ﷻ  selamatkan kita dari neraka.

Allah ‎ﷻ  suruh Nabi yang cakap (قُلْ) dengan mereka yang berpandangan salah ini kerana Allah ‎ﷻ  marah sangat dengan mereka. Allah ‎ﷻ  tidak mahu bercakap dengan mereka terus. Allah ‎ﷻ  wakilkan Nabi sahaja untuk cakapkan. Allah ‎ﷻ juga ajar baginda bagaimana untuk berhujah dengan mereka itu.

فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ

Allah ‎ﷻ  tidak akan mungkin mungkir dengan janji-Nya;

Tidak sekali-kali Allah ‎ﷻ  akan mungkir janji-Nya. Kalau kamu memang ada surat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ , Allah ‎ﷻ  tidak akan mungkir janji itu tetapi malangnya, tidak ada perjanjian sebegini antara manusia dan Allah ‎ﷻ .

Tidak ada orang yang Allah ‎ﷻ  kata Dia akan selamatkan orang itu hanya kerana dia keturunan orang yang baik-baik sedangkan kepada Fatimah r.a sendiri pun Nabi kata baginda tidak dapat tolong kalau anaknya itu ada buat salah. Kalau anak sendiri Nabi tidak dapat tolong, apatah lagi kita.

أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Atau kamu mengatakan terhadap Allah ‎ﷻ  perkara yang kamu sendiri tidak tahu.

Atau kamu memandai sahaja? Kamu memandai-mandai sahaja kata begini dan begitu tanpa sandaran dalil?

Ini adalah satu contoh sangkaan-sangkaan yang manusia buat seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Apabila tidak faham agama, mereka akan buat sangkaan-sangkaan.

Tafsir Ayat Ke-81

Ayat sebelum ini disebut tentang sangkaan salah golongan Yahudi. Sekarang Allah ‎ﷻ  hendak memberitahu perkara yang sebenar iaitu menidakkan sangkaan mereka yang salah itu. Ini adalah ayat Takhwif – ayat-ayat Al-Qur’an menakutkan.

بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحاطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

بَلَىٰ مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً

Bahkan sebenarnya sesiapa yang melakukan dosa kejahatan;

Dosa kejahatan di sini adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ .

Perkataan سَيِّئَةً juga bermaksud ‘dosa besar’. Ada orang yang terus melakukan satu dosa besar, yang lain dia tidak buat. Contohnya dia seorang peminum arak. Dia tidak buat dosa lain tetapi bahagian minum arak itu, dia tidak boleh tinggalkan. Dia sangka sebab dia tidak buat dosa lain dan sebab dia ada buat amalan baik yang lain, pahala itu semua dapat menampung kesalahannya itu tetapi tidak begitu.

وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ

dan dosa itu meliputinya sehingga dia mati;

Mereka kekal dalam amalan syirik mereka itu sampai mereka mati. Dosa itu meliputinya kerana dia tidak bertaubat. Tidak sempat hendak bertaubat sebelum mereka mati. Yang takutnya, sampai mati mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama di dunia itu adalah syirik tetapi mereka tidak tahu.

Kalau tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah syirik, macam mana mereka hendak bertaubat? Mereka tidak tahu itu pula adalah kerana mereka tidak belajar wahyu Allah ‎ﷻ . Ini kerana perkara syirik ini telah dijelaskan dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an.

Atau jika seseorang itu kekal melakukan satu sahaja atau lebih dosa besar, seperti minum arak, berzina dan sebagainya itu sampai dia tidak boleh berhenti. Itulah maknanya ‘meliputinya’. Dia seolah-olah tidak dapat keluar darinya.

Paling membahayakan lagi, jikalau seseorang itu sudah biasa buat satu dosa besar, dia sudah tidak rasa bersalah sangat bila buat dosa. Maka, dia lama kelamaan akan buat dosa yang lain pula.

فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ

Maka orang-orang yang bersifat seperti itu adalah pemilik sebenar neraka;

Orang Islam yang tidak buat syirik tetapi ada buat dosa, mereka akan masuk neraka juga, tetapi mereka tidak kekal dalam neraka. Akhirnya mereka akan keluar dari neraka dan masuk dalam syurga. Namun, orang yang buat syirik, walaupun orang Islam, akan kekal dalam neraka.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan keluar-keluar langsung, sampai bila-bila. Allah ‎ﷻ  hendak tekankan sebab dalam ayat sebelum ini ada manusia yang sangka mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, tidak kira kamu anak siapa, keturunan siapa pun, tidak kira siapa yang kamu berhubungan semasa kamu di dunia, kalau kamu buat dosa syirik, kamu akan kekal dalam neraka.

Tafsir Ayat Ke-82

Selepas diberikan dengan ayat Takhwif dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sekarang memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula.

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أُولٰئِكَ أَصحابُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

وَالَّذِينَ آمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman sempurna;

Iaitu mereka yang tidak membuat syirik. Mereka bukan setakat beriman sahaja, tetapi mereka juga meninggalkan perkara syirik.

Dan mereka yang mengamalkan sesuatu ibadat itu dengan ikhlas, kerana Allah ‎ﷻ. Bukan sebab dipaksa, bukan sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Bukan kerana mahukan upah atau kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Ayat ini hendak membandingkan dengan mereka yang disebut dalam ayat sebelum ayat ini. Allah ‎ﷻ  menceritakan tentang apakah yang Allah ‎ﷻ mahu.

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan buat amal soleh;

Kita kena tahu yang amalan soleh adalah amalan sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Orang-orang yang beriman sepatutnya tidak beramal dengan mana-mana ibadat tanpa memastikan dahulu bahawa amalan itu ada dalil yang sahih. Selagi dia tidak menjumpai dalil, dia tidak akan mengamalkannya. Sesiapa yang membuat amal bukan daripada amalan Nabi ﷺ, amalan itu ditolak. Itu adalah dinamakan ‘bidaah’.

Tidak cukup kalau kita membuat sesuatu amalan itu dengan mengharapkan pahala hanya kerana ‘ikhlas’. Ada orang yang berkata, Allah ‎ﷻ akan berikan juga pahala kalau kita membuat amalan itu secara ikhlas. Tetapi dalam ayat ini, seperti juga banyak ayat-ayat yang lain, memberi isyarat bahawa sesuatu amalan itu mestilah berdasarkan dalil yang sahih daripada Nabi ﷺ. Barulah amalan itu dipanggil ‘amalan yang soleh’.

أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ

Orang-orang yang bersifat seperti itu, adalah pemilik syurga;

Mereka yang ada iman sempurna dan ditunjukkan dengan melakukan amal yang soleh, mereka inilah yang ada peluang dan harapan untuk masuk syurga.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Mereka itu kekal di dalamnya.

Ini barulah kekal dalam syurga. Kalau orang sebelum ayat ini, mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini memberikan susunan cara untuk masuk ke dalam syurga.

  1. Beriman dengan Allah ‎ﷻ ‎dan perkara-perkara yang perlu diimani seperti malaikat, Rasul dan sebagainya.
  2. Orang yang beriman, akan berusaha untuk mengamalkan amalan yang soleh yang diambil daripada dalil yang sahih.
  3. Barulah dapat kekal dalam syurga.

Langkah pertama dan kedua adalah penting. Kalau tidak ada salah satu, maka kita tidak akan dapat masuk ke syurga. Malangnya, berapa ramai di kalangan orang Islam yang beramal dengan amalan yang bid’ah, bukan amalan yang soleh.

Allahu a’lam.

At-Tazkirah Qurthubi: Islam Merawat Gejala Bunuh Diri

0

At-Tazkirah Qurthubi (W671h)
Islam merawat gejala bunuh diri (suicide)

باب النهي عن تمني الموت و الدعاء به لضر نزل في المال و الجسد

Bab larangan mengharap dan mendoakan kematian disebabkan bencana yang menimpa harta dan tubuh.

Hadith Anas r.a:

و قال البخاري : لا يتمنين أحدكم الموت : إما محسناً فلعله أن يزداد خيراً ، و إما مسيئاً فلعله أن يستعتب

“Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian, katakan dia jenis orang baik, maka jika panjang usianya bertambahlah kebaikan. Jika pun dia jenis orang yang tidak baik, maka pertambahan umurnya dia sempat bertaubat.”

[ HR Bukhari, no 7235 ]

Hadith Jabir r.a:

البزار عن جابر بن عبد الله قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لا تمنوا الموت فإن هول المطلع شديد ، و إن من السعادة أن يطول عمر العبد حتى يرزقه الله الإنابة (لا تمنَّوا الموتَ فإنَّ هولَ المَطْلَعِ شديدٌ وإنَّ مِنَ السَّعادةِ أن يطولَ عُمُرُ العبدِ ويرزُقَه اللهُ عَزَّ وجَلَّ الإنابةَ
الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : الهيثمي | المصدر : مجمع الزوائد
الصفحة أو الرقم: 10/206 | خلاصة حكم المحدث : إسناده حسن)

“Janganlah kamu bercita-cita untuk mati, sesungguhnya kehebatan mati amat sakit, dan sesungguhnya antara kebahagiaan seorang itu ialah bila dipanjangkan umurnya sehingga diberi Allah peluang dia bertaubat”.

[ HR al Bazzar, Kasyful asytar 3240. Dinilai Hasan oleh al Haithami, 10:206 ].

Talbis Iblis: Israf

0

Talbis Iblis: Israf

Masih lagi bab belanja. Sebelum ini sudah disentuh dalam belanja, syaitan akan tipu supaya kita bakhil, tidak keluarkan duit. Kemudian kalau keluarkan infak, biarlah riak.

Ketiga, bab belanja ini, syaitan akan bisikkan supaya manusia belanja berlebihan, iaitu israf.

Allah ‎ﷻ berfirman dalam 7:31:

وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ

Dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ melarang kita berlebih-lebihan daripada yang sepatutnya; dipanggil perbuatan israf.

Ini memang masalah. Israf adalah apabila barang itu memang perlu tetapi berlebihan. Contohnya, makanan memang perlu, tetapi makan berlebihan.

Pakai baju perlu, tetapi beli yang mahal sangat. Mahal tidak mengapa, kalau untuk kualiti tetapi yang “bling-bling” hendak buat apa?

Kereta pun okay kalau ingin pakai yang berkualiti, tetapi kalau sudah Bogati, ini sudah israf.

💭💭

Soal Jawab

Soalan:
Adakah tabzir termasuk dalam israf?

Jawapan:
Bazir lain. nanti kita akan bincangkan.

Israf – barang perlu tetapi berlebih-lebihan.

Bazir – barang tidak perlu langsung.


Soalan:
Kalau pada mulanya bajet RM100 tetapi sampai di pasaraya, belanja terlebih bajet, sehingga RM200 adakah termasuk perbuatan israf juga?


Jawapan:
Subjektif. Kalau perlu, tidak mengapa. Kalau nampak sahaja rasa kena beli, itu masalah.

Sebab itulah ada zikir khusus untuk masuk pasar sebab syaitan banyak di pasar.


Soalan:
Perempuan tidak digalakkan ke pasar?

Jawapan:

Perempuan sebaiknya duduk di rumah sahaja sebenarnya kecuali kalau perlu. Keluar biasa dengan suami atau mahram sahaja.

 

TIGA TINGKATAN MENGELUH

0

Tiga tingkatan mengeluh

Pertama : Seseorang mengeluh kepada Allah tentang dirinya sendiri. Ia merasa bahwa segala kondisi buruk yang menimpanya adalah karena dirinya sendiri, seraya mengingat firman Allah :

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu Maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu). (QS Asy-Syura : 30)

“Dan apa saja bencana yang menimpamu, Maka dari (kesalahan) dirimu sendiri” (QS An-Nisaa’ : 79)

“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), Padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata:

“Darimana datangnya (kekalahan) ini?” Katakanlah: “Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri”. (QS Aali ‘Imran : 165)

Ini adalah keluhan yang terbaik, yang muncul dari seseorang yang mengenal hakikat dirinya dan mengakui keagungan dan keadilan Allah.

Kedua : Seseorang mengeluh kepada Allah tentang kondisi orang lain, atau tentang sikap buruk orang lain kepadanya. Ini adalah bentuk keluhan yang tengah.

Ketiga : Seseorang yang mengeluhkan kepada orang lain (makhluk) tentang keputusan Allah. Dan ini merupakan bentuk keluhan yang terburuk.

(Lihat Al-Fawaaid li Ibnil Qoyyim hal 87-89)

https://telegram.me/tazkirah

Talbis Iblis: Riak

0

Talbis Iblis. Masih bab belanja lagi: Riak.

Kadangkala syaitan akan suruh infak/sedekah/derma juga.

Tetapi dia suruh tunjuk kepada orang lain. Maknanya suruh riak (suka orang tengok dia derma)

Dalilnya Allah ‎ﷻ sebut dalam [Nisa:38]

وَالَّذينَ يُنفِقونَ أَموالَهُم رِئَاءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَلا بِاليَومِ الآخِرِ ۗ وَمَن يَكُنِ الشَّيطانُ لَهُ قَرينًا فَساءَ قَرينًا

Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka karena riya kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya.

 

💭💭

Soal Jawab


Soalan:
Ada pendapat kata, boleh tunjuk apa yang kita infak pada orang sebagai motivasi bagi orang lain juga tetapi apabila ada pula menyifatkan itu sebagai riak, adakah bermakna termasuk daerah riak jadinya?

Kadangkala rasa sukar hendak cakap motivasi tetapi apabila orang puji, bagus buat begini, mungkin timbulkan juga perasaan riak sedikit.

Jawapan:
Ya, memang boleh. Sebab hendak menggalakkan orang lain infak macam kita juga. Mereka infak sebab ikut kita pun dapat pahala. Bagus, bukan?

Namun itu untuk tahap wali boleh lah. Tahap sudah boleh kawal hati. Tidak kisah orang puji atau keji.

Untuk tahap hati rendah seperti kita, sebaiknya tidak perlu tunjuk infak kita. Buat secara rahsia. Sebab orang puji sedikit, kembang sedikit.

Tidak perlulah untuk post di fb:

“Alhamdulillah berjaya menjalankan program dengan anak-anak yatim. Aduhai gembiranya mereka dapat pemberian dari kami”.

Kemudian tidak perlu untuk “justify” (memberi alasan) selepas itu:

“Kami post sebab kami ingin orang lain boleh buat macam kami juga…”

Dalam hati kita tidak tahu. Maka tidak perlu kita kecam: “Eleh ni nak riak la ni”.

Mana kita tahu dalam hati manusia?

Cuma nasihat saya, bahaya post begini. Nanti orang puji, kita ada rasa lain sikit.


Soalan:
Adakah sama ganjaran pahala bagi orang yang infak secara senyap dengan orang berniat untuk motivasikan orang lain sama?

Jawapan:
Dengan senyap lebih selamat.

Kalau dengan terang orang puji, ada riak sedikit atau banyak, sudah berkurangan pahala atau hilang terus. Baik tidak payah.


Soalan:
Adakah riak yang termasuk syirik kecil ini boleh membawa ke syirik akhbar apabila selalu dilakukan?

Jawapan:
Tidak.

 

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-79

0

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-77 hingga Ke-79

Tafsir Ayat Ke-77

Ayat ini adalah sambungan kepada ayat sebelum ini.

أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah ‎ﷻ  mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

أَوَلَا يَعْلَمُونَ

Tidakkah mereka mengetahui

Ayat ini menunjukkan kebodohan ulama’ Yahudi. Ada jumlah yang kena taqdir (tambah) di sini: patutkah ulama’-ulama’ Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Apakah arahan yang dimaksudkan? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam.

أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ  tahu apa yang mereka rahsiakan

Lihatlah betapa bodohnya mereka – mereka suruh orang bawahan mereka untuk sorokkan maklumat yang benar kepada sahabat yang beriman. Tidak kah mereka tahu yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka lakukan?

Sebenarnya mereka tahu, tetapi lama-lama mereka mengharap Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang mereka telah buat. Allah ‎ﷻ tegaskan dalam ayat ini yang Dia tahu walaupun apa yang mereka cakap dalam hati mereka.

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka nyatakan;

Patutkah mereka buat begitu sedangkan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui? Dalam ayat sebelum ini, mereka berkata-kata sesama mereka dalam perjumpaan rahsia mereka. Allah ‎ﷻ tahu sama ada apa yang mereka zahirkan dengan mulut mereka itu datang daripada hati mereka atau tidak.

Mereka tahu Allah ‎ﷻ tahu, tetapi mereka buat juga. Mereka jadi begitu kerana sifat غَافِلٍ (lalai) mereka yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka tahu dengan akal, tetapi tidak dengan hati mereka. Mereka ini macam baghal yang bawa kitab yang banyak atas belakangnya, tetapi tidak faham sikit pun apa yang diceritakan dalam kitab itu.

Golongan agama zaman sekarang pun ada yang sebegitu juga iaitu ulama’ yang mendapat upah. Mereka rahsiakan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Jangan sangka ayat-ayat dalam Surah Baqarah ini tentang orang Yahudi sahaja. Allah ‎ﷻ kisahkan tentang perbuatan mereka supaya kita tidak jadi macam mereka.

Ada orang Islam yang takut hendak ceritakan tentang semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Mereka simpan ayat-ayat yang mereka rasa ‘kontroversi’. Mereka takut orang ramai akan pandang serong kepada mereka. Padahal itu hanya perasaan mereka sahaja. Tidak ada ayat yang sepatutnya disembunyikan.

Seluruh ayat Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ turunkan adalah untuk kebaikan semua manusia di dunia – bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada semua orang – tidak kira Muslim atau kafir. Jangan jadi takut dengan apa yang ada dalam Islam. Islam adalah agama yang benar.

Yang jadi takut hendak sampaikan itu adalah kerana tidak belajar sahaja dan tidak yakin dengan agama Islam. Mereka tidak belajar sampaikan mereka tidak faham tentang keindahan Al-Qur’an dan Islam dan akhirnya mereka sendiri sangsi dengan agama mereka sendiri sampaikan mereka tidak yakin untuk sampaikan kepada manusia.

Sebenarnya, banyak orang bukan Islam yang hendak tahu tentang Islam. Jadi kita kena pandai jawab. Kalau tidak, mereka tidak akan faham dan mereka akan jadi salah faham tentang Islam. Memang ada orang yang ada perasaan jahat dalam hati mereka, dan mereka tanya bukan hendak tahu tetapi hendak mencari salah.

Namun, walau pun begitu, kita masih juga kena jawab kerana kita tidak boleh simpan kebenaran. Berusahalah belajar supaya kita faham dan kita dapat menyebarkan Islam dengan benar, dengan yakin dan tidak sangsi dengan agama sendiri.

Tafsir Ayat Ke-78

Ini pula tentang orang awam Yahudi yang kebanyakannya jahil dengan agama mereka sendiri.

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ الكِتابَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ

Dan diantara mereka itu adalah mereka yang buta huruf;

Ummiy itu asalnya adalah daripada makna ‘ibu’. Apabila dikatakan seseorang itu ‘ummiy‘, ia bermaksud orang itu tidak tahu apa-apa, sama seperti dia baru keluar dari perut ibunya. Oleh itu, ia juga digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta huruf tidak tahu membaca sebab apabila kita keluar dari perut ibu kita, kita pun tidak tahu membaca.

Maksudnya mereka yang tidak tahu apa-apa tentang isi kandungan Kitab Taurat mereka. Mereka itu adalah orang-orang dari kalangan puak Yahudi. Mereka itu buta huruf dan tidak belajar Kitab Taurat.

‘Ummiyyun’ juga digunakan kepada sahabat Nabi tetapi para sahabat cuma tidak tahu menulis dan membaca sahaja, tetapi mereka belajar agama dan faham Al-Qur’an. Puak Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah jenis yang tidak belajar kitab. Tidak tahu isi kitab Taurat mereka sendiri.

لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ

mereka tidak mengetahui tentang kitab;

Mereka tidak tahu tafsir kitab Taurat dan kebanyakan orang Islam pun begitu juga, tidak tahu tafsir Al-Qur’an. Majoriti masyarakat Islam hari ini tidak mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Mereka sangka mereka sudah Islam sebab mereka solat, puasa, pakai tudung kepala dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka tidak faham agama pun.

إِلَّا أَمَانِيَّ

melainkan cerita-cerita dongeng yang tiada bukti;

Melainkan mereka hanya tahu khayalan-khayalan tahyul yang disampaikan oleh ulama’ mereka sahaja kerana mereka bodoh dan tidak belajar, senang sahaja mereka kena tipu oleh ulama’ mereka.

Sama juga macam orang kita yang jahil wahyu. Ramai daripada masyarakat kita yang ikut tarekat sebab hendak cepat naik maqam dalam agama. Mereka ada guru-guru mereka tetapi yang mereka tidak tahu adalah, apa yang disampaikan oleh guru mereka itu adalah ilmu khayalan sahaja. Tahyul sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka itu.

Dalam Al-Qur’an ia dipanggil ‘angan-angan kosong hendak dapat syurga’. Belajar agama dan tafsir Al-Qur’an tidak mahu, tetapi berangan hendak masuk syurga. Mereka sangka mereka boleh dapat kedudukan tinggi dalam syurga hanya berbekalkan zikir-zikir wirid karut mereka itu.

Ibn Abbas menafsirkan ayat ini dengan mengatakan maksudnya: Bani Israil itu hanya membaca dan menghafal sahaja kitab Taurat itu tanpa memahaminya. Mereka memang baca terutama dalam majlis-majlis keramaian mereka.

Ini samalah dengan masyarakat Islam kita hari ini. Ada yang hari-hari boleh baca Al-Qur’an tetapi mereka tidak faham ajaran di dalamnya. Ada yang belajar bertahun-tahun hafal Al-Qur’an, tetapi tak tahu apakah makna Al-Qur’an yang hendak Allah ‎ﷻ  sampaikan. Mereka itu tidak ubah macam burung Kakak Tua, hanya tahu cakap sahaja, tetapi tidak tahu apa yang dicakapkan.

Jadi, kalau kita pun begitu juga, kita sudah jadi macam orang Yahudi yang jahil itu. Maknanya, sejarah berulang. Kalau orang yang ada agama dahulu begitu, orang Islam kita pun begitu juga. Al-Qur’an hanya menjadi bacaan sahaja, dibaca di keraian, di majlis-majlis tertentu. Kalau pun selalu dibaca di rumah, tetapi tidak difahami oleh mereka yang membacanya.

وَإِنْ هُمْ

Dan sesungguhnya mereka;

Iaitu orang-orang Yahudi yang buta huruf dan jahil itu tadi, tidak kira sama ada dia orang Islam atau tidak.

إِلَّا يَظُنُّونَ

tidak lain dan tidak bukan, mereka hanya agak-agak sahaja;

Mereka yang jahil tidak belajar tafsir (Taurat atau Al-Qur’an) itu hanya boleh baca terjemahan sahaja dan kemudian mereka agak-agak maksudnya. Ini amat bahaya.

Kita tidak boleh agak-agak apakah yang Allah ‎ﷻ suka dan tidak suka kita lakukan. Kita hendaklah melihat apakah dalil dan nas yang ada dalam sumber-sumber agama kita – nas itu adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Namun, yang menyedihkan banyak dalam kalangan orang Islam kita tiada membawakan bukti apabila mereka mengatakan sesuatu tentang agama.

Hujah-hujah mereka kebanyakannya adalah selain daripada wahyu.  Jika mereka menyampaikan hujah daripada Al-Qur’an dan Hadith, ia amat berlainan daripada pemahaman yang sebenar. Ini kerana mereka tidak belajar faham Al-Qur’an dan Hadith seperti yang difahami oleh para sahabat dan golongan salaf.

Sama sahaja apa yang dikatakan tentang puak Yahudi dalam ayat ini dengan umat Islam zaman sekarang. Mereka agak-agak sahaja tentang hal agama. Contohnya, mereka akan kata: “takkan Allah ‎ﷻ tak beri pahala kalau kita buat ibadat ini kalau kita ikhlas, walaupun Nabi tak pernah buat pun?” Ini adalah kerana mereka tidak tahu agama dengan jelas. Mereka jahil tentang agama, oleh kerana itu mereka agak-agak sahaja.

Yang jadi masalahnya adalah mereka sangka mereka tahu. Padahal mereka tidak tahu agama. Masalah yang paling besar adalah apabila orang bodoh tidak tahu yang mereka bodoh. Ini dipanggil ‘jahil murakkab’. Kalau mereka tahu mereka bodoh, kita boleh ajar mereka lagi dan mereka akan terima kerana mereka tahu mereka tidak tahu.

Namun, mereka sangka mereka sudah tahu, bila kita hendak ajar, mereka tidak mahu terima. Inilah yang dipanggil Jahil Murakkab – orang yang bodoh tetapi tidak tahu mereka bodoh!

Tafisr Ayat Ke-79

Ayat ini adalah berkenaan dengan Pendeta Yahudi yang mempersendakan ugamanya sendiri.

فَوَيلٌ لِلَّذينَ يَكتُبونَ الكِتابَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَهُم مِمّا يَكسِبونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah ‎ﷻ  dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah ‎ﷻ ”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ

Dan celaka besarlah bagi orang-orang;

Iaitu pendeta-pendeta Yahudi itu dan mereka yang sifat seperti mereka.

يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ

yang menulis kitab dengan tangan mereka sendiri;

Mereka menulis tafsir Kitab Taurat atau mereka menulis kitab-kitab agama. Orang agama kita pun ada yang buat macam ini. Menulis tentang cerita-cerita daripada ayat-ayat Al-Qur’an atau kitab-kitab tentang agama iaitu mereka menulis maklumat yang salah daripada akidah dan kefahaman Islam.

Ulama’ Yahudi telah menukar kitab mereka. Memang mereka tukar betul daripada teks yang ada. Mereka boleh buat kerana Taurat bukan macam Al-Qur’an. Tidak ada jaminan yang Taurat tidak boleh ditukar.  Orang awam mereka memang tidak dapat melihat keseluruhan Kitab Taurat kerana ia disimpan oleh pendeta mereka.

Pendeta mereka hanya akan tunjukkan sebahagian sahaja. Ini supaya senang mereka hendak dakwa: ya ini memang ada dalam Taurat dan kerana orang awam mereka tidak dapat tengok kitab Taurat yang asli, mereka senang ditipu.

Allah ‎ﷻ telah jamin Al-Qur’an tidak boleh ditukar tetapi walaupun kita tidak tukar perkataan yang dalam Al-Qur’an, tetapi ada orang yang menukar maksud hukum-hukum dalam Al-Qur’an. Mereka telah terjemah hukum-hukum dalam Al-Qur’an ikut agenda mereka.

Mereka ubah hukum yang Allah ‎ﷻ telah jelaskan dalam Al-Qur’an dengan hukum yang lain. Sebab mereka kata hukum dalam Al-Qur’an itu ketat sangat.

ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Kemudian mereka berkata, “Ini adalah dari Allah ‎ﷻ ”;

Mereka kata bahawa apa yang mereka buat itu adalah daripada Allah ‎ﷻ atau mereka kata itu adalah sebahagian daripada agama, padahal ia tidak berpandukan nas yang sahih.

Sebagai contoh, ada kitab yang mengajar amalan-amalan wirid. Macam-macam jenis wirid yang mereka reka dan mereka kata ia daripada Allah ‎ﷻ  atau mereka kata ia adalah baik. Mereka kata kalau amalkan begitu begini akan dapat pahala begitu begini. Mereka tidak membawa dalil pun sebagai hujah mereka.

Banyak buku-buku amalan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang bersepah. Sesiapa sahaja boleh beli dan mereka memang sangka ia adalah amalan yang baik. Padahal, ia adalah amalan yang salah. Ada daripada amalan-amalan itu yang mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Mereka yang buat buku-buku itu adalah kerana hendak mendapatkan duit. Padahal sebenarnya kalau mereka menceritakan tentang amalan-amalan ibadat, mereka kena bawa dalil hadith, sumber dari mana datangnya amalan itu. Kena beritahu juga nama kitab hadith yang mana dia ambil supaya senang kita hendak periksa benar atau tidak sebab ada sekarang yang senang-senang sahaja kata ian daripada kitab Bukhari dan sebagainya, tetapi bila diperiksa, tidak ada pun.

Jika hendak ambil daripada kitab, kena ambil daripada kitab yang muktabar tetapi yang mereka bawa sumber adalah daripada kitab yang bukan daripada kitab yang muktabar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bukan semua kitab karangan manusia boleh dipercayai. Memang kita kena berhati-hati dalam perkara ini.

Hadith-hadith yang di dalam kitab-kitab hadith tidaklah sama antara mereka. Ada yang sahih dan ada yang tidak. Mana-mana hadith yang sahih telah dimasukkan ke dalam dua Kitab Hadith yang utama (Bukhari dan Muslim). Selain daripada itu, kena diperiksa sama ada hadith itu adalah betul ataupun tidak.

Banyak sekali hadith yang dhaif dan palsu. Antara hadith yang palsu adalah hadith tentang ‘Nur Muhammad’. Fahaman ini banyak dalama kalangan masyarakat kita, terutama golongan tarekat, iaitu mereka percaya bahawa segala kejadian alam ini adalah daripada Nur Muhammad. Sumber mereka adalah hadith palsu tetapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar hadith.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an ini, iaitu mereka memalsukan hadith dan mengatakan ia adalah daripada Allah ‎ﷻ .

Maka, berhati-hatilah dengan amalan-amalan yang tidak diambil daripada amalan yang sahih daripada Nabi Muhammad. Ada amalan yang mengandungi elemen syirik. Sia-sia sahaja kita amalkan. Bukan memberi pahala kepada kita, tetapi memasukkan kita ke dalam neraka pula. Contohnya, amalan Selawat Syifa’. Amalan itu bukan daripada Nabi dan daripada lafaz Selawat Syifa’ itu, meletakkan kuasa menyembuh kepada Nabi dan ini tentunya syirik dengan jelas.

Padahal cara selawat telah diajar dalam kitab-kitab hadith. Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam selawat-selawat yang diajar Nabi itu, tidak ada perkataan ‘Sayyidina’ sebelum nama Nabi Muhammad. Tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith yang muktabar yang menggunakan lafaz ‘sayyidina’ sedemikian.

Perkataan ‘Sayyidina’ itu maknanya adalah ‘penghulu’. Panggilan itu tidak sesuai digunakan kepada Nabi Muhammad. Bayangkan kalau sultan melawat rumah kita, kita panggil dia dengan gelaran ‘penghulu’. Itu pun sudah tidak sesuai tetapi kita meletakkan gelaran yang tidak sesuai itu kepada Nabi kita sendiri. Padahal gelaran yang diberi Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an kepada Nabi adalah ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ sahaja.

Kenapa mereka menulis kitab yang tidak benar dan mengatakan pula ia adalah daripada Allah ‎ﷻ ?

لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Supaya mereka dapat tukar yang mereka tulis itu dengan upah yang sedikit;

Mereka jual benda yang salah itu untuk mendapat upah dan habuan keduniaan juga mereka mahukan pengaruh dan jadi tersohor.  Ini adalah mudah kerana pengikut-pengikut yang jahil memang hendakkan perkara yang mudah sahaja.

Pendeta Yahudi dulu memang tukar Taurat untuk ubah fatwa agama mereka supaya mereka mendapat bayaran. Kalau ada yang datang kepada mereka dengan meminta hukum, mereka akan beri hukum ikut kehendak orang yang bertanya dan kemudian mereka diberi upah.

فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ

Maka celaka besarlah bagi mereka daripada apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka;

Ini adalah celaka yang kedua.

وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Dan celakalah bagi mereka daripada hasil yang mereka dapat;

Iaitu mereka menggunakan apa yang mereka tulis itu untuk dapat upah dan kemudian mereka mengajar pula untuk mendapat rezeki dan rezeki yang mereka dapat itu adalah haram. Ia lebih haram lagi daripada riba. Dalam Al-Qur’an, ia dipanggil ‘suhtun’.

Ada yang tidak berani hendak cakap perkara yang benar semasa mengajar sebab takut nanti mereka tidak dipanggil mengajar lagi di masjid itu. Maka, mereka sembunyikan kebenaran. Mereka juga tidak berani tegur kesalahan yang dilakukan oleh pelajar mereka. Ini adalah kerana mereka takut periuk nasi mereka terganggu. Ini juga adalah salah.

Allahu a’lam.

Fiqh Asasi Sunnah: Kitab Salat – Waktu-waktu Haram Salat, Salat Sunat Kemudiannya Iqamat, Salat Bersebab Pada Waktu Haram

0

F. Waktu-waktu dilarang mengerjakan salat

Waktu-waktu yang dilarang salat adalah:

1. Setelah salat subuh hingga matahari terbit;
2. Ketika matahari sedang terbit hingga setinggi tombak (iaitu bersamaan 16 minit selepas matahari mula terbit);
3. Ketika tengahari iaitu matahari tegak di atas kepala;
4. Ketika matahari akan terbenam (dari waktu langit kekuning-kuningan);
5. Setelah salat ‘Asar hingga matahari terbenam.

📍Pengecualian:
1. Di Tanah Haram Mekah. Tiada waktu haram;
2. Hari Jumaat. Tidak haram pada waktu tengahari tersebut.

✍🏻Hadith yang berkenaan perkara ini ialah:

ثلاث ساعات كان رسول الله صلى الله عليه و سلم ينهانا أن نصلي فيهن أو أن نقبر فيهن موتانا حين تطلع الشمس بازغة حتى ترتفع وحين يقوم قائم الظهيرة حتى تميل الشمس وحين تضيف الشمس للغروب حتى تغرب

Tiga waktu Nabi ﷺ melarang kami sembahyang dan mengebumikan mayat padanya;
i) Ketika terbit matahari, sehingga naik tinggi;
ii) Ketika matahari berada di kemuncak pertengahan, sehingga tergelincir;
iii) Ketika matahari mula terbenam, sehinggalah ia terbenam.”
(HR Muslim No. 831)

✍🏻Selain itu ada disebutkan dalam hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس

Daripada Abi Hurairah رضي الله عنه:

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang daripada mengerjakan salat selepas ‘Asar sehingga terbenam matahari dan salat selepas Subuh sehingga terbit matahari.”
(Sahih Muslim No. 1366, Sahih Bukhari No. 553, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Nasaie dan Imam Ahmad.)

Dibenarkan melaksanakan apa-apa sahaja jenis salat di tanah suci Mekah tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang.

✍🏻Pendapat ini adalah yang sahih dalam mazhab Syafi‘iy dan disokong dengan hadith Rasulullah ﷺ, sabda Baginda ﷺ:

Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang Tawaf di rumah ini (Baitullah) dan salat pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 795)

Syarah:
Ini adalah kerana, kelebihan yang ada pada Kota Mekah yang tiada pada tempat-tempat lain.

✍🏻Tentang pengecualian pada Hari Jumaat dijelaskan dalam sebuah hadith daripada Abu Qatadah daripada Nabi ﷺ, katanya:

“Bahawasanya Baginda ﷺ membenci salat pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat.” dan Baginda ﷺ bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahanam dimarakkan (pada ketika itu) melainkan pada hari Jumaat.”
(Sunan Abu Daud No. 915)

Syarah:
Sanad hadith ini dhaif. Namun amalan sahabat sabit juga melakukan salat sunat sebelum Jumaat. Pendapat ini juga dipilih oleh jumhur ulama’.

Berkata Imam Malik, aku tidak melarang sesiapa yang salat. Pada masa yang sama, aku juga tidak suka amalan itu sebab ada hadith larangan Nabi ﷺ.

Pandangan yang dipilih oleh Ibn Hajar pula ialah, ia boleh diamalkan kerana sabit hadith ini diperkuatkan oleh hadith-hadith yang sama makna dengan jalan yang lain.

Terdapat riwayat menyebut sahabat terus menerus salat sunat sementara menunggu Nabi ﷺ ke mimbar.

Walau bagaimanapun, hadith ini dhaif juga. Maka seeloknya tidak diamalkan kerana sabit jelas larangan Nabi ﷺ dalam hadith riwayat Muslim tanpa menyebut hari Jumaat, waAllahu a’lam.

Kenapakah terdapat larangan pada waktu-waktu yang tersebut di atas?

✍🏻Berhubung dengan persoalan sebab-sebab larangan tersebut, telah dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah ﷺ:

“Beritahulah kepadaku mengenai salat?”

Lalu baginda ﷺ menjawab:

Kerjakanlah salat Subuh, kemudian berhentilah daripada salat sehingga matahari terbit sehingga ia naik. Sesungguhnya pada ketika matahari terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah salat kerana sesungguhnya salat itu disaksikan dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.

Kemudian berhenti daripada salat pada ketika itu (sewaktu matahari tegak di atas kepala) kerana Neraka Jahanam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah salat kerana sesungguhnya salat itu disaksikan dan dihadiri (Malaikat) sehingga engkau mengerjakan salat ‘Asar. Berhentilah daripada salat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”
(Riwayat Muslim No. 832)

G. Salat Sunat Tidak Lama Kemudiannya Iqamat

Ini selalunya terjadi ketika kita memasuki masjid atau surau dan kita terus mengerjakan Salat Tahiyatul Masjid. Belum sempat kita habis lagi, muazzin mengumandangkan iqamat. Sedangkan kita masih mengerjakan salat Tahiyatul Masjid atau apa-apa salat sunat yang lain (sementara menunggu Imam sampai).

📍Maka apakah yang harus dilakukan? Adakah meneruskan dan menghabiskan salat sunat itu ataupun tidak?

Dalil yang berkenaan berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه yang mana Rasulullah ﷺ telah bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

“Jika sudah diiqamatkan salat, maka tidak ada salat melainkan salat maktubah (fardhu).”
(Riwayat Muslim No.710)

Salat fardhu lebih utama daripada mana-mana salat sunat. Maka apabila telah dikumandangkan iqamat, telah sampai waktu untuk salat berjemaah. Maka pada waktu itu, salat fardhu lebih utama. Sama ada kita meneruskan salat sunat atau tidak, bergantung kepada keadaan:

1️⃣ Kalau kita rasa sempat habiskan untuk takbiratul ihram dengan imam, maka boleh. Mungkin kita sudah tahu yang selepas iqamah pun bukannya terus salat atau; kita tahu yang imam tetap akan menunggu kita habiskan dahulu salat itu.

2️⃣ Namun, kalau kita rasa tidak sempat untuk takbiratul ihram sekali dengan imam, mungkin kita baru sahaja memulakan salat sunat itu, maka kita disunatkan untuk menghentikan salat sunat itu bagi bergabung dengan jemaah untuk salat fardhu.

Bagaimanakah caranya? Tiada tatacara khusus. Tiada bagi salam atau apa-apa. Terus berhenti sahaja.

H. Salat yang ada sebab tertentu pada waktu larangan

Kita telah sebutkan lima waktu yang memang tidak dibenarkan untuk mendirikan salat. Namun, jika ada suatu sebab yang munasabah, maka DIBENARKAN, contohnya seperti tiga perkara berikut:

1) Sewaktu kesiangan untuk bangun Salat Subuh dan ketika itu matahari sudah terbit, maka tetap diwajibkan untuk Salat Subuh.

2) Begitu juga dengan Salat ‘Asar, sekiranya kita terlambat untuk melakukan salat tersebut dan ketika itu bersamaan dengan masa tenggelamnya matahari, kita tetap diwajibkan untuk melaksanakan salat ‘Asar.

3) Ketika baru tersedar daripada pengsan atau baru pulih daripada penyakit gila, maka tetap dituntut untuk melaksanakan salat yang tertinggal.

Adapun salat sunat (nawafil) yang mana mempunyai sebab (untuk melakukannya) seperti Salat Tahiyatul Masjid, Sujud Tilawah dan Syukur, Salat al-‘Eid, Salat al-Kusuf, Salat Jenazah dan juga qadha’ salat fardhu yang ditinggalkan, maka mazhab Asy-Syafi’iy mengharuskan tanpa memakruhkannya.

Adapun mazhab Abu Hanifah dan yang lainnya tidak membenarkan kerana termasuk dalam keumuman larangan hadith.

Popular

Iklan

Iklan