Utama Blog Halaman 35

La Tahzan 228: Dua golongan yang saling bertengkar di sisi Tuhannya (هَذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ )

0

La Tahzan 228: Dua golongan yang saling bertengkar di sisi Tuhannya (هَذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ )

Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ

Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.”

(HR Muslim No. 4679)

Fiqh hadith:
Semua hak akan dituntut, kezaliman akan terbalas di hadapan Allah ‎ﷻ kelak, hatta kezaliman antara haiwan seperti kambing pun jika iia menanduk tanpa hak, akan dibalas di hadapan Allah ‎ﷻ.

🎵 Syair Arab:

مثِّلْ أنفْسِك أيُّها المغرورُ يوم القيامةِ والسَّماءُ تمورُ
هذا بلا ذنبٍ يخافُ لِهوْلِهِ كيف الذي مرَّتْ عليهِ دُهُوُرُ

Bayangkan dirimu duhai orang yang tertipu…
Berada pada hari Kiamat dan langitpun berkecamuk

Orang yang tidak berdosa pun takut dengan kedahsyatannya (Kiamat)
Apatah lagi dengan orang yang bergelumang dengan dosa

Sesi Bual Ilmu Ukhuwah: Islam dan Muslim di Jepun

0

Sesi Bual Ilmu Ukhuwah:  Islam dan Muslim di Jepun

Tarikh: Ahad 27 Disember 2020

Masa: 9.00 malam – 11.15 malam

Tempat: ‘Live’ FB Ukhuwah dan YouTube

Penyampai: En Hafiz Hilman Mohammad Sofian, pelajar Ph.D Shibaura Institute of Technology, Jepun.

Perkongsian pengalaman mengenai budaya, cara hidup dan aktiviti masyarakat Islam di Jepun.

uito.org

La Tahzan 227: Masa terus Berputar (لا تحزنْ ، فإنَّ الأيام دُوَلٌ)

0

⏱⏱⏱⏱

La Tahzan 227-1: Masa terus Berputar (لا تحزنْ ، فإنَّ الأيام دُوَلٌ)

سَجَنَ ابنُ الزبير محمد بن الحنفيَّةِ في سجنِ (عارمٍ) بمكة ، فقال كُثير عزة :
وما رونقُ الدُّنيا بباقٍ لأهلها وما شدَّةُ الدُّنيا بضرْبةِ لازِمِ
لهذا وهذا مُدَّةٌ سوف تنقضي ويُصبِحُ ما لاقيتُهُ حلم حالكِ

Abdullah bin Az Zubair (w.73H)* telah memenjarakan Muhammad bin Al Hanifiyah (w.81H)** di penjara Arim di Mekah. Kuthayyir Azzah (w.105H)*** melantun sebuah syair:

🎵
Keindahan dunia tidaklah kekal bagi pemiliknya
Kesulitan yang menimpa seseorang bukanlah suatu noktah akhir buatnya;

Masing-masing dari keduanya mempunyai kitaran masa tersendiri
yang pasti akan berlaku
dan semua yang aku alami, seperti mimpi di siang hari.


*⃣ Ini merupakan kisah selepas Yazid bin Muawiyah menjawat jawatan khalifah selepas ayahnya amir Mu’awiyah bin Abu Sufyan رضي الله عنه.

Ada tiga orang yang memberontak:

  • Abdullah bin Zubair رضي الله عنه yang melarikan diri ke Mekah dan menobatkan dirinya sebagai Khalifah Hijaz.
    Husin bin Ali juga melarikan diri ke Mekah dan kemudian ke Iraq, akhirnya syahid di Karbala
    ** Muhammad bin Al Hanafiyah adalah juga anak Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه daripada isterinya bernama Khaulah daripada bani Hanifah Yaman. Beliau juga menetap di Mekah dan enggan berbaiah dengan Ibn Zubair, lantas Ibn Zubair memenjarakan beliau di penjara Arim, di jalan menghala ke Thaif.

*** Manakala Khuthayyir Azzah atau Khathir bin Abd Rahman Al Aswad adalah penyair era Ummayah, wafat 105H, beliau bersimpati dengan Muhammad bin Al Hanafiyah.

⏱⏱⏱⏱

La Tahzan 227-2: Masa terus Berputar (لا تحزنْ ، فإنَّ الأيام دُوَلٌ)

وتأمَّلتُ بعد هذا الحدث بقرونٍ، فإذا ابنُ الزبيرِ وابنُ الحنفية وسِجْنُ عارمِ كحلمِ حالمٍ

Apabila kita lihat kembali kisah ini (Kisah salah faham antara Ibn Zubair dengan Muhammad al Hanafiyah) beberapa abad kemudian, ternyata , Ibn Zubair, Ibn Hanafiyah, penjara Arim hanyalah sebuah mimpi (ngeri). Firman Allah ‎ﷻ:

هَلْ تُحِسُّ مِنْهُمْ مِنْ أَحَدٍ أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

Adakah kamu melihat seorangpun daripada mereka atau kamu dengar suara mereka yang samar-samar?

[Maryam: 98]

مات الظالمُ والمظلومُ والحابسُ والمحبوسُ .
كلُّ بطَّاحٍ مِن الناسِ له يومٌ بطوحٌ

Keduanya telah pergi, baik siapa yang menzalimi dan dizalimi, yang memenjarakan dan dipenjarakan, semuanya telah pun mati.
Setiap yang melukai seseorang akan memiliki hati yang penuh luka.

La Tahzan 226: Perhatikan keajaiban Ciptaan Allah ‎ﷻ di Alam semesta (واقرأْ عجائب خلقِ اللهِ في الكونِ)

0

🐳🐳🐳🐳

La Tahzan 226-1: Perhatikan keajaiban Ciptaan Allah ‎ﷻ di Alam semesta (واقرأْ عجائب خلقِ اللهِ في الكونِ)

وطالِعْ غرائب صُنعِهِ في المعمورةِ ، تجدِ العَجَبَ العُجابَ ، وتقضي على همومِك وغمومِك ، فإنَّ النَّفْس مُولعةٌ بالطَّريفِ الغريبِ

Perhatikanlah keajaiban ciptaan Allah ‎ﷻ di jagat raya nescaya ia dapat melenyapkan segala kesusahan dan kesedihan kamu. Ini kerana jiwa manusia mudah teruja dengan sesuatu yang mencarik adat (aneh dan asing).

Kisah ajaib para sahabat menemui ikan paus terdampar di pantai laut merah. Para sahabat yang kehabisan bekalan makanan, tiba-tiba mereka menemui ikan paus yang mati di pantai.

رَوَى البخاريُّ ومسلمٌ ، عنْ جابرِ بن عبدِاللهِ رضي اللهُ عنه ، قال : بَعَثَنا رسولُ اللهِ – صلى الله عليه وسلم – ، وأمَّر علينا أبا عبيدة ، نتلقَّى عِيراً لقريشٍ ، وزوَّدنا جِراباً منْ تمرٍ لمْ يجِدْ لنا غَيْرَه ، فكان أبو عبيدة يُطينا تمرةً تمرةً .
قال – الراوي عنْ جابرٍ – : فقلتُ : كيف كنتُمْ تصنعون بها ؟ قال : نمصُّها كما يمُصُّ الصَّبيُّ ، ثمَّ نشربُ عليها من الماءِ ، فتكفينا يومنا إلى الليلِ ، وكنَّا نضربُ بِعصيِّنا الخَبَطَ – أي ورق الشجرِ – ثم نبُلُّه فنأكُلَهُ .
قال : وانطلْقْنا على ساحلِ البحرِ فإذا شيءٌ كهيئةِ الكثيبِ الضخمِ – أي كصورةِ التَّلَّ الكبيرِ المستطيلِ المُحْدَوْدبِ من الرملِ – فأتيناهُ ، فإذا هي دابَّةٌ تُدعى العَنْبَرَ . قال : قالَ أبو عبيدة : ميْتةٌ . ثم قال : لا بلْ نحنُ رُسُلُ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – ، وفي سبيلِ اللهِ ، وقدْ اضطُررْتُم فكُلُوا . قال : فأقمْنا عليه شهراً ونحنُ ثلاثمائة حتى سمِنَّا . قال : ولقدْ رأيتُنا نغترفُ منْ وَقْبِ عينِه – أي منْ داخلِ عينِه – ونفرقُها بالقلالِ – أي بالجرارِ الكبيرةِ – الدُّهْنَ ، ونقتطعُ منه الفِدر – أيْ القِطع – كالثورِ أو قدْرِ الثورِ . فلقدْ أخذ منا أبو عبيدة ثلاثة عشرَ رجلاً ، فأقعدهم في وقبِ عينِهِ ، وأخذ ضلعاً منْ أضلاعِهِ فأقامها ، ثمَّ رحَّل أعظم بعيرٍ ، ونظر إلى أطولِ رجُلٍ فحملهُ عليهِ ، فمرَّ منْ تحتِها .
وتزوَّدْنا منْ لحْمِه وشائِق ، فلمَّا قدمْنا المدينة ، أتينا رسول اللهِ – صلى الله عليه وسلم – ، فذكرنا له ذلك ، فقال : (( هو رزقٌ أخرجه اللهُ لكمْ ، فهل معكمْ منْ لحمِهِ شيءٌ فتُطعمونا ؟ )) ، قال : فأرسلْنا إلى رسولِ اللهِ – صلى الله عليه وسلم – ، فأكل منه

Daripada Jabir رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah mengutus kami, baginda mengangkat Abu Ubaidah bin Al Jarrah رضي الله عنه menjadi pemimpin kami, meminta bantuan unta (untuk berperang) kepada kaum Quraisy. Kami hanya berbekal beberapa bungkus kurma, maka Abu Ubaidah رضي الله عنه memberikan kurma secara satu-persatu kepada kami, kami pun menghisapnya, persis seorang anak kecil, lalu kami minum air. Ternyata makanan itu cukup hingga malam hari. Kemudian kami menghancurkan kurma (yang tersisa) dengan tongkat yang kami bawa, selanjutnya kami mencampurinya dengan air kemudian kami makan bersama. Setelah cukup beristirehat, kami melanjutkan perjalanan melalui jalur pantai, lalu dari kejauhan terlihat seperti bukit pasir yang besar. Kami lalu mendekatinya, ternyata benda itu adalah seekor binatang laut yang terdampar, yang biasanya disebut Al Anbar (jenis ikan besar). Abu Ubaidah رضي الله عنه berkata, “Binatang ini sudah mati, tentu tidak boleh kita makan!” Sahabat yang lain berkata, “Tidak, itu halal (boleh dimakan) kerana kita adalah utusan daripada utusan Allah ‎ﷻ (maksudnya utusan Rasulullah ﷺ) dan dalam perjalanan untuk berjuang di jalan Allah ‎ﷻ, apatah lagi kita dalam keadaan darurat kerana kehabisan makanan. Jadi, makanlah.” Kami pun memakannya sebulan lamanya. Kami saat itu berjumlah kurang lebih tiga ratus orang perajurit, hingga badan kami menjadi gemuk. Ketika kami menghadap Rasulullah ﷺ, kami menceritakan hal itu kepada baginda. Baginda kemudian bersabda, “Itu adalah rezeki yang telah disediakan Allah ‎ﷻ untuk kalian semua. Apakah kalian masih menyisakannya untukku?” Kami lalu memberikannya kepada Rasulullah ﷺ dan baginda pun terus memakannya.

(Sahih Sunan Abu Daud, 3840 juga dalam sahih Bukhari dan Muslim)

Syarah:

Ia berlaku pada tahun 9 hijrah, Nabi ﷺ mengutus satu pelatun daripada 300 orang mujahidin untuk mengintip laluan Quraish pada laluan jalan pantai Laut Merah (Yanbu-Jeddah-Mekah). Ini berlaku setahun sebelum perjanjian Hudaibiyah. Mereka kehabisan makanan tetapi ditakdirkan mereka menemui bangkai ikan paus yang baru mati, maka mereka memakannya dan mmbawa balik sebahagian kepada Nabi ﷺ dan baginda pun memakannya.

Apakah keajaibannya?

💫 Pertolongan Allah‎ ﷻ kepada mujahidin-Nya ketika mereka di ambang kebuluran, maka Allah ‎ﷻ menghantar ikan paus.

💫 Hukum bangkai ikan boleh dimakan.

💫 Keajaiban daging ikan paus tidak mereput dan membusuk, walaupun sebulan tanpa disejukbekukan.

💫 Hukum halalnya memakan ikan paus.

☄☄☄☄

La Tahzan 226-2: Perhatikan keajaiban Ciptaan Allah di Alam semesta (واقرأْ عجائب خلقِ اللهِ في الكونِ)

Keajaiban Kosmologi (sains kajian permulaan alam dan pembinaan jagat raya)

ذكر الدكتورُ زغلولُ النجّارُ الدارسُ للآياتِ الكونيةِ – في إحدى محاضراتِه – أنَّ هناك نجوماً انطلقتْ منْ آلافِ السنواتِ ، وهي في سرعةِ الضوءِ ، ولم تصلْ حتى الآن إلى الأرضِ ، وما بقي إلا مواقعُها * فَلَا أُقْسِمُ بِمَوَاقِعِ النُّجُومِ *

Menurut Prof. Dr Zaghlul an Najjar (86 tahun, Egypt, phD Wales dalam bidang geologi) yang banyak melakukan penyelidikan tentang ayat-ayat kauniah (kosmologi) dalam Al-Qur’an menyatakan dalam syarahannya, nun jauh di angkasa lepas terdapat komet-komet yang bergerak ribuan tahun pada kelajuan cahaya (“speed of light”), namun sampai sekarang belum sampai ke orbit bumi. Yang tersisa cuma orbitnya sahaja. Firman Allah ‎ﷻ:

فَلَآ أُقْسِمُ بِمَوَٰقِعِ ٱلنُّجُومِ

Aku bersumpah dengan waktu jatuhnya bintang bintang.

[Al Waqi’ah: 75]

🏜🏜🏜🏜

La Tahzan 226-3: Perhatikan keajaiban Ciptaan Allah di Alam semesta (واقرأْ عجائب خلقِ اللهِ في الكونِ)

Keajaiban haiwan padang pasir

Firman Allah ‎ﷻ:

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَىٰ كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَىٰ

Dia yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk

[Thahaa: 50]

النملةُ تدَّخِرُ قُوتها من الصيفِ للشتاءِ ؛ لأنَّها لا تخرجُ في الشتاءِ ، فإذا خشيتْ أنْ تنبت الحبَّةُ ، كسرتْها نصفين ، والحيَّةُ في الصحراءِ إذا لم تجدْ طعاماً ، نصبت نفسها كالعودِ ، فيقعُ عليها الطائرُ فتأكلهُ

Antara keajaiban semut, semut akan menyimpan makanan di musim panas untuk menghadapi musim sejuk, jika semut risau dengan biji yang disimpannya akan tumbuh, maka mereka membelahnya menjadi dua.

Manakala ular padang pasir (salah satu cara mendapatkan makanan), ia menegakkan badannya seperti dahan kayu supaya burung hinggap dan lantas dapat memakannya.

💥💥💥💥

La Tahzan 226-3: Perhatikan keajaiban Ciptaan Allah di Alam semesta (واقرأْ عجائب خلقِ اللهِ في الكونِ)

Teori Big Bang

وقد ذكر علماءُ الفلكِ أنَّ الكون لا يزالُ يتَّسعُ شيئاً فشيئاً كما تتَّسع البالونةُ : *وَالسَّمَاء بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ * . وذكروا أنَّ الأرض اليابسة تنقصُ ، وأنَّ المحيطات تتَّسعُ ، * أَوَلَمْ يَرَوْاْ أَنَّا نَأْتِي الأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا *

Para ahli astronomi* berpendapat alam semesta terus mengembang sedikit demi sedikit seperti belon. Firman Allah ‎ﷻ:

وَالسَّمَاءَ بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.

[Ad Dzariyat: 47]

Satu lagi fenomena alam ialah wilayah daratan semakin berkurangan..**paras laut beransur naik. Firman Allah ‎ﷻ:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنْقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ

Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangi daerah-daerah (orang-orang kafir), lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya?

[Ar Ra’du: 41]


  • Teori alam sentiasa berkembang ini adalah daripada pakar astronomi USA, Edwin Hubble. m 1953, dengan teori “Big Bang” (Ledakan Mega). Hubble Law menetapkan alam semesta ini dinamik, sejak ia meledak ribu jutaan tahun dahulu, ia terus berkembang dan meluas.

** Daratan semakin hilang disebabkan oleh peningkatan paras laut, pencairan salji di kutub utara dan selatan.

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-64 hingga Ke-66

0

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-64

Ajakan dakwah kepada Ahli Kitab.

Ayat ini menyuruh kita ajak Ahli Kitab kepada Kitab yang sebenarnya iaitu Al-Qur’an. Ajak mereka kepada perkara yang tidak ada perselisihan antara kita dan mereka. Oleh itu kena ajak kepada tauhid, kerana kalau lihat kepada syariat, Taurat lain, Injil lain dan Al-Qur’an pun lain namun ketiga-tiga kitab ini mempunyai persamaan dari segi akidah.

Apabila mengajak mereka, jangan pula menggunakan fatwa ulama’ mereka yang salah kerana salah mereka bukanlah pada kitab itu, kerana kitab itu benar tetapi ulama’ mereka yang telah menyelewengkan agama dengan memberi syarah yang lain daripada yang sepatutnya.

Oleh itu, jangan gunakan fatwa yang melawan wahyu. Begitu juga dengan masyarakat kita, kena gunakan fatwa yang selari dengan wahyu. Kena bandingkan kata-kata manusia dengan wahyu. Kalau selari dengan wahyu barulah boleh boleh digunakan.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain  Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,

Ajak mereka kepada kalimah akidah yang sama kerana sebenarnya akidah kita sepatutnya sama sahaja dengan mereka. Walaupun bangsa Arab daripada keturunan Nabi Ismail عليه السلام dan mereka daripada keturunan Nabi Ishak عليه السلام, tetapi akidah Nabi-Nabi mereka dan Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Kalau dilihat dalam ajaran Nabi mereka dan dalam kitab-kitab suci mereka, pun ada perkara yang sama dalam hal akidah. Nabi Muhammad ﷺ tidaklah pernah tahu atau pernah baca apa yang ada dalam kitab-kitab mereka, tetapi Allah ‎ﷻ telah beritahu baginda bahawa ada persamaan dalam hal akidah antara kita dan mereka. Alhamdulillah, ulama’-ulama’ kita yang mengkaji kitab-kitab suci mereka, walaupun yang ada sekarang, masih ada lagi lafaz-lafaz ajaran tauhid di dalamnya.

Kalaulah mereka boleh menerima ajakan ini, maka tidaklah ada permusuhan antara agama lagi.

Lafaz ‘Ahli Kitab’ juga boleh dikatakan mereka yang ada pengetahuan agama; bukan sahaja Yahudi dan Kristian. Oleh itu, ia boleh merujuk kepada ustaz-ustaz dan ulama’ Islam di negara kita. Mereka pun kita kena ajak juga. Kadangkala kerana mereka sudah lama belajar ajaran pondok dan sudah jauh daripada ajaran wahyu, mereka pun sudah lari daripada akidah yang benar. Antaranya, ramai yang ajar bertawassul dengan para wali pula. Ini tidak boleh.

Apakah perkara-perkara yang sama dalam agama kita dan mereka?

أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ

iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah,

Apa yang sama? Iaitu kita semua sepatutnya hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kepada Yahudi dan Nasara, ingatkan mereka supaya jangan puja Nabi Uzair عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام. Jangan seru dan minta pertolongan dengan mereka.

Ia juga boleh didakwah kepada Musyrikin Mekah juga kerana nama Allah ‎ﷻ ini sudah lama digunakan oleh orang Arab dahulu. Sampai sekarang, orang Arab Kristian juga menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka (God the Father).

Kalau kepada ahli agama negara ini, kita ajak mereka berdoa terus seru kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan seru para Nabi, wali dan malaikat dalam berdoa.

وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun;

Jangan campur pujaan kepada Allah ‎ﷻ dengan pujaan kepada yang lain. Maknanya, jangan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kita sendiri kena faham apa tauhid dan syirik, baru boleh dakwah kepada mereka.

Ramai orang Islam sendiri yang tidak faham tauhid dan apakah syirik itu. Kerana itulah ramai yang melakukan perbuatan dan mempunyai fahaman syirik kerana mereka tidak faham. Ini semua kerana jauh daripada pengajaran wahyu. Manusia sudah tidak kaji wahyu Al-Qur’an dan apa yang dimaksudkan dengan tauhid yang sebenarnya.

وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai rabb-rabb selain daripada Allah

Jangan sembah dan puja makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ sebagai rabb. Juga jangan jadikan mereka sebagai ‘wakil Tuhan’. Mereka pun manusia macam kita juga. Itulah maksud ‘sebahagian daripada kita’ – merujuk kepada makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ.

Namun mereka ada juga berdalih. Mereka kata mereka tidak jadikan selain Allah ‎ﷻ itu, tuhan yang lain. Maka kena belajar tafsir baru faham ayat ini. Ini kerana maksud أَرْبَابًا dalam ayat ini adalah ulama’ dan ahli ibadat. Kalau tidak, memang akan keliru.

Oleh sebab itu mereka berhujah yang mereka kata mereka tidak sujud pun kepada ulama’-ulama’ mereka itu. Mereka sangka kalau ‘sembah’ itu hanya dengan sujud sahaja. Inilah hujah yang diberikan oleh Adi bin Hatim رضي الله عنه, seorang sahabat yang asalnya adalah Kristian. Beliau kata, dalam agama Nasara, mereka tidak menjadikan rahib dan pendeta mereka sebagai tuhan tetapi Nabi ﷺ kata mereka ikut fatwa yang dikeluarkan oleh mereka, dan fatwa itu tidak sama dengan kitab suci mereka. Barulah Adi bin Hatim رضي الله عنه faham dan bersetuju masuk agama Islam.

Begitulah penganut agama mereka susah hendak dibaiki sebab mereka memegang kata-kata daripada ulama’ mereka dan tidak belajar sendiri kitab suci mereka sendiri. Sama jugalah dengan orang kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Apa-apa sahaja yang dikatakan oleh ulama’ dan ustaz, mereka terima bulat-bulat dan tidak periksa dengan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak faham disebabkan tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ berfirman tentang kaum Nasrani dan Yahudi;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” (At Taubah : 31)

Ayat ini ditafsirkan dengan hadith Adi bin Hatim Ath Thoo-i  رضي الله عنه di mana Rasulullah ﷺ membacakan ayat tersebut kepada beliau. Kemudian beliau berkata : “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka”. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda,

أليس يحلون لكم ما حرم الله فتحلونه، ويحرمون ما أحل الله فتحرمونه؟

“Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang Allah haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian mengharamkannya?”. Beliau (Adi bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah ﷺ bersabda,

فتلك عبادتهم

“Itulah (yang dimaksud) beribadah kepada mereka”

Mereka sampai sekarang mengambil “saints” yang mereka kata boleh menyelamatkan mereka. Mereka ada “saints “untuk menjaga keselamatan mereka, “saints” yang pelbagai lagi. Mereka percaya yang “saints” itu menjaga mereka kalau mereka memuja mereka.

Kalau dalam agama Islam pula, “saints” ini umpama seperti para wali. Ada golongan sesat kata ada wali jaga masa, jaga kutub utara, jaga kutub selatan, jaga Malaysia, jaga daerah ini dan sebagainya. Inilah ajaran karut yang telah masuk dalam kalangan umat Islam Malaysia kerana sudah lama jauh daripada wahyu.

Kalau pada zaman dahulu, kekuatan institusi keagamaan puak Nasara amat kuat sampaikan Paus (Pope) boleh mengampunkan dosa orang lain. Mereka mempunyai tanah dan seperti ada kerajaan sendiri. Mereka sehingga menindas orang-orang yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan gereja menyebabkan terjadinya revolusi yang mengakibatkan kuasa mereka telah dikurangkan.

Itu semua asalnya kerana mereka meletakkan kuasa ketua agama mereka terlalu tinggi hinggakan menyebabkan perubahan kepada agama. Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang terjadi kepada mereka, supaya kita pun tidak terjadi seperti mereka. Kata-kata ulama’ tidak bernilai sama sekali kalau ia bercanggah dengan nas daripada Al-Qur’an dan Sunnah tetapi entah berapa ramai yang bila berhujah, menggunakan nama manusia (Ulama’ dan ustaz itu dan ini).

فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

Kalau mereka tolak juga, suruh mereka bersaksi yang kita adalah muslimin iaitu kita muwahhidun – yang menjaga tauhid. Kita tidak sama dengan mereka. Maknanya, kita tetapkan pendirian kita, kalau mereka tidak mahu ikut, itu terpulang kepada mereka. Mereka hendak buat apa, buatlah, tetapi kita tetap berserah diri bulat-bulat kepada Allah ‎ﷻ.

Ini adalah peringatan kepada kita, jangan terima langsung agama mereka. Kalau mereka tidak terima, janganlah kita pula yang cuba hendak bersama dengan mereka. Ini kerana sekarang sudah ada gerakan yang hendak menyatukan agama Islam, Kristian dan Yahudi. Antaranya golongan Liberal yang kata: ‘Sama sahaja semua agama’.

Bukan begitu cara yang Allah ‎ﷻ mahu. Kita ajak mereka, tetapi kalau mereka tidak mahu, tidaklah kita kena cari persamaan dengan agama mereka dan duduk bersama dengan mereka. Selama-lamanya agama mereka tidak akan dapat diterima oleh kita. Hanya ada satu agama yang diterima oleh Allah ‎ﷻ, iaitu Islam.

Tafsir Ayat Ke-65

Ayat-ayat seterusnya akan menyebut lima kedegilan Ahli Kitab yang menghalang mereka untuk menerima tauhid setelah diajak kepada tauhid. Selepas diberitahu dengan dalil-dalil yang sah, mereka masih berdegil juga. Antara sebab mereka susah hendak ikut itu adalah kerana lima kemusykilan ini.

Pertama, mereka kata agama Islam ini adalah agama rekaan Nabi Muhammad ﷺ . Mereka susah untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memperkecilkan baginda kerana mereka melihat bangsa Arab Mekah sebagai bangsa yang buta huruf, tidak tahu membaca, tidak ada Kitab suci dan tidak ada agama sebelum itu. Mereka rasa mereka sudah pandai dan tidak pandang apa-apa sahaja yang datang daripada orang Arab.

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang agama Nabi Muhammad ﷺ inilah yang sama dengan agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka pun terima Nabi Ibrahim  عليه السلام juga sebagai salah seorang Rasul yang besar dan utama. Maka mereka kena terimalah yang Bangsa Arab itu tidaklah hina kerana orang Arab pun keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام dan juga daripada jaluran Nabi Ismail عليه السلام.

Sekarang kita dengar rungutan Allah ‎ﷻ tentang sifat degil mereka. Mereka itu memang degil sejak dahulu lagi.

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani berhujah tentang Nabi Ibrahim,

Teguran pertama kepada mereka adalah: kenapa berdalil dengan menggunakan Nabi Ibrahim عليه السلام? Ini adalah kerana masing-masing Yahudi dan Nasara kata yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu agama Yahudi atau Nasara. Mereka berbantah sesama mereka. Mereka hendak tuntut Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mereka sahaja. Mereka hendak kata amalan mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام (padahal tidak pun).

Dikatakan bahawa ayat ini diturunkan ketika terjadi pertemuan antara tiga pihak – Islam, Nasrani dan Yahudi ketika kedatangan puak Nasrani dari Najran itu. Puak Yahudi kata Nabi Ibrahim عليه السلام itu Yahudi dan puak Nasrani Najran pula kata yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu Nasrani. Masing-masing hendak mengaku pula bagi pihak Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ

padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepasnya;

Bagaimana mereka hendak berhujah yang Nabi Ibrahim عليه السلام itu Yahudi atau Nasara, sedangkan Taurat dan Injil turun selepas wafatnya Nabi Ibrahim عليه السلام. Bagaimana hendak kata baginda ikut Taurat atau Injil? Sedangkan Yahudi dan Nasara itu agama rekaan mereka dan Nabi Ibrahim عليه السلام tidak tahu menahu pun. Baginda sudah lama wafat sebelum itu. Jadi tidak ada kena mengena dengan baginda.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

kenapa kamu tidak mahu menggunakan akal?

Allah ‎ﷻ tegur mereka: Mereka itu tidak fikir dan menggunakan akalkah? Kenapa guna hujah yang amat bodoh? Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ minta mereka tolonglah guna akal. Cuba fikir balik hujah kamu itu.

Tafsir Ayat Ke-66

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ

Kamu semua telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya

Tolong dengar wahai Ahli Kitab semua. Sepatutnya kamu semua berhujah pada perkara yang kamu tahu. Itu pun kamu sudah berbantah-bantah sesama kamu. Benda yang patut kamu tahu pun (sebab sudah ada dalam kitab kamu) kamu berbantah.

فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ

maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun dengannya?

Kenapa berhujah pada perkara yang kamu tidak ada ilmu? Antaranya mereka berbantah tentang Nabi Ibrahim عليه السلام seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

Ini mengajar kita supaya apabila hendak berhujah, mesti ada dalil, mesti pada perkara yang kita ada ilmu tentangnya. Namun, memang golongan Ahli Kitab itu suka berbantah. Yang mereka tahu pun mereka berbantah sesama sendiri, ditambah pula dengan perkara yang mereka tidak ada ilmu tentangnya.

Apakah hujah mereka? Mereka kata Nabi Isa عليه السلام boleh diseru dan ia adalah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Yahudi kata begitu juga tentang Nabi Uzair عليه السلام. Masing-masing menggunakan hujah Nabi Ibrahim عليه السلام untuk membolehkan amalan salah mereka. Mereka memandai-mandai sahaja mereka dalil.

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang mereka itu sebenarnya tidak tahu mazhab Nabi Ibrahim عليه السلام bagaimana. Mereka hanya memandai-mandai sahaja memperkatakan sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. Mereka reka amalan dan kemudian kata itu ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Maknanya mereka menfitnah Nabi Ibrahim عليه السلام dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim عليه السلام buat sama seperti apa yang mereka lakukan. Ini sama dengan golongan agama masyarakat kita yang reka amalan baru dan kata ia sebahagian daripada agama. Bila dimintakan dalil, maka dalil yang mereka sendiri reka mereka gunakan.

Allahu a’lam.

La Tahzan 225: Membaca meningkatkan diri (لا تحزنْ ، واعلمْ أنك بوساطةِ الكُتُبِ)

0

📚📚📚📚

La Tahzan 225-1: Membaca meningkatkan diri (لا تحزنْ ، واعلمْ أنك بوساطةِ الكُتُبِ)

يمكنُ أن تُنمِّي مواهبك وقدراتِك مطالعةُ الكتبِ تُفتِّقُ الذِّهن ، وتهدي العِبر والعظاتِ ، وتمدُّ المطَّلعِ بمددٍ من الحِكم ، وتُطلقُ اللسان ، وتُنمِّي مَلَكةَ التفكيرِ ، وترسِّخُ الحقائق ، وتطردُ الشُّبَهَ ،

Membaca membuka minda, mendapat pelbagai pelajaran dan nasihat, menyajikan pelbagai bekalan hikmah, melancarkan lisan, meningkatkan daya fikir, menambah ilmu dalam memahami hakikat serta menghilangkan syubhah.

وهي سلوةٌ للمتفرِّدِ ، ومناجاةٌ للخاطر ، ومحادثةٌ للسامرِ ، ومتعةٌ للمتأمِّلِ ، وسراجٌ للسَّاري ، وكلَّما كٌرِّرتِ المعلومُةٌ وضُبطتْ ، ومُحِّصتْ ، أثمرتْ وأينعتْ وحان قِطافُها ، واستوتْ على سوقِها ،

Tabiat membaca adalah hiburan bagi yang suka menyendiri, bisikan bagi hati, teman bicara ketika berjaga malam, kesenangan bagi yang merenung, bagai pelita menyuluh malam gelita, mengulang kaji, membuat kajian dan saringan kitab akan membuahkan hasil ilmiah.

📚📚📚📚

La Tahzan 225-2: Membaca meningkatkan diri (لا تحزنْ ، واعلمْ أنك بوساطةِ الكُتُبِ)

وهجْرُ المطالعةِ ، وترْكُ النظرِ في الكتبِ والانفرادُ بها ، حُبْسهٌ في اللسانِ ، وحَصْرٌ للطَّبعِ ، وركودٌ للخاطرِ ، وفتورٌ للعقلِ ، وموتٌ للطبيعةِ ، وذبولٌ في رصيدِ المعرفةِ ، وجفافٌ للفكرِ ، وما منْ كتابٍ إلا وفيهِ فائدةٌ أو مَثَلٌ ، أو طُرفةٌ أو حكايةٌ ، أو خاطرةٌ أو نادرةٌ

Keengganan tabiat membaca dan meninggalkan penelahan kitab-kitab adalah mengekang lisan, menghalang pembentukan watak, menjumudkan minda dan meningkatkan stress, modal pengetahuan menjadi layu (futur), matinya tabiat atau watak dan pemikiran menjadi gersang. Ini disebabkan buku-buku sarat dengan pelbagai faedah, perumpamaan, isu kontemporer, kisah, konsep, teori atau perkara yang jarang ditemui.

 

Sembang Santai Panelis Ukhuwah: Covid-19 dan Muslim

0

Sembang Santai Panelis Ukhuwah

Tarikh: Isnin, 21/12/2020,

Waktu: 9:00 malam – 10:15 malam

Bersama Panel Ukhuwah/ UiTO berkisar tentang Covid-19 dan Muslim. Sesi ini akan menggunakan Streamyard dan akan disiarkan secara langsung di YouTube dan Facebook. Hadirin boleh bertanya soalan kepada panel melalui ruangan sembang/ chat. Jemput semua ahli untuk bersama-sama.

Program ini akan dibuat secara berkala/mingguan dari semasa ke semasa.  Pelbagai topik dan pengisian menarik sedang disusun dan dirancang untuk manfaat ahli Ukhuwah dan pelajar bilik telegram uito.org.

 

Allahu a’lam.

 

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 13/2020

0

Kurang tidur punca kegemukan

 Soalan 1:

Doktor, adakah benar kurang tidur menyebabkan berat badan bertambah seperti gambar tersebut?

Jawapan:

Ya.  Benar kenyataan tersebut.

[Sebuah kajian menunjukkan 9 daripada 10 orang rakyat Malaysia mengalami masalah sukar untuk tidur dan sekali gus menyebabkan tempoh tidur mereka berkurang. Bahkan 50 peratus daripada rakyat Malaysia menilai kualiti tidur mereka sebagai “biasa”. Kajian lain juga ada membuktikan bahawa individu yang tidurnya kurang dari 5 jam mengalami penambahan berat badan lebih banyak daripada individu yang cukup tidur (7 jam). Persoalannya, bagaimanakah hal ini boleh terjadi? Terdapat beberapa punca kenaikan berat badan dan obesiti hasil daripada kurang tidur yang telah dibuktikan oleh kajian-kajian terkini seperti berikut:

  • Gangguan hormon leptin dan ghrelin.
  • Mempunyai lebih masa untuk makan.
  • Badan letih kurang aktif.]

https://www.majalahsains.com/kurang-tidur-punca-obesiti/

 

Mengesan kanser melalui ujian darah

Soalan 2:

Doktor, adakah kanser boleh dikesan melalui ujian darah?

 Jawapan:

Penyakit kanser boleh dikesan melalui ujian darah dan ada juga yang tidak dapat dikesan.

[Terdapat pelbagai jenis kanser, seperti kanser usus besar, kanser payudara, kanser darah, kanser paru-paru, dan lain-lain. Kanser ini biasanya disebut kanser primer iaitu tergantung kepada lokasi asal kanser dalam tubuh. Kanser tidak dapat didiagnosis dengan ujian darah sahaja. Akan tetapi, mereka yang ada kanser, biasanya terdapat bahan yang dikenali sebagai penanda tumor yang akan berada pada kadar tinggi dalam darah, air kencing dan tisu badan. Walaupun sel kanser sering menghasilkan penanda tumor yang banyak, sel-sel yang sihat di dalam badan juga boleh menghasilkannya tetapi pada kadar yang sedikit.

Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor.]

https://www.doctoroncall.com.my/tanya/soalan/ujian-darah-mengesan-kanser/23081

 

Sakit lutut

Soalan 3:

Doktor, apakah punca sakit di bahagian lutut?  Kesakitan lebih dirasai apabila saya duduk bersila di lantai dan kadang-kadang bengkak di bahagian tersebut.

Jawapan:

Kesakitan di bahagian lutut adalah kerana bahagian atas, bawah dan tepi di sekeliling sendi lutut itu merupakan sendi lutut.  Oleh itu, jika sakit semua bahagian tersebut akan terlibat sama.

[Sakit lutut merupakan perkara biasa yang boleh berlaku pada semua peringkat umur di mana secara langsung akan mengganggu rutin harian seseorang. Terdapat pelbagai faktor atau punca yang boleh menyebabkan sakit pada bahagian lutut ini.

Antaranya, mungkin disebabkan oleh faktor trauma sama ada disebabkan oleh sukan, kemalangan, jatuh dan lain- lain ataupun masalah artritis, gout dan jangkitan kuman pada sendi lutut juga boleh juga menyebabkan sakit lutut.]

https://ifixphysiotherapy.com.my/sakit-lutut-punca-simptom-dan-rawatan-fisioterapi/

 

Spondilosis

Soalan 4:

Doktor, adakah penyakit spondilosis boleh sembuh sepenuhnya atau hanya kurangkan kesakitan?

Jawapan:

Mengikut teori tidak boleh sembuh kerana ia merupakan kecacatan struktur pada cakera dan juga tulang belakang.

 

Kopi campuran 3 dalam 1

Soalan 5:

Adakah kopi ‘3-in-1’ tidak elok untuk kesihatan?  Saya akan mengalami sakit-sakit badan jika mengambil kopi ‘3-in-1’ berturut-turut dan akan pulih kembali jika saya memberhentikan pengambilan kopi tersebut.

 Jawapan:

Perlu lihat kandungan sebenar dalam kopi tersebut baru boleh buat kesimpulan.

[Terdapat 1 bahan kimia dalam kopi segera yang mungkin dianggap berbahaya iaitu ‘akrilamida’.  ‘Akrilamida’ ini terhasil sewaktu biji kopi dipanggang tetapi ia bukan hanya berada dalam biji kopi sahaja kerana bahan kimia ini turut berada dalam asap, barang perkakas rumah, produk penjagaan diri dan juga jenis makanan lain.

Namun, isunya di sini ialah tahap kandungan ‘akrilamida’ dalam kopi segera.  Kopi segera dikatakan mengandungi ‘akrilamida’ dengan jumlah sebanyak 2 kali ganda berbanding kopi segar.]

https://hellodoktor.com/gaya-hidup-sihat/pemakanan/kopi-3-in-1-kopi-segera/#gref

 

Kesan penggunaan bahan peluntur atau ‘clorox.

Soalan 6:

Doktor, adakah jika terhidu ‘clorox’ boleh menyebabkan sesak nafas?

Jawapan:

Pesakit asma boleh mendapat serangan asma akut jika terdedah dengan bahan peluntur atau ‘clorox’.

Pengambilan ubat-ubatan

Soalan 7:

  • Adakah cara untuk menghilangkan rasa loya kerana rawatan kemoterapi?
  • Bolehkah makan ubat bersama air sejuk atau ais batu?

Jawapan:

  • Tiada cara untuk menghilangkan loya kerana rawatan kemoterapi.
  • Boleh dan tiada masalah pengambilan atau menelan ubat bersama air sejuk atau ais.

 

Bahaya rokok

Soalan 8:

Doktor, adakah rokok merbahaya bagi orang yang aktif bersukan seperti mengambil rokok selepas bermain badminton?

Jawapan:

Rokok sentiasa merbahaya dan memudaratkan kesihatan walau diambil dalam keadaan apa pun.

https://www.infosihat.gov.my/isu-semasa/43-bahaya-merokok.html

 

Bibir kering

Soalan 9:

Mengapakah bibir saya mengelupas dan rasa berdenyut, kering dan ada bekas parut di bibir?

 Jawapan:

Biasanya kerana alahan, boleh cuba sapukan ‘oral aid ointment’.

[Bibir kering adalah satu masalah yang normal yang dialami oleh semua orang. Jika ia terlampau kering dan mengelupas ia akan menjejaskan kecantikan muka dan juga terdapat risiko untuk mendapat infeksi jikalau bibir selalu kering dan mengelupas.  Rawatan terbaik untuk bibir adalah dengan pelembap-bebas kimia. Emolien ialah pelembap yang direka untuk melembutkan bibir dan menambah kelembapan.]

https://www.doctoroncall.com.my/soalan/bibir-kering

 

Bayi kuning

Soalan 10:

  • Berapa lamakah kebiasaannya bayi akan mengalami penyakit kuning atau jaundis?
  • Adakah cara tertentu yang boleh menurunkan kekuningan pada bayi?

Jawapan:

  • Boleh berlarutan hingga 2 minggu, walau bagaimanapun, apabila hatinya telah lebih matang bilirubin akan turun dengan sendirinya.
  • Hanya perlu pantau supaya tidak mencecah sampai 20 mmol/l.

[Bayi kuning atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai jaundis adalah keadaan di mana kulit dan mata bayi kelihatan kuning serta menjadi kebimbangan kepada ibu bapa.  Penyakit kuning ini biasanya lebih mudah berlaku dalam kalangan bayi yang lahir pramatang iaitu sebanyak 80 peratus dan 60 peratus berlaku kepada bayi yang lahir matang.

Penyakit bayi kuning terbahagi kepada dua jenis iaitu ‘physiologic jaundice’ dan ‘pathologic jaundice’.

  • Physiologic jaundice ialah keadaan bayi yang kelihatan kuning, biasanya berlaku ke atas bayi berumur tiga hari dan akan berakhir dalam hari yang ke tujuh selepas dilahirkan dan ia tidak membahayakan serta akan sembuh tanpa memerlukan rawatan.
  • Pathologic jaundice pula ialah keadaan kuning pada kulit bayi yang dapat dilihat seawal hari pertama dilahirkan dan keadaan ini lebih merbahaya serta memerlukan rawatan segera.

Penyakit kuning biasanya berlaku apabila organ dalaman bayi seperti hati belum cukup matang dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna selepas dilahirkan.]

http://www.kk.usm.my/index.php/95-doktor-usm-di-radio/864-bayi-kuning-ketahui-punca-dan-cara-rawatan-yang-betul

 

Vitamin K

Soalan 11:

Doktor, apa fungsi vitamin K?

Jawapan:

Membantu dalam metabolisme lemak dan agen dalam pembekuan darah.

[Vitamin K adalah kumpulan sebatian, terdiri daripada vitamin K1 dan vitamin K2. Vitamin K1 diperoleh daripada sayuran berdaun dan beberapa jenis sayuran lain. Manakala vitamin K2 ialah kumpulan sebatian yang diperoleh daripada daging, keju, dan telur.

Vitamin K memainkan fungsi penting dalam membantu proses pembekuan darah, mencegah pendarahan berlebihan. Berbeza dengan vitamin yang lain, vitamin K jarang digunakan sebagai makanan tambahan.]

https://hellodoktor.com/gaya-hidup-sihat/pemakanan/kepentingan-vitamin-k-untuk-kesihatan/#gref

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-59 hingga Ke-63

0

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-59

Ini sebagai jawapan bagi kemusykilan tentang kejadian Nabi Isa عليه السلام. Memanglah kejadian kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu ajaib, dilahirkan tanpa bapa tetapi tidaklah kerana kelahiran ajaib itu boleh dijadikan sebab untuk sembah dan seru kepada Nabi Isa pula عليه السلام.

Tambahan pula, bukanlah Nabi Isa عليه السلام sahaja yang pelik dan ajaib dari segi kelahiran kerana tidaklah kelahiran Nabi Isa عليه السلام itu lebih pelik daripada kejadian Nabi Adam عليه السلام. Nabi Isa عليه السلام dilahirkan tanpa bapa, tetapi Nabi Adam عليه السلام lahir tanpa ibu dan bapa sekali. Itu lebih pelik, bukan? Oleh itu, kenapa tidak sembah Nabi Adam عليه السلام pula?

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam.

Pada Allah ﷻ, sama sahaja kejadian Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Adam عليه السلام kerana tidaklah lebih susah Allah menjadikan Nabi Adam عليه السلام daripada Nabi Isa عليه السلام dan daripada kita. Kerana itulah bagi Allah ﷻ, sama sahaja semua kejadian. Namun dalam ayat ini, Allah ﷻ bandingkan penciptaan Nabi Adam عليه السلام dengan Nabi Isa عليه السلام.

خَلَقَهُ مِن تُرابٍ

Allah telah menciptakan Adam dari tanah

Badan Nabi Adam عليه السلام itu yang dijadikan daripada tanah. Kisahnya ada banyak disebut dalam ayat lain dan hadith-hadith. Memang diambil daripada tanah di dunia ini. Di dalam hadith disebut baginda terus dijadikan dalam bentuk baginda setinggi 60 hasta (tidaklah dijadikan seperti bayi dahulu dan membesar kemudian).

ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

Daripada tanah itu, Nabi Adam عليه السلام dijadikan manusia dengan lafaz kun fayakun daripada Allah ‎ﷻ, terus baginda terjadi manusia. Nabi Isa عليه السلام juga terjadi daripada lafaz kun fayakun, maka sama sahaja kejadian mereka berdua pada sisi Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-60

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

Perkara yang benar ialah yang datang daripada Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi daripada orang-orang yang ragu-ragu.

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ

Kebenaran ialah yang datang dari Tuhanmu.

Kejadian Nabi Isa عليه السلام yang luar biasa itu memang benar daripada Allah ‎ﷻ. Kita tidak dapat menyaksikannya dengan mata kita, tetapi sekarang Allah‎ ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an, maka hendaklah kita terima kebenarannya.

Dan benarlah baginda itu adalah makhluk, bukannya tuhan.

فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu

Kalau ia benar daripada Allah ‎ﷻ, maka jangan kamu ragu-ragu. Kalau ragu, tidak selamat. Kalimah الْمُمْتَرِينَ adalah apabila sesuatu fakta yang jelas tetapi apabila dengar kata-kata hujah yang panjang lebar untuk menolak sesuatu perkara, kita pula jadi ragu-ragu. Kadangkala kita pun kalau dengar hujah orang lain, mungkin boleh goyang, bukan?

Begitulah, kalau kita berhujah dengan orang Kristian, mereka akan menggunakan berbagai-bagai hujah yang mengarut sebenarnya. Namun apabila iman tidak kuat, ilmu pun ke laut, entah-entah boleh terkeliru pula. Allah ‎ﷻ sudah pesan siap-siap sekarang, jangan ragu-ragu dan terpedaya dengan dakyah mereka.

Tafsir Ayat Ke-61

Ini adalah ayat tentang Mubahalah. Nanti akan disebutkan konsepnya selepas ini. Mubahalah ini adalah doa yang disertai dengan sumpah laknat. Mubahalah ini dibenarkan kalau pihak kafir masih tidak mahu dengar kata juga.

Begitulah yang terjadi kepada Kristian Najran itu, masih lagi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengaku kalah walaupun setelah dijelaskan dengan 60 ayat sebelum ini. Maka, Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk ajak mereka mubahalah.

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم ثُمَّ نَبتَهِل فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ

Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,

Kalau mereka yang menentang masih bantah lagi tentang Nabi Isa عليه السلام setelah berhujah lama dan sesudah dibacakan ayat Al-Qur’an yang jelas kepada mereka. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ ajar bagaimana hendak buat dengan mereka. Sudah tidak perlu teruskan lagi hujah dan perdebatan dengan mereka.

فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم

maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu”

Ini kalimah terakhir bagi mereka. Ajak mereka berhimpun ramai-ramai di padang (tempat awam). Kemudian panggil anak-anak kamu dan kami akan panggil anak-anak kami.

وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم

dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu,

Bukan anak-anak sahaja, panggil sekali dengan isteri-isteri kamu dan kamu sendiri pun kenalah datang juga. Kenapa panggil anak beranak? Kerana manusia itu selalunya gelap hati kerana cinta dunia, antaranya dengan anak isteri. Maka kena bawa anak isteri yang mereka kasihi itu.

Ayat ini menunjukkan kepentingan kaum wanita di mana mereka pun terlibat dalam kegiatan agama. Tidaklah mereka hanya duduk di belakang sahaja.

Malah, kita tahu daripada hadith, bagaimana kaum wanita juga terlibat dalam medan perang semasa zaman Nabi. Maka jangan rendahkan kedudukan wanita jadi kelas kedua pula. Mereka pun ada kepentingan dalam masyarakat dan dalam beragama.

ثُمَّ نَبتَهِل

kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh

Ibtihal maksudnya merayu dengan menangis. Minta kepada Allah ‎ﷻ dengan bersungguh-sungguh. Biarkan Allah ‎ﷻ yang tentukan mana pihak yang benar.

Pernah kedengaran juga mubahalah ini diajak di negara kita. Namun, konsep itu tidak betul kerana hendak dilakukan sesama Muslim. Mubahalah ini hanya dilakukan dengan orang kafir sahaja.

فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta

Akhir sekali, doa supaya Allah ‎ﷻ laknat siapa yang salah. Biar nampak mana pihak yang salah di hadapan mata kita terus. Biar Allah ‎ﷻ buat sesuatu supaya nampak manakah pihak yang benar. Antaranya, Allah ‎ﷻ akan matikan pihak yang salah itu.

Mubahalah ini tidak terjadi pada zaman Nabi itu. Pihak Kristian dari Najran itu tidak berani dan mereka balik begitu sahaja kerana mereka pun takut juga. Ketua mereka kata, kalau Rasulullah itu benar Nabi, tentu apa sahaja doa baginda akan makbul. Maka mereka mengalah dan pulang ke tempat mereka.

Dalam riwayat ada disebut, sekiranya jadi, Nabi ﷺ akan panggil semua sahabat dan isteri masing-masing ke padang. Ini pasti terjadi kerana mereka sanggup meletakkan nyawa mereka untuk mempertahankan Islam. Mereka yakin dengan kebenaran sedangkan puak Najran itu tidak yakin.

Tafsir Ayat Ke-62

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar;

Segala cerita yang telah disampaikan sebelum ini adalah kisah benar tentang Nabi Isa عليه السلام. Kesimpulan yang boleh diambil adalah: Mereka itu semua hamba Allah ‎ﷻ yang mulia namun tidak layak untuk dipuja sebagai ilah.

وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ

dan tiadalah ilah melainkan Allah

Allah ‎ﷻ tekankan sekali lagi bahawa Ilah hanya Allah‎ ﷻ sahaja. Kenalah faham tentang ilah dahulu barulah boleh kemas dalam beragama.

Maka Nabi Isa عليه السلام bukan ilah, ibunya bukan ilah, Nabi Uzair عليه السلام bukan ilah. Tidak ada selain Allah ‎ﷻ yang boleh menjadi ilah.

وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Gagah. Allah ‎ﷻ boleh azab hamba-Nya pada bila-bila masa. Cuma Allah ‎ﷻ juga Maha Bijaksana, menangguhkan azab memberi peluang untuk hamba bertaubat. Jika Allah ‎ﷻ tidak tangguhkan azab, entah tidaklah ada manusia yang masih hidup di dunia ini kerana semuanya berdosa belaka.

Tafsir Ayat Ke-63

فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

Maka kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

فَإِن تَوَلَّوْا

Kemudian kalau mereka berpaling

Ini pula jikalau yang menolak kebenaran itu masih berpaling, masih tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil. Kita telah lakukan usaha untuk menyampaikan kebenaran kepada mereka, tetapi tentu akan ada sahaja yang tetap menentang. Lalu bagaimana kalau begitu?

فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Kepada mereka yang berpaling, Allah ‎ﷻ akan bertindak kepada golongan yang buat kerosakan. Mereka sebabkan kerosakan kerana mereka yang sampaikan ajaran yang salah kepada manusia. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia bukan di dalam bidang kuasa kita. Hidayah milik Allah ‎ﷻ dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-54 hingga Ke-58

0

Tafsir Surah Ali-Imaran

Tafsir Ayat Ke-54

Sekarang kita lihat tentang pihak lawan pula.

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ

Dan mereka merancang tipu daya dan Allah pun merancang

Ini adalah tentang rancangan pemuka Yahudi yang jahat. Mereka telah membuat rancangan yang halus dan terperinci. Kalimah مَكَرَ tidak semestinya untuk rancangan yang jahat sahaja. Cuma dalam ayat ini mengenai rancangan jahat mereka untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام.

Mereka menghasut Raja Rom dengan menuduh Nabi Isa عليه السلام dan kumpulan baginda membuat perancangan untuk mengguling kerajaan. Mereka hendak membunuh Nabi Isa عليه السلام tetapi tidak mampu untuk membunuhnya sendiri. Maka ‘orang dalam’ yang duduk bersama dengan halaqah Nabi Isa عليه السلام sendiri telah menjadi dalang semata-mata untuk menjadi saksi (saksi palsu) yang kononnya Nabi Isa عليه السلام ada berkata sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bukti baginda ingin menggulingkan kerajaan Rom.

Perkara sebegini biasa juga berlaku pada zaman sekarang. Ada yang sanggup menjadi tali barut, ‘api dalam sekam’ demi untuk mengalahkan pergerakan umat Islam.

Allah ‎ﷻ pula merancang dan tentunya Allah ‎ﷻ lebih licik lagi dalam merancang.

وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

dan Allah sebaik-baik yang merancang

Rancangan mereka belum tentu berjaya tetapi rancangan Allah ‎ﷻ sudah pasti akan berjaya. Akhirnya nanti Allah ‎ﷻ memberikan keselamatan kepada Nabi Isa عليه السلام.

Maka bergantunglah sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Orang kafir yang menjadi musuh Islam mungkin banyak rancangan mereka hendak menjatuhkan Islam, yang kita pun tidak tahu. Apa lagi yang kita boleh buat selain daripada mengharap dan menyerahkan segala urusan kepada Allah ‎ﷻ? Ingatlah bahawa rancangan mereka tidak akan berjaya kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan.

Tafsir Ayat Ke-55

Ini adalah Ayat Tasliah untuk memujuk hati Nabi Isa عليه السلام. Ini sebelum baginda diangkat ke langit.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ وَرافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu daripada orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutimu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna,

Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan ambil semua sekali roh dan jasad Nabi Isa عليه السلام. Itulah maksud lafaz مُتَوَفّيكَ dalam ayat ini. Ayat ini sebagai dalil yang Allah ‎ﷻ tidak mematikan Nabi Isa عليه السلام tetapi telah mengangkat baginda ke langit.

Malangnya ada pula yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk hujah dangkal mereka untuk mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati. Kalau yang kata itu orang kafir, tidaklah mengapa, kita tahu mereka bagaimana tetapi apabila orang Islam yang kata begitu, kita kena jelaskan.

Yang mereka salah faham adalah kerana penggunaan lafaz مُتَوَفِّيكَ yang datangnya dari kata dasar وفي yang boleh membawa banyak maksud. Maksud yang selalu digunakan dalam Al-Qur’an adalah ‘beri dengan penuh’ atau ‘ambil dengan penuh’. Orang yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati itu keliru kerana mereka kata perkataan وفي itu bermaksud ‘wafat’. Memang kalimah ‘wafat’ digunakan juga untuk mati, tetapi ia adalah lafaz kiasan sahaja (untuk mati dan untuk tidur). Maknanya, tidur pun ada Allah ﷻ gunakan kalimah ‘wafat’ juga.

Ini tidak benar kerana kalau hendak memberikan makna mati, dalam Al-Qur’an digunakan perkataan mawt/maut. Apabila mawt, Allah ‎ﷻ tidak ambil semua sekali, kerana Allah ‎ﷻ akan tinggalkan jasad di bumi, bukan? Namun, dalam kes Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ ambil roh dan jasad sekali.

وَرافِعُكَ إِلَيَّ

dan mengangkatmu ke sisi-Ku,

Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام kepada-Nya. Ini juga dalil yang Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit (untuk satu tempoh). Yang kata Nabi Isa عليه السلام telah mati itu berhujah, ayat ini kononnya bermaksud ‘darjat’ Nabi Isa عليه السلام yang diangkat.

Ini tidak benar kerana kalau darjat yang dimaksudkan, perkataan ‘darjat’ akan diletakkan sekali seperti yang ada dalam banyak ayat-ayat tentang darjat. Namun begitu tidak ada kalimah ‘darjat’ digunakan dalam ayat ini, kerana Allah ‎ﷻ kata Dia angkat baginda ke sisi-Nya sahaja.

Oleh itu, berhati-hatilah apabila membaca ajaran atau teori yang pelik-pelik walaupun datang daripada orang Islam sendiri kerana ada yang keliru kerana salah belajar. Tambahan pula sekarang banyak sangat maklumat yang dibaca di internet yang tidak dipantau oleh ilmuan yang layak.

Dalam akidah ahli sunnah, kita berakidah yang Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan diturunkan semula. Ini disokong oleh hadis-hadis yang amat banyak. Baginda bukan turun sahaja tetapi diberitahu yang baginda akan membunuh Dajjal. Jadi walaupun ia adalah termasuk dalam furu’ aqidah (cabang akidah), namun inilah akidah yang benar. Pandangan yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah wafat adalah pandangan yang amat lemah.

وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا

dan membersihkanmu daripada orang-orang kafir,

Allah ‎ﷻ mensucikan Nabi Isa عليه السلام daripada tohmahan orang kafir Yahudi yang kata baginda adalah anak zina. Golongan Yahudi kata baginda bukan Nabi, sebaliknya adalah anak zina kerana lahir tanpa bapa. Padahal itu adalah mukjizat Nabi. Maka, dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama Nabi Isa عليه السلام.

Dan berbagai-bagai lagi tuduhan yang tidak benar tentang baginda yang dibersihkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Antaranya, tuduhan Nasara yang mengatakan baginda itu tuhan atau anak tuhan. Itu pun disucikan oleh Allah ﷻ.

‘Sucikan’ juga bermaksud Allah ‎ﷻ menyucikan baginda dalam kalangan mereka yang menentang baginda. Allah ‎ﷻ mengangkat baginda dalam kalangan mereka yang jahat itu. Allah ﷻ selamatkan baginda daripada golongan yang hendak membunuh baginda. Kemudian nanti baginda akan diberikan dengan golongan yang lebih baik daripada mereka.

وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir, hingga ke hari kiamat.

Allah ‎ﷻ akan meninggikan kedudukan mereka yang mengikuti baginda lebih daripada orang kafir. Mereka yang ikut Nabi Isa عليه السلام akan menjadi ahli syurga dan selamat di akhirat kelak. Apakah maksudnya? Ini penting ditafsirkan kerana kalau tidak, kalau dibaca literal sahaja, akan menyebabkan kekeliruan pula. Memang ayat ini disebut-sebut oleh golongan Kristian bila berhujah dengan umat Islam.

Kalau pada zamannya, mereka yang dimaksudkan adalah pengikut baginda seperti golongan Hawariyyun itu. Untuk zaman kita pula, yang dimaksudkan adalah pengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Isa عليه السلام pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ juga nanti apabila baginda diturunkan kembali ke dunia.

Kalau Nabi Isa عليه السلام sendiri pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah begitu juga. Sedangkan dalam Kitab Injil sendiri pun ada tertulis, yang apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul, semua kena ikut Nabi Muhammad ﷺ. Kita dapat tahu tentang perkara ini sebab ada disebut di dalam Surah Saff. Kalau dalam Bible sekarang, mungkin tidak jelas kerana Bible sekarang bukanlah Kitab Injil yang sebenar.

Jadi jangan percaya dengan kaum Kristian yang mengatakan ini bukti merekalah yang benar. Mereka menggunakan ayat ini dan mereka kata mereka lebih tinggi daripada orang Yahudi kerana mereka pengikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka juga berhujah, ‘Lihatlah dalam Qur’an pun kata kedudukan mereka tinggi sampai Hari Kiamat’.

Namun ini adalah sangkaan mengarut mereka sahaja kerana mereka langsung tidak mengikut ajaran Nabi Isa عليه السلام, malahan membuat syirik dengan memuja baginda pula. Lalu bagaimana pula boleh dikatakan mereka mengikut baginda? Memang mereka sayangkan baginda, tidak dinafikan, tetapi mereka tidak mengikut pun ajaran baginda. Ada beza antara ‘sayang’ dan ‘ikut’.

ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم

Kemudian kepada Aku-lah tempat kembalinya kamu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan semua manusia dan jin bahawa akhirnya kita semua akan mati dan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ akan lakukan terhadap kita waktu itu?

فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu Aku memberi keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan

Allah ‎ﷻ akan membuat keputusan secara ‘amali’ (secara praktikal, bukan secara teori) dan memisahkan mana pihak yang benar dan mana yang salah. Jadi perselisihan ini adalah antara golongan engkar dan golongan yang di atas al-haq (kebenaran). Yang benar akan dimasukkan ke syurga dan yang salah akan dimasukkan ke neraka.

Itulah cara amali untuk tunjuk mana yang benar dan mana yang salah. Waktu itu, tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi, kerana kalau kita berada di pihak yang salah, kita tidak dapat kembali ke dunia untuk memperbetulkannya kerana itu sudah di akhirat dan tidak akan kembali lagi ke dunia.

Namun secara teori, Allah ‎ﷻ telah menunjukkan mana benar dan mana yang salah dalam Al-Qur’an. Ini penting, kerana tidak mungkin hendak kena tunggu di akhirat nanti baru tahu mana yang benar dan mana yang salah, bukan? Allah ‎ﷻ sudah beritahu di dunia lagi, dengan sejelas-jelasnya (kepada yang belajar) maka tidak perlu tunggu sampai akhirat untuk tahu mana yang benar.

Kalau ikut hujah yang disampaikan oleh Al-Qur’an semasa di dunia, maka akan masuk syurga. Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dengan kemas, supaya ia menjadi hujah dan panduan bagi kita.

Tafsir Ayat Ke-56

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Adapun orang-orang kafir, maka Aku akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,

Ini pula adalah nasib mereka yang kafir kerana kedegilan mereka menolak kebenaran. Mereka juga tidak hiraukan ilmu wahyu maka mereka jadi sesat di dunia. Mereka akan diseksa di dunia dan di akhirat.

Di dunia lagi mereka akan mendapat seksaan jiwa secara individu dan secara kelompok, mereka akan dikalahkan dalam peperangan. Hati mereka juga tidak tenang kerana mereka menolak kebenaran yang sudah ada dalam diri mereka.

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong

Tidak ada sesiapa pun yang akan membantu mereka apabila Allah ﷻ telah buat keputusan terhadap mereka. Ramai yang salah sangka termasuklah golongan Kristian/Nasara. Mereka sangka Nabi Isa عليه السلام tentu akan bantu mereka kerana mereka sentiasa memuja baginda, namun itu semua adalah sangkaan yang tersasar jauh.

Tafsir Ayat Ke-57

Ini pula adalah ayat tabshir.

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka;

Sekali lagi digunakan kalimah ‘wafat’ dalam ayat ini. Maksudnya adalah pemberian yang sempurna. Balasan kebaikan akan diberi dengan sempurna – malah akan diberi lebih daripada amalan hamba itu. Bayangkan, kita hidup 60 tahun sahaja di dunia dan beramal pun bukan sepanjang kita hidup pun, tetapi kita dapat tinggal di syurga selama-lamanya. Memang lebih sangatlah apa yang ahli syurga dapat.

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iaitu zalim yang tidak meletakkan perkara pada tempatnya. Zalim yang biasa kita faham adalah seperti menindas orang lain. Namun begitu, zalim yang paling besar adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan mendapat balasan yang buruk.

Tafsir Ayat Ke-58

Ayat ini adalah jenis yang dinamakan Jumlah Mu’taridah. Iaitu dimasukkan perkara yang seperti tidak ada kena mengena dengan rentetan ayat-ayat yang sebelumnya. Tiba-tiba sahaja semasa sebut kisah Nabi Isa, masuk kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Allah hendak menegaskan bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah benar seorang Rasul kerana kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah-kisah ini semua. Orang biasa tidak akan dapat tahu kisah ini.

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ وَالذِّكرِ الحَكيمِ

Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian daripada hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan daripada Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat – (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ

Demikianlah, Kami bacakan ke atas engkau daripada ayat-ayat

Segala kisah yang telah disampaikan itu diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai hujah baginda berhadapan dengan Kristian Najran. Allah telah beri hujah-hujah kepada baginda daripada wahyu-Nya.

وَالذِّكرِ الحَكيمِ

dan daripada Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah-hikmah

Ia hujah yang datang daripada Al-Qur’an yang mengandungi kebijaksanaan. Ia mengandungi jawapan-jawapan yang bernas terhadap pertanyaan dan tohmahan daripada Kristian Najran yang datang hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Dengan mempelajari ayat-ayat itu, sepatutnya orang Kristian tahu bahawa apa yang mereka anuti itu adalah salah sama sekali. Maka kerana itu ramai orang Kristian yang masuk Islam setelah diberikan dengan hujah-hujah wahyu.

Ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi nasihat-nasihat yang bijaksana tentang kebenaran dan bagaimana cara menjalani kehidupan di dunia ini dengan baik. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan