Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-120 hingga Ayat Ke-124

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-120 hingga Ayat Ke-124

344
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-120

Jika tidak jelas kebencian mereka kepada kita orang Islam, maka Allah ‎ﷻ berikan lagi alamat tanda kebencian mereka.

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ

Kalau kamu beroleh kebaikan, ia akan menyakitkan hati mereka;

Jika umat Islam dapat kebaikan, mereka akan sakit hati. Kebaikan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Antaranya kalau umat Islam menang dalam peperangan, atau bersatu hati dan bekerjasama sesama sendiri. Mereka berbulu sahaja mata bila nampak kita maju atau semakin ramai dan kuat.

وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا

dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.

Kalau umat dapat musibah, mereka akan bergembira. Ini adalah kerana kebencian mereka yang amat sangat terhadap kita. Katakanlah kita dapat bencana alam contohnya, mereka akan suka, mereka akan kata padan muka orang Islam itu.

Kalau orang Islam ramai mati mereka tidak kisah pun. Tengoklah bagaimana kalau penduduk Islam mati di Palestin dan sudah entah berapa ramai yang telah mati, mereka buat tidak kisah sahaja. Namun kalaulah ada seorang sahaja mati dalam kalangan orang Israel itu dibaling batu sahaja pun, mereka akan bising satu dunia.

Jadi apa yang kita perlu lakukan?

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا

Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.

Kalau kita sudah tidak baik dengan mereka, mereka tentu tidak suka dan mungkin akan melakukan sesuatu seperti boikot kita dan sebagainya. Kalau jadi begitu, Allah ‎ﷻ suruh kita bersabar.

Maksud sabar adalah dengan ikut syari’at Allah ‎ﷻ. Biar sahaja dengan apa yang mereka lakukan. Serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ kerana apa sahaja yang berlaku, bukan atas tangan mereka tetapi Allah ‎ﷻ yang menentukan apa yang akan terjadi. Kita tidak akan rugi kerana kita tetap terus ikut syari’at. Maka kena ingat yang sabar itu dengan ikut syari’at. Bukanlah sabar kosong sahaja.

Daripada ayat ini, kita kena yakin yang apa-apa sahaja tindakan mereka tidak akan membahayakan kita. Jadi tidak perlu bimbang. Ini mengajar kita bagaimana tindakan kita apabila baca pelbagai kisah konspirasi daripada musuh Islam. Kita hendak buat apa pun tidak tahu kerana mereka bergerak secara rahsia. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tahu apa mereka yang buat, bukannya Allah‎ ﷻ tidak tahu. Kita sendiri jangan risau. Allah ‎ﷻ akan uruskan, bukan Allah ‎ﷻ tidak boleh buat apa, bukannya Allah ‎ﷻ sengaja hendak biarkan kita dalam kesusahan. Apa yang mereka lakukan itu adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ, dan sekarang cuma beritahu sahaja yang Dia mengepung mereka.

Maknanya kita sudah boleh tenang-tenang sahaja kerana mereka dan usaha mereka tidak akan ke mana. Ke mana lagi mereka hendak pergi? Apa lagi yang mereka boleh buat kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan usaha mereka berjaya?

KISAH PERANG UHUD

Tafsir Ayat Ke-121

Ayat ini adalah jawapan kepada syubhat (persoalan) kenapa kadang-kadang umat Islam kalah di medan perang. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa kekalahan itu adalah kerana kecuaian umat Islam sendiri. Bukanlah kekalahan itu kerana Allah ‎ﷻ tidak mahu bantu. Allah ‎ﷻ tentu akan bantu umat Islam tetapi umat Islam sendiri kenalah memenuhi syarat-syarat untuk mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, ini mengajar kita bahawa bila perang, kena ikut syarat.

Salah satu yang kena diikuti adalah: taat kepada Nabi dan pemimpin. Dalam perang Uhud, Nabi ﷺ sudah susun kedudukan tentera dengan cara spesifik. Ada yang ditugaskan menjaga kedudukan yang strategik; antaranya Nabi ﷺ meletakkan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat mengawal medan peperangan.

Namun begitu, ada yang tidak taat dan tidak tetap di kedudukan yang telah diletakkan oleh Nabi ﷺ itu. Nabi Muhammad ﷺ sudah pesan kepada pasukan pemanah yang di atas bukit, jangan tinggalkan tempat itu walau apa pun yang terjadi. Dalam riwayat disebut ‘walaupun burung mematuk mayat orang Islam’. Namun apabila pihak musuh lari bertempiaran, mereka telah turun untuk menolong kumpul harta yang ditinggalkan pihak musuh.

Itulah kesilapan fatal mereka. Padahal bukan boleh ambil terus pun harta itu kerana hanya Nabi ﷺ sahaja boleh bahagikan. Mereka langgar pesanan Nabi ﷺ kerana mereka sangka mereka sudah menang. Antara hujah mereka, Nabi ﷺ melarang turun kalau mereka kalah, tetapi sekarang mereka sedang menang, jadi tidaklah salah kalau mereka turun.

Ini sudah jadi satu salah faham yang besar. Di mana salah mereka? Mereka menggunakan akal mereka dan melanggar arahan Nabi ﷺ. Dari segi teknikal, bolehlah dikatakan yang mereka tidak salah namun sebenarnya mereka salah fikir juga. Inilah bahaya kalau guna akal dan menolak wahyu. Ini seperti puak Muktazilah juga yang menggunakan akal dalam hal agama.

Jadi ada yang melanggar arahan Nabi ﷺ pada waktu itu. Memang mereka melakukan kesalahan. Namun Allah‎ ﷻ sudah maafkan mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesalahan supaya menjadi contoh kepada kita. Namun begitu, sekali lagi kena ingat yang Allah ‎ﷻ sudah maafkan mereka.

Maka janganlah kita ikut seperti golongan yang benci kepada para sahabat sampai mencaci mereka disebabkan perkara ini. Siapa kita hendak menghina sahabat Nabi ﷺ? Kena sedar kedudukan kita kalau dibandingkan dengan mereka. Jangan lebih sudu daripada kuah pula.

Jadi sekarang kita akan masuk kepada kisah Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tahun sebelumnya puak Musyrikin Mekah telah kalah dalam Perang Badr. Jadi kali ini mereka datang dengan lebih ramai bala tentera lagi dengan tujuan untuk balas dendam. Mereka sudah sangka mereka akan menang kali ini kerana persediaan mereka lebih hebat lagi.

Semasa Badr, mereka terdiri daripada seribu orang dan kali ini yang datang adalah seramai tiga ribu orang. Tahun lepas, ketua perang mereka adalah Abu Jahal dan dia telah mati. Tahun ini, pasukan tentera diketuai oleh antaranya Abu Sufyan dan Khalid al Walid. (Mereka berdua akhirnya masuk Islam).

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu

Ketika baginda keluar dari rumah isteri baginda Aisyah رضي الله عنها pada pagi hari.

تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ

dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang
Tujuannya adalah untuk mengatur tentera Islam bagi meletakkan mereka di tempat yang strategik untuk berperang dengan musuh. Nabi ﷺ susun mereka satu persatu. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah mereka kena tetap duduk di situ.

Daripada sejarah, kita dapat tahu bahawa perletakan kedudukan itu amat penting. Yang paling terkenal adalah kedudukan pemanah. Nabi ﷺ telah meletakkan kedudukan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat memanah musuh dari kedudukan tinggi itu. Nabi ﷺ sudah pesan, walaupun nampak burung mematuk mayat tentera Islam sekalipun, mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat itu. Maknanya, walaupun umat Islam kalah, mereka tidak boleh tinggalkan tempat itu sebelum mendapat arahan daripada Nabi ﷺ.

Pertempuran awalnya telah menyebelahi tentera Islam. Walaupun mereka sedikit, tetapi mereka sedang memenangi pertempuran itu. Mereka telah membunuh seorang demi seorang tentera musuh dengan mudah. Sampaikan tentera bertempiaran lari dan mula meninggalkan medan peperangan.

Waktu itulah sebahagian daripada pasukan pemanah telah membuat kesalahan besar meninggalkan kedudukan strategik mereka untuk membantu mengumpulkan harta rampasan perang. Alasan mereka adalah kerana tentera Islam telah menang. Mereka telah lupa pesanan Nabi ﷺ. Mereka juga telah ingkar kepada arahan ketua mereka yang berada di atas bukit sekali. Sampaikan hanya beliau seorang sahaja yang tinggal kerana orang bawahannya telah turun mengumpul harta di medan perang.

Malangnya semasa musuh Islam melarikan diri, panglima perang musuh, Khalid al Walid nampak daripada ekor matanya yang pasukan pemanah telah meninggalkan tempat mereka. Beliau telah nampak peluang keemasan untuk menukar nasib mereka. Maka beliau telah mengumpulkan semula tentera Musyrikin Mekah dan telah pusing kembali dan menyerang dari arah belakang dan mengambil tempat pasukan pemanah.

Keadaan telah beralih. Sekarang tentera Islam pula yang digasak oleh pihak Musyrikin Mekah. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tercedera dan patah gigi baginda (walaupun perkara ini ada dikritik juga kerana dalam Hadith Syamail Nabi ﷺ, tidak disebut gigi Nabi ﷺ rongak). Sehinggakan keluar khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Ia memberi kesan negatif kepada tentera Islam hinggakan Umar رضي الله عنه sendiri telah patah semangat untuk terus berjuang.

وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ‎ﷻ mendengar apa yang mereka sedang katakan. Allah ‎ﷻ tahu apa yang terjadi. Semua yang terjadi adalah dalam pengetahuan dan perancangan Allah‎ ﷻ. Tidak ada yang terlepas daripada pengetahuan Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-122

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا

(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat

Terdapat dua suku daripada tentera Islam yang terasa (هَمَّت) ingin mundur dan tidak mahu meneruskan peperangan kerana takut. Satu daripada Bani Harithah daripada Aus dan satu lagi Bani Salamah daripada Khazraj. Mereka mulanya hendak melarikan diri apabila mula perang. Mereka hilang semangat untuk berperang. Namun mereka selepas itu masuk balik dalam barisan peperangan.

وَاللَّهُ وَلِيُّهُما

padahal Allah Pelindung mereka;

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang akan memberi perlindungan kepada mereka tetapi mereka tidak mahu ikut serta pada asalnya. Mesti yakin dahulu dalam hati yang Allah ‎ﷻ akan beri perlindungan. Mesti rela serahkan diri kepada Allah ‎ﷻ.

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

Orang beriman akan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan taat untuk menunaikan arahan berperang kerana mereka tahu yang mereka akan tetap mendapat kebaikan. Kalau menang perang itu, mereka akan mendapat harta rampasan dan kalau kalah dan terbunuh, akan dapat mati syahid. Maknanya, apa sahaja yang terjadi, mereka tidak akan rugi.

Inilah pengajaran yang ada dalam jihad perang. Memang orang yang sudah di medan jihad telah melalui banyak dugaan. Untuk hadir ke medan perang itu pun sudah berperang dengan jiwa dan menolak kehendak nafsu yang banyak. Mereka yang berjaya datang itu sebenarnya sudah serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-123

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badr, sedang kamu berkeadaan lemah

Allah‎ ﷻ mengingatkan yang Dia telah membantu tentera Islam semasa Perang Badr. Waktu itu tentera Islam amat kurang bilangan dan kurang peralatan perang. Pengalaman berperang pun kurang. Maknanya, kurang belaka dalam segala hal. Namun Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kemenangan kepada mereka dengan qudrat-Nya sebab kekuatan dalaman yang ada pada orang Islam waktu itu.

Maka jangan takut untuk berjihad kerana Allah ‎ﷻ akan bantu. Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia sudah pernah bantu pada waktu dahulu.

فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur

Bertaqwalah kepada Allah ‎ﷻ. Mudah-mudahan dengan taqwa itu kamu boleh bersyukur atas jasa Allah ‎ﷻ. Salah satu yang mereka kena bersyukur adalah kerana mereka dapat berperang bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ.

Maka taqwa adalah salah satu syarat untuk mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ di dalam peperangan.

Tafsir Ayat Ke-124

إِذ تَقولُ لِلمُؤمِنينَ أَلَن يَكفِيَكُم أَن يُمِدَّكُم رَبُّكُم بِثَلٰثَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُنزَلينَ

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”

إِذ تَقولُ لِلمُؤمِنينَ

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman

Pada permulaan Perang Uhud itu, Allah ‎ﷻ memberi wahyu kepada Nabi ﷺ dan Nabi ﷺ berkata kepada orang mukmin yang mahu menyertai perang itu. Ini diberikan untuk memberi semangat kepada mereka.

أَلَن يَكفِيَكُم أَن يُمِدَّكُم رَبُّكُم بِثَلٰثَةِ ءآلٰفٍ مِّنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ مُنزَلينَ

“Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”

Allah ‎ﷻ berjanji akan menurunkan tiga ribu malaikat untuk membantu mereka. Ini salah satu cara Allah ‎ﷻ memenangkan umat Islam. Pelbagai cara Allah ‎ﷻ boleh tolong, dan bukan dengan menurunkan malaikat sahaja. Sebagaimana dalam Perang Ahzab, tiada bantuan malaikat, tetapi tentera Islam boleh menang juga. Dalam Perang Ahzab itu, Allah ‎ﷻ telah menghantar angin sahaja untuk mengkucar kacirkan tentera musuh. Jadi tidak semestinya Allah ‎ﷻ beri bantuan melalui malaikat.

Disebut tiga ribu malaikat pada waktu itu kerana mereka sudah dengar yang tentera musuh dari Mekah pun seramai tiga ribu juga. Allah ‎ﷻ boleh sahaja turunkan lebih banyak lagi daripada itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan