Sesi Live Streamyard UiTO: Tauhid dalam Ibadah dan Doa – Makna Syahadah
In sya’a Llah, Jumaat, 19 Feb 2021 jam 8:00 malam – 9:00 malam, sesi Streamyard bersama Ustaz Abu Tolhah Solahuddin sambungan Tauhid dalam Ibadah dan Doa – Makna Syahadah
In sya’a Llah, Jumaat, 19 Feb 2021 jam 8:00 malam – 9:00 malam, sesi Streamyard bersama Ustaz Abu Tolhah Solahuddin sambungan Tauhid dalam Ibadah dan Doa – Makna Syahadah
🔆🔆🔆🔆
Optimisme dalam Al-Qur’an
Firman Allah ﷻ:
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ {124}
وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَىٰ رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ {125}
Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turannya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, dan mereka merasa
Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.
[At Taubah: 124-125]
✍ Komen Ibn Katsir رحمه الله:
Orang munafik, semakin banyak mereka membaca/mendengar Al-Qur’an, mereka menjadi semakin pesimis, semakin sakit dan semakin ragu; manakala orang beriman, iman mereka semakin bertambah, semakin optimis, semakin yakin.
_______________________
*⃣ Optimis (تفاؤلٌ), Tafa’ul berasal daripada bahasa latin optima (terbaik), mengharapkan yang terbaik daripada sebarang situasi, atau berfikiran positif.
*⃣ Pesimis (تشاؤمٌ),Tasya’um bermaksud kebalikan daripada tafa’ul, sangka buruk kepada Allah ﷻ, berfikiran negatif, merasa sial, nampak gagal, rugi dan kekalahan.
🔆🔆🔆🔆
Optimisme dalam Al-Qur’an
كثيرٌ من الأخيارِ تفاءلوا بالأمرِ الشّاقِّ العسير ، ورأوْا في ذلك خيْراً على المنهجٍ الحقِّ
Orang yang hebat biasanya amat optimis dengan masalah getir yang menimpa mereka, namun mereka melihat yang positif bila berada di atas manhaj yang benar. Firman Allah ﷻ:
وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
[Al-Baqarah: 216]
🔆🔆🔆🔆
Sikap optimis Abu Darda’ رضي الله عنه
فهذا أبو الدرداءِ يقولُ : أُحبُّ ثلاثاً يكرهُها الناسُ : أحبُّ الفَقْرَ والمرَضَ والموْتَ ، لأنَّ الفقرَ مسكنةٌ ، والمرضَ كفَّرةٌ ، والموت لقاءٌ باللهِ عزَّ وجل (سير أعلام النبلاء » الصحابة رضوان الله عليهم » أبو الدرداء: 2/336)
Abu Darda’ (w. 32H, Ansar, sahabi, wafat Damsyiq) berkata, “Aku menyukai tiga perkara yang dibenci manusia: kefakiran, sakit, dan kematian. Ini kerana kefakiran itu ketenangan, sakit itu pelebur dosa dan kematian adalah pertemuan dengan Allah عزَّ وجل.” (Riwayat az Zahabi, Siyar A’lam An Nubala, 2/336)
⚠️ Peringatan:
Hujah ini menjadi dalil kepada kaum sufi/tareqat untuk kekal dalam kefakiran, tidak mahu berubat jika jatuh sakit dan mendedahkan diri mereka kepada kematian dengan sengaja.
🔆🔆🔆🔆
Optimis dengan hukuman penjara
وقال يوسُفُ عليهِ السلامُ عنِ السجنِ : * السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ *
Nabi Yusof عليه السلام mengulas dengan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya: “Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka.”
[Yusof: 33]
🔐 Syarah:
Ia mengenai Yusof عليه السلام yang difitnah oleh wanita, diajak untuk melakukan maksiat. Namun baginda lebih rela memilih hukuman penjara daripada maksiat. Inilah sikap optimis seorang Rasul.
🔆🔆🔆🔆
Optimis dengan Penjara
وعليُّ بنُ الجهم يقولُ عنِ الحبْسِ أيضاً :
قالوا حُبِسْت فقلتُ ليس بضائري حبسْي وأيُّ مهنَّدٍ لا يُغْمدُ
Ali bin Al Jahm (penyair era Abbasiyah, wafat 249H, Baghdad) berkata mengenai penjara (kerana beliau pernah dipenjara oleh Khalifah Al Mutawakil): Beliau dengan optimis melantunkan syairnya:
🎵
“Mereka berkata, engkau dihukum penjara…
Aku berkata, peduli apa dengan penjara..
Setiap pedang pasti akan dimasukkan ke dalam sarungnya.”
* Tafsir Al Qasimi, tafsir Surah Yusof, 9/596
🔆🔆🔆🔆
Optimis dengan Kematian
والموتُ أحبَّه كثيرٌ ورحَّبوا بهِ ، فمعاذٌ يقولُ : مرحباً بالموتِ ، حبيبٌ جاء على فاقةٍ ، أفلح منْ ندم
Kematian pula dari satu sudut optimis, dicari dan menyenangkan bagi sesetengah orang. Mu’az bin Jabal رضي الله عنه berkata, “Selamat datang wahai kematian, kekasih yang datang saat ketika diperlukan, yang membuat orang menyesal menjadi senang.” (Ibn Manzur, Mukhtasar tarikh Dimasq ( مختصر تاريخ دمشق), 2/360
✍ Tahqiq:
Apa yang disampaikan oleh Dr Aidh Al Qarni boleh disalah erti mengenai pandangan Islam terhadap kematian. Hukum asal, kematian adalah kengerian, ketakutan. Maksudnya tidak boleh seseorang mengharapkan atau mendoakan kematian. Dalil:
-425- وَعَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ( لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ اَلْمَوْتَ لِضُرٍّ يَنْزِلُ بِهِ, فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ: اَللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ اَلْحَيَاةُ خَيْرًا لِي, وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ اَلْوَفَاةُ خَيْرًا لِي ) مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada Anas رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah sekali-kali seseorang di antara kamu menginginkan mati kerana kesusahan yang menimpanya, bila ia benar-benar menginginkannya hendaknya ia berdoa: Ya Allah hidupkanlah aku selama kehidupan itu lebih baik bagiku dan wafatkanlah aku jika sekiranya itu lebih baik bagiku.”
(Muttafaq Alaihi)
Cuma apa yang dsampaikan oleh Muaz رضي الله عنه ialah sikap umum terhadap kematian apabila sampai masanya atau jika hidup di zaman fitnah, zaman dipenuhi Dajjal, maka dianjurkan bersikap positif dengan kematian.
🔆🔆🔆🔆
Yahudi pesimis dengan kematian
Firman Allah ﷻ tentang Yahudi dan kematian
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu
[Al Jumu’ah: 8]
ولكنَّ الآخرين تذمَّرُوا من الموتِ وسبُّوه وفرُّوا منهُ .
فاليهودُ أحرصُ الناسِ على حياةٍ ، قال سبحانه وتعالى عنهمْ
Kebanyakan orang mengeluh saat kematian menjemputnya, bahkan membenci kematian dan berusaha melarikan diri daripadanya, laksana kaum Yahudi, mereka kaum yang paling menyintai kehidupan, ingin hidup abadi…
🔆🔆🔆🔆
Bercita cita mati di jalan Allah ﷻ
والقتلُ في سبيل اللهِ أمنيةٌ عذْبةٌ عند الأبرارِ الشرفاءِ : * فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ
Adapun mati di jalan Allah ﷻ merupakan cita-cita yang didambakan oleh golongan Al Abrar (yang berbakti) lagi mulia, Firman Allah ﷻ:
مِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (giliran mati syahid) dan mereka tidak merubah (janjinya),
[Al-Ahzab:23]
Syair Abdullah bin Rawahah رضي الله عنه*
وابنُ رواحة ينشدُ :
لكنَّني أسألُ الرحمنَ مغفرةً وطعنةً ذات فزعٍ تقذِفُ الزَّبدا
🎵
Tetapi aku memohon keampunan dari Ar Rahman
dan memohon tusukan yang mengejutkan
lagi memuntahkan buih
___________________________
*⃣ Ibn Rawahah adalah sahabat awal daripada suku Khazraj, Ansar Madinah, syahid di Perang Mu’tah.
🔆🔆🔆🔆
Bercita-cita mati di jalan Allah ﷻ
ويقولُ ابنُ الطِّرِمَّاح :
أيا ربَّ لا تجعلْ وفاتِي إنْ أتتْ على شرْجَعَ يعلو بحُسْنِ المطارِفِ
ولكنْ شهيداً ثاوياً في عصابةٍ يُصابون في فجٍّ مِن الأرض خائفِ
Penyair Ibn Thirimmah atau At Thirimah bin Al Hakim daripada Bani Ta’i (Yemen) (wafat 125H, Kufah (الطِّرماح بن حكيم بن الحكم (ت. 125 هـ/743م) شاعر إسلامي ):
🎵
Ya Tuhan
Janganlah Engkau jadikan kematianku
di atas (katil) dan ditutupi dengan kain selimut
tetapi berilah syahid kepadaku
berada dalam golongan yang terluka
di negeri yang jauh lagi menakutkan
🔆🔆🔆🔆
Kematian idaman Arab Badwi
وقال الأعرابيُّ : واللهِ إني أكرهُ الموت على فراشي ، فكيف أطلبُه في الثغورِ
Berkata seorang arab badwi (arab kampung), “Demi Allah, aku benci di atas pembaringanku, bagaimana aku ingin mencari (kematianku) di hujung pedang (mati syahid)…
Firman Allah ﷻ:
قُلْ فَادْرَءُوا عَنْ أَنْفُسِكُمُ الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: “Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar”.
[Ali Imran: 168]
قُلْ لَوْ كُنْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ الَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقَتْلُ إِلَىٰ مَضَاجِعِهِمْ ۖ
Katakanlah: “Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh”. [Ali Imran: 154]
Maka pilihlah CARA kematian kamu…
إنَّ الوقائع واحدةٌ لكنَّ النفوس هي التي تختلفُ
” Realitinya kematian itu sama, cuma jiwa jiwa (cara kematian) itu berbeza.”
Mati tetap sama, semua akan mati, tetapi cara kematian itu yang membezakan manusia.
In sya’a Llah, Khamis, 18 Februari 2021 jam 9:00 malam – 10:00 malam, sesi Streamyard bersama Ustaz Azlizan Nayan membicarakan Tafsir Surah Musabbihat iaitu sambungan Surah al-Hadid (Ayat Ke-15 dan seterusnya).
Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-120
Jika tidak jelas kebencian mereka kepada kita orang Islam, maka Allah ﷻ berikan lagi alamat tanda kebencian mereka.
Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.
Kalau kamu beroleh kebaikan, ia akan menyakitkan hati mereka;
Jika umat Islam dapat kebaikan, mereka akan sakit hati. Kebaikan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Antaranya kalau umat Islam menang dalam peperangan, atau bersatu hati dan bekerjasama sesama sendiri. Mereka berbulu sahaja mata bila nampak kita maju atau semakin ramai dan kuat.
dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.
Kalau umat dapat musibah, mereka akan bergembira. Ini adalah kerana kebencian mereka yang amat sangat terhadap kita. Katakanlah kita dapat bencana alam contohnya, mereka akan suka, mereka akan kata padan muka orang Islam itu.
Kalau orang Islam ramai mati mereka tidak kisah pun. Tengoklah bagaimana kalau penduduk Islam mati di Palestin dan sudah entah berapa ramai yang telah mati, mereka buat tidak kisah sahaja. Namun kalaulah ada seorang sahaja mati dalam kalangan orang Israel itu dibaling batu sahaja pun, mereka akan bising satu dunia.
Jadi apa yang kita perlu lakukan?
Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.
Kalau kita sudah tidak baik dengan mereka, mereka tentu tidak suka dan mungkin akan melakukan sesuatu seperti boikot kita dan sebagainya. Kalau jadi begitu, Allah ﷻ suruh kita bersabar.
Maksud sabar adalah dengan ikut syari’at Allah ﷻ. Biar sahaja dengan apa yang mereka lakukan. Serahkan segalanya kepada Allah ﷻ kerana apa sahaja yang berlaku, bukan atas tangan mereka tetapi Allah ﷻ yang menentukan apa yang akan terjadi. Kita tidak akan rugi kerana kita tetap terus ikut syari’at. Maka kena ingat yang sabar itu dengan ikut syari’at. Bukanlah sabar kosong sahaja.
Daripada ayat ini, kita kena yakin yang apa-apa sahaja tindakan mereka tidak akan membahayakan kita. Jadi tidak perlu bimbang. Ini mengajar kita bagaimana tindakan kita apabila baca pelbagai kisah konspirasi daripada musuh Islam. Kita hendak buat apa pun tidak tahu kerana mereka bergerak secara rahsia. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.
Allah ﷻ tahu apa mereka yang buat, bukannya Allah ﷻ tidak tahu. Kita sendiri jangan risau. Allah ﷻ akan uruskan, bukan Allah ﷻ tidak boleh buat apa, bukannya Allah ﷻ sengaja hendak biarkan kita dalam kesusahan. Apa yang mereka lakukan itu adalah ujian daripada Allah ﷻ, dan sekarang cuma beritahu sahaja yang Dia mengepung mereka.
Maknanya kita sudah boleh tenang-tenang sahaja kerana mereka dan usaha mereka tidak akan ke mana. Ke mana lagi mereka hendak pergi? Apa lagi yang mereka boleh buat kalau Allah ﷻ tidak benarkan usaha mereka berjaya?
KISAH PERANG UHUD
Tafsir Ayat Ke-121
Ayat ini adalah jawapan kepada syubhat (persoalan) kenapa kadang-kadang umat Islam kalah di medan perang. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa kekalahan itu adalah kerana kecuaian umat Islam sendiri. Bukanlah kekalahan itu kerana Allah ﷻ tidak mahu bantu. Allah ﷻ tentu akan bantu umat Islam tetapi umat Islam sendiri kenalah memenuhi syarat-syarat untuk mendapat bantuan daripada Allah ﷻ. Jadi, ini mengajar kita bahawa bila perang, kena ikut syarat.
Salah satu yang kena diikuti adalah: taat kepada Nabi dan pemimpin. Dalam perang Uhud, Nabi ﷺ sudah susun kedudukan tentera dengan cara spesifik. Ada yang ditugaskan menjaga kedudukan yang strategik; antaranya Nabi ﷺ meletakkan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat mengawal medan peperangan.
Namun begitu, ada yang tidak taat dan tidak tetap di kedudukan yang telah diletakkan oleh Nabi ﷺ itu. Nabi Muhammad ﷺ sudah pesan kepada pasukan pemanah yang di atas bukit, jangan tinggalkan tempat itu walau apa pun yang terjadi. Dalam riwayat disebut ‘walaupun burung mematuk mayat orang Islam’. Namun apabila pihak musuh lari bertempiaran, mereka telah turun untuk menolong kumpul harta yang ditinggalkan pihak musuh.
Itulah kesilapan fatal mereka. Padahal bukan boleh ambil terus pun harta itu kerana hanya Nabi ﷺ sahaja boleh bahagikan. Mereka langgar pesanan Nabi ﷺ kerana mereka sangka mereka sudah menang. Antara hujah mereka, Nabi ﷺ melarang turun kalau mereka kalah, tetapi sekarang mereka sedang menang, jadi tidaklah salah kalau mereka turun.
Ini sudah jadi satu salah faham yang besar. Di mana salah mereka? Mereka menggunakan akal mereka dan melanggar arahan Nabi ﷺ. Dari segi teknikal, bolehlah dikatakan yang mereka tidak salah namun sebenarnya mereka salah fikir juga. Inilah bahaya kalau guna akal dan menolak wahyu. Ini seperti puak Muktazilah juga yang menggunakan akal dalam hal agama.
Jadi ada yang melanggar arahan Nabi ﷺ pada waktu itu. Memang mereka melakukan kesalahan. Namun Allah ﷻ sudah maafkan mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ takdirkan mereka melakukan kesalahan supaya menjadi contoh kepada kita. Namun begitu, sekali lagi kena ingat yang Allah ﷻ sudah maafkan mereka.
Maka janganlah kita ikut seperti golongan yang benci kepada para sahabat sampai mencaci mereka disebabkan perkara ini. Siapa kita hendak menghina sahabat Nabi ﷺ? Kena sedar kedudukan kita kalau dibandingkan dengan mereka. Jangan lebih sudu daripada kuah pula.
Jadi sekarang kita akan masuk kepada kisah Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tahun sebelumnya puak Musyrikin Mekah telah kalah dalam Perang Badr. Jadi kali ini mereka datang dengan lebih ramai bala tentera lagi dengan tujuan untuk balas dendam. Mereka sudah sangka mereka akan menang kali ini kerana persediaan mereka lebih hebat lagi.
Semasa Badr, mereka terdiri daripada seribu orang dan kali ini yang datang adalah seramai tiga ribu orang. Tahun lepas, ketua perang mereka adalah Abu Jahal dan dia telah mati. Tahun ini, pasukan tentera diketuai oleh antaranya Abu Sufyan dan Khalid al Walid. (Mereka berdua akhirnya masuk Islam).
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu
Ketika baginda keluar dari rumah isteri baginda Aisyah رضي الله عنها pada pagi hari.
dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang
Tujuannya adalah untuk mengatur tentera Islam bagi meletakkan mereka di tempat yang strategik untuk berperang dengan musuh. Nabi ﷺ susun mereka satu persatu. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah mereka kena tetap duduk di situ.
Daripada sejarah, kita dapat tahu bahawa perletakan kedudukan itu amat penting. Yang paling terkenal adalah kedudukan pemanah. Nabi ﷺ telah meletakkan kedudukan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat memanah musuh dari kedudukan tinggi itu. Nabi ﷺ sudah pesan, walaupun nampak burung mematuk mayat tentera Islam sekalipun, mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat itu. Maknanya, walaupun umat Islam kalah, mereka tidak boleh tinggalkan tempat itu sebelum mendapat arahan daripada Nabi ﷺ.
Pertempuran awalnya telah menyebelahi tentera Islam. Walaupun mereka sedikit, tetapi mereka sedang memenangi pertempuran itu. Mereka telah membunuh seorang demi seorang tentera musuh dengan mudah. Sampaikan tentera bertempiaran lari dan mula meninggalkan medan peperangan.
Waktu itulah sebahagian daripada pasukan pemanah telah membuat kesalahan besar meninggalkan kedudukan strategik mereka untuk membantu mengumpulkan harta rampasan perang. Alasan mereka adalah kerana tentera Islam telah menang. Mereka telah lupa pesanan Nabi ﷺ. Mereka juga telah ingkar kepada arahan ketua mereka yang berada di atas bukit sekali. Sampaikan hanya beliau seorang sahaja yang tinggal kerana orang bawahannya telah turun mengumpul harta di medan perang.
Malangnya semasa musuh Islam melarikan diri, panglima perang musuh, Khalid al Walid nampak daripada ekor matanya yang pasukan pemanah telah meninggalkan tempat mereka. Beliau telah nampak peluang keemasan untuk menukar nasib mereka. Maka beliau telah mengumpulkan semula tentera Musyrikin Mekah dan telah pusing kembali dan menyerang dari arah belakang dan mengambil tempat pasukan pemanah.
Keadaan telah beralih. Sekarang tentera Islam pula yang digasak oleh pihak Musyrikin Mekah. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tercedera dan patah gigi baginda (walaupun perkara ini ada dikritik juga kerana dalam Hadith Syamail Nabi ﷺ, tidak disebut gigi Nabi ﷺ rongak). Sehinggakan keluar khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Ia memberi kesan negatif kepada tentera Islam hinggakan Umar رضي الله عنه sendiri telah patah semangat untuk terus berjuang.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ mendengar apa yang mereka sedang katakan. Allah ﷻ tahu apa yang terjadi. Semua yang terjadi adalah dalam pengetahuan dan perancangan Allah ﷻ. Tidak ada yang terlepas daripada pengetahuan Allah ﷻ.
Tafsir Ayat Ke-122
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat
Terdapat dua suku daripada tentera Islam yang terasa (هَمَّت) ingin mundur dan tidak mahu meneruskan peperangan kerana takut. Satu daripada Bani Harithah daripada Aus dan satu lagi Bani Salamah daripada Khazraj. Mereka mulanya hendak melarikan diri apabila mula perang. Mereka hilang semangat untuk berperang. Namun mereka selepas itu masuk balik dalam barisan peperangan.
padahal Allah Pelindung mereka;
Sebenarnya Allah ﷻ yang akan memberi perlindungan kepada mereka tetapi mereka tidak mahu ikut serta pada asalnya. Mesti yakin dahulu dalam hati yang Allah ﷻ akan beri perlindungan. Mesti rela serahkan diri kepada Allah ﷻ.
kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
Orang beriman akan bertawakal kepada Allah ﷻ. Mereka akan taat untuk menunaikan arahan berperang kerana mereka tahu yang mereka akan tetap mendapat kebaikan. Kalau menang perang itu, mereka akan mendapat harta rampasan dan kalau kalah dan terbunuh, akan dapat mati syahid. Maknanya, apa sahaja yang terjadi, mereka tidak akan rugi.
Inilah pengajaran yang ada dalam jihad perang. Memang orang yang sudah di medan jihad telah melalui banyak dugaan. Untuk hadir ke medan perang itu pun sudah berperang dengan jiwa dan menolak kehendak nafsu yang banyak. Mereka yang berjaya datang itu sebenarnya sudah serahkan segalanya kepada Allah ﷻ.
Tafsir Ayat Ke-123
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badr, sedang kamu berkeadaan lemah
Allah ﷻ mengingatkan yang Dia telah membantu tentera Islam semasa Perang Badr. Waktu itu tentera Islam amat kurang bilangan dan kurang peralatan perang. Pengalaman berperang pun kurang. Maknanya, kurang belaka dalam segala hal. Namun Allah ﷻ yang telah memberikan kemenangan kepada mereka dengan qudrat-Nya sebab kekuatan dalaman yang ada pada orang Islam waktu itu.
Maka jangan takut untuk berjihad kerana Allah ﷻ akan bantu. Allah ﷻ mengingatkan yang Dia sudah pernah bantu pada waktu dahulu.
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur
Bertaqwalah kepada Allah ﷻ. Mudah-mudahan dengan taqwa itu kamu boleh bersyukur atas jasa Allah ﷻ. Salah satu yang mereka kena bersyukur adalah kerana mereka dapat berperang bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ.
Maka taqwa adalah salah satu syarat untuk mendapat pertolongan Allah ﷻ di dalam peperangan.
Tafsir Ayat Ke-124
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman
Pada permulaan Perang Uhud itu, Allah ﷻ memberi wahyu kepada Nabi ﷺ dan Nabi ﷺ berkata kepada orang mukmin yang mahu menyertai perang itu. Ini diberikan untuk memberi semangat kepada mereka.
“Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”
Allah ﷻ berjanji akan menurunkan tiga ribu malaikat untuk membantu mereka. Ini salah satu cara Allah ﷻ memenangkan umat Islam. Pelbagai cara Allah ﷻ boleh tolong, dan bukan dengan menurunkan malaikat sahaja. Sebagaimana dalam Perang Ahzab, tiada bantuan malaikat, tetapi tentera Islam boleh menang juga. Dalam Perang Ahzab itu, Allah ﷻ telah menghantar angin sahaja untuk mengkucar kacirkan tentera musuh. Jadi tidak semestinya Allah ﷻ beri bantuan melalui malaikat.
Disebut tiga ribu malaikat pada waktu itu kerana mereka sudah dengar yang tentera musuh dari Mekah pun seramai tiga ribu juga. Allah ﷻ boleh sahaja turunkan lebih banyak lagi daripada itu.
Allahu a’lam.
Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi
Kod/Bab 20: Bab Cara Kematian Manusia yang berbeza
(باب كيفية التوفي للموتى ؟ و اختلاف أحوالهم في ذلك)
20-1: Cara kematian dalam Al-Qur’an
Pendekatan Al-Qur’an, ia menceritakan proses kematian secara umum dan ada ketika secara terperinci, lihat beberapa contoh:
(Iaitu) Orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat [An Nahl: 32]
(Iaitu) Orang-orang yang dimatikan oleh para malaikat dalam keadaan berbuat zalim kepada diri mereka sendiri, [An Nahl: 28]
Ia menunjukkan cara kematian secara umum, manakala ayat contoh kematian secara tepat pula:
Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata): “Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar”, (tentulah kamu akan merasa ngeri) [Al Anfaal: 50]
Tafsir ayat ini [Al Anfal:50]
Kata Al Qurthubi, ayat ini khusus untuk cara dimatikan orang kafir (Quraish) yang terbunuh di Perang Badar. Ini disepakati oleh ahli takwil Al-Qur’an, manakala yang menyelisihi ialah Al Mahdawi (ulama Tafsir Morocco, w.430H) ia mentafsir, ia adalah penghinaan ke atas semua orang kafir, dimatikan dengan cara dipukul oleh malaikat maut.
Tahqiq: Apa kata Ibn Kathir رحمه الله mengenai ayat ini?
Ibn Katsir رحمه الله juga mentafsirkan untuk umum, semua orang kafir akan dipukul muka dan belakang mereka bukan khusus untuk orang kafir Quraish di medan Badar sahaja.
20-2: Cara kematian menurut As Sunnah
Sementara itu (Imam) Muslim meriwayatkan dalam (sahihnya) sebuah hadith yang panjang, Abu Zumil (Simak bin Al walid Al Kufi, murid Ibn Abbas رضي الله عنهما ) bercerita daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما , beliau berkata, “ (Kisah daripada Perang Badar) Tatkala ada seorang lelaki daripada kaum Muslimin berupaya keras mengejar seorang lelaki daripada kaum musyrikin yang ada di depannya, tiba-tiba dia mendengar suara pukulan cambuk di angkasa dan suara seorang penunggang kuda berseru, “Cepatlah, hai Haizum!!” Tiba-tiba dia melihat orang musyrik yang ada di depannya tadi telah jatuh terlentang. Dia memeriksanya, ternyata telah terpotong hidungnya dan terbelah mukanya, akibat pukulan cemeti. Maka orang-orang menyaksikan peristiwa itu semuanya. Lalu seorang sahabat Ansar menemui Rasulullah ﷺ untuk melaporkan kejadian itu. Maka sabda baginda, “Kamu benar. Itu adalah bantuan dari langit kedua.” (Sahih Muslim, 1723, juga No.4686), kitab Jihad dan Ekspedisi, ( كتاب الجهاد والسير).
Pada hari itu kaum Muslimin berhasil membunuh seramai 70 orang, dan menawan 70 orang lainnya daripada kaum musyrikin.” Seterusnya, sebagaimana dituturkan oleh Abu Zumil.
(باب كيفية التوفي للموتى ؟ و اختلاف أحوالهم في ذلك)
20-3: Cara malakul maut mencabut nyawa serentak
Bagaimana cara malaikat Maut mencabut dalam satu waktu beberapa nyawa manusia yang meninggal di timur dan barat?
Jawapannya, bahawa kata “Tawaffaa” adalah berasal daripada “Tawaffaitu Addaina” dan “Istaufaitu Ad-Daina” ertinya: Saya memegang [menerima] hutang tanpa menyisakan sedikitpun daripadanya. Dan terkadang kata “Tawaffaa” dikaitkan dengan malaikat Maut, kerana dialah yang melakukan pekerjaan ini; Terkadang dikaitkan dengan para pembantunya, kerana merekalah yang akan melaksanakannya; Dan terkadang dikaitkan dengan Allah ﷻ , kerana Dia-lah hakikatnya yang mematikan,
sebagaimana firman-Nya:
Allah ﷻ memegang jiwa (orang) ketika matinya [Az Zumar: 42]
Dan Dialah Allah ﷻ yang telah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu (lagi), sesungguhnya manusia itu, benar-benar sangat mengingkari nikmat [Al Hajj: 66]
Jadi, malaikat yang disuruh melakukan pekerjaan, pada hakikatnya dia hanya melaksanakan apa yang diperintahkan Allah ﷻ .
Rumusan:
Menjawab isu bagaimana manusia dimatikan serentak diseluruh dunia? Jawapannya, ini urusan Allah ﷻ dan kemudian Allah ﷻ memberi tugasan kepada malaikat maut yang melaksanakan operasi mencabut nyawa di seluruh dunia. Malaikat cuma melaksanakan tugasan khas, pelaksana sahaja.
20-4: Athar Al Kalabi (dhaif)
Al-Kalabi (tabi’in Kufah, w. 146H) mengatakan: “Malaikat Maut mencabut nyawa daripada jasad, lalu menyerahkannya kepada Malaikat Rahmat, jika yang dicabut itu nyawa seorang mukmin. Jika nyawa yang kafir maka dia serahkan kepada Malaikat Adzab. Pengertian inilah yang diterangkan dalam sebuah hadith Al-Bara’. (Akan dibahaskan nanti dalam bab lain).
Komentar muhaqqiq (Dr Sadiq Ibrahim), tiada ditemui asalnya akan kata-kata ini.
20-5: Sebuah khabar (dhaif)
Dalam sebuah khabar daripada Nabi ﷺ dinyatakan, “Sesungguhnya Malaikat Maut memanggil roh-roh, sebagaimana seorang daripada kamu sekalian memanggil anak kudanya, atau anak sapihan kudanya, “Hai, ke marilah. Hai ke marilah!”
Pada khabar tersebut di atas Nabi ﷺ menyatakan yang maksudnya, “Bahawa malaikat Maut itu memanggil roh orang-orang yang akan dimatikan dan dicabut oleh Allah ﷻ.
Tahqiq:
Tiada asalnya dalam mana-mana kitab sunan.
20-6: Khabar (dhaif)
Dan dalam khabar lainnya, bahawa Malaikat Maut duduk. Di hadapannya ada lembaran tempat menulis ajal orang itu di malam Nisfu Sya’ban, iaitu malam untuk segala urusan yang penting-penting dijelaskan, seperti rezeki dan ajal manusia, manakala menurut pendapat sebahagian ulama’, seperti Ikrimah dan lainnya. Yang benar, malam dijelaskannya urusan yang penting-penting adalah lailatul Qadar, iaitu menurut pendapat Qatadah, Al-Hasan, Mujahid dan lain-lain. Pendapat kedua ini berdasarkan firman Allah ﷻ yang ertinya:
“Haa Miim. Demi kitab [Al-Qur’an] yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya [Al-Qur’an] pada suatu malam yang diberkahi.” [Ad-Dukkhan: 1-3] yakni Lailatul Qadar.
Menurut Ibnu Abas رضي الله عنهما bahawa Allah ﷻ membuat keputusan-keputusan di malam Nisfu Sya’ban, lalu menyerahkannya kepada para Malaikat yang akan menguruskannya di malam lailatul Qadar. Bererti Ibnu Abbas رضي الله عنهما menggabungkan antara dua pendapat.
Tahqiq:
Khabar ini didhaifkan oleh Al Syaukani dan Al Albani Al Syaukani, Fathul Qadir, 4/801 dan Al Albani, Silsilah Al Dha’ifah, no 6607.
ضعفه الشوكاني في “فتح القدير” (4/801) ، وقال الألباني في “السلسلة الضعيفة” (رقم/6607) : منكر
20-7: Khabar Abu Asy-Syaikh (dhaif)
Apabila usia orang yang akan dicabut nyawanya telah habis, maka gugurlah dari Sidratul Muntaha selembar daun di mana nama orang itu tertulis. Daun itu gugur dan jatuh persis pada lembaran yang ada di tangan Malaikat Maut tadi. Dengan demikian maka diketahuilah bahawa umurnya telah habis, ajalnya telah tiba, dan jatah makanannya telah terputus. (Khabar riwayat Abu Al Syaikh, w. 369H, Isfahan, dalam Tabaqat Al Muhaddithin, 2/76)
menurut muhaqqiq Dr Sadiq, dhaif, tiada sanad).
20-8: Khabar Daun Sidratul Muntaha (dhaif)
Dan menurut khabar lagi, bahawa Malaikat Maut ada di bawah Arsy, dan lembaran-lembaran orang-orang yang akan mati berjatuhan kepadanya. Adapun yang dimaksud dengan lembaran-lembaran itu adalah daun-daun Sidratul Muntaha.
Tahqiq: Tiada sanad, cuma khabar sahaja.
20-9: Khabar Ibn Abbas رضي الله عنهما (dhaif)
Tersebut pula dalam khabar tentang (malam) Isra’, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما , daripada Nabi ﷺ , baginda bercerita, “Aku melewati malaikat lainnya sedang duduk di atas kerusi. Dan ternyata dunia dengan segala penghuninya itu berada di antara kedua lututnya. Di tangan Malaikat itu ada sebuah lauh [lembaran] tertulis, yang dia renungi tanpa menoleh ke kanan-kiri. Maka aku bertanya, ‘Hai Jibril, siapa ini?’ Jibril menjawab, ‘Ini Malaikat Maut.’
Aku menegurnya, ‘Hai malaikat Maut, bagaimana kamu dapat mencabut nyawa orang di muka bumi, di darat mahupun di laut?’
‘Tidakkah kamu lihat,’ kata Malaikat Maut, ‘Bahawa dunia ini seluruhnya ada di antara kedua lututku, semua makhluk ada didepan mataku, dan kedua tanganku biasa mencapai timur dan barat. Apabila ajal seseorang manusia telah habis, maka aku memandang kepadanya. Dan apabila aku memandang kepadanya maka para pembantuku tahu bahawa orang itu akan dicabut nyawanya. Ketika nyawa telah mencapai tenggorokan, maka aku melihat hal itu, dan tidak ada satupun urusan orang itu yang samar bagiku. Aku hulurkan tanganku untuk mencabut nyawa daripada jasadnya. Dan urusan pencabutan nyawa berikutnya adalah terserah kepadaku.’”
Takhrij: Athar dikeluarkan oleh Ibn Mardawaih (Asfahan, w.410H) Dalam tafsirnya, Ibn Arak Al Kanani (Syria, w.963H) tanzih Asy Syari’ah , 1/155
Tahqiq:
Syaikh Syed bin Husin Al Affaani, Sakbul ‘Abarat (سكب العبرات), Hadith no 361, Mauquf kepada Ibn Abbas رضي الله عنهما .
(20-10: Khabar daripada Imam Al Ghazali (dhaif/Tiada asalnya)
Dalam sebuah khabar lainnya dinyatakan, bahawa kepada orang yang akan mati itu didatangi empat (4) Malaikat, ada yang menarik nyawanya daripada kaki kanannya, ada yang menariknya daripada kaki kiri, ada yang menariknya daripada tangan kanannya, ada yang menariknya daripada tangan kiri. Demikian disebutkan oleh Abu Hamid (Al Ghazali)
Khabar ini panjang tetapi tiada guna menyalinnya di sini kerana tidak sahih.
Tahqiq: Dr Sadiq Ibrahim
Al Ghazali, Khasyaf Uloom Al Aakhirah, 16; Kebanyakan apa yang dikatakan oleh Abu Hamid perlu ditinjau kembali dari segi kesahihan khabar-khabar yang disampaikannya. Khabar ini tiada asalnya).
20-11: Atsar Mu’az bin Jabal رحمه الله (dhaif)
Bahawa Abu Nu’aim bercerita daripada Ahmad bin Abdullah bin Mahmud, daripada Muhammad bin Ahmad bin Yahya, daripada Salamah bin Syabib, daripada Al-Walid bin Muslim, daripada Tsaur bin Yazid, daripada Khalid bin Ma’dan, daripada Mu’adz bin Jabal رحمه الله , “Sesungguhnya Malaikat Maut عليه السلام mempunyai tombak [yang panjangnya] mencapai jarak antara timur dan barat. Apabila ajal seseorang di dunia telah habis, maka malaikat Maut memukul kepalanya dengan tombak itu seraya berkata, “Sekarang kamu akan diajak berkunjung ke rombongan orang-orang mati.”
Takhrij:
Abu Nuaim, Hilyatul Auliya’ mukarsurat 211
Tahqiq:
Isnadnya dhaif: Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah [5/214], sebagaimana dinyatakan Ibn Tulun (w. 953, Damsyiq) dalam At-Tahrir Al-Murasakh [329], muhaqqiq Khalid Uthman, juga dhaif kerana perawi yang majhul).
20-12: Atsar Imam Malik bin Anas رحمه الله (tiada asalnya)
Menurut riwayat Sulaiman bin Mahir Al-Kilabi*, daripada Malik bin Anas رحمه الله, beliau ditanya oleh seseorang, “Hai Abu Abdullah, apakah yang mencabut nyawa kutu-kutu juga Malaikat Maut?” Malik menunduk lama, kemudian balik bertanya, “Apakah kutu-kutu itu juga mempunyai roh?”
“Ya,” jawab orang itu. Maka Malik menegaskan, “Malaikat Maut juga mencabut nyawa mereka.” Sesuai dengan firman-Nya: “Allah ﷻ memegang nyawa-nyawa ketika matinya.” (اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا) [az-Zumar: 42] (HR Malik dalam Muwatta’ No 317).
Demikian disebutkan oleh Al-Khatib Abu Bakar Al Khatib Al Baghdadi.
Tahqiq athar Malik bin Anas رحمه الله
Beliau athar. Terdapat perawi Sulaiman bin Mahir Al Kilabi yang tidak dikenali (majhul), demikian menurut Dr Sadiq Ibrahim.
Tambahan:
Isu siapakah yang mencabut nyawa haiwan?
Ini khilaf dalam kalangan Ulama usul kerana tiada dalil sahih yang menyokongnya.
Rumusan Dr Soleh Al Munajjid (Islam QA).
Adapun isu pencabutan nyawa haiwan, tidak seperti persoalan roh manusia yang ada dalilnya dengan jelas. Persoalan roh haiwan menurutnya tidak ada dalil yang sahih baik daripada Al-Qur’an mahupun Hadith. Yang ada, adalah riwayat yang kualitinya sebenarnya lemah.
* Sulaiman bin Mahir Al Kilabi tidak ada biografinya menurut muhaqqiq Syed Ibrahim.
Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-117
Mereka sesat dengan mengorbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infaq mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini
Dalam kitab tafsir disebut infaq dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan iaitu anak murid bayar kepada guru ulama’ su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka.
Memang begitulah keadaan kalau ajaran sesat. Kita boleh lihat ada guru-guru tarekat kaya raya tetapi anak murid miskin sahaja. Ini kerana proses pengambilan duit daripada anak murid. Anak murid punyalah berkhidmat dengan tok guru mereka tetapi amalan yang diajar adalah ajaran sesat.
Kalau dalam ajaran Syiah pula, pengikut kena bayar 1/5 dari pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Ini dipanggil ‘khumus’. Khumus memang ada dalam Islam tetapi tidaklah seperti yang mereka pesongkan. Begitulah kalau anak murid yang jahil, mereka terus terima sahaja ajaran tok guru yang sesat. Mereka sendiri yang akan rugi.
Atau ia juga boleh dikatakan tentang Musyrikin Mekah yang mengumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai mengumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infaq tetapi infaq itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.
Jadi, ini mengajar kita bahawa infaq yang diterima hanyalah infaq dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluarkan duit juga, tetapi persoalannya, ke manakah kita infaq duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bid’ah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.
samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;
Seperti angin yang sangat kuat, di dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman.
Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Namun ia dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tetapi musnah begitu sahaja.
Sudah tentu dia sedih. Dia akan lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaqnya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja. Begitulah nanti perasaan orang-orang sesat apabila melihat ‘hasil’ dari infaq mereka yang salah itu.
Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.
Bukanlah Allah ﷻ zalim tetapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka mengabaikan arahan Allah ﷻ. Kita kena ingat yang Allah ﷻ tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.
Tafsir Ayat Ke-118
Untuk mengelakkan Yahudi Nasara membinasakan umat Islam, kita mesti bersatu dalam dakwah kepada makruf dan nahi mungkar. Barulah kita dapat menjaga agama kita. Ini satu lagi nasihat yang Allah ﷻ berikan kepada kita supaya kita jaga betul-betul.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dalam kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam”
Jangan ambil bukan orang Islam sebagai teman rapat kita. Maksudnya, jangan jadikan mereka teman rapat, penasihat, setiausaha kita dan sebagainya. Maksudnya, jangan jadikan mereka sebagai orang yang dipercayai.
Ini kerana kalimah بِطَانَةً ada kena mengena dengan ‘perut’ kerana بَطنٌ adalah perut. Ia adalah istilah dalam bahasa Arab mengenai kawan yang boleh simpan rahsia kita dalam perut. Itulah tempat kita mengadu dan kita ceritakan kepada mereka rahsia yang kita tidak cerita kepada orang biasa. Allah ﷻ mengingatkan umat Islam supaya jangan beritahu rahsia tentang Islam kepada orang bukan Islam.
Kita kena faham bahawa Arab Madinah mempunyai ramai kawan-kawan dalam kalangan Yahudi dan Nasara yang mereka telah kenal lama, sebelum masuk Islam lagi. Mereka berkongsi kehidupan, berkongsi cerita dan berkongsi rahsia sebelum itu. Namun apabila mereka sudah masuk Islam, persahabatan dengan mereka tidak sama lagi kerana sudah berlainan agama.
Jangan salah anggap pula. Masih boleh lagi berkawan dengan mereka, tetapi berkawan biasa sahajalah. Jangan sampai menceritakan berita-berita rahsia dalam perancangan Islam. Lebih-lebih lagi waktu-waktu peperangan kerana rahsia peperangan adalah rahsia yang amat besar. Kita tidak tahu kalau kita beritahu kepada orang luar Islam, kepada siapakah lagi yang mereka akan beritahu. Entah-entah mereka akan sampaikan kepada musuh kita pula. Maka, Allah ﷻ beri peringatan kepada orang Islam dalam ayat ini.
Kita mungkin sangka mereka itu masih rapat dan baik lagi dengan kita, tetapi perbezaan agama bukanlah perkara mudah. Sebagai satu kisah, ada yang masih ingat lagi bagaimana kehidupan di Palestin sebelum Israel mengambil alih. Orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup bersama-sama dan bercampur gaul.
Dulunya mereka duduk berjiran dan boleh bergelak ketawa, anak-anak mereka main bersama-sama, membesar bersama-sama. Namun, sebaik sahaja Israel mengambil alih Palestin, mereka tiba-tiba sudah menjadi lain. Mereka tutup pintu rumah mereka, tidak bertegur sapa malah mengambil alih tanah kawan-kawan mereka yang Muslim.
Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.
Orang kafir yang jahat hati itu tidak putus-putus hendak menimbulkan kesusahan kepada kamu umat Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam dari luar atau dari dalam. Mereka akan buat pelbagai cara untuk menyusahkan umat Islam. Kita mungkin tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu kita.
Mereka suka apa yang menyusahkan kamu.
Mereka suka kalau kita ditimpa bencana. Sebab mereka memang benci kepada kita. Dalam hati mereka berkeinginan hendak menyusahkan kita, baik dunia atau akhirat. Jadi jangan ambil mereka rapat dengan kita.
Sebagai contoh, orang-orang Syiah memang diajar untuk berbuat khianat kepada ahlus sunnah. Pernah sampai cerita kepada kita bagaimana mereka jamu makan di rumah mereka, tetapi mereka letak najis dalam makanan.
Maka kena berhati-hati dengan orang kafir. Bukan tidak berkawan langsung, tetapi jangan kongsi rahsia dengan mereka kerana kita diajar untuk berbaik dengan semua orang, jangan caci maki orang lain walaupun berlainan agama. Kita diajar untuk hidup harmoni dengan semua agama. Namun kita kena tahu batas-batas kita.
Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,
Dengan lidah mereka telah menzahirkan kebencian mereka. Lihatlah di media massa sekarang, bagaimana mereka kata kita adalah agama yang menyebabkan teroris, agama yang menekan orang perempuan, ada yang suruh bakar Al-Qur’an, mereka ada yang tidak suka orang Islam tinggal di negara mereka sampaikan mereka ingin menghalau orang Islam, ada yang mengharamkan pakai tudung kepada orang perempuan, dan banyak lagi. Ini baru yang kita dengar di media massa.
Kalau kita tidak mengamalkan Islam, mereka tidak kisah kepada kita, tidak kacau kita, malah mereka suka kalau ada orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam. Namun kalau kita mengamalkan agama Islam seperti yang sepatutnya, mereka akan benci kita. Dalam percakapan mereka pun mereka sudah zahirkan. Daripada kata mereka pun kita sudah dapat agak.
dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.
Apa yang dalam hati mereka lagi teruk dari apa yang mereka luahkan di dunia nyata. Selalunya orang tidak akan keluarkan apa yang dalam hati mereka di khalayak ramai. Namun bayangkan kalau sudah terkeluar di media massa, tentu dalam hati mereka lebih teruk lagi kerana apa yang mereka keluarkan di media tentulah mereka tidak meluahkan sepenuhnya, mereka tidak keluarkan semua kerana mereka segan juga dengan masyarakat dunia.
Kita memang tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Namun begitu, Allah ﷻ beritahu kita, dalam hati mereka lebih teruk lagi benci mereka kepada kita. Kalau boleh mereka hendak bunuh kita dan lenyapkan kita dan agama Islam dari dunia.
Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Alamat kebencian mereka kepada kita, Allah ﷻ sudah tunjukkan dalam ayat-ayat ini. Maka kitalah kena fikir-fikirkan sendiri. Allah ﷻ suruh kita gunakan akal kita.
Tafsir Ayat ke-119
Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Qur’an). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Kamu ini adalah orang-orang, kamu sahajalah yang suka mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.
Allah ﷻ menegur kita dalam ayat ini. Kamu sahaja yang kasih kepada mereka (penentang Islam) tetapi mereka tidak kasih pun kepada kamu. Kamu sahaja yang tergila-gilakan kepada mereka, tiru cara hidup mereka, cara pakaian mereka, cara pemikiran mereka dan sebagainya. Namun mereka bencikan kamu.
kamu beriman kepada segala Kitab Allah
Kamu beriman kepada semua kitab suci, asalkan daripada Allah ﷻ kamu pasti terima, tetapi mereka menggunakan kitab mereka sahaja dan yang lain mereka tolak. Yahudi terima Taurat dan tolak Injil dan Nasara terima Taurat dan Injil, tetapi tolak Al-Qur’an.
Antara lain, sebab kita beriman kepada semua kitablah yang mereka benci kita. Mereka tidak beriman dengan ikhlas. Mereka beriman dengan perkara yang akan memenangkan mereka sahaja.
Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”,
Cuma mereka itu pandai berkawan dan berhelah. Bila dengan kita, mereka kata mereka suka agama Islam, agama Islam ada persamaan dengan mereka, agama Islam dan agama mereka lebih kurang sahaja, sama-sama mengajak kepada kebaikan, dan banyak lagi mereka kata supaya kita lembut kepada mereka. Mulut mereka manis sahaja kalau di hadapan kita.
tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah
Namun kalau sesama mereka, mereka akan kutuk kita. Entah apalah mereka akan katakan dan gelakkan tentang kita, kita pun tidak tahu. Kadang-kadang kita terdengar juga sebab mereka sangka kita tidak dengar apa yang mereka kata. Mereka tengok kita dengan geram sahaja. ‘Gigit hujung jari’ itu adalah perumpamaan marah sangat dengan kita.
katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”.
Kita disuruh cakap kepada mereka begini: Kamu semua pergi matilah dengan kebencian kamu itu.
Keras sekali apa yang Allah ﷻ katakan ini.
Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka, dan sekarang Allah ﷻ telah beritahu kita. Begitu juga, Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati kita. Jadi kalau kita ada simpan kasih sayang lagi kepada mereka, itu sudah salah.
Allahu a’lam.
Alahan pada kulit bagi pesakit kencing manis
Soalan 1:
Doktor, kulit anak saya mudah terkena alahan. Berusia 22 tahun dan aktif bermain futsal. Adakah bintik-bintik merah (rujuk gambar) selepas digaru ini tanda alahan juga? Saya risau dia ada kencing manis kerana sebelum ni dia gemar minum air manis.
Jawapan:
Tidak semestinya anak puan menghidap kencing manis tetapi lebih baik jika membuat pemeriksaan darah untuk memastikan tiada sebarang penyakit.
[‘Akantosis nigrikans’ merupakan masalah ‘hiperpempigmenan’ (kulit menjadi gelap disebabkan oleh pengumpulan lebihan melanin) yang kerap kali terjadi pada beberapa bahagian badan. Ia sering dikaitkan dengan masalah kencing manis. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami keadaan ini, tidak semestinya anda mempunyai masalah kencing manis. Terdapat punca lain yang boleh memberikan manifestasi kulit yang sebegini rupa. Rawatan terhadap punca tersebut akan mengembalikan warna kulit pada bahagian yang tersenarai kembali pulih kepada warna kulit asal.
Selain daripada kencing manis, faktor risiko lain seperti individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan mereka yang mempunyai keadaan ‘pre-diabetes’ turut menyumbang kepada terjadinya permasalahan ini.]
https://hellodoktor.com/pusat-kesihatan/diabetes-ms/kulit-kencing-manis/#gref
Suhu penyaman udara yang sesuai untuk bayi
Soalan 2:
Bolehkah bayi berusia 2 bulan tidur dalam bilik yang berhawa dingin?
Jawapan:
Boleh, tetapi suhu bilik perlu dikawal dengan had 22-25 darjah sahaja.
[Tidak ada masalah untuk meletakkan bayi di bawah pendingin hawa. Malah, dalam keadaan iklim yang panas dan lembap seperti di Malaysia, bayi mungkin rasa lebih selesa jika berada di dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa.
Kebanyakan doktor bersetuju adalah lebih baik untuk meletakkan bayi di bawah pendingin hawa daripada membiarkan bayi dalam keadaan panas di dalam bilik yang tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.
Bayi masih lagi tidak boleh menyesuaikan suhu badan kepada keadaan sekeliling seperti orang lain. Oleh itu, bayi lebih mudah rasa panas dan mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa.
Bayi juga akan mudah mendapat ruam jika berada dalam keadaan panas terlalu lama.
Menurut pakar, bilik yang lebih selesa juga boleh menurunkan risiko untuk bayi mati mengejut (Sudden infant death syndrome SIDS).
Jika anda rasa bilik terlalu sejuk, maka, bayi anda pun mungkin rasa yang sama. Oleh itu, cuba sesuaikan suhu supaya bayi anda rasa lebih selesa ya!]
https://hellodoktor.com/keibubapaan/penjagaan-kanak-kanak/pendingin-hawa-bayi-tidur/#gref
Titik Hitam (Blind Spot) pada mata
Soalan 3:
Mata kiri saya sering nampak seperti ada satu titik hitam seolah-olah titik hitam itu bergerak mengikut gerakan anak mata saya. Adakah saya menghidap sebarang penyakit?
Jawapan:
Perlu berjumpa optometri untuk memeriksa medan penglihatan dan memastikan ‘blind spot’ atau titik buta tidak membesar.
[Di belakang mata kita terdapat reseptor yang menerima cahaya dan menghantar maklumat ini ke otak untuk diterjemahkan supaya kita dapat maklumat berkenaan dengan apa yang kita lihat. ‘Photoreceptor’ ini akan bersambung kepada saraf optik yang berfungsi untuk membawa maklumat ke otak di kawasan yang dipanggil sebagai cakera optik (optic disc)
Cakera optik ini terdapat di bahagian retina dan ia tidak mengandungi sebarang reseptor untuk menerima maklumat cahaya dari luar. Ini menyebabkan imej objek yang jatuh di bahagian tersebut tidak akan dapat dilihat oleh seseorang.]
https://thediagnosa.com/titik-buta-punca-ujian-melihat-kewujudannya/
Serangga melekat pada mata
Soalan 4:
Doktor, bagaimanakah hendak membuang kutu babi yang melekat pada mata anak seperti di dalam gambar yang tertera?
Jawapan:
Tarik dengan malar sehingga kutu melepaskan gigitan, jangan rentap giginya takut akan tertinggal melekat di kulit.
[Cara untuk melepaskan gigitan kutu babi dari kulit, kena tunggu sehingga ia jatuh atau boleh juga cuba kuis sedikit dan perlu berhati-hati, sebaiknya dibunuh terus kutu tersebut untuk mengelakkan mudarat pada mangsa. Berikut petua untuk mengatasi masalah kutu babi:
Ambil sedikit tembakau dan lembapkan dengan sedikit air kemudian tekapkan pada tempiras atau kutu tersebut lebih kurang 20 saat hingga tempiras tertanggal atau mati. Boleh juga rendam tembakau dan titiskan air tembakau pada tempiras.
Letak sedikit minyak cap kapak pada kapas kemudian sapukan pada badan tempiras tersebut dan apabila tempiras tersebut rasa panas dia akan keluar atau mati.
Letak sedikit minyak gamat pada kapas kemudian sapukan pada badan tempiras tersebut.
Sembur racun serangga seperti Ridsect/Shiedtox pada putik kapas kemudian letakkan pada kutu tersebut.
Sapukan minyak tanah pada tempiras dan tunggu sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.
Sapukan cuka pada tempiras dan tunggu sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.
Rendam bahagian yang digigit tempiras dalam air garam sehingga serangga tersebut melepaskan gigitannya.
Sapukan kapur sirih di tempat bahagian yang digigit kutu babi dan tunggu sehingga ia jatuh.
Ini ialah cara terakhir jika keadaan terlalu kritikal. Kebiasaannya pihak hospital akan merujuk pada pakar telinga dalam masalah tempiras di dalam telinga. Doktor akan sembur sejenis cecair ke dalam telinga dan menarik keluar tempiras tersebut.]
Kesahihan berita Covid-19
Soalan 5:
Mohon pencerahan dengan berita yang tular mengatakan Covid-19 hanya seperti mengidap selesema biasa, tidak menyebabkan kematian, data-data yang diragukan serta berita vaksin yang boleh memberikan kesan kepada tubuh manusia.
Jawapan:
Sila ambil berita sahih daripada pihak yang berkuasa dan pakar.
[Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memaklumkan umum mengenai situasi terkini COVID-19 dengan menyalurkan berita sahih, tepat dan cepat. Dalam pada Kerajaan menangani penularan COVID-19, Kerajaan juga perlu menangani isu mesej tular iaitu penularan berita palsu (fake news) dan maklumat tidak sahih yang sengaja dibuat demi kepentingan sesetengah pihak. Tindakan ini adalah sama sekali tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai.]
http://covid-19.moh.gov.my/sorotan/102020/kesahihan-maklumat-covid-19-di-malaysia
Angiogram
Soalan 6:
Doktor, mohon pencerahan adakah rawatan jantung ‘Angiogram’ boleh mendatangkan kemudaratan kepada pesakit?
Jawapan:
Angiogram bukan rawatan tetapi ialah satu kaedah untuk mendiagnos salur darah jantung yang tersumbat.
[Angiografi adalah salah satu daripada prosedur radiologi untuk mengkaji saluran darah di dalam arteri atau vena. Untuk pemeriksaan X-ray biasa, saluran darah tidak dapat dilihat, media kontras akan disuntik ke dalam salur darah anda untuk memperlihatkan saluran darah dalam kawasan pemeriksaan.]
http://www.myhealth.gov.my/angiografi/
Keperluan Omega Untuk Tubuh Manusia
Soalan 7:
Doktor, merujuk kepada gambar di sebelah. Berapa banyak kandungan Omega diperlukan oleh tubuh manusia?
Jawapan:
Setiap dinding sel badan kita terdiri daripada sel lemak. Sel lemak ini penting untuk berbagai-bagai fungsi.
Antaranya,
1) membenarkan zat keluar masuk.
2) melindungi dalaman sel.
3) kawal aktiviti luar dan dalam sel.
Dalam dinding sel ini, ada kandungan lemak tidak tepu. Boleh merujuk kepada PUFAs untuk bacaan lanjut, ia terdiri daripada Omega 3 (antiradang) & Omega 6 (pro radang).
Tubuh kita pada zaman moden ini tinggi radang dan radang inilah yang menjadi punca penyakit kronik.
Makanan tinggi omega 6 mengandungi radang tinggi. Contohnya, minyak soya, minyak jagung, minyak bunga matahari banyak digunakan dalam makanan jajan & makanan pek.
Makanan omega 3 sukar diperoleh kerana biasanya makanan ‘wild & free range’.
Sekarang, ternakan seperti ikan, ayam pun diberi makan pelet dan dedak. Semua itu diproses daripada jagung yang tinggi omega 6.
Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-113
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama semuanya
Tidak sama mereka semuanya. Oleh itu, jangan kita pukul rata mereka semuanya dengan kata mereka semua jahat belaka. Ada yang masuk Islam dan menjadi umat yang baik.
Ada yang memang menanti Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi kerana mereka tahu dari kitab-kitab mereka yang mengatakan Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Antara mereka itu, macam Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi, Abdullah bin Salam dan banyak lagi.
Zaman sekarang pun masih ada orang Yahudi yang masuk Islam dan selalunya, kalau mereka masuk Islam, mereka akan jadi umat Islam yang baik, kerana mereka memang jenis manusia yang bijak dan pandai. Malah mereka lebih baik lagi daripada kita.
Begitulah, yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah sifat-sifat Yahudi itu, bukan mereka sendiri. Kalau ada orang yang sifat seperti sifat-sifat Yahudi itu, mereka pun dikutuk juga, bukanlah kerana bangsa mereka itu. Ini kena tahu bezakan. Jangan kita tengok Bani Israel sahaja, terus kita kutuk mereka. Kerana ada antara mereka yang memang baik. Dan ingatlah, ada isteri Nabi yang dari Bani Israel itu. Tidaklah kita hendak kutuk ummul mukminin pula?
Dan jangan kutuk Bani Israel sedangkan entah kita ada sifat mereka pula. Sebab itu kena belajar sifat mereka dan bandingkan dengan kita. Allah SWT ajar sifat mereka dalam Al-Qur’an supaya kita boleh elak daripada sifat mereka.
Di antaranya ada golongan yang tetap tegak dalam taat
Ada antara mereka yang menegakkan kebenaran. Mereka masuk Islam dan menjadi insan yang baik.
mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam,
Lihatlah bagaimana mereka membaca ayat-ayat Allah di malam hari. Mereka itu jika masuk Islam, memang menjadi insan yang taat. Mereka baca dan faham dan mereka amalkan. Tetapi orang kita, baca Al-Qur’an namun tidak faham-faham. Bila orang luar kutuk Al-Qur’an, melenting habis satu kampung, tetapi apa yang dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu.
dan mereka sujud
Maksudnya, mereka mendirikan Solat. Sebenarnya, dalam syariat mereka pun ada sujud juga kerana mereka juga asalnya mendirikan solat. Cuma zaman sekarang sahaja mereka sudah tidak solat kerana mereka telah tukar agama mereka.
Cuma cara solat mereka dahulu pun memang lain sedikit dari syariat Islam. Antaranya, dikatakan yang mereka akan sujud dulu, baru rukuk sedangkan dalam syariat kita, akan rukuk dulu. Atau pun, dalam syariat mereka, tidak ada rukuk pun.
Tafsir Ayat Ke-114
Apakah lagi sifat-sifat mereka?
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Ada juga dalam kalangan mereka dahulu yang tidak berbuat syirik walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum diangkat menjadi Nabi. Mereka terdiri daripada yang meneruskan amalan agama mereka tanpa ditokok tambah. Contohnya, ada antara mereka yang tidak menyembah Isa عليه السلام sebagai ilah dan tidak menganggap Nabi Isa عليه السلام sebagai ‘Anak Tuhan’.
Apabila mereka memeluk Islam, mereka benar-benar beriman dengan Allah ﷻ dan juga dengan Hari Akhirat – Ini adalah kerana maklumat tentang hari akhirat telah diberi kepada semua Nabi. Umat mereka sepatutnya tahu. Sampai sekarang pun, kita boleh lihat bagaimana dalam agama mereka masih tahu tentang perkara kehidupan selepas mati.
Maklumat yang ada pada mereka sekarang tidaklah banyak. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan di akhirat kelak sampaikan mereka mengagak-agak sahaja. Lihatlah bagaimana dalam filem-filem mereka tentang syurga dan neraka, pelbagai cara mereka persembahkan. Antaranya, mereka membayangkan bagaimana di syurga nanti, semuanya akan memakai baju putih, jalan-jalan dengan gembira dan sebagainya. Lain filem, lain cara mereka persembahkan.
Oleh kerana tidak ada maklumat, maka setiap orang daripada mereka akan membayangkan cara syurga dan neraka yang berlainan. Ini semua kerana maklumat tentang akhirat telah tidak ditekankan lagi dalam agama mereka.
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah
Malah, ada yang hebat di antara mereka yang menjalankan amar makruf nahi mungkar. Semenjak dahulu lagi sudah ada puak yang menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan mereka.
Ini memang satu kerja yang amat sukar sebenarnya. Kita kadangkala mudah untuk beramal dan menjadi orang baik, namun bab menegur orang memang susah. Tambahan pula manusia memang tidak suka ditegur. Habis melenting kalau perbuatan atau amalan mereka ditegur.
Kerana itulah ajaran Sunnah di negara kita ini amat dibenci sampai dituduh-tuduh ajaran Wahabi. Padahal kita hendak mengamalkan sunnah sahaja. Dalam sunnah memang ada perbuatan menegur kerana manusia kalau tidak ditegur, memang akan ke laut jadinya.
Oleh kerana manusia tidak suka ditegur, maka ramai dalam kalangan kita senyapkan sahaja amalan salah masyarakat. Ini kerana kalau kita tegur, nanti mereka bermasam muka dengan kita. Kita pun malas hendak melayan perangai sebegitu.
Masalah dengan para ustaz pun tidak berani hendak menegur kerana kalau ditegur, nanti anak murid tidak suka, sudah tidak panggil mereka untuk datang ke kelas pengajian, majlis makan-makan dan sebagainya. Buatlah apa sahaja, asalkan jangan ditegur. Pernah seorang ustaz yang agak popular dalam masyarakat kerana beliau datang dari negara luar namun fasih berbahasa Melayu. Pada mulanya ramai suka, tetapi sejak dia mula menegur amalan bid’ah masyarakat, teruk dia dikutuk. Sampai ada yang membuat laporan polis terhadap beliau.
Kerana itulah juga ajaran salah senang bercambah di negara ini. Ini kerana ajaran-ajaran sesat itu tidak menegur amalan masyarakat. Mereka hanya ‘tambah’ amalan baru sahaja. Ini tidak mengapa bagi masyarakat kerana kalau tambah, masih ok lagi. Jangan tegur sahaja.
Maka janganlah kita segan dan takut untuk menegur. Biarlah manusia tidak suka, asalkan Allah ﷻ suka. Kita bukan hendak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ﷻ. Dengan manusia, akan ada sahaja masalah yang akan membezakan kita. Kalau tidak kerana politik, kerana beza pasukan bola sahaja. Jadi biarlah kita berbeza dan menegur bab agama.
dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.
Ini adalah tambahan yang ada pada golongan mereka: mereka bersegera kepada melakukan kebajikan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Ini mengajar kita juga supaya jangan menjadi malas. Kita hendaklah mencari peluang juga. Niatkan setiap hari selepas bangun tidur: “Apa kebaikan aku nak buat hari ini? Siapa yang aku nak tolong? Siapa yang aku nak ajar? Apa yang aku boleh baiki kehidupan manusia lain hari ini?”
Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.
Mereka itulah orang-orang yang soleh. Malangnya, banyak daripada ajaran yang benar dalam agama mereka telah ditukar dan kerana itu agama mereka telah rosak. Mereka kemudian tidak lagi menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, maka mereka telah ditukar dengan umat Islam yang lain.
Kita kena jadikan mereka sebagai peringatan untuk kita. Kalau kita pun meninggalkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, maka Allah ﷻ boleh menukar kita dengan puak yang lain yang akan menjalankan tugas itu. Tidak sukar untuk Allah ﷻ untuk menukarkan kita dengan umat yang lain. Jangan perasan kita ini istimewa sangat.
Agama Islam sedang berkembang pesat di negara barat seperti di Eropah. Mereka itu lebih hebat daripada kita kerana apabila mereka memeluk Islam, mereka belajar dengan betul. Kita kebanyakannya agama warisan sahaja, tidak faham pun tentang agama Islam sebenarnya. Jadi mereka yang baru masuk Islam yang lebih hebat daripada kita sebenarnya.
Tafsir Ayat Ke-115
Sebelum ini ada disebut tentang ahli kitab yang beriman dan beramal soleh. Kepada mereka itu, tidak perlu bimbang, kerana tidak hilang penghargaan daripada Allah ﷻ. Tidak sia-sia amalan mereka itu. Asalkan baik, mereka akan dibalas oleh Allah ﷻ di akhirat kelak.
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari
Maksudnya, amalan ahli-ahli kitab itu diterima oleh Allah ﷻ. Ini adalah tentang mereka yang mengamalkan ajaran agama mereka dengan benar, walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Nabi. Ini kerana mereka tidak mengamalkan syirik, cuma mereka tidak dapat bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, maklumat tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak masuk Islam lagi pada waktu itu.
Ini adalah munasabah kerana maklumat ketika zaman itu tidaklah selaju zaman sekarang. Ayat ini memberitahu, bahawa amalan mereka diterima asalkan mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah syarat, kerana kalau mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah sampai, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.
Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
Selalu ada persoalan, bagaimana dengan mereka yang tidak sampai kepada mereka ajaran Nabi Muhammad ﷺ? Mungkin mereka tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memungkinkan mereka tahu tentang Islam? Pertamanya, ini bukan perkara yang patut kita bimbangkan, kerana yang kita kena bimbangkan adalah hal diri kita, bukan diri orang lain.
Keduanya, kita kena yakin yang Allah ﷻ itu adil. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ buat, Allah ﷻ tidak akan sesekali berlaku zalim.
Ada satu riwayat hadith, bagaimana ada manusia yang tidak berpeluang sampai kepada mereka dakwah Islam. Di akhirat nanti, mereka pun kata bahawa kalaulah sampai dakwah kepada mereka, mereka tentunya akan masuk Islam. Maka Allah ﷻ arahkan mereka lompat ke dalam neraka. Ada yang lompat dan ada yang berhujah lagi dengan Allah ﷻ.
Maka, kepada mereka yang berhujah itu, Allah ﷻ akan kata bagaimana mereka kata mereka akan percaya kepada Dia, sedangkan arahan Dia pun mereka tidak ikut? Maksud daripada riwayat ini, itu adalah ujian daripada Allah ﷻ. Mereka yang taat kepada Allah ﷻ dengan melompat ke dalam neraka sebenarnya melompat masuk ke dalam syurga. Mereka yang tetap berhujah itu, mereka itu telah gagal dalam ujian itu. Maksudnya, Allah ﷻ tetap akan uji dan Allah ﷻ tidak zalim, percayalah.
Tafsir Ayat Ke-116
Ini adalah ayat takhwif ukhrawi
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikit pun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada (azab) Allah sedikit pun,
dan mereka itu ialah ahli neraka;
Di akhirat nanti akan masuk neraka. Mereka pegang geran Neraka. Itulah maksud ‘sahabat neraka’ iaitu kekal dalam neraka. Tidak sama dengan golongan yang masuk neraka tetapi tidak kekal. Mereka ini dinamakan ‘jahannamiyyun’.
mereka kekal di dalamnya
Mereka bukan duduk tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi mereka akan kekal selama-lamanya di sana kerana mereka pemegang geran Neraka. Kalau orang mukmin, tetapi ada dosa, dia akan masuk neraka dahulu dan kemudian akan masuk ke syurga akhirnya, kerana dia pemegang geran Syurga. Dia cuma duduk di neraka untuk cuci dosa sahaja.
Allahu a’lam.
Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-109
Ini adalah dalil aqli kelima.
Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,
Apa sahaja yang ada di alam ini, termasuklah kita, adalah milik Allah. Kita kena rasa diri rendah diri bila baca ayat-ayat seperti ini. Dan bila kita milik Allah, kita tidak ada hak melawan dan buat tidak tahu dengan kehendak-Nya. Kita kena belajar apakah arahan-Nya dan kita kena taat.
dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
Semua perkara kembali kepada Allah SWT. Allah SWT yang akan buat keputusan atas segala perkara termasuklah segala amal perbuatan kita. Allah SWT juga yang menentukan apa yang akan terjadi. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang hina, yang menjadi hamba-Nya, hendaklah belajar untuk redha dengan apa sahaja yang terjadi. Kerana semua perkara yang terjadi adalah dalam penentuan-Nya, dalam hikmah-Nya. Kita sahaja yang tidak nampak perancangan Allah SWT.
Tafsir Ayat Ke-110
Umat Islam kena jadi umat seperti sahabat Nabi. Dan sekarang disampaikan kepada kita ayat ini yang menceritakan keadaan para sahabat sebagai motivasi kepada kita.
Ayat ini adalah tentang amar makruf nahi mungkar. Kita boleh masuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini kalau kita buat sama seperti apa yang mereka lakukan.
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
Ayat ini ditujukan kepada para sahabat. Kita belum tentu lagi seperti mereka. Sahabat adalah sebaik-baik umat yang boleh dijadikan sebagai contoh. Mereka terbaik dari segi akidah dan amalan. Oleh itu, neraca kita adalah sahabat.
Oleh sebab itu, dalam amalan agama, kita kena selalu tanya, adakah sahabat buat amalan-amalan sebegitu? Kerana mereka belajar sendiri daripada Nabi dan mereka lebih faham agama daripada kita. Oleh itu, ada amalan-amalan yang kita kena periksa. Adakah amalan itu ada dibuat oleh mereka?
Sebagai contoh, adakah mereka melakukan Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Majlis Tahlil, Talqin, berdoa di kubur dan sebagainya? Kalau tidak ada, maka ada masalah kalau masyarakat kita ada mengamalkan amalan-amalan sebegitu. Kerana orang yang terbaik dalam agama tidak buat, jadi kenapa kita pula ada buat?
Para sahabat telah diberi kedudukan yang tinggi kerana Allah SWT pilih mereka untuk jadi sahabat. Perkataan ‘dikeluarkan’ dalam ayat ini maksudnya ‘dipilih’. Dalam ramai-ramai manusia dalam alam ini, mereka yang diberi peluang untuk duduk berjuang dan berdakwah bersama dengan Nabi SAW.
Lalu, kalau kedudukan mereka tinggi sebegitu sampai dipuji oleh Allah SWT, bagaimana mungkin ada golongan seperti Syiah yang sanggup untuk mengatakan mereka murtad setelah Nabi SAW wafat? Ini memang amat karut sekali? Tetapi bagaimana puak-puak Syiah ini boleh dapat tempat di negara kita yang kita cintai ini?
Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelemahan ilmu agama masyarakat kita. Mereka sampai senang ditipu dan diperdaya oleh diayah-diayah golongan sesat sebegitu. Mereka pandai memutar-belitkan fakta agama dan kerana orang kita sendiri tidak ada pengetahuan agama, mereka senang terpedaya. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu agama tuan-tuan. Dan ajarlah anak beranak dan sahabat handai supaya tidak senang ditipu.
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah
Para sahabat itu sebar agama. Mereka sampai telah mengembara ke serata dunia untuk menyampaikan agama Islam ini kepada umat manusia. Sampaikan ramai sahabat yang mati di negara yang jauh dari Mekah dan Madinah.
Bukan sahaja mereka berdakwah tetapi mereka menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Kita pun kenalah juga buat apa yang mereka lakukan. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Kena tegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana memang banyak yang ada masalah.
Kita tidak boleh biarkan sahaja kerana kalau kita biarkan, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu tidaklah salah. Malangnya, ustaz-ustaz di negara kita memang segan hendak tegur anak murid kerana takut mereka lari dari belajar. Mereka jaga sangat hati anak-anak murid.
Memang mereka hendak jaga sensitiviti masyarakat, tetapi kesannya amat bahaya. Bila tidak dijalankan amar makruf nahi mungkar, maka anak murid akan rasa: “takkan salah, kerana kalau salah tentu ustaz aku dah tegur!”
serta kamu pula beriman kepada Allah
Para sahabat itu benar-benar beriman dengan Allah SWT dengan sebenar-benar iman. Iman yang sempurna adalah tidak melakukan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Ini penting untuk difahami kerana ada orang yang beriman dengan Allah SWT, dengan Rasul dan lengkap Rukun Iman mereka, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada kepercayaan kepada fahaman syirik.
Maka kena belajar apakah iman para sahabat, bagaimana mereka faham tentang tauhid, tentang akidah. Janganlah pakai pegangan yang direka lama selepas mereka tidak ada!
Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah itu baik bagi mereka.
Ini kelebihan bagi Ahli Kitab. Kalau mereka beriman, mereka akan dapat dua ganjaran. Ganjaran pertama kerana mereka percaya kepada Kitab Suci mereka. Dan kedua, ganjaran kerana beriman dengan Nabi Muhammad SAW.
Ini adalah kelebihan mereka, yang tidak ada pada bangsa Arab kerana mereka tidak ada kepercayaan kepada Kitab Suci sebelum itu. Kita pun tidak ada kelebihan itu kerana kita lahir-lahir sudah beragama Islam. Maka ayat ini adalah ayat motivasi hendak memujuk mereka ke arah Islam.
di antara mereka ada yang beriman
Ada yang baik dalam kalangan mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Maka, jangan kita terus pukul rata semua Ahli Kitab itu buruk-buruk belaka. Ada juga yang beriman. Antara yang terkenal adalah seorang sahabat yang bernama Ibnu Salam.
dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Tetapi majoriti daripada mereka adalah yang fasik. Fasik itu bermaksud tidak taat kepada arahan Allah SWT.
Amar makruf nahi munkar ini kena mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga kita sendiri. Sebelum kita nasihat kepada orang lain, kena mula dengan diri kita sendiri dulu. Dan kemudian mulakan dengan menasihati ahli keluarga dan sahabat handai (kadang kala inilah yang paling sukar).
Dan kena ingat yang kita nasihat orang lain adalah kerana kita sayang kepada mereka, bukannya kerana kita lebih baik daripada mereka. Jangan ada perasaan tidak elok macam itu. Jangan simpan perasaan kita lebih baik daripada orang lain.
Begitu juga kalau kita sudah terima sunnah – alhamdulillah. Tetapi jangan kutuk orang lain yang belum terima kerana kita dulu pun macam mereka juga, buat syirik, buat bid’ah. Cuma kita dapat hidayah dahulu daripada mereka. Entah-entah mereka kalau terima hidayah, mereka jadi lebih baik daripada kita, lebih pandai daripada kita, lebih warak daripada kita.
Tafsir Ayat Ke-111
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan dibantu.
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti
Apabila mereka majoritinya fasik, mereka ada kemungkinan akan buat perkara yang jahat. Kerana yang pasti akan buat perkara yang baik adalah orang beriman sahaja kerana mereka dipandu oleh iman mereka. Kalau fasik, mereka dipandu oleh hati mereka.
Walaupun mereka akan buat jahat kepada kita, Allah SWT hendak beritahu kita dalam ayat ini, jangan takut dan risau kerana mereka tidak akan dapat beri mudharat kepada kita melainkan dari segi kata-kata sahaja. Seperti menyakitkan hati kita, buat propaganda buruk dan sebagainya. Jangan risau kerana Allah SWT janji akan jaga.
Namun, janji itu syaratnya adalah sekiranya ikut cara sahabat. Kalau kita pun porak peranda, agama entah ke mana, wahyu pun tidak kenal, memang tidaklah akan dapat bantuan daripada Allah SWT kerana ayat sebelum ini telah disebut kita kena ikut jalan mereka.
Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu
Mereka tidak akan sanggup memerangi orang mukmin. Kalau mereka ada niat hendak perang pun, mereka sudah akan ada rasa takut dan akan lari. Tetapi sekali lagi, kenalah kita sendiri betul dahulu.
sesudah itu mereka tidak akan dibantu
Mereka tidak dibantu kerana Allah SWT murka dengan mereka. Allah SWT akan hancurkan mereka kalau mereka berani hendak menentang umat Islam (yang kuat imannya).
Ayat ini diturunkan sebelum orang Islam berperang dengan ahli kitab. Allah SWT sudah beritahu siap-siap apa yang akan terjadi. Jadi ayat-ayat sebegini adalah bekal kekuatan bagi para mujahideen.
Tafsir Ayat Ke-112
Ini adalah jenis ayat ta’liliyah (penjelasan sebab sesuatu itu terjadi). Allah memberitahu kenapa Puak Ahli Kitab itu ditimpa kehinaan.
Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampau (hukum-hukum Allah).
Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,
Mereka tidak dihormati walau kaya macam mana pun. Mereka dihina walau di mana sahaja mereka berada. Kalau orang nampak macam hormat kepada mereka pun, kerana mereka ada kuasa kekayaan dan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.
kecuali dengan adanya sebab tali Allah
Mereka selamat kerana syariat Allah SWT yang tahan mereka dari dibunuh atau diperangi seperti kalau perang dengan mereka, tidak boleh bunuh ahli ibadat mereka. Atau Allah SWT ada tolong mereka sedikit sebanyak.
dan adanya sebab tali dengan manusia.
Atau kerana mereka ada perjanjian perdamaian sesama manusia. Ada juga yang bantu mereka. Mereka dibantu, tetapi sebenarnya mereka bukan dihormati.
Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah,
Mereka ini memang layak mendapat kemurkaan daripada Allah SWT. Banyak sekali kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan dan ini banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini. Mereka akan mati dalam kemurkaan daripada Allah SWT kalau mereka tidak terus beriman dengan segera.
dan mereka ditimpakan kemiskinan
Lafaz الْمَسْكَنَةُ yang dimaksudkan dalam ayat ini, bukanlah kemiskinan dari segi harta, tetapi mereka ditimpa hilang semangat untuk agama. Tidak ada Yahudi dijadikan contoh dalam hal agama.
Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah
Kenapa mereka dikenakan dengan balasan yang buruk-buruk itu? Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ta’liliyah itu. Allah SWT hendak memberitahu sebab kerana mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka bukan sahaja ingkar dengan ayat daripada Al-Qur’an, tetapi daripada Kitab Suci mereka pun mereka ingkar juga.
dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.
Dan kerana mereka bunuh Nabi. Ramai daripada kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh. Teruk sekali perbuatan mereka itu. Kalau bunuh orang biasa pun sudah teruk, tambahan pula kalau bunuh Nabi.
Semuanya itu disebabkan mereka derhaka
Ayat ta’liliyah lagi. Kenapa mereka sampai sanggup bunuh para Nabi? Sebab sebelum itu mereka sudah banyak langgar hukum daripada Allah. Apabila sudah banyak kali langgar, tidak kena balasan terus daripada Allah, maka mereka jadi terbiasa buat dosa yang lebih teruk lagi.
dan mereka sentiasa melampau
Asal mereka jadi begitu adalah kerana mereka melampau, melanggar batasan dalam agama. Mereka bukannya tidak tahu mana batasan tetapi mereka itu jenis yang amat degil.
Allahu a’lam.
Sesi Streamyard bersama Panelis UiTO
Tauhid Dalam Syafaat
In sya’a Llah, Jumaat, 29 Jan 2021 jam 8:00 malam – 9:00 malam, sesi Streamyard bersama Ustaz Abu Tolhah Solahuddin mengenai pembahasan Tauhid dalam Doa dan Ibadah (Tauhid Dalam Syafaat)