Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Masa adalah Kehidupan

Masa adalah Kehidupan

601
0
Iklan

Masa Adalah Kehidupan Jangan Buang Masa Dengan Sia-sia

DI ANTARA nikmat yang sering kali melalaikan kita adalah nikmat masa lapang.

Seseorang yang mempunyai masa lapang dalam kehidupan hariannya adalah seorang yang tidak mempunyai jadual kehidupan.

Ingatlah pesanan al Syahid Hasan al Banna:

“Sesungguh masa itu adalah kehidupan”.

Lagi pesanannya: “Sesungguhnya kewajipan dan tanggungjawab itu lebih banyak dari masa yang kita ada”.

Pesanan ini membayangkan bahawa tidak ada waktu lapang dalam kehidupan seorang mukmin, kerana kehidupannya adalah dipenuhi dengan tugas dan tanggungjawab.

Masa muda adalah waktu paling indah dalam sejarah usia kita. Segalanya dirasakan cukup sempurna, punya impian yang melangit, semangat yang menggunung, tenaga yang banyak, darah yang panas, mimpi-mimpi yang indah. Bermula daripada gaya penampilan yang terkini, pakaian, kasut, telefon pintar semuanya mahukan yang terkini dan berjenama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan terlepas kedua kaki seorang anak Adam itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan;

Pertama: Tentang umurnya, dimanakah dihabiskan;

Kedua: Tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya;

Ketiga: Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan;

Keempat: Tentang kesihatannya, bagaimana digunakan.”

[ Hadis Riwayat at-Tirmidzi No. 2417 ]

Perhatikan bagaimana setiap detik waktu dalam kehidupan kita akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT dan umur disebut secara khusus bagi menunjukkan betapa pentingnya usia yang dihabiskan ketika hidup di dunia.

Waktu muda adalah saat usia yang paling genting, merupakan persimpangan waktu seseorang ingin mencari dan membentuk identiti diri. Betapa sukar di usia ini seseorang itu mempertahankan kejituan iman dalam mendepani gelonjak nafsu muda yang hangat membara. Betapa ramai yang jatuh dan tersungkur menyembah nafsu mazmumah. Bersorak gempita iblis dan para syaitan meraikan kemenangan demi kemenangan.

Di manakah pemuda yang termasuk dalam kalangan 7 golongan yang dijanjikan Allah SWT mendapat bayangan ‘Arasy-Nya di hari Akhirat?

Begitu juga untuk mereka yang berusia senja adakah sudah cukup ilmu di dada, iman di hati , amal ibadah, amal soleh, jihad, sedekah dan persiapan bekalan untuk dibawa ke alam barzakh?

Masa adalah kehidupan. Setiap detik yang berlalu adalah perjalanan usiamu menuju alam kematian.

Kalau sudah tahu bahawa di hadapan perjalanan itu ada sungai yang merentangi, maka sediakanlah dayung dan perahu. Kalau sudah tahu bahawa di perjalanan itu ada panas dan hujan, mengapa tidak disediakan payungnya. Dan pastinya setiap kita sudah menyakini dengan iman yang jitu bahawa di sebalik kehidupan di dunia ini, ada lagi suatu kehidupan yang abadi di akhirat sana.

Maka, isilah masamu sebaiknya, dan rebutlah masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk, masa sihatmu sebelum datang sakit dan manfaatkanlah masa hidupmu sebelum datangnya saat kematian.

🍐 Wassalam 🍐

Makmum Sundari
13.4.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Komen dan Soalan