Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Persetujuan Wanita dalam Pernikahan: Adakah Wali Boleh Menikahkan Tanpa Izinnya?

Persetujuan Wanita dalam Pernikahan: Adakah Wali Boleh Menikahkan Tanpa Izinnya?

15
0
Iklan

Puan Hanan:

Assalamualaikum tholibul ilmi yang dirahmati sekalian. 🌿

Alhamdulillah, setelah sekian lama tertangguh, Kelas Asas Fiqh untuk Pemula bersama Ustaz Azlizan kembali bersambung.

KITAB NIKAH ini sebenarnya telah kita pelajari sehingga beberapa bab sebelum kelas dihentikan pada tahun 2024. Namun, atas permintaan para peserta yang ingin kelas ini diteruskan, ustaz akan kembali mengajar dan menyambung perbahasan kitab ini.

Bagi yang baru menyertai kelas ini, jangan risau. Bab-bab terdahulu boleh diikuti semula melalui nota dan perbahasan yang telah disediakan. Kami sertakan pautan bagi setiap bab untuk memudahkan tholibul ilmi mengikuti semula kelas dari awal.

📚 BAB-BAB YANG TELAH DIPELAJARI:

📗 BAB 1: PERNIKAHAN
🔗 https://t.me/c/1335251791/40899

📗 BAB 2: MEMILIH PASANGAN
🔗 https://t.me/c/1335251791/40988

📗 BAB 3: KHITBAH (PEMINANGAN)
🔗 https://t.me/c/1335251791/41136

📗 BAB 4: AKAD NIKAH
🔗 https://t.me/c/1335251791/42168

📗 BAB 5: WANITA-WANITA YANG HARAM DINIKAHI
🔗 https://t.me/c/1335251791/43280

📗 BAB 6: HUKUM SEPUTAR AKAD PERNIKAHAN LAINNYA
🔗 https://t.me/c/1335251791/43691

📗 BAB 7: TA‘ADDUD (POLIGAMI)
🔗 https://t.me/c/1335251791/45252

Dan kini kita meneruskan:

📗 BAB 8: PERWALIAN DALAM PERNIKAHAN
Perbincangan awal Bab 8: https://t.me/c/1335251791/48271

📖 BAHAGIAN D: MEMINTA PERSETUJUAN WANITA YANG AKAN DINIKAHKAN

TAJUK:

💍 Persetujuan gadis yatim yang belum baligh untuk dinikahkan
💍 Persetujuan anak gadis tidak harus secara lisan

🗓 TARIKH: 9/9/2026 (RABU)
MASA: TIDAK DITETAPKAN
👨🏻‍🏫 PANELIS: USTAZ AZLIZAN NUEQ
📘 KITAB: NIKAH

Sila letakkan tanda 🔴 untuk setiap soalan.

Terima kasih.

Fiqh Asasi Pemula
https://t.me/+T5ZTT4KYZcSfRZqp

Channel untuk nota yang telah dibincangkan:
@SOALJAWABASASFIQHUITO

Panelis: Ustaz Azlizan Nueq @azlizannayan

D. Meminta Persetujuan Wanita yang Akan Dinikahkan

1. Persetujuan Gadis Yatim yang Belum Baligh untuk Dinikahkan

Adakah persetujuan wanita diperlukan sebelum dinikahkan oleh walinya? Mungkin ini mengejutkan kerana jarang kita dengar seorang anak perempuan dipaksa berkahwin. Bagaimana pula jika anak gadis itu tidak setuju dinikahkan dengan lelaki pilihan walinya?

Perbincangan kita di sini adalah tentang anak gadis. Bagaimana pula dengan janda? Kita lepaskan hal janda dahulu. Mereka ini telah pernah berkahwin, maka keizinan daripada mereka diperlukan sebelum boleh dinikahkan. Nabi ﷺ bersabda:

لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ ، وَلاَ تُنْكَحُ البِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ

“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta), dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya.”

Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk:

باب لا ينكح الأب وغيره البكر والثيب إلا برضاها

iaitu bermaksud: “Bab: Bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan.”

Di dalam Mazhab al-Syafi‘i, seorang perawan boleh dinikahkan tanpa persetujuan daripada anak gadis itu dengan syarat:

  1. Anak itu masih perawan.
  2. Ia hanya boleh dilakukan oleh wali mujbir sahaja, iaitu bapa atau datuknya. Kalau wali-wali yang lain, tidak boleh.
  3. Lelaki yang dinikahkan itu mestilah sekufu, iaitu setaraf dengan anak gadis itu. Maknanya, orang yang baik dan sebanding dengan wanita itu.

Oleh kerana ada pendapat ini, maka kita selalu mendengar kisah anak gadis yang dipaksa menikah dengan pasangan yang dia sendiri tidak rela.

Dalam Mazhab al-Syafi‘i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan. Dalam kata lain, walaupun anak perempuan tidak mengenali siapakah suami itu dan tidak tahu apakah risiko atas perkahwinan tersebut, bapa berhak.

Atas pegangan Mazhab al-Syafi‘i, kita mendapati banyak kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara, terutama pada zaman dahulu, yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan. Filem P. Ramlee, Penarik Beca, merupakan satu kritik sosial atas amalan tersebut yang berleluasa pada zaman itu.

Di Indonesia, filem Perempuan Berkalung Serban juga menceritakan bagaimana seorang kiai menikahkan anak perempuannya walaupun tanpa kerelaan. Ini semua dianggap boleh dan sah atas pegangan di sisi Mazhab al-Syafi‘i. Bahkan, beberapa pandangan dalam mazhab yang lain juga menganggap sah pernikahan tanpa rela anak perempuan itu.

Hal ini juga membawa kepada kalangan bapa menikahkan anaknya yang masih kecil dan mereka hanya tahu bahawa mereka dikahwinkan apabila tiba masanya.

Untuk menjawab hal ini, saya ingin menyebut beberapa perkara di sini:

1. Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafi‘i رَحِمَهُ اللَّهُ (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafi‘i sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini. Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab.

Masyarakat moden khususnya tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas. Dunia yang global ini bagaikan satu kampung sahaja. Manusia terdedah kepada realiti yang baharu dan pelbagai. Maka, pendapat dan kesimpulan daripada mazhab dan tokoh yang pelbagai hendaklah dilihat dan disemak secara seimbang dalam mencari pendapat yang lebih kukuh dari segi dalilnya.

Demikian, hukum-hakam dalam Islam itu semestinya zahir padanya keadilan, hikmah dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Itulah sifat Islam yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana tokoh terdedah kepada penilaian dari segi hujah, nas dan konteks semasa ataupun realiti yang ada.

2. Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang membolehkan bapa memaksa anak perempuan berkahwin mengulas:

“Siapa tahu, jika al-Syafi‘i رَحِمَهُ اللَّهُ hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika (al-Imam) al-Syafi‘i melihat hal ini, beliau akan mengubah pendapatnya seperti mana beliau telah mengubah banyak pendapatnya.”

(al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu‘asarah, 337–338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).

3. Kita lihat kepada hadis-hadis Nabi ﷺ. Baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan. Sekalipun pada zaman itu paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka, namun Islam datang memansuhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka.

Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas:

أَنَّ جَارِيَةً بِكْرًا أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ كَارِهَةٌ فَخَيَّرَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Seorang gadis dara datang kepada Nabi ﷺ memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi ﷺ memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya).”

(Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka, dalam Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab rujukan hadis yang terpenting, ada bab:

باب إذا زوج ابنته وهي كارهة فنكاحه مردود

“Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya sedangkan anak perempuan itu tidak suka, maka nikah itu ditolak.”

4. Dalam hadis yang lain, riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi ﷺ bersabda:

لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ ، وَلاَ تُنْكَحُ البِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ

“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta), dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya.”

Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk:

باب لا ينكح الأب وغيره البكر والثيب إلا برضاها

iaitu bermaksud: “Bab: Bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan.”

5. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ (meninggal 728H) ketika mengulas tentang paksaan anak perempuan berkahwin dengan kuasa wali mujbir, beliau menyebut:

“Adapun menikahkan wanita dalam keadaan dia benci, maka ini menyanggahi prinsip Islam dan akal yang waras. Allah tidak mengizinkan wali (bapa/datuk) memaksa anak perempuan atas sesuatu pembelian atau sewaan tanpa keizinannya, tidak juga boleh memaksa makanan, minuman dan pakaian yang dia tidak mahu. Bagaimana pula boleh memaksanya atas persetubuhan dan pergaulan dengan orang yang dia benci?! Memaksa pergaulan dengan orang yang dia benci bergaul dengannya?! Allah menjadikan hubungan antara suami isteri itu cinta dan kasih. Jika perkahwinan itu tidak menghasilkan kecuali kebencian dan berpaling daripada suaminya, maka di manakah cinta dan kasih dalam perkahwinan itu?”

[Ibn Taimiyyah, Majmu‘ al-Fatawa, 16/239. Riyadh: Maktab al-‘Abikan].

6. Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya.

Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela. Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama.

Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan memerlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin pada peringkat itu?

Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan, yang mana dia mahu memperoleh keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan, dia sudah menjadi pemangsa.

7. Ingin diulangi di sini apa yang sarjana besar Islam, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H), sebut:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kerahmatan, kemaslahatan dan hikmat. Maka setiap perkara yang berubah daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada yang berlawanan dengannya, daripada kebaikan kepada kerosakan, daripada hikmat kepada sia-sia, maka ia bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya.”

(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I‘lam al-Muwaqqi‘in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

8. Sekali lagi ditegaskan, betapa perlu kita bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama sekalipun daripada mazhab yang kita terbiasa dengannya.

Islam itu hujah. Islam diutuskan untuk kebaikan manusia, bukan untuk sebaliknya. Maka, segala nas, tafsiran nas dan pendapat daripada apa-apa aliran sekalipun hendaklah dilihat dalam konteksnya yang betul. Jangan kita letakkan teks pada konteks yang salah.

Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab, tetapi yang mesti kita lakukan ialah berusaha memahami hujah-hujah para sarjana daripada apa-apa mazhab sekalipun, selagi tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah.

Sekian kelas dan nota kita untuk hari ini.

Ringkaskan Kecerdasan Buatan 

🔴 BAB 8: PERWALIAN DALAM PERNIKAHAN

📖 BAHAGIAN D

Meminta Persetujuan Wanita yang Akan Dinikahkan

Persoalan yang kita bincangkan:

💍 Adakah seorang gadis boleh dinikahkan tanpa persetujuannya?

💍 Bagaimana pula jika seorang bapa memilih pasangan untuk anak perempuannya, tetapi anak tersebut tidak bersetuju?

💍 Apakah kedudukan wali mujbir dalam persoalan ini?


🌿 PERMULAAN PERBAHASAN

Dalam perbahasan fiqh, persoalan persetujuan wanita dalam pernikahan merupakan perkara yang penting untuk difahami.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak gadis yang belum pernah berkahwin dan kedudukan wali dalam menentukan perkahwinannya.

Nabi ﷺ bersabda:

لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ ، وَلاَ تُنْكَحُ البِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ

“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya, dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya.”

📚 Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


⚖️ APAKAH PENDAPAT MAZHAB AL-SYAFI‘I?

Dalam Mazhab al-Syafi‘i, terdapat perincian berkaitan wali mujbir, khususnya bapa dan datuk.

Antara syarat yang dibincangkan ialah:

1️⃣ Anak perempuan masih perawan.

2️⃣ Pernikahan dilakukan oleh wali mujbir, iaitu bapa atau datuk.

3️⃣ Lelaki yang dinikahkan dengannya mestilah sekufu.

Namun, persoalan ini tidak boleh dibincangkan hanya dengan menyebut satu pandangan fiqh tanpa melihat keseluruhan dalil dan perbahasan ulama.


📜 DALIL DARIPADA SUNNAH

Antara hadis yang sering menjadi asas dalam perbahasan ini ialah kisah seorang gadis yang datang kepada Nabi ﷺ kerana bapanya telah menikahkannya sedangkan dia tidak menyukainya.

Nabi ﷺ memberikan pilihan kepadanya.

Ini menunjukkan bahawa kerelaan wanita merupakan perkara yang sangat penting dalam perkahwinan.


💡 PANDANGAN PARA ULAMA

Perbahasan ini turut disentuh oleh beberapa sarjana Islam, antaranya:

🔹 Imam al-Syafi‘i رحمه الله
🔹 Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله
🔹 Ibn Qayyim al-Jauziyyah رحمه الله
🔹 Dr. Yusuf al-Qaradawi رحمه الله

Setiap pandangan perlu difahami berdasarkan dalil, konteks dan perincian fiqh yang dikemukakan oleh para ulama.


🌱 ANTARA PRINSIP PENTING

Perkahwinan bukan sekadar akad.

Ia merupakan hubungan yang sepatutnya dibina atas:

❤️ kasih sayang
🤝 kerelaan
⚖️ keadilan
🌿 kemaslahatan
🏡 kehidupan rumah tangga yang baik

Oleh itu, perbahasan tentang wali dan persetujuan wanita perlu difahami dengan ilmu, bukan semata-mata berdasarkan adat atau kebiasaan masyarakat.


📌 KESIMPULAN

Kita menghormati para imam dan mazhab fiqh yang muktabar.

Namun, dalam memahami sesuatu hukum, kita hendaklah berusaha melihat dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah serta huraian para ulama secara menyeluruh.

Jangan kita terburu-buru menghukum.

Fahami dalil.
Fahami konteks.
Fahami perbezaan pandangan ulama.
Kemudian nilailah dengan ilmu dan adab.

📚 Kelas Asas Fiqh untuk Pemula
📖 Kitab: Nikah
👨🏻‍🏫 Panelis: Ustaz Azlizan Nueq

🔴 Sila letakkan tanda 🔴 untuk setiap soalan.

Sekian, kelas dan nota kita untuk hari ini.

 

Komen dan Soalan