Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-217 dan Ke-218

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-217 dan Ke-218

1559
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-217

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan Haram

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang bolehkah berperang dalam bulan Haram?

Latarbelakang ayat ini: ada sahabat yang dihantar oleh Nabi ﷺ untuk menjaga sempadan orang Islam. Tiba-tiba mereka terjumpa dengan orang kafir. Oleh kerana keadaan yang mencurigakan, maka terjadilah pergelutan dan orang kafir itu dibunuh.

Sahabat tersebut memang menghormati bulan Haram dan memang beliau menyangka yang hari itu masih lagi di luar bulan Haram tetapi rupanya telah masuk ke bulan Rejab, salah satu daripada bulan-bulan Haram. Maka kejadian ini telah menyebabkan orang kafir bising menyalahkan orang Islam. Mereka kata lihatlah orang Islam itu, konon kata jaga syariat, tetapi membunuh di dalam bulan Haram.

قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ

katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,

Allah ‎ﷻ tidak menidakkan bahawa berperang dalam bulan Haram itu memang berdosa besar.

Tetapi, Allah ‎ﷻ suruh jawab yang kejadian ini tidak sengaja. Sahabat itu bukan sengaja hendak berperang dalam bulan Haram itu. Namun lihatlah bagaimana sikap Musyrikin Mekah itu, apabila orang Islam buat salah terus mereka nampak dan bising, padahal mereka sendiri lagi banyak buat kesalahan.

Ada lima kesalahan mereka dan setiap satunya patut sudah boleh mereka diperangi kerana ia bukanlah kesalahan biasa. Mereka sahaja buat tidak nampak.

Biasa begitulah masyarakat dunia dengan orang Islam. Kalau umat Islam buat salah sedikit sahaja, kecoh satu dunia dan kaitkan kesalahan itu dengan agama Islam – mereka kata Islam agama pengganas. Kalau ia dilakukan oleh agama lain, mereka senyap sahaja dan tidak kaitkan dengan agama orang itu.

Umpamanya, kalau orang baik yang buat salah, akan nampak pelik tetapi kalau orang jahat buat jahat, orang tidak kisah pun. Maknanya orang luar melihat orang Islam ini sebagai orang yang baik sebenarnya.

Allah ‎ﷻ mengajar kepada Nabi ﷺ cara untuk menjawab soalan mereka itu. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa berperang di bulan Haram itu memang besar dosanya. Memang berperang dan membunuh dalam bulan Haram itu berdosa besar jikalau dilakukan dengan sengaja sedangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat ketika itu adalah tidak sengaja. Maka ia dimaafkan.

وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ

tetapi perbuatan menghalangi manusia dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya,

Mereka mengutuk dan menyalahkan umat Islam tetapi buat tidak nampak sahaja perbuatan mereka menghalang orang-orang lain daripada masuk Islam. Mereka memburukkan Islam kerana tidak mahu orang lain masuk Islam.

Sudahlah mereka sendiri kufur kepada Allah ‎ﷻ, mereka menghalang orang lain pula. Mereka telah menghalang orang lain daripada memeluk agama Islam adalah perkara yang lebih besar dan ini sebenarnya sudah cukup untuk berperang dengan mereka.

وَالمَسجِدِ الحَرامِ

dan (juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam)) ke Masjid Al-Haraam

Yang kedua, mereka menghalang orang Islam daripada menggunakan Masjidilharam untuk beribadat. Sedangkan mereka sendiri sebenarnya tidak layak kerana mereka adalah orang-orang yang mengamalkan syirik. Mereka telah mempersendakan lambang Islam iaitu masjid yang paling mulia dalam dunia ini.

Sepatutnya ia diberikan kepada Nabi ﷺ untuk digunakan kerana Nabi ﷺ lebih layak. Tetapi mereka telah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat daripada beribadat di Kaabah. Kalau manusia lain yang datang dari jauh untuk tawaf dan menyembah berhala, mereka benarkan pula.

وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ

serta mengusir penduduknya dari situ,

Ketiga, mereka telah menghalau para sahabat yang mukmin dari tanah-tanah mereka yang mereka berhak ke atas tanah-tanah itu. Musyrikin Mekah telah menghalau mereka hingga mereka terpaksa lari ke Habasyah dan ke Madinah meninggalkan kampung halaman yang mereka cintai. Kemudian harta dan tanah mereka telah dirampas oleh puak Musyrik itu. Padahal mereka tidak layak mengambilnya.

أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ

adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.

Ketiga-tiga perkara yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu adalah kesalahan yang lebih besar daripada berperang di bulan Haram. Kesalahan mereka itu sudah sepatutnya diperangi tetapi setakat itu, umat Islam masih membiarkan sahaja kerana belum datang perintah berperang.

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ

Dan (ingatlah), fitnah syirik itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan

Yang keempat, mereka telah melakukan syirik di atas muka bumi. Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘syirik’. Jadi ini bukanlah ‘fitnah’ yang selalu digunakan dalam Bahasa Melayu. Ramai yang keliru dengan penggunaan kalimah ini.

Fitnah syirik yang mereka lakukan itu sebenarnya lebih besar daripada berperang dan membunuh. Ini kerana jikalau kita membunuh manusia, orang itu akan mati sahaja dan memang lumrah manusia akan mati pun, sama ada kerana tua atau kerana sakit dan sebagainya. Tetapi jikalau melakukan syirik, itu akan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);

Yang kelima dan akhir sekali, sampai sekarang pun puak Musyrikin itu masih lagi mahu memerangi puak Islam dan mereka telah bertekad tidak akan berhenti sehingga orang Islam murtad. Mereka mahu umat Islam itu kembali kepada agama syirik mereka. Padahal, umat Islam tidak mengganggu mereka pun.

Lima kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja itu mereka tidak nampak sedangkan satu kesalahan yang dilakukan oleh puak Islam dalam keadaan tidak sengaja itu mereka besar-besarkan.

Begitulah propaganda yang selalu diada-adakan oleh puak kafir untuk menjatuhkan nama Islam. Contohnya mereka mengatakan kepada dunia yang kita adalah agama terroris. Padahal agama Islam tidak mengajar umatnya menjadi terroris. Seorang Islam tidak akan berani hendak membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan, kerana kita takutkan api neraka.

Kadang-kadang yang membunuh itu adalah orang kafir dan mereka menuduh orang Islam yang bunuh kerana hendak menjatuhkan nama baik Islam. Mereka sanggup lakukan begitu kerana mereka tidak takut kepada akhirat. Namun disebabkan propaganda mereka itu kuat maka ramai daripada orang Islam yang malu dengan Islam dan malu hendak menyampaikan agama Islam ini kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri tidak faham Islam.

Sedangkan tugas kita adalah menyampaikan dakwah tauhid kepada umat manusia seluruhnya. Kita tidak perlu malu dengan agama Islam ini kerana ia adalah agama yang suci, benar dan mulia. Orang-orang yang malu dengan agama sendiri adalah mereka yang jahil.

Orang kafir mengutuk orang Islam dan agama Islam, sedangkan orang-orang kafir itu yang sepatutnya belajar dengan orang-orang Islam cara-cara memimpin dan cara-cara menjalani kehidupan. Dalam sejarah dunia, kerajaan yang dipimpin oleh pemerintahan Islam negara aman damai dan orang-orang kafir pun dapat menumpang keamanan itu.

Jadi janganlah mereka yang hendak mengajar kita, sebaliknya merekalah yang kena belajar dengan kita. Namun, malangnya ramai daripada orang-orang Islam yang tidak memahami agama sendiri dan akhirnya terpaksa belajar dengan orang-orang kafir tentang cara-cara kepimpinan. Akhirnya orang-orang Islam yang mengikut telunjuk orang-orang kafir. Sudah jadi terbalik pula.

وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ

dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir,

Jikalau ada umat Islam yang termakan dengan dakyah dan tekanan daripada Musyrikin Mekah itu dan mereka murtad, Allah ‎ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Kalau mereka buat syirik kembali dan sempat bertaubat, masih ada harapan untuk mereka. Tetapi jikalau mereka mati tanpa sempat bertaubat, maka nasib mereka adalah amat malang sekali.

فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat,

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini peringatan kepada orang-orang Islam jikalau mereka murtad, segala amalan-amalan kebaikan yang mereka pernah lakukan akan hancur luluh, tidak bernilai langsung.

Jikalau mereka murtad (dengan jelas dan war-warkan dia telah murtad), hukumnya di dunia lagi mereka boleh dibunuh dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam yang lain. Sementara di akhirat kelak, Allah ‎ﷻ lebih tahu tentang kedudukan mereka.

وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

dan mereka itulah ahli neraka,

Asalnya mereka Muslim dan ada harapan untuk masuk syurga. Tetapi jikalau mereka murtad, mereka akan menjadi ahli neraka dan mereka akan kekal dalamnya, kerana mereka memegang ‘geran’ neraka. Itulah maksud ‘ashab’.

هُم فيها خٰلِدونَ

kekal mereka di dalamnya

Mereka akan kekal di dalamnya dengan tidak ada harapan untuk masuk syurga langsung. Kekal mereka di neraka selama-lamanya. Walaupun mereka pernah menjadi Muslim, tetapi kerana mereka mati dalam keadaan kufur, mereka sama sahaja macam orang-orang kufur yang lain.

Tafsir Ayat Ke-218

Ini adalah ayat Tabshir. Dugaan untuk mengikuti agama ini adalah amat tinggi maka Allah ‎ﷻ berikan berita baik kepada mereka yang sudah membuat keputusan untuk menjalankannya iaitu mereka akan diberikan dengan rahmat Allah ‎ﷻ.

Semua kita mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Namun siapakah yang layak untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ? Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini. Mari kita baca.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang sanggup beriman dan berusaha untuk memperbaiki iman mereka sehingga iman mereka sempurna.

Bagaimana hendak meningkatkan iman kita? Dengan meningkatkan ilmu kita. Ini kerana dengan ada kefahaman, barulah kita dapat meningkatkan iman.

وَالَّذينَ هاجَروا

dan orang-orang yang berhijrah

‘Hijrah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘Hijrah Tubuh Badan’ dan juga ‘Hijrah Amal’. Janganlah kita sangka yang lafaz ‘hijrah’ di dalam ayat ini hanya merujuk kepada Hijrah pada zaman Nabi ﷺ dari Mekah ke Madinah sahaja. Kalau begitu tidak ada peluanglah kita untuk mengamalkan ayat ini di dalam kehidupan kita.

Hijrah dari Mekah ke Madinah itu memang hijrah yang terbesar tetapi kita yang hidup selepas zaman itu masih juga boleh melakukan hijrah iaitu hijrah ke arah kebaikan.

‘Hijrah tubuh badan’ yang dimaksudkan adalah kita berpindah dari tempat yang tidak baik kepada tempat yang lebih baik dari segi agama supaya kita tidak duduk lagi bersama orang orang yang lalai dan leka dengan agama mereka. Ia juga bermaksud tidak bermastautin dalam perkampungan kafir harbi tetapi duduk dalam perkampungan orang Islam.

Saya teringat bagaimana Syeikh Albani رحمه الله selalu sahaja menasihati sesiapa sahaja orang Islam yang duduk di negara orang kafir untuk berpindah ke negara Islam untuk menjaga agama mereka. Beliau selalu mendapat panggilan telefon daripada orang Islam seluruh dunia untuk bertanyakan tentang hukum agama dan setiap kali ada panggilan daripada orang Islam dari negara kafir, beliau akan menasihati mereka tentang perkara ini. Beliau ajak mereka berpindahlah ke negara Islam.

‘Hijrah amal’ adalah kita ubah cara kehidupan kita daripada yang buruk kepada yang baik. Contohnya kalau dulu kita berniaga cara riba’, sekarang kita ubah kepada cara perniagaan yang Sunnah. Kalau dahulu kita malas salat atau lambat menunaikan salat, maka sekarang hendaklah kita bersemangat dan bersegera untuk mengerjakan salat dan memperbaiki salat kita. Kalau kita sekarang bekerja di tempat yang ada syubhat, maka kita tukar pekerjaan kita dengan pekerjaan yang lebih selamat daripada segi agama.

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

serta berjuang pada jalan Allah

Semasa hidup, dia berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ dengan menyampaikan wahyu kepada orang lain. Allah ‎ﷻ telah menetapkan kepada kita untuk usaha dakwah kepada umat manusia dan kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah itu.

Ada perbezaan antara jihad fillah dan jihad fisabilillah. Jihad fillah adalah apabila kita berusaha untuk buat perkara yang Allah ‎ﷻ suka dengan apa yang kita kita usahakan dalam kehidupan kita. Ini pun kena kita lakukan setiap dan ini adalah misi peribadi kita.

Sedangkan jihad Fisabilillah adalah lebih khusus iaitu usaha untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Inilah misi kita sebagai umat Islam. Jadi, ada misi peribadi kita kepada Allah, ‎ﷻ dan ada misi kolektif kita bersama dengan umat Islam yang lain.

Maka, jangan kita mencetekkan maksud jihad itu. Ada Muslim yang tidak faham kerana tidak belajar dengan betul tentang maksud jihad. Ada orang kafir yang menyalahkan umat Islam atas maksud jihad itu. Orang Islam yang jahil dan orang kafir yang salah sangka kepada Islam, mengatakan yang ‘jihad’ itu bermaksud ‘perang’. Padahal itu adalah maksud yang cetek.

‘Jihad’ dari segi bahasa maksudnya ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Lebih-lebih lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kalau usaha dakwah itu memerlukan perang, barulah ia digunakan. Bukanlah kita terus memerangi orang kafir sebelum kita dakwah kepada mereka. Masalah sekarang, sudahkah kita dakwah kepada mereka?

أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah

Mereka yang bersifat seperti yang disebut di ataslah yang ada harapan untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Maknanya dalam ayat ini ada perintah daripada Allah ‎ﷻ untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat-Nya. Bukan dengan berharap sahaja tetapi kena ada usaha.

Kita memang amat memerlukan rahmat Allah ‎ﷻ sebab hanya dengan rahmat Allah‎ ﷻ sahaja kita buat boleh masuk ke dalam syurga, bukan dengan amalan kita. Ini kita tahu daripada hadith yang sahih daripada Nabi ﷺ. Amalan kita dari segi ibadat dan perbuatan baik itu akan dapat meninggikan darjat kita di dalam syurga sahaja tetapi untuk memasukinya, memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Nabi ﷺ bersabda:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ يَعْنِي ابْنَ زَيْدٍ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ مُحَمَّدٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَحَدٍ يُدْخِلُهُ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ فَقِيلَ وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي رَبِّي بِرَحْمَةٍ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid daripada Ayub daripada Muhammad daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.” (Hadith Muslim 5037)

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ Maha Mengampuni segala dosa kita asalkan kita mahu meminta ampun kepada-Nya. Dari rahmat Allah ‎ﷻ itu, kalau Dia telah mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengazab kita dalam neraka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan