Utama Bilik Motivasi Presuposisi 12: Separate Person from Behavior. People are More than their Actions,...

Presuposisi 12: Separate Person from Behavior. People are More than their Actions, Words, Emotions, Roles, etc.

350
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq


12. Separate person from behaviour. People are more than their actions, words, emotions, roles etc.


Asingkan seseorang itu daripada tingkahlakunya. Manusia adalah lebih daripada perbuatan, kata-kata, emosi, peranan dan sebagainya”.

Pemikiran yang tinggi mampu membezakan di antara manusia dan sikapnya. Tidaklah dia tengok orang yang bersikap buruk lalu terus membenci orang itu. Ini kerana dia mampu membezakan antara ‘diri’ dan ‘sikap’. Tetapi ini memang memerlukan pemikiran yang tinggi dan memerlukan latihan yang mendalam. Bukan senang sebab selalunya kita tengok seseorang itu, kita akan terus lihat dia secara menyeluruh.

Namun pernahkah anda menyukai seseorang walaupun dia mempunyai sifat buruk? Tentu ada, bukan? Mungkin keluarga atau sahabat rapat anda. Maknanya anda pernah melakukannya. Cuma sekarang anda kena bawa pemikiran itu kepada orang lain juga.

Perumpamaannya begini: Anda meletakkan CD ke dalam pemain CD dan lagu yang keluar adalah lagu yang anda tidak suka. Adakah itu salah CD atau salah pemain CD? Pemain CD itu tidak salah, lagu itu sahaja yang salah.

Kita kena sedar yang manusia dilahirkan sempurna. Allah ‎ﷻ sebut dalam [95:4]

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Allah telah menjadikan manusia dalam fitrah yang sempurna.

Manusia ada potensi untuk menjadi baik. Ada pemikiran yang tidak matang, tidak baik yang menjadikan mereka teruk. Ini mungkin kerana pembelajaran mereka, kerana persekitaran mereka atau apa-apa yang terjadi kepadanya yang membentuk sikapnya menjadi buruk. Tetapi dirinya sendiri sudah sempurna.

Ini memerlukan apa yang dipanggil “Unconditional Love” (Sayang Tanpa Syarat). Kita sayang seseorang bukan kerana dia telah menolong kita, dia berikan kita duit, dia cantik, dia begitu dan begini. Kita sayang dia sebab dia.

Kita biasa sahaja melakukannya. Kita sayang anak-anak kita atau bayi. Bayangkan bayi itu bukan boleh buat apa pun, tolong sedikit pun tidak. Melalak sahaja tengah malam, kencing berak merata, air liur menjejeh dari mulutnya. Tetapi kita tetap sayangkannya, bukan? Inilah unconditional love peringkat tertinggi.

Kita cuma kena bawa sikap ini kepada orang lain. Kita senang menyayangi bayi kerana Allah ‎ﷻ bantu (kalau Allah ‎ﷻ tidak membantu kita sayangkan bayi yang tidak bernilai, tidak ada orang ingin menjaga bayi baru lahir, bukan?) Tetapi dengan orang dewasa, memerlukan usaha sedikit daripada kita. Memerlukan pemikiran tahap tinggi sedikit.

Tidak salah kalau kita tidak suka dengan sikap seseorang tetapi jangan kita membenci terus keseluruhan dirinya. Kita kena bezakan sikap dan diri. Yang kita perlu lakukan adalah memandang orang lain dengan pandangan ‘rahmah’. Pandangan sayang kepadanya. Kalau dia ada sikap yang buruk, kita cuba ubah dirinya dan nasihatkannya kerana kita sayangkannya. Kalau tidak ada sayang, maka kita tidak ada keinginan hendak membaiki dirinya kerana kita hanya mahu baiki benda yang kita sayang. “Make sense so far?”

Ada pepatah yang selalu disebut: “Hate the sin but love the sinner”. Saya rasa ini menepati apa yang saya hendak sampaikan. Memang kita benci perbuatan salah tetapi janganlah hanya kerana seekor nyamuk, seluruh kelambu dibakar pula.

Kalau anak kita berbuat salah, adakah berkurangan sayang kita kepadanya? Adakah kita sampai tidak mengaku anak kepadanya? Ya, kadangkala kita marah kepada anak kita, namun sayang kita tetap ada. Itulah sikap kita kepada orang lain juga. Kita marah mereka, tetapi kita tidak benci mereka.

Jadi, ada dua perkara yang anda boleh mula lakukan selepas ini:

1. Cuba lihat setiap individu dan cuba bezakan di antara dirinya dan sikapnya. Sikap manusia boleh berubah. Berapa ramai yang tidak baik tetapi kemudian berubah menjadi baik? Kalau Nabi Muhammad ﷺ tidak melihat potensi yang ada pada Saidina Umar رضي الله عنه baginda tidak akan berdoa kepada Allah ‎ﷻuntuk memberikan iman kepada Umar رضي الله عنه.

2. Cuba amalkan sikap unconditional love. Sayang kepada orang lain bukan kerana dia ada budi, jasa dan kepentingan kepada kita. Sayangkan dirinya dia kerana dia juga adalah makhluk Allah ‎ﷻ.

Ingatlah sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ لَا يَرْحَمُهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak mengasihi manusia, maka Allah tidak akan mengasihinya.” (Riwayat Tirmizi 1845)

Manakala terdapat satu lagi hadith yang tsiqah daripada Nabi ﷺ:

مَنْ لَمْ يَرْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ لَمْ يَرْحَمْهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ “

Maksudnya: sesiapa yang tidak menyayangi yang di bumi, dia tidak disayangi oleh Yang di langit.

Pada pendakwah kena faham sangat akan perkara ini. Selalu terjadi, kita lihat para pendakwah termasuk yang sunnah juga, benci terhadap umat Islam yang mengamalkan bidaah dan syirik. Ya, memang benar kita bencikan bidaah dan syirik, tetapi jangan dibenci yang mengamalkannya kerana kita tidak tahu kenapa dia amalkan amalan salah itu.

Mungkin kerana dia tidak tahu, mungkin kerana ibubapanya yang mengamalkannya, mungkin kerana persekitaranya. Malah mungkin ustaz yang mengajarnya amal begitu. Jadi dia terikut-ikut dengan amalan yang salah. Dia pun tidak tahu yang amalan itu salah.

Namun kita memang bencikan amalan itu. Maka kita kena nasihatkan dirinya supaya tinggalkan. Kenapa kita menasihatkannya? Ini kerana kita SAYANGkannya. Kalau kita tidak sayang, kita buat tidak tahu sahaja, bukan?

Ini satu lagi konsep penting: Kita dakwah kepada orang lain kerana kita sayangkan mereka. Bukannya kerana kita rasa kita tahu dan ada ilmu, kerana kita sudah baik, kenapa kita sahaja yang betul. Bukan. Kita dakwah kepada manusia kerana kita sayangkan mereka. Kita inginkan mereka selamat dunia dan akhirat. Kalau kita dakwah kerana hanya kerana ingin tunjuk pandai, maka tujuan dakwah sudah lari.

Tetapi bagaimana kita sayang orang lain kalau kita tidak mempunyai pandangan rahmah? Bagaimana kita hendak berdakwah kalau kita sudah awal-awal lagi bencikannya? Maka kerana itulah timbul ‘dakwah sentap’ dengan memaki, perli, kutuk, hina dan macam-macam lagi.

Anda rasa orang hendak terima dakwah anda kalau anda perli, kutuk, hina dia? Jadi kenalah tanya diri anda balik: “Aku nak dakwah dan baiki orang ini atau aku nak tinggikan diri aku dari dia kerana aku tahu dan dia tidak tahu?”

Sekian presuposisi ke 12 ini. Semoga dapat membantu kita di dalam perhubungan kita dengan manusia yang lain. Semoga dunia ini menjadi semakin indah dan harmoni dengan kita sebagai pemangkinnya. Mari kita sama-sama menjadi ‘Ambassador of Love’.

Komen dan Soalan