Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Jathiya – Pengenalan dan Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Jathiya – Pengenalan dan Ayat Pertama

403
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Jathiya

Pengenalan:

Ini adalah surah yang menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa yang akan menyebabkan manusia dihumban ke dalam neraka. Kalau tidak faham tentang tauhid dalam berdoa, maka manusia akan melakukan syirik, yang menyebabkan mereka akan dihumban ke dalam neraka selama-lamanya.

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan mesej utama yang hendak disampaikan selain dari bahaya syirik hendaklah kita menyelamatkan diri kita dari sombong dan bongkak. Maka surah ini mengajar kita untuk merendahkan diri. Kita dapat merendahkan diri kita dengan melihat tanda-tanda pada alam.

Allah ﷻ yang telah menjadikan alam yang begini hebat. Maka ketahuilah yang Allah ﷻ yang hebat dan bukannya kita. Kita selamanya bergantung kepada Allah ﷻ. Oleh kerana itu, janganlah kita rasa sombong dan bongkak pula.

Surah ini juga menceritakan tentang kekeliruan dalam berdoa. Ada salah faham dalam masyarakat kita yang selalunya menggunakan ‘wasilah’ yang dilarang dalam urusan doa mereka.

📍Surah ini adalah salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Al-Fatihah. Surah-surah hawamin itu adalah tentang ‘doa’ di mana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan (wasilah) yang dilarang. Menggunakan perantaraan dalam berdoa dalam bahasa Arab dipanggil tawassul.

Sebelum ini kita telah belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Tentang cara berdoa telah diberitahu dalam Surah Ghafir. Dakwa Surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain – Tauhid dalam berdoa dan istianah (permintaan). Cuma surah ini juga mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri.

Apabila diberitahu tentang tauhid dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul dalam fikiran manusia. Untuk menjawab kesamaran-kesamaran itu, Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah Jathiya ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.

Mari kita lihat ringkasan kekeliruan yang telah disentuh dalam Surah-surah Ha Mim ini selepas Surah Ghafir:

▶️ Surah Fussilat

Menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka yang mengamalkan syirik dalam berdoa berkata, apabila mereka seru selain dari Allah ﷻ dalam doa, mereka dapat juga apa yang mereka kehendaki. Maka Allah ﷻ menjawab kekeliruan ini dengan memberitahu dalam Surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat itu bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.

▶️Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua.

Kononnya ada dalil-dalil yang mengatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura telah memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu dan dalil selain dari wahyu yang membenarkan melakukan perkara yang dilarang dalam wahyu adalah tertolak. Itu semua dalil palsu atau disalah fahami.

▶️ Seterusnya, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga.

Ada yang berhujah dengan kata mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ itu tetapi mereka cuma seru untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa mereka makbul dan mendapat syafaat dari mereka di akhirat kelak.

Mereka katakan mereka tidak minta terus kepada seruan-seruan itu kerana tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa ini lah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita juga ada fahaman sebegini, maka mereka turut sama sahaja dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.

▶️ Surah Dukhan telah menjawab kekeliruan yang keempat.

Kesamaran tentang doa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ ada makhluk lain yang boleh mendengar juga doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka kata begitu kerana akidah syirik mereka.

Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia.

Walaupun sudah mati bagi mereka sekurang-kurangnya, apa yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka. Maka Allah ﷻ telah menjawab dalam Surah Dukhan bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita. Oleh kerana itu kita harus berdoa dan seru hanya kepada Allah ﷻ.

▶️ Surah Jathiya ini hendak menjawab kesamaran yang kelima.

Ada yang kata, kalau Allah ﷻ hendak, Dia boleh beri ilah lain seperti Nabi dan wali itu boleh mendengar doa dan seruan mereka itu. Mereka kata mungkin Allah ﷻ memperdengarkan doa manusia kepada mereka, sebab itulah tok nenek pakai pendapat itu dulu (dan mereka ikut sahaja pendapat itu).

Mereka kata mustahil Allah ﷻ tidak boleh buat begitu. Dalam hal ini, kena tegaskan kepada mereka bahawa bukan itu syariat Allah ﷻ. Akal kamu sahaja yang kata mereka yang mati itu boleh dengar. Apa-apa pun, tentang perkara ghaib kena ada dalil.

Mereka kata apa yang mereka buat itu bukan sampai jadi syirik. Allah ﷻ jawab yang dalam syariat Allah ﷻ tentang akidah ini tidak ada sebarang kemungkinan. Tidak boleh pakai agak-agak atau mungkin. Syariat tentang akidah memang sudah jelas kerana ia adalah dalil yang qat’ie – dalil yang jelas, tidak ada kemungkinan lain.

Allah ﷻ juga sudah melarang untuk menyeru kepada selain dari Dia dalam berdoa dan penyembahan. Terdapat banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang memberi hujah tentang ini. Lalu bagaimana Allah ﷻ benarkan perkara yang Dia sudah larang? Ini tidak mungkin.

✍🏻Maksud surah ini, berkenaan perkara itu ada dalam ayat ke-18 yang memberitahu bahawa syariat Allah ﷻ ini jelas terutama sekali tentang akidah:

ثُمَّ جَعَلناكَ عَلىٰ شَريعَةٍ مِنَ الأَمرِ فَاتَّبِعها وَلا تَتَّبِع أَهواءَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Allah ﷻ memberitahu yang Dia telah menjadikan syariat kepada kita yang perlu diikuti. Kita kena ikut syariat yang Allah ﷻ telah tetapkan kerana syariat adalah satu pegangan dan cara hidup.

📍Cara hidup itu ada dua jenis:

Ibadat (hubungan makhluk dengan Allah ﷻ) dan

Adat (hubungan hamba dengan hamba yang lain).

Kedua-dua perkara ini perlu ikut syariat. Syariat itu amat jelas kepada mereka yang belajar, dan apa yang mereka perlu lakukan hanyalah ikut sahaja. Jangan memandai-mandai buat andaian yang baru.

Memang ramai yang hendak reka perkara baru dalam agama, dan mereka tidak bawa dalil, melainkan andaian mereka sahaja. Contoh seperti yang kita telah sebut sebelum ini – kalau Allah ﷻ mahu, Dia boleh memberi wali dan Nabi itu mendengar doa dan seruan kita.

Ini amat bahaya, jadi kita kena tolak andaian yang sebegitu kerana berlawanan dengan dalil-dalil yang ada. Oleh itu, kalau ada hujah yang bukan datang dari dalil yang sahih, maka itu adalah dalil dari hawa nafsu. Ia datang dari mereka yang tidak tahu tentang syariat dan wahyu, jadi kita jangan ikut orang yang sebegitu.

Tafsir Ayat Pertama

حم

Haa, Miim.

Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqatta’ah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat Muqatta’ah ini sahaja. Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah ﷻ tidak memberitahu apa-apa, kita tidak akan tahu.

Bukanlah huruf-huruf Muqatta’ah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah menceritakan apakah maknanya.

Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi ﷺ memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana ilmu ghaib hanya milik Allah ﷻ sahaja.

📍Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk melihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’ dan mengaku begitu kepada manusia. Ini penting kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu.

Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu. Jadi, ada orang alim yang walaupun tidak tahu dengan pasti, mereka akan menjawab juga mengikut agak-agak, walaupun tahu maklumat itu tidak tepat.

Maknanya mereka menggunakan akal sahaja tanpa landasan dalil dari wahyu. Ini salah dan tidak boleh dilakukan. Kalau tidak tahu, cakap sajalah tidak tahu, senang.

Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 soalan sahaja dan selainnya, Imam Malik jawab: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Mulakan belajar dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

📍Seperkara lagi, huruf-huruf Muqatta’ah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka.

Penggunaan huruf Muqatta’ah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqatta’ah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Ia ada ‘getaran’ tersendiri. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Quran yang Allah ﷻ telah turunkan untuk kita.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Al-Jathiya (Pengenalan dan Ayat Pertama)

📍Adakah sama maksud wasilah dan tabaruk?

🔵Tidak. Tabarruk maksudnya ambil berkat. Itu cerita syirik dalam berkat pula.

📍Bagaimana dengan orang yang menggunakan kisah Uwais dalam membenarkan berdoa selain dengan Allah ﷻ? Contoh, Pak cik tolong doakan saya supaya dipermudahkan urusan.

🔵Kisah Uwais adalah benar tetapi cara istinbat hukum yang silap.

  1. Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang suruh cari Uwais itu sebagai pengiktirafan kepada beliau. Nabi ﷺ tidak pernah jumpa Uwais tetapi baginda kenal beliau. Ini adalah wahyu.
  2. Tidak ada Nabi suruh cari orang lain.
  3. Para sahabat yang tahu kes ini pun tidaklah mereka sibuk cari orang lain untuk doakan mereka.
  4. Nabi Muhammad ﷺ suruh cari Uwais doakan untuk bab akhirat, semoga diampunkan dosa. Ia bukan bab mudahkan urusan atau minta projek.
  5. Bila Rasulullah ﷺ suruh cari Uwais maknanya Uwais itu orang yang soleh. Zaman sekarang siapa orang soleh yang kita kenal? Macam mana kita hendak tahu dia soleh? Adakah kita boleh baca hati dia?

Kesimpulannya kes Uwais adalah terpencil yang bukanlah boleh dijadikan sebagai dalil untuk minta orang lain doakan kita. Para salaf tidaklah pula faham sebegitu. Uwais juga tidak suka apabila sudah mula terkenal. Dia berasa tidak selesa lalu telah menghilang kan diri. Buktinya, kita sudah tidak mendengar kisah Uwais.

📍Maksudnya, adakah dalam kes yang terpencil, kita boleh minta orang lain untuk berdoa supaya Allah ﷻ ampunkan dosa kita dan hal yang berkaitan dengan akhirat?

🔵Tidak. Di mana hendak cari Uwais? Siapa hendak beritahu ada Uwais dalam kalangan kita? Itu adalah perkara ghaib. Doa minta ampun perlu minta sendiri. Kita bukan Kristian yang minta paderi ampunkan dosa kita.

📍Kita hanya perlu meminta doa kepada Allah ﷻ sahaja tanpa perlu minta orang lain tolong doakan.

🔵Ya benar. Minta ampun sendiri. Hujah saya di atas, tiada lagi Uwais di kalangan kita

📍Bagaimana dengan permintaan doa dari seorang anak kepada ibunya?

🔵Ini ada dalil. Doa ibu makbul.

📍Boleh berikan hadis mengenai kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan.

🔵Terdapat dalam sahih Muslim.

Dalam Ihya’ Ulumudin, Imam Ghozali menyebutkan sebuah riwayat, bahawa Imam Malik pernah didatangi oleh seorang dari negeri yang jauh untuk bertanya kepada beliau perkara agama, dan dalam kantongnya, ia sudah menyiapkan 40 pertanyaan. Imam Malik menjawab 4 dari pertanyaan tersebut dan sisanya beliau jawab dengan jawaban yang sama: “Laa Adriy” (Saya TIDAK TAHU). Penziarah dari negeri yang jauh itu kesal, dan mengatakan: “orang-orang menyebutmu sebagai Faqihul-Ummah (Imam Fiqih Umat), dan saya datang dari daerah yang jauh lalu Anda hanya menjawab “Laa Adriy”???”

Dengan tenang Imam Malik menjawab: “sekarang, kembali lah kau ke negeri asal mu. Lalu katakanlah kepada semua penduduk negeri bahawa kau telah datang kepada ku untuk bertanya, tetapi aku hanya menjawab Laa Adriy!” Lihat bagaimana tawadhu’nya Imam Malik, padahal tidak ada yang meragukan ilmu beliau. Bukan kerana pelit ilmu beliau tidak menjawab, kerana memang beliau tidak mengetahui perkara itu. Seorang Muslim tidak akan berbicara atas perkara yang sama sekali ia tidak tahu ilmunya.

Lebih pintarkah kita dari Imam Malik???

📍Semalam anak saya ada peperiksaan dan seperti biasa dia akan telefon minta didoakan. Saya suruh dia berdoa sendiri dengan Allah ﷻ dan beritahu Ummi juga akan selalu doakan tanpa perlu diminta. Lalu anak saya cakap, doa seorang ibu itu makbul. Bolehkah anak saya cakap begitu?

🔵Boleh. Walaupun anak tidak minta, ibu sudah patut doakan. Doa ibu makbul kerana ibu ikhlas mahukan kebaikan anaknya.

📍Bolehkah kita minta orang yang kita khianati itu, berdoa minta ampun untuk kita dengan syarat kita sendiri telah bertaubat dan minta ampun kepada Allah ﷻ seperti doa di bawah?

قَالُوا يَا أَبَانَا اسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا إِنَّا كُنَّا خَاطِئِينَ

Mereka berkata, “Wahai ayah kami! Mohonkanlah ampunan untuk kami atas dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah (berdosa).” [ Yusuf: 97 ].

🔵Mereka meminta Nabi Ya’kub doakan kerana :

  1. Baginda Nabi dan doa baginda makbul.
  2. Selain itu kerana kesalahan mereka ada sangkut paut dengan baginda. Mereka tipu baginda dan pisahkan dengan anak kesayangan mereka.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan