Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-71 hingga Ke-73

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-71 hingga Ke-73

844
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-71:

يُطافُ عَلَيهِم بِصِحافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكوابٍ ۖ وَفيها ما تَشتَهيهِ الأَنفُسُ وَتَلَذُّ الأَعيُنُ ۖ وَأَنتُم فيها خٰلِدونَ

Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.

 يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ

Mereka diedari dengan talam-talam dari emas dan piala;

‘Di edari’ itu bermaksud mereka akan dihulurkan bersilih ganti dengan talam-talam dan piala-piala itu. صِحَافٍ adalah talam yang saiz makanan di dunia boleh mengenyangkan lima orang.

Kalimah أَكْوَابٍ pula diterjemahkan sebagai ‘piala’ yang merujuk kepada bekas minuman yang besar mulutnya yang tidak ada pemegang padanya dan ia memang khas digunakan untuk minum arak.

Kalau orang Arab memang sudah anggap yang ia digunakan untuk minum arak dan bukan minum air yang lain. Bekas ini tidak mempunyai pemegang kerana kita boleh minum dari bahagian mulut mana-mana sahaja, yang susah untuk dilakukan jika ada pemegangnya.

Andai ada pemegang, kadang-kadang bukankah pemegangnya tidak selesa? Lihatlah bagaimana perincian (‘detail’) sekecil itu juga dipermudahkan untuk kita.

Bekas ini diperbuat dari emas syurga, bukan emas dunia, jadi tidak sama kualiti keduanya. Emas di dunia ini hanya ciplak kepada emas di syurga sahaja jadi kualitinya pasti tidak sama. Macam bandingan antara iphone sebenar dengan iphone replika yang diletakkan di kedai.

Kalimah يُطَافُ juga bermaksud mereka akan diberikan dengan hidangan itu dari berbagai arah. Kalau kita di restoran di dunia, kita tahu makanan kita akan sampai dari mana iaitu dari dapur sahaja kerana dari situlah makanan datang, bukan? Namun di syurga nanti, ia akan diberikan dan dihulurkan kepada kita dari semua arah.

Ini sebagai isyarat yang makanan yang diberikan kepada kita itu banyak sampaikan kena diberikan dari semua arah dan memang kita akan makan dengan amat banyak sekali di sana. Seorang ahli syurga akan diberikan dengan nafsu makan seribu orang!

Padahal, ahli syurga bukan lapar. Ini kerana lapar adalah satu keburukan dan ketidakselesaan, maka tentu ia tidak ada di syurga. Cuma mereka makan kerana hendak makan sahaja, untuk memuaskan nafsu makan sahaja, untuk menikmati hidangan yang lazat itu. Bukannya makan untuk menghilangkan lapar kerana lapar memang tidak ada.

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ

dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu

Kita akan mendapat apa sahaja yang kita mahu dan setiap manusia mempunyai kemahuannya yang berlainan. Ada orang yang suka makanan yang manis dan ada orang suka makanan yang pedas serta ada yang suka berjalan-jalan, ada yang suka bersembang, macam-macam.

Segala keinginan nafsu kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ini tidak salah kerana memang di syurga adalah tempat untuk memuaskan nafsu sahaja – di dunia sahaja kita kena tahan nafsu kita, tetapi di syurga, boleh memenuhinya.

Begitulah, kalau kita tahan nafsu kita di dunia, kita akan dipuaskan nafsu kita di syurga. Ada berbagai minat yang berlainan bagi manusia. Sampaikan ada yang mahu bercucuk tanam kerana dia suka, sedangkan segalanya telah tersedia di dalam syurga. Itu juga diberikan kepada ahli syurga itu.

Dari Abu Hurairah, dia mengisahkan, “Pada suatu hari Rasulullah SAW sedang berbincang-bincang dengan para sahabatnya, di sisi baginda ada seorang laki-laki dari ahli badi’ah (Arab Dusun). Baginda SAW bersabda, ‘Sesungguhnya ada seseorang dari ahli jannah yang meminta kepada Rabb-nya untuk bertani maka Allah SWT berfirman, ‘Bukankah engkau sudah mendapatkan apa yang engkau inginkan?’ Maka dia menjawab, ‘Ya, tetapi aku suka bercucuk tanam.’ Maka Allah SWT pun mengizinkannya. Lalu dia segera menebar benih, dan dalam waktu sekelip mata, (benih itu) tumbuh, meranum, dan tiba waktu tuainya. Dan hal itu pun (menumpuk) seperti gunung. Kemudian Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak Adam, ambillah (semuanya), maka sesungguhnya hal itu tidak akan mengenyangkan sedikit pun.’ Maka dia (laki-laki dari Arab dusun) itu berkata, ‘Demi Allah, engkau tidak akan menjumpai mereka kecuali (mereka adalah) orang-orang Quraisy atau orang-orang Ansar, kerana mereka adalah orang-orang yang suka bertani, (sedangkan kami bukan orang-orang yang suka bercucuk tanam). Maka Nabi SWT pun tertawa.”

(HR. Bukhari dalam Kitabul Harsi wal Muzaro’ah, no.2348 dan Ahmad, 2:512)

Allah SWT sebut pemberian di syurga itu dalam lafaz umum sahaja – boleh dapat apa sahaja yang dikehendaki oleh nafsu – tidak boleh hendak sebut satu persatu kerana banyak sangat.

وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ

serta di pandang indah oleh mata;

Kalimah تَلَذُّ bermaksud ‘lazat’ iaitu apa yang kita sukai. Maknanya pandangan kita turut ada lazatnya juga. Ketika di syurga nanti ada benda-benda yang hanya dengan melihatnya, kita sudah menggembirakan kita kerana cantiknya, kerana indahnya.

Tidak dapat hendak dibayangkan semasa kita di dunia ini. Kelazatan itu memang ada pada ‘rasa’ dan juga ada pada ‘pandangan’. Selalunya ‘lazat’ itu kita gunakan untuk lidah, bukan? Namun begitu ada juga lazat untuk pandangan kita.

Bukankah sebelum kita makan, kita akan melihat kepada makanan itu? Kadang-kadang dengan melihat kepada rekaan dan susunan pada makanan itu sahaja sudah membuka selera kita. Sebab itulah sekarang ramai di kalangan orang-orang muda suka menangkap gambar makanan dan menyebarkannya kepada rakan-rakan mereka di Facebook dan Instagram.

Walaupun mereka tidak dapat memberi rasa lazat makanan itu kepada kawan-kawan mereka, tetapi mereka dapat memberi ‘kelazatan’ pada pandangan mata. Begitu juga dengan pakaian kita. Sebelum kita pakai dan merasai kesedapan pada kain itu, kita akan melihat kepada warnanya, coraknya, potongannya, bukan? Lihatlah bagaimana di syurga nanti, kedua-dua jenis kelazatan itu akan diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Lazat pada lidah dan pada pandangan mata juga.

وَأَنتُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

dan (dikatakan kepada mereka): Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.

Jika di dunia apabila kita berada tempat yang kita suka, tempat nyaman, memang kita suka tetapi sebenarnya dalam hati, kita tahu yang lama kelamaan kita perlu meninggalkan tempat itu juga. Contohnya, kita duduk di hotel yang paling mahal di dunia – kita tahu yang kita akan tinggal sekejap sahaja dan akhirnya akan keluar juga.

Pengetahuan itu akan mengurangkan kenikmatan kita di tempat itu kerana kita tahu yang kita kena meninggalkannya. Akan ada sedikit rasa sedih dalam hati kita terutama bila sudah semakin hendak tinggalkan tempat itu.

Namun ini tidak akan berlaku di syurga nanti kerana ahli syurga akan tetap kekal di syurga selama-lamanya. Itulah satu nikmat yang besar – kita tahu yang kita akan selamat di dalamnya. Perasaan kita akan tenang mengetahuinya dan ini adalah satu lagi tambahan nikmat.

Tafsir Ayat ke-72

وَتِلكَ الجَنَّةُ الَّتي أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.

وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا

Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah Syurga yang kamu mewarisinya,

Kita mewarisi syurga itu dari datuk kita Nabi Adam a.s. Tujuan hidup kita di dunia adalah supaya kita kembali mendapatkan hak kita, iaitu kedudukan kita di syurga.

Kita hanya dapat mewarisinya jika kita ada hubungan rapat dengan tuan syurga itu, iaitu Allah SWT. Kalau tidak ada hubungan rapat, tidak mendekatkan diri kepada-Nya, jangan haraplah.

بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”.

Huruf ب dalam ayat ini adalah ‘ba sababiah’ – penyebab terjadinya sesuatu. Kita masuk syurga kerana usaha kita.

Maknanya untuk kita mendapat Syurga itu, memerlukan usaha yang gigih dari kita untuk beramal. Bukanlah hanya duduk-duduk goyang kaki sahaja. Kehidupan dunia ini bukanlah hanya untuk membuang masa sahaja tetapi mestilah dipenuhi dengan amal ibadat yang sah. Jangan pula buat ibadat bidaah.

Kita masuk ke syurga kerana rahmat dari Allah SWT. Tidak layak untuk kita kata kita masuk syurga kerana amal kita tetapi, dalam ayat ini Allah SWT yang beritahu kita yang Dia masukkan kita ke dalam syurga kerana apa yang kita telah kerjakan.

Itu bezanya – kita sendiri tidak boleh cakap begitu, tetapi Allah SWT berhak untuk mengatakannya, kerana Dia yang menentukan apa yang menjadi punca untuk memasukkan kita ke dalam syurga.

Tafsir Ayat ke-73:

لَكُم فيها فٰكِهَةٌ كَثيرَةٌ مِّنها تَأكُلونَ

Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya.

لَكُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ كَثِيرَةٌ

Untuk kamu di dalamnya berbagai jenis buah-buahan,

Disebut ‘buah-buahan’ kepada bangsa Arab kerana mereka tinggal di tempat yang tidak banyak buah-buahan. Jadi, diberikan motivasi kepada mereka dalam bentuk perkara yang memang dipandang tinggi oleh mereka. Mereka amat suka kepada buah-buahan.

مِّنْهَا تَأْكُلُونَ

darinya kamu makan”

مِّنْهَا bermaksud kita boleh makan apa-apa sahaja buah yang ada di dalam syurga itu. Kita boleh pilih mana-mana buah yang kita suka dan tidak ada buah yang membahayakan kerana kalau di dunia, bukan semua buah boleh makan. Kalau makan durian di dunia, ada orang yang tidak boleh makan dan kalau yang boleh makan juga, tidak boleh makan banyak sangat.

Namun di syurga nanti, tidak ada masalah langsung hendak makan buah apa, dan berapa banyak. Semua yang disebut di atas adalah sebahagian sahaja ‘bayang-bayang’ yang diberikan kepada kita tentang apakah yang kita akan dapat di syurga nanti.

Pada hakikatnya tidak ada sesiapa yang tahu dengan tepat seperti yang Allah SWT firmankan dalam surah [ Sajdah: 17 ]:

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Apa yang ahli syurga akan dapat adalah berlebih-lebih lagi dari apa yang telah disebut dalam ayat-ayat al-Quran. Sampaikan tidak dapat dibayangkan dengan mata dan difikirkan oleh akal.

📍Segala yang diberitahu adalah sebagai motivasi kepada kita untuk berusaha beramal.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Az-Zukhruf (Ayat 71-73)

📍Kalimah يُطَافُ juga bermaksud mereka akan diberikan dengan hidangan itu dari berbagai arah.

Adakah maksud ayat ini tiba-tiba makanan itu ada di depan mata macam silap mata?

🔹Bukanlah ‘silap mata’. Silap mata itu maksudnya benda tiada, tetapi nampak sahaja macam ada, macam ‘magician’ buat itu. Maksud ayat di atas memang benar-benar terjadi perkara ini iaitu dibawa oleh pelayan di syurga.

📍Adakah kita akan mendapat apa yang kita inginkan di syurga?

🔹Ada juga, kena tengok tingkatan dia. Syurga ada beberapa tingkatan.

Di dalam Al-Qur’an disebut tiga jenis:

Ada kena ambil sendiri.

Ada yang disajikan oleh pelayan.

Ada yang Allah SWT sendiri berikan.

📍Ustaz, boleh bagi tahu contoh Dalil ayat yang Allah sendiri berikan?

🔹Surah Insan menceritakan tiga jenis bagaimana ahli syurga dapat minuman itu.

Ayat 21 adalah apabila Allah SWT sendiri beri minum, satu penghormatan besar.

 وَسَقٰهُم رَبُّهُم شَرابًا طَهورًا

dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih.

📍Ada kah benar pemahaman saya, iaitu sia-sia sahajalah usaha dan amal-amal bidaah?

🔹Memang sia-sia, malah mendapat dosa lagi pula.

📍Apakah tujuan kita beramal sekiranya hanya rahmat Allah SWT sahaja yang diperlukan untuk ke syurga-Nya?

🔹Bagaimana hendak mendapat rahmat Allah SWT ? Adakah goyang kaki? Hanya dengan amal lah, baru boleh dapat rahmat Allah SWT. Allah SWT suka tengok kita usaha dan Dia balas dengan rahmat Dia. Bukannya berharap: bagilah rahmat… bagilah rahmat… tetapi tidak solat.

📍Adakah di akhirat nanti kita kena menutup aurat juga?

🔹Kita akan dipakaikan dengan pakaian kemewahan dan keindahan dan kedudukan tinggi. Orang mulia akan pakai baju. Bagi yang pakai baju tidak cukup ini, orang akan hina. Jahil agama hingga keluarlah kata-kata: walaupun aku tak pakai tudung tutup aurat… tapi hati aku baik tau!

 📍Adakah kemungkinan orang yang tidak pakai tudung itu boleh jadi hati dia baik?

🔹Baik itu subjektif. Kita nilai dengan agama. Kita disuruh bertakwa. Takwa ini taat dengan hukum Allah SWT. Jika tidak pakai tudung maka tidak bertakwa lah sebab langgar hukum Tuhan.

📍Semasa di syurga kita akan bertemu dengan Allah SWT tetapi pada masa sekarang kita tidak boleh fikir macam mana Allah SWT itu? Anak pernah tanya adakah Allah SWT itu lelaki dan saya cakap tidak tahu.

🔹 Allah SWT itu tunggal. Kita makhluk ada jantina tetapi Allah SWT tidak ada jantina. Memang tidak dapat dibayangkan.. banyak benda tidak dapat hendak dibayangkan: jin dan malaikat juga tidak dapat bayangkan.. langit ke-dua hingga ke-tujuh, Arasy lagi. Lalu bagaimana hendak bayangkan Allah SWT? Kita hendak bayangkan bagaimana Malaysia 50 tahun dulu juga payah, sedangkan kita duduk di Malaysia ini. Maknanya akal kita memang lemah.

📍Kalau anak-anak kecil tanya soalan macam tu pada kita, apa jawapan yang terbaik sekali untuk dijawab ustaz?

🔹Kita tidak perlu bayangkan. Angin kita dapat rasa, kan? Bagaimana rupa angin? Itu pun sudah tidak dapat hendak bayangkan. Allah SWT tidak zahirkan Diri Dia kepada kita sebagai ujian. Kalau kita nampak Allah SWT depan mata kita, tentulah semua beriman. Maka tidaklah ada ujian lagi.

Ujian adalah dengan kita tidak nampak Dia, tetapi tetap beriman dengan Dia.

📍Apakah di syurga nanti kita masih kena menunaikan solat?

🔹Tiada kerja dan tiada ibadah lagi di syurga.

📍Jika di dunia kita tidak suka makan buah tertentu, adakah nanti di syurga akan suka?

🔹Buah syurga bukan macam buah di dunia. Jadi, kita pasti akan suka. Makanan bukan buah sahaja, ada macam-macam tetapi disebut buah kerana masyarakat Arab suka buah dan mereka penerima pertama wahyu. Jadi ikut selera mereka.

📍Adakah buah larangan (khuldi) yang Nabi Adam dan isterinya makan itu ada di syurga nanti dan terus dilarang untuk kita makan?

🔹Tiada. Dalil banyak dalam Al-Quran mengatakan tiada larangan dan penahanan apa-apa sahaja. Allah SWT jadikan buah larangan itu (tiada nama sebab khuldi itu Iblis yang kata) hanya sebagai asbab hendak turunkan Nabi Adam a.s. ke bumi sahaja.

📍Semasa dekat syurga nanti kita boleh minta makanan kesukaan kita ketika di dunia?

🔹Ya boleh. Dalil surah [ Baqarah: 25 ].

كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ

Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”.

Ada makanan yang sama seperti di dunia tetapi tingkatan sudah lain. Serupa tetapi tidak sama.

📍Ada kah di syurga ada banyak jenis arak dan susu? Adakah arak itu membuat kita mabuk?

🔹Memang banyak jenis minuman, ayat-ayat Al-Quran menyebut berjenis-jenis. Ada campur kapur, ada campur halia dan lain-lain. Arak yang tidak mabuk.

بِأَكۡوَابٍ۬ وَأَبَارِيقَ وَكَأۡسٍ۬ مِّن مَّعِينٍ۬ . لَّا يُصَدَّعُونَ عَنۡہَا وَلَا يُنزِفُونَ

“Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungai yang mengalir. Mereka tidak merasa pening dan tidak pula mabuk kerananya.” [Surah al-Waaqi’ah : 18 – 19]

📍Ada kah di syurga masih ada rasa cemburu atas kelebihan yang ada pada penghuni syurga yang lain?

🔹Terdapat banyak tingkatan syurga tetapi tidak ada dengki dan cemburu. Dalam hadis disebut bila Allah SWT tanya kepada ahli syurga, apa lagi dia hendak… ahli syurga jawab: apa lagi yang kami hendak, semua Kau telah bagi. Mungkin dia duduk tingkatan rendah, tetapi yang Allah SWT beri tu sudah hebat sangat. Sifat buruk seperti cemburu dan dengki sudah ditarik keluar bila masuk syurga.

Perumpamaan seperti ini:

Lembu makan rumput, tetapi manusia makan nasi lemak. Lembu tidak pernah cemburu kepada kita makan nasi lemak dan sedangkan dia makan rumput sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan