Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 06.07.03 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

06.07.03 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

355
0
Iklan

Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum, nota seterusnya di bawah ini.. semoga bermanfaat.

#300517 Bilik (09) Ulum al-Quran – Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.07.03 Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ

#NotaBroSyarief #UlumQuran #UiTOBilik09

4. Sekiranya nilai darjat kesemua riwayat adalah sama-sama sahih, dan didapati pada salah satu riwayat wujudnya bentuk tarjih, seperti terdapat penjelasan kisah (pada matan) atau bentuk salah satu riwayat tersebut lebih sahih berbanding yang lain, maka diutamakan riwayat yang lebih rajih.

Contohnya riwayat berikut daripada Ibn Mas’ud, katanya:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي حَرْثٍ بِالْمَدِينَةِ، وَهْوَ يَتَوَكَّأُ عَلَى عَسِيبٍ

Aku pernah bersama dengan Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – di sebuah kebun di Madinah, dan dia sedang bersandar pada sebatang tunggul.

فَمَرَّ بِنَفَرٍ مِنَ الْيَهُودِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ سَلُوهُ عَنِ الرُّوحِ‏.‏ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ تَسْأَلُوهُ لاَ يُسْمِعْكُمْ مَا تَكْرَهُونَ‏.‏

Lalu, sekumpulan Yahudi lalu (berhampirannya). Sebahagian mereka berkata (kepada sebahagian yang lain): ‘Tanyalah dia tentang Ruh..’. Sebahagian yang lain pula menjawab: ‘Janganlah kalian tanya kepadanya.. Jangan beri peluang kepadanya mendengarkan apa yang (sebenarnya) kalian benci’

فَقَامُوا إِلَيْهِ فَقَالُوا يَا أَبَا الْقَاسِمِ حَدِّثْنَا عَنِ الرُّوحِ‏.‏

Tetapi mereka (kemudiannya) pergi bertemu Nabi, lalu bertanya: ‘Wahai Abu al-Qaasim, ceritakan kepada kami tentang Ruh!’

فَقَامَ سَاعَةً يَنْظُرُ فَعَرَفْتُ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْهِ، فَتَأَخَّرْتُ عَنْهُ حَتَّى صَعِدَ الْوَحْىُ، ثُمَّ قَالَ ‏{‏وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي‏}‏‏.‏

Tiba-tiba dia bangun sambil memerhati (ke arah sesuatu). Aku menyedari bahawa dia sedang menerima wahyu. Akupun tunggu sehingga selesai.

Kemudian dia membacakan ayat:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang Ruh. Katakanlah: Ruh itu ialah dari urusan Tuhanku..” [al-Isra(17):85]

[HR al-Bukhari]

Di dalam sebuah riwayat yang lain, Ibn Mas’ud menyebutkan:

قَالَتْ قُرَيْشٌ لِيَهُودَ اعْطُونَا شَيْئًا نَسْأَلُ عَنْهُ هَذَا الرَّجُلَ فَقَالَ سَلُوهُ عَنِ الرُّوحِ

Seorang Quraisy bertanya kepada seorang Yahudi, ‘Berikan kami apa-apa soalan untuk kami tanyakan mengenainya kepada lelaki ini! (yakni: Muhammad)’. Lalu dia berkata: ‘Tanyakan kepadanya tentang Ruh.’

قَالَ فَسَأَلُوهُ عَنِ الرُّوحِ فَأَنْزَلَ اللهُ:‏ ‏يَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً ‏

Ibn Mas’ud menyambung: Lalu merekapun bertanya kepadanya tentang Ruh, lalu Allah menurunkan ayat ke-85, dari surah al-Isra.

[HR at-Tirmizi]

Riwayat ini menunjukkan bahawa ianya turun di Mekah kerana disebutkan Quraisy yang bertanya, dan riwayat yang di atas pula menunjukkan ianya turun di Madinah (kerana kewujudan golongan Yahudi bersama Nabi).

Maka, diutamakan riwayat yang pertama kerana Ibn Mas’ud sendiri terlibat menyaksikan peristiwa tersebut. Ditambah pula dengan kesepakatan umat menerima Sahih al-Bukhari sebagai rujukan yang paling sahih berbanding rujukan yang lain.

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, Cet. ke-7, m/s 84.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan