Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 70: Jubbah Rumiyyah

Hadis 70: Jubbah Rumiyyah

189
0
Iklan

SYARAH HADIS ASY-SYAMA’IL AL-MUHAMMADIYYAH – HADIS 70

MOHD ‘ADLAN BIN MOHD SHARIFFUDDIN
SEPTEMBER 21, 2017

70- حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ عِيسَى، قَالَ: حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا يُونُسُ بْنُ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ.

70- Telah bercerita kepada kami Yusuf bin `Isa, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Waki`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Yunus bin Abi Ishaq, daripada bapanya, daripada Asy-Sya`biy, daripada `Urwah bin Al-Mughirah bin Syu`bah, daripada bapanya, bahawa Nabi telah memakai jubbah Rumiyyah yang sempit dua lengannya.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menjelaskan satu lagi pakaian yang pernah dipakai oleh Nabi, iaitu jubbah Rumiyyah atau jubah orang Rom. Imam Al-Bukhariy menjelaskan bahawa jubbah Rumiyyah ini dipakai ketika Nabi sedang bersafar – ketika perang Tabuk –, iaitu ia bukanlah pakaian harian Nabi. Ia diperbuat daripada bulu. Jubbah Rumiyyah ini juga disebut sebagai jubbah Syamiyyah kerana pada zaman itu, Syam ialah negeri yang dijajah dan diperintah oleh bangsa Rom di bawah pemerintahan Qaysar (Caesar). Justeru, jubbah Rumiyyah ini ialah jubah yang dipakai oleh orang Rom yang ketika itu beragama Kristian.

Apabila diteliti, pakaian ini barangkali ialah dari jenis tunik (daripada Latin: tunica), sejenis pakaian seperti jubah yang mempunyaï lubang di leher dan lengan panjang. Labuh tunik pula berbeza-beza, dan ia tidak melepasi buku lali.

Hadis ini menyebut bahawa jubbah Rumiyyah yang Nabi pakai adalah dari jenis yang mempunyaï lengan yang sempit, atau yang lebih mudah disebut sebagai lengannya ketat dan sendat. Justeru, hadis ini dijelaskan dalam [Al-Bukhariy/ 5798]:

فَذَهَبَ يُخْرِجُ يَدَيْهِ مِنْ كُمَّيْهِ، فَكَانَا ضَيِّقَيْنِ، فَأَخْرَجَ يَدَيْهِ مِنْ تَحْتِ الْجُبَّةِ فَغَسَلَهُمَا

Maka dia cuba mengeluarkan dua tangannya daripada dua lengannya, maka kedua-duanya adalah sempit, jadi dia mengeluarkan dua tangannya daripada bawah jubah, dan dia membasuh kedua-duanya.

Ini bermakna, lengan jubah itu adalah sempit, ketat dan sendat, sehingga apabila lengan itu disingsing, ia menjadi terlalu ketat sehingga tidak dapat melepasi siku Nabi. Justeru, apabila Nabi ingin berwudhu’, Nabi akan mengeluarkan tangannya melaluï bahagian bawah jubah.

Pakaian yang Nabi pakai ini ialah jubbah Rumiyyah yang diperbuat daripada bulu, dan ia dibuat oleh orang Kristian Rom. Justeru, dapat diambil hikmah bahawa bulu haiwan yang dibuat pakaian, maka ia boleh digunakan tanpa perlu diperiksa. Walau bagaimanapun, sejak dahulu, bulu yang digunakan untuk membuat pakaian ialah bulu kambing biri-biri, bukan bulu haiwan lain. Justeru, pakaian daripada bulu boleh digunakan tanpa mengira ia disembelih atau tidak, tanpa mengira ia dibuat oleh orang Islam atau tidak. Selagi ia bulu kambing biri-biri, ia boleh dipakai.

Selain itu, jubbah Rumiyyah itu mempunyaï lengan. Justeru, adalah tidak salah membuat dan memakai pakaian yang mempunyaï lengan, dan tidaklah perlu memakai pakaian seperti poncho askar yang berbentuk empat segi. Lengan baju itu tidak semestinya longgar – bagi lelaki – dan boleh sahaja lengan yang ketat seperti baju kemeja yang dipakai oleh orang-orang pejabat.

Pakaian Nabi, walaupun ia berbeza-beza fabriknya, juga berbeza-beza rekaannya, juga berbeza asal-usulnya, kesemua pakaian itu adalah pakaian untuk menutup tubuh terutama bahagian `awrat. Berbeza dengan sebahagian manusia pada hari ini, pakaian yang dipakai sengaja direka bagi mendedahkan bahagian-bahagian tertentu, terutama bagi wanita. Adalah jelas bahawa trend seperti ini adalah salah dan menyalahi inti pati berpakaian yang dianjurkan atau dilakukan oleh Nabi.

Komen dan Soalan