Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Fiil – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

Tafsir Surah Al-Fiil – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

1416
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Fiil

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

1. Allah SWT menjadikan tipu daya orang jahat kembali kepada tertimpa diri mereka sendiri.

2. Kehinaan kepada mereka yang menentang Allah SWT.

3. Kisah Abrahah yang terlalu yakin dengan keupayaan diri menzalimi orang lain.

Lalu, kita masuk kepada “babak” yang berikut terhadap kisah tentera Abrahah iaitu, bukan sahaja usaha Tentera Abrahah itu menjadi sia-sia, malah mereka sendiri dihancurkan sepenuhnya.

Tafsir Ayat Ke-3:

 وَأَرسَلَ عَلَيهِم طَيرًا أَبابيلَ

Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong,

Sejurus Abdul Muthalib (datuk Rasulullah) berdoa kepada Allah SWT agar menyelamatkan Ka’bah, lalu beliau melihat burung yang datang dengan banyaknya. Terbang pula berbondong-bondong dari arah Yaman (sama dari arah yang didatangi oleh Abrahah).

Abdul Muthalib sendiri tidak pernah melihat jenis burung tersebut. Setiap satu burung itu membawa tiga ketul batu, setiap satu pada kakinya dan satu lagi pada paruhnya.

Batu-batu pada burung-burung itu dilepaskan kepada tentera Abrahah. Apabila ia mengenai mangsanya, ia menembusi jasad orang tersebut.

Beberapa catatan mufassir berkaitan kisah burung ini :

1. Burung-burung itu dikatakan bukan dalam satu jenis sahaja, tetapi pelbagai campuran.

2. Ada juga yang mengatakan burung-burung datang dari pelbagai arah kemudian bergabung di Mekah itu.

3. Bilangan mereka amat banyak, sehingga menutupi cahaya matahari dan bumi Mekah pada waktu itu menjadi gelap.

Jika kita ingat kembali, di awal perbincangan kalimah :

كَيفَ

Bagaimana

Allah SWT sampaikan kisah ini kepada kita kerana Allah SWT mahu kita bayangkan “bagaimana” Allah SWT melakukan balasan terhadap mereka. Ia bukanlah perkara biasa, kerana ini adalah kisah burung yang kecil dapat memusnahkan tentera bergajah yang besar itu. Sedangkan gajah-gajah itu besar dan kuat.

Ada 2 pandangan mengenai batu yang dibawa oleh burung-burung tersebut:

1. Batu yang terjadi dari tanah (lama-lama tanah tu jadi keras).

2. Batu api yang diambil dari Sijjil.

Kalimah

عَلَيهِم

ke atas mereka

Ini adalah salah satu dari ilmu balaghah (sastera arab) untuk :

1. Menunjukkan kekuasaan Allah SWT atas makhluk dan Allah SWT boleh buat apa sahaja ke atas mereka.

2. Ayat yang menyebut tentang musibah dan azab, maka Allah SWT akan menggunakan kalimah ini.

Kalimah

طَيرًا

(Dalam bentuk isim jamak / plural).

Ia merujuk kepada APA SAHAJA jenis burung. Apabila ada tanwin pada kalimah طَيرًا, ia menambah lagi maksud bahawa terdapat banyak jenis burung.

Terdapat satu lagi bentuk kalimah plural / jamak:

طيور

Tetapi di sini bermaksud satu jenis burung sahaja.

Kalimah

أَبابيلَ

Ia bermaksud burung-burung itu berada di dalam gerombolan yang besar (Berbondong-bondong).

Oleh itu, kalimah

طَيرًا أَبابيلَ

Bermaksud burung-burung yang sangat banyak, berbagai jenis.

Tafsir Ayat Ke-4:

تَرميهِم بِحِجارَةٍ مِن سِجّيلٍ

“Yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar,”

Burung-burung tersebut melontarkan batu-batu kepada tentera Abrahah. Ada di dalam waktu dan tempat yang lain, Allah SWT menggunakan cara yang lain.

Contohnya seperti di dalam surah [ Al Ahzab: 9 ] Allah SWT menghantar angin dan para malaikat untuk memusnahkan musuh-Nya.

جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَم تَرَوها

“Ingatlah akan nikmat Allah SWT (yang telah dikurniakan) kepada mu ketika datang kepada mu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya.”

Kalimah تَرمي dalam

تَرميهِم

Dari kalimah ر م ي yang bermaksud ‘membaling’

1. Ia dalam bentuk ‘present tense’ / sedang atau akan berlaku. Sedangkan kisah ini telah berlaku. Kaedah bahasa ini menunjukkan perkara itu berlaku berulang-ulang.

2. Ia juga memberi makna, bahawa batu itu dibaling kepada mereka dari jarang yang jauh (dari kedudukan yang tinggi). Oleh itu, daya tarikan graviti telah meningkatkan kelajuan batu-batu itu.

3. Batu-batu itu sampai menembusi tengkorak / jasad mereka dan keluar dari sebelah lain.

4.  Ia juga bermaksud, batu itu dibaling pada individu yang tertentu. Tepat mengenai orang yang telah ditakdirkan akan terkena balingan batu itu.

Mereka dibaling,

بِحِجارَةٍ

dengan batu.

مِن سِجّيلٍ

Dari Sijjil

1. Bermaksud batu yang terjadi dari tanah yang terbentuk kerana basah, kemudian tanah itu terbakar dengan sinaran cahaya matahari. Lama- kelamaan menjadi keras.

2.  Ada juga yang mengatakan “Sijjil” itu adalah batu dari neraka.

Kemungkinan DUA cara untuk faham dan mengambil natijah dari peristiwa yang berlaku:

1. Burung lempar batu halus, yang terbuat dari tanah. Tepat kena sasaran dan tembus. Kemudian mereka mati perlahan lahan.

2. Burung lempar batu dari neraka, yang terambil dari Sijjil. Tepat kena sasaran merosakkan tubuh. Kemudian mereka mati perlahan lahan.

Ibn Abbas mengatakan, apabila batu itu kena pada badan tentera Abrahah itu, tubuh mereka akan membengkak terbakar dan membusuk. Ia menjadi wabak yang teruk dan inilah kali pertama wabak sampai ke Mekah. Mereka menjadi mayat yang reput dan busuk.

Tafsir Ayat Ke-5:

 فَجَعَلَهُم كَعَصفٍ مَأكولٍ

Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat

Kalimah

فَجَعَلَهُم

Bermaksud mengubah sesuatu dari satu bentuk ke satu bentuk. Sebagai contoh, mengubah pokok kayu menjadi meja.

Allah SWT gunakan huruf ك sebagai bandingan.

Kalimah

عَصفٍ

Bermaksud angin bertiup yang menghancurkan daun kering. Atau ia boleh bermaksud helaian daun yang berterbangan di udara.

Kalimah

مَأكولٍ

Bermaksud sesuatu yang dimakan.

Apabila binatang ternak memakan dedaun hijau, ada cebisan kecil daun itu yang jatuh. Cebisan yang jatuh itu dipanggil :

عَصفٍ مَأكولٍ

Begitulah Allah SWT berikan perumpamaan untuk mereka setelah mereka dikenakan dengan hujanan batu Sijjil.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Kejadian gajah besar yang dikalahkan oleh burung kecil, memberikan pengajaran kepada kita agar sentiasa berwaspada dan insafi diri agar tidak menjadi hamba Allah SWT yang ingkar.

Ini kerana sekiranya Allah SWT murka terhadap seseorang, langsung tiada masalah di sisi Allah SWT untuk “menjatuhkan” atau “menghinakan” orang itu. Meskipun pada pandangan kita, orang itu mempunyai kuasa atau sedang berada di puncak.

Kedua :

Strategi Allah SWT dalam menghancurkan tentera Abrahah menggunakan makhluk kecil (burung), memberikan kita isyarat bahawa tidak mustahil sesiapa pun mampu bertindak memberikan impak yang besar asalkan berfikir dan menggunakan keupayaan yang Allah SWT berikan se-maksima yang termampu. Apatah lagi bersama pertolongan Allah SWT, semuanya akan dipermudahkan.

Ketiga :

Di antara kaedah Allah SWT menyiksa / azab makhluk yang ingkar adalah secara perlahan (seolah daun dimakan ulat). Selain daripada untuk menunjukkan betapa siksanya azab secara perlahan itu, ia juga boleh dilihat sebagai ruang dari Allah SWT memberikan masa bertaubat.

Azab yang perlahan ini membuktikan rahmat Allah SWT untuk memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat. Bagi orang beriman, neraka itu juga satu nikmat agar dia segera kembali bertaubat apabila terbabas. Selagi hidup perbanyakkan untuk beristighfar dan bertaubat kepada-Nya.

Allahu ‘alam.

Komen dan Soalan