Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-35 dan Ke-36

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-35 dan Ke-36

2222
0
Iklan

Tafsir Surat Fussilat

Tafsir Ayat Ke-35

Bagaimana boleh mencapai sifat yang di sebut dalam ayat sebelum ini?

وَما يُلَقّٰها إِلَّا الَّذينَ صَبَروا وَما يُلَقّٰها إِلّا ذو حَظٍّ عَظيمٍ

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

وَما يُلَقّٰها إِلَّا الَّذينَ صَبَروا

Dan tidak diberikan dengannya melainkan orang-orang yang sabar sungguh

Maksudnya, tidak akan dapat mencapai tahap orang berdakwah seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini melainkan orang yang sabar sungguh, iaitu kalau orang-orang bercakap kasar dengan kita, menolak kita, mencemuh kita dan sebagainya lagi yang menyakitkan hati, tetapi masih bersabar untuk bercakap baik dengan mereka, masih berlembut dengan mereka.

Sifat dan tindak balas seperti itu adalah amat susah sekali dicapai kerana kita semua ini selalunya ada panas baran belaka. Kalau ada yang cakap kasar dengan kita, tentunya tindakan yang selalunya terjadi, kita akan bercakap kasar balik dengan mereka.

Tetapi, ada yang boleh capai kedudukan itu iaitu orang-orang yang dapat bersabar. Sabar itu maksudnya boleh menahan perasaan. Memang akan ada perasaan marah, geram dan sebagainya, tetapi kita tidak ambil tindakan.

Sabar ini penting kerana usaha dakwah memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan senang orang hendak terima ajakan kita. Ada orang yang belum sampai lagi hidayah kepada mereka. Kita dulu pun macam itu juga. Jadi, kenalah sabar dengan mereka.

Namun, kita kena ingat yang kita tidak boleh minta sabar, kecuali kalau kita di medan perang.

Ini kerana kalau kita minta ‘sabar’, maka Allah akan beri dugaan untuk menzahirkan sabar kita. Maka ini seolah-olah minta masalah pula. Ini kita dapat fahami dari satu hadis Nabi:

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: Ya Allah aku memohon kepada-Mu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. [ Riwayat AT-Tirmidzi ].

Jadi tidak boleh minta kita dijadikan seorang penyabar, tetapi sabar itu akan diberi kalau kita berusaha. Bila ada masalah, bila ada dugaan, maka waktu itu bolehlah kalau hendak minta sabar. Tetapi kalau keadaan baik, keadaan tenang tiada masalah, jangan kita minta Allah SWT berikan sabar kepada kita.

Cuma kita boleh minta supaya kita tidak marah. Bila tidak ada marah, boleh ada sabar. Nanti kita akan berjumpa teknik yang Allah SWT sendiri ajar bagaimana untuk mendapat sabar dan tidak marah ini. Sabar, kejap lagi kita akan sampai.

Afiah ini maksudnya masalah tidak datang. Diselamatkan dari masalah. Selalu masalah datang dan kita minta diselesaikan, bukan? Mana lagi bagus? Masalah datang dan kemudian selesai atau masalah tidak datang langsung?

وَمَا يُلَقّٰهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan tidak juga boleh bertemu dengannya, melainkan orang yang dapat tuah yang sungguh besar.

Orang yang mendapat tuah besar yang sebenarnya adalah mereka yang sabar dalam dakwah dan terus melakukan dakwah.

Ingatlah bahawa kedudukan seorang pendakwah ini telah diberikan oleh Allah SWT. Ini pun sudah bertuah sebenarnya. Allah SWT telah berikan hidayah kepada kita dan berikan satu tugas yang amat besar kepada kita – mengajak orang mengamalkan agama Islam yang benar.

Allah SWT telah pilih kita dan tidak orang lain. Berapa ramai orang yang masih dalam kegelapan dan kesesatan? Mereka tidak kisah pun hal agama, tidak mementingkan langsung hal Islam.

Tetapi kita telah diberi satu kefahaman yang tinggi. Allah SWT telah bawa hati kita ke arah memahami agama Islam. Itu adalah satu pemberian yang besar dan itu adalah satu tuah sebenarnya.

Berapa ramai yang sudah belajar agama, sudah faham tetapi masih senyap membisu? Mereka seolah-olah rasa cukuplah mereka sahaja yang selamat, orang lain biarlah mereka. Jadi mereka tengok sahaja kesalahan yang dilakukan oleh manusia tanpa menegur mereka. Maka mereka tidak menjadi pendakwah. Tidak ajak orang lain belajar pun.

Kita cuba hidup tanpa masalah. Kalau masalah datang, kita hadapi, tetapi kalau tidak ada masalah kan lagi bagus? Bila tidak ada masalah, kita bersyukur kepada Allah SWT, itu pun pahala juga tu.

Saya buat satu perumpamaan. Katakanlah ada orang sakit. Kita pula ada ubat. Dia tidak tahu dia sakit, tetapi kita tahu. Agaknya, dia marah tidak kalau kita tidak beritahu dia ada sakit dan kita ada ubat? Dia marah tidak kalau kita simpan sahaja ubat itu?

Mana lagi teruk? Sakit fizikal atau sakit akidah dan sakit amalan? Sakit fizikal susah di dunia sahaja, sedangkan sakit akidah dan amalan bawa ke akhirat. Dan kita ada ubat paling ‘power’ iaitu Al-Quran dan Sunnah. Namun, kita simpan sahaja ubat ini dekat kita biarlah orang lain sakit pun, ‘bukan kena mengena dengan aku’ begitu kah?

Memang kadang ada orang sakit tetapi tidak mengaku sakit. Takkan kita hendak biarkan sahaja.

Seperti kawan saya tidak mahu buat ‘medical check up’. Dia kata kalau buat, nanti tahu sakit apa dan tidak senang hidup. Dua tahun lepas dia cakap begitu, dia mati sebab sakit jantung. Bagaimana?

Ini ubat paling ‘power’. Jika kita jual ubat, orang tidak beli kita tidak dapat untung. Tetapi ubat ini, kita cerita sahaja pada orang, sudah dapat untung. Memang perniagaan paling terbaik!

Tafsir Ayat Ke-36

Amat susah untuk mendapat tahap kesabaran yang tinggi. Tetapi Allah SWT ajar bagaimana cara untuk mendapatkannya. Seperti yang diberitahu sebelum ini, kita tidak boleh minta diberi sabar.

Tetapi kita boleh minta supaya jangan marah kerana marah itu merosakkan sabar. Ada satu hadis seorang sahabat minta nasihat dari Nabi dan baginda nasihat jangan marah. Dia tanya apa lagi dan Nabi jawab ‘jangan marah’ lagi. Sampai tiga kali.

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ، قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu bahawa ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi SWT: “Berilah aku wasiat”. Baginda jawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi SAW bersabda: “Engkau jangan marah!” [HR al-Bukhâri].

Bukanlah kita katakan tidak boleh marah langsung kerana ada perkara yang kita kena marah. Kalau orang di bawah kita (seperti ahli keluarga, anak buah, pekerja dan sebagainya) buat benda salah, maka kenalah marah, jangan diam sahaja. Kalau diam sahaja, mereka tentu akan buat lagi.

Seperti pernah Nabi Muhammad SAW marah kepada isteri-isteri baginda yang mahukan keduniaan. Baginda tunjukkan kemarahan dengan tidak tegur mereka selama sebulan.

Juga Nabi Muhammad SAW marah kepada sahabat-sahabat yang lama beriman tetapi masih juga buat salah. Namun, marah Nabi SAW tentulah dengan cara baginda yang penuh akhlak.

Ayatnya:

وَإِمّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيطٰنِ نَزغٌ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطٰنِ

Dan sekiranya ada bisikan kepada engkau dari syaitan.

Apabila seorang pendakwah dikhianati, dicaci, dimaki, diejek dan dikeji, syaitan akan ambil peluang untuk bangkitkan kemarahan dalam dirinya. Syaitan akan bisikkan untuk menghasut dia untuk melakukan sesuatu yang tidak elok. Syaitan akan kata: “takkan kamu nak biarkan dia cakap macam itu….” dan sebagainya.

نَزْغٌ

bisikan kejahatan

Ketahuilah bahawa perasaan marah yang timbul dalam hati kita itu adalah datang dari syaitan. Atau, kita marah sikit sahaja, tetapi syaitan akan tambah lagi dan lagi.

Mereka memang mahu menghancurkan usaha dakwah kita. Maka syaitan akan membisikkan perkara-perkara buruk. Maka, jika terjadi macam itu, apa yang kita kena buat?

فَاسْتَعِذْ بِاللهِ

Hendaklah minta berlindung kepada Allah SWT.

Ucapkan A’uzubillah dengan lidah. Ini adalah doa minta perlindungan dari syaitan. Minta dengan Allah SWT. Dan ambil wudu’ kalau boleh waktu itu. Mintalah berlindung kepada Allah SWT dari bisikan syaitan. Ucapan a’uzubillah itu adalah sunat, tetapi wajib berdoa dengan hati minta kepada Allah SWT supaya redakan diri kita dari perasaan marah. Sebutlah lebih kurang begini: “Ya Allah SWT, selamatkanlah hati aku dari kemarahan yang aku tidak patut marah”. Insya Allah akan reda kemarahan kita itu.

Marah itu dari syaitan yang dijadikan dari api. Api boleh dimatikan dengan air. Jangan pula lawan api dengan api, tetapi lawanlah api itu dengan air. Oleh itu, kemarahan yang disebabkan oleh syaitan boleh diredakan dengan wudu’.

Kita telah belajar dalam ayat-ayat sebelum ini, kalau dengan manusia, mereka dapat ditundukkan dengan berbuat baik dengan mereka, cakap baik dengan mereka, dengan hikmah dan sebagainya.

Tetapi kalau dengan syaitan dari bangsa jin, bukan boleh berhikmah dengan mereka pula. Kita kena memohon perlindungan kepada Allah SWT kerana Allah SWT sahaja yang dapat menundukkan mereka kerana kita tidak boleh berlawan dengan syaitan dalam bentuk jin, bagaimana kita nak berlawan dengan manusia kerana jin itu makhluk jenis lain. Kita tidak nampak mereka, jadi hendak lawan macam mana? Hendak bercakap dengan mereka pun tidak boleh. Di sebabkan itulah Allah SWT ajar kita untuk minta berlindung dengan-Nya.

Kita kena berharap kepada Allah SWT dan serahkan diri kita kepada Allah SWT. Kalau Allah SWT tidak tolong kita, kita pun tidak akan berjaya dalam usaha dakwah ini. Oleh itu, kalau kita berjaya, jangan kita rasa kita berjaya kerana usaha kita sahaja. Tetapi ingatlah bahawa ada pertolongan Allah SWT dalam kejayaan kita itu. Sepandai mana pun kita, kita masih memerlukan pertolongan Allah SWT.

Maka sebab itu sebelum memulakan dakwah kepada sesiapa, minta pertolongan kepada Allah SWT kerana hujah dan dalil yang akan kita bawakan adalah dari Allah SWT, bukannya dari kita.

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ

Sesungguhnya Dia Maha mendengar

Allah SWT Maha Mendengar rintihan orang yang dikhianati tadi. Allah SWT juga sentiasa mendengar kata-kata orang yang menentang kita itu – Allah SWT akan tulis dan akan dibentangkan nanti – jadi jangan ambil kisah sangat, kerana dia akan dibalas atas kata-katanya itu.

Allah SWT sentiasa mendengar usaha dakwah kita. Tidaklah percuma usaha dakwah kita itu. Kalau pun orang yang kita dakwahkan itu tidak menerima dakwah kita dan tidak mahu beriman, pahala dakwah itu sudah siap tertulis . Kita akan dibalas di akhirat kelak atas usaha kita.

Pahala bukanlah dibalas atas kejayaan memasukkan orang ke dalam Islam atau iman, tetapi pahala diberikan atas usaha kita kerana kita tidak upaya mengubah hati orang untuk menerima Islam kerana hidayah hanya ada pada Allah SWT sahaja. Kita cuma disuruh berdakwah sahaja sama ada mereka terima atau tidak, yang penting kita telah jalankan tanggungjawab kita untuk menyampaikan.

Dan Allah SWT sentiasa mendengar doa kita untuk berlindung dengan-Nya.

الْعَلِيمُ

Maha Mengetahui

Bila kita tahu Allah SWT pun dengar dan lihat juga apa yang terjadi kepada kita, maka terhiburlah hati kita. Kita rasa Allah SWT ada bersama dengan kita.

Ingatlah yang Allah SWT juga tahu niat kita kalau kita hendak balas balik kepada orang yang khianat kepada kita. Oleh itu, janganlah kita balas perbuatan buruk mereka itu dengan perbuatan buruk juga. Jangan kita merendahkan martabat kita serendah martabat mereka. Mereka adalah orang yang jahil, masih tidak tahu lagi. Kita pun dulu juga jahil, bukan? Kitalah yang kena beralah kerana kita orang yang tahu. Mungkin belum masa untuk mereka terima lagi.

Bila kita berdakwah, orang itu mungkin tidak terima, tetapi diri kita telah jadi orang yang berbeza. Kita akan semakin yakin dan ilmu kita akan semakin bertambah. Dakwah memang ada banyak cabarannya.

Seperti Musa as dan Firaun. Allah SWT telah tahu yang Firaun tidak akan beriman, tetapi Allah SWT tetap suruh Nabi Musa as dakwah kepada Firaun juga. Mengapa? kerana itu adalah latihan dakwah kepada Nabi Musa as.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan