Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-61 dan Ke-62

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-61 dan Ke-62

1455
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-61

Kenapa kita kena minta doa kepada Allah SWT sahaja dan tidak kepada yang lain? Allah SWT beri dalil kenapa. Ini adalah jenis Dalil Aqli Afaqi (Lihat kepada ufuk – kepada alam).

اللَهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ اللَهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

“Allah SWT yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur”.

اللَهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ

Allah SWTlah yang menjadikan untuk kamu malam, supaya kamu dapat berehat padanya.

Maknanya kena ingat yang Allah SWT yang mencipta malam, bukanlah malam itu terjadi sendiri. Ia adalah terjadi dengan kudrat Allah SWT. Mungkin kita lihat malam itu terjadi apabila matahari telah tenggelam. Tetapi matahari tenggelam itu adalah atas arahan Allah SWT juga, bukan?

Maka, apabila kita lihat siang bertukar menjadi malam, ingatlah yang itu adalah kerja Allah SWT. Bukannya ia terjadi sendiri. Fikirkan, di akhirat nanti, tiada ada pertukaran siang dan malam. Di syurga nanti, tidak ada malam, siang sahaja sentiasa. Di neraka, tidak ada siang, hanya malam sahaja.

Untuk mengingatkan perubahan siang kepada malam dan malam kepada siang ini, Nabi telah ajar kita doa pagi dan petang. Setiap kali kita baca doa itu, kita patut ingat bahawa Allah SWT sedang menukar waktu siang menjadi malam dan waktu malam menjadi siang.

Jadi, Allah SWT jadikan malam itu sebagai waktu untuk kita berehat setelah penat bekerja dan beribadah sepanjang hari. Maka kenalah kita ambil peluang itu. Jangan sibuk untuk buat kerja lagi dan terus buat ibadah sampai tidak tidur langsung. Islam tidak suruh buat begitu. Jangan juga duduk bersembang di kedai mamak tanpa tujuan. Jangan tengok filem dan bola sepak sahaja. Berehatlah.

وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا

Dan Dia jadikan siang terang benderang, cerah.

Tujuan Allah SWT cerahkan alam adalah supaya kita dapat bekerja cari makan. Supaya malamnya boleh buat ibadat kepada Allah SWT. Maknanya, cari rezeki adalah untuk beribadat kepada Allah SWT. Jangan hanya kata siang untuk bekerja sahaja. Bekerja itu adalah untuk senang beribadat.

Maknanya kembalikan segala perbuatan kita kepada hendak beribadat kepada Allah SWT. Kerana tujuan kita hidup di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, bukannya untuk bekerja sahaja. Ingat balik tujuan hidup kita seperti disebut dalam [ Az-Zariyat: 56 ]

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

إِنَّ اللَهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ

Sesungguhnya Allah SWT mempunyai kurniaan yang besar kepada semua manusia

Banyak yang Allah SWT telah beri kepada kita dan banyak lagi yang Allah SWT simpan untuk beri kepada kita.

Lafaz فَضْلٍ bermaksud pemberian yang tidak setimpal dengan kelayakan kita. Walaupun kita tidak layak terima, namun Allah SWT tetap beri berlebihan kepada kita. Umpamanya anak lulus periksa, kita bagi hadiah kereta kepadanya – berlebih dari yang sepatutnya. Allah SWT bagi berlebihan dari amalan kita. Amalan kita sedikit sahaja, tetapi Allah SWT balas berkali-kali ganda.

Maka, kalau Allah SWT yang mempunyai kurniaan yang besar, maka minta kepada Allah SWT lah sahaja. Kenapa hendak minta kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat lagi?

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ

Tetapi kebanyakan manusia tidak pandai bersyukur.

Kebanyakan manusia tidak tahu macam mana hendak bersyukur. Allah SWT telah beri kesenangan yang banyak dan peluang untuk kenal dan dekati Dia. Tetapi ramai yang tidak sedar tentang perkara itu kerana mereka tidak kisah. Semua nikmat Allah SWT, mereka hendak pakai tetapi tidak pula mahu dekati Allah SWT.

Mahu kenal Allah SWT, hendak beribadat kepada Allah SWT, tetapi tidak belajar untuk memahami tafsir Al-Quran, wahyu dari-Nya sendiri untuk panduan hidup kita. Itulah dikatakan mereka tidak pandai berterima kasih kepada Allah SWT. Kalau kita berterima kasih dengan pemberian seseorang, kita pakailah, bukan? Tetapi Allah SWT telah lama beri Al-Quran, tidak juga guna-guna lagi.

Jika Kita tengok majoriti manusia di dalam dunia sekarang ini, ramai yang beriman atau ramai yang kufur? Maka, kita tidak boleh ikut pada pandangan ramai. Kita tidak boleh kata, ramai orang buat, takkan salah? Amalan adalah mengikut dalil, bukan ikut hawa nafsu manusia.

Ada hadis menyebutkan hanya 1 dari 1000 manusia akan masuk syurga. Ini bermakna 999 orang lagi akan ke neraka.

Sabda Rasulullah SAW:

“Allah SWT berfirman: “Wahai Adam!” maka ia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah SWT berfirman: “Keluarkanlah dari keturunan mu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah SWT berfirman: “Dari setiap 1000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk syurga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, kerana kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyakkannya, iaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

Tafsir Ayat Ke-62

Selepas Allah SWT memberitahu kuasa penuh-Nya untuk mencipta, inilah natijah atau kesannya kepada kita. Inilah yang kita kena rasa.

ذٰلِكُمُ اللَهُ رَبُّكُم خالِقُ كُلِّ شَيءٍ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

“Yang bersifat demikian ialah Allah SWT, Tuhan kamu; yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahNya)?

ذَٰلِكُمُ اللَهُ

Sifat-sifat yang demikian itulah Allah SWT.

Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai sifat-sifat yang disebutkan sebelum ini, tidak ada entiti lain yang ada sifat-sifat itu. Maka kerana itu, sembah dan seru kepada-Nya sahajalah dalam doa kita. Jangan lagi doa guna tawassul yang dilarang.

رَبُّكُمْ

Pencipta Pemelihara kamu.

Dialah yang telah menjadikan kamu, dan setelah dijadikan kamu, tidaklah dibiarkan sahaja. Dialah juga yang memelihara, menjaga dan mengurus segala keperluan kamu. Setiap saat tidak terlepas dari penjagaan Allah SWT.

Maka kalau Allah SWT sahaja yang mengurus kita, kenapa lagi kita hendak minta kepada entiti lain? Memang tidak patut. Orang lain buat kerja, tetapi orang lain yang dapat nama pula. Roh nabi, wali dan malaikat tidak boleh buat apa-apa pun.

خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Dialah yang mencipta segala sesuatu.

Semua roh yang kamu puja itu tidak boleh buat apa-apa pun. Sebagai contoh, malaikat, nabi atau wali-wali, tidak dapat mencipta apa pun. Hanya Allah SWTlah sahaja yang mencipta segala sesuatu.

Kalimah خلق bermaksud menjadikan sesuatu dari tidak ada kepada ada. Tidak sama dengan جعل yang menjadikan sesuatu dari ada kepada bentuk lain ( ada besi, kemudian dijadikan kereta dari besi itu). Hanya Allah SWT sahaja الخالق (Maha Pencipta), tidak ada yang lain.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada tempat yang boleh bergantung harap untuk berdoa melainkan dia sahaja

Dialah sahaja tempat untuk kita meletakkan pengharapan kita dan tempat kita berdoa. Tidak patut kalau doa kepada yang lain, kerana mereka bukan Ilah. Tempat berdoa adalah Ilah, dan kalau minta kepada selain Allah SWT, maka kita telah menjadikan entiti itu sebagai Ilah. Tidak kiralah sama ada wali, Nabi atau malaikat sekali. Atau jin sekalipun. Malangnya, ramai juga yang buat begitu.

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Macam mana lagi boleh kamu terpesong?

Macam mana lagi boleh kamu minta kepada makhluk lain lagi dalam hal berdoa? Allah SWT telah pun beritahu, sudah beri segala bukti dan dalil, tetapi masih lagi ada yang terpesong. Tidak baca Al-Quran kah? Tidak belajar tafsir kah?

Masalahnya, kita tidak pandai hendak berdoa kan? Itu sahaja. Yang kita sudah tahu, masa doa makbul adalah pada waktu sepertiga malam. Tetapi kita tidak pernah hendak bangun malam pun. Kita pun telah tahu yang tempat makbul doa adalah di Mekah. Di situ adalah tempat yang diberkati seperti di pintu Kaabah, Hijr Ismail, Maqam Ibrahim, Masjidil Haram, Raudhah dan sebagainya.

Semua itu adalah tempat berkat dan makbul doa. Tetapi kalau tidak dapat pergi Mekah, tidak berpeluanglah hendak berdoa. Macam tidak adil pula Tuhan jika kita tidak berpeluang. Betul kah begitu? Tidak.

Nabi pernah bersabda, doa selepas azan sebelum iqamah adalah mustajab jika dilakukan di masjid. Maknanya doa itu kena di masjid (untuk lelaki). Maknanya, lima kali ada tempat makbul doa. Maknanya, ada peluang juga. Selepas solat jemaah juga makbul doa. Tetapi kita sahaja tidak tahu sebab ustaz-ustaz yang biasa tidak ajar. Masalahnya, apabila kita tidak tahu tempat yang makbul itu, kita mulalah minta tolong perantaraan dalam berdoa.

Dalam surah [ Al-Qasas : 24 & 25 ], ada kisah tentang Nabi Musa telah tolong dua anak gadis untuk ambil air untuk binatang-binatang peliharaan mereka. Nabi Musa tanya mereka kenapa mereka yang buat kerja mengembala pula? Mereka jawab ayah mereka tidak ada pekerja untuk membantu dan telah tua. Maka merekalah yang kena buat. Maka Nabi Musa angkat tudung perigi dan tolong mereka. Mereka pun kemudian pergi. Nabi Musa kemudian berdoa kepada Allah SWT. Maknanya, selepas kita tolong orang, makbul doa.

Ada lagi masa yang makbul doa: Apabila kita ziarah ibu bapa kita, makbul doa. Buat baik kepada ibu bapa, makbul doa. Tolong jiran; ziarah orang sakit; selepas menderma; selepas belajar agama. Itu semua tempat makbul doa dan banyak lagi tempat-tempat lain.

Cara berdoa pula. Ketahuilah, bahawa Allah SWT faham apa sahaja bahasa yang kita gunakan sebab Dia Tuhan kita. Tentulah Dia faham kalau kita guna bahasa Melayu. Tetapi kita pula dibebani dengan pemahaman yang kalau tidak baca doa dalam Bahasa Arab, doa tidak makbul. Maka doa sahaja dalam bahasa Melayu, tidak mengapa. Jadi, kalau boleh gunakan bahasa sendiri, tentulah lebih senang kita hendak berdoa. Tidak perlu lagi hendak pakai ustaz atau orang alim sebab kita sendiri sudah boleh berdoa.

Masalah dengan kita adalah kita hendak minta macam-macam tetapi dosa kita tidak minta ampun pun lagi. Maka, adakah anda agak Tuhan akan makbulkan doa kita? Jadi apa sahaja masalah kita yang hendak disampaikan kepada Allah SWT supaya menyelesaikan masalah itu, maka kenalah kita sebelum itu minta ampun atas dosa-dosa kita. Kita ini banyak sangat dosa kepada Allah SWT. Tetapi banyak yang tidak minta ampun, dalam masa yang sama masalah dia yang banyak itu, dia mahu Allah SWT selesaikan. Maka, sebelum kita menceritakan hajat kita kepada Allah SWT, mintalah keampunan dulu.

Daripada Jabir bin Abdullah r.a., dia mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum baginda wafat, “Janganlah salah seorang dari kalian meninggal dunia kecuali dia berbaik sangka kepada Allah SWT. Hadis Riwayat Muslim). Dalam hadis lain, Anas bin Malik berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak Adam, tidaklah engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, melainkan Aku ampuni dosa yang ada pada mu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam seandainya dosa-dosa mu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni mu, dan Aku tidak peduli.” (Hadis Riwayat Muslim)(An-Nawawi, Hadis 441,442)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan