Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 14 – Tafsir Al-Fatihah (Ayat Ke-6)

Nota 14 – Tafsir Al-Fatihah (Ayat Ke-6)

3374
0
Iklan

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

“Pimpinlah kami ke jalan yang lurus”

Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dalam ayat-ayat sebelum ini dan hanya kepada-Nya sahaja permohonan ditujukan, maka layaklah jika hal itu diikuti dengan permintaan.

Demikianlah cara berdoa yang baik, iaitu dengan memuji Allah, kemudian memohon keperluan untuk diri sendiri dan keperluan saudara-saudara kita dalam kalangan orang-orang yang beriman. Oleh kerana itu, dalam doa Nabi SAW dan doa-doa yang lain, kita akan lihat bagaimana sebelum memohon sesuatu, Nabi SAW akan memuji Allah dengan pujian yang indah-indah, kemudian barulah baginda berdoa. Maka, kita juga dikehendaki untuk mengikuti apa yang Nabi SAW ajarkan.

Ayat ini adalah satu doa dan ia adalah doa yang besar. Nabi SAW juga telah mengajar kita doa yang semakna dengannya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى، وَالْعِفَّةَ وَالْغِنَى

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, penjagaan diri (dari segala keburukan) dan kekayaan hati (selalu merasa cukup dengan pemberian-Mu)”

Seorang hamba sentiasa memerlukan Allah di setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kelangsungan hidayah, kerana seorang hamba tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah menghendakinya. Walaupun kita sudah beragama Islam, tapi kita masih lagi memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah. Orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah untuk memohon kepada-Nya. Kita berharap semoga Allah memperkenankan terus doa untuk menunjukkan kita ke jalan yang lurus dan tidak menyimpangkan kita ke jalan yang selainnya.

Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Quran.

– tunjuk jalan, dan

– pimpin.

Tetapi, apakah perbezaannya antara kedua perkataan itu? Nampak seperti sama sahaja. Dari segi bahasa, kalau ada harf jar seperti إلى selepasnya, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada harf jar, seperti dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ ini, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Kita akan lihat apakah perbezaannya.

Jika ‘tunjuk’, ia hanya sekadar menunjuk jalan. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan memandangkan tempat tujuan itu tidak pernah kita pergi maka, kita minta seseorang untuk memberitahu kita bagaimana hendak ke tempat itu. Dia pun mengajar kita bagaimana hendak ke sana, jalan apa yang diikuti, tanda apa perlu dilihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin juga sesat, bukan?

Tetapi jika ‘pimpin’, maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang hendak dituju. Dia masuk sekali ke dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi yang dituju. Inilah yang kita lebih suka bukan? Maka, dalam surah Al-Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’. Kita mohon agar Allah yang memimpin kita di sepanjang kehidupan kita.

 

Soalan: Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman? Ini adalah kerana kita bukan hanya meminta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tetapi kita mahu Allah ‘pimpin’ kita hingga ke syurga. Ulama tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayah itu akan sentiasa menjaga anaknya, jika nampak hendak rebah sahaja, ayahnya sudah bersiap sedia untuk memegangnya.

Kita akan sentiasa memerlukan pimpinan dari Allah. Antaranya secara ringkas:

– hidayah untuk menjadi seorang Islam (Ini telah kita peroleh).

– tunjuk manakah amalan yang benar.

– beri kita kefahaman mengenai ilmu agama.

– beri taufik supaya menjadikan kita orang yang sanggup mengamalkan apa yang kita tahu.

– jauhi diri kita dari segala gangguan yang boleh mengganggu iman kita.

– dan banyak lagi sehinggalah kita mati. Sehinggalah kita masuk ke dalam syurga, kita akan sentiasa memerlukan hidayah Allah.

Kita akan mendapat hidayah jika dalam hati kita ada sifat inabah (إنابة). Orang yang ada sifat inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk mengenal Allah dan agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.

1. Sifat inabah adalah permulaan untuk mendapatkan hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Quran. Maknanya, dia mahu mengenali dan mendekati Allah. Apabila telah ada kemahuan, Allah akan bantu dengan memberi hidayah kepada orang itu. Ini bermakna kena ada keinginan dalam hati kita terlebih dahulu.

2. Peringkat kedua, selepas dia mula belajar, dia akan mula hidup dengan mengikut syariat. Dia berhati-hati dengan apa yang dia lakukan. Dia akan belajar dan belajar lagi untuk mengetahui apakah hukum sesuatu perkara itu. Ini boleh buat atau tidak, cara untuk melakukan ibadat ini seperti mana yang mengikut Al-Quran, hadis dan sebagainya.

3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Jika dia duduk diam belajar, tidak akan jadi apa-apa, tetapi jika mula berdakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu sama ada dalam bentuk dalaman atau pun luaran.

Jika luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk melihat sama ada hamba itu mempunyai kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi juga diuji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman.

4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka, perlulah dia pohon keteguhan hati daripada Allah. Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’ (ربط القلب) iaitu, hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Inilah tahap yang kita mahu dan kita berharap sangat agar dapat dicapai.

Pada kedudukan yang tinggi ini kita hendaklah memohon kepada Allah. Inilah permintaan kita kepada Allah di dalam ayat ini. Allah tidak akan menghampakan harapan hamba-Nya yang meminta kepada-Nya. Saidina Umar pernah berkata: Jika seseorang telah diberi taufik kepadanya oleh Allah untuk berdoa, maknanya Allah telah bersedia untuk berikan apa yang diminta. Jika Allah tidak mahu beri, Allah tidak akan campakkan pun perasaan untuk meminta.

Soalan

Bagaimana pula dengan orang yang mengikut tariqat ini? Apakah ini ada kaitan dengan mereka tidak menghayati bacaan Al-Fatihah di dalam solat yang mereka kerjakan sehari-hari hingga hidayah Allah tidak sampai terhadap mereka?

Jawapan

Golongan tariqat selalunya tertipu dengan ajaran guru mereka dan oleh sebab itu mereka tidak belajar pun tafsir Quran melainkan ilmu khayalan guru-guru mereka.

Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Al-Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Rabtul Qalbi yang telah diterangkan tadi. Kita akan diberi dengan apa yang kita doakan. Jika yang diminta adalah Rabtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Jika tidak diminta maka, Allah tidak berikan.

Tetapi bukankah kita melafazkan doa yang sama? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, namun permintaan mereka tidaklah sama. Sebagai analogi, seorang budak yang ‘meminta duit’, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Seorang budak kecil, mungkin inginkan beberapa sen sahaja tapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit, tetapi mereka sebut sama sahaja: “Nak duit!”

Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ianya adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat setiap hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ia bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Al-Quran. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai ke ayat yang seterusnya nanti. Allah akan jelaskan lagi apakah jalan yang lurus itu kerana Allah tidak mahu kita tersalah pilih jalan yang lurus. Ramai orang boleh mendakwa mereka berada di jalan yang lurus. Syiah pun kata mereka berada di atas jalan yang lurus, bukan? Tetapi benarkah mereka berada di atas jalan yang lurus?

Allah sendiri dalam Al-Quran (tafsir Quran dengan Quran) memberitahu kita apakah jalan yang lurus itu. Lihat surah Yasin: 61

وَأَنِ ٱعْبُدُونِى ۚ هَٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku; inilah jalan yang lurus.(Yasin – 61)

Jadi, dari ayat ini, jalan yang lurus adalah menghambakan diri kepada Allah, menyembah Allah sahaja. Bagaimanakah caranya? Dengan belajar tafsir Al-Quran dan hadis untuk mengetahui bagaimana cara untuk menjadi hamba kepada Allah, bagaimana cara menyembah Allah.

Lihat surah Maryam: 36 disebut:

وَإِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعْبُدوهُ ۚ هٰذا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

“Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahIah Dia oleh kamu sekalian. Ini adalah jalan yang lurus.”

Jadi makna ‘Jalan yang Lurus’ adalah: kita hendaklah beribadat, memuja dan berdoa HANYA kepada Allah sahaja. Tetapi adakah kita juga buat ibadat kepada orang lain? Memang ada, tanpa kita sedari kerana kita tidak belajar. Sebagai contoh, puja Allah adalah satu ibadat, hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja tetapi ada dalam kalangan orang kita yang memuja Nabi SAW, memuja wali dan memuja manusia. Tanpa disedari, mereka telah melakukan ibadah kepada selain daripada Allah.

Ini adalah antara banyak kesalahan manusia termasuk orang Islam di negara kita ini. In syaa Allah kita akan sentuh apabila sampai pada ayat-ayatnya nanti.

Wallahu a’lam.

*UiTO memerlukan sumbangan untuk membiayai laman web uito.org setiap tahun. Apa jua nilai yang sudi diinfaq amatlah dihargai dan diucapkan jazaakumullahu khayran. Infaq boleh disalurkan terus ke Vision Trade Network CIMB 86-0069756-5.

Komen dan Soalan