Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 46: Adakah RasuluLlah Telah Mewarnakan Uban?

Hadis 46: Adakah RasuluLlah Telah Mewarnakan Uban?

213
0
Iklan

Oleh: Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

46 – حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبِي، عَنْ شَرِيكٍ، عَنْ عُثْمَانَ بْنِ مَوْهَبٍ، قَالَ: سُئِلَ أَبُو هُرَيْرَةَ: هَلْ خَضَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ.
قَالَ أَبُو عِيسَى: وَرَوَى أَبُو عَوَانَةَ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ، فَقَالَ: عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ.

46- Telah bercerita kepada kami Sufyan bin Waki`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami bapa saya, daripada Syarik, daripada `Usman bin Mawhab, dia berkata: Telah ditanyakan Abu Hurayrah: Adakah Rasulu Llah telah mewarnakan? Dia berkata: Ya.

Berkata Abu `Isa: Dan Abu `Awanah meriwayatkan hadis ini daripada `Usman bin `Abdi Llah bin Mawhab, dan dia berkata: Daripada Ummi Salamah.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menyebutkan soalan yang sama seperti di dalam hadis ketiga puluh tujuh, tetapi kali ini yang ditanya ialah Abu Hurayrah. Dan di hujung hadis, Imam At-Tirmizi mengulas bahawa dalam riwayat yang lain, diriwayatkan bahawa `Usman bin Mawhab atau juga disebut `Usman bin `Abdi Llah bin Mawhab, meriwayatkan hadis ini bukan daripada Abi Hurayrah, sebaliknya daripada Ummi Salamah.

Hal ini menunjukkan bahawa apabila Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis ini, dia turut menyebut `illah atau kecacatan di dalam hadis ini, dengan menyebutkan nama sahabiy yang sebenar.

`Usman bin Mawhab dan `Usman bin `Abdi Llah bin Mawhab, ini ialah satu nama yang sangat perlu diperhatikan oleh para pencinta ilmu-ilmu hadis, atau `ulum hadis. Ini kerana di dalam ilmu mengenal rawi hadis, terdapat rawi yang dinasabkan kepada bapanya, dan ada yang dinasabkan kepada datuknya. Ada juga yang dinasabkan kepada kedua-dua bapanya dan juga datuknya, seperti yang dilihat di dalam hadis ini.

`Usman – dalam isnad hadis ini –, dia dinasabkan kepada datuknya, manakala Imam At-Tirmizi menyebutkan nama `Usman dengan dinasabkan kepada bapanya `Abdi Llah, agar pembaca mengetahuï bahawa dua nama ini adalah orang yang sama, serta agar pembaca tidak menganggap bahawa ia ialah dua orang yang berbeza!

Dalam hadis ketiga puluh tujuh, Anas bin Malik menjawab bahawa “Tidak sampai ke situ”, manakala di dalam hadis ini jelas disebut “Ya”, iaitu Nabi telah mewarnakan.

Perbezaan jawaban ini dapat dijelaskan bahawa uban yang ditanya oleh penanya ialah uban putih, manakala uban pada rambut Nabi ialah rambut hitam yang berubah menjadi merah – atau perang –, tetapi tidak sampai menjadi putih. Justeru, di dalam hadis keempat puluh lima sebelum ini, disebut bahawa “Dia berkata: Dan saya telah melihat uban yang merah”, dan dia tidak menyebut “uban yang putih”.

Membaca hadis ini sangat menarik kerana apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis yang lain, ia memerlukan penjelasan, dan ia membuka satu cabang ilmu baru dalam hadis yang disebut (مُخْتَلِفُ الْحَدِيث) Mukhtalifu l-Hadis. Ilmu Mukhtalifu l-Hadis ini bertujuan untuk mencari kesepakatan dalam memahami makna hadis yang pada zahirnya kelihatan bertentangan. Justeru, sebagai penuntut ilmu, apabila kita menemuï sesuatu yang bertentangan di dalam hadis, Ilmu Mukhtalifu l-Hadis ini hendaklah dirujuk terlebih dahulu sebelum kita mengulas atau mengkritik, atau lebih teruk lagi, menolak daripada mempercayaï hadis dek kerana ‘adanya pertentangan’. Sebagai penuntut ilmu, kita hendaklah bersikap jujur dan membaca penjelasan para `ulama’ tentang ‘pertentangan’ ini, agar kita jelas bahawa agama Islam itu tidak bercanggah dan tidak bertentangan.

*******
*******
*******

.

Cikgu Rahim:
Syarah Kitab Syamail Muhammadiyyah oleh Ustaz Adou

https://telegram.me/joinchat/Aly88zwHHL7MgVaL0TpZcg

Komen dan Soalan